Artikel "Utama" Terkini
RM50,000 Setahun Bantuan Unjam Untuk Kuala Terengganu Dan Dungun
KUALA TERENGGANU, 8 September – Kerajaan negeri terus menunjukkan komitmen dalam memajukan sektor perikanan dengan menyalurkan sebanyak RM50,000.00 kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu bagi pembangunan unjam yang melibatkan daerah Kuala Terengganu dan Dungun pada tahun ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Hilmi Harun berkata, sebanyak 40 unit unjam telah dilabuhkan di perairan Pantai Tanjung yang mana memberi manfaat kepada 100 orang nelayan.
“Ia bukanlah satu jumlah besar jika dinilai dengan nilaian duit bagi sebuah kerajaan tetapi ianya satu garis aras untuk masyarakat dan rakyat melihat bagaimana kesungguhan pihak kerajaan negeri ambil cakna di setiap aspek dalam perjalanan pengurusan negeri Terengganu.
“Walaupun kita di peringkat negeri menghadapi kekangan yang banyak dengan kewangan tidak dapat diuruskan sendiri kerajaan (disebabkan pembayaran royalti yang tak telus).
“Walau bagaimanapun kita tahu ianya satu titik perbezaan perlu dilihat oleh kita semua bahawa apabila kekangan berlaku, kerajaan berusaha setakat sedaya yang mampu untuk menghulurkan bantuan cakna kerajaan agar ianya dapat memberi satu nilai tambah kepada masyarakat berkaitan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Majlis Penyerahan Unjam Dan Pemberian Bantuan Peralatan kepada nelayan Pantai Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang di Pejabat Perikanan berkenaan, pada hari ini.
Hilmi turut menambah bahawa kerajaan negeri berhadapan dengan pelbagai kekangan kewangan, namun tetap berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif.
“Bukan satu usaha yang julung-julung kali diadakan tetapi sepanjang peralihan kuasa daripada tahun 2018 sehingga sekarang, , kerajaan telah menyalurkan bantuan bernilai RM2.1 juta, termasuk mesin tarik bot, kawat bubu dengan GPS (Sistem Kedudukan Sejagat (Global Positioning System), fish finder (alat pengesan ikan), serta pembangunan unjam bernilai RM540,000.
“Bukan satu jumlah yang kecil sekiranya dilihat kepada perjalanan kewangan kerajaan,” ujar beliau.
Menurutnya, usaha itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan hasil tangkapan laut, tetapi juga sebagai langkah proaktif kerajaan untuk menambah sumber ekonomi negeri melalui sektor perikanan.
Justeru itu, beliau berharap agar para nelayan terus komited melibatkan diri dalam menjaga unjam yang telah dibina dengan sebaik-baiknya dan memastikan unjam sentiasa ditambah untuk menjamin sumber ikan di kawasan unjam dilabuh.
08 Sep 24
272
Sijil Halal : ‘Mereka Parti Ekstrem Sebenar’ - Khalil Bidas DAP
KUALA TERENGGANU, 8 September - Exco Kerajaan Terengganu membidas DAP dengan menegaskan bahawa parti tersebut adalah golongan ekstrem sebenar.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ‘belang’ DAP boleh diteliti dalam beberapa insiden terutama apabila melibatkan Islam.
Katanya, kenyataan terkini Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok merupakan satu contoh sikap ekstrem dan melampau parti itu terhadap Islam.
“Kita tak nafi ada kelemahan dalam proses persijilan halal yang wajar dimurni dan diperkasakan untuk kemudahan rakyat.
“Namun, sepatutnya kita rakyat Malaysia berbangga kerana sijil Halal Malaysia antara yang terbaik di dunia dan diiktiraf negara-negara lain.
“Tetapi itulah sikap DAP, mereka tuduh orang lain ekstrem padahal mereka yang sebenarnya ekstrem. Lagi-lagi benda berkait Islam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Menteri Pakatan Harapan (PH) yang membantah cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal.
Kata Teresa Kok, ia berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
“Langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara,” ujar Ahli Parlimen (PH-DAP) Seputeh terbabit.
Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama DAP terkait dalam isu kontroversi berkait Islam, sebelum ini Ahli Parlimen Beruas (DAP), Ngeh Koo Ham mahu kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Di samping itu, DAP juga menimbulkan kemarahan orang ramai apabila pernah mempertahankan tindakan mempromosi arak di sekolah.
08 Sep 24
235
14,865 Pelajar PASTI Terengganu Cipta Rekod Malaysia
KUALA TERENGGANU, 8 September – Seramai 14,865 pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) berjaya mencipta rekod bagi pertandingan mewarna yang diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) apabila merekodkan penyertaan teramai di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata penganjuran aktiviti itu merupakan antara inisiatif menterjemahkan erti kemerdekaan negara mengikut persepsi dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, program berkenaan juga dapat merapatkan ukhuwah dan silaturahim serta memberi impak positif dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“Pertandingan mewarna yang dianjurkan dapat menyerlahkan semangat kemerdekaan di kalangan kanak-kanak
“Lebih membanggakan program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa dan tenaga pengajar PASTI yang memberi sokongan penuh untuk acara bersejarah itu.
"Terima kasih diucapkan kepada semua yang terbabit dalam penganjuran acara ini termasuk pengusaha, ibu bapa, guru dan anak-anak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Perasmian Penutup Program Warna Warni Semarak Merdeka (Acara-Acara Sambutan Sempena Hari Kebangsaan) Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 2024 di dataran jambatan angkat di sini semalam.
Dalam majlis yang sama, Maliaman turut menyampaikan hadiah untuk Pertandingan Pidato Kemerdekaan Belia Terengganu 2024 antara kategori Mahasiswa dan juga pelajar sekolah menengah.
Tambahnya, aktiviti seumpama itu juga membantu mengembangkan rasa yakin dan percaya terhadap diri selain mewujudkan kreativiti dalam kalangan kanak-kanak di peringkat usia paling muda.
"Apabila besar kelak, mereka akan menjadi insan yang berbakat dan membesar dalam keupayaan mereka sendiri.
“Tugas ini bukan mudah, oleh itu kita kagum dengan guru-guru PASTI yang dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
08 Sep 24
2143
SG4 Miliki Kekuatan Tersendiri
Alhamdulillah, batu penanda baharu buat SG4 setelah setahun dicetuskan.
Komitmen dan kehadiran ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan anggota badan legislatif menunjukkan kekuatan tersendiri yang dimiliki SG4 dan membuktikan bahawa SG4 adalah sebuah kerjasama rasmi di peringkat kerajaan.
Sekurang-kurangnya dan paling penting, telah digariskan arah, dasar dan strategi yang lebih jelas dan berobjektif sebagai landasan dalam menggerakkan SG4. Pelaksanaan dan keberhasilan sudah pasti adalah natijah yang diharapkan oleh semua.
Memandangkan SG4 ialah sebuah majlis kerjasama melibatkan kerajaan negeri-negeri berbanding platform perkongsian semata-semata, justeru adalah dicadangkan agar pentadbiran SG4 diperkemas dengan :
(1) Fungsi dan kuasa majlis ini dan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan di bawahnya ditentukan semunasabahnya supaya tiada pertindanan mahupun percanggahan dengan fungsi dan kuasa kerajaan negeri atau entiti kerajaan.
(2) Setiap cadangan pelan tindakan dirundingkan dengan dan mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri-negeri supaya dapat dijamin kesesuaiannya dengan kepentingan dan kemampuan negeri-negeri.
(3) Jawatankuasa pelaksanaan dan penyelarasan ditubuhkan di peringkat negeri-negeri supaya dapat mengurus perancangan, pelaksanaan dan keberhasilan dengan lebih cekap dan berkesan.
(4) Sebuah kumpulan wang dan akaun bank diwujudkan supaya terimaan hasil dan perbelanjaan dapat dipastikan berlaku mengikut cara-cara yang sesuai.
Namun, apa yang lebih penting daripada aspek pentadbiran ini ialah agenda SG4 itu sendiri.
Mohd Eikhwan.
Ringkasnya, SG4 mahu jadikan Terengganu, Kedah, Perlis dan Kelantan ini sebagai destinasi pilihan utama untuk 3B - berniaga (to do business / to invest), bekerja (to work) dan bermastautin (to live).
Melihat kepada 'baseline' semasa ini, antara cabarannya :
(1) Jumlah pertubuhan perniagaan di negeri-negeri SG4 pada 2022 hanya 12.6% (152,034) sahaja berbanding seluruh negara (1,204,987) iaitu merosot sebanyak 11.3% berbanding pada 2021 (171,410). Sektor yang paling besar mengalami kemerosotan ialah Perkhidmatan dan Perdagangan Borong & Runcit. Sedangkan, sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi dan indikator penting yang menggambarkan keyakinan pengguna.
(2) Bilangan penduduk bekerja di negeri-negeri SG4 pada 2023 hanya 2.17 juta sahaja iaitu 13.8% berbanding bilangan penduduk bekerja di negara ini (15.8 juta) dan 39.2% berbanding jumlah populasi (5.55 juta). Sebagai 'benchmark', peratusan penduduk bekerja berbanding jumlah populasi di beberapa negeri maju adalah melebihi 45.0%. Setakat ST2 2024, jumlah penganggur di negeri-negeri SG4 ini ialah 72.6 ribu orang iaitu 13.0% daripada 557.8 ribu orang di seluruh negara.
(3) Saiz ekonomi yang masih kecil bernilai hanya RM124 bilion atau 7.9% sumbangan kepada KDNK negara pada tahun 2023. Gaji dan upah penengah bulanan pekerja di negeri-negeri SG4 juga adalah lebih rendah daripada paras nasional iaitu RM2,424 (2022). Indikator ini adalah antara kriteria utama dalam menentukan tahap daya huni sesebuah negeri.
Saya percaya, semua maklumat, pandangan dan cadangan ini sudah pun dipertimbangkan.
Sekadar berkongsi rasa.
Tahniah kepada badan pemikir kerajaan negeri-negeri atas penganjuran program yang sangat penting ini.
Mohd Eikhwan M. Ali,
Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).
07 Sep 24
317
DAP Jangan Masuk Campur Isu Halal - Hanafiah
KUALA TERENGGANU, 7 September - Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok digesa menarik balik kenyataan berkait cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tidak menyajikan daging babi dan alkohol mendapatkan pensijilan halal.
Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, Teresa didakwa bersikap biadab apabila meminta kerajaan mengkaji semula penguatkuasaan pensijilan halal dalam industri makanan.
"Teresa jangan kurang ajar, tarik segera dan mohon maaf kepada umat islam.
"Nampaknye DAP semakin biadap apabila menjadi sebahagian kerajaan walanon.
"Tiada maaf bagimu yang mencampuri urusan agama islam dan saya mohon pihak berkuasa ambil tindakan kerana mencerca 3R," ujarnya ketika dihubungi pemberita.
Semalam, naib pengerusi DAP itu berkata pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Ahli Parlimen Seputeh berkata, ia dilihat menghalang kebebasan pilihan pengguna serta bertentangan semangat kepelbagaian budaya dalam negara malah mungkin memalukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
07 Sep 24
3012
ANMS Beri Impak Baik Buat Rakyat Terengganu
SETIU, 7 September - Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dilihat memberi impak positif kepada rakyat negeri ini dalam membudayakan kehidupan sihat dan sejahtera.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kerana itu kerajaan negeri memberikan kerjasama baik kepada Kementerian Kesihatan Malaysia yang berjaya melaksanakan program ini melalui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
"Program pada pagi ini merupakan kesinambungan daripada program Jelajah ANMS Peringkat Terengganu yang telah diadakan pada 2 sehingfa 3 Ogos 2024 yang lepas.
"Program ini telah mendapat sambutan yang baik darilada seluruh masyarakat di Negeri Terengganu dan sebanyak 25 agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta telah dilantik sebagai rakan strategik ANMS Terengganu di bawah seliaan Jabatan Kesihatan negeri.
"Komitmen yang jitu antara agensi kerajaan, NGO, pihak swasta san seluruh masyarakat di Terengganu ini telqh menunjukkan agenda sihat ini menjadi keutamaan merentas sektor yang perlu digalas bersama dalam usaha memastikan pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran menyokong kepada amalan cara hidup sihat dapat dilaksanakan secara komprehensif," ujarnya.
Beliau berkata demikian Program ANMS dan Santuni Madani, di Kampung Tanjung Gelam Mengabang Telipot, di sini, hari ini.
Turut bersama, Ketua Pengarah Perancangan Banda dan Desa (PLANMalaysia), Dr Alias Rameli.
Mengulas lebih lanjut, Wan Sukairi berkata program seumpama itu perlu diperluas dan dipelbagaikan terutama dalam pelbagai aspek dan perlu disokong seluruh rakyat bagi mencapai kesejahteraan kesihatan secara holistik.
"Kerajaan Negeri Terengganh sangat memandang serius berkaitan aspek kesihatan.
"Kesihatan perlu dijadikan satu keutamaan dalam masyarakat kerana ia merupakan kekayaan sebenar yang tidak ternilai harganya bukan sahaja kepada individu, malah kepada komuniti dan negara.
"Saya percaya, masyarakat yang sihat merupakan aset penting dalam proses pembangunan ke arah mencapai status negara maju secara holistik yang tertumpu kepada aspek fizikal, sosial dan kerohanian serta alam sekitar," ucap beliau.
07 Sep 24
1176
Munajat Jalan Lembutkan Hati Pihak Menzalimi Hak Rakyat
KUALA TERENGGANU, 7 September - Pelaksanaan solat hajat pada program Karnival Indahnya Hidup bersyariat diharap mampu melembutkan hati pihak yang menzalimi hak rakyat Terengganu dalam isu royalti petroleum.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihak yang sedang memegang tampuk pemerintahan negara perlu menyedari bahawa tindakan itu telah mengakibatkan segala perancangan dan agenda kebajikan rakyat di negeri ini terganggu.
"Tidakkah mereka di nun sana mempunyai sedikit perasaan ihsan? sebagaimana yang dilaung-laungkan dengan tindakan mereka menyusahkan bayaran royalti terencatnya beberapa projek dan program di negeri Terengganu.
"Lihatlah kesannya kepada perojek pembangunan seperti pembinaan kluster perumahan rakyat, bantuan kepada mereka yang ingin meneruskan perniagaan, pembangunan sukan dan belia, bengkel kemahiran termasuk bantuan kesihatan kepada pesakit kronik.
"Bantuan kepada golongan OKU (orang kelainan upaya), program pendidikan dan lain-lain lagi yang ingin kita laksanakan termasuk Pusat Tafaqquh Fiddin yang telah terencat dan terganggu akibat perbuatan mereka ini.
"Tidakkah ada perasaan ehsan dan sedar akan kelemahan yang mereka ciptakan ini, semoga dibukakan pintu hati dan sedar akan kelemahan serta kembalilah ke jalan yang benar dan sepatutnya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan acara penutup program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat 'Munajat Terengganu Sejahtera', di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata sejak tahun 2023 Terengganu menerima royalti secara tersekat-sekat dan ia amat menyusahkan kerajaan negeri untuk menjayakan program serta agenda kebaikan untuk rakyat.
"Pesanan kasih sayang daripada saya kepada mereka di luar sana ingatlah bahawa kita semua bernafas udara milik Allah, berpijak di atas bumi milik Allah, kuasa yang dianugerahkan adalah kepunyaan-Nya.
"Akan sampai waktu dan ketika kita akan menghadap Allah serta akan dintanya kerja buat kita sebagai pemimpin sama ada di peringkat negeri, nasional ataupun antarabangsa.
"Pada waktu itu jawablah kita di hadapan Allah atas segala apa jua kecurangan dan kelemahan sepanjang melaksanakana amanah kepada rakyat yang kita pimpin," katanya.
07 Sep 24
233
Mengurus Generasi Muda Jadi Cabaran Bangunkan Negara
KEMAMAN, 7 September - Mengurus generasi muda hari ini menjadi cabaran bagi memastikan negara terus meniti kemajuan di masa hadapan.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memberi tumpuan serta perhatian kepada golongan terbabit agar terpandu ke arah yang baik, memahami erti kemerdekaan sebenar dan tidak dipengaruhi anasir serta fahaman buruk.
Ujarnya, masalah serta dilema yang dihadapi dalam menguruskan generasi muda hari ini tidak hanya berlaku dalam negara bahkan ia juga terjadi kepada negara maju yang lain seperti Eropah, Korea dan Jepun.
"Saya pernah bercakap dengan para pimpinan masyarakat dari Korea, Jepun dan Eropah mereka bertanya bagaimana kita di Malaysia ini mengurus kalangan generasi baharu yang ada dalam negara kita.
"Saya tanya kepada mereka kenapa persoalan mengenai 'young generation' yang dikemukakan?Mereka kata bahawa generasi muda hari ini tidak sama seperti dahulu dari sudut ketahanan jiwa, mental serta tafsiran kebebasan minda yang berbeza di mana generasi hari ini mahukan sebebas-bebasnya.
"Sehingga mereka tidak mengerti tentang sejarah negara dan tidak ambil tahu tentang tatasusila," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penjawat Awam Daerah Kemaman, di Arena Square Chukai, di sini hari ini sempena Kembara Terengganu Sejahtera Kempen Kibar Jalur Gemilang, di sini, kelmarin.
Mengulas lebih lanjut, Dr Ahmad Samsuri turut melontarkan persoalan untuk difikir serta direnungi bersama bagaimana nasib anak bangsa dengan cabaran yang akan bertambah hebat pada masa akan datang.
"Sesuatu yang saya minta kita sama-sama fikir ialah kita kena sedar dengan apa yang sedang kita hadapi depan mata kita pada ketika ini memerlukan suatu cara dan kaedah untuk kita menanganinya.
"Supaya generasi yang kita tinggalkan nanti mampu berhadapan dengan cabaran untuk mengangkat negeri dan negara jauh lebih baik dari apa yang ada sekarang dan menjadi unggul di mata dunia," ujarnya.
07 Sep 24
111
Rakyat Bermunajat Agar Derita Angkara Politik Terhenti
KUALA TERENGGANU, 7 September - Munajat Terengganu Sejahtera sempena Karnival Indahnya Hidup Bersyariat semalam menjadi medan pengharapan rakyat Terengganu agar derita dinafikan hak royalti angkara politik dendam akan terhenti.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata episod dinafikan hak itu merupakan perkara pahit untuk ditelan kerana Terengganu berhadapan kesukaran untuk meneruskan segala bantuan serta kebajikan untuk kesenangan rakyat.
"Pada malam ini di kemuncaknya kita telah berkumpul dan bermunajat bersama-sama dalam menzahirkan kebersamaan rakyat Terengganu bagi mendoakan kesejahteraan agar negeri 'baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur' melalui solat hajat yang ditunaikan tadi.
"Kita juga telah memohon pertolongan daripada Allah agar hak rakyat (royalti) dikembalikan, hakikat yang pahit untuk ditelan kami sebagai kepimpinan kerajaan negeri kerana berhadapan dengan kekangan dan tekanan.
"Sehingga segala kebajikan rakyat yang telah kita agihkan sebelum ini tidak dapat diberikan lagi kerana amalan politik dendam yang terus menerus diamalkan oelh pihak tidak bermoral," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Munajat Terengganu Sejahtera yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, himpunan pada malam itu merupakan sesuatu yang sangat bermakna dalam memastikan setiap usaha yang ingin dilakukan kerajaan bagi memperkasakan syariat tidak terhalang.
"Terima kasih kepada seluruh rakyat Terengganu yang datang, kita sama-sama memohon kepada Allah mudah-mudahan Allah memberi negeri Terengganu yang kita cintai ini," ujarnya.
07 Sep 24
137
Ketauhidan: Kunci Kebahagiaan Sejati Menurut Perspektif Islam
KUALA TERENGGANU, 6 September - Dalam kehidupan moden yang semakin mencabar, ramai mencari kebahagiaan melalui harta benda, kemewahan dan kesenangan duniawi namun, dalam perspektif Islam, kebahagiaan sejati tidak terletak pada aspek-aspek material ini.
Sebaliknya kata penceramah Selebriti, Ustaz Harryanto Rizal Rokman, kebahagiaan yang hakiki datang dari ketauhidan, iaitu keimanan dan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Kebahagiaan bukan terletak pada rumah mewah, kenderaan boleh dibeli atau dijual, bunga yang boleh dihidu harumnya, gandum yang boleh ditumbuk dan juga pada kain yang boleh dibentangkan.
“Sebaliknya, kebahagiaan adalah sesuatu yang tidak menyibukkan, namun membawa kehidupan sangat sederhana,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Keluarga bertajuk Keluarga Bahagia Negeri Sejahtera di Masjid Tengku Tengah Zaharah, baru-baru ini.
Menurutnya, bahagia adalah ketenangan hati yang hadir kerana kebenaran dijalani dan kebahagiaan adalah kelapangan dada kerana prinsip diyakini.
Tambah beliau lagi, kebahagiaan tertinggi adalah ketauhidan, yakni apabila seseorang mentauhidkan Allah dan ketika beriman kepada Allah, itulah puncak kebahagiaan.
“Kebahagiaan dilihat dari pelbagai sudut, tetapi hakikatnya adalah apabila kita mampu menenangkan jiwa dengan agama ini.
“Apabila kehidupan dipandu dengan asas-asas agama, Allah menyebut dalam surah Taha ayat 131, bahawa kebahagiaan bukanlah apa yang kita lihat dinikmati oleh mereka yang tidak beriman.
“Kebahagiaan bukanlah apa yang dirasakan oleh mereka yang ingkar terhadap perintah Allah SWT," ujarnya.
Justeru itu, beliau berkata, kebahagiaan sejati adalah apabila meletakkan kehidupan dalam kerangka syariat Allah SWT.
06 Sep 24
59