lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Perhilitan Terengganu Giat Kesan Gajah Liar di Kampung Basung
Perhilitan Terengganu Giat Kesan Gajah Liar di Kampung Basung
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) negeri Terengganu membuat pemantauan secara berterusan bagi mengesan gajah liar yang menyebabkan kematian seorang warga emas, di Kampung Basung, baru-baru ini. Pengarahnya Loo Kean Seong (he) berkata ia susulan penemuan mayat, Musa Ahmad, 65, yang disahkan polis sebagai berpunca akibat diserang sekumpulan gajah liar. Katanya, pemantauan pihak Perhilitan di kampung tersebut bermula sejak minggu lepas setelah menerima laporan berhubung kehadiran gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk di situ.  "Sebenarnya Perhilitan Hulu Terengganu turut terlibat dalam pencarian Musa kerana kawasan itu memang kawasan yang memang ada gajah. Tapi, masa itu belum disahkan lagi akibat serangan gajah.  "Walau bagaimanapun, selepas 'confirm' mangsa meninggal dunia akibat diserang haiwan tersebut, maka kita teruskan operasi pemantauan sebelum ambil tindakan sama ada untuk tembak halau atau tangkap pindah sekiranya berjaya mengesan gajah tersebut," katanya kepada pemberita. Beliau turut menasihatkan penduduk sekiranya berdepan dengan haiwan berkenaan, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah  segera menjauhkan diri dan jangan melakukan sebarang provokasi. “Segera laporkan lokasi penemuan gajah berkenaan kerana ia akan memudahkan Perhilitan menganggarkan keberadaan haiwan tersebut bagi tindakan selanjutnya.  "Orang ramai juga dinasihatkan jangan masuk ke kebun secara sendirian. Selain itu, jangan biarkan kebun anda semak dan terbiar kerana haiwan liar akan mudah untuk menyorok dalam semak-samun lalu menyukarkan kita untuk mengetahui kewujudan mereka berdekatan kita," katanya.  Dalam masa sama, Loo berkata pihaknya telah berjumpa dengan waris Musa dan memaklumkan mengenai Tabung Mangsa Serangan Binatang Buas bagi meringankan beban mereka sekeluarga.  "Memang kita bersedih atas kehilangan ini tapi sekurang-kurangnya ada bantuan dari kerajaan yang boleh diberikan kepada mereka. Waris diminta untuk berhubung dengan Perhilitan Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya. 
06 Oct 24
269
Tanpa Panduan Guru, Tiada Siapa Bergelar Graduan
Tanpa Panduan Guru, Tiada Siapa Bergelar Graduan
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober -  Tiada manusia mampu mencapai kejayaan di dunia tanpa kehadiran insan bergelar guru. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat menyeru setiap graduan supaya menghargai pengorbanan dan titik peluh para guru. “Apabila kita menyebut perihal ilmu pengetahuan dan penuntutnya, semestinya para guru serta murabbi bukanlah insan yang asing. “Maka Majlis Konvokesyen yang diadakan pada hari ini, seharusnya menjadi satu medan teristimewa, untuk kita semua khususnya para graduan, menyampaikan apresiasi serta penghargaan kepada para guru yang mendidik kita tanpa jemu, menjadi lilin membakar diri, demi menerangi perjalanan kalian sehingga ke akhirnya,” ujarnya Beliau berkata demikian pada sidang ucapan Majlis Konvokesyen Ke-2 Kolej Yayasan Islam Terengganu (KYIT) 2024 di Pusat Konvokesyen, Taman Tamadun Islam di sini kelmarin. Turut meraikan, Pengerusi Lembaga Pengelola KYIT; Che Alias Hamid, Pengarah Yayasan Islam Terengganu; Zahanapi Segaf, dan Ketua Eksekutif KYIT; Dzulkefli Mamat. Untuk rekod seramai 60 graduan diraikan dalam majlis gilang gemilang itu, yang terdiri daripada dua program yang ditawarkan di KYIT iaitu Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Diploma Pengajian Islam. KYIT turut mengurniakan Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum kepada Nur Anis Solehah Hamzah dan Anugerah Kecemerlangan Akademik, diraih oleh Nurul Ain Rahimi. Kedua-duanya mencapai kejayaan dalam program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak. Bagi program Diploma Pengajian Islam, Penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum disandang oleh Nurul Hikmatul Hijrah Mohd Anuar, manakala Aqilah Ahmad Zaini adalah Penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik. Majlis turut mengurniakan Anugerah Ketua Eksekutif kepada Nor Asmira Syafika Jais dari Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.  
04 Oct 24
225
Dialog EXCO Platform Terbaik Rakyat Terima Maklumat Tepat
Dialog EXCO Platform Terbaik Rakyat Terima Maklumat Tepat
KUALA NERUS, 3 Oktober - Program Dialog EXCO yang kini sedang giat dilaksanakan secara berperingkat melibatkan lapan daerah di negeri ini disifatkan sebagai landasan terbaik untuk rakyat mendapat maklumat tepat daripada kerajaan. Salah seorang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung bagi DUN Batu Rakit, Mohd Fadhil Ismail berkata, program bersemuka itu juga membolehkan rakyat bertanyakan soalan secara langsung kepada EXCO sekali gus menjawab segala persoalan yang berlegar dalam kalangan masyarakat. "Alhamdulillah melalui program ini kerajaan negeri dapat sampaikan apa jua maklumat kepada rakyat mengenai apa usaha, matlamat dan hulu tuju kerajaan negeri serta perjalanan kerajaan negeri dalam keadaan terhimpit. "Sepanjang program ini berlangsung, kita telah melihat banyak soalan-soalan yang berkisar tentang kesan ekonomi selepas kerajaan negeri tidak lagi diberikan royalti petroleum seperti biasa. "Jadi telah diberikan penerangan apa solusi untuk masa hadapan dengan wujudnya usaha bagi menambah pendapatan baharu yang boleh menyakinan penduduk dan Pengerusi JPKK mendapat maklumat yang tepat dalam melaksanakan dasar kerajaan terutama bagi memastikan kebajikan kepada rakyat dapat diteruskan," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Dialog EXCO yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru, Kuala Nerus, di sini, kelmarin. Dalam pada itu, Fadhil berkata program yang dianjurkan oleh UPDI itu perlu diperluaskan lagi dan diadakan secara berterusan agar rakyat faham mengenai apa yang terjadi serta dapat mengetahui info-info terbaharu mengenai setiap perancangan dan agenda yang dijalankan. "Terima kasih kepada pihak kerajaan negeri serta penganjur yang telah mengadakan program ini sekali gus mendekatkan pimpinan kerajaan negeri bersama rakyat," katanya.  
04 Oct 24
124
Terengganu Lulus Dua Syarikat Laksana Kajian Lombong REE
Terengganu Lulus Dua Syarikat Laksana Kajian Lombong REE
KUALA NERUS, 3 Oktober - Kerajaan Terengganu sudah meluluskan permohonan dua syarikat untuk melakukan kajian awal bagi menentukan skop perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dua syarikat itu diberi tanggungjawab melakukan proses penerokaan sejak Ogos lalu bagi menentukan tahap kedalaman sebelum proses perlombongan. Ujarnya, dari lapan syarikat yang memohon untuk terlibat dalam proses membabitkan REE tersebut hanya dua syarikat sahaja yang diluluskan setakat ini. "Kerana mereka telah memohon dalam tempoh yang begitu lama bagi melakukan kajian tahap kedalaman melombong termasuk perincian proses menggerudi kawasan perlombongan, semua itu ada kiraannya yang tersendiri. "Selepas kerja awal itu barulah sumber itu boleh dikeluarkan dengan kadar maksimum. "Hasrat kita memang hendak beri kelulusan kepada lapan-lapan syarikat yang telah memohon ini, kita berikan selepas proses kajian dilakukan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Dialog EXCO di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Kuala Nerus, di sini, kelmarin. Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim. Mengulas lebih lanjut, Nurkhuzaini berkata selepas kajian dilakukan fasa seterusnya akan dapat dilakukan. "Kita jangka dalam Jun tahun hadapan kita akan luluskan lesen perlombongan untuk keluarkan hasil tersebut. "Dalam masa yang sama kita tengah jalinkan hubungan dengan 'player industry' untuk keluarkan karbonat dahulu yang akan diproses untuk dibuat magnet yang menghasilkan kuasa lebih 70 kali ganda, ia digunakan dalam menghasilkan kereta elektrik," ujarnya.  
04 Oct 24
2656
Terus Beri Sokongan Kepada TFC
Terus Beri Sokongan Kepada TFC
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober- Kerajaan negeri menyeru peminat setia bola sepak untuk terus memberi sokongan penuh kepada Terengganu FC (TFC). Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sokongan penyokong penting bagi menaikkan semangat skuad penyu susulan ketiadaan ketua jurulatih selepas Tomislav Steinbruckner yang melepaskan jawatan. “TFC mempunyai penolong-penolong jurulatih yang boleh menjalankan tugas buat sementara. Tidak bermakna kalau tidak ada (jurulatih) itu terus tergantung begitu sahaja dan kita akan uruskan isu ini, dalam senarai pendek nama calon (ketua jurulatih baharu) sudah ada. “Kepada penyokong tentunya kita nak semua berjalan dengan lancar, tetapi ialah dalam mana-mana perjalanan sekali pun akan ada atas jalan raya kita jumpa dengan jalan tidak ada ‘line’, lubang dan sebagainya. Itu perkara biasa sama juga dengan proses kita untuk memperkukuhkan pasukan bola sepak atau pasukan-pasukan lain, akan ada masalah-masalah. “Yang penting ialah penyokong dan peminat pasukan bola harus bersama dengan pasukan untuk memberi sokongan moral supaya walau apa jua cabaran, kita hadapi secara bersama. Insya-Allah dengan cara itu semangat pasukan dan pemain kita akan meningkat,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, semalam. Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, TFC akan melihat kepada kemampuan terutama faktor kewangan terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menggantikan ketua jurulatih baharu dengan calon tempatan atau import.  
03 Oct 24
239
RPMM Tok Jembal Siap 95 Peratus, Bakal Diserah Kepada Penerima
RPMM Tok Jembal Siap 95 Peratus, Bakal Diserah Kepada Penerima
KUALA NERUS, 3 Oktober - Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal kini telah mencapai tahap kemajuan 95 peratus dan bakal diagihkan kepada penerima terpilih dalam tempoh dua bulan ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, rata-rata mereka yang memohon rumah itu sudah tidak sabar mendiaminya kerana tertarik dengan reka bentuk serta keindahan warna. "Saya telah pun mengadakan lawatan ke RPMM Tok Jembal beberapa bulan lepas dan dimaklumkan oleh pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bahawa projek itu kini telah berada di fasa terakhir. "Sedikit masa sahaja lagi kerana ada beberapa isu (kecil) yang berlaku dalam pembinaan RPMM tersebut dan sekarang ia telah pun diserahkan kepada kontraktor penyelamat bagi membuat kerja-kerja akhir," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucapa di Program Dialog EXCO di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Kuala Nerus, di sini, semalam. Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Mengulas lebih lanjut, Wan Sukairi berkata dengan melihat kepada kemajuan terkini RPMM Tok Jembal itu rumah berkenaan akan diserahkan segera kepada pemilik yang terpilih sebelum berakhir tahun ini. "Insya-Allah saya menjangkakan dalam tahun ini juga kita akan dapat membuat penyerahan kepada pemilik-pemilik yang telah pun dipilih dan berada dalam senarai penama-penama yang berjaya menduduki rumah tersebut. "Insya-Allah dalam tempoh sebulan dua ini kita akan membuah penyerahan rumah pangsa tersebut," ujarnya.  
03 Oct 24
3543
Koperasi Terengganu Catat Peningkatan Perolehan
Koperasi Terengganu Catat Peningkatan Perolehan
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Koperasi Terengganu mencatatkan peningkatan yang ketara dari segi  jumlah koperasi dan perolehan di negeri ini. Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Terengganu, Awang Ruslli Mohammad, menyatakan bahawa bilangan koperasi di negeri ini telah meningkat daripada 828 kepada 839 buah pada 31 Disember 2023. “Pencapaian koperasi negeri Terengganu menunjukkan peningkatan yang positif. “Perolehan di peringkat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri Terengganu juga menunjukkan peningkatan dan pada 31 Disember 2023, jumlah perolehan hampir mencecah RM700 juta. "Dalam masa yang sama apabila kita lihat data pada tahun 2024 setakat bulan Jun kita memperolehi RM380 juta, penambahan RM30 juta berdasarkan data Jun,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi (MPKN) peringkat Negeri Terengganu siri kali pertama di Menara Majis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Darul Iman, Kuala Terengganu, pada kelmarin. Menurutnya, pada tahun 2023 sebanyak enam buah koperasi negeri Terengganu telah disenaraikan dalam 100 koperasi terbaik Malaysia. “Banyak koperasi contoh yang terbaik dan ada koperasi memang luar bandar contoh Koperasi 3K Berhad, Koperasi Peserta-peserta Felcra Seri Bandi Kemaman Berhad, dua koperasi ini berada di luar bandar. “Insya-Allah, dengan 828 buah koperasi yang ada di negeri Terengganu, impak diberikan kepada masyarakat kita di peringkat negeri adalah signifikan.  “Bantuan yang telah disalurkan kepada koperasi negeri Terengganu hampir mencapai RM0.5 juta. "Begitu juga, pinjaman yang telah diluluskan kepada seluruh koperasi negeri Terengganu pada tahun 2024 juga hampir mencecah RM3,000,000,” ujar beliau. Sebagai contoh katanya lagi, KOGURU telah memberi pinjaman sebanyak RM50,000 kepada anggotanya dan menyediakan tanah lot untuk keluarga yang memerlukan. "Dengan pinjaman tambahan untuk membina rumah, koperasi ini telah membantu keluarga tersebut mendapatkan tempat tinggal yang selesa. “Di peringkat kita, apabila beroperasi sebagai koperasi, kita boleh merancang aktiviti yang akan dilaksanakan. "Pada masa yang sama, kita berusaha untuk mensejahterakan masyarakat, terutama di kawasan luar bandar. "Banyak aktiviti yang telah kita laksanakan, seperti jualan Madani dan jualan murah untuk rakyat di luar bandar,” tambah beliau lagi.
03 Oct 24
308
Terengganu Siap Sedia Hadapi Kemungkinan Banjir
Terengganu Siap Sedia Hadapi Kemungkinan Banjir
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan negeri ketika ini dalam keadaan bersiap siaga menghadapi kemungkinan bencana banjir dan hujan lebat yang dibawa oleh angin Monsun Timur Laut. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, satu mesyuarat melibatkan pihak berkuasa negeri telah diadakan baru-baru ini sebagai persediaan menghadapi bencana berkenaan. “Menerusi menyuarat terbabit, kita telah mendapat taklimat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkaitan fenomena yang berlaku. “Ia termasuk bilakah jangkaan Monsun Timur Laut akan sampai dan kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku. Insya-Allah kita bersedia. Setiap tahun kita sentiasa berdepan perkara yang sama, doakan tidak ada banjir buruk di Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, semalam. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat memaklumkan, lebih RM4.2 juta diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi persediaan menghadapi banjir di Terengganu pada tahun ini.  
03 Oct 24
202
Tindakan Terhadap GISB Tertakluk Keputusan Pihak Berkuasa Agama
Tindakan Terhadap GISB Tertakluk Keputusan Pihak Berkuasa Agama
KUALA TERENGGANU – Sebarang tindakan yang akan dikenakan terhadap rangkaian GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Terengganu akan dibuat berdasarkan keputusan pihak berkuasa agama dan undang-undang sedia ada. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan akan merujuk isu berkenaan terhadap pemegang taruh dan pihak berautoriti dalam masa terdekat. "Saya rasa mungkin dalam masa terdekat ini (kita akan buat beberapa keputusan). Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024 – 2026 di Majlis Bandaraya, Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini. Sementara itu katanya, tindakan menyita peralatan perniagaan di premis GISBH perlu dijalankan mengikut peraturan sedia ada. "Kita akan tengok dari segi peruntukan dalam undang-undang apa yang peringkat PBT boleh buat. "Jadi biar kita ikut peraturan sebab kalau tidak ada risiko kena saman maka kita kena lebih cermat," ujarnya. Ketika ditanya mengenai penggantungan lesen GISBH berdasarkan keputusan muzakarah dibuat, beliau menyatakan pihaknya tidak mempunyai perkembangan berhubung isu tersebut setakat ini. "Belum ada perkembangan lagi dan kita tidak boleh tengok isu lesen dan premis sahaja. "Isu lain pun kita tengok supaya tidak timbul kelompongan dari segi penguatkuasaan yang boleh buka ruang kepada tindakan undang-undang lain. "Jadi kami akan ambil sedikit masa (berhubung tindakan gantung lesen) supaya lebih cermat," jelasnya.  
03 Oct 24
257
Sedia Santuni dan Jaga Kebajikan Mualaf di Terengganu
Sedia Santuni dan Jaga Kebajikan Mualaf di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Kerajaan negeri terus komited dalam memberi bimbingan keagamaan kepada mualaf dan seterusnya mempertingkat syiar Islam dan menjaga kebajikan sosioekonomi golongan berkenaan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya bersedia mengadakan pertemuan yang berimpak positif melalui pelbagai agensi kerajaan dengan kerjasama badan bukan kerajaan bagi menyantuni kebajikan golongan itu. Menurutnya, Konvensyen Terengganu Sejahtera 2024 yang buat pertama kali diadakan itu menjadi platform dalam menyatukan golongan saudara baru  bagi melahirkan kesejahteraan melalui dialog dan perbincangan yang diadakan. “Dalam konvensyen ini, kita  bawa satu mesej  iaitu Terengganu sebagai satu negeri maju, berkat dan sejahtera. Ini antara elemen untuk kita bawa kesejahteraan kepada rakyat dan perkara yang kita lihat adalah perkara kepelbagaian kaum dan kepelbagaian agama yang tidak boleh menjadi sebab rasa hilang kesejahteraan . “Jadi apa yang kita buat hari ini adalah merupakan satu langkah untuk membuktikan bahawa agama, bangsa dan seumpamanya adalah merupakan satu kesenian yang kita terima dan dipupuk,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis penutup Konvensyen Terengganu Sejahtera 2024 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini. Tambahnya, walaupun majoriti Islam di Terengganu lebih besar namun keharmonian terserlah sehingga kini tanpa adanya perbalahan kaum. “Inilah yang kita terjemah dan perkasakan di Terengganu bagi  melahirkan negeri maju, berkat dan sejahtera kerana dalam Islam, kita tetap  raikan hak-hak mereka. “Begitu juga dalam aspek bantuan , kita tidak melihat kepada warna kulit dan juga agama kerana kita tengok dari sudut sasaran yang wajar untuk menerima.  “Jadi bantuan untuk fakir miskin di kalangan muslim berlangsung dan untuk bukan Islam pun …kita akan bantu sebab itu tanggungjawab kita bagi membantu rakyat Terengganu,”ujarnya lagi. Sementara itu, Penolong Pengarah Akademi  Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Wan Ahmad Zuki  Wan Ismail  berkata  konvesyen ini merupakan sentuhan awal  daripada pihaknya sebagaimana cetusan dari pihak kerajaan negeri sendiri dalam mendekati golongan mualaf. “Kerajaan sentiasa menitik beratkan hubungan antara kaum jadi kita nak hilangkan jarak antara  muslim dengan bukan  muslim  di Terengganu supaya  masyarakat bukan Islam itu lebih mengenali saudara-saudara mereka yang  muslim. “Dalam masa yang sama,  masyarakat Islam jangan ada  ketakutan  untuk mendekati saudara-saudara  bukan muslim termasuk golongan mualaf,”katanya. Menurut Wan Ahmad Zuki, DUAT akan melaksanakan program-program seumpamanya pada akan datang pelbagai bentuk pengisian dan memperkasakan lagi dengan ruang lebih luas melalui sentuhan-sentuhan baru.  
02 Oct 24
167