lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kebajikan Orang Asli Sentiasa Dijaga
Kebajikan Orang Asli Sentiasa Dijaga
Oleh: Haida Al-Ayyash HULU TERENGGANU, 4 Ogos- Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli di seluruh negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, menerusi program Kembara Dakwah dan Kebajikan Perkampungan Orang Asli, pihaknya telah mendekati masyarakat Orang Asli untuk menghulurkan sumbangan disamping bagi menarik lebih ramai masyarakat Orang Asli mendekati Islam. “Kebajikan rakyat termasuk orang asli sentiasa dijaga melalui konsep yang diamalkan iaitu dari rakyat untuk rakyat.  “Dalam masa yang sama, kerajaan negeri turut menitikberatkan juga pengetahuan agama sebagaimana program yang diadakan ini. “Program ini berteraskan keilmuan, dakwah dan kemasyarakatan yang fokus kepada aspek dakwah dan kemasyarakatan dengan mendampingi masyarakat orang asli bagi membawa penghayatan Islam kepada mereka,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Kembara Dakwah dan Kebajikan Perkampungan Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Sunga Berua, Hulu Terengganu, baru-baru ini. Sempena program tersebut, beberapa acara menarik telah diadakan antaranya menampal stiker risalah asas dakwah di kediaman, beramah mesra, dan mengagihkan sumbangan berupa keperluan harian serta acara sukaneka melibatkan semua pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Berua. Program tersebut turut mendapat kerjasama Pusat Khidmat DUN Telemong, Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, warga Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Terengganu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Berua dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sahabat Cakna Masyarakat serta Al Azhar Care. Sementara itu, Ketua Pusat Pentadbiran Pos Kampung Sungai Berua, Razali Ngah mewakili 158 ketua isi rumah yang mendapat bantuan berupa kit makanan sempena program berkenaan menzahirkan kesyukuran dengan kepihatinan semua pihak dalam menjaga kebajikan mereka. "Musim-musim tiada duit ni dapat bantuan sebanyak ni, puas hati sangat, terima kasih banyak kerajaan negeri. Banyaknya barang bantuan yang dapat ni,” ujarnya.  
04 Aug 24
238
Perkhidmatan Awam Perlu Bersedia Dengan Pembaharuan
Perkhidmatan Awam Perlu Bersedia Dengan Pembaharuan
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Sektor perkhidmatan awam di Terengganu perlu bersedia membuat pembaharuan yang berterusan supaya sentiasa responsif, relevan dan berkesan dalam memenuhi keperluan serta harapan rakyat. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata cabaran terbesar dalam perkhidmatan awam sama ada di peringkat negeri atau persekutuan adalah berdepan dengan satu zaman baharu iaitu ekspektasi pelanggan atau rakyat. “Kalau dahulu cara kita adalah ‘is the one way of strip’... apa yang dirancangkan oleh kerajaan, dilaksanakan oleh pentadbiran, diterima oleh rakyat. Tak puas hati ada, tapi cara mereka meluahkan itu sangat minima. “Tetapi setelah zaman berubah dan dilihat pada masa waktu sekarang dan akan datang ini adalah `the governance of the state or the country` adalah bukan lagi ‘is the one-way strip’ tetapi merupakan timbal balas di antara kerajaan bersama dengan rakyat,”katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri Terengganu tahun 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Dalam majlis tersebut, seramai 60 penerima anugerah terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan akan membawa pulang wang tunai RM5,000 serta sijil dan plak. Justeru itu katanya, pihak perkhidmatan awam memerlukan suatu cara yang baharu bagaimana mengurus tadbir dan melaksanakan apa jua dasar dan juga polisi yang ditetapkan oleh kerajaan dilaksanakan dengan cara terbaik.
04 Aug 24
5189
Peniaga Pasar Payang 1 Puas Hati, Bersyukur
Peniaga Pasar Payang 1 Puas Hati, Bersyukur
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Para peniaga yang memulakan perniagaan di Payang 1 pada Khamis, rata-rata melahirkan rasa syukur dan gembira atas peluang yang diberikan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk berniaga. Para peniaga yang ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) turut menyatakan kepuasan hati mereka dengan fasiliti disediakan MBKT seperti tapak berbumbung, kawasan luas dan beberapa kemudahan lain. Peniaga barangan kraftangan, Amira Mohd Yusooff, 26, berkata lokasi perniagaan baru itu amat selesa dan luas berbanding di tapak lama. Amira sejak kecil membantu ibunya berniaga selama lebih 15 tahun itu menjual pelbagai barangan kraf seperti angklung, perhiasan rumah, anyaman, serta barangan berasaskan rotan dan mengkuang. “Saya harap lokasi ini akan kekal dan saya tidak sabar untuk menerima pengunjung pada hari pertama ini," katanya ketika ditemui pemberita. Selain itu, seorang lagi peniaga, Wan Fauzi Wan Sulong, 58, berkata bahawa lokasi baharu perniagaan itu amat strategik dan memudahkan pelanggan untuk mengunjungi premisnya. Dia melahirkan ucapan teruja selepas beberapa lama menunggu dan membuat persiapan, akhirnya hari itu kompleks pasar baharu ini telah mula beroperasi.  "Saya juga berharap agar lokasi baharu ini akan terus menerima kunjungan pelancong, sama ada tempatan atau dari luar Terengganu. "Dahulunya, saya berniaga di hujung dan sekarang saya berniaga di tengah-tengah membuatkan saya lebih bersemangat untuk menjalani pernigaan hari-hari mendatang," ujarnya.  
04 Aug 24
4343
Pengunjung Luar Puji Jom Heboh Terengganu Berbeza
Pengunjung Luar Puji Jom Heboh Terengganu Berbeza
KUALA NERUS, 4 Ogos – Program Jom Heboh 2024 di Terengganu yang diadakan bermula 1 hingga 3 Ogos itu menerima pujian daripada orang ramai termasuk pengunjung luar atas kejayaannya dalam mematuhi aspek syariah dan berbeza dengan negeri lain. Rata-rata pengunjung luar yang ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman teruja dengan penganjuran Jom Heboh 2024 yang teratur dan perhatian terhadap setiap aspek, termasuk pengasingan kawasan untuk keluarga dan pengunjung individu, serta penekanan terhadap norma-norma sosial dan keagamaan. Ramlah Ishak, 52, dari Kedah, meluahkan rasa puas hati dengan penganjuran Jom Heboh Terengganu kerana benar-benar mempamerkan budaya dan keunikan Terengganu. "Saya juga setuju dengan keputusan kerajaan Terengganu yang menetapkan semua artis dan staf program perlu memakai tudung, kerana ini menunjukkan penghormatan terhadap nilai dan norma tempatan. “Perasaan saya sangat teruja dengan pengurusan acara yang sangat baik dan suasana yang meriah,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari kedua penganjuran Jom Heboh 2024 bertempat di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini malam semalam. Sementara itu, Yusniza Mat Rozi, 41, dari Kuala Lumpur, turut menyatakan penyertaan dalam program tersebut merupakan satu pengalaman yang luar biasa. “Aktiviti yang disediakan sangat pelbagai dan sesuai untuk seluruh keluarga. “Saya bersetuju melihat bagaimana penganjur memastikan setiap aspek acara ini memenuhi standard yang tinggi. "Di samping, penganjur juga mengajak orang ramai untuk menghormati waktu sembahyang. Ini menunjukkan komitmen mereka terhadap sensitiviti budaya dan agama,” ujarnya. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata penganjur berikrar untuk patuh dengan semua tatacara penganjuran hiburan di Terengganu termasuk mengenai pengasingan kawasan lelaki dan perempuan serta keluarga semasa acara pentas. Katanya, pengasingan itu bertujuan menjaga privasi dan mematuhi adab Islam serta tidak melanggar kesalahan jenayah syariah di negeri berkenaan. Jelasnya lagi, Kerajaan negeri ingin memastikan semua pengunjung dapat menikmati persembahan dengan penuh keselesaan, tanpa sebarang ketidakselesaan atau gangguan.
04 Aug 24
8358
Jelajah ANMS Tarik 6,000 Peserta Gaya Hidup Sihat
Jelajah ANMS Tarik 6,000 Peserta Gaya Hidup Sihat
KUALA NERUS, 4 Ogos – Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan selama dua hari bermula 2 hingga 3 Ogos 2024 berjaya menarik penyertaan lebih 6,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja memuji program tersebut sebagai platform penting untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan meningkatkan literasi kesihatan di kalangan rakyat Terengganu. Katanya, fokus utama program berkenaan adalah untuk melahirkan rakyat yang sihat dari segi fizikal dan mental, serta hidup dalam persekitaran yang bersih dan indah. “Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta tetapi juga menyebarkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental.  "Selain itu, saya berharap inisiatif ini akan terus memacu usaha untuk memupuk gaya hidup sihat di kalangan masyarakat Terengganu,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Negeri Terengganu di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Stadium Gong Badak di sini hari ini.  Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong. Tambah Bijaya, penganjuran program itu bukan hanya untuk melihat pada jumlah peserta, tetapi juga pada impak positif yang dibawa oleh pelbagai aktiviti dan inisiatif kesihatan yang telah dilaksanakan. Tambahnya, pelbagai aktiviti yang dijalankan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, sesi ceramah kesihatan, bengkel pengurusan stres, dan pertandingan kecergasan.  “Sebagai usaha untuk memastikan rakyat Terengganu sentiasa sihat sepanjang hayat, kita memerlukan akses kepada kemudahan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif. "Sebagai contoh, JKNT menyediakan satu infrastruktur Wellness Hub Terengganu yang menyediakan perkhidmatan promosi kesihatan (One Stop Community Centre) dalam menggalakkan komuniti mengamalkan cara hidup sihat bagi mencapai kesejahteraan hidup,” katanya. Tambahnya, program tersebut turut melibatkan 20 agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, serta sektor swasta yang menyertai melalui pameran dan aktiviti kesihatan.  Beliau turut memberi penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama dalam menjayakan acara ini, yang jelas menunjukkan komitmen bersama dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.  
03 Aug 24
176
Terengganu Tunggu Persekutuan Lulus Peruntukan Laluan Berkembar
Terengganu Tunggu Persekutuan Lulus Peruntukan Laluan Berkembar
KUALA TERENGGANU, 2 Ogos - Terengganu masih menunggu Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan bagi menyiapkan projek laluan berkembar jalan pantai Terengganu dari Kemaman ke Besut. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, peruntukan itu penting bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan segera. "Kita telah mohon peruntukan dengan Kerajaan Persekutuan selaku pihak yang bertanggungjawab, (dan) tunggu kelulusan daripada mereka untuk memberikan peruntukan bagi menyiapkan jalan tersebut. "Jadi kita harap Perdana Menteri mempercepatkan proses penyaluran peruntukan tersebut," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman, di Dewan Besar Wisma Darul Iman kelmarin. Justeru katanya, kerajaan Negeri  hanya menunggu lampu hijau daripada pihak Kerajaan Persekutuan untuk memulakan kerja. "Saya yakin (peruntukan) akan diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan. "Saya berharap dalam akhir tahun ini dapat dilaksanakan," tambah beliau.
03 Aug 24
5504
Jelajah Beautiful Terengganu Jadi Platform Promosi Pelancongan
Jelajah Beautiful Terengganu Jadi Platform Promosi Pelancongan
JOHOR BAHRU, 3 Ogos - Program Jelajah Beautifiul Terengganu 2024 "Pakat Maghi Teganu" antara negeri terus diperkukuhkan bagi pembangunan pelancongan yang seimbang, sekali gus menarik kehadiran pelancong di seluruh negara. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Sulaiman Sulong berkata program tersebut itu juga mengeratkan lagi hubungan antara pihak kerajaan negeri dan agensi-agensi dengan rakan industri yang berperanan besar dalam menentukan jatuh bangun industri pelancongan. "Kali ini  kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pelancongan negeri dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu telah memilih Johor Bahru sebagai lokasi program terbaharu. "Ia merupakan lokasi strategik dan kepelbagaian pengunjung domestik dan antarabangsa termasuk dari Singapura dan Batam. "Kami harapkan melalui penganjuran program seperti menjadi momentum peningkatan kehadiran pelancong ke Terengganu ,"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program tersebut di Opero Hotel Southkey, di sini hari ini. Tambahnya, selain dari mengukuhkan hubungan strategik dengan rakan industri di Johor dan Singapura, program tersebut bertujuan mempromosikan keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan Terengganu. Sementara itu, Pengerusi MAH Terengganu, Suaibah Harun berkata Jelajah Beautifiul Terengganu yang kini memasuki tahun ketiga akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut zon. "Kita mulakan di Kedah pada tahun 2021, diikuti Pahang pada 2022 dan kali ini di Johor Bahru. "Dengan penganjuran program seperti ini diharapkan bilangan pelancong  akan meningkat dan memberi impak kepada sektor perhotelan di Terengganu," ujar beliau.  Tambahnya, untuk separuh tahun pertama, bilangan pengunjung yang menginap di hotel-hotel Terengganu melebihi 300 ribu dan dijangkakan mencapai 800 ribu akhir Disember ini.
03 Aug 24
396
Kerajaan Terengganu Peruntuk RM100,000 Kerja Pembersihan Pulau Redang
Kerajaan Terengganu Peruntuk RM100,000 Kerja Pembersihan Pulau Redang
KUALA TERENGGANU, 2 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi kerja-kerja pembersihan di kawasan kolam semula jadi di Pasir Panjang, Pulau Redang. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata peruntukan tersebut merupakan langkah proaktif dalam menangani isu kebersihan yang telah lama dihadapi di kawasan pelancongan utama tersebut. Menurutnya, pihaknya mengesahkan bahawa tindakan segera diambil untuk memperbaiki keadaan kebersihan di kawasan berkenaan dan kerja pembersihan tersebut dijangka akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), yang telah dilantik sebagai pegawai penguasa untuk projek berkenaan. “Peruntukan sebanyak RM100,000 ini adalah komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kawasan tumpuan pelancong seperti Pulau Redang sentiasa dalam keadaan bersih dan terjaga.  “Kami berharap bahawa dengan pembersihan ini, keadaan alam sekitar di Pasir Panjang akan dapat dipulihkan dan dikekalkan dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Razali berkata kerja-kerja pembersihan tersebut dijangka akan diselesaikan awal tahun hadapan. Katanya, inisiatif itu diambil bagi memastikan Pulau Redang terus kekal sebagai destinasi pelancongan utama dan menarik di Negeri Terengganu. “Kerajaan Negeri juga berharap agar masyarakat lebih peka mengenai isu pencegahan pencemaran serta pemuliharaan alam sekitar, menjadikannya sebagai sebahagian daripada budaya hidup sehari-hari," ujarnya. Terdahulu, lawatan ke tapak telah diadakan dalam siri Program Lawatan ke Tapak Cadangan Projek Pembangunan Pelancongan dan Sesi Perbincangan Bersama Penggiat Pelancongan Terengganu pada 24 Jun 2024 (Isnin) bertempat di Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu. Dalam lawatan tersebut, pihak berkuasa telah menilai keadaan kolam semula jadi di Pasir Panjang dan mendapati bahawa isu kebersihan di kawasan tersebut perlu dipandang serius. Cadangan bagi kerja-kerja pembersihan kolam semula jadi tersebut perlu dilaksanakan segera.
02 Aug 24
162
Satu Rumah Satu Jalur Gemilang
Satu Rumah Satu Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos – Semua agensi kerajaan, sektor swasta, dan rakyat di Terengganu diseru mengibarkan Jalur Gemilang di bangunan serta kediaman masing-masing sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme melalui konsep "Satu Rumah Satu Jalur Gemilang". Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat berkata, langkah itu sebagai simbolik kepada rasa cinta, penghargaan terhadap tanah air dan tanda perpaduan serta kesatuan dalam meraikan kemerdekaan negara. “Jadi mulai hari ini setiap jabatan, premis setiap rumah, kaya miskin, kota dan desa, setiap rakyat negeri Terengganu kita pastikan mengambil peranan menyemarakkan kibaran Jalur Gemilang paling tidak satu rumah satu Jalur Gemilang berkibar. “Ini bukan soal isu kaum, parti, kedudukan atau pekerjaan. Ini soal maruah, soal harga diri apabila tiba bulan kebangsaan kibaran Jalur Gemilang meluas di seluruh negara, di pasang di setiap sudut lokasi jabatan kerajaan, sekolah,rumah-rumah ibadah dan premis kediaman,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman, di dewan Besar Wisma Darul Iman, pada hari ini. Menurutnya, program pada hari ini dianjurkan khusus oleh kerajaan negeri dengan tujuan menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan kali ke-67 dan ianya merupakan acara tahunan diadakan bagi memperingati sejarah serta pencapaian negara sejak kemerdekaan. “Merdeka ini hanya difahami mampu di mengerti dan dimaknai sekiranya menyingkap lembaran sejarah. “Tidak ada negara yang merdeka secara semena-mena, ia memerlukan pengorbanan visi dan wawasan pemimpin-pemimpin terdahulu dengan keringat, darah dan air mata. “Ia menuntut pengorbanan tentera polis yang pada masa itu dipanggil 'homeguard', pejuang-pejuang  anti penjajah dan rakyat berjiwa patriotik,” ujarnya. Tambahnya, jiwa merdeka menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik.  “Ini dilakukan melalui aspek pemikiran integrasi sosial dan ekonomi, seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni, serta progresif,” kata Hanafiah.
01 Aug 24
262
Pembunuhan Haniyeh 'Sekat' Pendamaian, Gencatan Senjata
Pembunuhan Haniyeh 'Sekat' Pendamaian, Gencatan Senjata
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Pembunuhan Ismail Haniyeh, pemimpin Hamas, telah memberi kesan besar terhadap usaha pendamaian dan gencatan senjata. Ahli Dewan Negara, Datuk Razali Idris mengecam keras pembunuhan pemimpin Hamas tersebut yang berlaku semasa majlis angkat sumpah presiden Iran, Masoud Pezesfikian, di ibu kota Tehran. Razali menyatakan bahawa serangan udara yang mengorbankan Haniyeh bersama seorang pengawal peribadi adalah tindakan yang amat memalukan dan kejam, serta tidak boleh diterima dalam konteks undang-undang antarabangsa. “Tindakan tersebut berpotensi memperburuk ketegangan di Timur Tengah, khususnya di Gaza, dan mungkin memperluaskan konflik ke wilayah lain. “Walaupun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab, dunia secara amnya mengesyaki bahawa rejim tentera Zionis Israel mungkin terlibat. "Memandangkan mereka telah mengancam untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas lain sebagai tindak balas kepada konflik berpanjangan di Palestin,” katanya ketika Perbahasan di Dewan Negara pada hari ini. Razali berkata pembunuhan itu adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip kedaulatan. Ia pasti menjejaskan kestabilan dan keselamatan rantau yang sudah bergolak ini. Beliau juga memberi amaran bahawa kejadian ini tidak akan menyelesaikan konflik di Palestin, malah ia akan mengakibatkan kitaran keganasan yang lebih berpanjangan dan penderitaan rakyat. “Saya menyeru agar masyarakat antarabangsa untuk mengutuk tindakan tersebut dan menyeru agar usaha-usaha gencatan senjata dan pendamaian diteruskan, tanpa terjejas oleh tindakan balas dari mana-mana pihak yang terlibat dalam konflik,” ujarnya.                  
01 Aug 24
134