lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu FC Gigit Jari
Terengganu FC Gigit Jari
KUALA NERUS, 25 September - Pasukan Terengganu FC gagal mendapatkan tiga mata penuh dalam saingan Asean Club Championship (ACC) Shopee Cup 2024, setelah sekadar seri 2-2 menentang Dong A Thanh Hoa (DATH) FC, sebentar tadi. Sekalipun mendahului dua gol di awal perlawanan, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner gagal menyekat kebangkitan kelab Vietnam itu pada separuh masa kedua. Melayan kunjungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Sang Penyu bermula garang dengan menguasai perlawanan seawal minit pertama. Tuan rumah cuba memanfaatkan kelebihan laman sendiri untuk mencetak jaringan awal namun tiada percubaan tepat ke arah gol. Pada minit ke-22, pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid berjaya memecah kebuntuan apabila bijak menewaskan dua pertahanan lawan sebelum menewaskan penjaga gol, Trinh Xuan Hoang dengan rembatan rendah untuk gol pertama tuan rumah. Terengganu FC terus tenang mengawal permainan sekalipun DATH FC cuba untuk bangkit. Memasuki minit ke-41, Manuel Ott sekali lagi menambah duka pelawat apabila menyudahkan hantaran lintang Azam Azmi untuk gol kedua perlawanan, Terengganu FC mendahului 2-0. DATH FC bagaimanapun bangkit merapatkan kedudukan kepada 2-1 setelah Luiz Antonio Soares menyempurnakan sepakan percuma menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin pada minit-minit terakhir separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, pasukan pelawat lebih agresif mengkucar-kacirkan kubu Sang Penyu. Kesilapan Ubaidullah Shamsul Fazili mengeluarkan bola dari kawasan sendiri akhirnya menghadiahkan jaringan penyamaan kepada DATH FC pada minit ke-52 apabila tertampan bola ke gawang sendiri. Pada minit ke-77, Ubaidullah hampir menebus kesilapannya apabila menyambut bola muntah hasil sepakan percuma Marin Pilj, bagaimanapun rembatannya dinafikan tiang gol. Tuan rumah terus buntu menjelmakan jaringan kemenangan sehingga wisel penamat dibunyikan. Keputusan seri 2-2 pada aksi kedua saingan ACC Shopee Cup meletakkan Terengganu di kedudukan kelima dalam kumpulan A.              
25 Sep 24
436
Dr Sam Mahu Ubah Pemikiran ‘Selesa’ Rakyat
Dr Sam Mahu Ubah Pemikiran ‘Selesa’ Rakyat
KUALA TERENGGANU, 25 September - Menteri Besar Terengganu mahu merubah pemikiran rakyat termasuk penjawat awam di negeri ini agar tidak cepat berpuas hati, sentiasa berasa selesa dan kurang motivasi untuk mencipta pencapaian yang lebih tinggi.  Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun usaha itu agak sukar, beliau kekal fokus dengan tujuan tersebut demi masa depan Terengganu. Katanya, kewujudan faktor pendesak mampu mempercepatkan proses itu berlaku sebagaimana di Jepun yang berjaya mengangkat pemikiran rakyat ke tahap lebih tinggi apabila tewas dalam peperangan. “Inilah fokus utama yang kita nak buat, (bukan kita tak nak buat langsung) bangunan atau menara tinggi, tetapi kalau kita buat menara cantik-cantik macam Menara Eiffel, mungkin adalah sedikit keuntungan buat kerajaan, tetapi kebahagiaan rakyat hanya seketika. “Kita mahu mengangkat pemikiran rakyat, kerana peningkatan pemikiran rakyat bukan hanya meletakkan negeri ke tahap berbeza, tetapi seluruh rakyat turut akan merasai ‘keuntungan’ itu,” katanya dalam Program Townhall Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) di Duyong Marina Resort, di sini, baru-baru ini. Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai perkara yang paling ingin dibuat tetapi sukar dilaksanakan selama menjadi Menteri Besar selama hampir dua penggal. Jelas Ahmad Samsuri lagi, contoh perubahan minda yang mahu dilakukan adalah seperti dalam sektor perniagaan. “Berdasarkan pemerhatian dan tinjauan saya ke dalam masyarakat, ramai peniaga mudah berasa selesa atau ‘cukup dengan apa yang ada’. “Sebelum ini saya pernah singgah di kedai nasi lemak untuk membeli sarapan, tetapi apabila sampai sekitar 7.30 hingga 8 pagi nasi sudah habis. “Kemudian saya tanya buat berapa bungkus, peniaga kata buat 50 bungkus sahaja setiap hari, saya kata kenapa tak buat lebih kalau nasi laku, boleh untung lagi, peniaga itu menjawab, dah biasa buat 50 bungkus. “Inilah contoh minda yang perlu diubah supaya menjadi lebih baik dan akhirnya memberi banyak manfaat kepada rakyat serta masyarakat termasuk dalam perkara-perkara lain,” katanya
25 Sep 24
382
Penganjur Jangan Anjur Aktiviti 'Tersembunyi'
Penganjur Jangan Anjur Aktiviti 'Tersembunyi'
SETIU, 25 September - Mana-mana penganjur sebarang program termasuk yang ingin mengadakan aktiviti membabitkan himpunan diingatkan agar tidak menyembunyikan acara tertentu daripada pengetahuan pihak kerajaan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan. Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, sikap penganjur menyembunyikan agenda program mengakibatkan berlakunya perkara yang tidak diingini sehingga orang ramai tidak senang dengan apa yang berlaku. Ujarnya, adalah penting untuk pihaknya mengetahui secara terperinci mengenai konsep dan aturcara setiap program yang ingin diadakan seperti konsert atau persembahan pentas. "Saya sebelum ini dah bercakap kepada mana-mana penganjur yang hendak buat apa-apa pun aktiviti di Terengganu, ia mesti melalui proses dan ia tidak akan ambil masa yang lama. "Contoh terbaik adalah bagaimana kita meluluskan program 'Jom Heboh' tengok macam mana dengan aktiviti persembahan ketika ia diadakan di Terengganu mengikut segala prosedur dan garis panduan hiburan yang telah ditetapkan setelah mengetahui dengan jelas segala penerangan yang kita berikan barulah ia diadakan serta dipromosikan secara besar-besara, "Kerana ada pihak penganjur yang belum datang berjumpa dan berbincang dengan pihak kita telah mengadakan promosi terlebih dahulu bahawa mereka akan mengadakan program di Terengganu, akibatnya netizen akan lihat promosi yang diadakan itu dia menyatakan bahawa kita dah lulus, sedangkan belum lulus dan tiada sebarang perbincangan," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Pulau Redang, di sini semalam. Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman. Mengulas lebih lanjut, Razali berkata pihak kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran garis panduan yang telah ditetapkan. "Kita juga tidak akan teragak-agak untuk bertindak keras jika ada penganjuran program atau hiburan tanpa melalui kita sebagaimana kita pernah bertindak terhadap Parti Aloha sebelum ini, kita akan saman semaksima mungkin. "Namun ia bukan cara untuk menambahkan pendapatan kita tetapi ia merupakan peringatan agar mana-mana pihak dapat mengikuti SOP yang ada di negeri ini," ujarnya.
25 Sep 24
393
Seluruh Jeti Dibaik Pulih Sebagai Persediaan Tahun Melawat Terengganu 2027
Seluruh Jeti Dibaik Pulih Sebagai Persediaan Tahun Melawat Terengganu 2027
SETIU, 24 September - Kerajaan negeri mengambil langkah membaik pulih jeti serta memperbaiki segala kerosakan sebagai persediaan awal bagi menyambut tahun melawat Terengganu 2027. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ketika ini semua jeti di setiap pulau di negeri ini sedang dianalisa serta sebahagiannya telah pun selesai bagi menentukan kos perbelanjaan. "Ini antara struktur terawal kita hendak buat sebelum kita melancarkan tahun melawat Terengganu pada 2027 dan sekarang kita akan bawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan untuk mendapat kelulusan. "Membaik pulih jeti ini adalah sangat penting kerana ia menjadi pemula untuk pelancong datang ke pulau begitu juga dengan insinerator, kita telah melihat untuk memastikan ia berfungsi dengan baik bagi memulihkan sampah yang akhirnya akan bertukar menjadi baja. "Jadi isu longgokan sampah tidak berlaku dan tidak pelu lagi bawa balik sampah ke darat," ujarnya kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas mengadakan lawatan kerja ke Pulau Redang, di sini, semalam. Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman. Mengulas lebih lanjut, Razali berkata setiap pulau juga akan diwujudkan hentian rehat untuk pelancong singgah. "Sementara pelancong hendak balik ke darat ataupun menunggu kenderaan untuk ke hotel akan ada kemudahan seperti tandas, surau serta pentas kencil yang akan mempersembahkan kesenian dan kebudayaan negeri Terengganu bagi memastikan kunjungan pelancong lebih ramai dan meriah," katanya. Dalam pada itu beliau menzahirkan perasan puas hati apabila fasa pertama rancangan mahu mengantikan masjid lama yang tidak digunakan lagi dengan surau dan hentian rehat berjalan dengan baik. "Sebelum ini kita telah bersetuju dengan peruntukan sebanyak RM23,000 bagi membersihkan dan merobohkan masjid lama ini. "Tadi kita telah lihat perobohan sedang berlaku walaupun belum siap sepenuhnya dan 'progress' sedang berjalan dan insya-Allah pada tahun hadapan kita akan lakukan fasa seterusnya untuk baik pulih dan melalukan pembangunan baru untuk hentian rehat," ujarnya.  
25 Sep 24
1043
Peruntukan Segera RM100,000 Atasi Pencemaran Air Takungan Pulau Redang
Peruntukan Segera RM100,000 Atasi Pencemaran Air Takungan Pulau Redang
SETIU, 25 September - Kerajaan negeri bersetuju meluluskan segera peruntukan sebanyak RM100,000 melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bagi menyelesaikan isu pencemaran air kolam semula jadi di Pasir Panjang, Pulau Redang. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ia adalah penyelesaian untuk jangka masa pendek agar tidak mencacatkan keindahan Pulau Redang yang sentiasa menjadi daya tarikan pelancong untuk berkunjung. Katanya, kerja-kerja pembersihan awal sebelum ini telah dilakukan dan ada hasil daripada lawatan kali pertama pada dua bulan yang lepas. "Kita lihat 40 peratus telah berjalan dengan baik dan kita dapati bahawa air yang kotor ini datang daripada sekitar resort di sini, jadi ada beberapa perkara lagi yang perlu dilakukan. "Insya-Allah pada tahun hadapan kita akan pastikan kolam tersebut tidak akan tercemar lagi dan air kolam yang bertakung itu bersih serta tidak akan berbau lagi itu untuk jangka masa pendek. "Kalau untuk jangka masa panjang kita akan bincang untuk beberapa fasa lagi bagi memastikan semua takungan air buangan ini akan dapat disalurkan dengan baik dan sempurna ke laut," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja, di Pulau Redang di sini, hari ini. Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman. Dalam pada itu, Razali berkata perkara yang menjadi keutamaan kepada pihak kerajaan adalah mendidik pengusaha supaya menghargai dan menjaga keindahan yang ada. "Saya ada nampak sampah dibuang merata-rata, orang Pulau Redang mengadu dia kata kerajaan tidak ambil langkah selesaikan isu sampah ini sedangkan insinerator telah ada untuk mengatasi masalah longgokan sampah " Tetapi hari ini saya lihat dengan mata sendiri sampah dibuang begitu sahaja oleh pengusaha sekitar. "Jadi saya telah mengarahkan Datuk Bandar supaya saman pihak tidak bertanggungjawab ini, sebab mereka berduit bukan orang kampung, kita tahu sebab ada 'sign' di situ datang dari resort seolah-olah tanah itu dia punya sedangkan itu adalah tanah kerajaan," ujarnya.  
25 Sep 24
223
GISB : Satu Trauma dan Pelakunya Perlu Dihukum
GISB : Satu Trauma dan Pelakunya Perlu Dihukum
KUALA TERENGGANU, 24 September - Seorang warga emas, Christine Rohani Longuet, 81, berkongsi cerita bagaimana dia menyelamatkan anak dan cucunya daripada terus terperangkap dalam gerakan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holding yang dahulunya dikenali sebagai Al-Arqam. Dia yang kini menetap di Pulau Duyung mengakui tentang pendedahan cucunya yang juga pempengaruh Tik Tok, Sabrina Bolivar mengenai GISB adalah benar berdasarkan pengalaman hidupnya. Menurutnya, apa yang berlaku dalam GISB adalah sangat menyedihkan hingga meninggalkan banyak trauma kepada anak dan cucunya. "Apa yang saya boleh katakan ialah ketika itu berlaku satu bentuk pengabaian yang serius terhadap wanita dan kanak-kanak dalam gerakan tersebut  dan pelaku mesti diberi hukuman setimpal. "Kalau boleh, biarlah lebih ramai yang tampil ke depan menceritakan pengalaman mereka bersama GISB seperti mana yang dilakukan cucu saya, Sabrina. “Dia berani kerana menceritakan pengalamannya  yang berlaku sekitar tahun 1980-an dan saya percaya dia hanya mahu meluahkan kesedihan dan menghentikan simpati orang ramai terhadap GISB dengan apa yang berlaku ketika ini," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat Pulau Duyong di sini semalam. Rohani turut meminta agar lebih ramai individu dapat tampil bagi menceritakan pengalaman mereka bersama GISBH seperti mana yang dilakukan oleh cucunya.  Tangkap layar pendedahan pengalaman Sabrina Bolivar di TikTok Terdahulu, Sabrina yang menetap di Paris membuat pendedahan mengejutkan mengenai ibunya, yang menjadi isteri keempat salah seorang ahli tertinggi GISB (dahulu dikenali sebagai Al-Arqam). Menurut Sabrina, beliau melihat banyak pengabaian yang berlaku kepada ibunya semasa berada dalam organisasi tersebut sebelum diselamatkan oleh neneknya itu. Bercerita lanjut, Rohani berkata, dia menyelamatkan anak dan cucunya dari sebuah rumah di Sungai Penchala, Selangor sekitar tahun 1980-an. Menurutnya, dia melihat ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem kekeluargaan yang diamalkan gerakan tersebut selepas anak memilih untuk berkahwin dengan salah seorang ahlinya. “Kebajikan anak dan cucu saya  terabai menyebabkan saya berusaha keras mendapatkan bantuan kerajaan kerana tidak mahu mereka terus terperangkap dalam gerakan tersebut. "Alhamdulillah, tindakan saya sangat tepat kerana setelah keluar dari tempat itu, semua cucu telah mendapat pendidikan sempurna dan kini bahagia dengan keluarga kecil masing-masing,”ujarnya yang petah bertutur dalam dialek Terengganu. Rohani yang bakal menerima Ijazah Kedoktoran dalam bidang Etnobotani dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut berkata mana-mana pihak terutama wanita dan kanak-kanak ditindas kerana mereka sepatutnya diberi pilihan untuk hidup bebas seperti insan biasa. 
24 Sep 24
877
MAIDAM Sedia Bantu Anak-Anak GISB
MAIDAM Sedia Bantu Anak-Anak GISB
KUALA TERENGGANU, 24 September - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sedia menyalurkan bantuan dalam bentuk pendidikan dan kemahiran kepada  anak-anak yang diselamatkan dari premis dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB). Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail menyatakan  bantuan selayaknya akan diberikan jika memenuhi kriteria yang ditetapkan MAIDAM untuk membantu mereka memulakan hidup baharu. "Kalau anak-anak yang istimewa dan berkeperluan khas itu biasanya dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). "Namun, kita tak akan abaikan, kita boleh bekerjasama jika kanak-kanak ini termasuk dalam golongan asnaf. "Apa yang penting ialah mereka perlu insaf dahulu dan kemudiannya kita pertimbangkan bantuan (pendidikan, kemahiran, perniagaan) agar mereka boleh berdikari semula," katanya Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di  Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Yayasan Islam Terengganu di Dewan AlFateh, Tingkat 4, Menara Yayasan Islam, di sini hari ini. Sementara itu, premis perniagaan dipercayai milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di bandar raya ini telah ditutup sejak Jumaat lalu. Premis itu membabitkan restoran di Jalan Sultan Zainal Abidin serta sebuah kedai bakeri di Wisma Khaleeda, Jalan Tengku Mohamad dekat Gong Badak, Kuala Nerus. Tambah Shaikh Harun, hasil pemantauan yang dilakukan dengan Polis Diraja Malaysia mendapati tiada anak-anak pengikut GISB (yang terabai) berada di Terengganu. "Semua premis yang dikaitkan dengan GISB di Terengganu kini telah dikosongkan dan hasil serbuan pihak berkuasa tidak menemui mana-mana individu di premis tersebut," katanya. Dalam masa sama, kerajaan negeri menunggu keputusan rasmi daripada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum memuktamadkan sebarang tindakan ke atas premis perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
24 Sep 24
466
Terengganu Negeri Pertama Guna S@MPAI
Terengganu Negeri Pertama Guna S@MPAI
KUALA TERENGGANU, 24 September- Terengganu menjadi negeri pertama menggunakan Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) yang bakal dipasang di 32 Pusat Khidmat Masyarakat(PKM) dan dikawal secara berpusat oleh T-HRDC selepas dilancarkan secara rasmi semalam. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, S@MPAI merupakan satu bentuk penyampaian maklumat dengan cara yang lebih menarik (grafik) dan akan dikemaskini secara harian. ”Ia akan mendekatkan jurang antara pencari kerja dengan peluang kerjaya melalui penyampaian melalui beberapa saluran S@MPAI melalui beberapa saluran, medium untuk sampai ke kumpulan sasaran. ”Contohnya, media sosial kita akan menggunakan medium facebook, TikTok dan Instagram bagi golongan remaja serta aplikasi perbualan melalui group whatapps dan telegram untuk golongan dewasa. ”Sementara itu, kita akan menggunakan paparan digital melalui skrin S@MPAI bagi mereka yang berumur dan kurang pendedahan medial sosial,”ujarnya. Dalam masa sama, beliau berkata sebanyak  32 DUN terlibat dalam program Le Tour De' Grassroots T-HRDC yang melibatkan 1046 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)  Menurutnya, melalui program tersebut, sebanyak 31 kumpulan whatsapp dengan lebih 900 orang bersama PKM dan JPKK untuk tujuan penyampaian maklumat dengan lebih efektif. ”Ia bagi menjalinkan libat urus PKM, IMITS dan JPKK selaku pemegang taruh kumpulan akar umbi (rakyat) dan memperkenalkan T-HRDC serta agenda pekerjaan negeri Terengganu ”Selain itu, mewujudkan saluran komunikasi agar segala maklumat dapat disampaikan kepada rakyat melalui PKM, IMITS dan JPKK serta mengumpul data pencari kerja sekitar DUN (pendaftaran Rakan THRDC),”katanya lagi. Tambahnya, ia juga mendapat kerjasama dari PKM, IMITS dan JPKK untuk menjayakan segala usaha dan gerak kerja berkaitan agenda pekerjaan.
24 Sep 24
4747
Ayuh! Sokong Terengganu Turtles Malam Ini
Ayuh! Sokong Terengganu Turtles Malam Ini
KUALA TERENGGANU, 24 September - Peminat sukan sepak takraw dijemput hadir beramai-ramai menyaksikan Sirkit kedua Liga Sepak Takraw (STL) pada GP Terengganu yang bermula hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, menyeru rakyat Terengganu hadir beramai-ramai menyokong pasukan Terengganu Turtles yang akan menentang Penang Black Panther pada jam 9.30 malam ini di Stadium Tertutup Gong Badak Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Menurutnya, Bagi GP Terengganu, pasukan tuan rumah juga akan menghadapi Bomba Fighter dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C pada malam esok. "Pastinya, persaingan dan perlawanan yang penuh dengan aksi menarik dari setiap pasukan dalam Kejohanan STL 2024. "Sama-sama kita mengunjungi dan menonton perlawanan ini. Pastikan kita memberikan sokongan penuh buat pasukan tuan rumah, Terengganu Turtles," jelasnya melalui hantaran terbaru di Facebook peribadinya, hari ini. Terengganu Turtles kini berada di kedudukan ketujuh STL Premier setelah saingan sirkit pertama GP Selangor, dengan 10 mata.  
24 Sep 24
4954
TESDEC Perkasa Pendidikan Kemahiran dan Keusahawanan Berteraskan Islam
TESDEC Perkasa Pendidikan Kemahiran dan Keusahawanan Berteraskan Islam
KUALA TERENGGANU, 23 September – Terengganu Skills Development Centre Berhad (TESDEC) terus komited dalam membangunkan kemahiran anak-anak muda dan belia lepasan sekolah dengan pendekatan menyeluruh, tanpa mengabaikan asas pengajian Islam.  Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad, Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, dalam usaha ini, subjek pengajian Islam telah dijadikan subjek umum di TESDEC, sejajar dengan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT). “Malah Kolej TESDEC juga menawarkan Diploma Pelancongan (Haji dan Umrah) kepada lepasan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) dan pengajian Islam menjadi sebahagian subjek teras khususnya dalam hal ehwal haji dan umrah (fiqh lelaki dan wanita),” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Memorandum Perjanjian Persefahaman Tenaga Hijau Dan Efficiency Management Di Antara TESDEC Services Sdn.Bhd. dengan Alka System Sdn.Bhd di Permai Hotel pada semalam. Menurutnya, pihak TESDEC kini sedang menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi menyediakan peluang keusahawanan kepada graduan. “Kami sedang jalinkan hubungan dengan YPU bagi mencipta nilai kepada lepasan TESDEC supaya kemahiran menjana pendapatan melalui keusahawanan.  “Keusahawanan berasaskan kemahiran ini menjadi pilihan kepadagraduan TESDEC sama ada untuk terus menyertai pasaran kerja dengan bekerja di mana-mana syarikat ataupun industri berkaitan kemahiran mereka.  “Dan juga boleh membuka perniagaan mereka sendiri setelah mendapat khidmat nasihat, latihan dan sokongan dana dari Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) atau pun agensi, badan penajaan, pendanaan keusahawanan seperti MARA, SMECorp, Yayasan Peneraju, dan lain-lain agensi,” tambah  beliau lagi.
23 Sep 24
150