Artikel "Utama" Terkini
1,888 Sertai Perarakan Maulidur Rasul di Terengganu
KUALA NERUS, 16 September - Seramai 1,888 peserta membabitkan 59 kontinjen menjayakan perarakan sejauh kira-kira empat kilometer sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M Peringkat Negeri, hari ini.
Sambutan bermula jam 8 pagi diketuai Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.
Turut menyertai perarakan, barisan Exco negeri, pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan.
Sambutan bermula dari padang bola sintetik di Kampung Tok Jiring ke Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di Kuala Nerus.
Perarakan turut melibatkan agensi kerajaan, swasta, Badan bukan Kerajaan (NGO), sekolah, IPT serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Sepanjang perarakan peserta membawa sepanduk melambangkan kecintaan kepada Rasulullah SAW sambil berselawat.
Dalam perarakan berkenaan, sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Perarakan Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri, Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan, Pasukan Sekolah Menengah dan Institusi Pengajian Tinggi, Syarikat-syarikat Swasta serta NGO dan JPKK.
16 Sep 24
1438
Sultan Terengganu Titah Perkasakan Program Pupuk Akhlak Mulia Anak Muda
KUALA NERUS, 16 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar program memupuk akhlak mulia dan sahsiah terpuji kalangan anak muda di negeri ini diperkasakan.
Baginda bertitah, usaha perlu dilakukan melalui institusi pendidikan agama bagi menyediakan ruang yang mencukupi untuk pembelajaran ilmu agama yang komprehensif dan mendalam.
"Masjid dan surau bukan sahaja dijadikan tempat beribadat tetapi juga pusat pendidikan dan pembentukan akhlak.
"Program-program seperti kelas agama, kuliah maghrib dan kem ibadah harus diperbanyakkan dan diperkuatkan.
"Sebagai contoh, Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) yang telah dilaksanakan di masjid-masjid terpilih di negeri Terengganu menjadi platform terbaik kepada rakyat untuk mengikuti pengajian agama secara berstruktur dan tersusun," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda mencemar duli merasmikan majlis tersebut turut diiringi, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama paduka anakanda, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
Terdahulu keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam pada itu, baginda turut berharap agar program memperkasakan akhlak rakyat seperti SPAIT dapat diperluaskan lagi dan merangkumi seluruh masjid kerajaan di Terengganu pada masa akan datang.
"Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada kali ini juga, Beta mendoakan semoga kita semua dirahmati dan diberi taufik oleh Allah SWT.
"Semoga apa yang dilaksanakan ini akan menjadi asbab untuk kita mendapat syafaat besar Rasulullah SAW hari akhirat nanti, insya-Allah," titah baginda.
Sementara itu, baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang perarakan bersempena Sambutan Maulidur Rasul kali ini.
16 Sep 24
294
'Jadikan Aktiviti Kebajikan Sebagai Pengisian RXZ Members' - Dr Sam
KUALA NERUS, 16 September - Penganjur RXZ Members dicadang agar menjadikan aktiviti kebajikan sebagai pengisian program agar ia lebih bermakna.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pelbagai aktiviti boleh dilakukan agar ia meninggalkan kesan sekali gus akan mendiamkan pihak yang suka melakukan tohmahan negatif terhadap peserta RXZ Members.
"Antara perkara yang boleh dijadikan pengisian seperti membersihkah masjid, street dakwah, bergotong royong bersama dengan komuniti setempat, street dakwah dan pelbagai lagi.
"Melalui aktiviti positif yang dilakukan akan mendatangkan kebaikan kepada diri masing-masing sekali gus menghakis persepsi negatif," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup Program RXZ Members, di Litar Permotoran Gong Badak, di sini, kelmarin.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri merakamkan penghargaan terima kasih di kepada seluruh pihak masjid di negeri ini yang telah memberikan layanan begitu baik kepada para peserta serta membenarkan masjid dijadikan tempat tidur dan berehat malah ada yang turut menyediakan makanan.
"Selepas ini para peserta akan pulang, saya nasihatkan agar jaga keselamatan diri beri kerjasama kepada pihak berkuasa (polis).
"Perjalanan yang jauh sudah tentu memakan masa yang lama, ambil masa untuk berhenti rehat dna jangan lupa untuk solat," katanya.
16 Sep 24
275
SG4: Hasil Sedia Ada Kekal Selaras Undang-Undang Negeri
KUALA TERENGGANU, 15 September – Empat kerajaan negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis (SG4) akan terus menikmati aliran pendapatan sedia ada dan yang akan datang berkaitan dengan tanah, mineral dan sumber lain milik setiap kerajaan negeri di bawah undang-undang dan peraturan sedia ada melalui penubuhan SG4 Group Sdn Bhd (SG4SB).
Ketua Pegawai Eksekutif TSIS merangkap Ketua Sekretariat SG4, Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob berkata ini termasuk tribute, royalti, premium dan lain-lain jenis pendapatan yang perlu dibayar terus kepada kerajaan negeri oleh setiap syarikat pengusaha.
Menurutnya, keadaan itu tidak jauh beza dengan struktur sedia ada di mana setiap kerajaan negeri menerima bayaran di atas secara terus melalui Perbendaharaan Negeri walaupun jika sesuatu projek itu dilaksanakan oleh GLC Negeri, atau mana-mana syarikat swasta atau perusahaan daripada mana-mana pihak.
“Bayaran lain mungkin termasuk satu peratusan tambahan yang dipersetujui di mana setiap Kerajaan Negeri terima di atas bayaran royalti sedia ada berdasarkan jumlah input sumber yang dibekalkan oleh setiap negeri di dalam penjanaan aliran hasil yang dijalankan oleh SG4SB.
“Model ini boleh disamakan dengan hasil minyak di mana negeri seperti Terengganu atau Kelantan menerima bayaran royalti berdasarkan peratusan input atau sumber minyak yang dijana daripada negeri-negeri ini.
“Peratusan pembayaran royalti throughput hendaklah ditentukan berdasarkan persetujuan bersama empat negeri,”ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, selepas mengambil kira pembayaran-pembayaran di atas kepada empat kerajaan negeri, dan kos-kos operasi SG4SB, akan ada keuntungan yang boleh diagihkan sebagai bayaran dividen kepada setiap kerajaan negeri (ataupun kepada syarikat korporat mewakili setiap kerajaan negeri yang memegang saham dalam SG4SB), berdasarkan pegangan ekuiti masing-masing 25 peratus.
Tambahnya, peranan GLC sedia ada di setiap negeri tidak akan terjejas dalam meneruskan peranan sedia ada dalam menjalankan inisiatif pelaburan dan projek pembangunan di setiap Negeri.
“Ini juga termasuk syarikat dan kontraktor tempatan yang akan terus menjalankan perniagaan dan melaksanakan projek di setiap negeri. Bahkan, syarikat GLC negeri-negeri ini dialu-alukan untuk turut menyertai usahaniaga perniagaan yang diterokai SG4SB.
“Namun disana, terdapat projek yang berskala besar dan berkepentingan strategik dengan cabaran teknologi tertentu yang memerlukan empat kerajaan negeri bekerjasama untuk menarik pelabur yang bereputasi dan mencapai faedah-faedah yang dinyatakan,”ujarnya.
Menurut beliau, salah satu satu contoh adalah berkaitan dengan cadangan pelaburan yang berkaitan dengan NR-REE, di mana SG4SB perlu bekerjasama rapat dengan GLC-GLC dan agensi-agensi di empat kerajaan negeri ini.
“Ini akan memberikan empat kerajaan negeri melalui SG4SB kedudukan perundingan yang lebih baik dan syarat yang lebih baik diharapkan dengan pihak pelabur yang berpotensi.
“Begitu juga, pihak pelabur akan merasa lebih beruntung kerana ia menikmati jumlah deposit atau rizab yang lebih besar yang boleh bertahan untuk lebih banyak tahun pengoperasian bagi membolehkan pelaburan bernilai jutaan/bilion ringgit dapat dilaksanakan dengan pulangan kewangan yang menguntungkan kepada kedua-dua pihak pelabur dan SG4SB, serta akhirnya kepada empat kerajaan negeri,” jelasnya.
Dr Mohd Hanif juga berkata terdapat juga projek-projek di dalam negeri tertentu yang memerlukan bantuan, kepakaran dan sumber daripada Negeri SG4 yang lain.
“Ini termasuk, sebagai contoh, projek berasaskan pertanian yang memerlukan kawasan tanah yang luas yang tidak mampu disediakan oleh hanya satu negeri.
“Oleh itu, SG4SB boleh bekerjasama dengan pelabur dan GLC atau agensi daripada tiga negeri SG4 yang lain dengan model perniagaan tertentu yang akan dipersetujui bersama oleh semua pemegang taruh,”tambahnya.
15 Sep 24
256
Projek Lada Hitam Memasuki Fasa Bina Kilang
KUALA TERENGGANU, 15 September- Pembangunan projek lada hitam Mc Cormick di Lembah Bidong, Setiu telah memasuki fasa pembinaan kilang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, perluasan kawasan ladang juga sedang dibangunkan secara berfasa sehingga mencapai keseluruhan keluasan 600 hektar.
“Hampir 400 orang anak Terengganu sedang bekerja di sini, menjadi sebahagian dari kejayaan projek berskala mega ini.
“Ia suatu indikator bahawa anak Melayu Terengganu mempunyai kualiti yang mampu memenuhi standard kerja sebuah syarikat antarabangsa seperti Mc Cormick,” ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya.
Mengulas lanjut katanya, semasa perancangan projek sedang disusun, Kerajaan Negeri meletakkan syarat supaya pihak pelabur membina sebuah kilang pemprosesan sebagai sebahagian dari komponen projek.
“Dengan wujudnya kilang, jumlah peluang pekerjaan dapat ditingkatkan serta pemindahan teknologi akan berlaku.
“Adalah satu kerugian andai produk keluaran negeri kita hanya dieksport sebagai bahan mentah bagi diproses di tempat lain,” ujarnya.
15 Sep 24
4772
272 'Ubi Muda' Tunjuk Belang di Terengganu
KUALA NERUS, 15 September- Seramai 272 atlet daripada 12 pasukan hadir ke Terengganu bagi menyertai Kejohanan Olahraga Bakat dan Pelapis Negeri 2024 yang bermula sejak semalam.
Berlangsung di Stadium Tengku Muhammad Ismail di sini, kejohanan berkenaan mempertandingkan 16 acara olahraga lelaki dan wanita seperti acara rejam lembing, lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru.
Menurut Ketua Unit Pembangunan dan Bakat Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Mohd Hilmi Haris, kejohanan yang julung kali diadakan itu mendapat sambutan dari bakat dan pelapis tanah air apabila hampir semua negeri mengambil bahagian.
"Dari segi sambutan, boleh dikatakan seluruh negeri datang kecuali Sabah dan Sarawak yang mungkin berdepan kekangan kos yang tinggi untuk datang, tetapi negeri-negeri di semenanjung semua hadir dengan penyertaan atlet bawah 17 tahun.
"Negeri Terengganu sebagai tuan rumah pula menampilkan penyertaan paling ramai dengan 49 orang atlet untuk semua acara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu hadir ke kejohanan tersebut, semalam.
Tambahnya, penganjuran itu merupakan penghargaan kepada MSNT sebagai pengelola kejohanan anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) yang bertujuan mencungkil bakat di peringkat kebangsaan.
"Kalau diikutkan kejohanan bakat (peringkat pelapis), kejohanan secara 'single event' ini kali pertama diadakan, jadi kita boleh tengok bakat-bakat sebenar para atlet dan kemampuan mereka kerana lebih terfokus pada satu-satu acara kerana dari sini kita akan tingkatkan kembali potensi mereka pada masa akan datang.
"Kita tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi kerana dari segi keputusan dan hasil ia nombor dua, yang utamanya dari sudut pendedahan atlet untuk bersedia ke arah SUKMA dan kejohanan peringkat tinggi yang lain.
"Tambahan pula pada Oktober nanti, prestasi atlet-atlet ini akan memuncak ketika Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), jadi kejohanan ini dilihat sebagai pendedahan awal untuk mengekalkan prestasi mereka," ujarnya.
14 Sep 24
3988
Polis Sahkan Terima Laporan Peserta RXZ Members Diperdaya Scammer
KUALA NERUS, 15 September- Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan peserta RXZ Members diperdaya 'scammer'.
Ujarnya, terdapat empat laporan daripada peserta program permotoran terbesar itu diperdaya oleh pihak yang menawarkan penginapan inap desa yang tidak wujud.
"Tahun ini tiada kes kecurian motor dilaporkan berlaku namun kali ini cuma kita dapat laporan kes 'scammer' menawarkan homestay (yang tidak wujud).
"Ada empat kes yang berlaku dan pihak telah diperdaya itu kita nasihatkan dia buat laporan bagi pihak kita melalukan siasatan yang terperinci," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadari perasmian penutup program RXZ Members di Litar Permotoran Negeri Gong Badak, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Khairi berkata secara keseluruhanya pihaknya berpuas hati dengan penganjuran program berkenaan dengan keadaan terkawal cuma masih ada segelintir peserta yang gagal mematuhi undang-undang.
"Sepanjang pemerhatian sebilangannya masih tiada ada 'side mirror' kiri dan kanan.
" Masih ada lagi yang memakai ekzos bising, dari sudut yang lain tidak begitu ketara," ucap beliau.
Sementara itu katanya, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan ada pserta RXZ Members yang terlibat dalam kemalangan.
14 Sep 24
589
Dr Sam Sekali Lagi Curi Tumpuan Bawa RXZ
KUALA NERUS, 14 September - Hari ini sekali lagi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencuri tumpuan apabila menunggang motosikal RXZ.
Beliau menunggang motosikal Yamaha RXZ itu sejauh 15 kilometer (KM) bermula dari Kediaman Seri Setia hingga ke Tapak Program RXZ Members 6.0 di Litar Permotoran Negeri Gong Badak.
Pada kali ini sambutan terhadap program berkenaan mendapat sambutan yang sangat luar biasa apabila menerima kehadiran mencecah 80,000 melibatkan peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Program berkenaan dijangka akan berakhir pada jam 6.30 petang.
14 Sep 24
665
10 Projek Berimpak Tinggi Dalam Draf Rancangan Tempatan Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 13 September - Sebanyak 111 cadangan pembangunan dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu, Terengganu 2035 (Penggantian) bernilai RM14.08 bilion yang akan dilaksanakan dalam tempoh 11 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia membabitkan 10 projek berimpak tinggi bernilai RM11.29 bilion, 59 projek 'enabler' berjumlah RM2.39 bilion dan 42 projek 'quick win' bernilai RM387.57 bilion.
Menurutnya, antara projek berimpak tinggi yang berada di dalam RT ialah cadangan Ladang Solar Terapung di Tasik Kenyir yang akan dimulakan dalam tempoh enam bulan akan datang.
"Tasik Kenyir sebagai sumber ekonomi melalui eko pelancongan serta potensi tenaga hijau yang boleh dimanfaatkan selari dengan hasrat serta hala tuju Menteri Besar Terengganu untuk tidak bergantung kepada minyak dan gas serta beralih ke tenaga boleh diperbaharui.
"Sehubungan itu, kerajaan negeri telah memulakan langkah yang proaktif melalui Ladang Solar Terapung untuk meningkatkan pendapatan negeri dan daerah Hulu Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu, Terengganu 2035(Penggantian)di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) di sini semalam.
Tambahnya, antara projek berimpak tinggi lain yang berada di dalam DRTDHT adalah menaik taraf jalan raya antara Tasik Kenyir ke Aring hingga sempadan Kelantan, selain membangunkan Pusat Pemindahan Kekal Bencana(PPKB).
"Ia juga melibatkan pembaharuan semula Bandar Kuala Berang dan pembangunan bandar Domitri Ajil dan beberapa lagi projek HIP," ujarnya.
Justeru itu, beliau menyeru seluruh penduduk daerah Hulu Terengganu khususnya pemimpin masyarakat untuk mengambil peluang sama-sama mengemukakan maklumbalas dan termasuk orang awam membuat semakan di kaunter semakan dalam tempoh empat minggu ini.
Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen yang tinggi bagi penyediaan Rancangan Pemajuan di seluruh Terengganu.
"Setiap tahun kita menyalurkan peruntukan pembangunan khusus bagi menampung kos penyediaan Rancangan Pemajuan kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (PLANMalaysiaTerengganu) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan bagi RT yang telah tamat tempoh perancangan," ujarnya.
13 Sep 24
1587
Pelajar Terengganu Bakal Luaskan Pengajian ke Cape Town
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu akan menghantar pelajar pada tahun ini melanjutkan pengajian di Cape Town, South Afrika.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata kerajaan sedia menerokai pusat pengajian baharu bagi pelajar meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kita sedang rancang hantar pelajar ke Cape Town, South Afrika, tahun ini ada dua pelajar bidang perubatan akan ke Universiti Cape Town, empat pelajar Pengajian Islam ke Peace Universiti.
“Pelajar akan menuntut dalam buku teks bahasa arab, tetapi pertuturan digunakan adalah bahasa inggeris, pelajar sangat untung dapat kuasai dua bahasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Multaqa Badan Pengelola Institusi Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2024 di dewan Auditorium, JHEAT.
Kata Satiful Bahri, kerajaan sedia membuka peluang kepada pelajar daripada institusi persendirian yang berminat, boleh hubungi Yayasan Terengganu, akan tetapi segala perbelanjaan adalah di bawah tangungjawab ibu bapa sendiri.
“Sebelum ini, kerajaan berjaya hantar pelajar menyambung pengajian ke Universiti samada di Tunisia, Qatar, Mesir, Jordan dan Turki, ada antaranya dapat peluang belajar secara percuma tanpa bayaran, ditanggung sepenuhnya oleh pihak Universiti, tapi kuota tersebut agak terhad.
“Pihak kita juga sedia membantu dan buka ruang bagi mana-mana pelajar yang berminat sambung pengajian di Libya, Lubnan, Damsyik dan Yaman, kita ada peluang di sana tetapi segala perbelanjaan adalah ditanggung sendiri,” katanya.
Seperti kebiasaan, pada tahun ini pihak kerajaan masih lagi meneruskan penghantaran pelajar ke Mesir, Turki, Jordan dan sebagainya.
12 Sep 24
283