lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kerajaan Negeri Salur RM2.59 Juta Elaun Guru Al-Quran
Kerajaan Negeri Salur RM2.59 Juta Elaun Guru Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.59 juta kepada Yayasan Islam Terengganu (YIT) pada minggu hadapan untuk diagihkan kepada guru-guru al-Quran. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bayaran itu adalah elaun mengajar bagi bulan Januari hingga Ogos tahun ini. "Kos itu melibatkan 1,380 guru di seluruh Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebnyak RM440,000 bagi setiap bulan," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Jelas Dr Muhammad Khalil lagi, bagi bayaran untuk bulan berikutnya, peruntukan bagi tujuan tersebut akan disalurkan seperti biasa pada setiap bulan. "Jadi insya-Allah tidak akan timbul lagi masalah bayaran lewat atau tertangguh. "Kelewatan yang berlaku adalah disebabkan masalah bayaran royalti di peringkat Persekutuan. "Tahun-tahun sebelum ini masalah agihan elaun kepada guru-guru tidak berlaku kerana wang royalti disalurkan seperti biasa dan tanpa sebarang kaedah yang menyulitkan," jelasnya.
12 Sep 24
2132
Untung Tiga Tahun Berturut-turut, Terengganu Inc Sasar Pendapatan RM1.8 Bilion
Untung Tiga Tahun Berturut-turut, Terengganu Inc Sasar Pendapatan RM1.8 Bilion
KUALA TERENGGANU, 12 September - Selepas merekodkan prestasi memberangsangkan selama tiga tahun berturut-turut, syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Terengganu, Kumpulan Terengganu Inc menyasar pendapatan sebanyak RM1.8 bilion pada tahun ini. Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran itu ditingkatkan 24 peratus iaitu RM358 juta lebih tinggi berbanding tahun lalu susulan pencapaian keseluruhan kumpulan tersebut menunjukkan peningkatan bermula dari tahun 2018. “Pendapatan pada tahun 2018 adalah sebanyak RM964 juta dan pada tahun 2023 telah meningkat kepada RM1.5 bilion, peningkatan 58 peratus.  “Pada tahun 2018, kerugian sebelum cukai sebanyak RM43 juta telah bertukar kepada keuntungan sebelum cukai sebanyak RM78 juta pada tahun 2021, RM76 juta 2022 dan RM46 juta pada 2023. “Bagi tahun 2024 ini, Kumpulan Terengganu Inc menyasarkan pendapatan sebanyak RM1.8 bilion dengan keuntungan sebelum cukai dianggarkan akan mencecah RM100 juta,” kata pengerusi syarikat induk pelaburan milik kerajaan negeri itu.  Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Program Latihan Korporat Lembaga Pengarah Syarikat Kumpulan Terengganu Inc, di Kuala Terengganu, kelmarin. Bergerak ke hadapan, Terengganu Inc telah dan akan mengambil beberapa langkah signifikan untuk memastikan keuntungan tersebut berterusan. “Antaranya kita akan mengurangkan kebergantungan kepada tanaman kelapa sawit dengan tidak menambah kawasan tanaman baharu. Terengganu Inc akan memperkenalkan langkah penambahbaikan dalam operasi dan peningkatan kecekapan di ladang sedia ada. “Kita juga bersungguh-sungguh mengusahakan program Carbon Credit unntuk menjana hasil baharu kepada kerajaan. Setakat ini Terengganu Inc telah mengadakan perbincangan dengan PETRONAS dan kita dalam proses mewujudkan dua projek rintis dalam merealisasikan sumber pendapatan baharu,” katanya. Jelas Ahmad Samsuri lagi, sektor penjagaan kesihatan juga sedang dikembangkan susulan kadar pertumbuhan yang tinggi sejak tiga tahun lalu. “Pendapatan dijangka mencecah RM900 juta pada 2030 berbanding lebih RM300 juta yang dicatatkan ketika ini. “Selain itu, ada satu projek bernilai RM1.5 bilion yang boleh dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC)…yang saya tidak boleh sebut lagi. Insya-Allah mempunyai potensi yang tinggi untuk memperoleh projek berkenaan,” katanya. Tambah beliau, jika semua berjalan lancar, ia akan melonjakkan prestasi dan keuntungan Terengganu Inc sekali gus memberi banyak manfaat kepada rakyat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
12 Sep 24
1178
Serius Perkasa Agama Melalui Institusi Pendidikan Islam
Serius Perkasa Agama Melalui Institusi Pendidikan Islam
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) memberi perhatian serius untuk memperkasakan agama dengan memperkukuhkan institusi pendidikan Islam. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan sedia memperkukuhkan fahaman masyarakat dengan penyuburan Pendidikan Islam. “Menjadi tanggungjawab dan amanah kita untuk memastikan masyarakat subur dengan Islam dan sedia mempertahankannya untuk ratusan tahun akan datang, salah satu jalannya adalah melalui sistem pendidikan Islam. “Masyarakat kita perlu diberi kefahaman agama yang utuh supaya ada jati diri dan keteguhan jiwa untuk berdepan dengan ideologi luar seperti liberalisme, sekularisme dan sebagainya,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Multaqa Badan Pengelola Institusi Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2024 di dewan Auditorium, JHEAT. Turut hadir pada majlis tersebut Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu; M. Rozi Bidin, Pengarah JPINT; Lothman Awang dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Rabitah Institusi Pendidikan Islam Terengganu, Muzaihar Kamal Mustapa Kamal.    
11 Sep 24
125
Terengganu Naikkan Tajaan Biasiswa Pelajar Cemerlang B40 ke RM1 Juta
Terengganu Naikkan Tajaan Biasiswa Pelajar Cemerlang B40 ke RM1 Juta
KUALA TERENGGANU, 11 September - Kerajaan negeri mengumumkan tajaan biasiswa YT-TI 'Young Talent Scholarship Programme' bagi tahun pengajian 2025\2026 akan dinaikkan sebanyak RM500,000 kepada RM1 juta setahun. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ir Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengumumkan berita baik itu, merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Terengganu Inc yang telah menjadi penyumbang program berkenaan yang kini memasuki tahun ketiga. "Program tajaan biasiswa bermula pada tahun 2022 dengan tajaan sebanyak RM500,000 kepada 10 pelajar cemerlang dari golongan B40 untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama. "Terengganu Inc juga pada tahun ini telah berkolaborasi dengan Yayasan Pendidikan Maidam bagi program biasiswa Tunas Scholar dengan dana awal sebanyak RM1.3 juta pada tahun 2024. "Program ini mensasarkan golongan anak-anak asnaf fakir, miskin dan fisabilillah yang layak bagi melanjutkan pengajian dalam bidang diploma kejururawatan dan fisio terapi," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan 'Terengganu Inc Group Corporate Director's Programme' (CDP 2024) di Pusat Konvensyen Duyong Marina, semalam. Program berkenaan menghimpunkan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat di bawah kerajaan Terengganu sebagai usaha memastikan keberkesanan dalam melaksanakan tugas sekali gus dapat mengembalikan manfaat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada masyarakat. Tambahnya, Kumpulan Terengganu Inc telah membelanjakan sebanyak RM7.3 juta bagi enam bulan pertama 2024 untuk tujuan CSR. "Perbelanjaan CSR ini  disasarkan kepada kopmuniti, pendidikan. persekitaran, sukan, keagamaan dan sebagainya merangkumi sumbangan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain. "Oleh kerana dana agak terhad, maka bermula saat ini hingga seterusnya, kita akan aturkan CSR mengikut kumpulan sasar dengan objektif lebih khusus di tempat yang lebih bersasar. "Jumlah ini selari dengan jumlah CSR Kumpulan Terengganu Inc sebanyak RM11-12 juta setahun yang dibelanjakan syarikat itu sejak tahun 2018," ujarnya.          
11 Sep 24
1371
Ladang Solar Tasik Kenyir Bakal Hasilkan 2,000 MW Tenaga Elektrik
Ladang Solar Tasik Kenyir Bakal Hasilkan 2,000 MW Tenaga Elektrik
KUALA TERENGGANU, 11 September- Ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang akan dimulakan dalam masa enam bulan akan datang, dijangka dapat menghasilkan sehingga 2,000 MW (megawatt) tenaga elektrik. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kumpulan Terengganu Inc telah mengorak langkah bekerjasama dengan TNB Genco bagi melaksanakan projek berkenaan dengan fasa pertama sebanyak 400MW yang menelan belanja sebanyak RM2 bilion. "Semua ini dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan baharu negeri. "Usaha ini selari dengan matlamat kerajaan negeri bagi menghasilkan 1,000 MW bersamaa 1 GW (gigawatt) tenaga dari solar dalam tempoh lima tahun mendatang yang akan meningkatkan kapasiti penjanaan melebihi 30 peratus menjelang tahun 2025. "Selain itu, Terengganu turut sama menjayakan agenda nasional dengan menggalakkan semua subsidiari menjana tenaga solar menerusi pemasangan panel di premis perniagaan mereka, sebagai contohnya di Primula Beach Hotel, PESAKA Terengganu Berhad, Permint Plywood, pejabat Syarikat Air Terengganu (SATU dan Permai Hotel," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Program Latihan Korporat Lembaga Pengarah Syarikat Kumpulan Terengganu Inc (CDP 2024) di Pusat Konvensyen Duyong Marina, semalam. Hadir sama ialah pengasas & pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dato’ Seri Sir Dr Jeffrey Cheah, pengasas & pengerusi Weststar Group of Companies, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim serta mantan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad. Majlis berkenaan menghimpunkan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat di bawah kerajaan Terengganu dalam persidangan selama sehari pada hari ini. Bertemakan 'Empowering Tomorrow : Investing In ESG for a Sustainable Future', Program CDP 2024 akan berlangsung dengan lima sesi pembentangan dan satu sesi forum yang akan dibarisi oleh panelis yang berkaliber daripada pelbagai bidang dan kepakaran.
11 Sep 24
503
Negeri SG4 Sepakat Jadi Negeri Mesra Pendidikan Agama Rakyat
Negeri SG4 Sepakat Jadi Negeri Mesra Pendidikan Agama Rakyat
KUALA TERENGGANU, 11 September - Empat buah negeri  SG4 Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sepakat untuk menjadi negeri yang mesra dengan pendidikan agama rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, perkara itu telah disepakati dalam pertemuan kemuncak SG4 baru-baru ini. "Dalam pertemuan itu antara yang menjadi tumpuan adalah menjadikan empat buah negeri ini sebagai negeri yang mesra dengan pendidikan agama rakyat. "Supaya semua institusi agama yang dibangunkan secara persendirian yang dimiliki masyarakat membabitkan tahfiz, sekolah rendah Islam, koleh dan sebagainya untuk diberikan tumpuan dengan memberi sokongan dan dokongan semampu yang kita dapat. "Supaya institusi pendidkan agama ini akan sama-sama dapat berdiri tinggi dan sama-sama berusaha untuk memperkasakannya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada ketika menyempurnakan perasmian Majlis Multaqa Badan Pengelola Institusi Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2024, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata sejak 2018 kerajaan negeri sentiasa memberi tumpuan kepada sekolah agama rakyat ini agar tidak terpinggir dalam memastikan ia berupaya untuk memenuhi permintaan ibu bapa yang menjadikan sekolah agama sebagai alternatif terbaik. "Kita sama berusaha untuk mememnuhi permintaan ibu bapa yang memberikan kepercayaan untuk menghantar anak mereka ke pusat pengajian agama dengan pelbagai pilihan yang ada dalam memastikan generasi yang terbaik dan beriman akan dapat dilahirkan selaras dengan Terengganu yang dikenali sebagai 'Darul Iman'," ucap beliau. Dalam pada itu katanya kesedaran ibu bapa di Terengganu terhadap pendidikan agama sangat tinggi sehingga Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) sentiasa menjadi rebutan. "Kita sangat menitikberakan soal ini sehingga kita memberikan keutamaan dan berjanji bagi mewujudkan SRIDI di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang ini yang dah tebrina 12 dari 32. "Sekarang ini kita ke araha mewujudkan Sekolah Menengan Agama Islam Darul Iman (SMIDI). "Dengan permintaan yang tinggi menunjukkan bahawa kesedaran dalam kalangan masyarakat sangat baik dan akan membawa perkembangan pendidikan berorientasikan Islam semkain berkembang maju,"ujarnya.  
11 Sep 24
119
Jom Rehat dan Bersihkan Diri, Peserta RXZ Members Dijemput ke Masjid Al-Abrar
Jom Rehat dan Bersihkan Diri, Peserta RXZ Members Dijemput ke Masjid Al-Abrar
KUALA NERUS, 10 September - Masjid Al-Abrar, Bukit Tok Beng, di sini menjemput peserta RXZ Members 6.0 yang ingin berehat serta membersihkan diri selepas menempuh perjalanan jauh kerana ia dibuka sepanjang masa kepada orang ramai. Pengerusi Masjid Al-Abrar, Profesor Madya Dr Mohd Shafiee Hamzah berkata, makanan tengah hari secara percuma kepada orang ramai turut disediakan selepas solat Zuhur secara berjemaah pada Sabtu ini. Menurutnya, orang ramai tak perlu risau soal berehat dan tidur di masjid kerana pihaknya tidak pernah melarang atau memarahi sesiapa yang hadir untuk iktikaf, berehat serta melelapkan mata seketika di masjid berkenaan. Selain itu katanya, usaha itu bertujuan menarik minat anak muda menghadirkan diri beramai-ramai ke rumah Allah selain mengimarahkan pelbagai aktiviti diadakan di masjid. "Kami daripada pihak jawatankuasa masjid sangat mengalu-alukan kehadiran semua peserta RXZ Members dari seluruh negara untuk ziarah dan mengimarahkan masjid di sini. "Pelbagai kemudahan disediakan di masjid ini kepada orang ramai, antaranya kawasan parkir luas serta tandas dan bilik mandi yang selesa. "Selain itu, masjid ini mempunyai beranda yang luas di mana ia memberi keselesaan kepada tetamu yang hadir untuk iktikaf, berehat serta melelapkan mata selepas menempuh perjalanan jauh," katanya kepada pemberita. Tambah Mohd Shafiee lagi, bilik mandi juga disediakan kepada pengunjung bagi membersihkan badan demi keselesaan untuk beribadah di masjid nanti. "Inilah adab Islam dalam meraikan tetamu serta menarik anak muda mengimarahkan rumah ALLAH," jelasnya. Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut memberi jaminan kepada orang ramai supaya tidak bimbang mengenai soal keselamatan di dalam masjid kerana aspek tersebut sentiasa menjadi keutamaan pengurusan masjid. Menurutnya, terdapat pengawal keselamatan di masjid yang sentiasa melakukan pemantauan bagi menjaga keselamatan di masjid.
10 Sep 24
508
Ibu Bapa Sumber Inspirasi Terbesar Penerima Anugerah Pingat Emas
Ibu Bapa Sumber Inspirasi Terbesar Penerima Anugerah Pingat Emas
KUALA TERENGGANU, 10 September- Selain diri sendiri, ibu bapa merupakan sumber inspirasi terbesar buat dirinya untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam setiap peperiksaan, kata Wan Ahmad Syakir Alwi Wan Mohd Radzi, 19.  “Bagi saya inspirasi itu perlu dibina sedikit demi sedikit, jadi dulu saya berispirasi untuk mendapat keputusan semua A dalam setiap peperiksaan, bila sudah dapat kita akan teruskan untuk mendapatkan keputusan yang lebih hebat,” kongsi bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut yang merupakan salah seorang daripada empat penerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023. Beliau ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke- 43) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini, semalam. Katanya, beliau bersyukur atas segala kejayaan yang di peroleh pada hari ini. “Rasa sangat gembira apabila mendapat pingat emas ini. Sebenarnya sepanjang sekolah tidak pernah sangka boleh dapat anugerah yang hebat macam ini. “Jadi bila sudah dapat mungkin inilah petanda Allah S.W.T hendak tunjuk potensi yang ada pada kita dan boleh pergi jauh daripada apa yang pernah kita impikan. “Ini mungkin bukan pengakhiran tetapi langkah pertama untuk pergi ke peringkat yang lebih jauh lagi. InsyaAllah itu impian saya,” ujarnya yang bercita-cita menjadi jurutera kimia berstatus hafiz al-Quran. Anak kepada pasangan guru, Zawahir Che Mood, 45, dan Wan Mohd Radzi Wan Sulaiman, 50, itu telah menamatkan hafalan al-Quran dan bergelar hafiz ketika berusia 14 tahun. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam bidang Kejuruteraan Kimia. Sementara itu, Nur Khalidah Adilah Mohammad, 19, yang turut melakar kejayaan cemerlang merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas penghargaan yang diberikan. "Saya bersyukur kerana terdiri daripada empat pelajar yang menerima anugerah ini. Saya harap ia dapat menjadi pemangkin kejayaan cemerlang kepada yang lain. “Terima kasih kepada kerajaan negeri, saya akan belajar bersungguh-sungguh dan bila berjaya nanti saya akan berbakti untuk Negeri Terengganu,” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) yang juga sedang melanjutkan pengajian di UTP dalam bidang Sains Komputer. Anugerah Pingat Emas yang diwujudkan sejak 1980 merupakan salah satu inisiatif dan langkah Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu dalam menghargai dan mengiktiraf setiap usaha pelajar yang meraih kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum mahupun sahsiah diri.
10 Sep 24
339
Sukan Menyatukan Masyarakat
Sukan Menyatukan Masyarakat
Oleh : Fatimah Din MARANG, 28 September - Dalam menyertai apa jua kejohanan atau aktivti sukan kalah dan menang sudah menjadi adat, yang paling utama adalah silaturrahim itulah paling bermakna. Seorang penduduk, Sulaiman Jusoh berkata, melalui penganjuran sukan yang diadakan juga turut dapat memupuk  kerjasama antara satu sama lain dalam pasukan. Ujarnya dengan menawarkan hadiah utama bernilai RM800 pelbagai acara telah diadakan bagi memeriakan program. "Selain acara tarik tali, turut diadakan Langkah Dirgahayu Negaraku, cabutan bertuah, pertandingan mewarna, shoot bola penalti, shoot bola jaring. "Serta yang paling menarik ialah bowling buah kelapa yang dibuka penyertaannya kepada muslimat," ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman pada Program Dirghahayu Negaraku Tercinta Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di sini, baru-baru ini. Program itu turut dihadiri oleh ADUN setempat, Sulaiman Sulong dan isteri, Hafizah Abdul Rahman.
10 Sep 24
211
Tarik Balik Larangan Jual Padi Ke Kilang Negeri Lain - Azman
Tarik Balik Larangan Jual Padi Ke Kilang Negeri Lain - Azman
KUALA TERENGGANU, 10 September - Mesyuarat Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu semalam memutuskan untuk menarik balik larangan penjualan hasil padi dari Terengganu ke kilang padi di negeri lain. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi mewujudkan persaingan yang lebih sihat di kalangan pengusaha-pengusaha kilang padi yang ada di Terengganu. Menurutnya, sehingga kini harga belian padi di Terengganu agak rendah berbanding di negeri lain.  “Selaras dengan kenaikan pelbagai kos mengusahakan sawah yang dipikul oleh pesawah, mereka berhak mendapat harga yang lebih tinggi.  “Peraturan yang melarang penjualan padi ke negeri lain memberikan status quo kepada pengilang padi Terengganu untuk kekal dengan harga yang relatif rendah berbanding negeri lain,”ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya semalam. Tambah beliau, kerajaan perlu memberikan ruang yang lebih baik kepada pesawah di Terengganu.  Azman juga berkata, persaingan sihat perlu dibuka di kalangan pengusaha kilang padi untuk mereka menawarkan tawaran yang terbaik dalam rangka menarik pesawah supaya menjual padi ke kilang masing-masing. “Banyak kilang padi di Terengganu membeli padi dengan harga lantai RM1300/mt dalam masa yang sama harga padi di negeri lain sudah mencecah RM1800/mt. “Kementerian Pertanian hanya menetapkan harga lantai padi RM1300/mt tanpa penetapan harga siling,” ujar beliau lagi.  Justeru itu katanya, terpulang kepada pihak kilang untuk  penetapan harga asalkan jangan lebih rendah dari harga lantai.  
10 Sep 24
584