lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

KPKT Beri Amaran, Jangan Jadikan PRR 'Homestay'
KPKT Beri Amaran, Jangan Jadikan PRR 'Homestay'
KUALA NERUS, 10 Oktober - Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi amaran kepada pemilik rumah Program Residensi Rakyat (PRR) yang menjadikan kediaman itu sebagai inap desa akan disenarai hitam. Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk  Aiman Athirah Sabu, berkata beliau tidak menafikan bahawa ada PRR yang dijadikan 'homestay' tetapi ia tidak serius dan pihaknya sentiasa membuat kajian dan audit dari semasa ke semasa. "Ada beberapa kes yang kita pernah jumpa. Sesiapa yang kita dapati menukar milik atau menjual pula kepada pihak lain, kita akan mengambil tindakan tegas dan kalau ada yang menjadikannya 'homestay' mereka tidak akan dapat lagi rumah PRR ini. "Ini termasuk tindakan tegas yang akan dikenakan kepada pemilik yang menukar milik atau menjual rumah berkenaan kepada pihak lain," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci PRR Bukit Nenas, di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah. Kata Aiman, projek PRR tersebut melibatkan pembinaan 500 unit rumah pangsa jenis 'walk-up' berkeluasan 700 kaki persegi di atas tanas seluas 17.4 ekar dengan kos peruntukan Kerajaan sebanyak RM96.15 juta.  "Ia dilengkapi kemudahan seperti taska, tadika, dewan komuniti, surau dan unit kedai dan gerai untuk kemudahan penduduk setempat dan kawasan sekitarnya," jelas beliau. Tambahnya lagi, harga seunit rumah ialah RM 45,000, ditawarkan kepada golongan B40 yang berpendapatan isi rumah antara RM1,500 hingga RM4,000 sebulan melalui pembiayaan kerajaan negeri. Sementara itu, Aiman juga berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dgn semua pihak termasuk negeri-negeri untuk program kebajikan rakyat. "Kalau kerajaan negeri dapat sediakan tanah yang strategik untuk kita dirikan PRR ini, kita akan usaha sungguh-sungguh untuk dapatkan dana bagi realisasikan pembinaannya," katanya. Menurut beliau, terdapat dua projek PRR di Terengganu iaitu di Padang Hiliran dan Bukit Nenas manakala satu projek sedang dalam pembinaan iaitu di Besut dan satu lagi dalam perancangan iaitu di Jeram, Manir.
10 Oct 24
241
Nahas Pelajar UiTM Dungun, MB Terengganu Rakam Ucapan Takziah Kepada Keluarga
Nahas Pelajar UiTM Dungun, MB Terengganu Rakam Ucapan Takziah Kepada Keluarga
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober -  Kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang terlibat dalam kemalangan ngeri semalam. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga menzahirkan rasa  dukacita buat semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian menyayat hati tersebut. "Tiga daripadanya meninggal dunia manakala seorang sudah stabil dan sedang dirawat di Hospital Dungun yang difahamkan kesemua mangsa berasal dari luar Terengganu. "Takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa atas kejadian yang menyayat hati ini. Semoga diberi kesabaran dan kekuatan atas ujian yang menimpa. "Semoga kesemua mangsa yang meninggal dunia juga dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya dalam satu hantaran di facebook rasminya hari ini. Semalam, tiga pelajar lelaki UiTM Kampus Dungun maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah selepas dua motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV). Tiga mangsa yang maut itu ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Tukirin, 25. Seorang lagi mangsa yang cedera parah ialah Muhammad Ammar Danish Mohd. Ridhuan, 20. Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.20 malam di hadapan kampus berkenaan di Kampung Sura Hujung. Nahas itu dikatakan berlaku apabila motosikal yang dinaiki mereka secara tiba-tiba dirempuh Honda CRV yang dipandu seorang wanita dari arah belakang. 
10 Oct 24
364
Mangsa Banjir, OKU Terharu Impian Miliki Rumah Tertunai
Mangsa Banjir, OKU Terharu Impian Miliki Rumah Tertunai
KUALA NERUS, 10 Oktober - Setelah tertangguh beberapa waktu, penduduk di sini dapat menarik nafas lega apabila menerima rumah yang dinanti-nantikan sejak sekian lama. Kegembiraan dan rasa terharu itu dikongsikan penerima projek perumahan tersebut termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mangsa banjir. Khairul Anuar Ali, 43 tahun, yang berstatus OKU menzahirkan rasa gembira dan teruja apabila dapat memiliki kediaman sendiri setelah sekian lama diidamkan. “Saya tidak mampu lagi bekerja sejak beberapa tahun yang lalu dan kini hanya menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara bulanan dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) secara tahunan. "Sudah tentu saya sangat gembira apabila dapat memiliki rumah sendiri pada hari ini setelah hanya mampu menyewa (rumah) sebelum ini. “Ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim yang banyak membantu saya dengan menghulurkan keperluan asas secara bulanan dan banyak memudahkan urusan saya sehingga dapat memiliki rumah sendiri,” ujarnya ketika ditemui pemberita. Dia berkata demikian selepas diraikan dalam Majlis Penyerahan Kunci Program Residensi Rakyat (PRR) bersama 500 penerima di Bukit Nenas hari ini. Dalam pada itu, Adnan Yunoh, seorang guru agama yang mempunyai 14 orang anak meluahkan perasaan gembira tidak terhingga apabila menerima kunci rumah itu setelah menempuh ujian banjir setiap tahun. “Selama ini hanya menumpang di rumah keluarga, setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh, kami memang wajib berpindah ke pusat pemindahan banjir, itu sudah biasa bagi kami sekeluarga. "Kami hanya mampu bersabar dengan dugaan tersebut, apabila dapat rezeki rumah yang Allah kurnia ini, saya rasa sangat bersyukur. Terima kasih sebanyaknya diucapkan kepada kerajaan yang bersusah payah dan mengambil tanggungjawab demi memudahkan urusan rakyat,” katanya. Sementara itu seorang anak muda dari Tok Jiring, Mohd Zulkifli Mat Din, 29, sangat teruja kerana dapat memiliki kediaman sendiri di usia muda, "Terima kasih kepada pihak kerajaan setelah berjaya menyediakan fasiliti kemudahan kepada rakyat Terengganu khususnya bagi penduduk kawasan Kuala Nerus," jelasnya. Untuk rekod, Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melancarkan projek PRR Bukit Nenas pada tahun 2018 yang menelan kos RM96 juta. Projek itu bagi membangunkan 500 unit rumah pangsa lima tingkat, dan menawarkan lima unit khusus untuk golongan OKU. Di samping itu turut disediakan fasiliti asas seperti surau, taska, tadika dan taman permainan.
10 Oct 24
622
Sultan Mizan Labuh Tukun Pulihara Sumber Perikanan Terengganu
Sultan Mizan Labuh Tukun Pulihara Sumber Perikanan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli menyempurnakan Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda di Perairan Marang, hari ini. Dalam program yang bermula di Jeti Duyong Marina Resort, keberangkatan tiba baginda pada jam 9.00 pagi disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim. Hadir sama menyambut keberangkatan tiba baginda ialah ketua-ketua jabatan dan sebahagian pegawai-pegawai kerajaan negeri. Sultan Mizan (berbaju biru) melakukan selaman dasar. Sebaik berangkat tiba, Tuanku Mizan berkenan menandatangani plak perasmian disaksikan tetamu yang hadir. Bagi meneruskan program, Timbalan Mufti Negeri Terengganu, Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar membacakan doa. Sultan Mizan kemudian berkenan menaiki bot Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu yang mula bergerak ke lokasi melabuh tukun tiruan pada jam 9.15 pagi di kawasan Alur Tuman. Sultan Mizan berkenan melakukan selaman dasar bagi menyempurnakan simbolik program dengan meletakkan plak perasmian ke dalam tukun. Sebanyak 20 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Marang pada program ini merupakan sebahagian daripada 100 unit tukun yang dibina dan dilabuhkan menerusi Program Memperkayakan Sumber Perikanan Marin Negeri Terengganu bagi tahun ini. Sebelum ini, sebanyak 20 tukun telah dilabuhkan di sekitar perairan Dungun, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dengan kos projek berjumlah RM3.1 juta. Pada 5 Oktober lalu juga, Sultan Mizan telah berkenan menandatangani plak perasmian 'Pembangunan 500 Tukun (5 Tahun) Tiruan Garisan Sempadan Zon Persisir Pantai Perairan Terengganu'. Melaluinya, kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk mewujudkan garisan semladan tukun di sepanjang 244 kilometer pantai negeri ini. Ia merupakan usaha jangka masa panjang bagi menangani isu kekurangan sumber dan pendapatan nelayan seterusnya meningkatkan sosioekonomi rakyat Terengganu.
10 Oct 24
373
Terengganu Sokong Usaha Cungkil Bakat Sukan di Akar Umbi
Terengganu Sokong Usaha Cungkil Bakat Sukan di Akar Umbi
KUALA NERUS, 10 Oktober - Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menyokong sebarang usaha untuk mempergiatkan pembangunan sukan di akar umbi menerusi penganjuran kejohanan sukan di pelbagai peringkat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata,  pembangunan yang sistematik bermula daripada peringkat akar umbi, mampu memajukan sukan tanah air. “Kita mempunyai ramai pemain berbakat dan mereka perlu digilap daripada peringkat kampung lagi agar suatu masa nanti, kita mempunyai pemain yang berkualiti tinggi. “Kerajaan negeri menyokong penuh usaha untuk mengadakan pertandingan sukan termasuk bola sepak di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). “Jika memerlukan sebarang bantuan daripada Kerajaan Negeri, kita boleh berbincang, sebelum ini dah banyak kita keluarkan peruntukan untuk membantu pembangunan sukan di akar umbi,” katanya dalam program ‘Temu Mata Anak Muda’ di Warung Pok Pin, Kampung Padang Maras, Batu Rakit semalam. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan anak muda DUN Batu Rakit berhubung penganjuran sukan bawah 20 tahun.  Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Harun Esa. Dalam perkembangan lain, menjawab pertanyaan tentang pembinaan rumah untuk belia, Hishamuddin berkata agenda itu sentiasa menjadi tumpuan Kerajaan Negeri. “Sudah banyak projek perumahan yang meliputi pelbagai peringkat umur kita bina walaupun ada kekangan tertentu. Yang pastinya, penyaluran Dana Khas atau royalti yang tidak mengikut kebiasaan menambahkan kerumitan pihak kerajaan negeri.  "Insya-Allah di sebalik tekanan yang ada, kita akan terus berusaha bagi memastikan rakyat Terengganu yang layak menikmati kemudahan ini," katanya. Untuk rekod, program 'Temu Mata Anak Muda' semalam adalah siri kedua selepas DUN Langkap. Program tersebut bagi menyampaikan peralatan sukan kepada pihak DUN di samping slot sembang santai anak muda berkait Kerajaan Negeri dan isu setempat.
10 Oct 24
206
EPIC Berhad, MRL Kerjasama Teroka Integrasi ECRL
EPIC Berhad, MRL Kerjasama Teroka Integrasi ECRL
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Corporation Berhad (EPIC Berhad) dan Malaysian Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah menjalinkan kerjasama strategik bagi mengintegrasikan operasi syarikat terbabit dengan rangkaian Projek Laluan Rel Pantai Timur (REL). Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, memorandum yang ditandatangani itu selari dengan usaha kerajaan negeri untuk memaksimakan potensi Pelabuhan Kemaman sebagai hab maritim dan logistik serantau. "Bertepatan dengan kerancakkan semula industri perdagangan dan perkapalan global, bukan sekadar 'oil and gas' semata-mata. "Ini dapat memastikan kelancaran integarasi operasi logistik Epic Berhad dengan rangkaian ECRL, khususnya di laluan pemisah atau 'spurline' di Pelabuhan Kemaman. "Sekali gus meningkatkan kecekapan pengendalian kargo selain merealisasikan sasaran menjadikan Pantai Timur sebagai hab logistik pilihan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU tersebut di Dewan Gamelan 3, Primula Beach Hotel, di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ts. Muhtar Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato' Sri Darwis Abdul Razak. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri merakamkan penghargaan kepada Loke atas usaha untuk memaksimakan impak positif dalam projek infrastruktur berskala besar. "Seperti ECRL ini yang merentasi beberapa negeri khususnya Negeri Terengganu, tentunya kerjasama seperti ini adalah amat penting agar ECRL ini dapat dimanfaatkan semaksimanya," ujar beliau.  
09 Oct 24
505
Kerajaan Negeri Sedia Hadapi Isu Penduduk Semakin Menua
Kerajaan Negeri Sedia Hadapi Isu Penduduk Semakin Menua
KUALA NERUS, 9 Oktober - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mewujudkan warga emas yang berdikari, dihormati serta mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif sebagai usaha mendepani cabaran Negara Menua 2030. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim berkata semua pihak harus menyantuni dan memberikan kehidupan selesa kepada warga emas atas jasa dan peranan penting yang telah ditabur sepanjang usia mereka. “Pihak kami bersama JKM kini mempersiapkan golongan tersebut untuk menghadapi hari tua melalui pendidikan dan mampu berhadapan dengan apa jua situasi. "Warga emas perlu diberi perhatian khusus dari segi penjagaan dan sokongan, baik secara fizikal mahupun emosi agar mereka merasa dihargai dan dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. “Contohnya kalau seorang anak tidak menjaga ibu atau bapa mereka, golongan ini masih lagi boleh berdikari , tidak ‘stres’ dengan apa yang berlaku dan mampu meneruskan kehidupan seharian tanpa bantuan anak-anak,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini semalam. Tambah Maliaman, warga emas juga merupakan tunjang kepada kekuatan komuniti pada hari ini dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda. "Mereka telah melalui pelbagai cabaran hidup, perubahan sosial, kemajuan teknologi dan ekonomi, menjadikan mereka adalah guru yang tak ternilai bagi generasi muda hari ini. “Kepada warga emas, jagalah kesihatan dengan baik kerana kesihatan kita adalah aset yang paling berharga dan kita mahu hidup dan berfungsi dengan baik di usia emas,” ujarnya. Hari Warga Emas disambut 1 Oktober setiap tahun bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan warga emas ke arah pembangunan negara dan bangsa dengan tema tahun ini 'Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas'.  
09 Oct 24
194
JKM Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir
JKM Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir
KUALA NERUS, 9 Oktober - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)Terengganu bersiap sedia untuk berdepan kemungkinan Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal berlaku tidak lama lagi. Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri , Mazura Ngah Abdul Manan berkata, tahap kesiapsiagaan kini lebih 90 peratus dengan baki tugas yang lain akan diselesaikan sebelum akhir Oktober ini. Menurutnya, seramai 686 petugas terdiri daripada 334 pegawai dan kakitangan, 11 pegawai psikologi, kaunselor dan 97 pasukan sokongan psikologi termasuk  244 sukarelawan juga sudah bersedia dan hanya menunggu masa untuk dipanggil. “Barangan makanan dan keperluan lain seperti selimut, kain, tuala, tikar dan sabun akan mula dihantar dan diagihkan secara berperingkat ke 152 pangkalan hadapan seluruh negeri termasuk Pulau Redang dan Pulau Perhentian bagi mengelakkan berlakunya kelewatan bantuan. “Pasukan kita juga telah bersedia dari segi fizikal dan mental terutama faktor ‘main power’ termasuk persiapan-persiapan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang terdapat di seluruh negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui  selepas perasmian Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini semalam. Tambah Mazura, bekalan dianggarkan mencukupi walaubagaimana sekiranya berlaku banjir diluar jangkaan, pihaknya akan membuat permohonan kepada kerajaan persekutuan dan negeri untuk membuat tambahan belian. Menurutnya lagi, secara umumnya, JKM sudah membuat persediaan sebagai langkah menghadapi bencana dengan mengenalpasti dan menyediakan sebanyak 590 PPS yang boleh memuatkan seramai 147,590 mangsa membabitkan sekolah, balai raya dan dewan orang ramai. Mengulas tentang cadangan pengunaan kod QR di PPS bagi melancarkan proses pendaftaran penduduk terjejas banjir di Terengganu, beliau berkata ia adalah pendekatan baru yang boleh dilaksanakan. “Pelaksanaan kod QR di semua PPS yang dibuka  memudahkan  penyaluran maklumat dan bentuk bantuan yang disalurkan. “Namun bagi di PPS yang menghadapi masalah terputus talian internet, kita tetap menggunakan pendaftaran secara manual,”ujarnya.  
09 Oct 24
483
Imej, Nama Disalahguna, Amzad Harap Orang Ramai Tidak Terpedaya
Imej, Nama Disalahguna, Amzad Harap Orang Ramai Tidak Terpedaya
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober- Imej dan nama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim terus disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan, termasuk 'love scam'. Menurut beliau, meskipun pelbagai laporan telah dibuat kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak hampir empat tahun lalu, isu tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya.  “Akaun palsu terus muncul sebaik sahaja akaun terdahulu dipadam, seolah-olah tumbuh seperti cendawan selepas hujan. “Saya sangat khuatir dengan kemunculan akaun palsu yang menggunakan foto dan identiti saya ini kerana ia bukan sahaja memperdaya mangsa tetapi juga mencemarkan nama baik saya,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam. Tegas Amzad, beliau tidak bertanggungjawab atas sebarang bentuk penipuan yang menggunakan gambar atau namanya. “Saya menyeru semua untuk berhati-hati dan tidak terpedaya dengan akaun-akaun palsu ini. Jika anda terjumpa atau menjadi mangsa penipuan seperti ini, sila buat laporan kepada pihak polis dan SKMM dengan segera. “Saya akan terus berusaha untuk menangani isu ini dan berharap kerjasama semua pihak dalam memerangi penipuan ini,” katanya.
09 Oct 24
120
10 Keluarga di Pulau Redang Terima Rumah Pemberian Kerajaan Negeri
10 Keluarga di Pulau Redang Terima Rumah Pemberian Kerajaan Negeri
SETIU, 8 Oktober - Seramai 10 keluarga di Pulau Redang menzahirkan kesyukuran apabila menerima kunci Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Pulau Redang bagi penyerahan kali kedua. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah ketika menyempurnakan penyerahan replika kunci merakamkan penghargaan buat semua pihak yang terlibat hingga mampu menyiapkan projek tersebut. “Sebanyak 101 unit telah diterima penduduk ketika penyerahan pertama pada September 2022, yang mana telah tertunggak sejak 2013, dan pada hari ini ditambah lagi 10 unit daripada jumlah 160 unit keseluruhannya, bakinya akan diserahkan dengan kadar segera selepas dibaik pulih. “Hari ini saya bersama Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) meninjau dan melihat kerja-kerja sedang dilakukan oleh kontraktor, kita merasakan dapat menyelesaikan dengan segera bagi unit-unit yang terlibat dan berharap serahan akhir dapat dibuat dalam tempoh segera bagi penduduk Pulau di sini. “Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihati penduduk yang telah atau bakal mendiami kawasan ini supaya dapat menjaga persekitaran ini sebaik mungkin, terutama dari aspek kebersihan dan keselamatan atau apa-apa perkara yang boleh memberikan kebahagiaan dan keselesaan penghuni di sini,” katanya ketika ditanya pemberita selepas menyempurnakan penyerahan replika kunci rumah RPMM pada hari ini. Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri; Ir Saiful Azmi Suhail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit; Mohd Shafizi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PMINT; Dato’ Wan Adnan Wan Derahman. Dalam pada itu, salah seorang penerima yang berasal, Izyani Mohamed Noor meluahkan rasa syukur dengan penyerahan itu yang dinanti sekian lama. “Saya seorang ibu tunggal yang memiliki tiga orang anak, sebelum ini menetap bersama keluarga. "Saya sangat gembira dapat terima rumah pada hari ini, saya mengucapkan terima kasih kepada PMINT dan juga Kerajaan Negeri kerana memberi penyelesaian kepada kami,” ujarnya.  
08 Oct 24
703