lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

'Hospitalku Sekolahku' Bantu Pendidikan Kanak-Kanak Dalam Rawatan
'Hospitalku Sekolahku' Bantu Pendidikan Kanak-Kanak Dalam Rawatan
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – Program 'Hospitalku Sekolahku' yang diadakan di Sekolah Dalam Hospital (SDH), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu menyasarkan pendidikan berterusan untuk kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan.   Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Nor Hafizah Abdullah, berkata program tersebut telah berlangsung selama 11 tahun dan melibatkan antara 300 hingga 400 pelajar.  Menurutnya, program tersebut dianjurkan oleh FBK dengan kerjasama SDH, HSNZ, Kuala Terengganu, sebagai kesinambungan daripada program 'Sekolahku Hospitalku' yang mula dilaksanakan pada tahun 2013. “Saya berharap inisiatif ini akan terus menjadi platform penting untuk pendidikan kanak-kanak dalam rawatan, dengan harapan usaha ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun akan datang.  "Program ini memberikan impak positif kepada komuniti dan peserta, mengeratkan hubungan antara komuniti luar dengan mahasiswa FBK serta menyediakan input untuk memperkuat dan memperkasakan para peserta,” katanya kepada pemberita ketika pelancaran program berkenaan. Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Pengarah Hospital, Dr. Norazman Alias, yang menyatakan komitmen untuk memastikan kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital tidak terlepas daripada pembelajaran.  Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Nordin Abdul Rahman, wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Dekan FBK, para pensyarah yang menyertai program, dan fasilitator “Hospitalku Sekolahku”. Beliau juga menekankan bahawa program berkenaan bertujuan menerapkan konsep sukarelawan berdasarkan Teras 'Hero Komuniti' dalam Pelan Strategik UniSZA (PSU) 2023-2030, dengan harapan pelajar dapat berperanan aktif dalam pembangunan komuniti dan negara. “Bagi peserta, program ini memberi peluang kepada mahasiswa FBK untuk berbakti dan mengasah kemahiran mengajar serta insaniah melalui aktiviti-aktiviti seperti origami, lukisan, dan pelbagai aktiviti kreatif lain," ujarnya.  
08 Aug 24
352
Terengganu Beralih Kepada Sumber Boleh Diperbaharui
Terengganu Beralih Kepada Sumber Boleh Diperbaharui
KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Terengganu telah mengorak langkah untuk meneroka pendapatan baharu negeri dengan memberi tumpuan kepada industri tenaga boleh baharu berbanding sektor minyak dan gas pada tahun terdahulu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu telah mencapai beberapa kemajuan yang ketara dalam mempelbagaikan ekonomi negeri iaitu meningkatkan daya tahan. “Dari segi sejarah, kita begitu bergantung kepada industri minyak dan gas, kini negeri telah beralih ke arah tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen, inisiatif rumah hijau, industri bio-polimer-farmaseutikal, pertanian dan perladangan pintar, perikanan mampan, pelancongan dan lain-lain.  “Hasilnya, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara, secara purata, antara tahun 2018 hingga 2021, pergantungan kami kepada royalti petroleum sebenarnya telah berkurangan kepada 68.7 peratus berbanding 72.7 peratus bagi tahun 2014 hingga 2017.  “Iaitu penurunan sebanyak empat peratus. Namun, Ini hanyalah permulaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Resiliently Withstanding Geopolitical & Economic Uncertainties’ dalam majlis pelancaran badan pemikir, Penyelidikan Masa Depan di Putrajaya kelmarin. Untuk rekod, pada 10 Julai lalu ketika menghadiri majlis pelancaran loji janakuasa solar Cypark Solar Merchang di Marang, Ahmad Samsuri memaklumkan Kerajaan Terengganu menyasarkan penghasilan sumber tenaga solar sebanyak satu gigawatt (GW) dalam tempoh lima tahun akan datang. Katanya, sebagai permulaan projek solar terapung di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dengan kapasiti 400 Megawatt (MW) akan dibangunkan. "Fasa berikutnya adalah sebanyak 600 MW, yang akan membawa kapasiti tenaga solar di Terengganu kepada 1 GW dalam tempoh lima tahun akan datang. "Sasaran ini juga merangkumi, peningkatan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu, kepada sekurang-kurangnya 31 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti penjanaan tenaga negara menjelang tahun 2025," katanya. usaha itu juga dapat mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus berbanding KDNK pada tahun yang sama. Berdasarkan rekod, ketika ini jumlah penjanaan tenaga boleh diperbaharui semasa di Terengganu adalah sebanyak 1,012 Megawatt (MW) meliputi solar (333.213 MW), hidro (665 MW), mini hidro (8.7 MW) dan biogas (6 MW). Sebelum ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah agar Malaysia beralih daripada bahan api fosil yang tidak mampan dan merosakkan ke arah penggunaan sumber yang boleh diperbaharui yang jauh lebih besar. Tenaga boleh diperbaharui ditakrifkan sebagai tenaga yang dihasilkan daripada sumber semula jadi yang diisi semula pada kadar yang lebih cepat daripada yang digunakan. Cahaya matahari dan angin adalah dua contoh sumber semula jadi yang sentiasa boleh dijana kuasa semula.
07 Aug 24
658
Surau Pantai Batu Buruk Berwajah Baru
Surau Pantai Batu Buruk Berwajah Baru
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Surau di Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk yang telah siap diperbaiki, diserahkan oleh EPIC Berhad dan Konsortium Pelabuhan Kemaman yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhtar Suhaili kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, hari ini. Surau tersebut diperbaiki pada Jun lalu melibatkan kos keseluruhan bernilai RM120,000 yang ditanggung sepenuhnya oleh EPIC Berhad dan Konsortium Pelabuhan Kemaman dan dibuka bermula hari ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi yang menerima penyerahan berkenaan, merakamkan ucapan terima kasih kepada syarikat terlibat dan ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim yang turut bersama mengusahakan pelaksanaan projek itu. "Bagi kami daripada pusat khidmat DUN, kita menerima banyak aduan dan kita telah ambil tindakan sejak daripada penggal lepas lagi dan inilah kemuncaknya dan saya kira insya-Allah, ia akan berikan kemudahan kepada pengunjung-pengunjung. "Apa yang penting ialah kesinambungan, yang telah ada perbincangan untuk kita rancang kesinambungan surau ini supaya hidup dan terjaga. "Dari segi pengurusan insya-Allah akan diuruskan oleh pusat khidmat DUN Batu Buruk bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Batu Buruk," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan tersebut, hari ini. Menurut Dr Khalil, pihaknya akan melantik imam bertugas dalam tempoh terdekat supaya surau itu boleh diimarahkan khususnya pada waktu yang tertentu seperti waktu Asar, Maghrib dan Isyak. Tambahnya, melalui pemerhatian secara umum kawasan-kawasan pelancongan di negeri Terengganu memiliki kemudahan rumah ibadah sama ada surau dan masjid berdekatan yang memudahkan pelancongan menjaga ibadah sewaktu bercuti.      
07 Aug 24
1408
UMT Lancar Kempen Kibar Jalur Gemilang
UMT Lancar Kempen Kibar Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan program semarak kibar jalur gemilang di kampus universiti itu bersempena sambutan bulan kemerdekaan Malaysia ke-69. Acara tahunan sejak lebih sedekad itu merupakan manifestasi warga kampus dalam menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan serta sambutan Hari Malaysia. Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, pihaknya telah merangka pelbagai program sebagai pengisian menyambut bulan kebangsaan. “Alhamdulillah, kita telah berjaya mengadakan program kibar Jalur Gemilang dan menyempurnakan simbolik pelepasan kenderaan rasmi UMT. “Pelbagai program pengisian sepanjang sambutan bulan kemerdekaan akan dilaksanakan UMT bagi menyemarakkan lagi kempen kibar Jalur Gemilang dalam menghayati pengertian kemerdekaan selain  menyemai semangat patriotik di kalangan warga kampus khususnya mahasiswa," ujarnya. Katanya, selaras dengan kempen kibar Jalur Gemilang yang dilancarkan pihak kerajaan bertemakan Malaysia Madani : Jiwa Merdeka Julai lalu, kira-kira 500 Jalur Gemilang pelbagai saiz berjaya diedarkan UMT kepada semua kenderaan yang masuk ke kampus sepanjang program Kibar Jalur Gemilang yang diadakan di pintu masuk utama kampus. Sementara itu, wakil barisan Majlis Perwakilan Pelajar UMT, Nur Sabrina Afiqah Md Sukor menyeru mahasiswa untuk bersama-sama menyemarakkan lagi semangat cintakan negara. “Kami di barisan Majlis Perwakilan Pelajar mengalu-alukan warga pelajar UMT untuk bersama-sama menyertai program berkaitan bulan kebangsaan bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan serta menyemai semangat patriotik terhadap negara Malaysia yang tercinta ini, " katanya. 
07 Aug 24
172
Terengganu Inc, Shizen International Kerjasama Bangunkan Projek Solar
Terengganu Inc, Shizen International Kerjasama Bangunkan Projek Solar
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Anak Syarikat Kerajaan Negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Shizen International Inc (Shizen International) untuk meneroka penjanaan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) melalui projek loji janakuasa tenaga solar di negeri Terengganu. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata kerjasama tersebut dijangka membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan mengukuhkan profil negeri Terengganu sebagai peneraju ekonomi hijau. “Pada hari ini, kita akan menyaksikan satu langkah strategik yang akan membuka lembaran baru dalam usaha meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui di negeri ini. Diharapkan kerjasama ini akan membawa manfaat besar kepada negeri Terengganu dan seluruh rakyatnya. “Pengkormersilan sektor ini akan memberi manfaat pertukaran teknologi, perkongsian tenaga pakar dan pertukaran pengetahuan berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia selari dengan NETR Roadmaps bagi halatuju kelestarian tenaga bersih negara. “MOU yang ditandatangani akan mengukuhkan komitmen kedua-dua belah pihak untuk bekerjasama dalam melaksanakan kerja-kerja awal kajian kebolehlaksanaan solar secara komersial dalam penilaian potensi pembangunan dan pelaburan bagi kedua-dua pihak,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis menandatangani perjanjian (MOU) antara Terengganu Inc dan Shizen International Inc di Tingkat 18, Wisma Darul Iman di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Wakil kedua-dua belah pihak menandatangani perjanjian persefahaman (MoU), dari Terengganu Inc ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, manakala dari Syarikat Shizen pula diwakili Ketua Pegawai Operasi Shizen International Inc, Ryo Ogawa. Shizen International adalah anak syarikat Shizen Energy Inc yang terlibat aktif dalam pembangunan serta pengendalian kemudahan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia, Oceania dan Amerika Latin. Penglibatan itu merangkumi loji jana kuasa angin dan solar dan sehingga kini Shizen Energy Group berjaya membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1,321.7 megawatt di Jepun dan peringkat antarabangsa. Tambah Bijaya Raja, MOU tersebut juga memberikan gambaran usaha Terengganu dalam memajukan sektor tenaga boleh baharu dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau yang mampan dan mesra alam. “Ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai peneraju dalam teknologi hijau,” katanya. Sementara itu, Burhanuddin Hilmi berkata dengan termeterainya MOU tersebut, Terengganu Inc berharap agar dapat merealisasikan hasrat untuk meneroka dan mempelopori potensi 'ground-mounted solar' bagi menggalakkan peningkatan pendapatan negeri melalui ekonomi hijau. “Perjanjian ini menjadi tanda permulaan usaha Terengganu Inc dan Shizen International Inc untuk membolehkan penyertaan Terengganu dalam program CRESS yang dijangka dapat mengurangkan risiko dan kos sistem pembekalan elektrik negara. “Dengan matlamat hasil pelaburan tinggi menjelang tahun 2030, Terengganu Inc konsisten dalam pertumbuhan bisnes mampan di dalam pelbagai kluster utama antaranya perladangan, perkhidmatan sokongan minyak dan gas, sumber asli, hartanah, pembangunan & pembinaan hartanah, penjagaan kesihatan serta pelaburan-pelaburan bukan teras,” ujarnya. Bagi Pengarah Eksekutif Shizen, Hiroki Koga, pihaknya berhasrat untuk membawa manfaat positif kepada alam sekitar, mengurangkan pelepasan karbon dan penggalakkan penggunaan tenaga bersih sekaligus menyumbang kepada pendapatan ekonomi tempatan. “Kerjasama ini akan dalam usaha memperkenalkan Shizen di pasaran Malaysia selaku peneraju RE yang berpengkalan di Jepun dan berhasrat membawa manfaat positif kelestarian alam sekitar bagi menangani perubahan iklim dan pemanasan global”. Katanya lagi selepas pemeteraian perjanjian selesai hari ini. “Perjanjian MOU ini dijangka membuka jalan kerjasama strategik yang akan memberi manfaat bagi pertumbuhan ekonomi hijau di negeri Terengganu,” katanya.  
07 Aug 24
478
Gaji Penjawat Awam : Terengganu Tunggu Pengumuman PM 16 Ogos
Gaji Penjawat Awam : Terengganu Tunggu Pengumuman PM 16 Ogos
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Kerajaan Negeri mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung semakan kenaikan kadar gaji penjawat awam di Terengganu yang akan diumumkan kerajaan Persekutuan pada 16 Ogos ini. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata setakat ini, tiada lagi perbincangan mengenai perkara tersebut (kenaikan gaji) bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. “Kita akan lihat pengumuman pada 16 Ogos nanti. Kalau berdasarkan sejarah dahulu pun apa diputuskan kerajaan pusat itu selalu kita ikut (kadar baharu kenaikan gaji). “Selalu ikut selaras dengan pengumuman dibuat kerajaan persekutuan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Menandatangani Perjanjian antara Terengganu Inc dan Shizen International Inc di Wisma Darul Iman di sini semalam. Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada Oktober ini. Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013. Pada 15 Julai lepas, pengumuman khas berkaitan dengan kenaikan gaji 1.5 juta penjawat awam akan dibuat kerajaan pada 16 Ogos depan. Menerusi hantaran di laman X, Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan, pengumuman khas itu diadakan menerusi Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ketika ditanya mengenai implikasi kewangan terhadap kerajaan negeri, Tengku Farok Hussin menyatakan seluruh negeri juga menerima impak tersebut. “Negeri-negeri lain pun sama (implikasi kewangan) bukan Terengganu sahaja. Semua negeri yang bayar gaji penjawat awam turut menerima impak tersebut. “Selain itu, kerajaan Persekutuan pun apabila umumkan kenaikan gaji ini, ia juga beri impak besar pada kerajaan pusat. Jadi begitu juga kerajaan negeri.Insya-Allah, kita tengok cara yang terbaik untuk kita laksanakannya,” ujarnya.                    
07 Aug 24
323
New Malaysia Needs to Be Rebuilt
New Malaysia Needs to Be Rebuilt
KUALA TERENGGANU, August 7 - Perikatan Nasional (PN) views that a New Malaysia needs to be built to ensure a better life for the people in the future. The Chief Minister, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, stated that his side is always approached by various parties expressing their desire to join the PN coalition and PAS itself, which will be considered from time to time based on suitability and mutual interests for national development. "We see that a better future for the country, a 'new Malaysia,' must be built by strengthening the existing political consensus between PAS and its partners in PN. "This needs to be developed from time to time and will be a good offer for the new Malaysia, God willing," he said. He made these remarks when speaking to the media during his press conference at the Second Meeting of the Second Session of the 15th State Legislative Assembly at Wisma Darul Iman recently. Commenting on UMNO President Ahmad Zahid Hamidi's statement that the opposition, PN, had come to negotiate with him and Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Samsuri stated that his side is not interested in addressing baseless statements. "Whatever he says is his own business. I do not interfere with what is said. We have met in Parliament, crossed paths in meetings with our respective roles as MPs, State Assembly members, or government officials. "That is not classified as political discussions. Even if we meet UMNO MPs, it is within the context of managing our roles as MPs and State Assembly members in our respective states," he said. Regarding whether there will be cooperation with UMNO in the future, he said it is difficult to predict what will happen. "So, I will not comment on future matters. As of now, there are no plans, no meetings, or anything of the sort," he explained.
07 Aug 24
225
Terengganu Teruskan Inisiatif Pinjaman Tanpa 'Riba'
Terengganu Teruskan Inisiatif Pinjaman Tanpa 'Riba'
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Kerajaan Terengganu tetap meneruskan pemberian pinjaman tanpa caj tambahan kepada usahawan dan peniaga di negeri terbabit walaupun hak royalti petroleum disekat. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif melalui Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) diteruskan bagi membantu usahawan memajukan perniagaan mereka. Namun begitu katanya, jumlah penerima yang mendapat pinjaman tahun ini lebih kecil berbanding dengan tahun lalu. "Sejak dilancarkan skim TUGAS pada 2019 sehingga ke pertengahan tahun ini, kita telah berjaya menyalurkan skim itu kepada 4,963 usahawan  dengan jumlah peruntukan sebanyak RM28 juta. "Program hari ini melibatkan 33 orang usahawan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM467,586.40 melibatkan penerima pinjaman RM10 ribu hingga RM30 ribu," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kali ke dua tahun 2024 di Dewan Serbaguna Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, semalam. Menurut Ariffin, sepanjang 1 Januari hingga 31 Disember 2023, kerajaan negeri telah memberi pinjaman melalui tabung TUGAS sebanyak RM8,042,800.96 manakala pada  1 Januari sehingga 30 Julai 2024 sebanyak RM1,131,275.52 dibelanjakan. "Kita ada sedikit kekangan kewangan seperi yang sedia maklum, tetapi kerajaan membuat keputusan untuk tetap melaksanakan inisiatif ini walaupun, insya-Allah tahun depan kita usahakan dapat bagi lebih banyak. "Kita ada dua siri lagi (untuk tahun ini) dan dijangka RM0.5 juta lagi akan diberi," katanya.
07 Aug 24
2609
Kontinjen Terengganu Juara Kejohanan Memanah Kebangsaan
Kontinjen Terengganu Juara Kejohanan Memanah Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Kontinjen Negeri Terengganu dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pertandingan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2024 bertempat di Mini Stadium Ketereh, Kota Bharu, Kelantan. Jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata kejohanan tersebut telah diadakan empat hari bermula 2 hingga 5 Ogos 2024 yang melibatkan acara recurve dan tradisional lelaki dan perempuan membabitkan 16 peserta dan 9 orang pegawai bagi setiap negeri. “Pertandingan itu telah bermula pada tahun 2018 dan merupakan salah satu aktiviti tahunan anjuran JAKIM dengan kerjasama Jabatan, Majlis dan Yayasan Islam Negeri dan disertai oleh semua Sekolah Menengah Agama di seluruh negara. “Ia bagi menanam dan meningkatkan semangat kesukanan dan penampilan ilmu dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Agama serta memupuk semangat persahabatan dan silaturahim di antara negeri-negeri semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Majlis Perasmian Penutup dan pengurniaan hadiah telah disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat bertempat di Hotel H Elite Kota Bharu, Kelantan. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dr Ruslan Said dan Pengarah Bahagian Pendidikan JAKIM, Mohd Fadzil Abu Kasim. JAKIM berkata, penghargaan diberikan kepada semua pihak yang telah menjayakan Pertandingan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama (MESMA) Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali ke-4 Tahun 2024/1446.
07 Aug 24
1010
Terengganu Sokong Kedah Pertahan Dasar Sifar Judi
Terengganu Sokong Kedah Pertahan Dasar Sifar Judi
ALOR SETAR, 6 Ogos - Kerajaan Kedah tidak bersendirian dalam perjuangan mempertahankan prinsip sifar judi di negeri terbabit selepas Terengganu menyatakan sokongan terhadap usaha negeri terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dasar yang menjadi polisi negeri SG4 itu akan dipertahankan bersama.  Ujarnya, walaupun ada pihak yang menentang usaha itu sehingga berlaku semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu, pihaknya bersama Kerajaan dan rakyat Kedah. "Ia penting untuk kita terus berpegang kepada prinsip yang telah diputuskan bersama oleh negeri SG4 melalui bidang kuasa kerajaan negeri, kita tidak akan benarkan sama sekali. *Kita hendak memastikan rakyat kita bebas daripada amalan judi yang mempunyai mudarat besar hingga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan mewujudkan suasana tidak aman dalam masyarakat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa mewakili delegasi Kerajaan Terengganu mengadakan kunjungan hormat Kerajaan Negeri Kedah, di Bilik Gerakan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman, semalam. Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Rizuan Hashim dan Ketua Hakim Syarie Terengganu Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, YAA. Dato' Haji Wan Mohd Zakri Wan Mohd. Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, Dato' Mohd Azam Abd Samad. Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata Terengganu mengambil langkah persediaan seandainya ada pihak yang akan melakukan perkara sama menentang penutupan pusat judi. "Kita bersedia melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut bidang kuasa kita sendiri, insya-Allah apa yang penting kita mempertahankan prinsip yang diputuskan dengan polisi yang telah kita persetujui bagi menjaga kepentingan rakyat secara umum," ujarnya. Dalam pada itu, Azam berkata kerajaan Kedah kini melalui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor sedang berusaha bagi mempertahankan dasar sifar judi. "Ia disambut oleh pihak PBT yang menegaskan tidak akan meluluskan lesen premis judi di Kedah walaupun telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. "Di peringkat Kerajaan Negeri Kedah akan terus membuat rayuan di Mahkamah Rayuan supaya apa yang telah dilaksanakan bagi membendung aktiviti judi dapat diteruskan dan ini juga merupakan hasrat rakyat Kedah bagu memastikan 'sifar judi' dapat dipertahankan," tegasnya.  
06 Aug 24
365