Artikel "Utama" Terkini
Pembelajaran Lebih Meluas Lengkapi Keperluan Global
DUNGUN, 28 Julai - Pembelajaran tidak terhad hanya berlaku di dalam kelas semata-mata tetapi turut memerlukan penglibatan pelajar kepada ilmu-ilmu di luar kelas bagi menghadapi cabaran dan daya saing di peringkat global.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, pendedahan berkaitan pendidikan STEM (Science, Technology, Engineering, Mathematics) juga dilihat sebagai aspek penting kepada pembangunan minda dan kemajuan pelajar .
"Kita harap pendidikan STEM ini, dapat menarik lebih ramai pelajar untuk mendalaminya dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara pada masa hadapan.
"Kebanyakan negara maju semakin menekankan pendidikan STEM kerana ia meliputi setiap aspek kehidupan seharian dan penyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri pada akan datang.," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program STEM Outreach Workshop 2024 bertempat di Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) Dungun, semalam.
Tambahnya, bagi memenuhi hasrat ini pengetahuan dan pembudayaan amalan STEM perlu diterapkan kepada pelajar dan pengajar serta dijadikan sebahagian budaya untuk menggerakkan inovasi dari peringkat akar umbi dan memudahkannya disebarluaskan.
"Program seperti inilah dapat menjadi platform penting untuk meningkatkan minat pelajar terhadap STEM dan memupuk budaya inovasi dalam kalangan generasi muda.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Yayasan Terengganu (YT) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama rakan strategik serta semua pihak dalam menjayakan Program STEM Outreach Workshop 2024 ini demi membantu pengembangan ilmu di luar dalam kelas," ujarnya.
28 Jul 24
137
Penubuhan LAUT Tambah Hasil Baru Buat Negeri
KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Penubuhan Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) dijangka membawa impak positif kepada seluruh rakyat Terengganu dalam pengurusan sumber air dan tambahan pendapatan buat negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, LAUT membolehkan Terengganu mengoptimumkan kekayaan sumber yang tidak dilaksanakan sebelum ini.
“Penubuhan LAUT ini sama juga dengan kebanyakan negeri di Malaysia yang telah memperuntukkan kuasa melalui enekmen negeri masing-masing untuk membolehkan hasil dikutip daripada penggunaan sumber air, ia bukan air laut sahaja, bahkan turut melibatkan penggunaan air sungai.
“Pelbagai kategori diperkenalkan dan kebanyakan pihak industri dan komersial kita kenakan cas-cas tertentu (sebelum ini percuma).
“Alhamdulillah dari segi pelaksanaan kita ambil masa yang sekejap, ada negeri setelah 10 tahun enakmen itu dibuat, barulah ia dapat dilaksanakan di kawasan berkenaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, baru-baru ini.
Menurutnya, LAUT akan berperanan dalam merancang, mengurus dan menyelaras segala aktiviti berkaitan sumber air di negeri Terengganu.
“Alhamdulillah di negeri Terengganu, bagi tahun pertama kita bagi ‘grace period’ (tempoh ehsan), bagi pemahaman dengan mengadakan libat urus untuk menjelaskan kepada mereka kenapa timbul kutipan ini.
“Tahun kedua kita mengenakan dengan kadar-kadar yang munasabah dahulu, ada insentif dan kita boleh dapat kutipan dengan jumlahnya bertambah,” ujarnya.
Samsuri turut menjelaskan bahawa ada penambahan pendapatan tetapi tidak dinyatakan jumlah.
“Saya tak nak beri jumlah berapa mungkin dalam Sidang DUN ada soalan yang berkaitan dengan jumlah kutipan hasilnya ada enakmen ini,” tambah beliau lagi.
28 Jul 24
2288
Rakyat Tolak Elemen Negatif Arak Dalam Sekolah
KUALA TERENGGANU, 28 Julai– Rakyat Malaysia menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap kemasukan elemen negatif seperti arak ke dalam institusi pendidikan walaupun di sekolah aliran Cina.
Ahli Dewan Negara, Datuk Razali Idris, berkata bahawa institusi pendidikan seharusnya bebas daripada sebarang bentuk pengaruh negatif termasuk arak dan rokok.
Menurutnya, adalah sangat malang apabila institusi pendidikan dicemari dengan tajaan daripada syarikat arak, yang seharusnya dikecualikan daripada sistem pendidikan.
“Sekolah seharusnya menjadi tempat yang bersih dan bebas dari anasir yang boleh merosakkan nilai-nilai murni pelajar.
"Kementerian Pendidikan perlu mengambil pendirian tegas dengan menolak semua bentuk sumbangan dana yang mempunyai imej negatif seperti arak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Razali berkata kritikan tersebut merujuk kepada sumbangan hampir RM1 bilion daripada syarikat arak yang dikaitkan dengan DAP.
Beliau berkata sumbangan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan peraturan kementerian tetapi juga tidak menghormati perasaan pelajar Melayu Islam yang turut bersekolah di sekolah aliran Cina.
“DAP seolah-olah tidak menghormati ketetapan peraturan dan semangat muhibbah yang menjadi asas perpaduan negara. Rakyat tidak boleh menerima sebarang agenda yang mengutamakan elemen negatif dalam pendidikan.
"Saya menggesa agar rakyat menolak sebarang bentuk pengaruh negatif dan memastikan bahawa semua elemen yang berpotensi merosakkan nilai-nilai murni diinstitusi pendidikan dikeluarkan.
“Rakyat harus bersatu dalam menolak pengaruh negatif seperti arak dalam pendidikan. Ini adalah langkah penting untuk memastikan pendidikan kita kekal bersih dan berkesan dalam membentuk generasi masa depan yang cemerlang,” ujarnya.
Razali menekankan bahawa rakyat perlu terus berwaspada dan memastikan bahawa sistem pendidikan negara tetap kukuh dan bebas dari sebarang bentuk pengaruh yang boleh menjejaskan nilai-nilai dan etika pelajar.
28 Jul 24
171
Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tutup Tirai
SETIU, 28 Julai- DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang di-Pertuan Muda Terengganu yang menutup tirainya, hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi Tengku Sri Setia Mahkota Raja pada jam 9.00 pagi disambut Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
Hadir sama menyambut keberangkatan tiba Baginda adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Bdan Bukan Kerajaan (NGO, Hishamuddin Abdul Karim.
Dalam majlis di Terengganu International Endurance Park (TIEP) itu, Pasukan KAET Singapore dinobatkan sebagai juara.
Pasukan tersebut membawa pulang hadiah berupa piala, pingat dan wang tunai bernilai RM7,500.
Sementara itu, bagi kategori individu penunggang Pasukan Endurance Negeri Terengganu (STET), Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Saa'ri mengungguli acara utama CEI 120km dengan catatan 6:05:05 jam.
Beliau menerima hadiah piala, pingat dan wang tunai berjumlah RM9,075.
Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang di-Pertuan Muda Terengganu berlangsung selama tiga hari dengan menampilkan lebih 200 penunggang yang bersaing melibatkan empat kategori perlumbaan.
Selain itu, ia turut disertai lima buah pasukan luar negara dari iaitu Singapura, China, Indonesia, Belarus dan Thailand.
28 Jul 24
141
KPRJ, Terengganu Inc Meterai MOU Bagi Teroka Peluang Baharu Bersama
KUALA LUMPUR, 27 Julai - Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) dan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi meneroka dan membangunkan projek serta inisiatif yang memberi manfaat kepada kedua-dua negeri.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata MOU itu akan mengukuhkan komitmen kedua-dua pihak dalam mengenalpasti potensi peluang-peluang perniagaan, memupuk
inovasi dan pembangunan mampan di kedua-dua wilayah.
"Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kami terhadap pembangunan mampan dan inovasi.
"Bersama-sama, kami berharap dapat meneroka peluang baharu antara kedua-dua negeri," ujarnya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani MOU ini adalah bersempena dengan Ekspo Pelaburan & Perindustrian Selangor ke-4 yang telah diadakan pada 25 Julai 2024 sehingga 27 Julai 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KPRJ, Zainal Abidin Zakaria ber kata gabungan kedua-dua organisasi ini, bakal memacu pertumbuhan ekonomi seterusnya mencapai kerjasama dan sinergi yang lebih baik untuk Johor dan Terengganu
"Kami amat teruja dengan peluang-peluang perniagaan yang bakal dibawa hasil daripada kerjasama ini," ujarnya.
28 Jul 24
198
Sultan Terengganu Berkenan Sertai Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa
SETIU, 27 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyertai kejohanan kuda lasak antarabangsa Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu 2024 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong petang tadi.
Baginda telah berkenan menyertai dalam Kategori Antarabangsa Championship Endurance National (CEI 2*120) Kilometer (KM).
Sebanyak tiga kategori dipertandingkan pada petang tadi melibatkan laluan 120 KM, 100 KM dan 80 KM.
Peserta dengan kategori CEI*2 120 KM bertolak pada pukul 5 petang, kategori CEI*1 100 KM pula bertolak pukul 5.15 petang manakala kategori terakhir 80 KM pula bertolak jam 5.30 petang.
Sultan Mizan yang memakai baju biru bernombor sembilan mewakili kelab Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) menunggang kuda pilihannya bernama Ashva Puma, dicabar 83 peserta.
Turut beraksi dalam perlumbaan sejauh 120 kilometer itu juara 2016 dari kelab State Terengganu Endurance Team (STET), Mohammad Fuad Hashim yang menunggang kuda diberi nama F S Patagon.
Peserta lain yang akan bersaing hebat dengan Sultan Mizan termasuk peserta antarabangsa dari Belarus, Viktoriyia Melnikava serta tiga orang peserta Singapura dan dua lagi, masing-masing mewakili Singapura dan China.
Kejohanan edisi ke-7 yang bermula sejak 2018 itu dilepaskan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tepat jam 5 petang tadi menampilkan beberapa kelab antarabangsa dari dalam dan luar negara.
Perlumbaan yang mengambil masa lebih 12 jam itu dijangka berakhir pada jam 5.20 pagi esok.
27 Jul 24
231
JHEAT Serbu Sarang Mak Nyah, Cekup Tujuh Individu
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah melaksanakan serbuan besar-besaran di salah sebuah flat di daerah ini, melibatkan tangkapan tujuh individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti mak nyah.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz berkata kesemua individu ditahan mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 iaitu lelaki yang berlagak seperti perempuan.
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan kesemua mereka boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
"Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali sebatan atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5000.
“Operasi malam tadi bermula pada pukul 10 malam, melibatkan kira-kira 20 anggota penguatkuasa dan sukarelawan.
“Pasukan ini memulakan operasi dengan melakukan pemantauan awal di kawasan Flat Kolam terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Aizi berkata pemantauan awal menunjukkan suasana 'meriah', dengan motosikal berlegar dengan aksi tawar menawar mak 'nyah'.
“Dalam operasi ini, pasukan JHEAT berjaya menyerbu tiga daripada empat rumah yang dikenalpasti. Satu rumah tidak dapat diserbu kerana lokasi yang sukar diakses.
“Ketika pasukan penguatkuasa dan sukarelawan mula bertindak, mereka mengesan teknik penyamaran daripada penguatkuasaan,” jelasnya.
Beliau berkata, pasukan penguatkuasa awalnya menyamar sebagai pelanggan yang berpura-pura melanggan perkhidmatan yang ditawarkan.
Namun, apabila individu tersebut menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka cuba menahan pintu bilik daripada dibuka hingga mencetuskan suasana tegang.
“Pasukan penguatkuasa berjaya memasuki rumah mereka dan membawa semua suspek ke JHEAT.
“Seorang daripada suspek cuba melarikan diri semasa proses penangkapan tetapi berjaya ditangkap kemudiannya,” katanya.
Menurut Aizi, operasi tersebut merupakan hasil perancangan dan strategi serta pemantauan teliti sebelum ia berjaya dilaksanakan.
“Penangkapan ini melibatkan individu dari pelbagai lokasi, termasuk Setiu, Kuala Terengganu, Pahang dan Sarawak. Beberapa daripada mereka juga telah menjalani pembedahan untuk membuang kemaluan lelaki di Thailand.
“Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan JHEAT dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan aktiviti mak nyah di negeri ini,” ujarnya.
27 Jul 24
4715
Primula Raih Anugerah 'Hotel Amalan Lestari Terbaik 2024'
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Primula Beach Hotel yang popular dengan lokasi penginapan pelancongan di negeri ini membuktikan kualiti yang ditawarkan mereka menerusi kemenangan 'Hotel Amalan Lestari Terbaik' di Anugerah Industri Pelancongan 2024 di Royale Chulan Kuala Lumpur.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata pengiktirafan itu berdasarkan komitmen teguh Primula Beach Hotel terhadap kelestarian dan usaha inovatifnya dalam mempromosikan amalan mesra alam dalam industri perhotelan.
Katanya, pihak mereka sentiasa komited untuk menetapkan penanda aras dalam hospitaliti lestari dan menginspirasi orang lain dalam industri untuk mengamalkan amalan hijau.
"Sejak tahun 2021, Primula Beach Hotel telah bekerjasama dengan TNB GSPARX untuk menggunakan sistem tenaga suria, mengurangkan jejak karbon hotel dengan ketara dan mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
"Primula Beach Hotel
menganjurkan acara-acara hijau seperti Beach Run Primula Eco Green pada Februari 2024, sebuah acara yang promosikan kesedaran kesihatan dan alam sekitar,"ujarnya dalam satu kenyataan.
Suaibah juga berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk inisiatif "Bring Our
Turtle Back" pada tahun 2022 dan 2023.
"Ia bertujuan melindungi dan memulihkan penyu, serta memelihara kehidupan marin,"ujarnya.
Tambah beliau, bagi memastikan hasil tani yang segar dan lestari untuk para tetamu, Primula Beach Hotel menanam sayur-sayuran menggunakan teknik hidroponik dan fertigasi.
Selain itu katanya, pihak hotel juga telah melaksanakan program kitar semula dalam pembuatan sendiri sabun menggunakan minyak masak terpakai.
Menurut Suaibah lagi, inisiatif baru yang diperkenalkan pertengahan tahun 2024 iaitu pengkomposan sisa makanan, menukar sisa organik kepada baja yang berharga.
"Hasilnya ia berjaya meningkatkan kesihatan tanah dan kurangkan sisa yang dibuang ke tapak pelupusan," ujarnya.
27 Jul 24
547
PMINT, ECORIDE Rintis Industri Kenderaan Elektrik
KUALA TERENGGANU, 27 Julai- Kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama ECORIDE Sdn Bhd bagi cadangan Program Migrasi Mobiliti Hijau Kenderaan Elektrik (EV).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Dato' Wan Adnan Wan Derahman berkata, MoU tersebut bertujuan merintis jalan bagi kedua-dua pihak menerokai peluang usahasama dalam industri EV di negeri ini.
"Melalui MoU yang dijalin ini, kedua-dua pihak akan bersama-sama merangka dan membentangkan pelan migrasi EV bagi dilaksanakan di Negeri Terengganu dengan menjadi perintis kepada pengguna terutamanya melibatkan agensi negeri, syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun negeri.
"Selain mewujudkan dan merancang rangkaian infrastruktur stesen EV di Terengganu," ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kerjasama tersebut juga bertujuan membina pelan komprehensif dan terperinci untuk migrasi EV khusus untuk kegunaan komersial di negeri ini sekali gus mengurangkan kos pengangkutan.
"Ia juga bagi menyelaras dan mempromosikan pembangunan industri berkaitan EV di Terengganu," ujarnya.
Katanya, PMINT melalui subsidiari Cas Ligas Sdn Bhd yang terlibat secara langsung dalam sektor pengangkutan di Negeri Terengganu pasti akan memperolehi manfaat dalam jangka masa pendek dan jangka panjang dalam perkara ini sekaligus membantu menjayakan hasrat kerajaan Negeri dalam merintis keberhasilan dalam EV.
27 Jul 24
787
FAMA Sasar RM250 Ribu Nilai Jualan di HPPNT
BESUT, 27 Julai -Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu menyasarkan RM250,000 hasil jualan produk sempena Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan Negeri Terengganu dan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur Tahun 2024 di Dataran Jabi pada 25 Julai hingga 28 Julai ini.
Pengarah FAMA Negeri, Muhamad Fadlee Hassan
berkata sasaran itu berdasarkan jangkaan kehadiran lebih 1,000 pengunjung sepanjang karnival jualan dan pameran bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
Katanya, produk yang dibawa meliputi buah-buahan, produk proses dan industri asas tani, beras dan telur.
"Untuk jualan segar, kita kita ada buah-buahan terpilih seperti manggis, jambu batu, nangka dan buah naga.
"Manakala jualan proses kita ada produk-produk iks yang telah dijenamakan termasuk beras dan telur yang menjadi tumpuan kepada rakyat di pekan jabi," katanya kepada pemberita.
Tambahnya, sebanyak 60 matrik tan iaitu 6,000 kapit beras disediakan di tapak jualan termasuk 6,000 papan telur dalam tempoh pameran berlangsung.
"Manakala jualan produk agromas dalam tempoh empat hari kita jangka dalam 10 ribu dan buah segar dalam 10 ribu selam empat hari," ujar beliau.
27 Jul 24
169