Artikel "Utama" Terkini
Karnival Pantai 2024 'Muzium Hidup' Telusuri Tradisi Terengganu
KUALA NERUS, 18 Oktober - Karnival Pantai 2024 menghimpunkan keunikan budaya, seni dan warisan daerah-daerah yang ditonjolkan kepada pengunjung untuk merasai sendiri gaya hidup masyarakat Melayu tradisional.
Berkonsepkan 'muzium hidup', pelbagai persembahan budaya, permainan rakyat serta aktiviti seni dan warisan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, karnival itu adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk memastikan Terengganu berkembang sebagai destinasi pelancongan negara.
"Pameran seperti bangsal tradisi dan karnival makanan yang dianjurkan kali menunjukkan usaha kerajaan negeri dalam memastikan tradisi Terengganu terus kekal.
"Setiap daerah menghias bangsal mereka dengan bahan-bahan semula jadi seperti pelepah kelapa, daun nipah dan buluh untuk menyampaikan kepada generasi muda serta masyarakat luar tentang kebudayaan, warisan negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Pantai 2024 di Pantai Teluk Ketapang, di sini semalam.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab Rasid Jusoh dan Datuk Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif.
Tambahnya, bangsal tradisi terbabit akan dinilai dengan pemarkahan merangkumi hiasan dan aktiviti bangsal.
Bangsal terbaik akan memenangi hadiah utama bernilai RM50,000.
Dalam karnival itu juga, produk-produk industri kecil sederhana (IKS) berasaskan pelancongan dan seni budaya turut dijual dan dipamerkan kan.
Karnival Pantai berlangsung selama empat hari sehingga 20 Oktober nanti.
Ini adalah kali ketiga ia dianjurkan setelah kali terakhir diadakan pada 2019.
19 Oct 24
338
Sis Be Fit Galak Wanita Hidup Sihat
KUALA TERENGGANU, 18 Oktober – Program Sis Be Fit (Green Fun Walk) mendorong wanita di negeri ini untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah yang mudah tetapi berkesan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, berkata acara ini sejajar dengan tema 'hijau' yang dipilih bagi menyatakan kecintaan terhadap alam sekitar dan solidariti bersama rakyat Palestin, bersempena setahun tragedi Taufan Al Aqsa.
“Program ini bukan sahaja menggalakkan aktiviti berjalan kaki, tetapi juga bertujuan mendidik masyarakat untuk lebih aktif dalam aktiviti fizikal serta mencapai tahap kecergasan yang lebih baik.
"Selain itu, program ini juga menjadi platform untuk menyatukan masyarakat setempat, khususnya wanita, agar terus komited dalam menyahut seruan kerajaan untuk membudayakan sukan dalam kehidupan seharian," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Sis Be Fit (Green Walk) yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.
Beliau menekankan bahawa inisiatif ini amat penting memandangkan wanita, sama ada yang bekerja mahupun suri rumah, sering menghadapi kekangan masa untuk bersukan.
"Program ini menawarkan cara mudah bagi wanita untuk menjaga kesihatan melalui aktiviti yang tidak memakan masa lama, tetapi memberikan impak positif.
“Dengan program seperti ini, kita berharap agar wanita Terengganu lebih aktif bersukan dan dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Ini juga selaras dengan usaha kerajaan melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030), yang memfokuskan pembangunan insan dan ekonomi secara holistik," tambahnya.
Selain itu kata Maliaman, pelancaran Dasar Wanita Terengganu pada September 2022 juga merupakan langkah penting dalam melindungi dan memperkasa wanita di negeri ini.
"Beberapa program hiburan dan sukan seperti Alamanda Fun Run, Sukan Untuk Wanita (SUKWA), dan Terengganu Hijab Day (THD) telah dianjurkan selaras dengan garis panduan hiburan patuh syariah," katanya lagi.
Justeru, beliau berharap program Sis Be Fit (Green Fun Walk) dapat membuka jalan kepada lebih banyak inisiatif serupa pada masa hadapan, sekali gus memperkukuhkan sokongan terhadap gaya hidup sihat dalam kalangan wanita di Terengganu.
19 Oct 24
162
Terengganu Sambut Baik Akta 852, Kawalan Rokok dan Vape
BESUT, 17 Oktober - Kerajaan Negeri menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan satu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang mula dikuatkuasakan sejak 1 Oktober baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pihaknya sedia bekerjasama dari segi penguatkuasaan dan menaiktaraf undang-undang sedia ada demi kesihatan rakyat di negeri ini.
“Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyahut saranan KKM untuk menguatkuasakan akta yang baru dilancarkan.
“Kita juga sedang merangka satu peraturan baharu supaya tidak membenarkan premis menjual rokok terutama rokok elektronik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan rakyat pada Program Dialog Exco di Dewan Merdeka Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini, baru-baru ini.
Turut serta sebagai ahli panel, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri; Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri; Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Wan Sukairi percaya Akta 852 itu bakal menjaga dan mengawal golongan belia daripada terjebak dengan aktiviti yang boleh merosakkan kesihatan.
“KKM telah meletakkan peraturan dan syarat yang sangat ketat, antaranya ialah penjualan kepada remaja di bawah umur, ia satu kesalahan berat andai menjual kepada individu di bawah umur.
“Zon larangan merokok juga ditambah kepada 28 tempat seluruhnya, seperti larangan merokok di kedai berhawa dingin, premis kerajaan, stadium atau pusat kecergasan, dobi, cafe internet, kompleks sukan, kawasan institusi pendidikan, lif atau tandas awam, dan banyak lagi tempat yang telah digazetkan.
“Negeri ini juga telah mewujudkan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) seperti pusat peranginan Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, yang telah diwartakan sejak 2018.
“Di daerah Besut kita buat di Dewan Merdeka Kota Putera Square ini, ada tujuh lokasi semuanya di seluruh Terengganu.
“Seterusnya, pengenalan kawalan produk alternatif seperti rokok elektronik termasuk vape, produk ini tertakluk juga kepada peraturan sama dengan rokok kebiasaan, sekarang vape sudah disamakan dengan rokok,” jelasnya.
Untuk rekod, Akta 852 juga mengawal segala bentuk iklan, promosi, penajaan yang berkaitan dengan produk rokok, pengiklanan secara langsung atau tidak, adalah dilarang di semua platform media termasuk media sosial.
Beliau juga percaya dengan peranan pihak kerajaan ini dapat mengawal rakyat dari terkena denda atau hukuman yang serius, juga dapat mendidik masyarakat tentang bahaya aktiviti merokok.
“Jika tuan/puan melanggar undang-undang demikian, boleh dikenakan kompaun atau denda yang tinggi, juga boleh disabitkan hukuman penjara, terhadap penjual atau pengguna.
“Dalam masa yang sama, pendidikan kesihatan awam akan dilakukan secara berkala untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat, bahawa merokok ini patut dihindarkan, bukan sahaja membazir wang ringgit, tapi mengakibatkan kesihatan terancam,” ujarnya.
19 Oct 24
249
JPS Giat Tambahbaik 17 Siren Amaran Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu kini sedang giat melakukan penambahbaikan 17 siren amaran banjir bagi mendepani Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 yang dijangka bermula pertengahan Oktober 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata ia adalah antara langkah kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana itu, selain persiapan berbentuk logistik, bekalan makanan, serta persiapan di pusat pemindahan.
Menurut beliau, pihaknya akan memastikan kesemua kemudahan stesen hujan dan stesen paras air berfungsi dengan baik terutamanya di lokasi tumpuan kawasan banjir.
"Ia termasuk 10 kamera litar tertutup (CCTV), 64 stesen hujan telemetri dan 15 stesen air telemetri yang dihubungkan dengan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negeri (PRABN) di sini.
“Justeru itu, kerajaan negeri menerusi JPS Negeri Terengganu membuat persiapan rapi melalui kemudahan stesen dan peralatan berkenaan sebagai langkah awal sekiranya berlaku banjir.
"Dengan membuat persiapan yang sewajarnya sepanjang MTL, kita akan dapat mengurangkan impak bencana banjir dan sebagainya serta memastikan tiada kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda yang teruk," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Tambah Hanafiah, setakat ini JPS telah melakukan kerja penyelenggaraan dan pengujian pada awal Oktober termasuk melakukan kerja pembaikian terhadap siren amaran bunyi yang bermasalah.
Dalam masa sama, beliau berkata orang ramai perlu cakna dan ambil tahu bunyi siren amaran banjir sebagai langkah kesiapsagaan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Hanafiah turut menasihatkan orang ramai, khususnya mereka yang tinggal berhampiran sungai supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir besar.
19 Oct 24
288
SUKSEM: Skuad Karom 'Jentik' Emas Buat Terengganu
KUALA NERUS, 18 Oktober - Satu lagi pingat emas berjaya dijelmakan kontinjen SUK Terengganu dalam Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX), hari ini.
Kali ini, pingat emas kelima Terengganu hadir menerusi pasukan Karom yang berjaya mengatasi Sarawak 3-1 dalam perlawanan akhir, sebentar tadi.
Dalam penentuan tempat ketiga pula, Pulau Pinang akhirnya berjaya meraih gangsa setelah mengheret Perak sehingga ke set penentuan sebelum menang tipis 3-2.
Kejayaan skuad karom mencerahkan peluang Terengganu merebut kembali gelaran juara Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2016.
Setakat ini, kontinjen SUK Terengganu telah berjaya meraih enam pingat emas masing-masing menerusi e-Sport, tenpin boling, boling padang, karom, ping-pong dan badminton.
Manakala, skuad golf meraih pingat perak dan pasukan bola jaring berjaya 'memikat' gangsa.
18 Oct 24
426
SUKSEM: Skuad E-Sport Tambah Koleksi Emas Terengganu
KUALA NERUS, 18 Oktober - Pasukan e-sport Terengganu mengungguli ketiga-tiga acara yang dipertandingkan untuk muncul sebagai juara keseluruhan Kejohanan e-Sport Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX), hari ini.
Kemenangan itu menambah koleksi pingat emas buat tuan rumah dalam usaha merebut gelaran juara SUKSEM IX.
Manakala, pingat perak dimenangi Sabah dan gangsa menjadi milik Pahang.
Bagi acara EA Sports FC24 (EAFC24), Terengganu menang selesa 3-0 ke atas Pahang dalam perlawanan akhir.
Di arena pertandingan Mobile Legend (ML) pula, Terengganu mengalahkan Sabah 28-6 untuk dinobatkan sebagai johan pertandingan.
Kemenangan dua acara berkenaan melengkapkan prestasi cemerlang tuan rumah setelah menjuarai acara Player Unknown's Battlegrounds (PUBG) dengan 175 mata, sebelum ini.
Dalam acara itu, Sabah berada di kedudukan kedua dengan 119 mata dan Selangor (113) di tempat ketiga.
Pengurus pasukan, Mohamad Hafiz Che Awang ketika ditemui menyatakan, amat berpuas hati dengan pencapaian itu.
"Kita berjaya memperbaiki kedudukan berbanding dua tahun lalu dan kali ini sebagai juara.
"Sebagai tuan rumah, kita memang letakkan sasaran sebagai juara, tetapi untuk permainan e-Sport ini banyak kekangan dari segi masa, tekanan dalam permainan dan kadang-kadang dari kontinjen sendiri juga.
"Boleh dikatakan ada tentangan sengit di setiap perlawanan. Di peringkat awal ada perlawanan yang mengheret sehingga set kelima bagi EAFC24, ada juga kita mengalami kekalahan.
"Alhamdulillah, pemain cemerlang mendominasi ketiga-tiga kategori," katanya.
18 Oct 24
174
Cengkaman Kos Sara Hidup, Rakyat Tagih ‘Penawar’ PM
Menjelang pembentangan Belanjawan 2025, Kerajaan Persekutuan sekali lagi dijangka meletakkan krisis kos sara hidup sebagai tumpuan utama.
Penumpuan terhadap kenaikan melampau harga barang, inflasi dan gaji minima rakyat mengulangi janji ketika pengumuman Belanjawan 2024 dan sebelumnya.
Tahun-tahun terdahulu, Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah acap kali berikrar untuk menoktahkan miskin tegar, mengatasi kenaikan harga barang dan menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan makanan asas terutama beras tempatan.
Namun, dua tahun berlalu di bawah kerajaan campuran PH-BN, tanda-tanda untuk ‘barah’ kos sara hidup reda masih tidak kelihatan, bahkan masalah itu makin meruncing.
Perkara ini dibuktikan melalui kajian Pusat Penyelidikan Undian UCSI pada Julai 2024 yang menyatakan 99 peratus daripada 921 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bimbang akan kos sara hidup semasa.
80 peratus daripada responden merupakan golongan pekerja, satu peratus menganggur, 18 peratus pelajar dan satu peratus lagi pesara.
Hasil tinjauan sama mendapati 98 peratus responden berpendapat kerajaan tidak melakukan secukupnya untuk menangani peningkatan kos sara hidup.
Catatan ini merekodkan peningkatan ketara berbanding 61 peratus yang berpandangan sedemikian pada tinjauan sama tahun 2023.
Masalah ini juga diakui Anwar pada 24 Ogos lalu ketika berucap dalam majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pelancaran Portal Ihsan Madani.
Menteri Kewangan itu berkata, beliau menerima kenyataan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menangani isu kos sara hidup dan mengawal inflasi, ia masih menjadi masalah utama rakyat.
“Walaupun kos sara hidup dan inflasi (naik) dua, tiga peratus berbanding 40 peratus di Turkiye tapi kita terima kenyataan kerana adanya ihsan,” katanya sebagaimana dipetik Astro Awani.
Melihat keadaan semasa, rakyat Malaysia pastinya mahu langkah serius diambil Kerajaan Persekutuan bukan hanya ibarat ‘melepas batuk di tangga’ dan melakukan ‘stunt’ politik melampau dengan ucapan-ucapan ‘bombastik’ di sisi rakyat.
Apatah lagi wujud banyak laporan mengenai subsidi seperti minyak RON95, telur dan gula bakal dihapuskan di samping lima cukai baharu iaitu Cukai Makanan Berlemak atau Cukai Makanan Tidak Sihat (Fat Tax), Cukai Penetapan Harga Karbon, Cukai Warisan, Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) dan Kecerdasan Buatan (AI) akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 Madani.
Jika tahun ini rakyat menerima 'hadiah' kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 dan pertambahan SST kepada 8 peratus, adakah tahun depan lima cukai baharu serta penarikan subsidi petrol juga menanti warga Malaysia?.
Langkah ini sangat bertentangan dengan akur janji Anwar untuk menangani kos sara hidup dalam Belanjawan yang akan dibentangkan esok di saat rakyat sudah di ‘hujung nyawa’ lemas dalam kesesakan harga barang tak masuk akal.
Di pihak rakyat, mereka sudah kerap menyuarakan harapan agar kerajaan memberi tumpuan kepada isu-isu utama melibatkan kesejahteraan keluarga terutama kenaikan harga barang yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup di bandar.
Kenaikan harga barang mentah makanan memberi tekanan hidup kepada mereka terutama yang memiliki anak ramai.
“Barang dapur sekarang memang semua naik harga. Dulu dengan duit sebanyak RM300 penuh satu troli, sekarang tak dapat, suku sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette pada 14 Oktober 2024.
Justeru, Belanjawan 2025 sekali lagi menjadi harapan baru kepada rakyat, jika berlaku jika sebaliknya amarah rakyat pasti berterusan.
Ima Wahida Mohd Zaid,
Editor TRDI News.
17 Oct 24
647
SUKSEM: Terengganu Jumpa Perak di Separuh Akhir
KUALA NERUS, 16 Oktober - Pasukan bola jaring Terengganu meneruskan aksi cemerlang di peringkat suku akhir setelah menewaskan Selangor 31-15 di Stadium Tertutup Gong Badak, sebentar tadi.
Skuad Hanelang bermula garang dengan mendahului lawan 11-3 pada permulaan permainan.
Bagaimanapun, Selangor yang memasukkan penyerang (GS) gantian berjaya mengubah permainan dan merapatkan kedudukan kepada 6-12 sebelum masa pertama ditamatkan.
Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat lebih agresif menambah jaringan.
Selangor dilihat semakin kerap melakukan jaringan untuk merapatkan kedudukan.
Namun, kesungguhan tuan rumah mengekalkan tempo permainan secara agresif, berjaya mengekang kebangkitan pelawat.
Keputusan akhir perlawanan membolehkan Terengganu melangkah ke separuh akhir untu bertemu Perak, jam 3.00 petang ini.
17 Oct 24
576
Lebih Empat Tan Bekalan Dihantar Ke Pulau Redang Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Lebih empat tan bekalan makanan dan keperluan asas dihantar ke Pulau Redang sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh tahun ini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Mazura Ngah Abdul Manan, berkata, bekalan tersebut bagi menampung keperluan 2,000 penduduk di lokasi berkenaan yang sering terputus hubungan apabila berlaku banjir.
Katanya, bekalan seperti beras, minyak masak, biskut, air minera, gula, tepung, dan susu formula bayi itu mampu menampung kegunaan penduduk di pulau tersebut selama tiga bulan.
"Biasanya penghantaran bekalan makanan ke pangkalan hadapan di pulau-pulau termasuk Pulau Redang, dilakukan pada hujung Oktober tetapi MTL dijangka lebih awal kali ini jadi kita hantar hari ini.
"Begitu juga bekalan kepada penduduk di Pulau Perhentian di Besut, kita akan hantar dalam waktu terdekat ini," katanya kepada pemberita pada Program Penghantaran Barang Keperluan Semasa Bencana ke Pulau Redang di Jeti Jabatan Laut Malaysia, di sini hari ini.
Tambah Mazura, sekiranya bekalan tersebut tidak mencukupi, JKM akan membuat penambahan awal dengan bantuan agensi-agensi lain sekiranya keadaan serius.
Sementara itu, beliau berkata JKM sudah membuat persediaan sebagai langkah menghadapi bencana dengan mengenalpasti dan menyediakan sebanyak 590 PPS yang boleh memuatkan seramai 147,590 mangsa.
“Kita akan menempatkan bekalan bencana di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di Marang, 10 mini depoh dan 155 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri akhir Oktober ini,”ujarnya.
Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata pihaknya akan sentiasa memantau secara berkala mengenai keperluan penduduk Pulau Redang dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan penduduk pulau terjaga.
17 Oct 24
366
SUKSEM: Sang Penyu Tunggu Tok Gajah di Pentas Akhir
KUALA NERUS, 16 Oktober - Pasukan Terengganu menang selesa ke atas Johor 5-0 untuk melangkah ke pentas akhir Kejohanan Boling Padang Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX), sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan pasukan Terengganu akan bertemu Pahang dalam perlawanan akhir pada jam 4.00 petang ini di Lawn Bowls Arena Terengganu.
Pengurus pasukan, Wan Muhd Masyum Wan Harujan berpuas hati dengan aksi anak-anak buahnya.
"Alhamdulillah semua beri sepenuh perhatian dan semangat. Kalau kita tengok markah dipaparkan, semua berjaya dapatkan mata yang tinggi.
"Setakat ini, kita akan mengekalkan strategi sama cuma susunan pemain kita akan lihat lawan selepas ini.
"Kita akan tengok perlawanan antara Perak dan Pahang dalam separuh akhir ini," katanya ketika ditemui di Lawn Bowls Arena Terengganu, hari ini.
Dalam pada itu, pertemuan Pahang dan Perak menyaksikan pasukan Pahang menang tipis 3-2 untuk melangkah ke pentas akhir.
17 Oct 24
177