lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Skuad Menembak Terengganu Azam Bidik Emas di SUKMA
Skuad Menembak Terengganu Azam Bidik Emas di SUKMA
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos- Skuad menembak Terengganu menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos depan. Ketua jurulatih, Nazihan Harun berkata, beliau yakin sasaran berkenaan boleh dicapai berdasarkan prestasi semasa penembak yang mempamerkan persembahan baik dan konsisten ketika menjalani latihan. “Kita menghantar 17 atlet iaitu lapan lelaki dan sembilan wanita untuk bertanding dalam 14 acara dan sasaran emas disandarkan pada Adam Firdaus Azrul menerusi acara 50 meter Rifle tiga posisi (individu lelaki). "Kami percaya dengan latihan yang begitu bersungguh-sungguh selama dua tahun, jika mereka beraksi sehabis baik mungkin akan membuahkan pingat lebih daripada itu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Temu Mesra Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Muhammad Khalil Abdul Hadi Bersama Pasukan Menembak SUKMA Terengganu dan Jabatan Angkat (Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu) di Sumai Hotel, semalam. Nazihan berkata, selain sasaran pingat emas, pasukannya turut mengintai peluang untuk meraih podium dalam beberapa acara lain. “Untuk SUKMA Sarawak ini kita sasarkan satu pingat emas, satu perak dan enam gangsa dapat disumbangkan oleh skuad menembak Terengganu. “Majoriti atlet pada tahun ini adalah muka baru, cuma empat atlet pernah beraksi pada SUKMA edisi ke-20 di Kuala Lumpur dua tahun lalu,” ujarnya. Katanya, Negeri Sembilan dan Pahang menjadi ancaman utama Terengganu untuk meraih keputusan positif tetapi beliau tetap yakin atlet negeri ini mampu untuk melaksanakan tanggungjawab. “Semua atlet dalam keadaan baik dan bersedia untuk bertanding di kejohanan SUKMA yang akan bermula beberapa hari lagi. “Harapan kami adalah untuk membawa balik seberapa banyak pingat dari bumi kenyalang,” ujarnya. Dalam pada itu, kapten skuad menembak, Muhammad Naufal Mohamed Nasir berkata, dia dan rakan sepasukan sudah mencapai dalam 95 peratus kemajuan. “Kami kini dalam fasa akhir jalani latihan dan sekarang lebih kepada latihan untuk gilap semula dari segi sasaran dan mengekalkan prestasi dan juga kecergasan untuk bertanding di sana nanti,” ujarnya.   
13 Aug 24
250
Ahli Parlimen Bukan Golongan 'Untouchables' - Johari
Ahli Parlimen Bukan Golongan 'Untouchables' - Johari
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Ahli Parlimen digesa menyedari bahawa mereka bukan golongan 'Untouchables' sehingga besar kepala dan tidak boleh ditegur serta menerima kritikan rakyat. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sebaliknya mereka yang memegang amanah sebagai ahli parlimen perlu menyedari bahawa mereka datangnya daripada rakyat yang memilih. "Kerana Parlimen itu sendiri adalah untuk rakyat dan hendak tahu apa yang berlaku di Parlimen kerana itu orang yang dipanggil wakil rakyat itu merupakan hak rakyat, bukan milik dewa. "Mereka rakyat biasa yang boleh ditegur jadi jangan ada sifat kerana aku wakil rakyat maka tidak boleh ditegur," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya sempena Program Jelajah Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke Dewan Undangan Negeri di Semenanjung, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Timbalannya, Khazan Che Mat. Dalam pada itu, Johari berkata lawatan ke DUN Terengganu itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama dan hubungan di antara Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. "Terengganu merupakan negeri kesembilan dan selepas ini kami akan ke Pahang dan Selangor sebelum semua speaker-speaker berkumpul di Sarawak pada 11 hingga 14 September tahun ini. "Tujuan jelajah ini adalah untuk berkenalan mesra dengan semua sepaker dan setiausaha dewan dalam masa yang sama banyak benda yang kita telah bincang dan perhalusi melalui soal jawab yang kita perlu diperkemaskan. "Insya-Allah semua ini akan kita jadikan panduan dan ada perkara dijadikan resolusi untuk dibawa ke persidangan speaker-speaker pada September nanti," katanya.  
12 Aug 24
418
Empat Pulau 'Breakwater' Dibina Hadapi Musim Tengkujuh
Empat Pulau 'Breakwater' Dibina Hadapi Musim Tengkujuh
KUALA NERUS, 12 Ogos – Empat pulau 'breakwater' di perairan Pengkalan Maras, Mengabang Kapal dan Kampung Tanjung Batu Rakit sedang dibina sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh yang dijangka tiba tidak lama lagi.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata bahawa pihak pelaksana projek telah berjanji untuk menyiapkan keempat-empat pulau tersebut pada tahun ini. Menurutnya, langkah itu diambil sebagai usaha untuk melindungi Pantai Batu Rakit daripada hakisan dan kerosakan akibat cuaca buruk.  “Alhamdulillah, saya telah turun ke tapak pembinaan pagi tadi dan melihat kemajuan yang memberangsangkan.  "Keempat-empat pulau tersebut kini sedang dalam pembikinan, dan kami berharap agar projek ini dapat diselesaikan sebelum musim tengkujuh tiba,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini. Mohd Shafizi juga menekankan bahawa penyelesaian ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kawasan Batu Rakit sahaja. "Tetapi juga kepada keseluruhan daerah, termasuk hingga ke Pantai INSTEP Kampung Mengabang Panjang.  “Semoga projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar demi kebaikan dan keselamatan rakyat Batu Rakit.  “Kami berdoa agar segala usaha ini membuahkan hasil dan memberikan perlindungan yang sewajarnya kepada kawasan pesisir kami,” tambahnya.
12 Aug 24
488
KMI Taman Desa Serah Zakat Terbesar
KMI Taman Desa Serah Zakat Terbesar
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Anak Syarikat kerajaan negeri Terengganu, Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) menyerahkan zakat perniagaan terbesar kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu ( MAIDAM). Pengerusi KMI Taman Desa, Dr. Azman Ibrahim, zakat tersebut diserahkan melalui anak Syarikatnya KMI Taman Desa Medical Centre (TMDC) Sdn Bhd berjumlah RM54,214.80. "Dana tersebut bakal digunakan untuk menyokong pelbagai inisiatif amal dan program di bawah naungan MAIDAM, terutamanya dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat serta membantu golongan yang memerlukan. "Secara langsung, melalui program ini dapat mengukuhkan lagi komitmen KMI Healthcare terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan khidmat kepada masyarakat," jelasnya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Wang Zakat di Hotel Primula, hari ini. Dr Azman menekankan bahawa zakat bukan hanya rukun Islam tetapi juga alat untuk memupuk keharmonian sosial dengan mengurangkan jurang kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat. "KMI Healthcare berperanan dalam memastikan dana zakat ini sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan dengan kerjasama MAIDAM. "Sumbangan zakat kami adalah bukti dedikasi syarikat terhadap pembangunan komuniti dan kebajikan sosial,” tambah Dr. Azman. Beliau menambah, pada 6 Disember tahun lepas,   KMI Taman Desa telah dinobat sebagai 'Best Multi-Disciplinary Community Specialist Hospital' di Anugerah BrandLaureate 2023.
12 Aug 24
159
Usaha Mencari Dua Lagi Mangsa Bot Karam Dipertingkatkan
Usaha Mencari Dua Lagi Mangsa Bot Karam Dipertingkatkan
KEMAMAN, 12 Ogos - Pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk keberadaan dua mangsa bot karam yang masih hilang dalam tragedi yang melibatkan bot nelayan dan sebuah tongkang di perairan Kemaman di sini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, beliau telah menerima makluman dimana pihak agensi kerajaan seperti Polis, Bomba dan Maritim telah menggandakan usaha bagi mengesan dua lagi mangsa yang hilang termasuk di lokasi bot karam. "Setakat ini kita belum menemukan petunjuk mangsa yang hilang dan pihak berwajib sedaya upaya akan mencari cara terbaik untuk mengesan dua lagi mangsa yang belum dijumpai. "Untuk pencarian hari ini, saya difahamkan pihak bomba turut menggunakan unit udara untuk membuat tinjauan di lokasi kejadian dan sekitarnya," ujarnya kepada pemberita. Katanya lagi, perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Sebelum ini, dua mangsa ditemukan lemas manakala dua lagi masih hilang apabila bot dinaiki sembilan penumpang termasuk dua tekong karam dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Ahad.  
12 Aug 24
185
Terengganu Menuju Negeri Industri Berteknologi Tinggi
Terengganu Menuju Negeri Industri Berteknologi Tinggi
KEMAMAN, 12 Ogos - Kerajaan negeri telah mengatur beberapa strategi dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri Industri Berteknologi Tinggi selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, Terengganu akan mengutamakan pembangunan mapan, mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pertimbangan alam sekitar dan sosial. Katanya, kerajaan negeri juga sedang menggubal satu dasar baharu iaitu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030. “Dasar ini selari dengan perkembangan revolusi industri 4.0 yang memberi penekanan kepada Internet of Thing (IOT) sebagai iltizam Negeri Terengganu membentuk pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui pelaburan perindustrian dalam pelbagai sektor perindustrian selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030), “Selain itu, kerajaan negeri akan membangunkan modal insan dengan melabur dalam program pendidikan dan latihan untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk industri teknologi tinggi," katanya. Beliau berkata demikian  ketika merasmikan upacara penutup bagi Pembukaan Kilang Kemaman Liquid Mud Plant (KLMP) yang berlangsung di Pengkalan Bekalan Kemaman di sini hari ini. KLMP merupakan kilang penyimpanan serta pemprosesan bahan kimia untuk dihantar ke pelantar-pelantar minyak bagi kegunaan kerja-kerja penggerudian minyak. Hanafiah berkata, kilang kLMP itu adalah salah satu perkhidmatan yang amat penting bagi melengkapkan struktur perkhidmatan dalam sesebuah pengkalan bekalan.  "Saya difahamkan bahawa kilang KLMP ini adalah salah satu kilang terbaik di rantau ini dan telah mendapat piawaian ISO mengikut standard keperluan syarikat-syarikat antarabangsa. "Ini menunjukkan komitmen KLMP terhadap kecemerlangan, keselamatan dan kualiti dalam setiap aspek operasinya," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Pengkalan Bekalan Kemaman. Tambah beliau, kilang tersebut bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi tempatan tetapi juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai 'hab industry' minyak dan gas yang kompetitif di peringkat global. "Dengan teknologi terkini dan amalan terbaik yang diterapkan, KLMP telah menunjukkan bahawa kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa," ujarnya.  
12 Aug 24
1081
Impian Usahawan Tercapai, Berniaga dari Rumah ke Kiosk
Impian Usahawan Tercapai, Berniaga dari Rumah ke Kiosk
KUALA NERUS, 12 Ogos – Usahawan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Nurulnadiah Abdullah, mencapai kejayaan besar dengan pembukaan kiosk barunya, Sugar Pastel Legacy, selepas beberapa tahun beroperasi dari rumah. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, menyatakan bahawa kiosk yang terletak di Tapak Pasar Malam Teluk Ketapang ini adalah hasil kerjasama banyak pihak termasuk SME Corp. Malaysia yang memberikan geran sebanyak RM30,000 kepada Nurul Nadiah. “Selain itu, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus menyediakan tapak untuk kiosk tersebut. YPU Terengganu juga memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam proses pembukaan kiosk ini. “Saya berharap bahawa pembukaan Sugar Pastel Legacy ini menandakan langkah penting dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan Puan Nadiah dan merupakan contoh kejayaan usahawan yang mendapat sokongan penuh daripada agensi-agensi kerajaan,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian kiosk Sugar Pastel Legacy di Teluk Ketapang hari ini. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengarah SME Corp. Malaysia Terengganu, Mohamad Firdhouse Mohamad Tajuddin, Pengurus Kanan Korporat YPU Terengganu, YM T Ahmad Shabirin Awalludin; serta wakil dari Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus dan Persatuan Penjaja Pasar Malam dan Pekan Sehari Kuala Nerus. Menurut Nurul Nadiah, sebelum ini, dia telah menjalankan perniagaan bakeri dari rumah, tetapi dengan cita-cita dan semangat yang tinggi dalam pembuatan kek, dia akhirnya berjaya membuka sebuah kiosk. “Kejayaan ini tidak hanya memperluas jangkauan perniagaannya tetapi juga memberikan peluang kepada pelanggan untuk menikmati hasil karya saya dalam suasana yang lebih profesional. “Dengan bantuan yang diterima, saya berharap dapat mengukuhkan kedudukan saya dalam pasaran dan terus memotivasi usahawan lain untuk mengejar cita-cita dalam perniagaan,” ujarnya.                
12 Aug 24
274
Permai Hotel Rangkul Anugerah 'Hotel Bandar Terbaik'  2024
Permai Hotel Rangkul Anugerah 'Hotel Bandar Terbaik'  2024
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Permai Hotel Kuala Terengganu sekali lagi mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai pemenang bagi kategori “Best City Hotel” di Tourism Industry Awards 2024 (TIA 2024), baru-baru ini. Pengurus Besarnya,  Noralizan Abd Rahman berkata kejayaan tersebut menandakan satu pencapaian hebat bagi Permai Hotel Kuala Terengganu, sekaligus memperkukuhkan kedudukannya sebagai salah satu pilihan utama penginapan di bandar Kuala Terengganu. Menurutnya, anugerah itu merupakan satu tanda aras penting untuk menjadi lebih baik dan lebih banyak akan dilakukan bagi memastikan kepuasan tetamu yang menginap di hotel terjaga.  "Tahun ini, kami akan mulakan pengubahsuaian bagi 80 bilik bagi keselesaan pengunjung.  "Permai Hotel juga telah melakukan beberapa pengubahsuaian bilik, penggantian karpet Ballroom, dan renovasi restoran," ujarnya ketika ditemui pemberita.  Majlis anugerah yang dianjurkan oleh Malaysia International Tourism Development Association (MITDA) Tourism Industry Awards 2024 (TIA 2024) diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh. Majlis tersebut turut mempertandingkan lebih 60 kategori termasuk ejen pelancongan, perhotelan, seni dan budaya, perkhidmatan makanan dan banyak lagi.  Noralizan juga berkata beliau yakin anugerah itu juga akan menjadi antara faktor para pelanggan menjadikan hotel tersebut sebagai destinasi pilihan penginapan utama apabila bercuti serta berkunjung ke Kuala Terengganu. "Anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk terus mencapai lebih banyak kejayaan dan mengekalkan kecemerlangan dalam industri pelancongan di Terengganu khususnya," ujarnya.      
12 Aug 24
1671
Nahas Bot Karam, Kerajaan Negeri Hulur Bantuan
Nahas Bot Karam, Kerajaan Negeri Hulur Bantuan
KEMAMAN , 11 Ogos - Kerajaan negeri turut membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian bot nelayan berlanggar dengan tongkang, pagi tadi. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata beliau telah memastikan semua agensi kerajaan yang terlibat seperti Polis, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Maritim dan Pejabat Daerah Kemaman dapat melaksanakan tugasan masing-masing dengan baik. "Pihak kami telah menyediakan beberapa bentuk bantuan kepada mangsa yang ditemui. Pertama, kami telah menyediakan sebuah rumah tumpangan untuk mereka tinggal sementara waktu. "Kita juga telah menyediakan pakaian baru, peralatan mandian, selipar dan sebagainya. Dalam masa yang sama, kami juga turut menyediakan makanan kepada mereka. "Dalam masa sama memastikan keperluan mereka mencukupi sementara menunggu pihak berwajib dapat menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya," ujarnya ketika ditemui di lokasi. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian sekitar jam 6.30 pagi itu berlaku pada jarak tujuh batu nautika atau 13 kilometer (km) dari kawasan perairan Kuala Kemaman. Menurutnya, bot tersebut dikatakan membawa sembilan penumpang termasuk tekong, kru dan pelancong berusia lingkungan 23 hingga 79 tahun untuk memancing. "Penumpang bot terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan berasal dari Raub, Pahang dan Gombak, Selangor. "Setakat ini, lima mangsa selamat, dua ditemui lemas dan dua lagi masih belum ditemui," ujarnya. Operasi pencarian mangsa yang masih hilang dihentikan jam 7.00 malam dan akan bersambung esok.
12 Aug 24
834
Adun Terengganu Jelajah Negeri, Hulur Bantuan Rakyat
Adun Terengganu Jelajah Negeri, Hulur Bantuan Rakyat
BESUT, 11 Ogos – Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC) menjelajah ke seluruh daerah dalam Terengganu bagi mendekati dan menghulurkan sumbangan kepada keluarga kurang bernasib baik. Pengerusi BBC yang juga ADUN Bandar, Ahmad Shah Mohamed berkata, program berkenaan telah bermula sejak April lalu di DUN Ladang. "Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan BBC untuk mendekati rakyat di pelbagai kawasan. "Dalam program yang diadakan pada semalam, BBC telah melawat DUN Jerteh, sebagai sebahagian daripada siri ziarah yang juga merangkumi agihan sumbangan keperluan asas," katanya. Jelas Ahmad Shah lagi, program ziarah tersebut juga adalah usaha untuk memastikan pihaknya dapat mendengar dan memahami keperluan serta masalah rakyat di kawasan-kawasan dilawati. Beliau berkata acara tersebut bermula seawal pukul 7.30 pagi dengan sesi sarapan pagi bersama penduduk tempatan. Tambahnya, program diikuti dengan ziarah dari rumah ke rumah bermula sekitar pukul 8.30 pagi. "Ziarah tersebut melibatkan lawatan ke rumah-rumah orang tua, pesakit kronik, dan mereka yang memerlukan bantuan. “Kami membahagikan peserta kepada tiga kumpulan untuk memastikan setiap rumah dapat dilawati. "Ini adalah peluang bagi kami untuk menunjukkan sokongan dan keprihatinan kepada mereka yang memerlukan," ujarnya. Selain ziarah, program pada hari tersebut turut melibatkan acara sukan Pasti untuk Negeri Terengganu, yang turut disertai oleh wakil-wakil BBC. Untuk rekod, program tersebut dirancang untuk diteruskan ke DUN Telemong pada akhir bulan ini atau awal bulan depan, dengan sasaran untuk melawat sekurang-kurangnya tiga kawasan setiap tahun.
11 Aug 24
617