lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

2,000 Sertai Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Cukai
2,000 Sertai Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Cukai
KEMAMAN, 29 September - Hampir 2,000 peserta terdiri dari 68 kontinjen hadir memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai 2024, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat mengucapkan tahniah diatas kerjasama dan semangat yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam menjayakan program yang telah diadakan itu. "Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah sama-sama menjayakan program ini. "Sempena bulan Maulidur Rasul yang penuh barakah ini, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Semoga kita semua beroleh syafaat agung baginda di akhirat kelak," ujarnya ketika merasmikan program itu di Kampung Paya Berenjut, di sini hari ini. Antara mereka yang telah memeriahkan perarakan yang diadakan pada kali ini terdiri daripada seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Tabika Perpaduan, Tabika KEMAS, Taska Yayasan Pembangunan Keluarga, Taska Permata Keluarga, ibu bapa, penduduk setempat dan lain-lain. Semua peserta dibawa berarak sambil berselawat sejauh 2.3 kilometer bermula di Padang Kampung Paya Berenjut dan berakhir di Dataran Haji Hanafiah dengan jamuan rakyat.  
29 Sep 24
207
SPEG Atasi Gangguan Gajah Liar di DUN Langkap
SPEG Atasi Gangguan Gajah Liar di DUN Langkap
SETIU, 29 September - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu memasang Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) bagi mengatasi gangguan gajah liar. Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, pemasangan itu sebagai usaha mengekang pencerobohan gajah daripada memasuki kawasan kebun milik penduduk Kampung Bukit Mundok dan Kampung Alor Lek. "Pemasangan pagar sejauh empat kilometer melibatkan kos sebanyak RM170 ribu ini telah dibuat secara bersama penduduk bermula pada 23 September dan siap pada semalam dalam tempoh 6 hari," katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Sistem Pagar Elektrik Gajah dari Perhililitan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Mundok dan JPKK Alor Lek.  Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof mengucapkan terima kasih kepada Perhililitan atas peruntukan sistem pagar. Azmi Maarof berkata, masyarakat menghargai peruntukan kerajaan itu bagi mengatasi masalah gangguan gajah liar. "Harapannya penduduk kampung dapat memainkan peranan secara aktif untuk menyelenggara pagar ini sebaiknya supaya pagar ini dapat bertahan lama," jelasnya.
29 Sep 24
326
Terengganu Catat Hasil Jualan RM528,000 di MAHA
Terengganu Catat Hasil Jualan RM528,000 di MAHA
KUALA TERENGGANU, 29 September - Pavilion Terengganu menjadi tumpuan ramai semasa berlangsungnya Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dengan menghasilkan jualan sebanyak RM528,000. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, selama 11 hingga 22 September ia diadakan MAHA berjaya lebih 156,000 pengunjung. "Pavilion Terengganu menjadi antara yang paling ramai menggamit kehadiran pengunjung. "Alhamdulillah melaluinya kita boleh memperkenalkan pelbagai produk negeri Terengganu dan dalam masa yang sama dapat membantu pengusaha-pengusaha mengembangkan jualan mereka serta dalam masa yang sama menjana pendapatan yang sangat lumayan dalam tempoh 11 hari," ujarnnya. Beliau berkata demikian kepada berita selepas hadir merasmikan Seminar Amalan Akuakultur Baik dan Pelancaran Dashboard Supply Quality Assurance (SQA) Rend Kenyir di Auditorium Pusat Sains dan Kretaiviti Terengganu, di sini, hari ini. Dalam pada itu berkongsi mengenai perkembangan semasa pelaburan dalam pertanian Dr Azman memaklumkan, Syarikat McCormik Global yang akan mengusahakan penanaman lada hitam secara komersial di Lembah Bidong kini di fasa terakhir. "Kini sudah sampai ke peringkat pembinaan kilang. "Selain itu kita kini sedang dalam perbincangan terakhir dengan sebuah syarikat untuk mengusahakan ladang ternakan ayam daging di Gong Katup, Setiu dengan pelaburan bernilai ratusan juta. "Insya-Allah nampak keseriusan daripada pihak pelabur, sangat positif dan kita yakin projek ini boleh dijayakan," katanya. Selain itu katanya, ada beberapa projek dalam peringkat perbincangan antaranya Taman Stevia dan juga pelaburan sektor padi di Kampung Jelapang, Langkap. "Membabitkan kira-kira 100 ekar tanah yang terbiar sejak sekian lama dengan harapan ia akan menghidupkan semula kawasan jelapang padi di Kampung Jelapang ini," ujarnya.  
29 Sep 24
542
Sensitiviti Agama Perlu Dijaga - Maliaman
Sensitiviti Agama Perlu Dijaga - Maliaman
KUALA TERENGGANU, 29 September -  Umat Islam di negeri ini hidup aman sentosa sejak sekian lama, segala sesuatu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan dalam kalangan umat Islam perlu dielakkan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim bersetuju dengan tindakan Dewan Pemuda PAS Kemaman (DPPKK) yang telah membuat laporan Polis berhubung komen dalam facebook oleh individu yang menggunakan nama Lau Peter Lau kerana didakwa menyentuh sensitiviti agama Islam. “Laporan Polis oleh DPPKK saya sangat sokong supaya perkara ini tidak dijadikan sebagai satu bahan yang boleh mencetuskan pergaduhan, sebagai masyarakat bukan islam sepatutnya tidak perlu sentuh, kerana ia adalah satu isu agama juga jadi privasi dan sensitif bagi orang islam. “Masalah perpaduan di negeri ini kita anggap isu tidak besar, walaupun ia hanya sedikit dan kecil tapi boleh menjadi besar jika kita tidak bendung, tindakan itu penting sebagai pencegahan terhadap sebarang kemungkinan insiden yang boleh cetuskan ketegangan dan perpecahan di masa hadapan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku @PPAT 2024 di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu; Ridzuan Hashim, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu; Syed Ab Rahman Hilmi Syed Zain, dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu; Norliza Ismail.
29 Sep 24
147
STL: Terengganu Turtles Bangga Raih Pentas Akhir
STL: Terengganu Turtles Bangga Raih Pentas Akhir
KUALA NERUS, 29 SEPTEMBER- Terengganu Turtles tewas kepada juara bertahan, KL Thunder 2-0 di pentas akhir Grand Prix (GP) Terengganu Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) Premier, semalam. Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak itu, Terengganu Turtles tewas 7-15 pada set pertama dan 11-15 di set kedua untuk muncul sebagai naib juara bagi membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000. Pengurus pasukan, Wan Shahrul Nizam Wan Shafi'i bagaimanapun bangga dengan pencapaian tersebut. "Secara keseluruhannya sasaran kita adalah sehingga peringkat separuh akhir namun, Alhamdulillah kita lolos ke akhir dan ia satu bonus kepada kita apatah lagi beraksi di bumi Terengganu sendiri  "Bagi perlawanan hari ini, kita sudah jangka pasukan yang diturunkan itu, tetapi kita tidak dapat menyesuaikan diri bermain kerana variasi tekong mereka sukar dibaca, kita cuba bangkit pada set kedua dan beri tentangan, Alhamdulillah kita dapat beri tentangan yang baik. "Ini akan jadi pemangkin untuk pasukan kita menghadapi GP seterusnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan akhir yang menyaksikan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim. Hadir sama, ialah Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) 1, YM Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Sharizal Yahaya dan Pengurus Pemasaran Emas Anuar Sdn Bhd, Mohd Jefri Rusli.  Dalam pada itu, Wan Shahrul Nizam optimis dengan perkembangan pasukannya untuk baki sirkit yang akan datang. "Pencapaian yang lebih baik berbanding di GP Selangor, perlu dibanggakan dan kita perlu bersyukur setelah lima tahun dalam Divisyen Satu, tahun ini merupakan tahun pertama kita menyaksikan pencapaian kita kepada pentas akhir. "Kita lebih mengetengahkan pemain tempatan kita sendiri yang kebanyakan mereka kita letakkan sasaran tertentu untuk jangka masa dua ke tiga tahun, Khairul Aman, Alif (Mursyid), Afif (Jazimin) itu pemain-pemain aset negeri Terengganu untuk akan datang yang mana dalam dua tiga tahun, kita yakin akan mempunyai skuad yang begitu mampan." "Saya ambil kesempatan untuk berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya exco sukan kita, YB Hishamuddin yang begitu bersemangat memberi sokongan kepada kami. Kita akan cuba lagi pada GP Perak, Pulaun Pinang dan Johor untuk lolos ke Piala Kejuaraan nanti," katanya.        
29 Sep 24
2068
Orang Ramai Masih Berpeluang Nikmati Promosi Wasiat AmanahRaya Dan Hibahku
Orang Ramai Masih Berpeluang Nikmati Promosi Wasiat AmanahRaya Dan Hibahku
KUALA TERENGGANU, 29 September- Orang ramai masih berpeluang menikmati harga promosi Wasiat AmanahRaya dan Hibahku yang ditawarkan Amanah Raya Berhad sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67.  Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad, Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata, tawaran oleh syarikat pentadbir amanah utama negara itu bermula 1 Ogos lalu sehingga 31 Oktober depan. “Bagi wasiat individu untuk jenis wasiat asas, harga promosi merdeka AmanahRaya 2024 yang ditawarkan RM400 sahaja berbanding harga biasa RM500. “Sementara wasiat komprehensif pula orang ramai hanya perlu membuat pembayaran sebanyak RM1000 berbanding harga biasa RM1200,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Tanggungjawab Sosial  Amanah Raya Berhad Dan PDRM Bersama Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Utara & Selatan di Dewan Akademi Perikanan, Chendering di sini. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor. Katanya, promosi wasiat inividu sah di mana-mana cawangan Amanah Raya seluruh negara, kaunter bergerak Amanah Raya dan secara atas talian (Amanah Raya Will Online) melalui laman sesawang Amanah Raya di www.amanahraya.my . Sementara itu Ahmad Feizal berkata, pihaknya turut menawarkan diskaun bagi mereka yang berminat untuk membuat wasiat kombo. “Bagi jenis wasiat asas, harga promosi merdeka AmanahRaya 2024 yang ditawarkan RM700 sahaja berbanding harga biasa RM1000. “Sementara wasiat komprehensif untuk jenis kombo pula adalah RM1800 berbanding harga asal RM2400.  “Dengan syarat, pelanggan pertama perlu membawa pelanggan kedua yang hadir serentak di mana-mana cawangan Amanah Raya seluruh negara atau kaunter bergerak Amanah Raya sahaja,” ujarnya. Tambah beliau, promosi Hibahku pula sah di mana-mana cawangan Amanah Raya seluruh negara atau kaunter bergerak Amanah Raya. “Harga asal untuk produk ini adalah RM1,500 dan selepas diskaun, orang ramai boleh mendapatkannya pada harga RM1300,” jelasnya. Justeru katanya, orang ramai diharap merebut peluang tersebut dengan membuat perancangan pewarisan yang terbaik demi kesinambungan legasi pada masa hadapan.  
29 Sep 24
145
STL: Terengganu Turtles Ke Pentas Akhir
STL: Terengganu Turtles Ke Pentas Akhir
KUALA NERUS, 28 September - Terengganu Turtles mengharungi dua aksi dramatik dalam usaha melangkah ke pentas akhir Grand Prix Terengganu, Emas Anuar Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) 2024. Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak itu, tuan rumah menewaskan Selangor Pistons menerusi pertarungan tiga set 17-15, 13-15 dan 15-13 bagi saingan peringkat suku akhir yang berlangsung malam tadi. Pada tengahari tadi pula, di peringkat separuh akhir Terengganu Turtles menafikan cabaran PDRM Defenders, juga melalui penentuan rubber set 15-8, 6-15 dan 15-11. Malam ini, tuan rumah mengharapkan sokongan 'rumbu' rakyat Terengganu ke Gong Badak dalam melayan juara GP Selangor bagi sirkit pertama, KL Thunder.            
28 Sep 24
327
Sembilan Pasukan Sertai Pertandingan Gamelan Tradisional
Sembilan Pasukan Sertai Pertandingan Gamelan Tradisional
KUALA TERENGGANU, 27 September- Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu (JKKN) melalui Kelab Kebajikan & Rekreasi Kampung Manir telah menganjurkan Pertandingan Gamelan Melayu Tradisional (Tarian) bertempat di Auditorium JKKN Terengganu, Kuala Ibai, di sini , hari ini. Sebanyak sembilan buah sekolah mengambil bahagian dengan penyertaan 88 orang pelajar. Ia terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Ikan, SK. Tengku Ampuan Intan, SK. Sultan Sulaiman 1, SK. Gong Pasir, SK. Tanjung Gelam, SK. (Perempuan) Methodist Kuantan, SK. Tok Jembal, SK. Wakaf Tapai dan SK. Seberang Takir.  Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, sambutan pada tahun ini di luar jangka dengan penyertaan sebanyak sembilan pasukan berbanding lima pasukan pada tahun lalu. "Mutu gerak tari asas bagi gerak tari Melayu semua peserta pada hari ini dilihat sangat menyerlah.  "Penyertaan pada tahun ini semestinya memberi saingan yang hebat dan membuat juri yang menilai sukar untuk menentukan para pemenang," ujarnya kepada pemberita selepas pertandingan tersebut. Turut hadir, Penolong Setiausaha Kanan (Dasar Kebudayaan MOTAC), Salida Ibrahim, Pengarah JKKN, Samsuring Meli serta Pengarah JPNT, Ahmad Ridzwan Abd Rahman. Katanya, penganjuran tahun ini memberi penanda aras baharu dalam segmen tarian gamelan Melayu tradisional di Terengganu.
27 Sep 24
383
Retorik Reformasi Hakis Kepercayaan Rakyat, Ancam Institusi Negara
Retorik Reformasi Hakis Kepercayaan Rakyat, Ancam Institusi Negara
KUALA LUMPUR, 27 September - Sikap retorik dalam usaha untuk mereformasi institusi persekutuan termasuk badan kehakiman bakal menghakis kepercayaan rakyat sekali gus mengancam negara. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Malaysia dibina atas prinsip demokrasi, keadilan dan perpaduan. Katanya, badan kehakiman, Parlimen, perkhidmatan awam, atau badan pengawal selia adalah penjaga prinsip-prinsip tersebut. "Parti politik mungkin berubah setiap lima tahun, tetapi struktur pentadbiran dan asas demokrasi kita harus kukuh, dan perlu tetap utuh atau terhindar dari intimidasi politik (atau ancaman) yang berpunca daripada alasan tidak berasas. "Badan kehakiman kita mesti memastikan keadilan ditegakkan, bebas daripada campur tangan politik atau berat sebelah," katanya pada ucaptama Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-14 dan Kutipan Dana IDEAS di sini baru-baru ini. Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kemaman itu mengakui cabaran yang ada ketika ini sangat mengancam integriti institusi negara terbabit. Jelasnya, terdapat isu rasuah, campur tangan politik malah lebih teruk wujud tekanan, paksaan dan fasisme yang mengundang pandangan serong orang awam. "Cabaran ini sekali gus boleh merosakkan keberkesanan dan kebebasan badan-badan negara kita. "Ancaman ini boleh memberi kesan jangka panjang, melemahkan sistem yang direka untuk melindungi hak dan kebebasan kita, serta semua institusi, hasilnya ia akan menjauhkan pelabur dari negara kita. "Rasuah, contohnya, bukan sahaja mengurangkan sumber kita tetapi juga merosakkan kepercayaan awam terhadap tadbir urus. "Campur tangan politik, apabila keputusan dibuat berdasarkan motivasi politik dan bukannya undang-undang maka rakyat akan menderita, akhirnya demokrasi kita akan goyah," jelas beliau. Justeru tegasnya, usaha melindungi dan mengukuhkan ketahanan institusi negara perlu digarap secara serius termasuk daripada bebas daripada penyalahgunaan kuasa dan rasuah. "Ketelusan dan tanggungjawab mesti menjadi teras kepada proses institusi kita. "Kedua, kebebasan badan kehakiman kita mesti dipelihara walau dengan apa cara sekali pun. Badan kehakiman yang kukuh dan tidak berat sebelah adalah kritikal untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan memastikan bahawa semua rakyat Malaysia diperlakukan dengan adil, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan mereka. "Ketiga, kita mesti melabur dalam pembangunan kapasiti dalam perkhidmatan awam. Perkhidmatan awam yang profesional, kompeten, dan tidak berpihak adalah penting untuk kelancaran fungsi kerajaan kita tanpa mengira siapa yang memerintah setiap lima tahun," tambah beliau.
27 Sep 24
227
Aroma Memukau Pesta Kopi Sasar 50 Ribu Pengunjung
Aroma Memukau Pesta Kopi Sasar 50 Ribu Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 27 September - Pesta Kopi Terengganu 2024 kali ini menyasarkan kehadiran 50 ribu pengunjung ke program tersebut yang berlangsung di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) bermula semalam hingga Sabtu ini. Penganjur Acara, Ahmad Haziq Badrol Hisham berkata, program anjuran Port Coffee Roaster bersama Ghostbird Coffee Roaster itu bertujuan menghimpunkan ramai pemain industri untuk memartabatkannya sebagai perniagaan yang berpotensi menjana pendapatan lumayan terutama dalam kalangan anak muda. Menurutnya, seramai 43 usahawan kopi tempatan seluruh negara berkumpul untuk mempersembahkan produk minuman kopi masing-masing serta menunjukkan pelbagai cara dan seni penyediaan kopi. "Kita sasar peningkatan kehadiran itu susulan kejayaan program tersebut yang bermula pada tahun 2023 yang mana berjaya menarik 30 ribu pengunjung pada tahun lepas. "Pihak kami juga telah buat lebih banyak penambahbaikan termasuk tiga pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM10,000. "Kita jangka nilai jualan yang bakal direkodkan ialah sebanyak RM800,000 sepanjang tiga hari pameran ini berlangsung kerana jumlah pempamer meningkat lebih sekali ganda malah penyertaan pertandingan juga penuh hanya dalam tempoh seminggu selepas dibuka," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi. Penganjur program, Mohd Haziq sedang melayani seorang pelanggan di reruai miliknya di Pesta Kopi Terengganu yang kini sedang berlangsung di KTCC Menurut Mohd Haziq, pesta itu bertujuan mengetengahkan inisiatif usahawan tempatan dan menonjolkan seni dan kreativiti dalam pembuatan kopi. Tambahnya, kewujudan pesta kopi ini sangat bagus, kerana menghimpunkan vendor-vendor kopi tempatan dari pelbagai latar belakang, pelbagai negeri dan sudah semestinya dianggap syurga kopi buat peminat kafein. "Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pelbagai produk kopi yang dijual, malahan mereka juga dapat melihat sendiri pelbagai cara penyediaan kopi termasuk peralatan-peralatan mampu milik yang digunakan serta boleh dipraktikkan sendiri di rumah.  "Bukan itu sahaja, mereka turut berpeluang mendapatkan penerangan berkaitan cara memilih dan menilai biji kopi," ujarnya. Dalam masa sama, Pesta Kopi Terengganu itu juga mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (MOTAC) serta Malaysia Speciality Coffee Association (MSCA) sebagai antara tarikan pengunjung ke negeri berkenaan.
27 Sep 24
662