lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Malaysia Baharu Perlu Dibina Semula
Malaysia Baharu Perlu Dibina Semula
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Perikatan Nasional (PN) melihat bahawa Malaysia Baharu perlu dibina demi menjamin kehidupan rakyat yang lebih sejahtera di masa akan datang. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sentiasa didatangi pelbagai pihak yang menyatakan ingin bersama dengan komponen PN dan PAS sendiri yang akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian serta kepentingan bersama bagi membangunkan negara. "Kami melihat masa depan negara yang lebih baik 'a new Malaysia' harus kita bina dengan (memperkasakan) muafakat politik sedia ada antara PAS bersama dengan rakan-rakan dalam PN. "Ia perlu kita kembangkan dari semasa ke semasa (dan) ini akan menjadi satu tawaran yang baik untuk Malaysia baru, insya-Allah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa sidang akhbarnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini. Mengulas mengenai kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan pihak pembangkang iaitu PN datang untuk berunding dengannya serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Samsuri menyatakan pihaknya tidak berminat untuk melayan kenyataan yang tidak berasas itu. "Apa yang dia sebut dia punya pasal, saya tidak campur apa yang disebut, (selama ini) berjumpa di parlimen, selisih dalam mesyuarat itu pertemuan dengan peranan masing-masing sama ada sebagai  Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ataupun kerajaan. "Itu bukan diklasifikasikan sebagai pertemuan perbincangan politik, itu akan kalau bertemu dengan Ahli Parlimen UMNO sekalipun itu adalah pertemuan dalam konteks mengurus tadbir sesuai dengan perananan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN di negeri masing-masing," ujarnya. Menjawab mengenai akan berlaku atau tidak kerjasama dengan UMNO pada masa akan datang, katanya perkara pada masa hadapan sukar untuk diramal. "Jadi saya tidak akan komen tentang perkara akan datang, setakat ini tiada apa-apa perancangan, tidak ada untuk mengadakan pertemuan dan seumpama dengannya," jelasnya,
31 Jul 24
276
Royalti 'Dikerat', Kaedah Bayaran Menyusahkan
Royalti 'Dikerat', Kaedah Bayaran Menyusahkan
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sudahlah bayaran tidak diterima sebagaimana perjanjian, royalti petroleum milik rakyat Terengganu yang diterima pula sangat sulit dan membebankan kerajaan serta penjawat awam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mendedahkan Terengganu hanya menerima RM425.17 juta daripada jumlah keseluruhan royalti petroleum yang sepatutnya diterima sebanyak RM1.524 bilion pada 2024. Katanya, bagi jumlah yang diterima pula, pembayaran dilakukan secara ‘runcit-runcit’ hingga memaksa kerajaan negeri 'menghadap' pihak persekutuan setiap bulan bagi meluluskan item diperlukan. "Kemudiannya kelulusannya pula ditentukan oleh pihak kerajaan persekutuan (walaupun dana itu hak milik Terengganu dan kerajaan Terengganu adalah kerajaan yang sah). "Kerajaan negeri Terengganu terpaksa berhadapan dengan prosedur yang rumit dan menyusahkan untuk mendapatkan bayaran royalti milik sendiri yang telah ditetapkan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Dr Khalil berkata situasi tersebut bukan sahaja menjejaskan pentadbiran negeri tetapi juga membebankan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan. Beliau juga menyatakan bahawa pendekatan itu menunjukkan kurangnya kepercayaan daripada pihak kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri, walaupun negeri-negeri adalah asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia. “Ini adalah satu bentuk kegagalan dalam semangat federalisme dan amalan demokrasi di bawah Kerajaan Madani. Kami berharap kerajaan persekutuan dapat memperbaiki sistem pembayaran royalti ini agar lebih adil dan berkesan. “Pendedahan ini menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Terengganu dan pihak-pihak berkepentingan yang menyifatkan langkah ini sebagai satu pengabaian terhadap hak negeri dalam menerima hasil sumber asli mereka,” ujarnya.
31 Jul 24
265
Terengganu 'Berpeluh' Kutip Tiga Mata
Terengganu 'Berpeluh' Kutip Tiga Mata
KUALA NERUS, 30 Julai - Terengganu FC kembali melakar kemenangan pada saingan Liga Super Malaysia 2024/2025 setelah menang tipis 3-2 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi dramatik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. Pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner melakukan perubahan dengan merehatkan tonggak tengah, Nurillo Tuskhtasinov dan memberi kepercayaan kepada Akram Mahinan mengemudi 'jantung' pasukan.  Terengganu FC bermula agresif seawal minit pertama permainan. Duo tengah, Marin Pilj (minit ke-9) dan Manuel Ott (minit ke-11) masing-masing cuba melakukan percubaan dari luar kotak penalti untuk mencari jaringan awal. Namun, pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan gol pertama pada minit ke-15 menerusi Miguel Martinez yang menanduk bola hantaran lintang pemain sayap kelahiran Jepun, Takumi Sasaki menerjah jaring. Ketinggalan 1-0, Sang Penyu cuba bangkit dengan melakukan lebih banyak percubaan ke gawang lawan. Rembatan Ott sekali lagi tepat ke dakapan penjaga gol skuad Jang, Muhammad Aqil Abdul Razak pada minit ke-20. Enam minit kemudian, Marin yang melihat ruang terbuka melakukan rembatan deras tetapi ditepis keluar Aqil. Memasuki minit terakhir permainan, Azam Azmi Murad dijatuhkan di kawasan hadapan kotak penalti, membuka peluang tuan rumah menyamakan kedudukan. Menepati jangkaan, Safawi Rasid menyempurnakan sepakan percuma untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 1-1. Bersambung babak kedua, Terengganu FC menggandakan asakan dengan kemasukan Nurillo dan penyerang, Chijioke Chukwu. Tidak menunggu lama, Chukwu meletakkan Terengganu FC di depan apabila menanduk masuk gol kedua pasukan hasil hantaran Akhyar Rashid pada minit ke-47. Negeri Sembilan FC kembali bangkit mengikat kedudukan pada minit ke-53. Jacque Faye yang menerima bola dalam kotak penalti melakukan 'turning' dan melepaskan rembatan yang menewaskan Syed Nasrulhaq dengan gol kedua Negeri Sembilan FC. Pada minit ke-58, perlawanan semakin rancak setelah Akhyar Rashid menyudahkan lorongan Marin untuk jaringan ketiga Sang Penyu. Suasana di stadium semakin hangat dengan kedua-dua pasukan saling mengatur serangan bagi mencetak lebih banyak jaringan. Bagaimanapun, kedudukan 3-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, menyaksikan Terengganu FC mengutip tiga mata berharga membolehkan pasukan itu mendaki ke tangga ketiga Liga Super Malaysia dengan 11 mata. Selepas ini, skuad kendalian Steinbruckner akan berkunjung ke Petaling Jaya untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA Malaysia.      
30 Jul 24
458
Terengganu Tumpu Industri Teknologi Tinggi
Terengganu Tumpu Industri Teknologi Tinggi
KUALA TERENGGANU, 30 Julai- Kerajaan negeri telah mengatur beberapa strategi dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri Industri Berteknologi Tinggi selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, antaranya dengan memberi tumpuan kepada industri berasaskan teknologi yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi. “Terengganu juga akan mengutamakan pembangunan mapan, mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pertimbangan alam sekitar dan sosial. “Selain itu, kerajaan negeri akan membangunkan modal insan dengan melabur dalam program pendidikan dan latihan untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk industri teknologi tinggi,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, semalam. Mengulas lanjut katanya, Terengganu akan mempelbagaikan ekonominya dengan melabur dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan. Katanya, kerajaan negeri sedang menggubal satu dasar baharu iaitu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030. “Dasar ini selari dengan perkembangan revolusi industri 4.0 yang memberi penekanan kepada Internet of Thing (IOT) sebagai iltizam Negeri Terengganu membentuk pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui pelaburan perindustrian dalam pelbagai sektor perindustrian selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030),” ujarnya.  
30 Jul 24
969
Hasil Adunan Pelaksanaan Syariah, Ketelusan Terengganu Diiktiraf
Hasil Adunan Pelaksanaan Syariah, Ketelusan Terengganu Diiktiraf
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Kejayaan Terengganu mengekalkan prestasi cemerlang sebagai negeri terbaik dalam ketelusan belanjawan atau perbelanjaan sesebuah kerajaan menurut kajian badan bebas, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) merupakan salah satu hasil pemerkasaan syariah. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan, pengiktirafan itu memperlihatkan Terengganu benar-benar melaksanakan apa yang disarankan syariah Islam. "Sebagaimana sedia maklum, negeri kita dari segi asasnya sangat teguh dengan dasar dan prinsip Islam, maka kita comelkan lagi apa yang telah dilaksanakan pada penggal lepas. "Apa yang dilaksanakan pada masa lepas terlalu agresif bagi memastikan pelaksanaan syariah di negeri ini berjalan dengan baik dan tersusun. Jadi, pada penggal ini kita memperkenalkan slogan dinamakan Indahnya Hidup Bersyariat. "Kita telah mengadakan banyak program melalui pelbagai jabatan dan agensi samsada dalam bentuk pelaksanaan syariah dalam ruang dan bidang kuasa yang kita ada dan kita juga mengadakan program kesedaran kepada rakyat  "Kita mahu mendidik rakyat bahawa pelaksanaan syariah ini bukan semata-mata undang-undang jenayah syariah, sebaliknya satu konsep yang sangat luas merangkumi setiap sendi kehuidpan kita diantaranya good gorvenance," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi tentang pelaksanaan Indahnya Hidup Bersyariat dalam program-program di negeri Terengganu. Tambah Muhammad Khalil, kerajaan negeri juga akan terus meningkatkan program untuk menyedarkan rakyat, masyarakat dalam negeri yang telah diteruskan daripada penggal lepas seperti program Madinah Ramadan, Seminar Fiqh Korban dan Akikah dan lain-lain. "Dalam masa terdekat ini, kita juga akan menganjurkan satu karnival Indahnya Hidup Bersyariat di peringkat negeri dan turun ke semua DUN," ujarnya sebagai usaha memupuk lebih kefahaman kepada masyarakat.        
30 Jul 24
168
GLC Terengganu Terlibat Aktif Bangunkan Industri CCUS
GLC Terengganu Terlibat Aktif Bangunkan Industri CCUS
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Anak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Terengganu akan terlibat secara aktif dalam perbincangan membangunkan hab Industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dengan Kerajaan Persekutuan melalui PETRONAS. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia sebagai langkah permulaan untuk membangunkan CCUS dengan memastikan kepentingan ekonomi dapat dimanfaatkan oleh kerajaan negeri. "Rakyat tidak akan 'participantas directly' di dalam isu CCUS ini, tetapi apabila hasil kerajaan negeri bertambah melalui GLC akhirnya ia akan ditumpahkan kepada rakyat juga dalam pelbagai program sosial, program ekonomi dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada rakyat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada sidang akhbarnya, selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Berkongsi perkembangan semasa, beliau menyatakan bahawa Kementerian telah memaklumkan akan menggubal undang-undang berkaitan CCUS sebelum berakhir tahun ini. "Sebab CCUS ini merupakan perkara baru dan ia memerlukan rangka polisi dan peraturan-peraturan dalam bentuk undang-undang untuk dilaksanakan kemudian baru ia boleh dilaksanakan dengan begitu kemas. "Ia juga sebagai panduan kepada pelabur-pelabur di peringkat antarabangsa ataupun syarikat-syarikat luar negara yang ingin menggunakan khidmat CCUS supaya akhirnya kepentingan negara dan negeri dapat dijaga," ujarnya. Sebelum ini, Kementerian Ekonomi berkata, projek itu dijangka menarik pelaburan mencecah RM20 bilion.
30 Jul 24
216
Terengganu Rekod 5.2 Juta Pelancong, Lepasi Sasaran
Terengganu Rekod 5.2 Juta Pelancong, Lepasi Sasaran
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Terengganu berjaya menarik kunjungan lebih 5.2 juta pelancong tempatan dan antarabangsa setakat separuh pertama tahun 2024, melebihi sasaran awal 4.5 juta pelancong. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata,  kejayaan tersebut diraih hasil pelbagai inisiatif yang dilakukan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Menurutnya, pelbagai indikator digunakan untuk merekodkan kehadiran pengunjung dan pelancong yang datang ke negeri ini. "Sebanyak 861,282 ribu jumlah kedatangan pelancong ke kawasan pelancongan utama bertiket dan 538,691 pengunjung tidak bertiket bagi setiap daerah sejak Januari hingga Jun 2024. "Anggaran jumlah pelancong yang menginap di hotel, resort dan lain-lain  sehingga Jun merekodkan 318,067 ribu dan jumlah ini tidak termasuk pelancong yang menginap di homestay yang tidak berdaftar. "Dan bagi kemasukan pelancong melalui pintu masuk utama ke negeri Terengganu iaitu Lebuhraya Pantai Timur 2, Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Lapangan Terbang Pulau Redang merekodkan kehadiran pelancong lebih 5 juta orang," katanya kepada pemberita. Menurut Razali, pihaknya juga membuat anggaran jumlah berdasarkan pertindihan data pelancong melalui LPT2 . "Daripada keseluruhan jumlah data pengguna LPT2 sebanyak 5,577,063 juta, kita menolak sebanyak 50 peratus dengan mengambil kira laluan kerja dalam Terengganu, laluan transit untuk ke Kelantan dan lain-lain,"ujarnya lagi. Tambah beliau, perancangan kerajaan negeri dalam acara-acara pelancongan dan  penglibatan Jabatan Pelancongan telah menunjukkan berjaya mempromosikan Terengganu. "Terengganu International Bike Week 2024 (TIBW), Pameran Layang-Layang Gergasi Antarabangsa Kuala Terengganu 2024, 'Sail Malaysia Passage To The East Yatch Rally 2024' dan Scooterian Mega Gathering 2.0 menjadi antara acara yang berjaya menarik ramai pelancong ke negeri ini,"katanya.  
30 Jul 24
386
Peminat Bola Sepak Terengganu Sambut Baik Pengasingan Tempat Duduk Di Stadium
Peminat Bola Sepak Terengganu Sambut Baik Pengasingan Tempat Duduk Di Stadium
KUALA NERUS, 30 Julai - Rata-rata peminat bola sepak di negeri ini menyambut baik penyediaan tempat duduk khas bagi penyokong wanita dan individu berkeluarga yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak. Terengganu FC akan mula melaksanakan pengasingan itu sempena perlawanan antara Terengganu FC dan Negeri Sembilan pada malam ini. Salah seorang penyokong Terengganu TC, Hanif Rashid melalui komen di 'Facebook' berkata, "Alhamdulillah, usaha yang sangat baik. Harap perlaksanaan juga dapat sambutan yang baik. Ayuh warga penyokong TFC, sambut usaha ni. Insya-Allah selesai hok (yang) ini, ada akan ada penyelesaian isu lain pulok (pula)" ujarnya. Hisyamuddin Usa pula berpendapat, "bestnya, harap semua kalu dapat ikut contoh yg baik, suatu hari Terengganu akan menjadi perintis kuasa besar bola sepak Asia," tulisnya. Sementara Ahmad Hanif Awang berkata, "alhamdulillah terbaik ustaz, guna pendekatan yang mudah, tak mampu buat semua jangan tinggal semua. Mana yang baik rakyat akan sokong demi kebaikan semua," katanya. Mohd Rozi Sakiman pula berpendapat, ia satu inisiatif yang baik daripada kerajaan negeri untuk pihak pengurusan mengambil langkah drastik terbaik dalam menyediakan pelaksaan tersebut. "Elakkan daripada percampuran antara lelaki dan perempuan serta mendidik masyarakat khususnya rakyat Negeri Terengganu dengan syariat Islam. "Semoga rakyat lebih memahami ikhtilat atau pergaulan antara lelaki dan perempuan," ujarnya. Terdahulu dalam satu kenyataan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihak Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan Terengganu FC telah memperhalusi perkara ini dan bersetuju untuk memberikan komitmen mereka. “Ia akan dimulakan sempena perlawanan Terengganu FC vs Negeri Sembilan FC pada malam ini. Berkebetulan juga, pihak TFC menganjurkan Matchday x Family Day. “Oleh kerana sifat stadium ini terbuka, pihak penonton wanita tidak dihalang untuk memasuki dari mana-mana pintu dan boleh berada di mana-mana kawasan tempat duduk. “Walaupun begitu, usaha memperkenalkan kawasan khas adalah satu bentuk inisiatif istimewa yang diperkenalkan buat kaum wanita dan keluarga demi keselesaan dan keamanan,” katanya melalui satu hantaran di laman rasmi beliau. Jelasnya, perkara berkenaan timbul dan disuarakan penyokong sewaktu perlawanan bola sepak antara Terengganu FC vs Selangor FC sempena Separuh Akhir Piala FA, antara yang berbangkit adalah tentang percampuran penonton antara lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu, beliau berharap usaha Kerajaan Negeri itu dapat menarik lebih ramai sokongan daripada kaum wanita dan keluarga dalam usaha menyemarakkan lagi  tuntutan beragama dan bersyariah dalam segala aspek kehidupan. “Pihak Kerajaan Negeri berharap agar usaha ini akan meminimakan percampuran lelaki dan perempuan sewaktu menonton perlawanan bola sepak. “Kehadiran semua pihak sentiasa dialu-alukan dalam merancakkan sokongan buat pasukan Terengganu FC,” katanya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Ngeri Dun Seberang Takir, Khazan Che Mat berharap peminat faham dan dapat mematuhi garis panduan yang akan dilakukan. "Apa pun perbuatan kita tidak dapat lari dengan perintah agama walaupun dalam bersukan," katanya
30 Jul 24
381
Pengasingan Tempat Duduk Dalam Stadium Beri Nilai Positif
Pengasingan Tempat Duduk Dalam Stadium Beri Nilai Positif
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Orang ramai dinasihatkan melihat pengasingan tempat duduk khas kepada penyokong wanita di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang  bermula malam ini dari segi positifnya. Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata perkara itu bukanlah diwajibkan sebaliknya ia hanya satu pilihan. "Itulah masalah kita sekarang ni secara umumnya bila buat satu inisiatif yang baru hanya tengok negatif dan bukannya positif. "Ini hanya pilihan, bukan bermaksud siapa yang nak masuk situ kita akan tahan (dan asing ikut jantina) ... bukan macam itu. "Sama macam di Kuala Lumpur pun, ada koc khas untuk wanita ..parking khas untuk wanita (di pasar raya), koc wanita bukan sehari dua ni, ia dah lama dan berjalan dengan baik," katanya. Ahmad Samsuri  berkata demikian ketika mengulas mengenai polemik negatif yang ditimbulkan sesetengah pihak setelah perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, semalam. Terdahulu, beliau merasmikan Pameran Muto & Kenangan di Muzium Negeri Terengganu dekat Losong di sini hari ini. Justeru itu katanya, setiap apa yang dilaksanakan juga perlu dinilai dari aspek positif dan bukan dari sudut negatif semata-mata. Tambahnya, ia adalah satu pilihan untuk keselesaan penonton sepanjang perlawanan bola sepak berlangsung dan bukannya paksaan.    
30 Jul 24
96
HoSZA, Hospital Pertama Pantai Timur Guna Digital Laparoscopic Suite
HoSZA, Hospital Pertama Pantai Timur Guna Digital Laparoscopic Suite
KUALA NERUS, 30 Julai - Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) melakar sejarahnya tersendiri apabila menjadi hospital pertama di Pantai Timur  menggunakan Digital Laparoscopic Suite bagi tujuan pembedahan laparoskopi (MIS). Pakar Bedah Kolorektal HoSZA, Dr. (Mr.) Ahmad Fardi Sulaiman, berkata dengan adanya kaedah ini ia dapat membantu pesakit secara amnya untuk pulih dengan cepat, kos efektif dan pesakit mengalami tahap kesakitan pasca pembedahan lebih rendah berbanding pembedahan bukaan besar (laparotomy). Katanya, selain untuk pembedahan, kaedah itu juga adalah bertujuan untuk latihan, pengajian dan pembelajaran di HoSZA. “Kaedah ini juga dapat membantu mengecilkan lukaan dan juga kebanyakkan pesakit dapat bangun atau berjalan dari katil dengan lebih cepat. “Dengan adanya Digital Laparoscopic Suite ini, pembedahan mampu dilakukan secara siaran langsung dan kita juga dapat pancarkan secara telecast di beberapa tempat lain antaranya Bilik Seminar, Auditorium bahkan juga platform siaran maya iaitu google meet dan webex. “Ini semestinya dapat membantu doctor dan pelajar terutamanya di UniSZA untuk melihat lebih dekat apa dan bagaimana pakar-pakar melalukan pembedahan tanpa mereka berada di dalam dewan pembedahan”, katanya selepas melakukan pembedahan kepada pesakit kanser usus, hari ini. Menurut Dr. Ahmad Fardi,  dari tahun 2018-2022, sebanyak 371 kes dalam pangkalan data Kanser Kolorektal Terengganu dan 146 pesakit (40 peratus) hadir ke hospital dengan keadaan yang memerlukan pembedahan kecemasan. “Kebanyakan pesakit datang dengan gejala usus tersumbat seramai 106 orang (72 peratus) dan pendarahan 21 orang (14 peratus). “Hasil pembentangan ini membawa hasil penyakit yang buruk, morbiditi yang lebih tinggi, beban kesihatan yang ketara dan peningkatan eksponen dalam kos kumulatif kepada Kerajaan bagi merawat kanser ini”, katanya. Menurut beliau, lebih memburukkan lagi, pada tahun 2023 sahaja, telah merekodkan seramai 218 kes baharu kanser kolorektal yang mendapatkan rawatan di semua hospital utama di Terengganu.
30 Jul 24
357