lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

796 Petugas Kesihatan Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir
796 Petugas Kesihatan Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Seramai 796 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan digerakkan untuk membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini. Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasemani Embong berkata daripada jumlah itu, seramai 380 petugas akan mengendalikan aktiviti pencegahan di samping kawalan penyakit sebelum, semasa dan selepas banjir di PPS atau di kawasan yang terjejas banjir. Katanya, setiap pasukan kesihatan tersebut terdiri daripada tiga petugas iaitu penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pemandu. “Manakala seramai 416 petugas lagi akan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan jika berlaku sebarang kejadian kecemasan di PPS.  “Mereka terdiri daripada pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat terlatih, jururawat masyarakat dan pemandu yang sentiasa bersiap sedia apabila diarahkan dan apabila mengetahui ada PPS yang diaktifkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Kasemani juga berkata, JKN Terengganu akan memastikan kesiapsiagaan menghadapi banjir di semua daerah dilakukan dengan teliti dan menyeluruh.  “Walaupun kes COVID-19 di Terengganu telah menunjukkan trend penurunan ketara dan sekarang kita berada di dalam fasa hidup bersama COVID-19, tetapi langkah-langkah pencegahan mestilah sentiasa dititikberatkan bagi membendung penularan COVID-19 di PPS.  “Mangsa-mangsa banjir positif COVID-19 dan mereka yang bergejala respiratori digalakkan untuk sentiasa memakai pelitup muka terutama di kawasan banjir atau di PPS yang sesak,” ujarnya lagi.  Tambahnya, selain kesiapsiagaan sumber manusia, kesiapsiagaan di lapangan dari aspek risiko fasiliti kesihatan, ubat-ubatan, alatan dan ambulans serta lain-lain logistik juga telah dibuat persediaan dengan terperinci.  “Terdapat 43 fasiliti kesihatan pelbagai kategori (klinik desa, klinik pergigian, klinik kesihatan, hospital dan pejabat kesihatan) yang berisiko terlibat dengan banjir dan persiapan telah dibuat bagi menghadapi banjir termasuk pemindahan aset-aset kesihatan yang mungkin terlibat.  “Begitu juga pengurusan sajian iaitu penyediaan makanan untuk mangsa banjir di PPS mestilah bersih dan selamat untuk dimakan dan memastikan tidak berlaku penularan COVID-19 atau apa-apa penyakit di PPS,” jelas beliau.  
08 Oct 24
158
Terengganu ke Separuh Akhir Piala Tun Abdul Razak 2024
Terengganu ke Separuh Akhir Piala Tun Abdul Razak 2024
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober- Pasukan hoki lelaki Terengganu berjaya merebut slot separuh akhir dalam kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2024 selepas membenam pasukan Negeri Sembilan dengan jaringan 10-0, semalam. Ia hasil jaringan lima gol oleh pemain negara Faizal Saari dan hatrik daripada Mohamad Akhimullah Anuar Esook serta satu gol masing-masing daripada Muhammad Adam Haiqal Abdul Razak dan Darwisy Hamdan. Faizal menjaringkan golnya pada minit ke-22, 32, 41, 52 dan 54. Akhimullah Anuar Esook (ke-10, 14, 18), Darwisy Hamdan (ke-42) dan Adam Haiqal Abdul Razak (ke-53) membuat jaringan. Sementara, pasukan Wanita Terengganu berjaya mengikat pasukan yang dibarisi pemain Remaja Negara iaitu Young Tigress dengan keputusan 1-1. Piala Tun Abdul Razak 2024 diadakan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru bermula 2 hingga 12 Oktober ini .
08 Oct 24
836
Tour Gateh d'Tranung Pikat Pelumba Antarabangsa
Tour Gateh d'Tranung Pikat Pelumba Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober- Kejohanan Tour Gateh d'Tranung (TGdT) semakin mendapat tumpuan apabila penganjuran kali ketiga yang akan berlangsung 22-28 Oktober ini berjaya menarik penyertaan 10 pasukan berbasikal profesional luar negara. Pasukan dari Belanda, Global Cycling Team akan turut disertai Sunrimoon Cycling Team yang berpangkalan di China bersama tiga pasukan dari Indonesia iaitu NC Pro Cycling Team, Nusantara Cycling Team dan ASC Monster Cycling Team. Selain itu, ia turut disertai Australia Velofit Cycling Team, Grant Thorton Cycling Team (Thailand), Spacialized Maverick Cycling Team (Singapura), Seven Eleven Cycling Team (Filipina) dan RCF Cycling Team yang berpangkalan di Malaysia tetapi menampilkan gabungan pelumba Eropah dan Asia. Pasukan-pasukan itu melengkapkan jumlah 25 pasukan bertanding melibatkan 13 pasukan kelab profesional dan 12 pasukan kelab tempatan yang akan menakluki bumi Terengganu hujung bulan ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan, penglibatan pasukan-pasukan antarabangsa memberi keyakinan usaha mempromosikan negeri sebagai destinasi pelancongan sukan dan mengangkat Terengganu sebagai 'Land of Cyclist' berada di landasan yang betul. "Impak paling ketara, kelab luar berhasrat menyertai perlumbaan ini selepas habis siri kedua tahun lalu yang mana mereka terus hubungi kita untuk tempah slot bagi siri ketiga kali ini. "Antara punca penyertaan mereka rancak pada tahun ini adalah kerana 'live streaming' yang telah disediakan penganjur, bertambah berbanding dua pasukan (antarabangsa) sahaja tahun lalu. "Sebenarnya kita menerima tawaran lebih 30 pasukan, tetapi terpaksa dihadkan kepada 25 pasukan sahaja," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media TGdT di Wisma Darul Iman, hari ini. Hadir sama Timbalannya, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli, dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya. Hishamuddin menjelaskan, penganjur kejohanan menghadkan pasukan bagi menepati syarat Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang menetapkan bahawa setiap perlumbaan menerima penyertaan tidak melebihi 200 pelumba. Tambahnya, sekalipun kejohanan berkenaan belum bertaraf UCI, syaratnya diikuti dalam usaha meningkatkan nilai dan prestij kejohanan. TGdT menawarkan perlumbaan sejauh 671.3 kilometer merangkumi lima peringkat. Peringkat pertama akan bermula di Dungun, Marang (Peringkat kedua), Hulu Terengganu (ketiga), Kuala Nerus (keempat) dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu (kriterium).
07 Oct 24
625
Penjawat Awam Perlu Faham Lebih Mendalam Tentang SSPA
Penjawat Awam Perlu Faham Lebih Mendalam Tentang SSPA
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Program Sesi Libat Urus (SLU) Pekeliling Perkhidmatan Sistem Awam (SSPA) merupakan salah satu inisiatif Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memberi kefahaman lebih mendalam kepada penjawat awam mengenai sistem persaraan baharu yang diperkenalkan. Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Azizul Ab Hadi berkata, melalui program itu, penjawat awam diberi peluang untuk memahami dengan lebih jelas perubahan yang berlaku dalam sistem saraan mereka. “JPA sebelum ini juga telah mengadakan beberapa sesi melibatkan pihak berkuasa di setiap kementerian bagi memastikan kefahaman yang lebih mendalam mengenai pelaksanaan SSPA.  “Terengganu adalah negeri kedua selepas Selangor yang menyertai inisiatif ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Sesi Libat Urus (SLU) Pekeliling Perkhidmatan Sistem Awam (SSPA) Oleh Jabatan Perkhidmatan Awam  Malaysia di Dewan Besar Wisma Darul Iman, pada semalam. Menurutnya, kerajaan turut menekankan kepentingan mengambil peluang yang ada dalam program ini untuk bertanya persoalan mengenai perubahan dalam sistem saraan berkenaan. “Ini adalah peluang penting bagi penjawat awam untuk mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai SSPA. “Saya menggalakkan semua yang hadir untuk mengambil kesempatan ini dengan bertanya sebarang persoalan berlegar di fikiran mereka,” katanya. Tambahnya, pelaksanaan SSPA telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Awam (MAPA) yang berlangsung pada 16 Ogos 2024.  Antara kelebihan SSPA ialah termasuk peningkatan faedah persaraan dan pengurusan sumber manusia yang lebih fleksibel. “Apakah kebaikan SSPA berbanding Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk penjawat awam. "Tempoh dari 21 Oktober 2024 hingga 30 November 2024 akan menjadi peluang penting bagi penjawat awam untuk menilai dan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya dalam perancangan kerjaya mereka," soalnya. Penjawat awam digalakkan untuk menggunakan tempoh ini dengan sebaik-baiknya dan mempertimbangkan apa yang paling penting untuk masa depan mereka. Sistem SSPA berkuat kuasa untuk penjawat awam yang bersatus tetap manakala pegawai lantikan kontrak  tidak layak ditawarkan opsyen.
07 Oct 24
523
Aksi 'Orang Terbang' Tawan Jambatan Angkat
Aksi 'Orang Terbang' Tawan Jambatan Angkat
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober- Kejohanan Antarabangsa Paramotor Terengganu yang menutup tirai pagi semalam berjaya menarik kehadiran sekitar 20,000 pengunjung. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kehadiran seramai itu bagi acara yang julung kali diadakan merupakan satu respon positif terhadap penganjuran tersebut. "Terima kasih urusetia program yang mana saya difahamkan ada penglibatan 26 peserta seluruh negara selama tiga hari. Tentulah kita pertama kali menganjur, kita tidak dapat lihat sebegitu ramai pengunjung, tetapi sebagai (acara) pemula memang Terengganu sesuai. "Kita teruja dan sebagai kerajaan negeri, kita memang mahu program-program luar biasa yang memeberi cabaran kepada anak-anak muda Terengganu sebenarnya  dan untuk warga negeri dapat lihat apa itu paramotor. "Insya-Allah kita cuba cadang supaya program ini dimasukkan dalam Calendar of Event (COE) Terengganu dan diadakan sekitar bulan Mei dan Jun. Inilah percubaan kita dan insya-Allah akan 'move foward' dalam membuka lagi ruang-ruang untuk buat kejohanan bertaraf antarabangsa di sini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri kejohanan berkenaan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam. Hadir sama ialah Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu, Mazshida Ruslal, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadhli Jusoh dan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Dr. Nasree Najmi. Mereka diraikan wakil Malaysian Sport Aviation Feredation (MSAF), Aliyah Ihsan dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah TImur, Mohd Azizul Arif Yahaya. Berlangsung selama tiga hari, seramai 26 peserta seluruh negara mengambil bahagian dalam dua kategori dipertandingkan iaitu Trike Launch dan Foot Launch. Bagi Trike Launch, peluncur Hanizamal Abu Hanifah yang terkenal di media sosial sebagai Solo Ambush mengungguli tempat pertama dan membawa pulang pingat beserta hadiah wang tunai bernilai RM1,500. Manakala, kategori Foot Launch pula dimenangi peluncur berusia 17 tahun, Muhammad Adib Humaidi Muhammad Alias yang turut membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan pingat.  
07 Oct 24
1323
Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud Kembali?
Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud Kembali?
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober- Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM), satu acara ikonik yang melatari bandar Kuala Terengganu dikhabarkan akan kembali diadakan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris ketika ditanya tentangnya memaklumkan, beliau mengambil cakna tentang acara berkenaan. "LAJSM? Dalam perhatian saya dan kita jangka kebarangkalian akan dianjurkan dalam musim monsun, tetapi saya sedang berbincang dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang hendak menganjurkannya, kerana kerajaan negeri tidak terlibat dengan penganjuran secara khusus tetapi kita hanya pembimbing sisi sahaja. "Kita hendak orang yang ada roh untuk menjayakan satu-satu acara, kita boleh setuju tetapi jika kita tidak terperinci sebaliknya orang (penganjur) hanya untuk dapatkan bajet, kita tidak berminat. "Ramai yang minta untuk dipullihkan dan saya memang hendak pulihkan, saya hendak cuba jika sempat tahun ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kejohanan Antarabangsa Paramotor Terengganu di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam. Tambahnya, terdapat dua acara larian yang dicadangkan iaitu LAJSM dan Larian Drawbridge. "Tetapi saya rasa tahun ini kita akan buat satu dahulu, kalau LAJSM itu masih ada sejarah dan pelari-pelari masih mahukan, kita akan usahakan yang itu dahululah," katanya. Dalam pada itu, tinjauan di laman Facebook LAJSM mendapati hantaran terakhir di laman itu adalah pada tahun 2023, berkenaan operasi pemulangan semula bayaran kepada peserta LAJSM 202 yang dibatalkan akibat pandemik COVID -19.
06 Oct 24
2516
Terengganu Tarik Pelaburan RM3.1 Bilion Melalui ECERDC, Jana Lebih 5,000 Kerja
Terengganu Tarik Pelaburan RM3.1 Bilion Melalui ECERDC, Jana Lebih 5,000 Kerja
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Terengganu berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM3.1 bilion di negeri terbabit melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Menteri Besar, Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata daripada jumlah tersebut 98 peratus disumbangkan dalam sektor pembuatan selain sektor pelancongan yang akan mewujudkan sehingga 5,356 peluang pekerjaan serta 102 peluang keusahawanan. Menurutnya, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkaitan adalah sangat penting untuk menarik pelaburan baharu.  “Projek seperti Projek Pemacu Ekonomi (EAP) memainkan peranan strategik dalam menyelaraskan kementerian, agensi dan sektor swasta, serta membangunkan ekosistem ekonomi yang kukuh.  “Dengan penggunaan rel sebagai pemacu utama pertumbuhan di Pantai Timur, EAP akan merangsang ekonomi setempat dengan meningkatkan trafik penumpang dan barangan di sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).  “Bandar-bandar kecil seperti Jertih, Dungun dan Kerteh akan menerima manfaat besar daripada peningkatan keterhubungan rangkaian ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Terdahulu, Ahmad Samsuri telah mempengerusikan satu Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) di kediaman Seri Iman, baru-baru ini. Beliau juga berkata usaha tersebut  dijangka akan mengekalkan momentum negeri ke arah menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif dan menarik di Malaysia. Tambahnya lagi, ia  merupakan pencapaian penting bagi mencapai sasaran pelaburan Terengganu sebanyak RM4.2 bilion bagi tahun 2024, sekaligus mengukuhkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di kawasan ini.   
06 Oct 24
824
Musim Tengkujuh Pun Terengganu Dok Rilek!
Musim Tengkujuh Pun Terengganu Dok Rilek!
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Walaupun semakin menghampiri musim Monsun Timur Laut (MTL) atau tengkujuh, Terengganu terus giat mengadakan program-program pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke negeri pantai timur itu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, terdapat beberapa acara utama yang menarik bakal dilangsungkan sepanjang musim MTL kali ini. "Masih ada tiga bulan lagi sebelum MTL, acara kita lebih menghala kepada 'monsoon challenge' tetapi bukan di laut sebaliknya kita bertumpu ke Tasik Kenyir antaranya menerusi Monsoon Casting Tournament (MCT) untuk peminat kayak, kita juga ada 4x4 Rainforest Challenge untuk peminat pacuan empat roda, Kejohanan Motocross (Kemaman) dan sebagainya. tu yang kita beri tumpuan ketika MTL. "Selain itu, walaupun kerajaan negeri tidak pernah memberi arahan khusus untuk menutup pulau-pulau, saya dapat lihat pengusaha sendiri yang mengambil pendekatan merendahkan (mengurangkan) operasi. "Bukan (atas) faktor kerugian tetapi, dalam tempoh beberapa bulan inilah mereka mempromosikan chalet-chalet, resort mereka ke luar negara, bot-bot itu pula mereka baiki. Itulah tradisinya yang saya lihat di Terengganu dalam tempoh tiga bulan MTL," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Kejohanan Antarabangsa Paramotor Terengganu di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam. Kejohanan tersebut disertai 26 peserta dari seluruh negara melibatkan dua kategori pertandingan iaitu Trike Launch dan Foot Launch. Dalam pada itu, Razali memaklumkan musim tengkujuh di Terengganu semakin menjadi tumpuan pelancong dengan pengisian program-program seperti Terengganu Watersport Festival dan International Golden Monsoon Ride yang sering diadakan pada hujung tahun. "Sebenarnya, sudah bermula (musim tengkujuh) di mana hotel-hotel sudah mula beri diskaun yang tinggi untuk menarik pelancong dan puncaknya saya rasa pada hujung bulan ini, awal November sehingga Januari nanti," ujarnya.  
06 Oct 24
4261
Rezeki Tak Salah Alamat, Paksu Tomoi Terima Pakej Umrah
Rezeki Tak Salah Alamat, Paksu Tomoi Terima Pakej Umrah
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Rezeki tidak pernah salah alamat. Itulah yang berlaku pada seorang warga emas  apabila menerima tawaran mengerjakan umrah dari penganjur program permotoran RXZ Members 6.0 yang berlangsung di Terengganu baru-baru ini. Ismail Abdullah, 68 atau lebih dikenali sebagai Paksu Tomoi  tular di media sosial kerana komitmennya yang tinggi menyertai program tersebut walaupun sudah berusia malah sanggup menempuh perjalanan jauh dari Kuala Ketil, Kedah. Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, penghargaan itu dengan kerjasama Syarikat Hashwat Alharamayn & Tours khas bagi menghargai Paksu Tomoi diatas kesungguhan merentas perjalanan dua hala hampir 1,000 kilometer (km) dari Kedah.  "Biarpun sudah berusia, Paksu Tomoi sanggup datang ke Terengganu bersama RXZ kesayangannya bagi menyokong program yang dianjurkan sejak RXZ Members 1.0 berlangsung. "Paksu adalah ikon permotoran RXZ dan menjadi idola untuk peminat motosikal ini atas semangatnya. "Alhamdulillah, kita juga menerima pelawaan daripada sebuah syarikat agensi pelancongan yang berbesar hati menawarkan pakej umrah kepada beliau sebagai penghargaan buatnya," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. Hadiah tersebut disampaikan wakil pengurusan dan agensi pelancongan tersebut di kediaman Paksu di Kuala Ketil, Kedah, baru-baru ini. Mohamad Faizal berkata, Paksu dijadualkan mula berangkat mengerjakan umrah pada 20 November depan.  "Masa beri hadiah pakej umrah itu, mata Paksu nampak 'berkaca', seolah-olah terharu dan sebak dengan penghargaan yang kita berikan.  "Kita harap apa yang kita berikan kepada Paksu ini dapat memberikan kegembiraan dan Paksu sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik," ujarnya.  Sebelum ini, rakaman video tular memaparkan warga emas berserban menunggang motosikal Yamaha RX-Z untuk menyertai program RXZ Members 6.0 yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak mendapat perhatian pengguna media sosial. Rata-rata dalam kalangan mereka memuji kesungguhan lelaki tersebut kerana dalam masa yang sama turut singgah ke masjid untuk menunaikan solat bersama kumpulan anak muda yang berkongsi minat yang sama.  Program RXZ Members 6.0 yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada September lalu menarik penyertaan lebih 80,000 peserta dari seluruh negara.  
06 Oct 24
239
Usahawan Cendawan Terengganu Rancang Tembusi Pasaran Eksport
Usahawan Cendawan Terengganu Rancang Tembusi Pasaran Eksport
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Bermula sebagai projek kecil keluarga, seorang usahawan wanita dari Gong Penaga, Jabi, Terengganu kini mengorak langkah lebih jauh dalam industri penanaman cendawan dan merancang untuk menembusi pasaran eksport. Afizah Mat Sulaiman, 34, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi dan Pengurusan Perladangan dari UiTM pada tahun 2014, mula mengusahakan cendawan pada tahun 2014 sebelum mendaftarkan syarikatnya secara rasmi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun 2016.  Menurut Afizah, minatnya terhadap perniagaan ini tercetus selepas melawat beberapa ladang cendawan di sekitar Besut termasuk telah menjalani latihan praktikal di beberapa tempat semasa masih menuntut di universiti. "Rumah cendawan pertama dibina bersama keluarga menggunakan kayu-kayu terpakai dan pokok gelang yang terdapat di sekitar rumah," katanya ketika dihubungi pada hari ini. Beliau kini mengusahakan tiga jenis cendawan utama iaitu cendawan kukur (kulat sisir), cendawan tiram, dan cendawan jeli hitam secara kecil-kecilan.   Menurutnya lagi, bagi meningkatkan kecekapan perniagaan, dia merancang untuk memperluas pengeluaran cendawan kukur ke pasaran eksport kerana proses pengeringan yang mudah dan kandungan nutrien tinggi menjadikannya berpotensi untuk perubatan, kecantikan dan kesihatan. "Cendawan kukur memerlukan tempoh semusim selama sebulan, manakala cendawan tiram dan jeli hitam memerlukan empat bulan.  "Pengeluaran cendawan biasanya lebih tinggi pada musim hujan berbanding musim panas, namun harga pasaran agak tidak stabil disebabkan oleh lebihan bekalan, terutama untuk cendawan tiram.  "Sebaliknya, harga bagi cendawan kukur dan jeli hitam lebih stabil," ujar  Afizah yang mendapat modal permulaan daripada keluarganya. Berikut adalah harga pasaran semasa bagi cendawan yang diusahakan, cendawan kukur (borong) RM50/kilogram (kg), cendawan kukur (runcit) RM80/kg, cendawan tiram (borong) RM13/kg, cendawan tiram (runcit) RM18/kg, cendawan jeli hitam (borong) RM30/kg dan cendawan jeli hitam (runcit) RM40/kg.   Namun, cabaran besar dalam perniagaan ini adalah perubahan cuaca yang tidak menentu, yang mempengaruhi serangan penyakit ke atas tanaman. "Pada musim hujan, saya lebih menumpukan kepada pengeluaran cendawan kukur dan jeli hitam kerana kedua-dua jenis cendawan ini boleh dikeringkan dan dijual secara dalam talian, manakala cendawan tiram lebih sukar disimpan dan hanya boleh dijual dalam lingkungan sekitar ladang," tambahnya. Dengan modal permulaan sekitar RM10,000, Afizah banyak memanfaatkan sumber yang sedia ada seperti kayu terpakai untuk mengurangkan kos.  Afizah juga berkongsi bahawa beliau pernah menerima bantuan mesin dan bahan mentah daripada Jabatan Pertanian serta sokongan berterusan daripada Bahagian Pembangunan Industri Tanaman (BPIT), yang banyak membantu usahawan dalam bidang penanaman cendawan. "Khasiat cendawan kukur turut diakui dalam bidang perubatan kerana ia mengandungi schizophyllan, sejenis ramuan yang digunakan dalam ubat anti-barah khususnya barah serviks.  "Ia membantu meningkatkan sel imun yang berfungsi membunuh sel barah, virus, atau kuman yang menyerang badan," katanya. Kini, dengan kapasiti penuh, Afizah mampu menjana pendapatan sehingga RM15,000 sebulan.  Namun, disebabkan serangan perosak dan penyelenggaraan ladang yang sedang dijalankan, beliau hanya memperoleh sekitar RM2,000 sebulan buat masa ini.
06 Oct 24
947