Artikel "Utama" Terkini
634 Anak Terengganu Cemerlang Akademik Terima Penghargaan
KUALA TERENGGANU, 9 September- Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu meraikan kecemerlangan 634 anak Terengganu yang memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023.
Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, pencapaian yang sangat membanggakan itu membuktikan Negeri Terengganu tidak pernah ketandusan bakat-bakat bidang pendidikan yang hebat dalam pelbagai displin.
“Kejayaan yang dilakar para pelajar pada hari ini sudah semestinya akan menjadi penanda aras kepada pelajar lain untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan demi menjamin masa depan yang lebih baik.
“Pertingkat juga ‘softskills’ disamping ilmu pengetahuan global bagi membina keperibadian unggul serta kompeten, sekali gus menjadi nilai tambah unik yang tidak dimiliki oleh individu lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke- 43) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, seramai 634 pelajar anak Terengganu menerima penghargaan iaitu empat orang penerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu serta seorang penerima anugerah khas.
Sementara itu, dua lagi penerima anugerah pelajar terbaik STPM dan STAM manakala seramai 627 orang penerima Hadiah Kecemerlangan Peperiksaan SPM, STPM & STAM.
Kesemua penerima Anugerah Pingat Emas menerima sehelai blazer, pingat emas, peranti mudah alih, replika cek dan wang tunai RM4,000 serta sijil penghargaan.
Sementara, penerima anugerah khas dan pelajar terbaik pula menerima sehelai blazer, peranti mudah alih, replika cek dan wang tunai RM2,000 serta sijil.
09 Sep 24
991
Polis Tingkatkan Sekatan Jalan Raya Sepanjang 'RXZ Members'
KUALA TERENGGANU, 9 September - Polis akan meningkatkan sekatan jalan raya (SJR) sempena dengan program RXZ Members yang akan diadakan pada 13 dan 14 September ini.
Seramai 101 anggota polis serta 50 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan ditugaskan bagi memastikan keadaan jalan raya terkawal dan selamat.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, adalah menjadi rutin dan kebiasaan bagi pihak PDRM dan JPJ mengadakan tugasan itu setiap kali acara tersebut diadakan.
Ujarnya, perancangan tugas selain SJR adalah meliputi 'eskot motoked VVIP', rondaan cegahan samseng jalanan dan risikan Op Samseng Jalanan 42.
"Kita tidak pakai istilah pukat, SJR ini adalah rutin yang perlu kita buat melibatkan seluruh daerah.
"Dengan jangkaan 80,000 yang akan hadir kita tidak mampu untuk melakukan pemeriksaan satu persatu, apa yang diharapkan adalah mereka yang hadir boleh mematuhi undang-undang itu sahaja.
"Sebab sebagai rakyat Malaysia yang memiliki motosikal kita harus mematuhi undang-undang jalan raya, kena ada lesen serta insuran dan mematuhi spesifikasi motosikal yang boleh dipandu di atas jalan raya." ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media sempena RXZ Members di Bilik Mesyuarat Utama IPK Terengganu, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, apa yang dilakukan adalah bertujuan mengekang kesalahan jalan raya.
"Sebelum ini PDRM juga telah mengadakan sebanyak empat kali perjumpaan bersama pihak penganjur iaitu perjumpaan pertama pada 10 Ogos telah dipengerusikan oleh Ketua Jabatan Siasatan & Perundangan Trafik Terengganu, Supt. Affandi Hussin dan turut disertai oleh semua Ketua Polis Balai Daerah Kuala Terengganu.
"Juga melibatkan pihak JPJ Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Pejabat Daerah Kuala Nerus dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2)," katanya.
Dalam pada itu katanya mengikut arahan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman masih lagi dalam tempoh pelaksanaan Ops Khas Motorsikal bagi mengurangkan kadar kemalangan.
Sementara itu katanya antara kesalahan yang sering dilakukan adalah seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran fancy, tiada cermin sisi, pengubahsuaian motosikal dan kenderaan tiada cukai jalan dan insuran.
"Kesemua kesalahan ini jika dikenalpasti, maka pemandu kenderaan akan dikenakan saman," tegasnya.
09 Sep 24
589
Pemuda PAS Hulu Terengganu Buat Laporan Polis Terhadap Teresa Kok
HULU TERENGGANU, 9 September - Dewan Pemuda PAS Hulu Terengganu (DPPHT) menggesa siasatan dibuat ke atas Teresa Kok susulan kenyataan yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan ketenteraman awam negara ini.
Ketua DPPHT, Muhamad Hamdi Harun berkata, Teresa Kok tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu memandangkan rakyat di negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk yang majoritinya beragama Islam.
Menurutnya, kenyataan itu menyentuh kesucian agama Islam, iaitu perihal mendapatkan makanan yang halal di kalangan orang Islam dan hak beragama di kalangan orang Islam.
“Jelas kenyataan ini menghasut golongan bukan Islam untuk menentang tindakan kerajaan bagi mewajibkan sijil halal untuk orang Islam. Individu ini perlu disiasat di bawah Akta Hasutan.
"Ucapan ini jelas mendatangkan kegusaran dan kebimbangan dalam hati orang Islam di Malaysia kerana beliau merupakan ahli politik parti kerajaan.
"Kami turut meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan telus terhadap kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu yang mampu mengundang pelbagai kesan buruk terhadap keharmonian rakyat di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis ke atas Teresa Kok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu hari ini.
Justeru itu, DPPHT berharap Majlis Raja-Raja dapat campur tangan dan mengambil tindakan serius terhadap Teresa.
"Hal ini kerana ini bukanlah pertama kali orang bukan Islam mempersoalkan perkara-perkara yang menyentuh soal Islam," tambahnya lagi.
Hamdi juga berkata, pihaknya menuntut pemimpin Islam di negara ini bertindak tegas terhadap isu tersebut kerana ia melibatkan kepentingan agama Islam terus dipersoalkan.
“Tidak wajar kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang pemimpin dalam parti kerajaan yang menentang mana-mana pihak yang menggunakan isu 3R ini, namun mereka sendiri yang bertindak sedemikian.
“Umat Islam di Malaysia tidak pernah sesekali mengganggu-gugat hak agama lain,"ujarnya.
09 Sep 24
275
Terengganu Bakal Terima Pelaburan Ladang Ayam Berteknologi Tinggi
KUALA TERENGGANU, 9 September – Usaha berterusan kerajaan negeri untuk menarik pelabur kini membuahkan hasil apabila Terengganu bakal menerima pelaburan besar dalam pembangunan ladang ayam berteknologi tinggi tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman, keputusan itu dicapai selepas pertemuan kali ketiga diadakan dengan dua syarikat Korea dalam usaha pelaksanaan projek terbabit dijangka dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ayam di negeri dan negara ini.
“Antara perkara yang dibentangkan adalah selain cara pemprosesan terkini dan pengadaptasian teknologi tinggi, ianya juga dibentangkan faedah-faedah yang akan diperolehi oleh Ladang Rakyat dan kerajaan negeri Terengganu.
“Perbincangan yang positif, In Sya Allah dengan kedatangan pelabur ini akan membantu untuk menyelesaikan masalah kekurangan ayam di negeri dan negara kita.” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, baru-baru ini..
Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Beliau berkata, tanah untuk projek itu telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan di bawah program Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRT).
Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Penternak Ayam Kebangsaan, Nasiman Sapari berkata, sasaran pengeluaran ayam sehingga 140 peratus seperti ditetapkan Dasar Agromakanan Negara 2030 sukar dicapai.
Katanya, pengeluaran ayam negara kini berdepan penurunan sehingga 39 peratus dalam tempoh 10 tahun dan tidak menunjukkan sebarang peningkatan apabila pengeluarannya berkurangan sekitar tiga juta ekor tahun lalu berbanding 2022.
09 Sep 24
1999
171 Kilogram Sampah Dikutip di Pantai Air Tawar
BESUT, 9 September - Dalam semangat menyambut Bulan Kebangsaan, Beliawanis Kota Putera bersama Geng Plastik Ija telah berjaya menganjurkan program Plogging Patriotik di Pantai Air Tawar, menyaksikan sebanyak 171 kilogram sampah berjaya dikutip oleh para peserta.
Ketua Geng Plastik Ija Daerah Besut, Afifah Aziz berkata, program tersebut mampu meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar sambil mengamalkan gaya hidup sihat.
"Saya turut menjelaskan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar daripada bahan buangan yang boleh merosakkan ekosistem pantai," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media, semalam mengulas mengenai program yang diadakan di Pantai Air Tawar.
Selain daripada aktiviti mengutip sampah, program itu turut diselitkan dengan kuiz kemerdekaan yang menguji pengetahuan peserta tentang sejarah negara.
Katanya, matlamat utama ialah menggalakkan aktiviti kesihatan sambil menjaga kebersihan alam sekitar.
Sementara itu, Ketua Beliawanis DUN Kota Putera, Ummi Kalthum Mamat menyatakan harapan agar program seperti ini dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus peka terhadap kebersihan persekitaran dan mengamalkan gaya hidup sihat.
"Program ini bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan,tetapi juga mengeratkan lagi hubungan peserta melalui aktiviti yang sihat dan bermanfaat.
"Dengan kejayaan program ini, Beliawanis Dun Kota Putera bertekad meneruskan usaha-usaha murni dalam memperkasakan komuniti dan memupuk semangat patriotik di kalangan rakyat Malaysia," jelas beliau.
08 Sep 24
154
"Dirgahayu Negaraku Tercinta" Semarak Erti Kemerdekaan
Oleh : Fatimah Din
Gambar : Abdul Fattah Kamarudin
MARANG , 8 September - Program Dirgahayu Negaraku Tercinta Peringkat Dewan Undangan Negeri(DUN)Pengkalan Berangan mendapat penyertaan semua lapisan masyarakat.
Adunnya, Sulaiman Sulong berkata perkara yang penting adalah makna kepada kemerdekaan.
"Selain daripada kita zahirkan melalui sambutan, sebenarnya banyak perkara lain boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk.
"Terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan program ini walaupun cuaca program kita malam ini hujan lebat," katanya sebelum mempersembahkan sajak kemerdekaan malam tadi.
Program dimulakan dengan halwa telinga kumpulan Shoutul Iman, seterusnya persembahan veteran tentang kemerdekaan, penampilan tiga pelajar cilik (Pusat Asuhan Tunas Islam) PASTI, slot kuiz kemerdekaan, cabutan bertuah, dan sajak kemerdekaan serta nyanyian jalur gemilang.
Program itu juga melibatkan pegawai daerah Marang dan juga pegawai khas daerah Marang, serta pengerusi jawatankuasa pembangunan keselamatan Kampung (JPKK).
08 Sep 24
205
'Kenakan Tindakan Tegas Terhadap Teresa Kok'
MARANG, 8 September - Anak Muda di daerah ini menggesa agar Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok disiasat dan dikenakan tindakan tegas atas kenyataannya yang didakwa mencampuri urusan umat Islam.
Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Yusuf Abdul Hadi menegaskan, ucapan Ahli Parlimen Seputeh itu merupakan tindakan yang cukup biadap.
"Kami ingin bertanya kepada beliau, apa urusan beliau dengan halal haram umat Islam, perkara ini tiada kena mengena dengan bukan Islam.
"Kami melihat, pemimpin DAP sering menimbulkan sesuatu perkara yang membangkitkan kemarahan umat Islam," katanya selepas membuat laporan polis terhadap Teresa Kok di Balai Polis Marang hari ini.
Tegas Yusuf, umat Islam memohon agar pihak polis menjalankan siasatan dengan telus bagi membolehkan tindakan diambil atas kenyataan yang cukup bahaya itu.
"Kenyataan Teresa Kok menyentuh 3R melibatkan sensitiviti umat Islam, kami pohon pihak polis mengambil tindakan atas akta hasutan dan sebagainya.
"Jika perkara ini tidak dikenakan tindakan tegas, tak mustahil selepas ini banyak lagi kenyataan menyentuh sensitiviti Islam atau agama lain akan dibuat pihak tidak bertanggungjawab," jelas beliau.
Kelmarin, Teresa Kok berkata, langkah mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Kata beliau lagi, ia bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
08 Sep 24
145
Kerajaan Negeri Peruntuk RM300,000 Bantuan Peralatan Kepada Nelayan
KUALA TERENGGANU, 8 September - Kerajaan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM300,000 dalam bentuk bantuan peralatan kepada nelayan pantai sebagai langkah proaktif untuk membantu meningkatkan hasil tangkapan bagi memastikan bekalan ikan di negeri ini kekal mencukupi.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi negeri, Hilmi Harun, berkata bantuan itu bertujuan meringankan kos pembelian peralatan, meningkatkan keefisienan penggunaan peralatan, serta menyumbang kepada peningkatan pendaratan ikan di Terengganu.
"Peralatan pada tahun ini ialah fish finder (alat pengesan ikan), pukat tangsi dan kawat bubu yang diberi kepada 232 orang nelayan pantai seluruh daerah di Terengganu.
"Jumlah nelayan pantai yang menerima bantuan peralatan di daerah Kuala Terengganu adalah seramai 16 orang, Kuala Nerus 36 orang dan Marang seramai 32 orang," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Majlis Penyerahan Unjam Dan Pemberian Bantuan Peralatan kepada nelayan Pantai Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang di Pejabat Perikanan berkenaan, pada hari ini.
Sementara itu, seorang nelayan Muhammad Ismail dari Kampung Jambu Bongkok, Marang, berkata, bantuan yang diterima sangat bermakna untuk dirinya.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi bantuan pukat tangsi kepada saya.
“Ini kali pertama saya menerima bantuan dan saya bersyukur, semoga pendapatan meningkat dengan bantuan ini,” katanya yang sudah hampir 30 tahun bergiat sebagai nelayan.
Bagi nelayan veteran dari Pulau Ketam, Wahab Busu, 78, turut meluahkan rasa syukur atas bantuan 'fish finder' yang diterimanya.
“Dengan bantuan ini, dapat saya menangkap lebih banyak ikan.
“Nak beli sendiri memang susah sebab mahal, jadi saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri,” katanya yang telah bergiat sebagai nelayan selama lebih 50 tahun.
08 Sep 24
192
Terengganu Juara Veteran Badminton MAKSAK
KUALA TERENGGANU, 8 September- Kontinjen Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Terengganu muncul juara acara beregu lelaki veteran dalam Kejohanan Badminton MAKSAK yang berakhir hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, peningkatan prestasi pasukan Terengganu turut dibuktikan apabila Terengganu turut muncul naib johan dalam acara perseorangan wanita dan beregu campuran pada kejohanan berkenaan.
"Pada kali ini juga dalam acara kejohanan badminton, MAKSAk Malaysia telah bersetuju menjadikan ia 'single event' yang mana setiap perlawanan akan memberikan markah kepada pasukan. Ia memberikan ruang dan peluang kepada semua untuk pergi ke peringkat lebih tinggi.
"Hari ini, alhamdulillah kita dapat johan veteran, beregu campuran (dan perseorangan wanita) naib johan. Kalau dahulu mungkin ia dimonopoli oleh negeri-negeri tertentu sahaja seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan, tetapi kali ini kita nampak Pulau Pinang, Melaka dan juga Terengganu sendiri.
"Ia satu langkah yang sihat bagi saya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah kejohanan itu di Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, hari ini.
Dalam kejohanan tersebut, kontinjen Selangor memenangi acara perseorangan wanita, beregu lelaki dan beregu campuran.
Manakala, kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul pemenang acara perseorangan lelaki.
Kejohanan Badminton MAKSAK kali ini menghimpunkan 15 pasukan membabitkan 200 atlet.
Kejohanan berkenaan berlangsung selama empat hari bermula Khamis dan berakhir hari ini.
08 Sep 24
783
Terengganu Sambut Baik Saranan KSN
KUALA TERENGGANU, 8 September- Kerajaan negeri Terengganu menyambut baik saranan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar supaya meneliti semula dasar, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lama serta lapuk di agensi kerajaan negeri serta jabatan masing-masing.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja memaklumkan, kerajaan negeri menyambut baik saranan yang diutarakan.
"Kita menyambut baik saranan KSN dan insya-Allah negeri terengganu akan turut bersama-sama dengan saranan itu untuk kita melihat balik SOP yang ada.
"Sebenarnya SOP ini, kita di peringkat negeri memang biasanya akan sentiasa teliti agar dapat perbaharui ataupun pendekkan prosedur yang ada birokrasi untuk mempercepatkan proses," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Badminton Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) di sini, hari ini.
Tambahnya, setakat ini Terengganu telah memperkenalkan sistem e-Tanah sebagai salah satu pembaharuan terbaru di peringkat negeri.
"Kita memperkenalkan e-tanah, yang akan mula berjalan pada 17 September serta akan dilancarkan secara 'go live' pada 12 September nanti.
"Ia salah satu usaha sama dengan kerajaan Persekutuan untuk kita cuba digitalkan sistem dalam masa sama membuang perkara-perkara tidak perlu, yang paling besar setakat ini ialah SOP isu-isu berkaitan e-tanah apabila diperkenalkan," katanya.
08 Sep 24
76