Artikel "Utama" Terkini
'Tidak Masuk Akal Persoal Kenapa Terengganu Bergantung Pada Minyak'
KUALA TERENGGANU, 29 Julai- Kerajaan negeri menegaskan bahawa tidak masuk akal apabila ada pihak mempertikaikan kenapa Terengganu bergantung kepada hasil minyak dan gas.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sedangkan sama ada mereka suka atau tidak (hasil royalti dan wang ihsan) adalah hak rakyat negeri ini.
“Jadi janganlah ada pihak di luar sana yang menyebut ‘Terengganu jangan bergantung pada hasil royalti atau wang Ihsan’, kerana tindakan demikian umpama peribahasa menyebut ‘sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula’.
“Ini adalah kerana bagi kami di Terengganu dan seluruh rakyatnya berpegang bahawa minyak dan gas yang diperolehi di Terengganu adalah hak Terengganu sejak 1978 sebagaimana yang pernah saya sebutkan ketika sidang Dewan Rakyat lalu dan termaktub dalam berbagai enam dokumen rasmi dan kontrak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed dan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, keadaan itu hanya bermula dan berlaku akibat daripada perbezaan politik pilihan rakyat dalam pilihan raya.
“Menambahkan lagi kecelaruan, ada pula yang menyebut dan memaksa Kerajaan Negeri dengan tindakan seperti ‘menyekat royalti pada hari ini, dan esok terus diminta jana hasil baharu’, itu adalah tindakan yang tidak masuk akal,” ujarnya.
Menurut beliau, ia umpama ‘mengikat kaki dan tangan dan disuruh berenang pula’ sedangkan anak-anak yang lain dapat berenang bebas.
“Puncanya kerana anak ini berbeza pandangan politik kepartian, dan ada rakan taulan baik si ayah ini pula beranggapan jika ditekan, disusahkan, dan dilemaskan anak ini, mungkin akan ada hasilnya kepada ‘kawan ayah’ di satu hari nanti di tempat bertuah ini,” jelasnya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa mana-mana pihak yang merancang dan menyambut dengan gembira sekatan wang royalti minyak dan gas ke Negeri Terengganu atas apa jua alasan kepentingan politik atau tidak, merekalah sebenarnya kelompok yang membawa rakyat, masyarakat, negeri dan negara ke belakang dan wajar ditolak oleh rakyat.
29 Jul 24
4290
RM700 Ribu Atasi Masalah Banjir Jangka Pendek di Rantau Abang
KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran negeri telah melaksanakan pelan penyelesaian jangka pendek masalah banjir bagi menangani isu itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang bagi tahun 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata ia merupakan langkah awal kerajaan negeri apabila ketiga-tiga permohonan projek tebatan banjir yang dipohon dalam 'Rolling Plan' Rancangan Malaysia namun sehingga kini masih belum diluluskan.
Katanya, program-program penyelengaraan secara berkala infrastruktur sistem saliran dengan lima kerja secara sebutharga dengan kos RM700,000.00 sedang dilaksanakan melalui Peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi Tahun 2024 bagi Kawasan sekitar Rantau Abang.
“Kerja-kerja pemuliharaan sistem saliran utama serta kerja kerja berkaitan di Kampung Alor Mak Bah,Dungun melibatkan kos RM50,000
“Seterusnya, kerja-kerja pemuliharaan sistem saliran dan hakisan tebing akibat kerosakan pasca banjir serta kerja kerja berkaitan di Kg. Paya Jara, Kuala Abang dengan kos RM400,000 dan kerja kerja pemuliharaan hakisan tebing akibat kerosakan pasca banjir serta kerja kerja berkaitan di Kg. Tanjung Jara, Dungun, sebanyak RM150,000.
“Manakala kerja kerja pemuliharaan sistem saliran untuk mengurangkan risiko banjir serta kerja kerja berkaitan Di Kg Tok Kah, Dungun sebanyak RM50,000 dan kerja kerja pemuliharaan struktur tebing dan pagar jps akibat kerosakan pasca banjir serta kerja kerja berkaitan Di Kg. Teluk Bidara, Dungun (RM50,000),” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Zulkifli pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mohd Fadhli mengemukan soalan bilakah kerajaan negeri akan melaksanakan projek tebatan banjir di Kawasan DUN Rantau Abang yang selalu terkesan dengan banjir terutama bila tiba musim tengkujuh.
Tambah Hanafiah lagi, itu tidak termasuk jumlah peruntukan melibatkan senarai kerja yang dipohon melalui peruntukan kerajaan negeri (P02) bagi tahun 2025 bagi kawasan sekitar Rantau Abang.
29 Jul 24
159
Royalti Hak Rakyat Terengganu Berdasar Akta Kemajuan Petroleum 1974 - MB
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan Terengganu bertegas untuk terus menuntut royalti petroleum hak rakyat dan negeri Terengganu sebagaimana termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri kekal berpegang teguh dengan akta tersebut dan perjanjian-perjanjian yang berkaitan.
"Kita menuntut hak rakyat Terengganu ini dengan berbagai-bagai cara yang akan dibuat, sepertimana simpulan bahasa menyebut 'lalu penjahit, lalu kelindan'.
"Usaha-usaha ini akan dilakukan secara bersama dengan seluruh rakyat negeri Terengganu dan rakyat Malaysia nanti, insya-Allah," katanya bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili mengenai tindakan lanjut yang akan dilakukan bagi memastikan tuntutan royalti dapat diterima, pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata hasil perundingan berkali-kali dengan kerajaan Persekutuan, setakat Julai 2024 kerajaan negeri berjaya mendapatkan kelulusan royalti berjumlah RM792.32 juta berbanding anggaran hak sebenar RM1.54 bilion.
Namun katanya, sehingga hari ini hanya RM425.17 juta telah direkodkan sebagai terimaan dalam akaun kerajaan negeri.
"Baki RM367.15 juta royalti petroleum (daripada kelulusan) setakat Julai tahun tidak diterima," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri turut menjelaskan jumlah yang patut diterima oleh kerajaan negeri pada tahun 2023 ialah sebanyak RM1.524 bilion namun hanya menerima sejumlah RM802.18 juta sahaja sepanjang tahun lalu.
29 Jul 24
973
Calon Nenggiri Diumumkan Petang Ini
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diumumkan pada petang nanti.
Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN akan menggunakan lambang PAS bagi PRK itu sebagai strategi mengekalkan kemenangan.
"Respon yang kita terima dari tinjauan di lapangan , yang sara rasa 'survey' cara ini lebih penting berbanding secara atas talian terutamanya di luar bandar yang ketepatannya boleh diragui.
"Melaui 'survey' di lapangan kita telah mendapat respon yang sangat baik di kalangan rakyat dan masyarakat di Nenggiri," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Menteri besar Terengganu itu berkata demikian ketika ditemui pihak media pada sidang akhbarnya, selepas menghadiri Mesyarat Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu katanya, Nenggiri merupakan satu DUN yang memeliki keluasan yang lebih besar dari negeri Perlis.
"Sangat besar walaupun penduduknya tidak ramai, dan insya-Allah dengan mendapat respon positif yang sangat baik daripada masyarakat di sana kita berupaya untuk mengekalkan kemenangan," ujarnya.
29 Jul 24
92
Terengganu Teroka Sumber Baharu Hadapi Sekatan Royalti
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan Negeri telah mengatur langkah bagi menghadapi sekatan royalti petroleum dengan mengukuhkan kewangan negeri melalui pengawalan perbelanjaan, mengoptimumkan perolehan hasil sumber sedia ada serta mengeksplorasi dan mengeksploitasi sumber baharu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam berhadapan dengan sekatan royalti ketika ini, semua agensi dan jabatan negeri diminta mempertimbangkan semula keperluan, kebolehlaksanaan dan keutamaan setiap program atau projek yang dirancang.
“Selain meleveraj inisiatif dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, meneroka sumber dan usaha sama dengan pihak bukan kerajaan serta merintis ‘community/bottom-up initiative’.
“Pada masa yang sama, semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Terengganu perlu mengurangkan kebergantungan pada kerajaan negeri dalam melaksanakan aktiviti perniagaan mereka.
“GLC perlu berusaha dengan lebih gigih melaksanakan aktiviti perniagaan supaya hasil keuntungan perniagaan lebih besar dan dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab sosial dan ekonomi kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ahmad Shah mengemukakan soalan mengenai bagaimana Kerajaan Negeri mengatur segala urusan pentadbiran dan pembangunan yang dirancang dengan kekangan kewangan akibat daripada pembayaran royalti atau wang ihsan yang tidak dibayar kepada Kerajaan Negeri seperti yang sepatutnya.
Jelas Ahmad Samsuri lagi, usaha mengksplorasi dan mengeksploitasi sumber baharu tertumpu kepada industri unsur nadir bumi (REE) dan tenaga boleh diperbaharui (renewble energy).
"Hasil cukai dan bukan cukai pula mesti ditingkatkan sekurang-kurangnya 10 peratus setahun," tambahnya.
29 Jul 24
2819
Azizulhasni Jadikan Al-Quran Pendamping
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang yang juga merupakan anak kelahiran Dungun Terengganu menjadikan al-Quran sebagai pendampingnya termasuk ketika beraksi dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.
"Perkara yang paling wajib sekali saya bawa setiap kali saya 'travel' adalah al-Quran kerana sebagai orang Islam adalah penting untuk kita membacanya sekurang-kurangnya dua muka setiap hari.
"Ini adalah buku yang paling berkuasa dan penting untuk kita semua baca," ujarnya menerusi satu perkongsian video di facebooknya, baru-baru ini.
Pelumba berusia 36 tahun itu juga berkata, beliau turut menjadikan amalan membaca sebagai satu tabiat untuknya dan turut berkongsi di dalam video yang dimuatkan di laman sosialnya, antara buku lain yang dibaca ialah 'Seni Berfikir Yang Hilang' tulisan Ustaz Hasrizal Abu Jamil.
"Saya memang suka membaca buku tetapi kalau di rumah sukar sedikit nak membaca sebab anak-anak ramai dan perlu beri perhatian kepada mereka.
"Buku 'Seni Berfikir Yang Hilang' ini memang saya bawa kemana-mana sahaja saya pergi kerana maklumat dan perkongsiannya sangat 'brilliant' kadang-kadang saya baca balik untuk ingatkan saya semua mengenai kandungannya.
"Kedua, saya bawa buku kawan baik saya Sonny Bill Williams (lagenda ragbi New Zealand), saya rancang nak habiskan baca buku ini semasa kejohanan olimpik," ujarnya.
29 Jul 24
224
Lebih 70,000 Meriahkan HPPNT
SETIU, 29 Julai - Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu (HPPNT) dan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur (HLSPT) 2024 mendapat sambutan yang luar biasa dengan kehadiran pengunjung lebih dari 70,000 dengan menghasilkan jumlah jualan luar jangkaan iaitu mencecah RM702.433.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, rata-rata orang ramai menilai penganjuran program kali ini sebagai yang paling berjaya.
Katanya, secara peribadi beliau meletakkan jumlah kehadiran adalah lebih daripada apa yang direkodkan.
"Kerana Dataran Pekan Jabi ialah sebuah kawasan terbuka di mana pengunjung boleh masuk dari segenap penjuru begitu juga dengan hasil jualan diyakini ia lebih tinggi.
"Itu tidak termasuk lagi impak secara umum, di mana kawasan sekitarnya turut merasa limpahan ekonomi hasil daripada ramai yang datang berkunjung melibatkan perniagaan rumah inap, hotel, kedai sate, stesen minyak, kedai runcit dan gerai-gerai tepi jalan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perasmian Penutup HPPNT & HLSPT, di Dataran Pekan Jabi, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut Dr Azman berkata pihaknya sangat bersyukur atas kejayaan program yang diadakan selama empat hari tiga malam itu.
"Apa yang kita rancang berjalan mengikut landasan yang betul dan insya-Allah pada tahun-tahun akan datang kita cuba perbaiki lagi beberapa kelemahan dan kekurangan yang ada untuk kita persembahkan apa yang terbaik untuk rakyat.
"Di sini adalah medan untuk berjumpa dengan semua pemain dari semua sektor yang berada di bawah pertanian, penternakan, perikanan dan juga asas tani untuk sama-sama berbincang dan berkongsi idea dalam memajukan lagi sektor ini," ujarnya.
29 Jul 24
516
Kerajaan Bina Lebih Banyak Fasiliti di Kompleks Sukan Gong Badak
KUALA NERUS, 28 Julai - Beberapa fasiliti di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak kini sedang dalam proses pembinaan dalam usaha kerajaan negeri memastikan pelbagai aktiviti dan kegiatan sihat dapat dilakukan oleh seluruh rakyat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, antara fasiliti yang sedang dibangunkan adalah tempat latihan angkat berat, memanah serta padang sintetik beserta lampu limpah
Katanya, tujuan menghidupkan Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu supaya lebih ramai rakyat negeri ini boleh berkunjung dan melakukan aktiviti riadah dan bersukan.
"KIta telah menjalinkan hubungan kerja sama dengan pihak kementerian (Kementerian Belia dan Sukan) dan sebahagian (peruntukan) itu adalah daripada pihak kementerian supaya kompleks sukan kita ini tidak statik dengan apa yang telah sedia ada.
"Jadi kita juga berharap apabila ada fasiliti-fasiliti baru ini ia mampu untuk membangunkan bakat atlet kita dengan lebih agresif pada hari mendatang.
"Namun ada juga tempat latihan yang kita tidak boleh buat di kompleks ini seperti pusat latihan layar jadi kita buat tepi pantai yang 'progress' pembinaanya saya rasa dah hampir siap, insya-Allah dari semasa ke semasa kita akan 'update' perkembangan pusat pembangunan yang saya maksudkan." ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Fit Is Sunnah 2024 Peringkat Negeri Terengganu, di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Urus Setia Belia, Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata 'Fit Is Sunnah' itu merupakan agenda yang terkandung di dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PINTAS) di samping mengajak rakyat ke arah mengamalkan gaya hidup sihat ia juga bertujuan memperkasakan Komplek Sukan itu untuk menjadi pusat sukan di peringkat negeri.
Sementara itu, Muhammad Irsyad berkata program seperti 'Fit Is Sunnah' itu merupakan mercu tanda agenda PINTAS.
"UBSNT sedang merangka banyak program dan aktiviti kecergasan yang akan kita laksanakan dalam rancangan merakyatkan sukan kepada seluruh masyarakat negeri Terengganu dengan konsep patuh syariah," ujarnya.
28 Jul 24
760
'Kita Harap Azizulhasni Mampu Hadiahkan Emas Sulung'- Hishamuddin
KUALA NERUS, 28 Julai - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berharap agar jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang berupaya menghadiahkan emas sulung buat negara di Sukan Olimpik Paris 2024.
Katanya, kejayaan atlet yang berasal dari Dungun Terengganu itu sudah tentu akan bermakna bagi mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa itu.
Kata beliau, selain Datuk Azizulhasni Awang seorang lagi pemain yang turut diharapkan beliau untuk menghadiahkan pingat buat negara ialah Nur Aisyah Muhammad Zubir yang merupakan atlet berasal dari Kemaman.
"Atlet (Terengganu) kita ke Sukan Olimpik ada dua orang ini yang semuanya merupakan atlet berbasikal dan kita harapkan kedua-duanya mampu untuk menyumbang pingat kepada Malaysia.
"Dato' Azizulhasni Awang kita harapkan beliau mampu memberikan emas sulung bagi pasukan negara kita, insya-Allah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program 'Fit Is Sunnah 2024' di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, semalam.
Untuk rekod, Dato' Azizulhasni akan membuat penampilan kelimanya di Olimpik Paris. dengan sebelum ini dia telah berjaya memenangi pingat gangsa di Olimpik London 2012 sebelum meraih perak di Olimpik Tokyo 2020.
Manakala, Nur Aisyah dalam usia 27 tahun melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara berbasikal lebuh raya wanita yang akan turun beraksi secara berseorangan mewakili Malaysia.
28 Jul 24
290
Motivasi Atlet Sukma Terengganu di Tahap Terbaik
KUALA NERUS, 28 Julai - Motivasi atlet Terengganu yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) berada pada tahap terbaik menjelang temasya sukan itu yang akan diadakan di Sarawak pada bulan hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia. Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berdasarkan laporan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) semua atlet sangat bersedia.
"Sebahagian besar telah pun melalui latihan termasuk berkunjung ke luar negara, ada yang telah melalui beberapa perlawanan dan persaingan dengan pelbagai pihak di mana sebahagian besar atlet telah mula berada di Kuching.
"Saya difahamkan ketika hari perlawanan (bola sepak) Terengganu FC menentang Selangor (Separuh Akhir Piala FA) atlet sukan layar telah pun bertolak ke sana.
"Jadi saya jangkakan dari semasa ke semasa akan bermulalah atlet-atlet kita akan berada di Sarawak mengikut jadual perlawanan masing-masing," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan program 'Fit Is Sunnah' 2024 Peringkat Negeri Terengganu, di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berharap agar tuah akan berpihak kepada atlet Terengganu bagi mencapai sasaran untuk muncul sebagai juara keseluruhan pada temasya sukan berprestij dalam negara itu.
"Kita harap kita akan jadi juara keseluruhan dengan semua atlet akan berusaha bagi mencapai pingat emas," ujarnya.
28 Jul 24
305