Artikel "Utama" Terkini
PBT Pergiat Pantauan Aktiviti Tidak Bermoral
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan sedang melakukan pemantauan teliti berhubung aktiviti tidak bermoral yang berlaku di negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia dilakukan secara berhati-hati bagi mengelak berlakunya sebarang sabotaj daripada pihak tidak bertanggungjawab.
"Kalau nak buat (serbuan) pun kita tak akan maklum kepada mana-mana pihak kecuali pihak berkuasa supaya tidak timbul sabotaj dan sebagainya.
"Kita sedang pantau dengan teliti (aktiviti berunsur maksiat di Terengganu)...sebab itu lah saya rasa tanggungjawab untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ini adalah tanggungjawab semua pihak.
"Bagi orang Islam, kita laksanakan tuntutan agama, amar ma'ruf nahi mungkar.…bila lihat atau dengar maklumat begini, haruslah disampaikan kepada pihak berkuasa dengan cara masing-masing (yang sesuai)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024 – 2026 di Majlis Bandaraya, Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini.
Katanya, aduan boleh dikemukakan kepada ahli majlis PBT atau mana-mana pihak berkuasa.
"Insya-Allah kerajaan negeri akan guna ruang yang ada untuk ambil tindakan undang-undang," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Imigresen Malaysia menahan 17 wanita warga Thailand dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
Mereka yang berumur lingkungan 19 hingga 33 tahun ditahan ketika asyik melayan pelanggan dengan berpakaian seksi ala jururawat di sebuah pusat hiburan haram di bandar raya Kuala Terengganu.
02 Oct 24
94
Terengganu Harap Belanjawan 2025 Adil, Tiada Cukai Baharu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Kerajaan Terengganu mengharapkan peruntukan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini dapat disalurkan secara adil untuk semua negeri di samping tiada pengenalan cukai baharu.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengagihan hasil negara harus seimbang mengikut negeri yang lebih memerlukan akibat daripada kesenjangan (jurang) atau ketidakseimbangan pembangunan.
“Kita berharap kerajaan pusat lihat apa sebenarnya yang berlaku dalam negara kita kepada rakyat, kepada negeri-negeri, keadilan bukan sekadar diucapkan tetapi hendaklah ditegakkan.
“Saya berharap tidak ada tindakan drastik seperti cukai-cukai baharu yang boleh menekan rakyat memandangkan mereka sedia terbeban dengan kos sara hidup dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, negeri-negeri pembangkang juga tidak seharusnya dipinggirkan.
“Mana-mana negeri tidak kira pembangkang atau tidak adalah negeri yang membentuk satu persekutuan yang kita namakan sebagai Malaysia.
“Hasil kerja kuat negeri-negeri dari segi perkhidmatan dan sebagainya turut menyumbang kepada KDNK negara, jadi kalau ada negeri-negeri yang tidak mendapat keadilan yang sewajarnya maka tentunya ia memberi kesan kepada KDNK dan pencapaian negara kita.
“Jadi, tentulah isu ini haruslah diselesaikan, politik-politik juga, tetapi selama mana kita ingin berpolitik yang boleh menyebabkan negeri-negeri tertentu dalam negara ini dinafikan hak mereka,” ujarnya.
02 Oct 24
276
Sasar Tubuh 150 Koperasi Baharu Dalam Tempoh Tiga Tahun
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Dalam usaha memperkasa sektor koperasi di negeri ini, Kerajaan negeri Terengganu menyasarkan penubuhan 150 koperasi baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman mengumumkan sasaran itu dalam mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri Terengganu (MPKN) kali pertama untuk tahun 2024.
“Di Terengganu kita ada 505 buah masjid dan 28 buah koperasi.
“Kami telah berbincang dan mendapat persetujuan MAIDAM, maka kita sasarkan dalam masa 3 tahun untuk menubuhkan 150 buah koperasi.
“Ini azam dan akan bekerja dan bergerak ke arah itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi (MPKN) peringkat Negeri Terengganu siri pertama di Menara Majis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Darul Iman, Kuala Terengganu, pada semalam.
Menurut Ariffin, terdapat 828 koperasi berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di negeri Terengganu yang memberikan impak positif kepada masyarakat, terutama di kawasan luar bandar.
"Dengan adanya bantuan dan geran daripada SKM, koperasi-koperasi ini boleh buat pelbagai aktiviti dan dapat meningkatkan produk serta program di peringkat masing-masing,” katanya.
Beliau juga menegaskan kepentingan koperasi masjid dalam membangunkan masyarakat qariah.
“Koperasi tidak hanya berpusat di bandar, tetapi juga hadir di luar bandar, di mana ia memberi impak yang besar kepada kariah dan masyarakat setempat.
“Kehadiran koperasi di kawasan luar bandar bukan sahaja melibatkan penubuhan, tetapi juga keaktifan dalam menjalankan operasi mereka.
“Kita memfokuskan mesyuarat kali ini untuk memperkasakan penubuhan koperasi dan berusaha menubuhkan konsortium peruncitan masjid.
“Kami akan mewujudkan sebuah konsortium dengan menggunakan 'warehouse' yang ada, bertujuan untuk memusatkan operasi perniagaan dan ini termasuk penubuhan kedai koperasi di masjid serta membantu kedai-kedai runcit terdapat di sekitar masjid dan qariah.
“Dengan cara ini, koperasi masjid dapat berfungsi secara aktif dan membantu masyarakat menghadapi cabaran peruncitan di negeri Terengganu, terutamanya apabila terdapat pasaral raya besar yang dibuka, menyebabkan kedai-kedai kecil terpaksa menutup perniagaan mereka,” ujar Ariffin.
Selain memperkasakan koperasi masjid, kerajaan negeri berazam untuk mempergiatkan bantuan kepada semua koperasi di seluruh negeri Terengganu.
“Bagi koperasi yang sudah ditubuhkan, kita akan memberikan latihan untuk meningkatkan pengurusan mereka, manakala bagi koperasi baru, kita akan mendedahkan mereka kepada pelbagai insentif yang tersedia melalui SKM Terengganu.
“Ini adalah antara pelbagai kaedah yang kita laksanakan untuk meningkatkan keberkesanan koperasi di negeri Terengganu,” katanya.
Ariffin turut menyentuh tentang kerjasama yang dijalankan melalui koperasi untuk menjual barang dengan harga murah menerusi inisiatif jualan rahmah.
“Kita ada buat kerjasama melalui koperasi seperti jualan murah melalui Koperasi Jualan Rahmah dan KPDN, melalui portfolio saya sendiri, kita telah memperkenalkan Pasar Berkat.
“Kita telah buat 'trademark' Pasar Berkat yang kita dah buat di Parlimen Kuala Terengganu dan Marang, kemudian kita perturunkan di DUN-DUN untuk mengatasi isu-isu masyarakat.
"Apaila kita buat Jualan Rahmah, ia mendapat sambutan yang sangat baik dna ini menandakan bahawa rakyat sekarang ini memang sangat susah.
“Kos sara hidup ada turun ada naik tetapi penurunan yang berlaki tidak banyak bahkan semakin hari semakin meningkat,” tambah Ariffin lagi.
02 Oct 24
191
UMT Terima 2,060 Pelajar Baharu
KUALA NERUS, 2 Oktober- Seramai 2,060 pelajar baharu program Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2024/2025 mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mulai hari ini.
Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, berkata daripada jumlah tersebut, seramai 238 pelajar adalah lepasan Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang merupakan ‘produk’ UMT.
Menurutnya, pihak pengurusan UMT komited dan memberi jaminan dalam memastikan pelajar dapat mengikuti alam kampus dengan baik serta dapat menghabiskan pembelajaran dengan cemerlang di UMT, seterusnya melahirkan graduan yang berdaya saing.
“Seawal 7.30 pagi para pelajar bersama keluarga telah bersedia untuk sesi pendaftaran di Dewan Sultan Mizan (DSM) dan disambut oleh para petugas seramai 350 orang, semuanya berjalan lancar.
"Minggu Jalinan Mesra (MJM) akan berlangsung pada 1 hingga 5 Oktober, di mana pelajar akan mengikuti sesi taklimat di Dewan Sultan Mizan serta di Kolej Kediaman yang merangkumi sesi pengenalan berkaitan akademik dan hal ehwal pelajar.
"Mereka juga akan terlibat dengan pelbagai aktiviti antaranya sukan dan kesenian serta dibawa melawat fakulti masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga berharap para pelajar cepat menyesuaikan diri di alam kampus dan dapat meneroka lebih banyak peluang dalam bidang kokurikulum.
"Ia bagi melahirkan pelajar yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata malah dapat melahirkan graduan yang holistik serta bersedia untuk berada di alam pekerjaan kelak.
"Justeru itu, semua pelajar perlu memanfaatkan peluang tersebut untuk mencapai kejayaan akademik dan menyumbang kepada negara serta mengucapkan tahniah kepada pelajar dan semua ibu bapa kerana memilih UMT sebagai universiti pilihan utama," ujarnya lagi.
Tambah beliau, UMT turut menawarkan program pengajian baharu untuk pengambilan sesi Akademik 2024/2025 iaitu Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian.
"Kita menerima pelajar sulungnya seramai 82 orang untuk program tersebut manakala terdapat 33 program sarjana muda yang telah ditawarkan UMT setakat ini," jelasnya.
02 Oct 24
220
Pesara Guru 'Hilang' RM218,900 Angkara 'Phone Scam'
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Seorang pesara guru berputih mata kehilangan RM218,900 simpanan Tabung Haji dan wang pencennya selepas menjadi mangsa penipuan sindiket 'phone scam'.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita berusia 62 tahun ketika berada di rumah telah menerima satu pangilan mendakwa daripada sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor pada 31 Ogos lalu dan memberitahu pengadu mempunyai tuntutan claim insuran sebanyak RM68,800.
Menurutnya, mangsa yang menafikan tuntutan itu telah diminta untuk membuat laporan polis kononnya berhubung penyalahgunaan data peribadi untuk kesalahan undang-undang.
"Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuka satu akaun bank bagi tujuan pemantauan Bank Negara Malaysia.
"Mangsa kemudian telah diarahkan membuat simpanan tetap sebanyak RM5,000 dan diminta memindahkan wang daripada akaun Tabung Haji miliknya sebanyak RM201,900 ke dalam akaun yang telah dibuka tersebut.
"Pesara guru mula menyedari telah ditipu oleh sindiket phone scam setelah menceritakan situasi tersebut kepada anak pengadu dan hasil semakan dengan pihak bank, dia mendapati akaun banknya cuma berbaki RM100," ujarnya kepada pemberita.
Azli berkata, mangsa juga telah melakukan 20 kali transaksi ke dalam akaun-akaun bank terbabit membabitkan kerugian RM218,900.
Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.32 tengah hari semalam.
"Wang tersebut adalah hasil pampasan persaraan serta simpanan milik mangsa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu," ujarnya.
02 Oct 24
206
Pelajar Terengganu Inovasi ‘Rumah Pintar’
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Pelajar Terengganu terus ke hadapan mempamerkan bakat dan kreativiti dalam pertandingan Spark Your Creativity Challenge (SYCC) 2024 yang bertemakan ‘Smart Home’ pada edisi kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat sangat teruja dan kagum dengan daya cipta yang ditunjukkan oleh peserta pertandingan.
“Saya sangat berbesar hati dapat menyaksikan pertandingan mencungkil bakat, inovasi dan kreativiti pelajar terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Dengan tema ‘Smart Home’, anak-anak kita diberi peluang untuk mempamerkan kebolehan mereka dalam mencipta solusi lebih pintar dan berinovasi untuk masa hadapan. Rumah pintar bukan sekadar tempat tinggal yang dilengkapi teknologi canggih, tapi boleh menjimatkan tenaga, selesa dan lestari.
“Pihak Kerajaan Negeri amat menitikberatkan dan memberi sokongan sepenuhnya terhadap sumber manusia dan bakat-bakat yang ada khususnya anak Terengganu, supaya tidak ketinggalan bagi memenuhi keperluan teknologi di masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian SYCC 2024 di Auditorium Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Naib Presiden ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, Nadia Khairene Ismail.
Sebanyak 40 buah sekolah dari seluruh Negeri menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh PSKT hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pendidikan Yayasan Terengganu, serta penaja utama ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc.
SK Gong Kapas menjuarai pertandingan SYCC 2024 kategori Sekolah Rendah, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, piala iringan, plug pertandingan serta sijil penyertaan, naib juara dimiliki SK Sura dan tempat ketiga SK Kelulut.
Bagi kategori Sekolah Menengah, SMK Tengku Lela berjaya ketepikan 25 pasukan lain untuk bergelar johan pertandingan, naib johan disandang SMK Rasau Kertih dan diikuti rapat SMK Balai Besar di tempat ketiga.
01 Oct 24
901
MAH Terengganu Sedia Toleransi Dalam Isu Daftar Masuk dan Keluar Hotel
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu menafikan terdapat sesetengah hotel di negeri ini yang berdaftar di bawahnya terlibat dengan dakwaan menetapkan masa daftar masuk lewat dan daftar keluar awal seperti tular di media sosial baru-baru ini.
Pengerusinya, Suaibah Harun, berkata namun begitu MAH tetap ambil maklum isu yang sedang tular di media sosial berhubung waktu daftar dan keluar industri perhotelan di Terengganu.
Menurutnya, terdapat 181 buah hotel dan resort berdaftar di Terengganu dan 36 buah daripadanya berdaftar dengan MAH.
"Setakat ini waktu daftar masuk premis hotel di negeri ini masih mengikut operasi yang ditetapkan iaitu bermula jam 2 hingga 3 petang dan keluar pada jam 12 tengah hari.
"Kami sedaya upaya memberikan yang terbaik dalam memastikan industri perhotelan di Terengganu terus kekal kompetitif dan mesra pelanggan.
"Matlamat kami pelanggan sentiasa berpuas hati dengan khidmat yang diberikan termasuk sedia bertoleransi sekiranya ada dalam kalangan mereka yang memerlukan daftar masuk lebih awal dan daftar keluar lebih lewat atas sebab-sebab tertentu," katanya kepada pemberita.
Dalam masa sama, Suaibah menasihatkan orang ramai sentiasa membaca dan memahami terma serta syarat yang ditetapkan hotel sebelum membuat tempahan.
"Langkah ini (membaca dan memahami terma syarat) penting bagi mengelakkan berlaku salah faham atau ketidakpuasan hati terutamanya berkaitan penentuan harga serta perkhidmatan yang disediakan.
Terdahulu, minggu lepas tular tindakan sesetengah hotel yang menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula jam 4 petang dan keluar pada jam 11 pagi.
Perkara itu mencetuskan perbincangan warga maya yang rata-ratanya merasakan tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat.
Ada yang mengatakan bukan sahaja hotel yang menetapkan seperti itu, malah beberapa inap desa turut bertindak sedemikian.
01 Oct 24
608
Primula Beach Hotel Jadi Hotel Pertama Di Terengganu Tanam MMT
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober- Primula Beach Hotel mengorak langkah menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) secara fertigasi di perkarangan hotel berkenaan.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, lebih membanggakan apabila Primula Beach Hotel menjadi hotel pertama di negeri ini yang terlibat dengan pertanian secara fertigasi.
Katanya, projek fasa pertama dengan tanaman sebanyak 30 pokok MMT yang bermula 8 Ogos lalu kini mula mengeluarkan buah.
"Anggaran masa untuk tuaian hasil adalah pada 12 hingga 13 Oktober ini iaitu dalam tempoh 60 hingga 70 hari selepas proses penanaman.
" Selain MMT, kita juga usahakan tanaman sawi secara fertigasi yang telah beberapa kali berjaya dituai dalam kuantiti yang cukup memberangsangkan.
"Projek fertigasi ini bertujuan untuk mengurangkan kos pembelian sayur-sayuran atau buah-buahan dari luar di mana hasil tanaman ini membolehkan kita menyediakan sayuran segar yang dipetik terus dari kebun ke dapur pelanggan hotel," ujarnya kepada pemberita, hari ini.
Menurut beliau, usaha tersebut juga selaras dengan inisiatif hotel dalam menyokong amalan hijau dan kelestarian, dengan mengurangkan jejak karbon melalui penggunaan sumber tempatan dan mengurangkan sisa makanan.
"Kita sebenarnya telah menerima pengiktirafan sebagai ‘Hotel Amalan Lestari Terbaik’ di Anugerah Industri Pelancongan 2024 yang diadakan di Royale Chulan Kuala Lumpur, baru- baru ini.
"Anugerah itu telah mengiktiraf komitmen teguh Primula Beach Hotel terhadap kelestarian dan usaha inovatif dalam mempromosikan amalan mesra alam dalam industri perhotelan," ujarnya.
Katanya, bagi menjayakan projek terbabit, pihaknya dibantu oleh Jabatan Pertanian dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang bertindak sebagai mentor dan memantau kemajuan penanaman.
01 Oct 24
2861
Pesta Buku Terbesar Terengganu Berakhir Esok
KUALA TERENGGANU, 30 September - Penganjuran Pesta Buku terbesar peringkat negeri di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu yang bermula 25 September lalu akan berakhir esok.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Ridzuan Hashim berkata Pesta buku kali ini merupakan program paling ditunggu-tunggu oleh para penulis, pembaca dan peminat buku yang sentiasa dahagakan ilmu.
Katanya, program yang diadakan setiap tahun bermula 2018 itu dijayakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta tajaan Syarikat Muda Osman Sdn Bhd (SMO).
"Seramai 73 penerbit dari tempatan dan luar turut hadir. Selain itu, jualan alat bantuan mengajar dan juga alat tulis turut diadakan pada Pesta Buku kali ini.
"Pelbagai kategori bahan bacaan juga dijual seperti novel, komik, buku pelajaran dan bahan bacaan umum dengan harga promosi berpatutan, pelbagai pengisian program disediakan kepada pengunjung yang hadir sepanjang tempoh tujuh hari pesta buku ini berlangsung dengan pelbagai kategori bermula dari kanak-kanak hingga dewasa.
"Antara aktiviti menarik turut diselitkan adalah pertandingan mewarna, bercerita, kuiz, busana perpaduan, jigsaw puzzle, ceramah kekeluargaan, bicara karya, ulasan sukan spontan, permainan tradisional, pertunjukan wayang kulit, busking dan banyak lagi program disediakan, pesta kali ini menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung," katanya kepada media.
Selain itu katanya, jualan makanan daripada peniaga-peniaga food truck dan Bazar PPAT, dan juga kehadiran figura terkenal tanah air bagi memeriahkan lagi suasana.
“Antara figura terkenal tersebut iaitu Datuk Imuda, Ben Wong, Sharina Elisa, Muzuza, Adik Dhani, Hudanajwa dan ramai lagi masing-masing mempunyai slot khas.
“Semasa berlangsungnya Pesta Buku ini, perkhidmatan Perpustakaan juga telah dilanjutkan sehingga jam 10 malam, melibatkan bahagian kanak-kanak dan pinjaman dewasa.
“Turut memeriahkan Pesta buku kali ini pembukaan kaunter semakan Wang Tak Dituntut (WTD) oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia, perkhidmatan kaunter bergerak oleh MAIDAM, pameran robotik daripada TATIUC.
“Saya amat mengharapkan agar semua pihak terlibat semasa Pesta Buku kali ini sentiasa komited dalam usaha meneruskan dan memajukan industri media cetak dan seterusnya membangunkan masyarakat berilmu pengetahuan, jadi rebutlah peluang ini untuk mendapatkan buku kegemaran dengan harga mampu milik,” ujarnya.
30 Sep 24
977
Terengganu Sasar Semua Pengusaha Akuakultur Miliki Sijil MyGAP
KUALA TERENGGANU, 30 September - Kerajaan Terengganu menyasarkan semua penggiat dan pengusaha akuakultur di negeri ini memiliki Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) dalam tempoh tiga tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri, Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, setakat ini sebanyak 43 pensijilan MyGAP telah dianugerahkan kepada premis akuakultur melibatkan lebih 500 penternak.
"Sasaran kita supaya semua penggiat akuakultur yang mengamalkan pelbagai sistem termasuk hatcheri ikan marin, ladang ternakan udang serta ternakan ikan air tawar dan ikan air payau dalam sangkar memiliki sijil MyGAP.
"Sijil MyGAP ini penting untuk mengesahkan produk dihasilkan mempunyai kualiti yang baik dan selamat dari sudut kandungan antibiotik, racun ataupun logam.
"Dengan itu ia membolehkan produk yang dihasilkan berkembang ke tempat yang lebih jauh dan memasuki pasaran antarabangsa dan menembusi pasaran-pasaran pasar raya ternama," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Amalan Akuakultur Baik dan Pelancaran Dashboard Supply Quality Assurance (SQA) Red Kenyir, di Auditorium pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Dr. Azman memaklumkan bahawa kerajaan negeri sedang berusaha untuk mewartakan beberapa lokasi sebagai zon industri akuakultur antaranya ialah di Sungai Cemor Tasik Kenyir.
"Seluas lebih 3,000 hektar melibatkan kawasan daratan dan tasik dalam proses diwartakan sebagai zon industri akuakultur.
"Apabila ia diwartakan membolehkan dari sudut pengurusan akan lebih sistematik dan mudah juga akan melalui proses birokrasi yang lebih singat.
"Melalui usaha yang berterusan ini kita sasarkan supaya Terengganu menjadi negeri pengeluar produk akuakultur yang utama di Malaysia," ujarnya.
30 Sep 24
270