lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Usah Sebar Aib Rumah Tangga di Media Sosial
Usah Sebar Aib Rumah Tangga di Media Sosial
Oleh : Fatimah Din MARANG , 18 Ogos - Orang ramai dinasihat agar tidak bertindak mengikut emosi dan nafsu dengan mendedahkan masalah atau aib rumah tangga di media sosial. Penceramah terkenal, Ustaz Wadi Annuar berkata, jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut ialah kembali kepada islam. "Kembali kepada Allah adalah cara bagi menyelesaikan masalah dalam rumah tangga bukannya kita mengadukan hal tersebut kepada masyarakat awam. "Ini adalah jalan kepada penyelesaian masalah rumah tangga, bukannya pergi mengadu pada netizen, mengadu di media sosial," katanya dalam program Santai Murabbi bersama Ustaz Azhar Idrus di Rusila semalam. Jelas beliau, isteri sepatutnya menjadi pelindung kepada suami, dan suami menjadi pelindung kepada isteri. Tegasnya, membuka aib pasangan masing-masing dalam media sosial tidak menyelesaikan masalah. Sebaliknya kata beliau, ia hanya merumitkan lagi hubungan dengan pelbagai fitnah yang timbul. "Antara penyumbang utama kepada masalah rumah tangga adalah terlalu 'mesra' di media sosial. "Mengikut kajian, Malaysia adalah negara tertinggi dalam isu penceraian dengan hampir 46 ribu penceraian pada tahun 2022 dengan lima kes berlakunya penceraian dalam masa satu jam," kata beliau dengan nada kecewa. Menurut laporan Berita Harian, sejak akhir-akhir ini, kisah pergolakan rumah tangga semakin mengungguli carian paling popular di internet terutama media sosial.  Malah, bukan hanya konflik rumah tangga selebriti, kisah masyarakat umum turut mendapat perhatian. Ada memuat naik status mengenai kecurangan pasangan, membuat 'live' di platform media sosial untuk meluahkan perasaaan, malah ada memuat naik bukti kesalahan suami atau isteri dengan alasan ia jalan terakhir untuk menyelamatkan perkahwinan.
18 Aug 24
359
PB Hotel Tawar Bilik Penginapan Serendah  RM67 Sempena Merdeka
PB Hotel Tawar Bilik Penginapan Serendah  RM67 Sempena Merdeka
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Bagi menyemarakkan sambutan merdeka ke-67, pada tahun ini, Paya Bunga Hotel Terengganu menawarkan promosi bilik pada harga serendah RM67 bermula 12 Ogos hingga 31 Ogos ini. Pengurus Besar Paya Bunga Hotel, Abdul Hadi Alias, berkata kempen promosi "PB Hotel 67 Merdeka” menyediakan 67 buah bilik dan ia terbuka kepada semua pelanggan yang menyertai kempen itu melalui platform media sosial TikTok Paya Bunga Hotel. Katanya, promosi tersebut  diadakan sebagai simbolik kepada sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-67, serta sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia hotel yang telah memberikan sokongan padu sejak lima tahun Paya Bunga Hotel beroperasi. "Promosi PB Hotel 67 Merdeka ini diadakan sebagai sokongan kepada keperluan industri pelancongan, khususnya dalam meraikan kedatangan pelancong ke negeri Terengganu. “Harga istimewa RM67 ini kami tawarkan sebagai penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa menyokong hotel kami," katanya. Menurutnya, ia bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga sebagai inisiatif menyokong industri pelancongan negeri Terengganu. Tambah Abdul Hadi, kempen itu akan dapat menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi negeri Terengganu dan menginap di hotel tersebut, selain memperluaskan jangkauan dan pengaruh Paya Bunga Hotel dalam industri perhotelan melalui platform media sosial.
18 Aug 24
2427
Syaza Bangkit Bidik Emas Buat Terengganu
Syaza Bangkit Bidik Emas Buat Terengganu
KUCHING, 18 Ogos- Hampir putus asa dalam sukan memanah kerana kesibukan dan dilanda masalah kesihatan sekitar dua tahun lalu, Nurul Syaza Husna Mahari bangkit pada SUKMA XXI Sarawak dengan menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Terengganu. Lebih manis, beliau turut meletakkan satu rekod baru SUKMA dalam acara Compund 50 Meter wanita apabila format kejohanan diperbaharui pada temasya kali ini. "Ini pingat emas pertama saya, cabaran saya ialah saya bukan dikalangan pemanah sasaran, saya pun tak sangka dapat lawan ketakutan saya. "Saya sering persoal diri, kenapa masuk memanah? Sebab saya tidak tahu apa lagi yang boleh dibanggakan dalam memanah ini. "Saya pernah berhenti sebab 'dok boleh gi' dengan latihan kerana latihan di Terengganu tidak dapat berlatih dengan sempurna, tetapi Alhamdulillah dengan latihan itu saya berjaya dapat pingat emas," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas dinobatkan sebagai pemenang pingat emas di Lapang Sasar Memanah Petra Jaya, hari ini. Ketika ditanya mengapa tidak bermain pada edisi lalu sedangkan pada SUKMA 2018, beliau berada dalam pasukan. Beliau cuma menjawab ia bukan rezekinya kerana telah berusaha sebaik mungkin pada 2022. Cuma, anak ketiga daripada lima beradik itu amat berterima kasih kepada kedua ibu bapanya atas sokongan yang membantunya meneruskan sukan memanah. Dalam pada itu, seorang lagi pemanah Terengganu, Aiman Syafiq Mohd Tariki memperoleh pingat perak dalam acara Compund 50 Meter lelaki setelah tewas tipis kepada pemenang pingat emas dari Wilayah Persekutuan.                
18 Aug 24
1524
50,000 Hadir Bina Gelombang Anak Muda Terengganu Cintakan Ulama
50,000 Hadir Bina Gelombang Anak Muda Terengganu Cintakan Ulama
MARANG, 18 Ogos - Lebih 50,000 orang telah membanjiri program Santai Murabbi sekali gus menzahirkan perasaan cinta rakyat Terengganu khususnya anak muda terhadap ulama. Program yang diadakan di Dewan Tuan Guru, Rusila Marang itu telah menampilkan pendakwah selebriti yang mencetuskan fenomena dalam negara iaitu Ustaz Wadi Annuar serta Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus. Program yang bermula pada jam 8 malam itu dikendalikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah sebagai moderator. Seluruh hadirin yang hadir pada malam itu telah memenuhi segenap ruang dalam dewan serta tidak berganjak dari tempat duduk bermula awal sehingga akhir program. Rata-rata mereka tertarik mendengar pengisian agama melalui soalan-soalan yang diajukan. Terdahulu, pada sebelah petang telah diadakan program bersama Mantan Timbalan Kesatuan Ulama Sedunia, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang telah mengupas dan membicarakan isu terkini mengenai negara Palestin. Sebelumnya, anak muda lapan daerah di negeri ini telah menyertai acara konvoi motosikal bergerak dari kawasan masing-masing menuju ke Rusila dengan membawa bendera Palestin beserta sepanduk Malah ada yang membawa sepanduk menuntut hak royalti Terengganu dikembalikan semula kepada rakyat negeri ini.  
18 Aug 24
3470
Majlis Pembukaan SUKMA Sarawak Bertaraf Antarabangsa
Majlis Pembukaan SUKMA Sarawak Bertaraf Antarabangsa
KUCHING, 18 Ogos- Majlis Pembukaan Temasya Sukan Malaysia SUKMA XXI Sarawak, malam tadi mendapat pujian ramai pihak. Ketua kontinjen Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, apa yang dilakukan Sarawak wajar dicontohi negeri lain. "Majlis pembukaan yang berlangsung semalam bertaraf antarabangsa, kami kontinjen Terengganu berterima kasih kepada penganjur atas kecemerlangan dalam melaksanakan majlis berkenaan. "Kesungguhan ini wajar dicontohi penganjur SUKMA selepas ini supaya temasya nasional terbesar ini lebih berprestij dan dapat menarik peninjau bakat bertaraf dunia ke sini," katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi UPDI, pagi ini. Beliau memuji sokongan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak atas sokongan dan usaha yang dilakukan. Sebelum ini, Tun Ahmad Faisal juga memuji perkampungan sukan SUKMA XXI Sarawak. Tuan rumah Sarawak katanya, tidak hanya menyediakan penginapan semata-mata, malah turut menempatkan petugas-petugas yang sentiasa bersedia untuk membantu sebarang keperluan kontinjen.  "Penginapan yang bersih dan teratur memberi tambah nilai besar khususnya secara tidak langsung memberi motivasi yang tinggi kepada atlet untuk fokus sepenuhnya kepada pertandingan tanpa sebarang gangguan,” katanya.  Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam ucapannya memaklumkan, temasya kali ini merupakan yang terbesar dalam sejarah penganjurannya. "Ia mempertandingkan 37 jenis sukan melibatkan sembilan bahagian negeri Sarawak. "Seramai 7,838 atlet dihimpunkan, pelbagai mesej boleh disampaikan. "Sebagai atlet muda negara yang mempunyai penyokong, anda semua mpunyai peranan untuk memastikan ekosistem sukan mengutamakan perpaduan, menggalakkan persaingan sihat dan tidak toksik," katanya.          
18 Aug 24
2005
Hadiah 1,1,1 Buat Terengganu
Hadiah 1,1,1 Buat Terengganu
KUCHING, 17 Ogos- Pasukan berbasikal lebuhraya Terengganu menutup tirai acara tersebut dalam Sukan Malaysia SUKMA XXI, dengan tiga pingat menerusi Kriterium lelaki dan wanita, hari ini. Pada acara Kriterium lelaki yang berlangsung di Lebuhraya Pehin Sri Haji Adenan Bin Haji Satem pagi ini, Terengganu memenangi pingat Emas dan Perak, masing-masing melalui Mohamad Afi Danial Ramli dan Muhammad Iqbal Daniel Muhammad Nawawi. Manakala, pingat gangsa diraih pelumba Muhammad Hafiq Mohd Jafri dari Melaka. Afi Danial ketika ditemui selepas perlumbaan berkata, sokongan daripada rakan sepasukannya banyak membantu dalam kemenangan itu. "Saya hendak berterima kasih kepada kawan-kawan saya iaitu Afiq, Iqbal, Amad, Aiman Sarawak, Adam, Zhe Yie sebab merealisasikan impian emas saya selama ini. "Sebelum berlumba saya sudah rasa kurang yakin sebab laluannya agak sukar. Boleh dikatakan, saya takut untuk (melakukan) 'u-turn' sehingga tidak boleh tidur malam semalam. " Tetapi saya cuba set minda saya krmbali dan cuba buat yang terbaik untuk Terengganu," katanya. Dalam acara kategori wanita pula, Ameera Alya Md Zahiruddin berjaya meraih pingat gangsa sekalipun pasukan Terengganu mengalami kemalangan di awal perlumbaan itu. Ameera mengumpul 12 mata, hanya satu mata di belakang pelumba Wilayah Persekutuan, Yeong Zhen Yi yang memperoleh pingat perak dengan 13 mata. Pingat emas kriterium wanita dimenangi pelumba Kedah, Nur Fitrah Shaari. Secara keseluruhannya, pasukan berbasikal lebuhraya Terengganu telah menyumbang empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa buat kontinjen Terengganu.  
18 Aug 24
2795
Faktor Keselamatan Antara  Sebab Peniaga Simpang 3 Pasar Manir Perlu Pindah - MBKT
Faktor Keselamatan Antara  Sebab Peniaga Simpang 3 Pasar Manir Perlu Pindah - MBKT
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Peniaga makanan dan minuman berdekatan simpang tiga, Pasar Manir di sini akan dipindahkan ke lokasi baharu sebagai menyelesaikan isu halangan dan kesesakan trafik di kawasan tersebut. Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, pihaknya mengenalpasti beberapa faktor yang menjejaskan kepentingan orang awam antaranya gerai perniagaan tersebut menghalang laluan serta berlaku kes-kes kemalangan menyebabkan kerugian harta benda dan sebagainya. Menurutnya, pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan semua pihak dapat menjalankan aktiviti perniagaan dengan selamat. "Selain itu, terdapat juga kesan terhadap peniaga-peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan secara sah di Pasar Manir. "Mereka bayar (sewa) untuk berniaga secara sah dan sebagainya, tetapi apabila ada peniaga secara tidak sah di situ, secara tidak langsung memberi kesan kepada mereka," katanya sebagaimana ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu. Jelas Rosli, kira-kira 20 peniaga terlibat telah dipanggil pada Rabu lalu bagi menghadiri mesyuarat mengenai langkah yang diambil. "Kita telah maklumkan kepada mereka berkenaan tindakan diambil dan kita akan susun mereka yang terlibat di lokasi bersesuaian. "Saya perlu lihat dahulu susun atur dalam Pasar Manir itu, mungkin peniaga ini akan ditempatkan di sekitar kawasan itu juga, namun yang penting ianya bersesuaian," kata beliau. Bagaimanapun, terdapat dalam kalangan peniaga yang masih berharap untuk meneruskan perniagaan di kawasan itu atas beberapa faktor. Pekerja kedai pakaian, Suzana Yahaya, 44, berkata, dia yang hampir setahun bekerja berharap agar diberi peluang untuk terus bekerja di situ kerana lebih dekat dengan keluarga. "Saya ada lima orang anak, dua orang bersekolah menengah manakala seorang anak berada di sekolah rendah. "Sebelum ini, saya bekerja sebagai kerani di sebuah ladang sawit namun terpaksa berhenti kerana jauh untuk ulang alik dengan rumah dan dalam masa yang sama perlu menguruskan persekolahan anak," ujarnya. Sementara itu, seorang lagi peniaga, Badrol Shazwan Badli Shah, 26, berkata, dia berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mempertimbangkan supaya mereka dapat pindah ke lokasi bersesuaian. "Saya telah berniaga di sini sejak 10 tahun lalu dan ini kali pertama berdepan tindakan sebegini. "Kita harap pihak berkaitan dapat membantu kami, golongan peniaga yang mencari punca pendapatan di sini dengan mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.  
17 Aug 24
167
Bumi Sarawak 'Pulangkan' Semula Emas Terengganu
Bumi Sarawak 'Pulangkan' Semula Emas Terengganu
KUCHING, 17 Ogos- Pengendali skuad berbasikal Terengganu, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan menyifatkan apa yang paling manis dalam kemenangan anak-anak buahnya hari ini, adalah kejayaan mereka merampas kembali pingat emas dalam kategori individu acara lepas beramai-ramai lelaki dalam SUKMA XXI Sarawak. "Saya amat berbangga, sebab kami tunggu emas individu ini sejak 2018, kami dapat perak begitu juga pada tahun 2022. "Kita dari awal sasarkan acara berpasukan sahaja, individu sebagai bonus sebab kita tengok peluang individu hanya 50-50. "Kali ini, kita berjaya rampas kembali pingat emas yang kali terakhir diraih pada 2016, juga di bumi Sarawak," luahnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan tersebut di Politeknik Kuching, baru-baru ini. Menurut beliau, kemalangan yang menyebabkan Aiman Haiqal Mohammad Khairul ketinggalan daripada peloton memaksa pasukan mengatur taktik baru untuk merealisasikan kemenangan. "Laluan ini memang 'course' bagi Aiman, tetapi pusingan pertama basikalnya rosak dan tidak dapat kejar kembali, jadi kami simpan beliau supaya tidak penat dan guna lima tenaga sahaja untuk habiskan perlumbaan. "Bila kita hilang seorang 'rider', memang kita terpaksa tukar rancangan untuk bergerak, sepatutnya pergerakan 'breakaway' itu Aiman dan Iqbal, tetapi apabila Aiman tiada kita terpaksa menggunakan Adam; yang sepatutnya digunakan untuk cari emas berpasukan," katanya. Beliau menambah, latihan yang dilakukan atlet berbasikal sememangnya agak keras kerana harapan MSNT dan rakyat Terengganu amat tinggi kepada pasukan itu dan beliau tidak mahu ada kesilapan
17 Aug 24
21301
Jabatan Pelancongan Berhasrat Hidupkan Kembali 'Pesta Pantai'
Jabatan Pelancongan Berhasrat Hidupkan Kembali 'Pesta Pantai'
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) berhasrat mahu menghidupkan kembali acara Pesta Pantai yang pernah menjadi fenomena dan acara tahunan rakyat negeri ini dengan memastikan ia lebih patuh syariah. Pengarahnya, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, hasrat itu difikirkan relevan bagi memastikan sektor pelancongan di negeri ini sentiasa hidup dengan pelbagai acara. Katanya, pertunjukan seni budaya, adat tradisi dan makanan tradisional terkenal yang ada di dalam negeri ini akan menjadi pengisian pada acara Pesta Pantai itu nanti. "Apabila kita beri penekanan kepada elemen tradisi, kebudayaan dan warisan sudah tentu ia akan menjadi nilai tambah dari segi pendedahan berkaitan dengan kehebatan budaya. "Memberi impak yang baik serta akan menjadi satu 'wow factor' kepada daya tarikan untuk pelancong datang melawat Terengganu. "Sebab itu kita hendak menghidupkan balik Pesta Pantai ini dalam memastikan Terengganu akan terus meriah dikunjungi selain ia akan memberi impak ekonomi yang baik kepada komuniti setempat," ujarnya. Beliau berkata demikian semasa sidang media Penganjuran Pertandingan Gamelan Melayu (Senandung Terengganu) di Bilik Ulek Mayang Jabatan Keseniaan dan Kebudayaan Negara (JKKN) negeri, di sini, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut katanya, menjadi kebiasaan serta kemestian sesebuah negara yang menerima ramai pengunjung adalah disebabkan memiliki kebudayaan, kesenian serta warisan yang menarik. "Kita andaikan diri kita sendiri seandainya kita pergi ke Korea dan Jepun sudah tentu kita mahu mempelajari serta mengetahui sejarah dan seni budaya yang terdapat di negara terbabit," ujarnya.
17 Aug 24
3816
Tahajud Sumber Kekuatan Ekbal Rangkul Emas
Tahajud Sumber Kekuatan Ekbal Rangkul Emas
PETRAJAYA, 16 Ogos - Tanpa berselindung, pemenang pingat emas pertama Terengganu bagi acara Wushu Sanda (70kg) mendedahkan solat tahajud adalah sumber kekuatan dirinya meraih kejayaan. Ekbal Dave Sandhu Aslam Dave mengakui pada awal pertarungan dia agak gugup, namun memikirkan sokongan rakan-rakan, atlet Terengganu itu tetap meneruskan saingan. "Saya berdebar sangat hari ini, memang rasa tak boleh menang hari  ini tapi demi kawan-kawan, demi keluarga yang datang saya kembali bersemangat. "Di samping itu, antara kekuatan saya, saya cuba amalkan solat tahajud, jangan lewatkan solat dan bismillah setiap kali buat sesuatu," katanya kepada UPDI. Lebih manis katanya, kemenangan itu dilakar di hadapan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang hadir menyaksikan sukan terbabit. Selain satu emas, Terengganu juga cemerlang merangkul empat lagi gangsa dalam sukan wushu hari ini.
16 Aug 24
220