Artikel "Utama" Terkini
Meterai Perjanjian Bersejarah dalam Tenaga Hijau dan Kecekapan Tenaga
KUALA TERENGGANU, 22 September - Memorandum Perjanjian Tenaga Hijau adalah lambang kepercayaan terhadap tenaga yang diperbaharui sebagai jalan utama dalam mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan pergantungan kepada bahan bakar fosil.
Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad, Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, kerajaan negeri berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat tenaga hijau dan kecekapan tenaga yang mampan.
“Tenaga hijau dan kecekapan tenaga adalah dua aspek kritikal yang saling melengkapi.
"Tenaga hijau menawarkan kita alternatif yang lestari, manakala kecekapan tenaga memastikan penggunaan tenaga dilakukan secara optimum, mengelakkan pembaziran, dan menyumbang kepada pengurangan jejak karbon,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Memorandum Perjanjian Persefahaman Tenaga Hijau Dan Efficiency Management di antara TESDEC Services Sdn.Bhd. dengan Alka System Sdn.Bhd di Permai Hotel pada hari ini.
Menurutnya, penggunaan sumber seperti tenaga solar, angin, dan hidro memberikan keyakinan bahawa masa depan tenaga hijau akan menjadi cerah.
“Hari ini adalah satu detik yang amat berharga dan bersejarah menyaksikan majlis penandatanganan Memorandum Perjanjian (MOA) mengenai Tenaga Hijau dan Memorandum Persefahaman (MOU) dalam Pengurusan Kecekapan Tenaga di Negeri Terengganu.
“Memorandum Persefahaman mengenai Pengurusan Kecekapan Tenaga pula adalah langkah strategik yang membolehkan kita menerapkan budaya kecekapan dalam penggunaan tenaga.
“Ini tidak hanya menjimatkan kos, tetapi juga meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam industri,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap perjanjian pada hari ini bukan sekadar di atas kertas, tetapi suatu simbol dedikasi dalam memperjuangkan kemapanan tenaga untuk masa hadapan.
“Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, kami menyedari pentingnya bekerjasama dengan semua pihak kerajaan, industri, dan masyarakat.
“Ini adalah tugas kita bersama untuk memastikan generasi akan datang mewarisi dunia yang lebih bersih dan hijau,” tambahnya.
22 Sep 24
241
Kerjasama TESDEC dan ALKA Perkukuh Penggunaan Tenaga Lestari di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 September - Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Solar dan Kecekapan Tenaga antara TESDEC Services Sdn. Bhd. (TSSB) dan Alka System Sdn. Bhd. (ALKA) satu langkah penting dalam usaha memperkukuh penggunaan tenaga lestari di Malaysia, khususnya di Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Alka System Sdn. Bhd., Ts. Ir. Mohd Ferdus Abdul Kadir, menyatakan bahawa projek solar itu bukan sahaja membantu mengurangkan jejak karbon negara.
Menurutnya, ia turut menyumbang kepada pencapaian sasaran kerajaan untuk memperoleh 31 peratus penjanaan tenaga daripada sumber tenaga boleh baharu menjelang tahun 2025.
“Kolaborasi antara ALKA dan TSSB bagi projek solar ini adalah di bawah program Net Energy Metering 3.0 (NEM) yang dikendalikan oleh Sustainable Energy Development Authority (SEDA), di mana program ini terbahagi kepada tiga kuota: NEM Rakyat (Perumahan), NEM Gomen (Entiti Kerajaan), dan NOVA (Industri).
“Kuota NEM Rakyat telah pun tamat pada minggu lalu, manakala baki kuota bagi NEM Gomen adalah 44 MWac dan NOVA berbaki 108 MWac.
“Oleh itu, ALKA berbesar hati bekerjasama dengan TSSB untuk merealisasikan projek solar di bangunan kerajaan dan komersial,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Tenaga Hijau dan Pengurusan Kecekapan Tenaga antara TESDEC Services Sdn. Bhd. dan Alka System Sdn. Bhd. di Permai Hotel, hari ini.
Selain projek solar, kedua-dua syarikat turut bekerjasama dalam Program Kecekapan Tenaga yang dilaksanakan di bawah Suruhanjaya Tenaga (ST), yang bertujuan menilai penggunaan tenaga di bangunan komersial dan industri serta mengenal pasti peluang untuk penjimatan tenaga.
“Majlis menandatangani perjanjian hari ini membuktikan komitmen kedua-dua syarikat untuk terus meneroka dan meningkatkan penggunaan sumber tenaga yang lebih efisien dan mesra alam,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TESDEC Services atas kepercayaan yang diberikan, dan berharap kerjasama ini akan membawa impak positif kepada negeri Terengganu serta menyumbang kepada kemajuan tenaga lestari di Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat menyediakan penyelesaian inovatif yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan persekitaran kita,” katanya.
Beliau berharap kerjasama ini akan memberi manfaat kepada masyarakat, negeri Terengganu, dan persekitaran, serta berharap agar projek ini berjalan lancar dan membawa perubahan positif.
22 Sep 24
813
Terengganu Hantar Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir di Kedah
KUALA TERENGGANU, 22 September - Terengganu sedang dan akan menghantar sukarelawan dan pelbagai badan bukan kerajaan negeri (NGO) bagi membantu mangsa banjir di negeri Kedah.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan selanjutnya bagi meringankan beban rakyat negeri kedah yang terlibat musibah itu akan diperhalusi.
"Kita tengoklah selepas ini apa tindakan selanjutnya berdasarkan keperluan yang sewajarnya sama ada dari segi kewangan dan sebagainya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Program Townhall Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA), di Duyong Marina Resort , di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Samsuri berkata, persiapan menghadapi bencana banjir di Terengganu sedang berjalan sebagaimana perancangan.
"Perbincangan dengan pihak NADMA dan lain-lain entiti yang mengurus selia banjir di Terengganu sedang berjalan.
"Alhamdulillah berdasarkan pengalaman sebelum ini, persediaan yang kita lakukan adalah dalam keadaan terurus dengan baik," ujarnya.
22 Sep 24
362
Tutup Premis GISB : Terengganu Tunggu Fatwa Muzakarah MKI
KUALA TERENGGANU, 22 September - Kerajaan negeri menunggu keputusan rasmi daripada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum memuktamadkan sebarang tindakan ke atas premis perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada ketika ini pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan.
"Di Terengganu ini tidaklah menonjol seperti di tempat-tempat yang lain, ia agak terkawal dan kesannya sangat minima.
"Kami di pihak kerajaan negeri masih menunggu maklumat yang jelas daripada mereka yang berautoriti menyiasat isu ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menghadiri Program Townhall Persatuaan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) di Duyong Marina resort, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Dr Ahmad Samsuri berkata, tindakan menutup premis atau pembatalan lesen perniagaan organisasi tersebut dibuat berdasarkan keputusan fatwa Muzakarah MKI.
"Saya rasa sekarang ini premis mereka masih belum ditutup secara rasmi, kami juga masih menunggu sehingga ada keputusan rasmi, difahamkan Muzakarah MKI akan bersidang dalam masa terdekat.
"Kami tidak buat sebarang keputusan lagi kerana masih dalam tempoh pendakwaan, kita kena teliti dengan lebih lanjut agar tindakan diambil mengikut peraturan yang ada," ujarnya.
22 Sep 24
364
DPPKK Buat Laporan Polis Terhadap Lau Peter Lau
KEMAMAN, 20 September - Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman (DPPKK) tampil membuat laporan polis mengenai satu komen yang telah dibuat oleh seorang pemilik akaun media sosial Facebook, Lau Peter Lau.
Komen tersebut yang ditulis menyatakan "Ajaran sesat ini, macam mat rod mak saleh" dibuat pada satu video yang berdurasi 1 minit.
Ketua DPPKK, Muhammad Ramlan Mahmood menyifatkan komen tersebut boleh meragukan dan mencetuskan kebimbangan serta kemarahan umat islam.
"Jadi kami telah membuat satu laporan polis supaya polis dapat membuat siasatan dan mengambil tindakan kepada penama tersebut," katanya kepada pemberita yang ditemui di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman selepas membuat laporan polis, semalam.
Beliau juga turut meminta semua pihak dapat bersabar agar pihak polis dapat menjalankan tugasnya dan menyelesaikan kes ini.
20 Sep 24
743
'Perjalanan' 75 Tahun, Tiga Pencapaian Utama Dilakar MAIDAM
KUALA TERENGGANU, 20 September- Penubuhan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terenganu (MAIDAM) disifatkan mencapai sasaran ditetapkan dengan tiga pencapaian utama sepanjang 75 tahun meneraju hal ehwal Islam di negeri ini.
Pencapaian MAIDAM dikongsi Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Sambutan 75 Tahun MAIDAM yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.
Tiga pencapaian utama tersebut meliputi aspek tadbir urus zakat, tabdir urus wakaf dan baitulmal selain keberkesanan organisasi melalui penguatkuasaan undang-undang, pemantapan tadbir urus dan integriti serta komunikasi strategik.
Katanya, dalam aspek tadbir urus zakat MAIDAM berjaya meningkatkan jumlah kutipan dari semasa ke semasa.
"Jika sepuluh tahun yang lalu, kutipan zakat di Terengganu sekitar RM100 juta dan kini meningkat melebihi RM260 juta. Begitu juga dengan agihan zakat yang telah melonjak daripada RM78 juta pada sepuluh tahun yang lalu dan agihan melebihi RM260 juta," ujarnya.
Menurut beliau, pemerkasaan zakat diteruskan dengan agenda pendigitalan termasuk memperkenalkan sistem e-zakat MAIDAM, e- Amil, aplikasi Sahabat MAIDAM dan lain-lain.
"Usaha ini telah membolehkan MAIDAM meraih pelbagai anugerah seperti Anugerah Zakat Kebangsaan Tahun 2023 bagi dua kategori yang mengiktiraf peranan MAIDAM dalam pembangunan asnaf.
"MAIDAM juga telah menubuhkan Yayasan Pendidikan MAIDAM pada 19 September 2014 untuk meningkatkan keberkesanan kecekapan agihan dan zakat pendidikan/fisabilillah dan pada tahun lalu agihan zakat pendidikan/fisabilillah adalah sebanyak RM68 juta," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, MAIDAM turut komited dalam aspek tadbir urus wakaf dan baitulmal.
"Usaha awal yang bermula dengan wakaf tradisi seperti wakaf kubur, masjid dan surau dan wakaf zuriat telah mulai dipelbagaikan sekarang kepada wakaf pendidikan, kesihatan, sosial dan ekonomi termasuk wakaf korporat.
"MAIDAM memperkenalkan Dana Wakaf Tunai Terengganu pada tahun 2007, pelbagai inisiatif wakaf kontemporari termasuklah wakaf- wakaf muaqqat sedang
dirancang seperti pengenalan produk kewangan Islam berciri wakaf," katanya.
Tambah beliau, tadbir urus baitulmal juga diperkasakan dari semasa ke semasa. Ini terbukti menerusi kewujudan Wisma
MAIDAM dan Muassasah Gadaian Islam Terengganu mulai 1982 yang menjadi contoh tauladan seluruh sistem Ar-Rahnu di Malaysia hari ini.
"Kini, operasi ar-Rahnu diuruskan oleh MAIDAM Property Sdn. Bhd (anak syarikat MAIDAM yang ditubuhkan pada 8 Oktober
2018) dengan perbelanjaan lebih kurang RM130 juta setahun serta pengenalan produk inovasi seperti KHAIRAT2U," ujarnya.
Selain itu, MAIDAM turut memberi fokus kepada aspek keberkesanan organisasi melalui penguatkuasaan undang-undang, pemantapan tadbir urus dan integriti serta komunikasi strategik.
"Segala kekurangan dan kelemahan yang dikenal pasti sepanjang usia 75 tahun
telah, sedang dan akan melalui proses mitigasi dan selanjutnya penyelesaian.
"Ikhtiar ini telah membolehkan MAIDAM meraih Pingat Perak Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah Kebangsaan Tahun 2023 anjuran Institut Integriti
Malaysia," ujarnya.
Shaikh Harun berkata, ketiga-tiga pencapaian utama ini memberi petunjuk bahawa MAIDAM berada pada landasan yang betul dalam membangun ummah dinamik serta meningkat syiar Islam menerusi visi dan misinya.
19 Sep 24
284
Perarakan Maulidur Rasul : TDM Juara Kategori Syarikat Swasta, NGO
KUALA TERENGGANU, 20 September - Pasukan TDM Berhad muncul johan acara Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M Peringkat Negeri, bagi kategori Syarikat Swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), baru-baru ini.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin meluahkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan pasukannya meraih anugerah tersebut walaupun ia penyertaan pertama mereka, setelah latihan intensif dijalankan selama sembilan hari terakhir sebelum pertandingan.
“Kejayaan ini merupakan penghormatan besar buat Kumpulan TDM. Ia bukan sahaja mencerminkan pencapaian syarikat, tetapi juga komitmen kami untuk terus menyokong dan menyemarakkan program-program yang memupuk perpaduan masyarakat.
“Penyertaan ini selari dengan nilai-nilai teras TDM dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti dan memperkukuh semangat keagamaan di Negeri Terengganu.
"Pada masa yang sama, ia juga merupakan usaha kami untuk menyatukan semangat perpaduan serta mengeratkan hubungan antara kakitangan TDM,” katanya.
Perarakan bermula jam 8 pagi diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, merangkap Pengerusi TDM bersama barisan-barisan Exco negeri, pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan.
Perarakan bermula dari padang bola sintetik di Kampung Tok Jiring ke Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, sejauh kira-kira 4 kilometer.
Seramai 1,888 peserta membabitkan 59 kontinjen dan lima kategori dipertandingkan iaitu Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri, Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan, Pasukan Sekolah Menengah dan Institusi Pengajian Tinggi, Syarikat-syarikat Swasta serta NGO dan JPKK.
Majlis Perasmian Sambutan diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak dan disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
19 Sep 24
1012
Hospital Dungun 'Sambut' Tiga Bayi Maulidur Rasul
Oleh : Che Wan Muhammad Abdul Hanis
Dungun,19 September- Kerajaan negeri melalui Pejabat Agama Daerah Dungun dengan kerjasama Hospital Dungun meraikan tiga bayi yang dilahirkan sempena Maulidur Rasul di hospital terbabit, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ketiga-tiga bayi terbabit menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai dan hamper.
Menurutnya, sumbangan melalui program Permata Maulidur Rasul 2024 itu bertujuan menghargai pengorbanan golongan ibu dalam melahirkan zuriat mereka.
"Program ini bukan sahaja untuk meraikan ibu-ibu yang melahirkan tetapi juga sebagai tanda kasih sayang kita terhadap sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
"Kita berharap agar anak-anak yang lahir pada hari ini dapat menjadi generasi yang baik dan berakhlak mulia," ujarnya.
Katanya, program tersebut juga mencerminkan keindahan nilai Islam dan mengukuhkan hubungan antara masyarakat, institusi kesihatan, serta pihak agama di daerah Dungun.
“Terima kasih diatas penganjuran program yang begitu bermakna ini. Dapat juga kita raikan anak-anak yang baru lahir di hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W," ujarnya.
19 Sep 24
1062
Sultan Terengganu Zahir Penghargaan Atas Pencapaian 75 Tahun MAIDAM
KUALA TERENGGANU, 19 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak sama ada individu mahupun agensi yang telah membantu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melaksanakan fungsinya dengan cekap dan berkesan.
“Beta merasa gembira atas pencapaian dan transformasi yang telah berlaku sepanjang tempoh 75 tahun MAIDAM selari dengan kedudukan bahawa hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Beta berpandangan bahawa MAIDAM perlu berperanan secara lebih dinamik, progresif dan selangkah di hadapan,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian sempena Majlis Perasmian Sambutan 75 Tahun MAIDAM di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, hari ini.
Baginda bertitah, MAIDAM tidak hanya sebagai badan ‘regulator’ dalam Hal Ehwal Agama Islam Dan Adat Melayu di negeri ini, malah menjadi ‘game changer’ kepada corak pemikiran, minda dan gaya hidup masyarakat mengikut acuan lslam.
“Islam is the way of life, selain memupuk budaya penyayang dalam kehidupan masyarakat lslam dan bukan lslam, Beta juga ingin melihat MAIDAM mempelbagaikan inovasi dalam pengurusan zakat, wakaf dan baitulmal ke arah pembangunan ekonomi dan pemerkasaan ummah yang lestari,” titah baginda.
Titah Sultan Mizan, baginda disembah maklum bahawa pada 25 Jun lalu, Negeri Terengganu telah berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar.
“Seramai 6,632 peserta miskin tegar telah dijadikan sasaran untuk disifarkan mulai 31 Januari 2023.
“Beta amat menghargai kejayaan ini yang dicapai menerusi usaha kolektif pelbagai agensi termasuk MAIDAM. Beta merasa amat sukacita bahawa jumlah kutipan zakat di Terengganu telah berjaya diagihkan seratus peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Usaha ini perlu ditambah baik dari semasa ke semasa agar tiada isu keciciran dalam kalangan individu yang layak menerima bantuan zakat di Terengganu,” titah baginda.
Baginda bertitah, MAIDAM diharap terus meningkatkan lagi prestasi kecekapan pengurusan kewangan, zakat, wakaf dan baitul mal.
“Seluruh warga MAIDAM tidak seharusnya cepat berpuas hati dengan tahap pencapaian semasa, sebaliknya terus berusaha melakukan pembaharuan dan inovasi,” titah Sultan Mizan.
19 Sep 24
1537
Sultan Terengganu Berkenan Rasmi Sambutan 75 Tahun Maidam
KUALA TERENGGANU,19 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan 75 Tahun Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), yang berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada jam 11.10 pagi.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta Yang Dipertua Maidam, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Dato' Mufti Negeri Terengganu, Dato' Dr Mohamad Sabri Haron dan diteruskan dengan persembahan ucapan oleh Yang Dipertua Maidam, disusuli tayangan video sambutan.
Majlis disempurnakan dengan titah Tuanku Sultan sekali gus merasmikan Majlis.
Baginda diiringi Yang di-Pertuan Muda Terengganu kemudian berkenan mencemar duli menandatangani buku Sambutan 75 Tahun Maidam sebagai simbolik pelancaran.
Majlis diteruskan dengan Persembahan Cek Cura Sumbangan Dana Wakaf/Asnaf kepada Tuanku Sultan.
Baginda diiringi Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta Menteri Besar berangkat pulang pada kira-kira jam 12.20 tengah hari.
19 Sep 24
348