lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

'Sukan Air' Imbau Nostalgia Warga Desa
'Sukan Air' Imbau Nostalgia Warga Desa
HULU TERENGGANU, 11 Ogos - Acara Sukan Air di Temasya 'Tranung Kite' 2024 yang berlangsung dari 8 hingga 10 Ogos di Kuala Berang telah berjaya mengimbau nostalgia warga desa dengan pelbagai aktiviti dan pameran yang mengangkat seni serta budaya tempatan. Antara tarikan utama temasya berkenaan adalah acara yang melibatkan elemen air termasuk Panjat Tiang Licin, Tangkap Belut Pukul Bantal dan Tarik Tali Dalam Air. Pertandingan lain seperti Pertandingan Ayam Serama Terbuka, Deklamasi Sajak Oghang Ulu turut menarik perhatian pengunjung. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan seni dan budaya yang memberi mereka kesempatan untuk merasai kembali suasana kampung serta tradisi lama yang telah lama dilupakan. Kuala Berang dipilih sebagai lokasi temasya disebabkan kedudukannya yang strategik, membolehkan pengunjung menikmati keindahan pesisir sungai dan destinasi menarik seperti Tasik Kenyir. Kejayaan acara ini turut didorong oleh penyertaan aktif komuniti tempatan serta penggiat seni yang terlibat dalam pelbagai aktiviti budaya. Acara ini memberikan impak ekonomi yang positif kepada masyarakat tempatan dengan menjana pendapatan sebanyak RM700 ribu melalui sewaan, jualan, bayaran persembahan, dan hadiah pertandingan. Temasya ini juga memberikan platform kepada penggiat seni budaya tempatan untuk meneruskan kreativiti mereka dan memartabatkan warisan negeri Terengganu. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran gajah yang dikenali sebagai Indah, berumur 27 tahun di hadapan pintu temasya berkenaan.  
11 Aug 24
314
'Temasya Tranung Kite' Tarik Lebih 15 Ribu Pengunjung
'Temasya Tranung Kite' Tarik Lebih 15 Ribu Pengunjung
HULU TERENGGANU, 11 Ogos - 'Temasya Tranung Kite' yang diadakan di Kuala Berang bermula 8 hingga 10 Ogos itu telah berjaya menarik lebih 15 ribu pengunjung dari seluruh negara. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata program tersebut adalah kejayaan besar bagi Hulu Terengganu dan negeri Terengganu secara keseluruhan. “Kita menyasarkan lebih 10 ribu pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran dan telah berjaya menarik lebih 15 ribu pengunjung. “Selain itu, program ini berjaya menjana pendapatan sebanyak RM700 ribu untuk masyarakat tempatan melalui sewaan, jualan, bayaran persembahan, dan hadiah pertandingan. "Kuala Berang dipilih sebagai lokasi program berkenaan kerana kedudukannya yang strategik, memudahkan akses dari LPT2 dan memberikan peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan pesisir sungai serta tempat-tempat menarik seperti Tasik Kenyir," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Temasya Tranung Kite 2024 di Kuala Berang, Terengganu di sini semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Mohd Amran Mohd Haris. Program tersebut merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Persatuan ATMA Seni Budaya Terengganu. Tambah Maliaman, pelbagai acara menarik yang diadakan pada temasya berkenaan termasuk Kejohanan Gasing Terbuka Asean, Kejohanan Ayam Serama Terbuka, Pertandingan Wau dan pelbagai lagi. "Keberhasilan acara ini tidak hanya terletak pada jumlah pengunjung yang tinggi, tetapi juga pada penyertaan aktif komuniti tempatan dan penggiat seni yang menjayakan pelbagai aktiviti budaya. “Program ini diharapkan akan menjadi pusat berhimpunnya penggiat-penggiat seni budaya tempatan, khususnya dari negeri Terengganu, untuk meneruskan kreativiti dan karya-karya mereka," katanya. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat yang telah menyokong dan membantu menjayakan program berkenaan. Sementara itu, Mohd Amran berkata penganjuran berskala besar seperti itu, kali terakhir dianjurkan di negeri Terengganu adalah pada 10 tahun lalu. Katanya, dalam tempoh tahun-tahun seterusnya JKKN akan berusaha mengangkat penganjuran sedemian menjadi acara tahunan. “Bagi menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026, kita cuba terapkan lagi program yang berskala besar yang bertunjangkan seni budaya di negeri Terengganu. “Jadi, Insya-Allah bermula pada tahun 2024 ini kita akan teruskan lagi penganjuran program-program yang dapat mengangkat dan juga memartabatkan kesenian negeri Terengganu,” ujarnya.    
11 Aug 24
1820
Litar Permotoran Terengganu 'Laju', 'Makan' Tayar
Litar Permotoran Terengganu 'Laju', 'Makan' Tayar
KUALA NERUS, 11 Ogos- Litar Permotoran Terengganu memiliki keunikan tersendiri yang menarik kehadiran pasukan dan pelumba beraksi di sini. Pengarah Promosi Kejuaraan Petronas MAM Cub Prix Malaysia, Ron Hogg berkata, litar berkenaan merupakan antara paling laju dalam negara. "Litar ini sangat laju, berdasarkan 'average speed' (kelajuan biasa) dalam satu pusingan, mengambil masa dalam 48-49 saat yang bermakna dalam satu pusingan itu, purata kelajuan adalah 90km/j ke atas. "Dalam keadaan itu, ia menjadikan selain dari Litar Sepang, Litar Permotoran Terengganu merupakan litar yang sangat laju," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah perlumbaan CP150 yang disempurnakan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah di sini, semalam. Tambahnya, ia mempunyai cabaran tersendiri ditambah dengan cuaca sangat panas di Kuala Terengganu. "Jarang pelumba merungut tentang cuaca, tetapi di Terengganu cuaca panasnya mengganggu kadar kegunaan tayar mereka. "Itu cabaran utama bila berlumba di sini," ujarnya. Menurut Ron, kesukaran itu memberi satu pengalaman kepada pasukan dan pelumba. "Bagi kami, ia satu litar yang sangat teknikal untuk 'set up' pasukan dan pelumba. "Kami suka litar tetap sebegini, seboleh-bolehnya di setiap negeri ada pitar seperti ini ia akan menyokong sukan permotoran negara. "Cub Prix cuma boleh datang setahun sekali, tetapi tempat ini boleh digunakan untuk kejohanan peringkat negeri atau tertutup dan ia akan melahirkan bakat-bakat baru kerana bakat-bakat baru ini boleh datang dari mana sahaja," ujarnya.  
11 Aug 24
815
Jemput Datang Lagi Petronas MAM Cub Prix!
Jemput Datang Lagi Petronas MAM Cub Prix!
KUALA NERUS, 10 Ogos- Kejuaraan Petronas MAM Cub Prix Malaysia pusingan keenam di Terengganu menyaksikan sambutan hangat peminat sukan permotoran tempatan. Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah yang hadir mewakili kerajaan negeri, sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada penganjur kejohanan. "Kami mengharapkan agar program ini diteruskan di negeri Terengganu. "Kami juga memohon maaf jika ada kelemahan dalam apa sahaja yang berlaku. "Program ini memberi impak besar sama ada kepada peminat permotoran, peniaga, hotel dan banyak pihak. Semoga ia terus berjaya di masa depan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang perlumbaan CP150. Hadir sama ialah Pengarah Promosi Kejuaraan Petronas MAM Cub Prix, Ron Hogg dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli. Saingan perlumbaan CP150 tadi menyaksikan pelumba Honda Yuzy Estremo Team, Azroy Hakeem Anuar kembali menakluki Litar Permotoran Terengganu apabila mengungguli perlumbaan dengan catatan 16:20:880. Kejayaan Azroy menyaksikan mengejar rapat pendahulu kejohanan,Md Akid Aziz dari Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing dengan 91 mata.  
10 Aug 24
110
EPIC, MS Citajaya 'Berebut' Suntik Semangat Kontinjen SUKMA Terengganu
EPIC, MS Citajaya 'Berebut' Suntik Semangat Kontinjen SUKMA Terengganu
KUALA NERUS, 10 Ogos- Anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan EPIC Berhad membuat kejutan apabila mengumumkan tambahan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada kontinjen Terengganu yang bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhtar Suhaili memaklumkan, pihaknya bakal menambah sumbangan asal RM20,000 menjadikan jumlahnya sebanyak RM35,000. "Kita sudah umum (sumbangan) ini untuk enam sukan yang diadakan di Miri iaitu pelayaran, softball, ragbi, karate, lawan pedang dan silat. "Sebelum ini kita telah menyumbang RM5,000 kepada pasukan e-sukan dan pasukan bola sepak menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan EPIC Berhad sebenarnya berjumlah RM45,000. "Harapan kita supaya Terengganu mampu menjadi juara keseluruhan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan tajaan yang disempurnakan ketua kontinjen, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak di Ar-Riyadah Residence, hari ini. Dalam majlis itu, satu lagi syarikat swasta iaitu MS Citajaya turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada atlet -alte yang bertanding. Apa yang menarik, usaha itu juga merupakan tambahan sumbangan setelah syarikat berkenaan menyumbang RM3,000 kepada pasukan sepak takraw sebelum ini. Penolong pengurus besar, Br. Ts. Mohamed Tajali berkata, sumbangan itu merupakan tanggungjawab sosial pihak syarikat dalam membantu pembangunan sukan di Terengganu. "Syukur Terengganu boleh hantar wakil ke Sarawak, sedia maklum SUKMA boleh mencungkil bakat anak-anak Terengganu, kita telah melihat permata- permata kita mewakili negara di Olimpik kali ini. "Sacara dasarnya, ia satu platform yang bagus mencungkil bakat anak-anak Terengganu ke hadapan lagi. "Walaupun bukan 100 peratus, sekurang-kurangnya kita boleh menyertai (melalu sumbangan ini) dan mengetengahkan bakat baru," ujarnya. Selain kedua-dua syarikat tersebut, terdapat beberapa syarikat swasta telah memberikan sumbangan secara langsung kepada pasukan-pasukan yang bertanding. Sumbangan dan kerjasama pihak swasta dalam pembangunan sukan di Terengganu selama ini banyak membantu melahirkan atlet bertaraf antarabangsa dan diharap ia akan terus berkembang di kalangan syarikat dalam dan luar negeri.                        
10 Aug 24
261
Penyu di Terengganu Tidak 'Merajuk'
Penyu di Terengganu Tidak 'Merajuk'
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Statistik terkini mengenai penyu di Terengganu menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan dalam aktiviti pendaratan, membuktikan bahawa penyu-penyu ini tidak 'merajuk' dan terus aktif dalam proses pendaratan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata data terkini menunjukkan jumlah sarang penyu di Terengganu semakin meningkat sejak tahun 2021. “Pada tahun 2021, sebanyak 7,301 sarang penyu direkodkan, dengan 429,371 anak penyu dilepaskan ke laut. Pada tahun berikutnya, 2022, jumlah sarang meningkat kepada 9,618 dengan 586,430 anak penyu dilepaskan. “Tahun 2023 menyaksikan jumlah sarang mencapai 10,130, sementara 636,477 anak penyu telah dilepaskan ke laut,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini. Dr Azman berkata bahawa statistik itu menunjukkan trend positif, dengan peningkatan jumlah sarang dan anak penyu setiap tahun. Menurutnya, peningkatan jumlah sarang dan anak penyu yang dilepaskan adalah petunjuk bahawa program pemuliharaan kami memberi kesan yang baik. “Dianggarkan lebih daripada 400,000 telur penyu menetas di Terengganu setiap tahun, menghasilkan anak penyu yang kemudiannya dilepaskan ke laut. “Statistik menunjukkan bahawa kira-kira 400 daripada 400,000 anak penyu yang dilepaskan mungkin akan kembali ke pantai asal mereka apabila dewasa. “Program pelepasan anak penyu yang dijalankan secara berterusan adalah langkah penting dalam usaha kami untuk memastikan kelestarian spesies ini,” ujarnya. Dr Azman berkata kerajaan negeri Terengganu akan terus mempergiatkan usaha pemuliharaan penyu dan memastikan bahawa spesies ini terus berkembang di perairan negeri ini.
09 Aug 24
216
Walau 'Ditekan', Terengganu Tetap Salur Air Percuma Kepada 13,922 Akaun
Walau 'Ditekan', Terengganu Tetap Salur Air Percuma Kepada 13,922 Akaun
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Sejumlah RM2.5 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd  (SATU) bagi pemberian bekalan air percuma yang memanfaatkan 13,922 akaun di seluruh negeri bagi tahun 2024. Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia jelas membuktikan bahawa subsidi bekalan air percuma kepada golongan B40 dan golongan sasar tetap diteruskan meskipun bayaran royalti disekat. Katanya, masalah royalti bukan menjadi penghalang untuk kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab sosial untuk rakyat yang layak menerimanya walaupun jumlah nilai pemberian air percuma sebenarnya meningkat  untuk setiap akaun penerima yang mana kosnya ditanggung kerajaan negeri. “Perkara ini melibatkan 11,782 akaun melibatkan peruntukan  sebanyak RM1.3 juta bagi premis kediaman golongan B40 yang layak mengikut ketetapan kerajaan negeri. “Semua masjid (956 akaun) serta surau (1,184 akaun) yang berdaftar menerima subsidi bekalan air bersih percuma tanpa had berjumlah RM1.2 juta secara keseluruhannya. “Sementara itu, bagi masjid dan surau yang tidak berdaftar, akan menerima subsidi sebanyak 50 meter padu pertama secara  percuma dan penggunaan selebihnya akan dibayar dengan kadar baharu bagi setiap meter padu,” ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika dihubungi. Tambahnya lagi, inisiatif itu merupakan penerusan pelaksanaan manifesto seperti yang dijanjikan  Pas Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang bermula sejak 2019. Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menegaskan pemberian bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada golongan B40 termasuk pembekalan air percuma kepada masjid di seluruh negeri tetap diteruskan meskipun bayaran royalti disekat. Menurutnya program bekalan air percuma telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu dan sampai ke hari ini tiada pengurangan dari segi penerima bantuan tersebut. Beliau menambah bahawa dalam apa jua keadaan, usaha untuk bertahan walau menghadapi tekanan perlu diteruskan. SATU sebagai penyelia perkhidmatan bekalan air terawat di Terengganu, menyediakan perkhidmatan kepada lebih 1.2 juta rakyat, meliputi 342,364 akaun, pengguna domestik dan bukan domestik
09 Aug 24
475
18,600 Benih Spesis Ikan Asli Dilepaskan ke Sungai Dusun
18,600 Benih Spesis Ikan Asli Dilepaskan ke Sungai Dusun
HULU TERENGGANU, 8 Ogos - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) melepaskan 18,600 ekor pelbagai spesis benih ikan asli di perairan umum Sungai Terengganu, di Kampung Dusun, Telemong hari ini. Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata jumlah benih ikan yang dilepaskan pada pagi itu terdiri daripada benih ikan baung sebanyak 3,500 ekor, Lampam Sungai berjumlah 15,000 ekor manakala Kelah pula sebanyak 100 ekor. Katanya, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan stok ikan bagi menjamin bekalan protein dari sumber ikan sentiasa mencukupi kepada rakyat. "Selain itu, menjadi tarikan baru pelancongan kepada golongan kaki pancing untuk mengunjungi kawasan Kampung Dusun dan kampung-kampung lain yang terdapat di sepanjang jajaran sungai ini. "inisiatif tersebut turut memberi impak dan manfaat kepada nelayan dan golongan sasar yang terdiri daripada  masyarakat luar bandar, pulau serta pedalaman bagi mendapatkan sumber protein murah dan meningkatkan pendapatan juga sosioekonomi," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas program berkenaan. Maliaman berkata, program tersebut diharapkan dapat terus melestarikan sumber perikanan sungai dalam memenuhi ruang sebagai salah satu sumber ekonomi bagi nelayan darat di samping dapat memulihara ekosistem. “Saya harapkan kita semua akan terus menjaga persekitaran daripada tercemar akibat perbuatan tangan-tangan manusia yang tidak menjaga kesejahteraan sungai. "Disini juga kawasan utama pembiakan Tuntung. Sebelum ini kita sudah kehilangan salah satu daya tarikan negeri kita iaitu penyu yang sudah kurang mendarat di Rantau Abang," ujarnya. Untuk Rekod pada tahun 2024, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menerima RM135,000.00 peruntukan bagi perolehan benih ikan. RM85,000.00 adalah dari Kerajaan Negeri manakala RM50,000.00 dari Kerajaan Persekutuan.    
08 Aug 24
226
Pensyarah Antarabangsa Gesa Pemimpin Sambut Idea Geopolitik, Ekonomi Dr Sam
Pensyarah Antarabangsa Gesa Pemimpin Sambut Idea Geopolitik, Ekonomi Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Ahli akademik luar negara menggesa badan pemikir dan pemimpin utama Malaysia menyambut saranan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam mendepani ketidakpastian geopolitik dan ekonomi. Pensyarah Kanan Bahagian Politik, Universitas Sumatera Utara (USU), Medan, Indonesia, Dr. Warjio berkata, Ahmad Samsuri menyatakan bertahan menghadapi ketidakpastian geopolitik dan ekonomi tidak cukup dengan hanya memiliki majlis ekonomi standard. “Sebaliknya semua pemimpin berbeza latar belakang perlu duduk bersama pemegang taruh seperti peniaga, ahli ekonomi, pemain industri, masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penasihat undang-undang, pakar teknologi dan sebagainya. “Jika ingin mengurangi semua ketidakpastian geopolitik dan ekonomi, kita perlu melihat setiap negara secara individu, untuk melihat mereka miliki, keadaan ekonomi, demografi dan sebagainya kerana satu penyelesaian mungkin berfungsi di sebuah negara tetapi tidak berfungsi di negara lain,” katanya memetik idea Ahmad Samsuri. Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran badan pemikir baharu, The Future Research (Penyelidikan Masa Depan, TFR) di Putrajaya baru-baru ini. Hadir sama Ahli Ekonomi Kanan dari Pejabat Ketua Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAPCEO), Kumpulan Bank Dunia, Dr. Aakash Mohpal, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke. Terdahulu ujar Dr. Warjio, Pakar Aeroangkasa itu menyatakan ketidakpastian geopolitik timbul daripada pelbagai isu global dan serantau, termasuk konflik geopolitik, keselamatan alam sekitar dan sumber, keselamatan dan pengurusan risiko dan kesihatan serta pandemik. “Ketidakpastian ekonomi pula dinyatakan berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk ekonomi, perdagangan dan rantaian bekalan, pasaran serta kewangan, teknologi dan pasaran buruh serta faktor politik selain alam sekitar,” jelasnya. Tambah Dr Warjio, beberapa saranan lain untuk menangani ketidakpastian geopolitik dan ekonomi turut dikemukakan Ahmad Samsuri, ia termasuk menubuhkan rangkaian rantaian bekalan halal berasaskan ‘blockchain’ dan membangunkan platform ‘blockchain’ nasional untuk barangan kritikal seperti makanan dan ubat-ubatan.  Kata beliau, Ahmad Samsuri turut mencadangkan agar negara memanfaatkan wakaf untuk projek pelaburan mampan, menubuhkan hab inovasi awam-swasta serta melaksanakan program pendidikan berterusan dan peningkatan kemahiran. “Dua negara ASEAN, iaitu Singapura dan Vietnam, merupakan contoh utama ketahanan ekonomi dan inovasi. “Kesimpulan ucapan beliau, pengalaman negara ASEAN seperti Singapura dan Vietnam serta negara Muslim seperti Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menekankan pentingnya investasi strategi dan reformasi ekonomi dalam mempertahankan ketahanan di tengah-tengah tantangan global, menunjukkan strategi proaktif dapat digunakan untuk mengelola dan mengurangi dampak gangguan geopolitik mahupun ekonomi dengan efektif. “Ahmad Samsuri juga membahas mengenai contoh strategi ketahanan di Terengganu yang membuatkan kemajuan di negeri itu signifikan dalam mendiversifikasi ekonomi yang bertujuan meningkatkan ketahanannya. “Secara sejarah, Terengganu terlalu bergantung pada industri minyak dan gas, tetapi kini beralih kepada tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, inisiatif rumah hijau, industri biopolimer farmaseutikal, pertanian pintar, sektor pertanian, perikanan mampan, pelancongan dan lain-lain. “Hasilnya, Laporan Ketua Audit Negara merumuskan antara 2018 hingga 2021, menyatakan kebergantungan Terengganu kepada royalti petroleum berkurang sebanyak empat peratus kepada 68.7 peratus berbanding 72.7 peratus untuk 2014 hingga 2017,” katanya.
08 Aug 24
302
Kerajaan Negeri Galak Usahawan Tempatan Tembusi Pasaran Antarabangsa
Kerajaan Negeri Galak Usahawan Tempatan Tembusi Pasaran Antarabangsa
KUALA NERUS, 9 Ogos – Kerajaan negeri kini giat menggalakkan usahawan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan menyediakan sokongan, bimbingan dan peluang yang diperlukan bagi memperluas capaian mereka ke peringkat global. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman, berkata inisiatif tersebut bertujuan untuk membantu syarikat-syarikat tempatan memperluas capaian pasaran mereka di peringkat global, seterusnya meningkatkan daya saing dan membuka peluang baharu dalam industri. Katanya, kerajaan negeri baru-baru ini telah mengadakan lawatan kerja bersama MATRADE Wilayah Timur, yang diwakili oleh Pengarah Wilayah Timur, Puan Zaimah, serta Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) ke beberapa syarikat tempatan termasuk Mamadil Hq di Dataran Austin dan In Saff Food Industries Sdn Bhd. “Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai syarikat-syarikat ini, termasuk potensi, masalah yang dihadapi, serta jenis bantuan yang diperlukan. “Mamadil, sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2012, telah berjaya membuka sembilan cawangan di seluruh negara dan kini sedang berusaha untuk menembusi pasaran antarabangsa. “Kami memuji usaha mereka dan komited untuk memberikan sokongan dalam bentuk bantuan dan maklumat melalui MATRADE dan YPU,” katanya kepada pemberita selepas lawatan berkenaan. Ariffin berkata, begitu juga dengan In Saff Food Industries Sdn Bhd, yang mengeluarkan produk makanan sejuk beku dan kini merancang untuk mengembangkan pasaran mereka. Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri, bersama MATRADE dan YPU, telah menyediakan pelbagai program sokongan, termasuk latihan khusus dalam pengembangan eksport, padanan perniagaan, dan pameran perdagangan antarabangsa seperti MIHAS 2024. “Program-program ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan usahawan tempatan dapat memanfaatkan peluang yang ada di pasaran global. “Kami juga menggalakkan syarikat-syarikat untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan bantuan yang disediakan oleh agensi-agensi keusahawanan,” ujarnya. Beliau turun menekankan bahawa pentingnya persijilan antarabangsa seperti BPOM dan Izin Edar bagi memudahkan produk tempatan memasuki pasaran luar negara. “Dengan adanya persijilan dan sokongan dari agensi kerajaan, syarikat tempatan dapat mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran global dan menarik minat pembeli antarabangsa. “Kami percaya bahawa dengan sokongan dan bimbingan yang tepat, usahawan tempatan akan dapat memanfaatkan peluang yang ada dan mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa,” kata Ariffin menutup sesi perbincangan. “Kerajaan Negeri Terengganu terus komited untuk menyokong perkembangan industri tempatan dan memastikan usahawan tempatan mendapat akses kepada peluang yang dapat memajukan perniagaan mereka di luar negara,” ujarnya.  
08 Aug 24
169