lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kessuma Buka Gelanggang
Kessuma Buka Gelanggang
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (Kessuma) secara rasmi membuka gelanggang hari ini dengan perlawanan bola sepak antara Terengganu dan Kelantan menjadi tumpuan. Memulakan perlawanan di Padang Kompleks Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kelantan tampil garang bagi menundukkan tuan rumah dengan skor 3-1. Gol pertama dihasilkan dalam minit keenam menerusi pemainnya Muhammad Luqman Arif Ramli.  Tersentak dengan jaringan itu, Terengganu cuba bangkit dan membuat beberapa percubaan dan berjaya mendapatkan jaringan balas bagi menghidupkan harapan menerusi pemain, Muhammad Faizul Asyrah pada minit ke-22. Selang seminit, Kelantan sekali lagi berada di hadapan apabila Syah Syazean Aide Ikhrame menggandakan jaringan Kelantan.  Kelantan terus mengasak pintu gol tuan rumah sehingga habis separuh masa pertama dengan serangan bertali arus memaksa tuan rumah untuk bertahan.  Memulakan separuh masa kedua, Kelantan sekali lagi beraksi cemerlang mendominasi perlawanan namun gawang Terengganu sukar dirobek.  Dalam pada itu Terengganu cuba mengimbangi perlawanan dan tidak putus asa bagi mencari gol penyamaan bagi berkongsi mata.  Namun Terenggganu dalam aksi perlawanan Kumpulan A bertemu Kelantan dilihat sukar dan berhempas pulas sehingga menghampiri tamat perlawanan.  Kelantan yang tampil cemerlang sekali lagi menghukum pasukan Terengganu dengan menambah satu jaringan pada masa tambahan.  Dengan kemenangan pertama ini Kelantan memperolehi tiga mata dan menjadi peneraju kumpulan A.
20 Aug 24
344
Dana Wakaf Tunai MAIDAM Cecah RM334 Ribu
Dana Wakaf Tunai MAIDAM Cecah RM334 Ribu
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos- Kutipan dana wakaf tunai dibawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mencatatkan jumlah sebanyak RM334,269.15 setakat 18 Ogos lalu. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kutipan tersebut hasil sumbangan wakaf daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat serta pihak korporat sama ada melalui potongan gaji, secara dalam talian atau yang hadir ke kaunter MAIDAM. “Dana terkumpul merangkumi wakaf tunai am iaitu sebanyak RM286,301.84, wakaf hemodialisis (RM24,299) dan wakaf perkuburan Paya Bunga (RM23,118.31). “Manakala agihan wakaf tunai am yang telah dilaksanakan adalah sebanyak RM134,800 meliputi sektor pendidikan, agama dan sosial,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Konvoi Agihan Hak Asnaf Fakir Miskin MAIDAM (KAHA) 2024 di Masjid Al-Muttaqin Kampung Kepong, di sini, semalam. Dalam perkembangan lain katanya, orang ramai diseru menyertai program yang bakal diadakan sempena 75 tahun penubuhan MAIDAM iaitu ‘Run and Walk For Waqf pada 28 September ini. Menurut beliau, dengan menyertai program itu peserta secara automatik akan berwakaf kerana yuran sebanyak RM50 yang dikenakan kepada setiap peserta akan disalurkan ke akaun wakaf tunai. “MAIDAM juga membuka kepada peserta untuk mendaftarkan suami atau isteri dan anak-anak agar dapat beriadah secara santai bersama keluarga masing-masing. “Setiap peserta yang mendaftar layak mendapat sehelai baju t-shirt serta berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah,” ujarnya. Katanya, pendaftaran boleh dibuat melalui pautan https://app3.maidam.gov.my/form/    
20 Aug 24
174
Skuad Menembak Intai Emas
Skuad Menembak Intai Emas
KUCHING, 20 Ogos - Sepanjang tiga hari sukan menembak berlangsung, pasukan Terengganu telah meraih empat pingat Perak dan satu pingat gangsa. Jurulatih pasukan, Nazihan Harun setakat ini berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya. "Apa yang kita rancang setakat ini berada di landasan yang betul. "Cuma saya harap momentum ini diteruskan pasukan dan cuba buat yang terbaik untuk dapatkan emas pada acara berikutnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di Lapang Sasar Menembak Petra Jaya, petang semalam. Membariskan 17 atlet muda dalam temasya kali ini, Nazihan melihat perkembangan positif dalam pasukan. "Ada acara yang disasarkan gangsa, kita beroleh pingat perak jadi saya mengharapkan sokongan dan doa rakyat Terengganu supaya pingat emas dapat dijelmakan," katanya.  
20 Aug 24
134
Rakyat Terengganu 'Healing' di Majlis Ilmu
Rakyat Terengganu 'Healing' di Majlis Ilmu
MARANG, 19 Ogos - Tidak keterlaluan jika dikatakan cara rakyat Terengganu 'healing' di hujung minggu adalah dengan menghadiri majlis ilmu. Rekod membuktikan ribuan pengunjung yang terdiri daripada pelbagai golongan pasti membanjiri program ilmu apatah lagi ia menampilkan pendakwah hebat. Itu yang berlaku ketika Bicara Santai Murabbi yang berlangsung di Rusila kelmarin. Program berkenaan yang dibarisi Mantan Naib Pengerusi Kesatuan Islam Sedunia, Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta dua pndakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar dan Ustaz Azhar Idrus. Dalam program itu, Ustaz Azhar Idrus menyampaikan beberapa nasihat. Katanya, apabila manusia ingin melakukan kebaikan, pasti akan ada halangan. "Banyak halangan, memanglah sebab kita hidup dalam dunia ini kita kena faham ada dua jalan iaitu jalan yang baik dan jalan yang tak baik. "Kadang-kadang kita jumpa dengan benda yang baik, kadang jumpa dengan benda yang tidak baik, kadang-kadang kita dapat apa yang kita suka, kadang-kadang kita dapat apa yang kita tak suka, kerana kita duduk di dalam tempat ujian iaitu kita sedang diuji. "Siapa yang kasih kepada kita, dia tak halang kita buat baik, siapa yang halang kita buat baik, dia musuh kita, sebab tujuan kita hidup untuk memilih jalan pulang dengan beramal soleh," ujar beliau ketika menjadi panel bersama Ustaz Wadi. Katanya lagi, dalam dunia ada empat musuh iaitu dunia, manusia, syaitan dan hawa nafsu.
19 Aug 24
725
MAIDAM Agih RM14 juta Zakat Untuk Asnaf Melalui KAHA 2024
MAIDAM Agih RM14 juta Zakat Untuk Asnaf Melalui KAHA 2024
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) tahun ini mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM14 juta menerusi program Konvoi Agihan Hak Asnaf (KAHA) 2024. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, KAHA merupakan salah satu kaedah pihaknya mengagihkan wang zakat kepada asnaf fakir dan miskin yang layak selain skim bantuan sedia ada. “Pada tahun ini MAIDAM memperuntukkan sebanyak RM14 juta bagi agihan KAHA di mana fasa pertama melibatkan RM10.2 juta kepada 18,761 Ketua Isi Rumah (KIR) yang disalurkan terus ke akaun penerima. “Manakala baki sebanyak RM3.8 juta akan diagihkan pada fasa berikutnya,” ujar beliau ketika ditemui pemberita pada majlis ‘Flag Off’ Konvoi Agihan Hak Asnaf Fakir Miskin MAIDAM (KAHA) 2024 yang disempurnakan Pesuruhjaya Jabatan hal Ehwal Agama Terengganu, M Rozi Bidin di Perkarangan Kompleks Seri Iman, hari ini. Mengulas lanjut katanya, penerima KAHA tersebut merupakan penerima bantuan bulanan dan sara hidup MAIDAM bermula awal Januari lepas sehingga hujung tahun ini. "KAHA mula diperkenalkan pada tahun 2022 di mana konvoi motosikal diadakan serentak di seluruh Terengganu melibatkan semua daerah dan menariknya, penganjuran KAHA pada tahun ini adalah bersempena dengan Sambutan 75 Tahun MAIDAM. “Jumlahnya bergantung kepada yang berhak, terdapat tiga kategori bantuan iaitu untuk isi rumah tunggal sebanyak RM300, isi rumah dua atau tiga orang (RM500) dan isi rumah empat orang ke atas (RM700). “Besarlah harapan MAIDAM agar agihan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan asnaf selain menimbulkan rasa ingin memajukan ekonomi keluarga mereka,” ujarnya. Sementara itu, salah seorang penerima Fatin Nabila Taim ,23, berkata, bantuan tersebut memberikan sedikit kelegaan buat dirinya yang juga pencari nafkah tunggal dalam keluarga. Katanya, selain membeli barangan keperluan, duit KAHA boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan perubatan kakak dan dua adiknya yang merupakan (Orang Kelainan Upaya). “Sumbangan ini kami terima dengan penuh kesyukuran memandangkan saya terpaksa ambil alih menjaga keluarga selepas ayah meninggal dunia dua bulan lalu,” ujarnya yang juga OKU masalah pembelajaran.  
19 Aug 24
4662
Projek Tebatan Banjir, Pemuliharaan Sungai Bernilai RM141.27 Juta Siap
Projek Tebatan Banjir, Pemuliharaan Sungai Bernilai RM141.27 Juta Siap
DUNGUN, 19 Ogos - Kerajaan Negeri Terengganu pada hari ini menerima tiga projek siap membabitkan dua tebatan banjir serta satu pemuliharaan muara sungai bernilai RM141.27 juta Pelaksanaan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu merangkumi projek Tebatan Banjir Gong Kiat, Kuala Terengganu bernilai RM5.8 juta yang siap pada Januari 2022, manakala projek Tebatan Banjir Guntung Luar, Setiu bernilai RM3.22 juta pula siap Mei 2022. Sementara itu Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka, Dungun yang menelan kos RM132.5 juta siap pada Mac lalu. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Mohd Zawawi Ismail berkata, mewakili kerajaan negeri beliau berterima kasih kepada kementerian terlibat serta JPS negeri yang telah berjaya menyiapkan tiga projek berimpak tinggi terbabit. "Alhamdulillah, dengan terlaksananya projek tebatan banjir di Kuala Terengganu dan Setiu, risiko kejadian banjir di kawasan yang itu dapat dikurangkan dan memberi keselesaan kepada penduduk setempat serta aktiviti mereka tidak lagi terjejas," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Perseketuan Kepada Kerajaan Negeri Terengganu di Rumbia Resort Villa Paka, di sini, hari ini. Terdahulu, mewakili Kerajaan Persekutuan, Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Mohd Zawawi telah menyaksikan majlis penyerahan tiga projek siap itu. Mengulas lebih lanjut, Zawawi berkata dengan projek pemuliharaan Sungai Paka pula risiko kerosakan bot-bot nelayan akibat dari muara cetek serta pukulan ombak dapat dikurangkan. "Selain daripada itu, penduduk di sekitar kawasan pantai berkenaan juga tidak lagi perlu risau dengan risiko hakisan pantai. "Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pihak terutama pihak kontraktor yang terlibat kerana telah berjaya menyiapkan projek-projek ini. "Ucapan terima kasih juga kepada semua yang turut menyumbang dan bekerjasama secara langsung atau tidak langsung dalam pelaksanaan projek-projek ini. "Semoga projek-projek yang diserahkan ini akan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk sekitar dan saya yakin penduduk sekitar akan lebih selesa dan selamat berbanding dengan keadaan sebelum ini," kata beliau.   
19 Aug 24
996
Izzatul Perbaharui Rekod Peribadi 100M
Izzatul Perbaharui Rekod Peribadi 100M
KUCHING, 19 Ogos - Pelari pecut wanita Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, berjaya memperbaharui catatan peribadinya apabila mencatatkan masa 11.90 saat dalam acara akhir 100M wanita di SUKMA XXI, sebentar tadi. Sekalipun meraih pingat perak di belakang pelari pecut Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, atlet berusia 16 tahun itu gembira dengan penampilan pertamanya di temasya terbesar tanah air itu. "Untuk penampilan pertama ini, saya 'underdog' sebenarnya. Alhamdulillah, telah mendapat pingat perak dan untuk penampilan akan datang saya akan cuba perbaiki. "Saya gembira (perbaharui rekod peribadi) sebab tiada tekanan kerana ramai tahu siapa yang dapat pingat emas, saya cuma 'follow' sahaja larian dan dapat buat (perak)," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlumbaan di Stadium Sarawak, sebentar tadi. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Abdul Rahman Limbong, Manir itu sebelum ini mencatatkan masa peribadi 11.92s dalam Asean School Games di Vietnam pada Jun lalu.  Dalam pada itu, Afrina yang menang dengan catatan masa 11.62s berjaya memecahkan rekod SUKMA milik pelari pecut Terengganu pada edisi 2018, Azreen Nabila Alias. Tempat ketiga menjadi milik atlet tuan rumah, Ormilla Octavia Codday dengan catatan 12.91s.
19 Aug 24
6922
17 Individu Dilantik Mediator Komuniti, Jadi Pendamai Masyarakat di Terengganu
17 Individu Dilantik Mediator Komuniti, Jadi Pendamai Masyarakat di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Seramai 17 individu dilantik Ahli Mediator Komuniti (MK) dilantik oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu sebagai penggerak dan pemangkin dalam usaha kerajaan menjayakan perpaduan di peringkat akar umbi, selain sebagai pendamai masyarakat. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata Mediator Komuniti bukan sahaja menjadi agen perpaduan tetapi juga tunjang utama dalam merealisasikan aspirasi negara. “Tahniah kepada semua ahli Mediator Komuniti yang terdiri daripada pegawai jabatan dan komuniti khususnya di kalangan warga Kawasan Rukun Tetangga (KRT) seluruh daerah di Terengganu. “Mereka merupakan petugas sukarelawan dan berfungsi sebagai perantara membantu dua pihak bertelingkah untuk mencari jalan penyelesaian yang dipersetujui bersama. “Harapan saya agar mereka yang dilantik dapat memainkan peranan yang sangat penting, terutamanya dalam konteks penyelesaian isuisu yang melibatkan jabatan dan agensi kerajaan,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sesi Libat Urus Mediator Komuniti Bersama Agensi (Mk Open Day) Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2024 di KTCC  Mall di sini hari ini. Menurut Maliaman, sesi libat urus yang dilaksanakan  merupakan medium yang penting bagi penyatuan komuniti pelbagai konflik bukan sahaja antara kaum malah antara pelbagai latar belakang idealogi dan taraf hidup. “Dalam keadaan di mana isu atau konflik timbul antara masyarakat dan pihak kerajaan, mediator berfungsi sebagai penghubung yang neutral dan berintegriti untuk menjelaskan situasi, menyampaikan kebimbangan masyarakat, serta mencari jalan penyelesaian yang adil dan memuaskan semua pihak. “Peranan ini adalah kritikal dalam memastikan kebajikan masyarakat terjaga tanpa mengorbankan kepentingan awam,”tambahnya lagi. Justeru itu, beliau menyeru kepada semua agensi kerajaan di Terengganu  agar dapat memberikan kerjasama dalam usaha  JPNIN  untuk mempromosikan lagi peranan mediator agar lebih ramai yang mengetahui peranan dan fungsi Mediator Komuniti itu sendiri
19 Aug 24
965
Terengganu Sepatutnya Terima Royalti Seperti Sabah, Sarawak
Terengganu Sepatutnya Terima Royalti Seperti Sabah, Sarawak
MARANG, 18 Ogos - Terengganu sepatutnya menerima royalti minyak sebagaimana diterima oleh negeri Sabah dan Sarawak berdasarkan perkara yang termaktub di dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974. Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tidak sewajarnya berlaku dikriminasi terhadap negeri yang diperintah oleh PAS sedangkan Sabah dan Sarawak bebas menikmati hasil kekayaan bagi memajukan negeri. Ujarnya, dalam perjanjian ketika zaman pemerintahan Perdana Menteri Malaysia Ke-2, Tun Abdul Razak yang mempunyai semangat kebangsaan tinggi telah melaksanakan amanah mengikut isi kandungan akta itu bahawa negeri pengeluar minyak layak menerima royalti lima peratus. "Dalam tahun 70-an minyak ditemui di Terengganu, negeri dapat royalti lima peratus anggarannya antara RM400 hingga RM500 juta. "Tahun 1999 PAS ambil alih Terengganu dan kita telah membuat perjanjian sekiranya menang Pilihan Raya 1999 kita akan hapuskan cukai pintu kediaman, cukai bakul di pasar, cukai nelayan kecil dan kita hapuskan tol di Jambatan (Pualau Duyong) Terengganu. "Apabila kita menang, pada awalnya dibayar lagi royalti ini sebanyak dua kali setahun dalam bulan Mac dan Ogos, kita terima hasil dalam keadaan kita hapuskan cukai-cukai yang saya sebut tadi, kita kehilangan berjuta-juta tetapi duitnya masih ada (untuk rakyat)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Murabbi, di Dewan Tok Guru, Rusila Marang, di sini, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut katanya, tindakan UMNO Terengganu membawa usul memohon agar royalti negeri ini ditarik balik pada tahun 2000 amat dikesal, sedangkan Perdana Menteri, Tun Mahathir pada ketika itu mengakui bahawa royalti itu adalah hak Terengganu. "Dalam perhimpunan agung, UMNO Terengganu bawa usul supaya hapuskan royalti minyak negeri Terengganu padahal benda macam ini bukan hak UMNO sepatutnya di bawa ke parlimenlah. "Kerana desakan UMNO Terengganu, Tun mahathir kata beria sangat hendak jadi hapuslah royalti "Lepas itu ketika kita (PAS) jatuh UMNO naik balik, mengigau hendak ambil balik royalti, tetapi Tun Mahathir tidak beri (pada waktu itu), " ujarnya.  
19 Aug 24
4969
Terengganu Terus Usaha Raih Emas di SUKMA
Terengganu Terus Usaha Raih Emas di SUKMA
KUCHING, 18 Ogos - Atlet Terengganu yang beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak berada pada tahap terbaik untuk mempersembahkan prestasi masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, prestasi atlet ketika ini sangat bersedia untuk menghadapi sebarang pertandingan. "Walaupun ada sasaran emas terlepas tetapi kita yakin ada acara-acara lain yang boleh menghadiahkan bonus pingat emas kepada kontinjen Terengganu.  "Sebenarnya kita sudah mendapat bonus emas, antaranya dalam sukan memanah dan basikal lebuhraya (individu)," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Jelas Hishamuddin lagi, berpandukan prestasi itu, beliau yakin kontinjen Terengganu mampu merealisasikan kedudukan yang baik dalam SUKMA kali ini. Samada berjaya untuk misi merampas gelaran juara atau kekal sebagai naib juara masih terlalu awal untuk diperkatakan. Buat masa ini, pihak tuan rumah mendominasi kejayaan merebut pingat emas khususnya melalui acara subjektif. Katanya lagi, keyakinan itu juga lahir memandangkan sukan-sukan yang menjadi sasaran utama untuk kutipan pingat belum bermula. "Pertandingan seperti pelayaran, judo dan basikal (BMX) menjadi sasaran kita untuk mengutip emas sebanyak mungkin," ujarnya. Bagi memastikan semua berjalan lancar, Hishamuddin menegaskan motivasi atlet perlu dipantau secara berterusan. "Pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) juga menyediakan pasukan sokongan psikologi kepada atlet yang memerlukan perkhidmatan tersebut, ia bagi memastikan mood serta moral atlet berada pada tahap yang terbaik," katanya. Pentas SUKMA merupakan satu platform untuk mencungkil bakat atlet bagi diangkat ke pentas antarabangsa. Ia wajar dihadam oleh semua penggiat sukan. Atlet Terengganu juga telah dimotivasikan untuk melangkah lebih jauh. Malah, peranan atlet itu sendiri sangat penting untuk merealisasikan cita-cita tinggi ini. Setakat jam 10 malam hari ini, Terengganu berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul sebelas emas, sebelas perak dan sebelas gangsa.
18 Aug 24
2965