Artikel "Utama" Terkini
Perodua Myvi, RM37,000 Hadiah Buat Yang Bertuah di IGMR 2024
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Terengganu Inc. Challenge Series: International Golden Monsoon Ride 2024 (IGMR2024) bakal menawarkan hadiah lumayan berkeseluruhan RM37,000 bagi acara yang dipertandingkan, dan sebuah Perodua Myvi sebagai hadiah utama untuk cabutan bertuah pada edisi kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim percaya, hadiah lumayan yang ditawarkan bakal menarik minat peserta tempatan dan luar negara.
“Selain kenderaan tersebut sebagai hadiah utama, pelbagai hadiah istimewa turut ditawarkan melalui cabutan bertuah seperti wang tunai, sebuah basikal, barangan elektrik dan elektronik seperti iPhone 15, iPad, TV Flat Screen, peti sejuk dan lain-lain.
“Cabutan bertuah ini bertujuan untuk menambah kemeriahan acara dan menghargai penyertaan aktif daripada semua pihak.
“Kejohanan ini merupakan salah satu daripada acara Terengganu Inc Challenge Series yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan Negeri, bermula sejak tahun 2019 dan kini memasuki edisi keenam, IGMR 2024 dijangka bakal menarik lebih 1,000 peserta tempatan dan juga dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran IGMR 2024 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini semalam.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Terengganu Inc; Burhanuddin Hilmi Mohamad@Harun, Pengarah Eksekutif TDM Berhad; Najman Kamaruddin dan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT); Ahmad Azizi Zulkifli.
Pelumba profesional terkenal dari Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Saleh, telah diumumkan sebagai ikon jersi rasmi kejohanan.
Tambah Hishamuddin, Penganjuran IGMR 2024 bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuhkan sukan berbasikal di Malaysia, tetapi juga sebagai usaha memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi utama bagi pelancongan sukan dan mempromosikan gaya hidup sihat melalui sukan berbasikal, juga sebagai hab sukan bertaraf antarabangsa.
“Program seperti ini dapat memupuk semangat perpaduan, mengeratkan hubungan antara komuniti setempat dan menggalakkan semangat kesukanan dalam kalangan rakyat.
“Ia juga meningkatkan rasa bangga terhadap negeri Terengganu yang bergelar sebagai ‘Land of Cyclists’ dengan menawarkan pengalaman berbasikal mencabar, namun mempesonakan melalui laluan-laluan yang penuh dengan pemandangan indah dan juga penuh cabaran.
“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada penganjur utama tahun ini TDM Berhad, dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), PLBT, TSG, dan syarikat-syarikat GLC di bawah payung Kumpulan Terengganu Inc, moga dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.
Untuk rekod, kejohanan tersebut terbuka kepada semua yang berjaya mendaftarkan diri sebelum 20 Oktober, dan bakal berlangsung pada 14 Disember di PSKT.
Acara yang dipertandingkan adalah MTB Race and Jamboree sejauh 30 km melibatkan 12 kategori iaitu Elite, Men Open A, Men Open B, Men Master A, Men Master B, Men Veteran A, Men Veteran B, Men Junior, Women Open, Women Super Mama, E-Bike dan Heavy Weight.
Selain itu, terdapat kategori Fun Ride (on road) sejauh 39 km bagi peserta yang minat berbasikal tetapi tidak bertanding.
Maklumat lanjut mengenai IGMR 2024 boleh didapati di laman sosial rasmi Terengganu Inc Challenge Series.
13 Oct 24
326
Operasi Penangkapan, Pelupusan Anjing Liar Ikut SOP KPKT
BESUT, 13 Oktober - Operasi penangkapan dan pelupusan anjing liar di daerah ini telah dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB), Mohd Sukeri Ibrahim berkata, kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini berlaku pada 6 September 2024.
Katanya, operasi itu dilaksanakan dengan peruntukan Seksyen 30, Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Besut) 1990
“Undang-undang itu memperuntukkan mana-mana anjing sama ada berlesen atau tidak, yang pemunyanya tidak ditemui, boleh dibinasakan atau dilupuskan sebagaimana yang diarahkan oleh Yang Di Pertua atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa.
“Dakwaan anjing yang digelar 'Kopi', dibiarkan selepas operasi adalah tidak benar kerana berdasarkan SOP MDB, anjing tersebut akan ditanam. Namun ketika itu, pegawai operasi dihalang oleh pengadu dan tidak dapat mengambil bangkai anjing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Sukeri berkata, operasi penangkapan dan pelupusan anjing liar dibuat selepas menerima banyak aduan daripada orang awam kerana boleh mengancam orang ramai.
“Bermula Januari 2024 sehingga September 2024, MDB telah menerima 62 aduan gangguan anjing liar daripada orang awam dan telah membuat 131 tangkapan anjing liar di seluruh kawasan di daerah Besut.
“Pihak MDB juga turut menerima aduan daripada orang awam berkenaan sekumpulan anjing liar yang berada di sekitar BSN Jerteh yang bertindak agresif dengan menyerang dan mengganggu orang awam yang melalui kawasan itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama bersama badan bukan kerajaan (NGO) untuk penyelesaian terhadap aduan anjing liar yang saban tahun semakin meningkat.
13 Oct 24
350
GBS Marang Jadi Hub Pertama di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) di Marang merupakan yang pertama di Pantai Timur bakal menjadi hub penting bagi perkhidmatan inovasi dan teknologi yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan sekali gus menarik para pelabur yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, secara tidak langsung GBS bakal menjadikan Terengganu sebagai destinasi perniagaan yang akan dikenali dunia.
Menurutnya, pusat GBS akan berperanan sebagai pusat kemudahan digital dan penrniagaan kepada rakyat memenuhi kehendak masa kini sekali gus bertepatan dengan visi kerajaan negeri di bawah Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu.
"Di bawah pelan ini, kerajaan negeri Terengganu membuat perancangan untuk jangka masa panjang bagi menjana pendapatan baharu dari sumber yang lebih pelbagai dan pembukaan pusat ini akan menyokong perancangan pelan tersebut.
"Selain dari meningkatkan kecekapan operasi syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri Terengganu khususnya dan saya percaya potensi yang dimiliki oleh pusat GBS ini.
"Tengok kepada fasiliti, kemudahan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak saya percaya ia akan muncul sebagai 'centre' yang sangat penting dan dikenali bukan sahaja dalam negara kita bahkan di seluruh dunia, insya-Allah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Pusat GBS Pertama di Pantai Timur, Dewan Kristal Redang, KompleksTM Medah jaya, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri mengharapkan agar para pelabur dan peniaga sama ada dari syarikat kecil atau syarikat besar di luar sana khususnya dari Terengganu akan menjadi faktor untuk negeri ini menjadi salah satu destinasi perniagaan.
"Penubuhan pusat ini juga akan memastikan negeri kita mempunyai persekitaran kondusif untuk kejayaan mereka (pelabur dan peniaga).
"Banyak perkara yang boleh dimanfaatkan melalui penubuhan GBS ini dan saya percaya syarikat-syarikat yang berada di bawah kerajaan negeri, di bawah GLC negeri akan berunding dan bebrincang dengan TM One untuk sama-sama kita mewujudkan kerjasama PINTAR.
"Mewujudkan kerjasama bagi meningkatkan kecekapan syarikat-syarikat dan juga membantu mengupayakan lagi TM One, insya-Allah," jelasnya lagi.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada pasukan TM yang diyakini ia merupakan salah satu kejayaan yang penting untuk syarikat terbabit.
"Saya percaya ia merupakan salah satu milestone yang penting kepada TM dan juga kepada daerah Marang dan juga negeri Terengganu secara khususnya," ujarnya.
13 Oct 24
3012
Nahas Pelajar UiTM Dungun: Muhammad Ammar Danish Dibenarkan Keluar Hari Ini
DUNGUN, 13 Oktober -- Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, yang cedera akibat rempuhan berhampiran UiTM Dungun, di sini, dibenarkan keluar dari hospital hari ini.
Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, 20, itu dibenarkan pulang selepas lima hari dirawat di hospital itu sejak Rabu lepas.
Menurutnya, Muhammad Ammar Danish akan dihantar pulang ke kediamannya di Keramat, Kuala Lumpur menggunakan ambulans UiTM bersama keluarganya.
"Kita tengok dia tak trauma sangat. Cuma proses penjagaan dan kaunseling akan disediakan UiTM termasuk hospital dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diteruskan untuk mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan dirinya down,”ujarnya.
"Sebab kejadian yang berlaku itu besar di mana tiga rakannya meninggal dunia. Insya-Allah pihak hospital akan terus beri perhatian dari sudut rawatan mental dan begitulah selebihnya," katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar itu di Hospital Dungun, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Maliaman turut merakam ucapan takziah atas kejadian menimpa semua mangsa.
“Kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu sekiranya memerlukan sebarang keperluan.
“Ketika musibah ini berlaku, kita nampak kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan rawatan terbaik dapat diberikan kepada Muhammad Ammar Danish," katanya.
Dalam kejadian pada 7.35 malam Rabu lepas, Muhammad Ammar Danish dan tiga lagi rakannya yang menaiki dua buah motosikal dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta utiliti sukan (SUV) dipandu seorang wanita berusia 49 tahun yang dipercayai menghidap penyakit mental.
Impak rempuhan itu menyebabkan dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan meninggal dunia di lokasi akibat patah tulang leher dan cedera pada bahagian kepala serta dada.
13 Oct 24
983
KPM Kenalpasti 401 Sekolah Sebagai PPS di Seluruh Negeri
KUALA NERUS, 13 Oktober - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenalpasti 401 sekolah yang akan dijadikan penempatan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk masyarakat setempat bagi kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir tidak lama lagi.
Ketua Pengarah KPM, Azman Adnan berkata, semua sekolah yang dijadikan PPS telah bersedia untuk menerima kemasukan mangsa banjir.
Menurutnya, ia susulan Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kemungkinan banjir berlaku lebih awal berikutan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka melanda pada minggu keempat bulan ini.
"Selain itu, 65 sekolah pula berisiko banjir dan terkepung, semua persiapan termasuk berkaitan peperiksaan yang mungkin berlangsung pada tempoh banjir telah pun diberi taklimat kepada JPN seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri Terengganu 2024 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini semalam.
Tambahnya lagi, bagi sekolah-sekolah yang berisiko dilanda banjir atau terkepung (tiada laluan keluar masuk) juga telah disediakan pelan alternatif yang sesuai.
"Semua ini dirancang rapi agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan seperti biasa sepanjang banjir melanda kelak," katanya.
Dalam masa sama, pihaknya juga turut mengaktifkan jawatankuasa banjir di peringkat negeri-negeri bagi memperkukuhkan
semua perancangan telah diatur rapi dalam memastikan semua warga pendidik di seluruh negara mampu berdepan bencana itu dengan lebih terurus dan baik.
13 Oct 24
158
Lapan Tahun Menanti, Terengganu Genggam Piala Tun Abdul Razak
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober- Pasukan Hoki Terengganu mengakhiri kemarau kejuaraan selama lapan tahun dengan merangkul Piala Tun Abdul Razak 2024, malam tadi.
Kejayaan bersejarah itu hadir selepas Terengganu bangkit dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Taman Daya, Johor Bahru.
Skuad kendalian Asrul Hisyam Ahmad itu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kejohanan terbabit sekalipun dikejutkan jaringan awal tuan rumah menerusi Muhammad Faris Ros Fadillah pada minit ke-26.
Terengganu bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi Muhammad Adam Haiqal Abdul Razak sebelum Muhammad Aiman Nik Rozemi meletakkan Terengganu di depan 2-1 dengan jaringan pada minit ke-43.
Johor cuba bangkit untuk meraih detik bersejarah di halaman sendiri, tetapi penjaga gawang Speedy Tigers, Zaimi Mat Deris kemas menjaga pintu gol Terengganu.
Kemenangan tersebut menyaksikan Terengganu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 berserta trofi yang merupakan gelaran ketiga pada kejohanan itu selepas berbuat demikan pada 2012 dan 2016.
Penyerang, Faizal Saari juga meraih anugerah penjaring terbanyak kejohanan selepas meledakkan 19 gol untuk Terengganu.
Pencapaian menjulang Piala Tun Abdul Razak 2024 menjadi detik penuh warna-warni skuad hoki Terengganu setelah menamatkan saingan sebagai naib juara pada saingan Liga Hoki Malaysia tahun ini.
Dalam pada itu, jutaan tahniah turut dirakamkan buat Pasukan Hoki Wanita Terengganu atas kejayaan meraih tempat ketiga dalam Piala Tun Abdul Razak edisi ke-62.
13 Oct 24
608
MBKT Nafi Tembak Mati Anjing
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menafikan anggotanya menembak mati seekor anjing sebagaimana dakwaan yang sedang tular di media sosial.
MBKT ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, setiap operasi penangkapan anjing liar hanya menggunakan kaedah penahanan perangkap sahaja sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
"Tiada operasi kami menggunakan kaedah tembakan sama ada menggunakan peluru hidup atau pelali.
"Lagipun MBKT tiada senapang untuk digunakan dalam sebarang operasi," kata MBKT ringkas sebentar tadi.
Justeru pihak MBKT menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita tidak betul hingga mencetuskan persepsi salah dalam kalangan masyarakat.
Walau bagaimanapun MBKT memandang serius jika perkara itu berlaku di luar pengetahuan mereka.
"MBKT akan menyiasat perkara ini, kita memohon agar semua bertenang," ujar MBKT.
Sejak petang tadi, tular satu video di media yang mendakwa pihak berkuasa tempatan bertindak kecam terhadap anjing.
Video tersebut mendapat lebih 500 ribu tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang awam sehingga ada yang melemparkan fitnah tidak berasas.
11 Oct 24
1764
Usahawan Terengganu Disaran Terokai Pasaran Luar Negara
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober- Usahawan bumiputera di negeri ini disaran menerokai dan memperluaskan perniagaan sehingga dapat menembusi pasaran luar negara yang dilihat mempunyai potensi besar.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Arifin Deraman berkata, usahawan tidak perlu mengehadkan fikiran mereka dalam persekitaran negara sahaja kerana mereka perlu melihat dunia luar dan kemampuan untuk bersaing di peringkat rantau dan global.
“Sebagai contoh, syarikat pengedar dan pengeluar makanan berasaskan tepung milik Bumiputera di daerah ini iaitu Muslim Food Industries (MFI) yang telah bertapak di negeri ini sejak lebih sedekad lalu kini semakin berkembang maju.
“Saya yakin dan optimis MFI yang telah berjaya mengusai pasaran semenanjung dapat melangkah lebih jauh sehingga boleh eksport produk keluaran mereka ke luar negara ditambah dengan penggunaan teknologi dan inovasi baharu oleh syarikat terbabit,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang MFI bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), semalam.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri ingin melihat lebih banyak usahawan dan syarikat bumiputera yang berjaya dan dapat bersaing di pasaran global sekali gus akan memberikan sumbangan positif kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Malah kerajaan negeri melalui YPU menyediakan pelbagai pembiayaan selain khidmat nasihat bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.
11 Oct 24
253
'Smart Terengganu 2040' Bakal Realisasikan Bandar Pintar
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Kerajaan negeri optimis Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu atau 'Smart Terengganu 2040' akan menjadi rujukan dalam menginspirasikan inisiatif bandar pintar di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, 'Smart Terengganu 2040' bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan teknologi dan pelaksanaannya malah turut mengambil kira pendekatan pembangunan pintar yang mengamalkan prinsip-prinsip Islam dalam semua aspek kehidupan.
Katanya, insiatif bandar pintar itu akan membawa Terengganu ke tahap yang lebih tinggi dari segi teknologi, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
"Selain dapat meningkatkan taraf hidup rakyat, ia juga akan memperkukuhkan kedudukan Terengganu sebagai salah satu destinasi pilihan pelaburan dan inovasi di Malaysia.
"Tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini telah berjaya menyediakan pelan tindakan bandar pintar di peringkat daerah masing-masing hasil kerjasama erat dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (PLANMalaysia Terengganu)
"Tiga PBT tersebut ialah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Majlis Daerah Marang (MDM)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Terengganu Smart City Activation Day 2024 (TSCA 24) di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, di sini.
Katanya, Smart Terengganu 2040' adalah langkah penting dalam memacu Terengganu ke arah menjadi negeri yang lebih maju, lestari, dan berdaya saing di peringkat global melalui transformasi bandar pintar dan ekonomi digital.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran TSCA 24, beliau mengharapkan ia dapat menjadi platform terbaik bagi semua pihak berbincang dan mengupas idea-idea baharu berkaitan dengan bandar pintar dan pelaksanaannya di negeri ini.
"Di Terengganu, inisiatif bandar pintar ini adalah selaras dengan hasrat negeri untuk menjadi sebuah negeri ‘technologically- advanced economy and digitally-driven state’ iaitu negeri yang akan dipandu oleh teknologi digital dalam pelbagai aspek yang berbeza disamping menyasarkan pembangunan bandar yang lebih inklusif, berdaya tahan dan lestari.
"Ini termasuklah keadilan sosial, kesejahteraan masyarakat, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan yang beretika.
"Hasil komitmen semua pihak, Insya-Allah impian ini akan dapat direalisasikan dan memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya dari segi ekonomi, pendidikan dan pelancongan," katanya.
11 Oct 24
1633
SG4 Perkasa Dakwah, Bukan Hanya Berorientasi Pelaburan
KOTA BHARU, 11 Oktober - Kerjasama yang terjalin antara negeri membentuk 'State Government 4' (SG4) bukan hanya berorientasi pelaburan bagi memperkukuhkan ekonomi tetapi turut mencakupi aspek yang lain termasuk memperkasakan dakwah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis akan mengeratkan lagi kerjasama dalam memastikan agenda dakwah menjadi keutamaan bersama.
"Insya-Allah kita akan bekerjasama dengan lebih erat dalam aspek yang berkait dengan portfolio khususnya dalam bidang dakwah.
"Dengan mengambil semangat 'SG4' bukan sahaja dalam bidang pelaburan dan pembangunan insan bahkan juga dalam bidang dakwah ini.
"Antara benda menarik yang kita boleh dapat hasil daripada pertemuan ini ialah pengalaman Kelantan berkenaan dengan cara berdakwah kepada masyarakat bukan Islam untuk dibawa balik ke negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan kerja ke Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, pertemuan itu sangat bermakna khususnya dalam berkongsi pengalaman dalam memperkasakan syariat Islam.
"Apabila kita berbincang tadi ada beberapa perkara yang perlu diselaraskan bagi memperkasakan dakwah kepada kelompok sasaran serta bukan Islam dan segmen syariah.
"Melalui jabatan-jabatan tertentu seperti Jabatan Agama, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Pendakwaan Syariah dan juga rakan-rakan strategik yang lain.
"Apa yang penting kita ingin mencapai objektif melalui beberapa penyelarasan program dengan kita saling mempelajari dari apa yang dilalui oleh Terengganu di bawa ke Kelantan dan pengalaman di Kelantan di bawa ke Terengganu untuk manfaat seluruh rakyat," katanya.
11 Oct 24
141