lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Rakyat Dijemput 'Rumbu' Dialog Exco
Rakyat Dijemput 'Rumbu' Dialog Exco
KEMAMAN, 19 September- Penganjuran program Dialog Exco Kerajaan Negeri wajar dihadiri oleh penduduk setempat dalam usaha mewujudkan komunikasi lebih baik diantara rakyat dan barisan kepimpinan kerajaan Terengganu. Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berkata, selain mengeratkan hubungan exco dengan rakyat, persoalan yang dikeluarkan antara tanda keterbukaan kerajaan Terengganu untuk menyelesaikan segala permasalahan rakyat. "Apa sahaja yang terbuku pada rakyat dan apa sahaja kemampuan yang ada kerajaan akan buat setulusnya untuk menyelesaikan masalah. Kita akan jelajah ke lapan-lapan daerah melibatkan exco-exco tertentu dan bersesuaian, exco tempatan pasti akan ada dan juga tambahan exco kawasan lain. "Paling besar sekali adalah kehadiran sebenarnya. Jika exco, agensi semua datang tetapi tidak ramai (penduduk) datang, ia merugikan. Sebab masa yang ada dan juga program diatur bukan boleh diadakan setiap bulan. "Tetapi dengan program ini, kita harap semua kehadiran penuh dan kita uar-uarkan awal lagi supaya rakyat datang bagi menyampaikan apa yang perlu kepada kerajaan Terengganu untuk dijawab dan diselesaikan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Dialog Exco Kerajaan Negeri siri pertama di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di sini semalam. Program tersebut menampilkan Pengerusi Jawatankuasa Pelanconagn , Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato' Razali Idris dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat. "Setelah selesai siri pertama bagi sesi 2024, kehadiran memuaskan dan soalan dikemukakan cukup membantu sebenarnya. Rupa-rupanya ada perkara-perkara yang terbuku di pihak rakyat untuk bertemu dengan pimpinan dan Alhamdulillah ia berjalan dengan cukup baik serta harmoni. "Doakan semoga usaha UPDI untuk menyampaikan maklumat daripada kerajaan negeri kepada rakyat terlaksana, bukan sahaja turun ke lapangan tetapi kita juga berhadapan secara langsung untuk menerima dialog exco ini supaya mendatangkan hasil dan penyelesaian yang terbaik untuk kerajaan negeri," ujarnya.  
19 Sep 24
112
Hasil Kraf Kait Beg Jana Pendapatan Suri Rumah
Hasil Kraf Kait Beg Jana Pendapatan Suri Rumah
KUALA TERENGGANU, 18 September - Siapa sangka minat mengait sejak berusia belasan tahun hingga menghasilkan pelbagai rekaan kraf berasaskan benang nilon seperti beg, sarung telur dan alas meja, membolehkan seorang suri rumah menjana pendapatan hanya dari kediamannya. Menurut Rohani Ab Rahman, dia sudah menceburi bidang itu selama 21 tahun dan mula bergiat secara serius selepas berhenti kerja. "Saya mula belajar mengait sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini sudah berusia 38 tahun.  "Selepas berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada anak kedua dan dalam masa yang sama saya kembali aktif dalam bidang ini," katanya yang kini bergiat sepenuh masa dalam dunia kraf mengait. Beliau dan keluarganya menginap di Felda Chalok Barat, Setiu dan sebelum ini hanya bekerja di stesen minyak. Tambah Rohani, pada saat ini beliau mengiklankan produknya secara kecil-kecilan. "Secara jujur, saya tiada sasaran pasaran yang tepat. "Namun, ada yang membuat tempahan dan saya menghasilkan mengikut permintaan," jelas ibu kepada dua anak itu. Mengulas lanjut, dia mendapat ilmu mengait beg melalui kelas yang dikendalikan oleh Cikgu Robiah Mohd Jamil, seorang guru yang sangat hebat dalam bidang ini. Kini, Rohani menerima banyak tempahan, terutama untuk beg jenis 'tiang seri'.  Selain itu, dia turut mengambil tempahan sarung telur untuk majlis perkahwinan. "Untuk beg, biasanya mengambil masa sekitar dua minggu untuk disiapkan menggunakan benang nilon.  "Manakala untuk sarung telur, tempahan perlu dibuat sekurang-kurangnya dua bulan sebelum majlis," ujar beliau. Rohani juga bersyukur bahawa hobi ini mampu memberikan pendapatan tambahan buat keluarganya. "Suami saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah, dan saya pula tidak banyak mempromosikan hasil kerja ini dan hanya melalui kenalan serta dari mulut ke mulut. "Harga beg yang dihasilkannya bermula dari RM200 ke atas, bergantung kepada saiz. Kos bahan memang tidak mahal, tetapi kemahiran yang kita ada itu yang bernilai," katanya. Walaupun hanya membuat kraf ini secara santai, beliau memahami ada yang berpendapat harga produknya mahal. Tambah Rohani, tidak senang untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti tinggi. "Kalau ada yang berminat, bolehlah hubungi saya melalui WhatsApp (016-6508926)," ujarnya.
19 Sep 24
163
Explorasi Alamanda: Peluang Wanita Terengganu Perkasa Patriotisme dan Kemasyarakatan
Explorasi Alamanda: Peluang Wanita Terengganu Perkasa Patriotisme dan Kemasyarakatan
KUALA TERENGGANU, 18 September - Penyertaan masih dibuka kepada wanita Terengganu yang berminat untuk menyertai program khas anjuran kerajaan negeri bagi memperkasakan golongan muda, terutamanya wanita, melalui program berimpak tinggi yang berteraskan nilai patriotik dan kemasyarakatan. Pengarah Program Explorasi Alamanda Beliawanis Merdeka, Asma Wahap, berkata penganjuran program tersebut merupakan inisiatif penting untuk memastikan generasi muda menyedari tanggungjawab mereka terhadap masyarakat dan negara. "Melalui penyertaan dalam program ini, peserta berpeluang memenangi hadiah menarik dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,500. "Hadiah lumayan yang ditawarkan termasuk hadiah utama bernilai RM600, tempat kedua RM400, tempat ketiga RM300, serta saguhati bernilai RM100," jelasnya ketika dihubungi hari ini. Menurut beliau, program  terbuka kepada wanita berumur antara 13 hingga 40 tahun yang berminat untuk menyertai aktiviti eksplorasi berkonsepkan konvoi bermotor. "Acara ini akan diadakan pada 21 September 2024 di Dataran Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu. "Setiap kumpulan terdiri daripada empat orang peserta, dengan dua motosikal bagi setiap kumpulan. Pakaian patuh syariah serta motosikal dengan cukai jalan aktif merupakan antara syarat penyertaan," katanya. Asmaa' juga berharap program seperti ini dapat melahirkan wanita muda yang cintakan negara, di samping menggalakkan mereka terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan. "Semoga usaha kerajaan negeri dalam menyediakan program bermanfaat untuk anak muda Terengganu mendapat sambutan baik daripada rakyat, khususnya golongan muda," tambahnya.
18 Sep 24
319
Gelaran Ir Bukan Untuk Diri Saya - Ahmad Samsuri
Gelaran Ir Bukan Untuk Diri Saya - Ahmad Samsuri
KUALA TERENGGANU, 19 September - Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata gelaran Ir (Kejuruteraan Profesional) yang diperolehinya sejak bulan lalu, adalah bukan untuk diri sendiri. “Ramai kawan berbicara tentang pencapaian gelaran Jurutera Profesional, saya kata ini bukan tentang diri sendiri sahaja, tetapi untuk tujuan motivasi, nak tunjukkan kepada generasi baharu, terutama kepada mereka yang masih berada di dalam sistem pengajian, sama ada di peringkat menengah, ijazah, masters, mahupun PhD,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke- 43) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam baru-baru ini. Ahmad Samsuri juga mengingatkan para pelajar supaya kekal bermotivasi dan sentiasa bersedia dengan apa jua cabaran dan dugaan yang bakal dihadapi. “Saya percaya kita akan bertemu dengan pelbagai cabaran dan ujian tak kira di mana berada sama ada di sekolah atau pun universiti, apabila tamat kita akan berdepan dengan dugaan alam pekerjaan pula, semua ini memerlukan semangat kuat dan kental, supaya kehidupan kita berjalan dengan baik. “Saya terinspirasi dari kata-kata lagenda tinju dunia Muhammad Ali, tidak ada salahnya jika ditumbuk dan jatuh dalam perlawanan, tapi rasalah bersalah andai jatuh tapi tidak bangun-bangun, jatuh itu bukan bermakna kita kalah. “Kita juga harus mempunyai objektif dan matlamat dalam kehidupan, supaya sasaran sijil paling tinggi itu dapat kita capai dengan jayanya,” katanya.
18 Sep 24
6676
Terengganu Komited Pulihara Seni Warisan Gamelan dan Rodat
Terengganu Komited Pulihara Seni Warisan Gamelan dan Rodat
KUALA TERENGGANU, 18 September - Kerajaan negeri terus komited memulihara seni warisan tradisional seperti gamelan dan rodat agar tidak lenyap ditelan zaman. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan, melaksanakan inisiatif penting bagi memastikan seni warisan ini sentiasa diarus zaman dan diwarisi generasi muda. "Jabatan Pelancongan dan juga Pendidikan berusaha bagi pinjam alat gamelan berharga RM25, 000 hingga RM30, 000 satu set kepada empat sekolah yang terpilih untuk mereka mempelopori seni gamelan. "Sebagai satu usaha di peringkat negeri untuk kita lihat seni warisan gamelan tidak hilang," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Memorandum Persefahaman (MoU) Peminjam Alat Muzik Gamelan Melayu antara Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, pada semalam. Tambah beliau, inisiatif itu bertujuan memperkenalkan dan memperluaskan seni gamelan dalam kalangan pelajar, selain memastikan seni tradisional tersebut terus dipelihara. "Inilah usaha daripada kerajaan negeri di mana kita bukan sahaja memberikan peralatan, tetapi juga akan membimbing pemuzik-pemuzik gamelan.  "Pada masa yang sama, kita ingin menghidupkan kembali tarian gamelan itu sendiri, yang saya kira, jika tidak diusahakan sekarang, suatu hari nanti seni tersebut mungkin akan lenyap begitu sahaja," ujarnya. Katanya lagi, terdahulu beberapa sekolah telah menerima bantuan dalam bentuk tenaga pengajar sahaja, namun kali ini kerajaan negeri memberi pinjaman peralatan, dan ia merupakan kali pertama peralatan tersebut diberikan kepada empat buah sekolah terpilih. "Sebenarnya usaha ini kita buat dua tahun lepas cuma untuk perolehan alatan kena cari  sampai ke Indonesia, makan masa sikit untuk tempahan. "Kita tidak mampu memberikan peralatan kepada semua sekolah, jadi kami mengharapkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Daerah dan pengetua sekolah untuk memanfaatkan peralatan yang ada di sekolah-sekolah terpilih. "Sekolah-sekolah berdekatan boleh mengambil peluang seterusnya akan membantu mengembangkan seni gamelan di sekolah-sekolah lain," katanya. Justeru itu, beliau berharap produk seni gamelan dan rodat ini dipulihara agar ia tidak pupuk ditelan dek zaman. "Insya Allah kalau kita ada peruntukan lagi mungkin boleh tambah lagi. "Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan melalui Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, yang difahamkan sedang giat menghidupkan semula seni rodat dan merupakan antara sekolah yang memulakan inisiatif ini," tambahnya.
18 Sep 24
298
Lebih 50 Menu Ditawarkan, The Syrup Vs Soda Janjikan Pelanggan Boleh Kenyang Sampai Esok!
Lebih 50 Menu Ditawarkan, The Syrup Vs Soda Janjikan Pelanggan Boleh Kenyang Sampai Esok!
KUALA TERENGGANU, 18 September –Pernah tak rasa nak makan banyak-banyak sebab teringin sangat makanan tu? Tercari-cari restoran yang menghidangkan pelbagai menu dengan harga berpatutan dengan saiz hidangan yang banyak ? Jom ke The Syrup Vs Soda yang menawarkan lebih 50 sajian yang pasti memenuhi citarasa anda dengan harga berpatutan dari menu klasik hingga pilihan moden yang menggoda. Pengusahanya, Wan Noor Elya Wan Rezali, 38, berkata, dia menjanjikan keunikan dan keenakan hidangan Barat dan Melayu yang pasti tidak mengecewakan dan bagi penggemar masakan berkenaan mereka juga akan teruja dengan saiz hidangan ditawarkan. Menurutnya, keistimewaan hidangan di The Syrup Vs Soda bukan saja terletak pada saiz hidangan yang besar dan gaya penyediaan yang kreatif, tetapi turut dijual pada harga berpatutan. “Ini menyebabkan restoran ini sering menjadi tumpuan orang muda selain golongan berkeluarga kerana konsep kami adalah mementingkan kepuasan pelanggan. “Menu ditawarkan bermula dengan harga RM15 hidangan biasa sehingga RM90.00  untuk hidangan nasi goreng Wagyu dan yang pastinya anda pulang kekenyangan,” katanya. Ibu kepada tiga anak itu berkata antara menu paling diminati dan laris  adalah nasi goreng kambing, nasi goreng paru bersama petai, nasi goreng tomyam, pasta itik salai, burger dan semestinya air sirap soda resipi rahsia keluarganya. “Contohnya nasi goreng paru bersama  petai adalah warisan nenek moyang saya  dari Indonesia yang saya cuba bawa untuk pelanggan mencubanya… hasilnya kini menjadi antara menu ‘top seller’ di sini. “Begitu juga dengan minuman yang ditawarkan, semuanya dihasilkan dengan teliti bagi kepuasan pelanggan.Sirap yang digunakan pula adalah kegemaran kami sekeluarga sejak turun temurun,” ujarnya yang turut dibantu suami tersayang, Mohd Shafiq Jamaludin, 34.  Graduan Pengurusan Kulinari dari International Management Institute (IMI) Switzerland dan Kolej Damansara Utama itu berkata, pemilihan menu dilakukan secara teliti dan turut mengadakan sesi perbincangan bersama pihak pengurusan bagi memastikannya mampu menarik pelanggan untuk mencubanya. Terletak di pusat bandar raya Kuala Terengganu, The Syrup Vs Soda yang beroperasi dari pukul 4.30 petang hingga 11.30 malam kini mempunyai 30 kakitangan yang punyai kelebihan dalam bidang masing-masing.  Sebahagian chef masakan juga  berpengalaman luas dalam bidang penyediaan makanan di hotel-hotel terkemuka seluruh negara serta mempunyai kelulusan dalam bidang kulinari, untuk melancarkan lagi operasi restoran. Wan Noor Elya berkata dia kini mempunyai perancangan untuk menambahbaik restorannya dari segi menu dan membuka kedai yang lebih besar dan selesa di lokasi baharu demi kepuasan pelanggan yang datang menikmati hidangan di The Syrup Vs Soda dalam masa terdekat.  
18 Sep 24
450
Terengganu Sasar 16 Kumpulan Gamelan dalam Lima Tahun
Terengganu Sasar 16 Kumpulan Gamelan dalam Lima Tahun
KUALA TERENGGANU, 18 September - Terengganu menyasarkan pembentukan sekurang-kurangnya 16 kumpulan gamelan dalam tempoh lima tahun sebagai usaha memperkasa seni warisan gamelan di negeri ini. Pengarah Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, inisiatif itu bermula dengan penyerahan peralatan gamelan secara pinjaman kepada empat buah sekolah bertujuan memastikan kesinambungan program gamelan serta melahirkan lebih ramai penggiat seni tempatan. "Setakat ini, hanya tiga kumpulan gamelan yang aktif di Terengganu. "Sasaran kita adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya dua kumpulan bagi setiap daerah, menjadikan keseluruhannya 16 kumpulan di lapan daerah. "Jadi sebab itu pada permulaan ini inisiatif kita ialah berkolaborasi dengan 17 buah sekolah bagi mengembangkan dari segi muzik gamelan juga tarian," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam Sidang media selepas program Memorandum Persefahaman (MoU)  Peminjam Alat Muzik Gamelan Melayu antara Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, pada semalam. Menurutnya, beliau turut menjelaskan bahawa Jabatan Pelancongan Terengganu akan menyediakan tenaga pengajar bagi memastikan program ini berjalan lancar. "Jadi target dalam lima tahun kita dapat melahirkan lebih ramai penggiat dalam seni warisan gamelan negeri Terengganu. "17 buah sekolah, satu buah sekolah lebih kurang 20 orang. Tetapi ada sekolah yang bilangan peserta 15-20 orang bergantung pada institusi.  "Dan sekolah ini juga sentiasa berkembang contohnya Sekolah Kubang Ikan pada peringkat awalnya kalau tak silap saya sembilan orang tapi sekarang ada dalam 15 orang," ujarnya. Beliau menambah, program ini mendapat sambutan yang sangat baik, bukan sahaja daripada pelajar tetapi juga ibu bapa. "Sebenarnya kita telah melaksanakan kolaborasi dengan sekolah dua tahun yang lepas dan lima tahun yang saya letak bermula pada tahun inilah.  "Yang akan datang ini di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melibatkan lebih 10 buah sekolah dan ada dua kategori muzik dan tarian," tambah beliau. Justeru itu, beliau menyeru pihak yang terbabit agar terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri demi memastikan warisan gamelan ini terus berkembang dan terpelihara. "Jadi Kita sama-sama mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan negeri," tambah beliau lagi. Bagi tarian gamelan, beliau menjelaskan bahawa polisi kerajaan negeri hanya membenarkan pelajar wanita berusia 12 tahun ke bawah untuk terlibat, sesuai dengan garis panduan yang ditetapkan.
17 Sep 24
178
Terengganu Dipuji Rakyat Luar Negeri
Terengganu Dipuji Rakyat Luar Negeri
KUALA TERENGGANU, 17 September - RXZ Members telah tiga hari melabuhkan tirai, namun kisah di sebalik program tersebut masih belum berakhir. Di media sosial, rata-rata peserta dan masyarakat luar kagum dengan rakyat serta suasana Terengganu yang disifatkan lain daripada yang lain. Melalui perkongsian seorang peserta RXZ Members yang dikenali sebagai Makmalbundle di akaun TikTok, dia teruja melihat sikap murah hati rakyat Terengganu. “Bermula dari hari pertama kami sampai, ramai penduduk tempatan belanja kami makan, kemudian ada kedai tawarkan makanan percuma kepada kami. “Kami segan, niat kami nak ‘support’ rakyat Terengganu meniaga, tetapi mereka pula yang ‘support’ dan dapat layan macam tu, waktu malam ada lagi yang jemput makan, kami sangat bersyukur,” katanya. Sementara itu, seorang lagi peserta dari Johor, Ariffin Ramlan berkata, layanan diterima daripada masyarakat Terengganu sangat luar biasa. “Kami dari Johor sampai ‘homestay’ pagi, apabila masuk ‘homestay’ tiba-tiba ada orang kampung tak putus-putus hantar buah-buahan, macam dah lama kenal kami,” katanya di ruangan komen. Dalam pada itu, menerusi satu lagi perkongsian di TikTok Shell-RR Paka Point, pengguna Hafiz90 berkata, sifat rakyat Terengganu memang semula jadi suka meraikan tetamu. “Tak boleh dinafikan orang Terengganu baik-baik dan tidak memilih, walaupun baru kenal, tapi macam dah lama  kenal," katanya. Tambah The Cactus Homestay dari johor pula, selain kebaikan orang Terengganu, keenakan makanan juga menjadi faktor masyarakat luar menyukai Terengganu. “Orang Terengganu baik ‘belake’, makan pula sedap-sedap, tambah lagi satu Terengganu memang negeri cantik,” katanya.
17 Sep 24
13383
Huffaz Al-Quran Antara 105 Penerima Biasiswa Petronas
Huffaz Al-Quran Antara 105 Penerima Biasiswa Petronas
KUALA TERENGGANU, 16 September - Petronas menaja seramai 105 anak Terengganu cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di bawah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) pada tahun ini. Salah seorang penerima, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Menengah IMTIAZ Yayasan Kuala Terengganu, Aleeya Raihanah Roslan, 18, bukan sahaja memperoleh keputusan SPM semua A, malah berstatus hafizah Al-Quran pada umur 16 tahun dan juga dinobatkan sebagai Tokoh Ulul Albab. Berkongsi cerita, anak kelahiran Bukit Payong, Manir itu pernah hampir putus asa kerana tidak mampu mengimbangkan masa untuk akademik dan hafaz Al-Quran.   Katanya, selain itu masalah kewangan setiap bulan adalah biasa buat dirinya yang membesar dibawah jagaan nenek. "Pernah bertahan dengan RM3 sahaja sebulan menjadi perkara biasa kerana situasi kewangan ibu yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Rendah Serada Terengganu. "Rutin berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis serta tidak menghampiri kantin ataupun koperasi adalah antara cara-cara saya mengawal perbelanjaan," ujarnya. Aleya dan ibunya, kini mampu mengukir senyuman apabila dia terpilih mendapat tajaan PESP dan bersedia mengubah kehidupan mereka sekeluarga apabila berjaya kelak. Anak sulung daripada empat beradik itu sedang melakukan persediaan pembelajaran ijazah kewangan di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) sebelum menyambung pelajarannya di United Kingdom yang ditawarkan oleh PETRONAS.  Sementara itu, Muhammad Farid Latif yang merupakan bekas pelajar Sekolah Berintegrasi Batu Rakit, berjaya menghafaz 30 juzuk empat bulan sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023. Dia berasal dari Bandar Almuktafi Billah Shah, Dungun Terengganu kini menyambung pengajian di Universiti Tekonologi PETRONAS (UTP) di dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.  Anak Bongsu dari tujuh  beradik itu berkata sejak kecil dia tertarik dengan kerja bapanya yang merupakan pembantu jurutera mekanikal di JKR Kuala Terengganu. "Saya masih ingat semasa ayah menyelia projek jambatan di Tasik Kenyir saya menjadi semakin berminat dengan bidang tersebut. "Minat semakin mendalam apabila terpilih menyertai program Unlocking True Potentital di Universiti Teknologi PETRONAS pada 2023.  "Dari situ minat terhadap bidang mekanikal makin bertambah melihat robotik," ujarnya. Terdahulu, Petronas mengumumkan penajaan biasiswa bernilai RM320 juta buat 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dari seluruh negara. Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata pemilihan dibuat daripada 5,847 pemohon, yang mana penerima dinilai berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan dan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti kokurikulum. "Para penerima biasiswa akan melanjutkan pelajaran mereka di universiti tempatan dan antarabangsa terkenal termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Korea Selatan dan Jepun," ujarnya. Dalam pada itu, daripada jumlah keseluruhan penerima , 105 adalah pelajar dari Terengganu yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
16 Sep 24
608
Terengganu Anjur Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
Terengganu Anjur Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
KUALA NERUS, 16 September - Kerajaan negeri menganjurkan pelbagai program dalam usaha untuk menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M di Terengganu. Menteri Besar, Datuk Seri Ir.Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya telah merancang dan melaksanakan pelbagai program bertujuan untuk memperkasa intelek dan meningkatkan kesejahteraan jiwa masyarakat.  "Kita akan meneruskan pendekatan dakwah yang lebih bertenaga  melalui penyampaian ilmu dan tarbiyah, serta menggunakan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berkesan melibatkan segenap lapisan masyarakat. "Selain program-program yang dirancang oleh pihak kerajaan sepanjang bulan Rabi’ul Awwal ini, saya percaya pelbagai pihak akan turut menganjurkan pelbagai aktiviti dalam menyemai rasa kasih dan cinta pada Nabi SAW," ujarnya ketika berucap di Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446 Hijrah peringkat negeri di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini. Terdahulu, Sultan Mizan dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah tiba di Stadium Tertutup Gong Badak di sini bagi menyempurnakan perasmian Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri  dengan diiringi Ahmad Samsuri bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri. Turut berangkat, Raja Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail. Sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu pada Isnin disertai seramai 1,888 peserta daripada 59 kontinjen. Perarakan sempena kelahiran junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW itu bermula dari padang sintetik Kampung Tok Jiring sehingga ke Stadium Tertutup di sini dengan jarak 3.4 kilometer (km).
16 Sep 24
240