Artikel "Utama" Terkini
SUKSEM : Regu Wanita Bantu Terengganu Raih Emas
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Pasukan badminton Terengganu memperoleh emas setelah regu wanitanya berjaya menghadiahkan kemenangan dalam aksi penentu di perlawanan akhir menentang Sabah di Temasya Sukan SUK Se-Malaysia Kali Ke-9.
Terengganu walaupun pada awalnya selesa mengatasi Sabah 2-0 melalui regu pegawai dan regu veteren, terpaksa berhempas pulas setelah Sabah berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi dua regu dalam acara terbuka.
SUK Terengganu berjaya dinobatkan pemenang pingat emas setelah regu wanitanya mencipta kemenangan sekali gus meletakkan kedudukan akhir 3-2.
Pengurus Badminton, SUK Terengganu, Mohd Asrur Omar berkata kemenangan di peringkat akhir itu menjadi bonus buat pasukannya dan melepasi sasaran.
"Ini merupakan satu bonus untuk kita menjuarai kejohanan badminton SUKSEM pada kali ini kerana pasukan yang kita hadapi bukan calang-calang sebaliknya merupakan juara bertahan pada edisi yang lepas.
"Alhamdulillah, ini merupakan kejayaan yang cukup bermakna setelah kita mengharungi segala cabaran yang boleh dikatakan semua negeri yang menyertai acara ini menghantar pasukan yang kuat," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kewangan) berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Perlawanan Akhir Kejohanan Badminton SUKSEM di Stadium Negeri, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pada edisi yang lalu Terengganu hanya mampu melangkah sehingga ke peringkat suku akhir
"Tahniah juga kepada pasukan saya atas kemenangan ini setelah berusaha dan memberikan komitmen yang terbaik terutamanya kepada pemain, tiada dilupakan pihak pengurusan arasan dari Pejabat SUK yang turut hadir memberikan sokongan," ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausa Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan) , Ab Rasid Jusoh telah menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan badminton itu iaitu Terengganu (emas), Sabah (Perak) dan Sarawak (gangsa).
17 Oct 24
721
SUKSEM: Atlet Pingpong Kedah Meninggal Dunia
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Pemain pingpong kontinjen SUK Kedah, Abdul Halim Md. Daud, 54, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), kira-kira jam 9.15 malam tadi.
Setiausaha Kerajaan Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sukan SUK Se-Malaysia Ke-9 (SUKSEM IX), Tengku Seri Bijaya Raja menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan kontinjen Kedah berikutan kehilangan itu.
Beliau berharap keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan reda dengan kehilangan insan tersayang itu.
Pada kejadian sebelah petang tadi, Allahyarham Abdul Halim Md. Daud, 54, dikejarkan ke Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA), selepas tidak sedarkan diri, ketika menyertai perlawanan di Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Nerus.
Pada awalnya, Allahyarham mengadu tidak sedap badan ketika berehat sejurus menamatkan acara itu.
Allahyarham dipindahkan dari HoSZA ke HSNZ untuk diberikan rawatan rapi kira-kira jam 6.20 petang.
Difahamkan, keluarga allahyarham dari Kedah juga sudah selamat tiba di Kuala Terengganu bagi urusan menuntut jenazah dan dibawa pulang ke kampung halaman.
16 Oct 24
591
SUKSEM: Atlet Kedah Kritikal, Dikejarkan ke HoSZA
KUALA NERUS, 16 Oktober - Seorang atlet ping-pong SUK Kedah dikejarkan ke Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA), selepas tidak sedarkan diri, ketika kejohanan berlangsung sebentar tadi.
Dikhabarkan pesakit, Abdul Halim Md. Daud, 54, pada awalnya mengadu tidak sedap badan ketika berehat sejurus selepas menamatkan acara bagi kategori veteran sempena Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX) di Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Nerus, di sini.
Menurut Pegawai Perhubungan (liaison officer) Kontinjen SUK Kedah, Muhammad Shafiee Abdullah, mangsa kemudian meminta pasukan perubatan untuk membuat rawatan awal sebelum dihantar ke HoSZA.
"Daripada maklumat doktor, pada peringkat awal dimasukkan ke hospital jantungnya tidak berdenyut.
"Setelah beberapa prosedur dijalankan jantung berfungsi semula tetapi, beliau masih dalam keadaan kritikal.
"Beliau kini dalam pemantauan rapi doktor dan dalam proses untuk dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman.
Muhammad Shafiee turut memaklumkan, pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci mengenai insiden berkenaan serta akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja dan Ketua Kontinjen Kedah, Dato' Dr Nadzman Mustaffa berada di HoSZA untuk mengikuti perkembangan lanjut keadaan dan proses rawatan.
16 Oct 24
10835
Air Pasang Besar, 41 Kampung Berdepan Risiko Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Sebanyak 41 buah kampung yang berisiko dilanda banjir akibat fenomena air laut pasang tinggi yang dijangka berlaku malam esok (17 Oktober) hingga 25 Oktober depan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Terengganu kesemua kampung tersebut berisiko dinaiki air kerana terletak di 12 muara sungai utama di Terengganu.
Justeru itu katanya, beliau menasihatkan penduduk sekitar perlu lebih berhati-hati dan bersedia untuk berpindah sekiranya perlu.
"Berdasarkan rekod JPS Terengganu, terdapat 10 kampung berisiko banjir yang terletak di dua muara iaitu muara Sungai Terengganu dan muara Sungai Ibai.
"Kampung tersebut ialah Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Pulau Rusa, Kampung Pak Tuyu, Tanjung Gelam, Kampung Ulu Takir, Seberang Takir, Kampung Kubang Ikan, Taman Purnama dan Kampung Kuala Ibai," katanya kepada pemberita.
Tambah Hanafiah, di daerah Marang terdapat dua muara iaitu Sungai Marang dan Sungai Merchang melibatkan lima kampung iaitu Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua, Kampung Rhu Rendang, Kampung Merchang dan Kampung Pulau Rusa Baru.
Sementara di daerah Dungun pula, terdapat tiga muara sungai utama iaitu muara Sungai Dungun, muara Sungai Paka dan muara Sungai Sura yang melibatkan 13 buah kampung.
“Kampung yang berisiko itu ialah Kuala Paka, Tebing Tembah, Durian Mentangau, Pinang Merah, Kampung Sura, Teluk Bidara, Seberang Pintasan, Che Lijah, Alor Makbah, Tanjung Jara, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang,”ujarnya.
Manakala di daerah Besut pula, beliau berkata kampung yang terletak di muara sungai dan berisiko banjir ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Nail, Teluk Budu dan Kampung Pantai.
"Di Setiu pula, terdapat dua muara iaitu Sungai Setiu dan Sungai Merang melibatkan enam kampung iaitu Kampung Telaga Papan, Kampung Gong Batu, Pengkalan Gelap, Kampung Fikri, Kampung Limau Lipis dan Kuala Setiu,”ujarnya.
Sementara itu bagi daerah Kemaman pula terdapat, dua muara iaitu Sungai Kemaman dan Sungai Kemasik melibatkan empat kampung iaitu Pengkalan Cicar Bukit Kuang, Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Kampung Bakau Tinggi dan Kampung Baru Kemasik.
16 Oct 24
12243
SUKSEM: Atlet Terengganu Perlu Manfaat Kelebihan Tuan Rumah
KUALA NERUS, 16 Oktober- Atlet Terengganu yang bersaing di pentas Temasya Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX) perlu menggunakan segala kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk mempamerkan persembahan terbaik dalam sukan dipertandingkan.
Ketua kontinjen, Yusaini Amir Mohamad Nor berkata, kesempatan yang ada sebagai tuan rumah perlu direbut untuk bergelar johan SUKSEM IX.
"Dari segi persediaan, auranya bermula sebelum SUKSEM lagi sebab kita telah tahu sejak dua tahun lalu kita akan jadi tuan rumah, yang mana masing-masing telah ada iltizam dalam diri untuk bersedia, dari segi tempat. Semua itu menjadi kelebihan kepada kita sebagai tuan rumah.
"Kalau kita tengok keputusan setakat hari pertama (semalam), ada beberapa acara yang kita telah dapat keputusan luar biasa sedangkan kita membariskan atlet yang sama sebagaimana dua tahun lalu dengan penambahan muka baru sekitar 10 ke 20 peratus sahaja, tetapi hasil diperolehi nampak berlainan pada saingan hari pertama.
"Mungkin itu adalah kelebihan yang dimanfaatkan atlet-atlet kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Majlis Santai YBM Setiausaha Kerajaan Terengganu bersama YB Setiausaha Kerajaan-kerajaan Negeri di Darul Syakirin, semalam.
Tambah Setiausaha Bahagian (Kerajaan Tempatan) itu saingan tahun ini dilihat lebih mencabar terutama bagi atlet tuan rumah.
"Dari segi saingan, Sarawak memang negeri yang menjadi saingan mungkin kerana ia johan sebelum ini. Tetapi saingan dari negeri lain tidak boleh dipandang mudah, semuanya hebat-hebat.
"Kepada atlet yang bertanding, jangan kita ambil mudah tetapi gunakan peluang sebenarnya dengan keadaan padang yang kita berlatih di situ, dari segi pergerakan kita yang mudah serta acara-acara pilihan juga merupakan kegemaran kita (Terengganu).
"Misalnya, acara bola tampar yang kurang memberi peluang kepada kita, ditukar kepada acara boling padang yang menjadi kekuatan kita," katanya.
16 Oct 24
258
SUKSEM : Terengganu Tunjuk 'Nelang'
KUALA NERUS, 16 Oktober - Pasukan Ping- Pong Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu mempamerkan semangat juang tinggi menundukkan SUK Pulau Pinang 5-0.
Dalam perlawanan yang diadakan di Dewan Jubli Perak, di Pejabat Daerah Kuala Nerus itu menyaksikan Terengganu menang selesa menerusi kelima-lima regu.
Pada awalnya didahului oleh beregu lelaki veteran mengatasi Pulau Pinang dengan mata, 11-2, 11-3, 11-6.
Momentum itu diteruskan lagi menerusi acara beregu wanita terbuka yang turut menyaksikan laluan mudah untuk pasukan tuan rumah dengan mata, 11-6, 11-1 dan 11-6.
Menerusi regu campuran, Terengganu mengandakan aksi bagi memastikan kemenangan menjadi milik mutlak Sang Penyu dengan Pulau Pinang ditundukkan dengan kiraan mata, 11-1, 11-5 dan 11-1.
Terengganu telah menang bergaya ketiga-tiga set mengatasi lawan, namun tidak menerusi beregu lelaki terbuka.
Walaupun pada peringkat awal Terengganu berjaya mengatasi Pulau Pinang dengan kiraan mata 11-5, namun pada set kedua Pulau Pinang berjaya bangkit mengatasi tuan rumah dengan mata, 7-11.
Dengan semangat yang dimiliki, pasukan Terengganu akhirnya kembali bangkit mengatasi Pulau Pinang dengan kiraan mata, 12-10 dan 11-8.
16 Oct 24
1751
SUKSEM: Bola Sepak Terengganu Layak Ke Suku Akhir
KUALA NERUS, 16 Oktober- Setelah seri 2-2 dengan Sabah pada aksi peringkat Kumpulan B semalam, pasukan Terengganu bangkit mengatasi Pahang dalam perlawanan kedua untuk layak ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak SUKSEM IX 2024.
Pada perlawanan yang berlangsung pagi tadi, Terengganu mendahului Pahang1-0 pada separuh masa pertama, namun pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada awal babak kedua.
Kedua-dua pasukan berhempas-pulas menambah jaringan untuk merebut tempat ke suku akhir dan Terengganu akhirnya memperoleh peluang terbaik apabila dihadiahkan sepakan penalti.
Mendahului 2-1 hasil jaringan menerusi sepakan penalti, Terengganu berjaya menjarakkan kedudukan dengan satu lagi jaringan bagi menutup peluang Pahang untuk mara.
Pengurus pasukan, Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, sebagai tuan rumah, Terengganu perlu menyajikan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.
"Semalam kita ada peluang (untuk menang), tetapi tidak dapat diterjemahkan kepada gol. Kita mendahului 2-0 bagaimanapun, kelekaan menyebabkan Sabah dapat menyamakan kedudukan dalam tempoh kurang 10 minit.
"Hari ini pula, kita ambil mudah ketika lawan Pahang, kemungkinan pemain fikir kita dapat seri dengan Sabah jadi ambil mudah bertemu Pahang yang tewas dengan Sabah semalam.
"Alhamdulillah, kita menang dan kalau ikut keputusan hari ini, kita layak ke suku akhir untuk bertemu pasukan dari Kumpulan D samada Sarawak, Negeri Sembilan dan Perlis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Tambahnya, peluang ke suku akhir perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
"Kita bermain sebagai tuan rumah, jadi apa yang disasarkan ialah untuk layak ke peringkat akhir.
"Mungkin di kalangan pemain, perlu lebih banyak bermain secara berpasukan bukannya untuk tunjuk kemahiran dalam permainan.
"Lebih-lebih lagi ketika bermain secara karnival ini, kita perlukan rehat yang cukup, mengelakkan kecederaan serta tidak mengutip kad yang sia-sia," ujarnya.
16 Oct 24
1965
SUKSEM: Pasukan Lawn Bowl Terengganu 'Comeback' Bergaya
KUALA NERUS, 15 Oktober- Pasukan Boling Padang Terengganu melakukan kejutan apabila bangkit mengatasi pasukan Perlis 5-0 untuk kemenangan pertama dalam aksi peringkat kumpulan acara boling padang Temasya Sukan SUK Se- Malaysia Kali ek-9 (SUKSEM IX), hari ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Arena Lawn Bowl Terengganu itu, Perlis pada awalnya mendahului Terengganu dalam kategori regu lelaki, regu wanita dan wanita bertiga menjadikan kedudukan 3-2.
Namun, pada masa berbaki sekitar 15 minit terakhir, regu lelaki yang ketinggalan dengan mata 1-7 bangkit mengatasi lawan untuk menang dengan keputusan 10-8.
Semangat kebangkitan turut meresap kepada regu wanita yang sebelum itu ketinggalan 10-11, dan mereka juga melakukan 'comeback' dengan kemenangan 18-11.
Ketika loceng masa dibunyikan, Terengganu selesa dengan kemenangan dalam empat kategori untuk mendahului lawan setelah dua kejutan dilakukan dan keputusan selesa pasukan regu campuran (menang 17-6) serta lelaki bertiga (37-2).
Tetapi, pasukan wanita bertiga yang masih terikat mata 8-8 dengan Perlis pada set terakhir berjaya mendapatkan satu mata untuk melengkapkan kemenangan selesa pasukan Terengganu.
Terengganu menang 5-0 ke atas Perlis dan turut menewaskan Sarawak 4-1, pada sebelah petang dalam satu lagi aksi peringkat kumpulan.
15 Oct 24
592
SUKSEM : Platform Bertukar Pandangan Bukan Sekadar Membuktikan Kekuatan
KUALA NERUS, 15 Oktober - Para kontinjen di Temasya Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) diingatkan agar tidak menjadikan acara sukan itu sebagai gelanggang untuk beradu kekuatan semata-mata sebaliknya ia perlu dijadikan platform untuk saling bertukar pandangan memperkasakan negeri masing-masing.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata selain itu ia juga boleh dijadikan medan untuk menjalinkan persahabatan serta kesatuan yang kuat antara semua kakitangan pejabat-pejabat SUK seluruh Malaysia.
"Temasya SUKSEM pada kali ini bakal memperlihatkan sebanyak 12 pejabat SUK seluruh Malaysia yang berentap merebut johan keseluruhan menerusi 10 acara yang dipertandingkan.
"Temasya pada kali ini melibatkan seramai lebih 2,448 atlet, pegawai dan urus setia kejohanan daripada 12 pejabat SUK seluruh Malaysia.
"Ini tidak termasuk ketua-ketua jabatan yang turut hadir menyokong pasukan masing-masing yang akan bertanding serta pasukan teknikal kejohanan yang akan menjayakan temasya sukan ini yang dianggarkan lebih 500 orang yang akan turut serta," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Temasya SUKSEM Kali Ke-9, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, semalam.
Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mengulas lebih lanjut, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, penganjuran sukan itu pada kali ini akan turut memberi rangsangan ekonomi kepada penduduk setempat.
"Ini dapat membantu ekonomi penduduk tempatan di sekitar Kuala nerus dan Kuala Terengganu khususnya yang akan mendapat limpahan ekonomi daripada penganjuran pada kali ini," ujar beliau.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri merakamkan tahniah atas kejayaan penganjuran SUKSEM itu.
"Saya difahamkan pejabat SUK Terengganu hanya mengambil masa kurang dua bulan dilantik sebagai tuan rumah buat pertama kalinya terus mengambil tanggungjawab dan memulakan persiapan ke arah pelaksanaanya pada kali ini.
"Mewakili kerajaan negeri, saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola dan seluruh jentera, persatuan-persatuan sukan, para kontinjen dan semua yang terlibat kerana dapat berganding tangan menjayakan Temasya SUKSEM Kali Ke-9 yang gemilang ini," ujarnya.
15 Oct 24
303
SUKSEM IX Himpun 2,448 Atlet di Terengganu
KUALA NERUS, 14 Oktober - Seramai 2,448 atlet dari seluruh negara berhimpun di Terengganu bagi menjayakan Temasya Sukan SUK Se- Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX) yang bermula hari ini.
Temasya sukan dwi tahunan itu mempertandingkan 10 jenis sukan pada edisi kali ini iaitu bola jaring, bola sepak, sepak takraw, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, golf, karom dan e-sukan.
Dalam acara pembukaan yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar dengan gimik meletakkan obor SUKSEM IX di pentas utama.
Selaku tuan rumah, kontinjen SUK Terengganu hadir dengan 204 atlet bagi merebut tampuk kejuaraan SUKSEM IX sepanjang empat hari kejohanan berlangsung.
Berdsarkan rekod, SUKSEM pertama kali diadakan pada 2004 dengan lima acara dipertandingkan.
Pada tahun tersebut, kontinjen SUK Sabah muncul sebagai juara sulung.
Manakala, penganjuran edisi terakhir yang berlangsung di Selangor pada 2022 menyaksikan kontinjen SUK Sarawak dinobatkan sebagai juara.
14 Oct 24
373