Artikel "Utama" Terkini
Yayasan Terengganu Rai Kakitangan Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos- Seramai 31 kakitangan Yayasan Terengganu yang menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun lalu menerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) masing-masing pada Majlis Apresiasi Dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Turut dirai enam orang pengetua cemerlang Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu serta 19 orang warga kerja yang telah dan akan bersara pada tahun ini.
Pengarahnya, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, penganjuran program itu merupakan medan pengiktirafan terhadap kecemerlangan warga kerja Yayasan Terengganu yang telah menunjukkan dedikasi, kesungguhan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan setiap tugasan diamanahkan.
“Semoga pengiktirafan ini akan menyuntik semangat untuk bekerja dengan lebih tekun dan cemerlang serta menjadi inspirasi kepada rakan sekerja yang lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Apresiasi Dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2024 yang telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sebagai penjawat awam, kakitangan Yayasan Terengganu merupakan tonggak utama kepada pembangunan negeri khususnya dalam bidang pendidikan.
“Pelbagai kejayaan serta kecemerlangan dilakar telah menjadikan ekspektasi rakyat dan pemegang taruh terhadap Yayasan Terengganu kini semakin tinggi.
“Keadaan ini memerlukan kita sentiasa peka terhadap tuntutan perubahan semasa, melaksanakan tugas dengan cekap serta membuat pembaharuan yang berterusan bagi memastikan sentiasa kekal relevan dan responsif,” ujarnya.
Justeru katanya, warga kerja Yayasan Terengganu diingatkan agar menjauhi elemen negatif yang boleh merosakkan nama baik serta kredibiliti organisasi yang telah dibina sekian lama sebaliknya terus berusaha mengharumkan nama sehingga ke mata dunia.
06 Aug 24
121
Beri Perkhidmatan Dengan Penuh Profesional dan Berintegriti
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos- Warga kerja Yayasan Terengganu diseru agar terus memberi perkhidmatan yang mengutamakan rakyat dengan penuh profesional, progresif dan berintegriti.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, beliau percaya seiring dengan transformasi teknologi maklumat di zaman Revolusi Industri 4.0, kepantasan serta kecekapan memainkan peranan sangat signifikan dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Bagaimanapun, dalam mengejar kecemerlangan bagi memastikan tahap perkhidmatan diberikan memenuhi ekspektasi rakyat, pengurusan emosi dan tekanan di tempat kerja tidak boleh dipandang remeh kerana ia berkait rapat dengan tahap produktiviti individu.
“Justeru, hadapi setiap tekanan dengan cara yang positif, rehat yang mencukupi, dapatkan sokongan mentor serta bahagikan masa dengan efektif agar keseimbangan pekerjaan dan kehidupan dapat dicapai,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2024 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut beliau, Yayasan Terengganu merupakan sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk membangunkan modal insan dengan menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran peringkat tinggi kepada rakyat Negeri Terengganu.
“Justeru, sistem penyampaian produktif serta berkualiti amat penting bagi memastikan rakyat negeri ini terus mendapat manfaat sebagaimana dihasratkan oleh pimpinan negeri,” ujarnya.
06 Aug 24
123
DAP Perlu Belajar Hormat Hak Majoriti Rakyat
KANGAR, 6 Ogos - Naib Presiden DAP, Teresa Kok diingatkan agar tidak hanya lantang bersuara mempertahankan hak minoriti bukan Islam sebaliknya perlu belajar menghormati sensitiviti masyarakat muslim di negeri terbabit dan juga Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, tidak wajar isu larangan penyanyi wanita mengadakan persembahan di kuil pada acara keagamaan ditimbulkan kerana garis panduan hiburan di Terengganu telah sedia difahami oleh semua pihak.
Tegasnya, pemimpin DAP itu perlu faham, apabila ia diadakan di tempat umum maka kerajaan negeri tiada kompromi bagi memastikan syariat terjaga.
"Bagi orang bukan Islam mereka boleh buat persembahan pada majlis dan upacara keagaaman mereka, sekiranya diadakan di tempat tertutup dan tidak mengganggu orang lain dan itu merupakan hak mereka.
"Namun, jika dibuat di kawasan terbuka dan majlis mereka didapati mengganggu masyarakat, kerajaan negeri tidak boleh berkompromi.
"Jika hendak dibuat, buat sesama mereka dalam majlis atau dewan tertutup maka tidak akan ada masalah," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Kerajaan Negeri Perlis, di sini, semalam.
Tegasnya lagi, dalam ketegasan Teresa Kok bercakap mengenai hak minoriti jangan dilupakan keutamaan untuk turut menjaga sensitivibmasyarakat Islam yang merupakan majoriti di negara dan Terengganu secara khususnya.
"Apabila bercakap tentang menjaga hak minoriti kita terlupa tentang hak majoriti.
"Sedangkan masyarakat di Terengganu hidup secara aman dan harmoni walaupun muslim 96 peratus, namun hak bukan Islam tiada masalah selama beratus dan berpuluh tahun, kami hidup harmoni saling bertoleransi.
"Masing-masing menghormati antara satu sama lain," ujarnya.
Justeru beliau memberikan peringatan tegas agar hak orang Islam perlu dijaga bagi memastikan keharmonian terus berkekalan.
"DAP selalu menimbulkan dakwaan bahawa kita tidak menjaga hak orang bukan Islam.
"Saya nak sebutkan di sini, hendak beri peringatan bahawa mereka juga perlu menjaga hak orang Islam.
"Kerana Islam adalah agama rasmi dan merupakan majoriti dalam negara," ujarnya.
06 Aug 24
292
Penjawat Awam Disaran Tingkatkan Produktiviti Selaras Kenaikan Gaji
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos – Penjawat awam di seluruh negara digesa meningkatkan produktiviti kerja selaras dengan kenaikan gaji bakal diumumkan oleh kerajaan pada 16 Ogos depan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata beliau percaya dengan kadar baharu gaji tidak perlu dijadikan isu kerana pihaknya memberi jaminan akan meningkatkan mutu serta terus memberi perkhidmatan baik kepada rakyat.
"Kenaikan gaji atau kadar baharu gaji itu diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 1 Mei lalu. Perinciannya akan diumumkan pada 16 Ogos ini, manakala pelaksanaan pula pada Disember depan. Maksudnya, kerajaan hendak melihat lebih awal sumbangan kita (penjawat awam) sebelum gaji dinaikkan.
"Kita lihat ramai netizen komen sebagai contoh mempersoalkan kenapa harus naik gaji, kenapa gaji dipertingkatkan dan perkhidmatan diberi belum ada penambahbaikan dan sebagainya. Jadi semua ini kita ambil maklum.
"Kami ingin menjelaskan pada rakyat. Jangan bimbang dengan kenaikan gaji penjawat awam. Kenaikan gaji ini tetap kami beri perkhidmatan baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam (Kesihatan Negeri Terengganu) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.
Mengulas lanjut, Adnan menyatakan tidak menolak bahawa kerajaan boleh membuat sesuatu keputusan lain berhubung kenaikan gaji itu sekiranya tiada sebarang peningkatan dari segi produktiviti dan prestasi dipamerkan penjawat awam.
Bagaimanapun, Adnan memberi jaminan bahawa penjawat awam sentiasa memberi komitmen tinggi dalam menjalankan tugas, dan ia dibuktikan melalui peranan penting dimainkan mereka sebagai barisan hadapan ketika pandemik COVID-19.
"Jadi jangan berasa ragu (naik gaji). Walaupun naik gaji tetapi perkhidmatan (diberikan) tetap kekal sebagaimana hari ini.
"Malah kami beri jaminan akan beri lagi perkhidmatan sebagaimana kami telah lakukan semasa Covid-19 di mana kami bertindak sebagai barisan hadapan dalam menjaga keselamatan, ketenteraman dan kedaulatan negara," jelas beliau.
06 Aug 24
274
Kunjung Balas, Perkukuh Hubungan Antara Terengganu dan Perlis
PERLIS, 6 Ogos - Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu mengadakan kunjung balas ke Perlis bagi menzahirkan kesungguhan untuk saling bekerjasama dalam memperkukuhkan negeri 'SG4'.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah , Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pertemuan yang amat bermakna itu adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara empat negeri dalam memperkasakan peranan melalui portfolio masing-masing.
Katanya, melalui perjumpaan tersebut, semua pihak boleh mengambil 'istifadah' dari negeri masing-masing yang berbeza 'waqie'.
"Alhamdulillah setelah kita melawat ke Kedah (pada sebelah pagi) sekarang ini kita berkunjung ke Perlis bagi mengadakan pertemuan dengan EXCO kerajaan negeri ini.
"Melalui perbincangan perkongsian dan bertukar-tukar pendapat banyak perkara yang boleh dibawa balik ke Terengganu dan ada perkara yang boleh mereka ambil dari negeri kita untuk dimanfaatkan dan dinilai dari segi kesesuaiannya untuk dilaksanakan
"Pertemuan ini sangat bermakna dan banyak perkongsian yang boleh dimanfaatkan bagi memajukan antara negeri-negeri 'SG4' ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman, semasa mengadakan lawatan ke negeri terbabit, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terenggany, Rizuan Hashim, Ketua Hakim Syarie Terengganu Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, YAA. Dato'Haji Wan Mohd Zakri Wan Mohd.
Hadir sama, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa dan Pengarah Akademi Didik Ulama' Amilin Terengganu (DUAT), Mohd Zulkhairi Ngah.
Delegasi Terengganu disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan, Industri Halal dan Penerangan Perlis, Muhammad Azmir Azizan.
05 Aug 24
156
92 Ribu Kediaman Terlibat Banci Pertanian Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos- Sebanyak 92,000 tempat kediaman dan 480 pertubuhan di negeri Terengganu yang telah dikenal pasti terlibat dalam aktiviti pertanian akan melalui proses Banci Pertanian 2024.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja memaklumkan, setakat ini sebanyak 10,000 tempat kediaman telah selesai dibanci dalam proses yang diajalankan bermula 7 Julai.
Jelasnya, data-data yang dikumpulkan penting untuk negara dan negeri bagi merancang penstrukturan di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
"Bancian ini merupakan kali keempat, yang kali terakhir dibuat oleh pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2005 iaitu 19 tahun lalu. Jadi, data-data daripada DOSM memang memerlukan penambahbaikan.
"Kali ini, bancian ini saya kira dibuat pada skala besar dan akan melibatkan isi rumah dan pertubuhan, perniagaan yang terlibat dengan aktiviti pertanian merangkumi empat sektor iaitu tanaman makanan dan komoditi, ternakan, perikanan dan akuakultur, perhutanan serta pembalakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Operasi Banci Pertanian Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri, Marlini Sahul Hamid.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan menghimpunkan jabatan dan agensi, pertubuhan yang secara langsung terlibat dalam aktiviti pertanian.
"Hari ini kita berjaya melaksanakan mesyuarat dan dianggarkan kita akan hanya ada dua mesyuarat iaitu satu hari ini dan selepas selesai bancian nanti, kita anggarkan ia akan berakhir 10 Oktober.
"Kita tidak tertumpu kepada sesuatu perkara, selagi mana ia termasuk dalam aktiviti pertanian yang disebutkan (empat sektor) semua kita akan tengok. Semua data-data akan kita ambil.
"Cuma, kencenderungan negeri kepada apa. Kalau macam Kedah, memang dia tertumpu lebih kepada padi, mungkin Terengganu sekarang dalam pertanian lebih kepada buah-buahan contohnya mungkin kita tertumpu kepada Melon Manis Terengganu," ujarnya.
Beliau menambah, Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 yang dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini turut membantu mendapatkan data bancian dengan lebih terperinci.
"Tentulah, seperti yang disebut tadi data yang dibuat ini adalah secara menyeluruh dan pada skala besar, apa yang dibuat oleh DOSM merupakan data bersepadu yang bukan sahaja diambil daripada lapangan, ia juga akan didapatkan daripada agensi dan dikumpulkan dalam satu pengkalan data yang kukuh dan boleh dipakai bukan sahaja untuk negeri, tetapi semua agensi dan individu yang terlibat kerana hasilnya boleh dicapai.
"Data-data yang dikumpulkan nanti kita boleh membuat perancangan rapi tentang haluan pada masa depan atau daripadanya mungkin ada tindakan perlu kita hebatkan lagi dan sebagainya," katanya.
05 Aug 24
904
Paya Bunga Hotel Terima Anugerah Best Family City Hotel
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Paya Bunga Hotel terus mencatat sejarah apabila dianugerahkan 'Best Family East Coast City Hotel' sempena Anugerah Industri Pelancongan (TIA) 2024, baru-baru ini.
Pengurus Besarnya, Abdul Hadi Alias berkata kejayaan itu menjadi bukti komitmen dan dedikasi Paya Bunga Hotel dalam menyediakan perkhidmatan serta hospitaliti yang terbaik kepada para tetamu khususnya keluarga.
"Ia sekali gus mencatat kejayaan manis buat mereka selepas mencipta beberapa kejayaan sebelum ini serta meraih banyak anugerah dan disifatkan sebagai pembuka laluan untuk kecemerlangan berterusan sepanjang tahun ini.
"Semoga anugerah ini dapat menyuntik semangat warga kerja PB Hotel untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan dan komitmen yang terbaik kepada setiap pelanggan yang berkunjung ke PB Hotel,”katanya dalam satu kenyataan.
Majlis anugerah yang julung kali diadakan ini dianjurkan oleh Malaysia International Tourism Development Association (MITDA) bertempat di Royale Chulan Kuala Lumpur.
Tourism Industry Award 2024 telah mempertandingkan sebanyak 80 kategori yang melibatkan pelbagai bidang seperti agen pelancongan, seni budaya, perkhidmatan makanan dan lain-lain.
Anugerah tersebut bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada para penggiat industri pelancongan dan hospitaliti yang telah menyumbang secara signifikan dalam bidang mereka.
05 Aug 24
582
UniSZA Terima Surat Pengesahan Akreditasi Dari Arab Saudi
KUALA NERUS, 5 Ogos -Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus mencipta sejarah apabila menerima surat pengesahan akreditasi daripada kerajaan Arab Saudi.
Naib Canselor UniSZA, Profesor Dato’ Dr. Fadzli Adam, berkata dengan pengiktirafan itu, UniSZA berharap dapat menarik lebih ramai pelajar dari Arab Saudi, serta memperkukuh kerjasama dengan institusi yang berada di Arab Saudi.
"Saya percaya bahawa kerjasama ini akan membuka peluang untuk pertukaran pengetahuan, penyelidikan bersama, dan program mobiliti pelajar yang dapat memperkaya pengalaman akademik dan budaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau dan Atase Kebudayaan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Dr. Fahad Mohammed Alsehmmeri menerima perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor UniSZA semalam.
Turut bersama-sama dalam majlis mengadap ialah Pro Canselor UniSZA, Yang Mulia Tunku Dato' Nooruddin Tunku Dato’ Seri Shahabuddin, dan Pendaftar UniSZA, YBrs. Encik Muzafar Mohd Din.
Tambahnya lagi, pengiktirafan tersebut adalah satu pencapaian penting kepada UniSZA yang menunjukkan komitmen dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan memenuhi standard antarabangsa.
“Kami sangat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Ia adalah bukti usaha keras dan dedikasi semua warga UniSZA.
"InsyaAllah, kami sentiasa berkomited untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang terbaik,"ujar beliau.
Dalam masa sama, delegasi Saudi Cultural Attache mengadakan perbincangan dan pembentangan bersama wakil Fakulti Bahasa dan Komunikasi dan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam di Bangunan Canselori sebelum meluangkan masa melawat Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA)
05 Aug 24
344
Kuil : 'Tiada Halangan Jika Patuh Syarat' - Terengganu Jawab DAP
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Kerajaan Negeri Terengganu tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada apa-apa pertubuhan yang mewakili pelbagai segmen sama ada kebudayaan, warisan dan agama untuk mengadakan program selagi mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, isu tular berkenaan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang mendakwa kerajaan negeri melarang penyanyi wanita membuat persembahan pada acara keagamaan dianjurkan sebuah kuil kurang tepat daripada fakta sebenar.
Menurutnya, persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang dimohon oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than membabitkan penonton lelaki dan wanita di khemah terbuka dalam kawasan terbuka di kawasan kuil tersebut.
“Serta melibatkan orang yang lalu lalang dapat melihat persembahan tersebut, maka persembahan seperti ini tidak dianggap sebagai khusus untuk bukan Islam dan pemakaian Garis Panduan umum untuk melarang artis wanita adalah terpakai.
“Pemakaian Garis Panduan Tersebut adalah secara menyeluruh tanpa diskriminasi terhadap mana-mana pihak dan ianya adalah Garis Panduan umum bagi aktiviti hiburan bagi maksud Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 yang diterima pakai di Negeri Terengganu,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Wan Sukairi berkata permohonan daripada Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than telah diterima oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada 20hb Jun 2024.
“Permohonan tersebut bertujuan untuk memohon permit bagi upacara keagamaan dan persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni sempena ulang tahun kuil Kwan Tee Than pada 29hb Julai hingga 2hb Ogos 2024.
“Majlis telah meluluskan permohonan yang dikemukakan tertakluk kepada syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than termasuk bagi persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni perlu mengikuti Garis Panduan Hiburan Negeri Terengganu (“Garis Panduan Tersebut”),” jelasnya.
Beliau berkata, berdasarkan kepada Garis Panduan tersebut persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang melibatkan artis wanita hanya dibenarkan kepada penonton wanita sahaja.
Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada persembahan artis lelaki dan artis wanita untuk penonton bukan Muslim.
05 Aug 24
3595
12 Peratus Belia Terengganu Tidak Sedar Hidap Darah Tinggi
KUALA NERUS, 4 Ogos – Sebanyak 12 peratus daripada 32,000 belia yang disaring menerusi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) pada tahun lepas di Terengganu didapati menghidap penyakit darah tinggi, namun malangnya ramai daripada mereka tidak menyedari keadaan tersebut.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong, berkata pihaknya telah menjalankan saringan terhadap 32,000 rakyat Terengganu pada tahun 2023 dan mendapati sebanyak 16 peratus daripada mereka mengalami penyakit darah tinggi yang tidak didiagnosis sebelumnya.
“Daripada jumlah tersebut, 12 peratus adalah golongan belia. Mereka hanya mengetahui mereka menghidap penyakit ini selepas menjalani saringan.
“Ramai kalangan masyarakat mengalami kematian di usia muda dan tiba-tiba jatuh pengsan. Pada ketika itu barulah dapat mengetahui bahawa mereka ini sebenarnya ada darah tinggi, pendarahan dan sebagainya," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media Program Agenda Nasional Malaysia Sihat di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini pada Sabtu.
Tambah Kasemani, pihaknya menggesa supaya rakyat di Terengganu tampil untuk jalani pemeriksaan kesihatan di hospital dan klinik kesihatan supaya dapat mengesan lebih awal tentang penyakit dihidapi.
Mengulas lanjut, beliau berkata golongan yang berisiko menghidap penyakit darah tinggi merupakan mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun.
“Mereka berusia 20 hingga 40 tahun ini selalu merasakan bahawa umur mereka masih muda dan beranggapan tidak perlu jalani pemeriksaan kesihatan.
“Ini sepatutnya tidak berlaku dan kita minta datanglah secara ramai buat saringan supaya dapat mengesan tentang penyakit mereka yang dihadapi sebelum terlambat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Kasemani memaklumkan dalam kalangan pesakit diabetes pula, sebanyak 97 peratus daripada 39,000 pesakit aktif mempunyai penyakit darah tinggi.
Katanya, hanya 37 peratus mempunyai tekanan darah yang terkawal dan seramai 12 peratus tidak mengetahui bahawa mereka menghidap darah tinggi dan paling ramai adalah melibatkan golongan belia.
04 Aug 24
295