lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Nur Ain Kekalkan Penguasaan Emas Terengganu
Nur Ain Kekalkan Penguasaan Emas Terengganu
KUCHING, 16 Ogos- Skuad boling padang Terengganu mengekalkan penguasaan pingat emas bagi kategori individu wanita menerusi Nur Ain Kemilia Sukri, 21. Pada perlawanan di Sarawak Lawn Bowls Arena, Nur Ain menewaskan seteru dari Selangor, Nur Najla Damia Mustakim dengan skor 20-11. Anak kelahiran Kampung Kuala Ibai itu menyifatkan, kejayaan kali ini sangat bermakna baginya. "Ini kali kedua (penglibatan) untuk SUKMA jadi, bagi saya ia masa terakhir untuk saya, sebelum SUKMA lalu emak saya tiada (meninggal dunia) disebabkn kanser ovari peringkat keempat. "Sebelum SUKMA ini pula, saya juga kehilangan seorang ahli keluarga (pak cik), jadi saya nekad untuk mendapatkan pingat emas buat Terengganu kerana ia perkhidmatan terakhir saya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir, di sini hari ini. Mengakui sukan boling padang agak baru buat dirinya, Nur Ain tidak menolak kemungkinan untuk tampil dalam skuad kebangsaan jika dipanggil. "Saya bermula tahun 2016 walaupun tidak tahu ia sukan apa. Cuma ada kawan yang sertai, jadi saya berminat. "Insya-Allah, kalau ada rezeki dipanggil, saya terima dengan hati terbuka dan saya akan cuba bagi komitmen sepenuhnya untuk masuk dalam skuad Malaysia," katanya. Dalam pada itu, Terengganu turut meraih pingat perak dalam acara bertiga lelaki yang tewas dalam perlawanan akhir kepada Wilayah Persekutuan, 9-15. Majlis penyampaian pingat di Sarawak Lawn Bowls Arena tadi disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang baru tiba di Kuching.
16 Aug 24
680
Malaysia Border Trade Fair di Songkhla Platform Usahawan Terengganu Berkembang
Malaysia Border Trade Fair di Songkhla Platform Usahawan Terengganu Berkembang
SONGKHLA, 15 Ogos - Songkhla Thailand - Malaysia Border Trade Fair 2024 yang berlangsung di Siang Tung Park, Hat Yai, Thailand memberi peluang yang baik kepada usahawan dari Thailand dan Malaysia untuk mempamer dan mempromosi produk mereka. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman, berkata kehadirannya mewakili kerjaan negeri Terengganu ke festival yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Thailand, sebagai tanda sokongan pihaknya terhadap kerjasama perdangangan antara Thailand dan Malaysia.  "Tujuan utama  hadir di acara ini mestilah untuk memberi galakan dan sokongan kepada usahawan Terengganu yang mengambil bahagian dalam pesta perdagangan dua negara ini yang menjadi platform untuk melihat secara dekat produk-produk inovatif dan berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh usahawan Terengganu. "Sekaligus mempromosikan potensi perniagaan mereka di pasaran antarabangsa. "Kerajaan Negeri Terengganu sangat menggalakkan dan memberikan sokongan penuh kepada para usahawan Terengganu yang berusaha untuk menembusi pasaran luar negara bagi memasarkan produk mereka,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa menghadiri program terbabit, di sini, baru-baru ini.  Mengulas lebih lanjut katanya, setiap produk usahawan Terengganu mempunyai keistimewaan tersendiri dan berpotensi untuk dipasarkan di luar negara di samping usaha gigih daripada mereka sendiri untuk lebih kreatif dalam memasarkan produk mereka juga wajar dipuji. "Kita berharap agar dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan untuk usahawan kita mempromosikan produk-produk mereka ke peringkat yang lebih tinggi. "Kita juga berharap lebih ramai usahawan Terengganu dapat menyertai acara yang diadakan di luar negara seperti ini bagi meneroka dan meluaskan pasaran produk masing-masing bukan sahaja di rantau Asia malah di seluruh dunia," katanya.  Ujarnya lagi, Kerajaan Negeri Terengganu dan agensi-agensi keusahawanan akan terus menyokong dan membantu para usahawan Terengganu untuk mencapai kejayaan di peringkat global.
16 Aug 24
102
Pasukan Kriket Terengganu Lakar Sejarah ke Separuh Akhir
Pasukan Kriket Terengganu Lakar Sejarah ke Separuh Akhir
PETRAJAYA, 16 Ogos - Pasukan kriket Terengganu mencipta sejarah baharu di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) apabila layak ke separuh akhir buat kali pertama. Ketua Jurulatih Kriket Terengganu, Kamarudin Husin berkata, pencapaian itu sangat membanggakan kerana pasukannya hadir ke bumi kenyalang sebagai 'underdog'. "Kami tidak dikenali apatah lagi digeruni mana-mana pasukan. "Namun, pada perlawanan pertama kami buktikan kemampuan kami, kami tewaskan juara bertahan, Perak," katanya ketika ditemui UPDI sejurus selepas melangkah ke separuh akhir. Menurut Kamarudin, Terengganu menyasarkan untuk menyumbang satu pingat emas dan perak bagi sukan tersebut. "Insya-Allah Terengganu akan berjuang bermatian-matian untuk mencapai sasaran tersebut. "Di separuh akhir kami masih menanti siapa lawan, sama ada Kelantan, Selangor ataupun Sarawak," katanya. Tambah beliau lagi, pembinaan pasukan kriket Terengganu seawal 2019 akhirnya membuahkan hasil hari ini. Terengganu melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Pulau Pinang dengan 8 wiket pagi tadi.  
16 Aug 24
285
17 Tahun Tunggu 'Mimpi' Emas
17 Tahun Tunggu 'Mimpi' Emas
KUCHING, 15 Ogos- Sejarah tercipta buat kontinjen Terengganu apabila skuad tenpin boling meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki menerusi Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan di Sukan Malaysia (SUKMA) XXI, semalam. Menurut ketua jurulatih, Mohd Syafiq Suhaimi, ini merupakan pingat emas pertama yang diperolehi skuad tenpin boling Terengganu sepanjang 17 tahun menyertai SUKMA. "Tahun 2008, Terengganu kali pertama menghantar anak jati untuk sukan boling,  ketika itu sayalah atlet kelompok pertama dan sekarang saya dipertanggungjawabkan untuk SUKMA kali ini, Alhamdulillah kini kita dapat. "Saya mengikuti SUKMA dari tahun 2008 dan berharap ada yang dapat bawa pulang emas dari sukan boling. "Jadi, saya sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat yang disempurnakan Timbalan Ketua Kontinjen, Dato' Rosli Latif di Megalanes Sarawak, semalam. Tambahnya, kemenangan itu sebenarnya amat mengejutkan. "Saya tidak sangka, boling susah untuk kita jangka kerana keadaan 'lane' berbeza-beza. "Masa latihan semalam pun, saya masih tidak nampak dia mampu dapatkan emas dan hari ini, setelah balingan ke sebelas baru kita mampu mengejar. "Memang saya diamanahkan untuk dapatkan emas, tetapi saya sasarkan acara berpasukan kerana kekuatan kita di situ," katanya. Tidak lupa, beliau sempat memohon rakyat negeri Terengganu untuk terus mendoakan pasukan tenpin boling bagi mencipta kejutan pada acara regu dan berpasukan dalam tempoh lima hari mendatang.
16 Aug 24
369
JKNT Rekod 1,061 Kes Penjualan Vape Remaja Bawah Umur
JKNT Rekod 1,061 Kes Penjualan Vape Remaja Bawah Umur
MARANG,15 Ogos – Sebanyak 1,061 kes melibatkan penjualan rokok elektronik atau vape direkodkan kepada individu bawah umur 18 tahun di Terengganu sejak awal tahun sehingga Julai lepas. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya memandang serius isu penggunaan vape dalam kalangan remaja. Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menjual rokok vape kepada remaja bawah umur 18 tahun. “Kita amat risau dengan peningkatan tabiat merokok dan isu pengunaan vape dalam kalangan remaja sekarang. “Jadi kita lakukan penguatkuasaan dengan memeriksa premis bagi memastikan tidak ada penjualan rokok biasa dan rokok elektronik kepada individu berumur bawah 18 tahun. “Selain memberi peringatan kepada pemilik kedai supaya tidak menjual vape kepada remaja bawah umur,” katanya menurut laporan berita Sinar Harian ketika Sidang Media Ops Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 4/2024 di Pejabat Kesihatan Daerah Marang di sini pada Khamis. Dr Kasemani berkata, sebanyak 831 operasi dijalankan dan 15,346 premis diperiksa di bawah penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 sehingga bulan Julai lepas. Tambahnya, sebanyak 5,431 notis kesalahan dikeluarkan bernilai RM1.34 juta. “Jumlah ini meningkat sebanyak 24.4 peratus berbanding 4,366 notis kesalahan bernilai RM1.01 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2023. “Kesalahan merokok di kawasan larangan merokok antara penyumbang tertinggi iaitu 4,752 notis kesalahan rokok konvensional (3,691) dan vape (1,061),” ujarnya.  Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata, sebanyak 120 premis dijalankan pemeriksaan untuk operasi kali ini melibatkan kawasan larangan merokok antaranya kedai makan, kedai penjualan rokok dan premis kerajaan. “Sebanyak 23 notis kesalahan bernilai RM6,250 telah dikeluarkan dalam ops dijalankan semalam (Rabu) dan hari ini. “Antara kesalahan paling tinggi melibatkan kesalahan merokok di kedai makan iaitu sebanyak 19 kes, jualan rokok bawah harga minimum (dua) dan tiada pemasangan papan tanda larangan merokok (dua),” jelasnya.
15 Aug 24
150
Terengganu Perhebat Usaha Cungkil Bakat Baru Gamelan
Terengganu Perhebat Usaha Cungkil Bakat Baru Gamelan
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bakal menganjurkan Pertandingan Gamelan Melayu (Senandung Terengganu) peringkat negeri bagi mencungkil bakat baru agar seni warisan itu terpelihara dan tidak luput ditelan zaman. Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, pertandingan yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan berlangsung pada 27 dan 28 September. Ujarnya, usaha memartabatkan kesenian itu difikirkan wajar bagi memastikan kesinambungan kepada perkembangan budaya seni 'Gamelan Terengganu'. "Matlamat utama kita adakan program ini sudah tentu untuk mencungkil bakat kanak-kanak dan juga remaja dalam bidang seni gamelan bagi memastikan pemuliharaan dan pengembangan kepada seni gamelan tidak akan terhenti. "Dengan menyasarkan penglibatan pelajar sekolah rendah dan menengah ia akan memberi pendedahan baru terutama kepada mereka yang baru menceburi diri dalam bidang seni dan budaya ini," ujarnya. Beliau berkata demikian semasa sidang media Penganjuran Pertandingan Gamelan Melayu (Senandung Terengganu) Peringkat Negeri Terengganu, di Bilik Ulek Mayang JKKN, Kuala Ibai, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, sebanyak 17 buah sekolah telah mengesahkan penyertaan dalam dua kategori pertandingan iaitu tarian dan alat gamelan. "Kategori tarian akan disertai pelajar dari sembilan buah Sekolah Renda (SK) iaitu Seberang Takir, SK Tok Jembal, Tengku Ampuan Intan, Kubang Ikan, Tanjung Gelam, Gong Pasir, Sultan Sulaiman, Wakaf Tapai manakala SK Methodist Kuantan, Pahang turut dijemput khas untuk menyertai. "Bagi kategori pertandingan alat gamelan pula disertai oleh lapan buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Gong Badak, Tengku Mahmud, Tengku Lela Segara, Pulau Serai, Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu. "SMK Bandar Damai Perdana, Selangor telah turut bersetuju menyertai pertandingan yang bakal diadakan itu nanti," ujarnya. Jelasnya, berlaku peningkatan ketara dalam penyertaan pada kali ini berbanding kali pertama diadakan pada tahun lalu yang hanya disertai oleh lima buah sekolah. "Terutama setelah ia dipersembahkan semasa pembukaan program 'Beautiful Terengganu', dan dalam beberapa cara lagi di samping kita menawarkan kepada lebih banyak sekolah untuk menyertai acara ini dan telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan," ujarnya. Dalam pada itu katanya, hadiah keseluruhan bagi pertandingan itu ditawarkan sebanyak RM12,000 membabitkan dua kategori yang dipertandingkaan, dengan juara akan mendapat RM2,500, naib juara RM2,000 dan ketiga RM1,500.    
15 Aug 24
332
Terengganu Terus Hasilkan Kayuhan Emas
Terengganu Terus Hasilkan Kayuhan Emas
KUCHING, 15 Ogos- Pasukan berbasikal menghadiahkan dua lagi pingat emas kepada kontinjen Terengganu di Sukan Malaysia SUKMA XXI setelah memenangi acara lepas beramai-ramai lelaki akhir, hari ini. Terengganu meraih emas dalam kategori individu dan berpasukan yang diadakan serentak melibatkan laluan sepanjang 144 km. Bagi kategori individu, Muhammad Iqbal Daniel Muhammad Nawawi menewaskan penunggang Johor, Muhammad Fahim Nazim Muhammad Zaini di tempat kedua. Manakala, pingat gangsa dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Ren Bao Tsen. Dalam kategori berpasukan pula, Terengganu turut diwakili Kee Zhe Yie, Mohamad 'Afi Danial Ramli, Afiq Iskandar Hasyim, Muhammad Aiman Haiqal Mohammad Khairul,  Muhammad Adam Ramdzan Razali dan Ahmad Irfan Abdul Hamid. Pasukan Hanelang sekali lagi mengalahkan seteru utamanya iaitu Johor (kedua) dan Wilayah Persekutuan (ketiga). Lebih menarik, Terengganu pada awalnya hanya menyasarkan emas berpasukan, ditambah kemalangan yang melanda Aiman seawal pusingan pertama akhirnya berjaya mengejutkan penyokong dengan kilauan emas kategori individu. Semalam di venue sama, Terengganu telah memperoleh emas pertama melalui Kee Zhe Yie dalam acara ujian masa individu. Kayuhan emas dari skuad berbasikal menjadi tiga emas pertama diperolehi Terengganu pada SUKMA kali ini.  
15 Aug 24
196
Kerajaan Nafi Penjualan Pulau di Terengganu
Kerajaan Nafi Penjualan Pulau di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos – Kerajaan Negeri menegaskan bahawa tidak ada pulau di Terengganu yang dijual kepada individu mahupun kepada syarikat tertentu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim menjelaskan bahawa Terengganu mempunyai 26 pulau, di mana 13 daripadanya diwartakan sebagai Taman Laut dan ada yang diwartakan sebagai Taman Negeri. “Pulau-pulau ini tidak dimiliki sepenuhnya oleh mana-mana pihak. Tanah di pulau-pulau tersebut adalah tanah negeri kecuali tanah yang telah diberikan milik kepada individu atau syarikat di pulau-pulau yang mempunyai penduduk seperti Pulau Perhentian dan Pulau Redang. “Pengurusan tanah di pulau adalah setara dengan pengurusan tanah di daratan, semuanya berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya semalam. Dr Azman berkata Kerajaan Negeri tidak pernah membincangkan sebarang agenda untuk menjual pulau. Beliau turut mengingatkan bahawa jika terdapat iklan yang menawarkan pulau untuk dijual di Terengganu, perkara tersebut harus disiasat dengan teliti kerana ia mungkin menunjukkan masalah yang lebih serius. “Bagi individu yang berminat untuk memiliki tanah di pulau, saya mencadangkan mereka mencari tanah di pulau-pulau seperti Pulau Rusa, Pulau Kerengga, Pulau Kambing, Pulau Bahagia, Pulau Serai, Pulau Skepeng, Pulau Kekabu, dan beberapa pulau lain yang mungkin tersedia untuk tujuan tertentu. “Dengan penjelasan ini, diharapkan kekeliruan mengenai penjualan pulau di Terengganu dapat dijernihkan dan masyarakat dapat memperoleh maklumat yang tepat,” ujarnya.              
15 Aug 24
226
SUKMA : Zhe Yie Hadiah Emas Pertama Buat Terengganu
SUKMA : Zhe Yie Hadiah Emas Pertama Buat Terengganu
KUCHING, 14 Ogos - Pelumba basikal lebuhraya Terengganu, Kee Zhe Yie, 21, mengatasi pelumba meningkat naik Perak, Muhammad Adam Hakimi Nazuan dengan perbezaan seminit 10 saat untuk meraih pinga Emas pertama buat Kontinjen Terengganu menerusi acara ujian masa perseorangan lelaki, hari ini. Pada aksi yang berlangsung di Politeknik Kuching itu, Zhe Yie mencatatkan masa 48:23:880 mengatasi Adam Hakimi di tempat kedua. Manakala, Lau Newjoe dari Wilayah Persekutuan memperoleh pingat gangsa dengan catatan masa 49:50:077. Dalam pada itu, pelumba wanita lebuhraya Terengganu, Dahlia Hazwani Hasyim yang bertanding dalam acara ujian masa perseorangan wanita sekadar menduduki tempat keenam dengan catatan masa 45 minit 54 saat, empat minit di belakang pendahulu dari Perak.  
14 Aug 24
815
Kehilangan Penyu Belimbing Pengajaran Besar Buat Manusia
Kehilangan Penyu Belimbing Pengajaran Besar Buat Manusia
KEMAMAN, 14 Ogos - "Bercakap tentang penyu Belimbing, apa terjadi di Rantau Abang? Kita dahulu begitu rakus, begitu suka hendak tengok penyu tanpa menjaga persekitaran apa yang sensitif kepada penyu. "Melihat penyu ini macam pesta saya ingat sewaktu kecil-kecil dahulu dan akhirnya, sebagaimana yang Yang Berhormat sebutkan, penyu itu 'merajuk' kerana kita kacau tempat mereka. "Itulah pengajaran terbesar yang kita dapat atas apa yang dilakukan dahulu dan kita belajar daripadanya," kata Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dalam ucapannya di Majlis Sambutan Jubli Perak Pusat Santuari Penyu Ma'Daerah, Isnin lalu. Jelasnya, sehubungan itu Tabung Amanah Pemuliharaan Penyu Terengganu kini menjadi medium untuk mengukuhkan usaha pemuliharaan simbol ikonik negeri Terengganu itu. Beliau sebagai Pengerusi tabung amanah memaklumkan, sejak dilancarkan pada Jun 2023, tabung berkenaan telah mengumpulkan hampir RM80,000 hasil daripada sumbangan pelbagai pihak. "Kita merupakan satu-satunya negeri yang mewujudkan tabung amanah pemuliharaan penyu, tidak lain untuk mengumpul dana bagi melancarkan pengurusan dan konservasi di negeri Terengganu. "Terima kasih saya ucapkan, penghargaan setinggi-tingginya kepada semua penyumbang yang membantu usaha kita di negeri kita ini. "Usaha ini telah memperlihatkan impak positif apabila data menunjukkan sarang penyu tertinggi telah direkodkan pada tahun 2023 iaitu sebanyak 10,130 sarang," katanya. Dalam majlis berkenaan, tabung amanah itu turut menerima sumbangan sebanyak RM77,000 daripada pihak swasta, persatuan dan organisasi melalui kempen pengalakan 'Terengganu Turtle Tourism'. Acara puncak yang diadakan ialah pelepasan penyu yang dilengkapi Satellite Telemetry bersama 250 anak penyu ke perairan Terengganu. Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim dan pegawai daerah Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur Mohammad Ahmad Shazly Ramli.  
14 Aug 24
282