lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

JHEAT Anjur Tahnik Khusus Untuk Orang Asli
JHEAT Anjur Tahnik Khusus Untuk Orang Asli
HULU TERENGGANU, 14 Ogos – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah melaksanakan Program Tahnik Khusus untuk anak-anak masyarakat Orang Asli di Sungai Berua. Ketua Penolong Pesuruhjaya (KPP) Bahagian Undang-Undang Keluarga, JHEAT Moktar Salleh berkata ia bertujuan untuk merasmikan nama-nama anak yang baru dilahirkan mengikut syariat Islam dan memberi kefahaman mengenai proses tahnik. “Program Tahnik tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Mufti Terengganu, Profesor Madya Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar. “Tahnik merupakan amalan menyentuh mulut bayi dengan kurma atau makanan manis yang telah dirasmikan dengan kalimah Allah SWT. “Di samping, untuk memperoleh keberkatan dan memulai kehidupan anak-anak dengan cara yang sesuai dengan ajaran Islam,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Program Santuni Masyarakat Orang Asli, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ di Dewan Masjid Felcra Bukit Kapah, Hulu Terengganu di sini semalam. Moktar berkata, program tersebut turut melibatkan penyampaian maklumat mengenai proses penamaan anak yang betul dan pentingnya mengikuti ajaran Islam dalam kehidupan seharian. Tambahnya, para ibu bapa juga diberi panduan tentang cara memastikan anak mereka mendapat pendidikan agama yang baik dari awal usia. Mengulas lanjut mengenai program, di mana turut menyentuh keperluan mendalam dalam memperbaiki kefahaman masyarakat Orang Asli mengenai undang-undang keluarga Islam, khususnya dalam aspek perkahwinan dan makanan halal. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Berua, Abdul Hadi Alias berkata melahirkan rasa syukur kerana program tersebut memberi peluang kepada mereka untuk memahami lebih lanjut mengenai ajaran Islam. “Saya sangat menghargai usaha JHEAT dalam menyediakan panduan ini. Ia membantu kami memahami dan mempraktikkan ajaran Islam dengan lebih baik. “Saya mewakili masyarakat Sungai Berua berharap agar program sebegini dapat dilaksanakan secara berterusan supaya dapat memberi pendedahan yang lebih lagi kepada masyarakat Orang Asli di sini,” ujarnya.  
14 Aug 24
199
Azizulhasni Bakal Dilantik Ikon Pelancongan Terengganu
Azizulhasni Bakal Dilantik Ikon Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang akan dilantik sebagai ikon pelancongan negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan berbincang dengan Azizulhasni sebaik sahaja beliau pulang dari menyertai Sukan Olimpik Paris 2024. Menurutnya, pelantikan Azizulhasni dijangka akan menyokong usaha kerajaan negeri untuk mencapai sasaran kedatangan pelancong yang kini melebihi 5.2 juta, melebihi sasaran awal iaitu 4.5 juta pelancong. "Azizulhasni, yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’, adalah langkah strategik untuk menarik kedatangan pelancong dari luar negara, khususnya dalam bidang pelancongan sukan. “Kita sedang menunggu kepulangan Azizulhasni, yang juga anak kelahiran Dungun, untuk berbincang mengenai tawaran sebagai ikon pelancongan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Razali berkata, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pada dasarnya telah bersetuju dengan cadangan pelantikan Azizulhasni sebagai ikon pelancongan. “Kita sedang menunggu masa yang sesuai untuk berbincang dengan Azizulhasni dan berharap dia bersetuju dengan pelantikan itu.  "Pelantikan Azizulhasni sebagai ikon pelancongan dijangka akan memberi impak positif kepada industri pelancongan negeri Terengganu, dengan menonjolkan keunikan dan kehebatan atlet berbasikal negara sebagai daya tarikan tambahan,” ujarnya.
13 Aug 24
600
Operasi Carilamat Mangsa Bot Karam di Perairan Kemaman Ditamatkan
Operasi Carilamat Mangsa Bot Karam di Perairan Kemaman Ditamatkan
KEMAMAN, 13 Ogos - Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) dua lagi mangsa bot karam yang dilanggar tongkang di perairan Kemaman, Ahad lalu, ditamatkan hari ini. Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata, operasi selama tiga hari itu ditamatkan pada 7 malam. Katanya, ia berikutan selepas pasukan penyelamat gagal menemui sebarang petunjuk. "Kita melakukan pencarian meliputi seluruh kawasan pencarian. Operasi pencarian dibantu penyelam daripada Skuadron Selam bawah kendalian Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia serta dua pesawat udara dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. "Bagaimanapun, usaha mencari akan diteruskan oleh APMM Terengganu dalam skala lebih kecil bermula esok," ujarnya kepada pemberita. Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Ahad, sebuah bot nelayan membawa sembilan individu, termasuk tekong, untuk mencandat sotong dan memancing karam selepas dilanggar tongkang. Lima daripada sembilan mangsa terselamat, dua mangsa ditemukan lemas, manakala dua lagi, Yusof Kassam, 66 dan Aina Husna Mohamad Husaini, 25, masih belum dijumpai.  
13 Aug 24
222
Jangan Jadikan Sidang Dewan Rakyat Platform Berpolitik
Jangan Jadikan Sidang Dewan Rakyat Platform Berpolitik
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Setiap Ahli Parlimen dalam negara ini diingatkan agar tidak menjadikan Persidangan Dewan Rakyat sebagai platform untuk berpolitik murahan sebaliknya kepentingan rakyat perlu diberikan tumpuan dan keutamaan. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, apa yang ingin didengari rakyat adalah perkara yang mendatangkan manfaat serta kebaikan buat mereka. "Sebenarnya saya sedar dan faham mereka (Ahli Parlimen) seramai 222 merupakan orang politik... Tetapi apabila masuk ke dalam dewan berbahas dengan baik jangan jadikan ia sebagai platform untuk menyampaikan modal politik. "Politik itu kita main di luar, yang kita hendak bincangkan dalam parlimen ini adalah isu rakyat yang seharusnya diutamakan," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya sempena Program Jelajah Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke Dewan Undangan Negeri di Semenanjung, di Wisma Darul Iman di sini, semalam. Turut hadir, Yang di-Pertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Timbalannya, Khazan Che Mat. Mengulas lebih lanjut Johari berkata, cadangan memendekkan tempoh perbahasan di Parlimen dengan dihadkan kepada tiga minit pada pandangan beliau ia relevan bagi memastikan setiap perkara yang dibahaskan tidak meleret panjang. "Sebenarnya kalau pergi ke parlimen-parlimen luar negara seperti Eropah masa yang diberikan hanya tiga minit, di England tanpa ada kerusi dan meja dia boleh bercakap dalam masa seminit. "Tidak bermakna tidak boleh berucap, ketika dibincangkan tentang bajet setiap orang saya pernah bagi sampai 15 minit begitu juga dengan waktu-waktu tententu khususnya yang berhubung di peringkat jawatankuasa atau ada isu-isu tertenu saya maksimumkan kepada lima minit. "Jangan berbunga-bunga dengan pantun sehingga berpantun sahaja cecah 20 minit, jadi jenuhlah kita kena ingat setiap minit kita berada dalam dewan itu merupakan masa rakyat," ujarnya.  
13 Aug 24
197
Jangan Biar Anak Terlalu Bebas, Dikhuatiri Terperangkap 'Dadah Sintetik'
Jangan Biar Anak Terlalu Bebas, Dikhuatiri Terperangkap 'Dadah Sintetik'
SETIU, 13 Ogos- Ibu bapa di negeri ini disaran agar tidak memberikan kebebasan kepada anak remaja terutama yang masih berada di bangku sekolah kerana dikhuatiri akan terlibat dengan gejala penagihan dadah sintetik yang kini kian menular dan menjadi trend. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, sikap sambil lewa dan mengabaikan anak-anak menjadi punca remaja mudah terlibat dengan perkara itu. Katanya, masalah itu bolrh menjadi faktor kepada keruntuhan institusi kekeluargaan. "Kesan kepada penglibatan remaja dalam gejala penagihan dadah jenis sintetik (tiruan) ini boleh menyebabkan kemusnahan bukan hanya kepada diri dia sahaja, tetapi akibat akal yang rosak pelaku akan bertindak lebih ganas termasuk sanggup membunuh dan membawa kepada bencana lain. "Jadi gangguan ini akan menyebabkan kemusnahan dalam institusi keluarga, masyarakat dan akan menghakis kebahagian. "Jadi anak-anak ini perlu dibentuk dari awal oleh ibu dan ayah kerana mereka membesar dari bayi sehingga remaja adalah dalam keluarga, jadi ahli keluarga mesti memainkan peranan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa Program Jelajah Kebajikan 'Jalinan Kasih Tautan Budi' Peringkat Daerah Setiu, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, hilang pantauan daripada ibu bapa akan lebih memburukkan keadaan untuk terlibat dengan gejala yang tidak bermoral itu. "Saya suka nasihatkan kepada semua jangan beri kebebasan kepada anak-anak, jagalah mereka. "Kerana apabila anak-anak terlalu bebas jadi mereka akan mengisi kelompongan masa dengan pengisian yang akan merosakkan diri. "Adalah lebih baik jika kita pastikan anak-anak kita ini luangkan waktu bersama kita dan keluarga dengan melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan suka menghabiskan masa di rumah demi kebahagian bersama," ujarnya.
13 Aug 24
193
JHEAT Serah Surat Akuan Nikah kepada 10 Pasangan Orang Asli
JHEAT Serah Surat Akuan Nikah kepada 10 Pasangan Orang Asli
HULU TERENGGANU, 13 Ogos – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah menyerahkan Surat Akuan Nikah kepada 10 pasangan orang asli Sungai Berua. Ketua Penolong Pesuruhjaya (KPP) Bahagian Undang-Undang Keluarga, JHEAT Moktar Salleh berkata, ia bagi memperkukuh kefahaman dan amalan agama islam di kalangan masyarakat di sini Katanya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JHEAT untuk memastikan masyarakat orang asli memahami dan mengamalkan hukum syarak dengan betul. “Penyerahan Surat Akuan Nikah ini adalah langkah penting dalam memastikan setiap perkahwinan diiktiraf secara sah di sisi undang-undang dan agama. “Kita melihat keperluan mendalam dalam memperbaiki kefahaman masyarakat orang asli mengenai undang-undang keluarga Islam, khususnya dalam aspek perkahwinan dan makanan halal.  “Program ini bertujuan untuk memberikan penjelasan dan panduan yang tepat agar mereka dapat menjalani kehidupan beragama dengan lebih baik dan sesuai dengan tuntutan Islam,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Program Santuni Masyarakat Orang Asli, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ di Dewan Masjid Felcra Bukit Kapah, Hulu Terengganu di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Abdul Hadi Alias. Pihak JHEAT turut menyampaikan bantuan kepada komuniti orang asli berupa barangan keperluan dan wang tunai, manakala dari pihak ADUN Telemong pula menyerahkan sumbangan kain pelekat dan kain sembahyang.  Moktar berkata, dengan adanya Surat Akuan Nikah itu, pasangan-pasangan tersebut kini dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dalam perkahwinan dengan penuh keyakinan dan kepatuhan terhadap undang-undang Islam.  Tambahnya, ia juga membantu dalam memastikan hak-hak setiap pasangan terjamin dan diiktiraf secara sah. “Program ini merupakan salah satu inisiatif penting dalam memperkukuh amalan agama dalam kalangan masyarakat orang asli di kawasan tersebut. “Selain penyerahan Surat Akuan Nikah, program ini juga melibatkan sesi penerangan mengenai pentingnya pengamalan sembahyang lima waktu dan pemahaman mengenai makanan halal. “Harapan kami adalah agar setiap pasangan yang menerima Surat Akuan Nikah ini akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pasangan suami isteri dengan penuh kesedaran dan kefahaman tentang tuntutan agama,” ujarnya.  
13 Aug 24
532
Junaidi, Fatimah Terharu Dapat Rumah Baharu
Junaidi, Fatimah Terharu Dapat Rumah Baharu
SETIU, 13 Ogos - Rumah berkeadaan daif dimiliki Junaidi Daud, 49, bersama isterinya, Siti Fatimah Harun,45, mendapat perhatian daripada kerajaan untuk dibina kediaman baru. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, keputusan itu adalah yang terbaik untuk pasangan berkenaan yang kini menetap di Kampung (Kg) Che Long, Permaisuri. Ujarnya, perkara itu akan dipastikan dilaksanakan segera melalui kerjasama pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jawatankuasa Pemandu Projek (JPP). "Insya-Allah kita akan memastikan rumah baru dapat dibina di atas tanah sama dimiliki oleh mereka dan kerajaan akan cuba dapatkan bekalan air yang turut menjadi masalah bagi keluarga ini sebelum ini. "Kita juga akan usahakan supaya generator dapat digunakan sebagai langkah sementara kerana mereka juga turut mengalami masalah bekalan elektrik. "Sekarang ini dengan ketiadaan bekalan air mereka bergantung kepada air hujan serta telaga yang mengalami masalah kekeringan serta bergantung bekalan air di balai raya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika menghadiri Program Jelajah Kebajikan 'Jalinan Kasih Tautan Budi' Peringkat Daerah Setiu, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut Maliaman berkata, sepanjang jelajah yang membabitkan lima daerah, keadaan yang dihadapi oleh keluarga itu paling teruk kerana bukan sahaja menghuni rumah daif tetapi turut hidup dalam ketiadaan bekalan asas iaitu air dan elektrik. "Di kampung-kampung lain saya rasa tidak terlalu teruk yang ini memang keadaanya sangat daif, apatah lagi Ketua Isi Rumah (KIR) menghidapi penyakit kronik dan tidak boleh bekerja dan hanya mengharapkan isteri. "Kita harapkan agensi-agensi serta jabatan yang ada termasuk Pejabat Daerah, MAIDAM, JPP, Pusat Khidmat Masyrakat (PKM), serta jawatankuasa di bawah portfolio saya sendiri akan menyegerakan perkara ini," ujarnya. Sementara itu, Fatimah Harun berbesar hati dengan keprihatinan pihak kerajaan negeri dan terharu dengan keputusan yang diambil dan ia memberikan sinar harapan buat mereka. "Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan dengan penyelesaian yang diputuskan itu dapatlah kami hidup dalam keadaan lebih sempurna," ujarnya.
13 Aug 24
251
Yusuf Dikec Boleh Dijadikan Inspirasi Skuad Menembak- Khalil
Yusuf Dikec Boleh Dijadikan Inspirasi Skuad Menembak- Khalil
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos- Komitmen dan keyakinan atlet menembak Turkiye, Yusuf Dikec sehingga berjaya meraih pingat perak di Sukan Olimpik 2024 boleh dijadikan inspirasi kepada skuad menembak Terengganu untuk mempamerkan aksi cemerlang dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebagai ‘bapa angkat’ kepada skuad menembak negeri, beliau ingin melihat semangat juang yang ditunjukkan Yusuf Dikec ketika beraksi di pentas dunia itu dapat dicontohi para atlet bagi merealisasikan sasaran satu pingat emas, satu perak dan enam gangsa. “Ambil semangat beliau itu (Yusuf Dikec) walaupun dengan gaya bersahaja beliau mencapai satu prestasi dan kejayaan yang begitu hebat dengan memperolehi pingat perak. “Satu perkara yang boleh menjadi inspirasi kepada atlet kita untuk mencapai kejayaan dalam SUKMA yang akan berlangsung beberapa hari lagi,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Pasukan Menembak SUKMA Terengganu dan Jabatan Angkat (Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu) di Sumai Hotel, semalam. Terengganu menghantar seramai 17 atlet menembak iaitu lapan lelaki dan sembilan wanita untuk bertanding dalam 14 acara. Terdahulu, Yusuf Dikec, menjadi tular di media sosial kerana sikapnya yang kelihatan santai ketika menembak untuk meraih pingat perak di Sukan Olimpik 2024. Gambar yang banyak dikongsi menunjukkan Dikec menembak dalam baju-T dengan satu tangan di dalam poket, memakai sepasang cermin mata biasa dan ekspresi wajah yang tenang.  
13 Aug 24
229
Mufti Terengganu Jawab Kritikan Majlis Perundingan Pelbagai Agama
Mufti Terengganu Jawab Kritikan Majlis Perundingan Pelbagai Agama
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron menjelaskan bahawa garis panduan berkaitan kehadiran umat Islam ke rumah ibadat agama lain adalah khusus untuk menjaga keharmonian di kalangan umat Islam dan tidak melibatkan agama lain.  Kenyataan ini dibuat sebagai respons terhadap kritikan daripada Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang mengecam beliau membenarkan dakwah Islam di tempat ibadat bukan Islam. Mohamad Sabri menyatakan bahawa niat dalam menghadiri tempat-tempat ibadat seperti gereja dan kuil adalah penting untuk mengelakkan timbulnya fitnah dan maksud yang tidak baik, seperti menceroboh, mengebom atau memusnahkan patung. Beliau menekankan bahawa semua pihak perlu menghormati garis panduan itu untuk memelihara keharmonian di kalangan umat Islam. Menurutnya, kehadiran ke tempat ibadat agama lain mungkin boleh menimbulkan sangkaan buruk daripada masyarakat Islam sendiri mengenai kemungkinan bertukar agama. “Sebagai agama yang diiktiraf dalam al-Quran dan perlembagaan negara, niat dakwah dalam Islam haruslah tulus dan berlandaskan kasih sayang untuk menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat. “Ini sesuai dengan kehendak wahyu yang menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mengikut kehendak wahyu, Islam adalah agama yang tertinggi, dan umat Islam tidak boleh meletakkan Islam setaraf dengan agama lain,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Tambah Mohamad Sabri, dialog antara agama tidak semestinya dilakukan di tempat ibadat tetapi boleh diadakan di lokasi lain yang sesuai. “Garis panduan ini penting untuk menjaga keharmonian dengan agama-agama lain dan mengelakkan timbulnya fitnah serta niat yang buruk. “Kesimpulannya, garis panduan ini bertujuan menjaga keharmonian dan mengelakkan fitnah. Hidayah dan petunjuk adalah milik Allah SWT, dan manusia hanya berusaha untuk kebaikan di dunia dan akhirat,” ujarnya.
13 Aug 24
377
SUKMA: Terengganu Kejutkan Juara Bertahan
SUKMA: Terengganu Kejutkan Juara Bertahan
KUCHING, 13 Ogos- Pasukan kriket Terengganu mengejutkan juara bertahan, Perak apabila menang dengan dua wicket pada aksi pertama peringkat kumpulan di Sukan Malaysia SUKMA XXI Sarawak, hari ini. Pada perlawanan yang berlangsung di Padang Kriket dan Ragbi Sarawak itu Perak terlebih dahulu beraksi garang pada innings pertama melalui Afiq Syakir yang melakukan 36 larian dan Norman Haiqal sebanyak 27 larian, tertinggi bagi pasukan mereka. Manakala, pembaling Terengganu, Fathul Muin mendominasi balingan dengan dua wicket dan 14 larian. Memasuki innings kedua, Terengganu bermula perlahan apabila hanya mendapatkan 49 larian/ 5 wicket ketika berbaki 9.4 over. Namun, selepas itu kejutan demi kejutan dilakukan dengan gandingan pemukul Akmal Naqib dan Shahmil Adam berjaya mendapatkan 109 larian buat Terengganu. Sekalipun kapten Perak, Haiq Aiman berjaya menyingkirkan Shahmil Adam, ia sudah terlambat untuk Perak kekal mendahului sehingga tamat perlawanan keranan Hanelang hanya memerlukan dua larian untuk mengatasi mereka. Terengganu mencapai 111 larian hasil gandingan Akmal dan Irwan Syah dan menang dengan dua wicket.
13 Aug 24
12415