lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Pembayaran Royalti : "Pelik, Ajaib dan Tak Pernah Berlaku"
Pembayaran Royalti : "Pelik, Ajaib dan Tak Pernah Berlaku"
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Prosedur pembayaran royalti petroleum atau wang ehsan dari Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Terengganu menggunakan kaedah ‘itemised’ dan ‘case-by-case basis’ adalah sesuatu yang memelikkan. Berdasarkan rekod, hasil perundingan berkali-kali dengan kerajaan Persekutuan, setakat Julai 2024 kerajaan negeri berjaya mendapatkan kelulusan royalti berjumlah RM792.32 juta berbanding anggaran hak sebenar RM1.524 bilion. Namun, sehingga hari ini hanya RM425.17 juta telah direkodkan sebagai terimaan dalam akaun kerajaan negeri, sejumlah RM802.18 juta juga masih tidak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan bagi 2023. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi pembayaran yang dibuat, kerajaan negeri amat tidak bersetuju kerana kaedah pembayaran tersebut tidak membantu dari aspek kecekapan dan produktiviti. “Pendekatan ini bukan sahaja memelikkan, ajaib dan tidak pernah berlaku kerana yang berlaku adalah kontrak antara Kerajaan Negeri dengan pihak kontraktor yang menjalankan servis tetapi pembayarannya dibuat terus oleh pihak ketiga kepada kontraktor. “Keadaan ini dengan sendirinya telah mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri, menyusahkan kakitangan Kerajaan sama ada di negeri atau Pusat, bahkan turut mengaburkan semangat federalisme dan sistem demokrasi yang menjadi tunjang pemerintahan negara ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed dan  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Walau bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri terpaksa menghadap prosedur menyusahkan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pihak-pihak berkenaan yang menjalankan perkhidmatan dan kontraknya, menerima bayaran yang sepatutnya.  
30 Jul 24
9563
SUKMA : Atlet Judo Optimis Capai Target Enam Emas
SUKMA : Atlet Judo Optimis Capai Target Enam Emas
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Atlet sukan judo yang akan mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA) kini telah berada tahap terbaik dan optimis dapat mencapai sasaran enam emas. Ketua Jurulatihnya, Marjan Abdullah berkata, 22 atlet yang dipertaruhkan bagi mencapai pingat emas itu merupakan muka baru dan hanya seorang yang pernah mewakili SUKMA dalam edisi sebelum ini. Ujarnya, peserta paling muda berusia 15 tahun dan tertua berusia 22 tahun melibatkan atlet lelaki dan wanita yang akan beraksi menerusi lapan kategori pertandingan. "Persediaan atlet kita sekarang ini 95 peratus, semuanya telah bersedia untuk ke Sarawak dan bebas daripada kecederaan. "Insya-Allah kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk  mencapai misi sekurang-kurangnya merangkul enam pingat emas, sebelum ini kita dapat lima pingat emas. "Kali ini kita akan cuba leburkan emas baru melalui muka-muka baru yang kita tampilkan dan kesemua mereka telah melalui latihan mencukupi," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). semasa menghadiri Majlis Inspirasi SUKMA 2024: Bapa Angkat dan Persatuan Judo Negeri Terengganu, di Dewan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, di sini, semalam. Dalam pada itu katanya, pihaknya juga turut mengawal pemakanan bagi memastikan kesemua atlet cergas dan mampu memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan itu berlangsung. "Kita mengharapkan agar emas mampu dicapai sebanyak-banyaknya melalui acara ini dan melepasi target yang kita sasarkan dengan semua atlet kini berada pada tahap mental yang terbaik bagi menghadapi SUKMA pada kali ini," ujarnya.  
30 Jul 24
161
Sultan Terengganu Berkenan Lihat Gelagat Pelajar di Pertandingan Akhir Piala YDSM
Sultan Terengganu Berkenan Lihat Gelagat Pelajar di Pertandingan Akhir Piala YDSM
KUALA NERUS, 29 Julai – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyaksikan pertandingan akhir Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato’ Razali Ismail hari ini. Keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, serta Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, bersama anakanda-anakanda Baginda yang lain. Pertandingan akhir Piala YDSM menyaksikan penyertaan lapan sekolah, masing-masing mewakili satu daerah di Terengganu yang bersaing untuk merebut gelaran juara. Sultan Mizan turut berkenan meninjau semua pertandingan yang berlangsung hari ini, termasuk Pertandingan Chorasikal Sketch, Pertandingan Chain Story Telling dan Pertandingan Public Talk, My Terengganu Proposal Quest, serta Smart English. Kesemua pertandingan tersebut masing-masing bertempat di Dewan Besar Al-Farabi, Dewan Besar Ungku Omar, dan beberapa bilik di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail. Keberangkatan Baginda ke acara tersebut mencerminkan komitmen dan sokongan terhadap usaha memupuk bakat dan kreativiti dalam kalangan pelajar. Para pelajar, guru serta ibu bapa yang hadir menunjukkan perasaan teruja dengan kehadiran baginda ke acara tersebut. Sultan Mizan, Sultanah dan anakanda-anakanda Baginda berkenan meluangkan masa untuk bersalaman dengan hadirin serta pelajar yang mengambil bahagian dan memberi sokongan dalam acara berkenaan.            
29 Jul 24
463
Hampir 40 Tahun FELDA Kaut Untung, Hak Rakyat Terengganu Dianggap 'Enteng'
Hampir 40 Tahun FELDA Kaut Untung, Hak Rakyat Terengganu Dianggap 'Enteng'
KUALA TERENGGANU, 28 Julai- Hampir 40 tahun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengusahakan tanah seluas 13,686 hektar milik kerajaan negeri Terengganu tanpa memberikan hak yang sepatutnya kepada kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertaniah, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, tuntutan negeri terhadap hasil keuntungan yang dituai selama 39 tahun itu dipandang ringan serta ruang perbincangan yang dibuat sebelum ini tidak disambut sebaiknya. "Dengan pendekatan yang lebih tegas, FELDA akhirnya datang ke meja rundingan pada 21/3/2024 dan 11/6/2024. Fokus utama rundingan ialah berikan hak rakyat Terengganu dalam bentuk bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan.  "Bayaran FELDA diterima pada tahun 2010 sebanyak RM55 juta, tetapi ia lebih kepada bayaran sebelah pihak tanpa ada apa-apa penyelesaian. Pihak FELDA  berbincang dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan membuat pembayaran walaupun kita tidak pernah bersetuju dengan kadar yang dibayar itu. "Bayaran itu dimasukkan ke dalam tabung amanah, jadi duit itu ada tetapi kita belum terima sehingga ada penyelesaian muktamad tentang kadar dan angka-angka yang kita boleh persetujui bersama," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut Dr Azman, apa yang menjadi pertikaian utama ialah kadar perkongsian keuntungan yang dituntut kerajaan negeri. "Kerajaan negeri berpegang pada perbincangan awal sebelum ini iaitu sebanyak 30 peratus daripada keuntungan kasar (gross profit), manakala FELDA menawarkan sebanyak 50 peratus pendapatan bersih (net profit), tetapi kita tidak setuju. "Sebagai contohnya, beberapa tahun kebelakangan ini FELDA kata mereka rugi, jadi saja (sia-sia) lah negeri kerana kita tidak akan dapat apa-apa. "Sebab itu, kita tekankan kepada 'gross profit' kerana tidak adil bagi kita yang kena tanggung segala kos, urusan operasi, akhirnya mereka isytiharkan kerugian dan negeri tidak mendapat apa-apa. "FELDA kemudian mencadangkan 15 peratus keuntungan kasar, tetapi belum lagi kita persetujui dan kita mahu runding lagi," ujarnya. Beliau menambah, urusan selanjutnya sedang diteliti di peringkat 'working comitte' untuk penelitian lanjut beberapa perkara teknikal antaranya keluasan sebenar tanah kerana sebahagian tanah yang diberikan kepada Felda telah diambil untuk projek LPT2 dan ECRL. "Kerajaan negeri tidaklah tegar sehingga tiada perbincangan langsung, kita ada ruang-ruang perbincangan dan di peringkat 'working comitee' akan memperincikan perkara ini," jelasnya.
29 Jul 24
229
Tajaan Syarikat Arak Bertentangan Dasar Pendidikan Negara , Prinsip Islam - Mufti
Tajaan Syarikat Arak Bertentangan Dasar Pendidikan Negara , Prinsip Islam - Mufti
KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron menyatakan bahawa penajaan syarikat arak kepada sekolah, termasuk sekolah Cina yang mempunyai pelajar Melayu adalah bertentangan dengan dasar pendidikan negara dan perlu disiasat dengan teliti. Mohamad Sabri Haron berkata, Perlembagaan Malaysia secara asasnya berteraskan Islam dan semua pihak mesti peka terhadap hal tersebut. Beliau menegaskan bahawa sistem pendidikan adalah elemen penting dalam masyarakat dan nilai-nilai tinggi dalam sistem tersebut mesti dipelihara dan masyarakat perlu peka. “Isu arak merupakan perkara asas yang perlu diambil perhatian, khususnya bila dikaitkan dengan pendidikan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Tambahnya, syarikat yang terlibat dalam perniagaan arak yang menaja institusi pendidikan secara terbuka, walaupun kepada sekolah Cina, adalah bertentangan dengan roh dasar pendidikan negara itu sendiri. Mufti Terengganu juga mencadangkan agar isu ini disiasat dengan terperinci oleh pihak Kementerian Pendidikan dan garis panduan yang sedia ada dikemaskini jika perlu. “Ia bertujuan bagi memastikan kesesuaian penajaan dengan nilai dan prinsip pendidikan negara,” jelasnya. Untuk rekod, baru-baru ini sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menerima sumbangan daripada sebuah syarikat arak yang merupakan salah satu penyumbang semasa Konsert Amal Pendidikan. Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu yang juga Ketua Wanita AMANAH, beliau dikecam memegang replika cek berlogo syarikat arak.
29 Jul 24
795
Kolam La Hot Spring Akan Diasingkan Jantina Tahun Depan
Kolam La Hot Spring Akan Diasingkan Jantina Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Pengasingan pengunjung wanita dan lelaki di kolam air panas semulajadi La Hot Spring di Hulu Besut akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada awal tahun depan dengan peruntukan antara RM30,000 hingga RM50,000. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, perkara itu sedang  dipertimbangkan secara serius agar pengasingan kolam lelaki dan wanita di La Hot Spring ini dapat dilakukan segera. "Sudah tentulah, kita ambil kira kemudahan infrastruktur dan prasarana sedia ada demi mewujudkan suasana yang lebih selesa untuk pengunjung ke kolam air panas semula jadi tersebut. "Kerajaan negeri melalui Majlis Daerah Besut akan mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha dan penduduk setempat untuk mendapatkan cadangan terbaik untuk melaksanakan usaha tersebut," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Husaimi Hussin (Hulu Besut) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan lokasi tersebut sebagai destinasi pelancongan terkenal di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini. Katanya lagi, cadangan untuk melaksanakan pengasingan kolam air panas lelaki dan wanita akan turut mengambil kira faktor infra sedia ada di kawasan La Hot Spring tersebut.  "Ketika ini, kolam air panas itu menerima limpahan pengunjung setiap hari kerana khasiatnya yang terbukti untuk kesihatan manusia. "Namun situasi itu tidak 'manis' kerana percampuran lelaki dan wanita di kawasan kolam air panas yang agak sempit sebab itu kita nak asingkannya," ujar beliau. Kolam Air Panas yang berada di Kampung La atau lebih dikenali sebagai La Hot Spring itu terletak kira-kira 125 kilometer (km) dari Kuala Terengganu. 
29 Jul 24
660
Kilang Makanan Ternakan Manfaat 70 Peratus Bahan Mentah Tempatan
Kilang Makanan Ternakan Manfaat 70 Peratus Bahan Mentah Tempatan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Perancangan kerajaan negeri untuk mempunyai kilang makanan sendiri antara salah satu usaha untuk menurunkan harga makanan ternakan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, hasil penyelidikan daripada pakar-pakar di Institut Pengajian Tinggi mendapati langkah tersebut dapat manfaatkan sekitar 70 peratus bahan mentah tempatan dan meletakkan kebergantungan hanya kira-kira 30 peratus pada bahan mentah yang diimport. “Antara yang kita gariskan dalam Pelan strategik Pertanian Terengganu adalah untuk mempunyai kilang makanan sendiri. “Apabila diperkasakan lagi hasrat tersebut bersama negeri SG4, kita telah adakan beberapa perancangan bersama untuk merealisasikan kilang makanan ternakan dengan memanfaatkan sumber bahan mentah tempatan,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh yang ingin tahu apakah usaha kerajaan negeri untuk mengatasi kenaikan harga makanan ikan (akuakultur). Dr Azman berkata, beliau mengakui harga input makanan ternakan bukan hanya ternakan akuakultur malahan makanan unggas dan ternakan dominan turut berhadapan dengan isu kenaikan harga. “Antara sebabnya kerana kita tidak ada kilang makanan ikan di Terengganu.  “Dan kilang-kilang makanan ikan yang ada di negeri lain bergantung kepada sumber bahan mentah yang diimport menyebabkan naik turun harga,” ujarnya. Terdahulu, Dr Mamad turut mengemukan soalan lisan mengenai berapakah bilangan pengusaha sangkar ikan di Hulu Terengganu, khususnya dalam DUN Kuala Berang dan berapakan nilai sumbangan yang telah dihulurkan kepada mereka pada tahun 2023 dan 2024. Dr Azman memaklumkan, terdapat 170 pengusaha di Hulu Terengganu  dan 133 di Kuala Berang dengan spesis utama yang diternak mereka adalah ikan baung, patin dan tilapia. “Sebanyak RM1,288,654 nilai bantuan telah disalurkan kepada pengusaha di Hulu Terengganu dengan pecahan RM637, 813 (2023) dan RM650,841 (2024),” ujarnya. Manakala katanya, skop bantuan yang disalurkan seperti bot, tangki fiber, pukat sangkar, water jet, tong drum, sangkar, induk ikan kelah, makanan ikan serta kerja-kerja berkaitan pemulihan bekalan air, bekalan lektrik, pembinaan jeti terapung dan baik pulih sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir. “Kerajaan Negeri sedang melakukan penyelarasan antara Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan Jabatan Perhutanan Negeri bagi mewartakan kira-kira 3000 hektar kawasan daratan dan tasik di Sungai Como Tasik Kenyir yang sekarang ini berada dalam warta Hutan Simpan Kekal (HSK) untuk diwartakan sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA),” ujarnya.  
29 Jul 24
505
Kerajaan Negeri Sumbang RM8,500 Suntik Semangat Atlet Judo
Kerajaan Negeri Sumbang RM8,500 Suntik Semangat Atlet Judo
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah memberikan sumbangan sebanyak RM8,500 sebagai suntikan semangat buat para atlet judo yang mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA). Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, dengan sedikit suntikan permulaan itu ia akan menaikkan semangat serta moral para atlet sukan berkenaan untuk beraksi cemerlang pada kejohanan yang akan berlangsung di Mukah, Sarawak itu. Katanya sebelum kesemua atlet berangkat ke negeri Kenyalang itu hari telah diadakan jamuan selain menyerahkan sumbangan wang dan selepas ini akan ada insentif lain yang akan diberikan apabila berjaya merangkul pingat nanti. "Jadi tahun ini kita target enam emas akan berjaya diperolehi, kalau lebih itu sudah dikira sebagai bonus namun tidak mustahil untuk mencapai banyak pingat dalam acara ini kerana edisi sebelum ini telah berjaya dibuktikan dengan menjadi juara keseluruhan. "Kerana itu tahun ini kita juga target untuk menjadi juara secara keseluruhan termasuk dalam sukan-sukan yang lain,"ujarnya yang juga merupakan bapa angkat kepada sukan terbabit. Beliau  berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Majlis Inspirasi SUKMA 2024 : Bapa Angkat dan Persatuan Judo Terengganu, di Dewan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), di sini, semalam. Dalam pada itu beliau menitipkan pesanan kepada para atlet agar berjuang bersungguh-sungguh bagi mengharumkan nama Terengganu di temasya sukan yang berprestij dalam negara itu. "Saya yakin mereka boleh buat yang terbaik, saya juga selalu pergi ke tempat mereka mengadakan latihan dan mereka sangat berdisiplin, melalui disiplin yang tinggi itulah yang akan menjadi rahsia kejayaan mereka di SUKMA nanti," katanya.  
29 Jul 24
72
Sistem Telekomunikasi di Terengganu Capai 97.54 Peratus
Sistem Telekomunikasi di Terengganu Capai 97.54 Peratus
KUALA TERENGGANU, 29 Julai- Sistem telekomunikasi di Terengganu berada pada tahap memuaskan dengan purata peratusan capaian sebanyak 97.54 peratus. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, peratusan capaian di negeri itu meningkat lebih tiga peratus berbanding 93.68 peratus pada tahun lalu. "Saya perincikan status capaian di setiap daerah iaitu Besut sebanyak 96.88 peratus, Setiu (96.40 peratus) dan Hulu Terengganu sebanyak 96.16 peratus. "Kuala Nerus mencatat capaian 99.12 peratus dan Kuala Terengganu berada pada capaian 100 peratus," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Tambahnya, bagi daerah Marang kadar capaian sebanyak 98.17 peratus, Dungun 96.01 peratus dan Kemaman pada kadar 97.24 peratus.  
29 Jul 24
324
Miskin Tegar di Terengganu Turun Kepada 1,193 Keluarga
Miskin Tegar di Terengganu Turun Kepada 1,193 Keluarga
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kadar kemiskinan tegar di Terengganu mencatatkan penurunan kepada 1,193 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan dalam sistem e-Kasih setakat 1 Julai lepas, berbanding 6,632 pada tahun lepas. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata penurunan angka berkenaan merupakan hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui pelbagai agensi. “Besut mencatatkan jumlah miskin tegar tertinggi iaitu seramai 229 KIR diikuti Kuala Terengganu (212), Kemaman (164), Kuala Nerus (132), Setiu (123), Dungun (115), Hulu Terengganu (111) dan Marang (107). “Senarai Miskin Tegar yang dikunci pada 31 Januari 2023 sebanyak 6,632 telah berjaya disifarkan dari status miskin tegar melalui penyaluran bantuan dengan kerjasama dari agensi pemberi bantuan,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Selain itu, Maliaman berkata tindakan pengemaskinian maklumat pendapatan juga memainkan peranan penting dalam kejayaan itu.
29 Jul 24
472