lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terpilih Pengunjung Ke Setengah Juta, Suriani Bawa Pulang Jongkong Emas Bernilai RM15 Ribu
Terpilih Pengunjung Ke Setengah Juta, Suriani Bawa Pulang Jongkong Emas Bernilai RM15 Ribu
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Tuah ayam nampak di kaki, tuah orang siapa yang tahu. Itu gambaran kepada Suriani Sulleh yang terpilih sebagai pemenang hadiah utama bagi pelawat Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) ke setengah juta iaitu jongkong emas bernilai RM15 ribu.  Berkongsi cerita, kakitangan swasta berusia 30 tahun yang berasal dari Sabah itu mengetahui namanya terpilih sebagai  pemenang utama selepas menerima panggilan telefon daripada pihak penganjur tiga hari lepas. Katanya, sewaktu panggilan pertama, dia ditanya jika pernah datang ke Drawbrigde tapi dinafikan kerana terlupa tentang nama dan lokasinya serta bimbang  jika pemanggil adalah 'scammer'. "Selepas beberapa minit, saya mendapat panggilan kali kedua dan masa sama kawan saya menunjukkan gambar Drawbridge. Barulah saya teringat dan mengakui bahawa saya pernah pergi ke sana, “Saya sangat teruja dan tak sangka menjadi individu paling bertuah  dengan hanya satu borang sahaja diisi dia berjaya memperoleh hadiah utama," ujarnya yang bertuah buat kali kedua apabila menerima hadiahnya daripada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah  hari ini. Baginda telah berkenan mencemar duli berangkat ke Kuala Terengganu Drawbridge (KTDB)  dan Majlis Santapan Hi-Tea sekaligus mengurniakan hadiah kepada pemenang Pengunjung Drawbridge Yang Ke Setengah Juta.  Tambah Suriani, ia merupakan saat-saat indah bagi dia dan keluarga kerana lawatan pertamanya ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada Oktober tahun lepas,  untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran anaknya kini membawa pulang satu lagi kenangan abadi yang lebih besar dan bernilai. Suriani yang bekerja di Seri Kembangan, Selangor itu berkata, buat masa ini, dia bercadang untuk menyimpan bar emas itu sebagai pelaburan pada masa hadapan. Dalam masa sama, Suriani turut menzahirkan penghargaan kepada TI Properties yang menganjurkan program kepada pelawat yang telah menyokong dan mengunjungi Jambatan Angkat Kuala Terengganu. Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun berkata,  berkata kempen itu bertujuan untuk memperluaskan lagi jenama dan populariti Jambatan Angkat Kuala Terengganu bukan hanya di Terengganu, tetapi juga ke seluruh Malaysia.  "Dengan menawarkan hadiah lumayan, ia dapat menarik perhatian ramai pelawat dari pelbagai negeri untuk mengunjungi mercu tanda ini. "Kempen ini merupakan penghargaan kepada pelawat yang telah menyokong dan mengunjungi Jambatan Angkat Kuala Terengganu sejak ia mula beroperasi pada 2019," ujarnya.
26 Oct 24
499
32 Anak Yatim Piatu Terbang ke Kuala Lumpur
32 Anak Yatim Piatu Terbang ke Kuala Lumpur
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober - Seramai 32 anak yatim piatu dari setiap DUN di Terengganu telah terpilih menyertai program 'Terbang ke Kuala Lumpur'. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, menyatakan bahawa inisiatif kali pertama kerajaan negeri itu telah dirancang sejak empat bulan yang lalu. "Walaupun negeri sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi, ia tidak menjadi halangan untuk kita merealisasikan program ini. "Bagi saya, kita teruskan program ini walaupun tiada dana khusus daripada Persekutuan (royalti). "Walaupun kerajaan pusat tidak begitu simpati dengan kita, masih ramai individu yang berkemampuan tampil untuk menyumbang bersama kami," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media program 'Terbang Ke Kuala Lumpur' bersama Anak Yatim Piatu Negeri Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini. Menurutnya, anak-anak yatim piatu yang terlibat berusia antara 10 hingga 15 tahun dan masih bersekolah, serta tidak pernah menaiki kapal terbang. "Bagi mereka, ini merupakan pengalaman pertama menaiki kapal terbang dan diharapkan ia dapat mengubati sedikit sebanyak luka di hati mereka. "Kami mahu menunjukkan bahawa masyarakat dan kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu golongan anak yatim yang kekurangan dari sudut kasih sayang. "Kami turut memberikan pendidikan secara tidak langsung dan ingin mereka tahu bahawa masih ada orang yang menyayangi mereka," tambah Maliaman. Beliau juga menyatakan bahawa program ini adalah yang pertama kali diadakan dan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
24 Oct 24
548
Persekutuan Disaran Bantu Negeri Perluas Sektor Halal
Persekutuan Disaran Bantu Negeri Perluas Sektor Halal
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober- Kerajaan Persekutuan disaran agar lebih proaktif membantu kerajaan negeri dalam melonjakkan sektor halal berikutan kepesatan industri itu kini dianggarkan bernilai sehingga USD  dua trilion di peringkat antarabangsa.  Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, saranan itu sejajar dengan peningkatan memberangsangkan bilangan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di Terengganu yang melonjak sebanyak 300 peratus berbanding seramai 74 orang pada tahun 2018. "Jumlah ini merangkumi pelbagai sektor seperti premis makanan, barang kegunaan, produk makanan dan sebagainya. Bilangan ini juga dijangka akan terus meningkat dari tahun ke tahun. "Sejajar peningkatan ini, saya mengharapkan pihak kementerian dapat membantu kerajaan negeri melonjakkan lagi sektor halal di negeri ini melalui pembinaan Halal Hub dalam menyokong ekosistem sedia ada," katanya. Beliau berkata demikian ketika meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyatakan usaha dan kerjasama yang dibuat kerajaan untuk memperluas industri dalam kelangan negara ASEAN di sidang Parlimen, semalam. Dalam perkara berkenaan, Tengku Zafrul menyatakan bahawa pemain industri hala negara diperkenalkan kepada rakan-rakan perdagangan luar negara melalui penganjuran expo perdagangan seperti Malaysia International Halal Showcase (MIHAS).  "Beberapa usaha melibatkan kerjasama antara negara ASEAN sedang dilaksanakan bagi tujuan mempromosi produk dan perkhidmatan berkaitan halal seperti ASEAN Working Group on Halal Food (AWGHF), Working Group on Halal Products and Services (WGHAPAS) dan Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara antara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS)," ujarnya. "
24 Oct 24
128
Belanjawan : Rakyat Bimbang Krisis Kos Sara Hidup Tidak Selesai
Belanjawan : Rakyat Bimbang Krisis Kos Sara Hidup Tidak Selesai
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Belanjawan 2025 membabitkan peruntukan RM421 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dikhuatiri tidak memadai untuk mengatasi masalah hutang negara dan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, menyatakan kebimbangan bahawa belanjawan negara yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mampu menyelesaikan isu kos sara hidup bermain dalam kalangan rakyat. “Belanjawan dibentangkan walaupun besar tapi pada saya tidak akan menyelesaikan kos sara hidup yang semakin meningkat, kalau kita lihat pada hari ini rakyat masih dihimpit dengan kenaikan harga barang, kos operasi semakin tinggi dan rakyat berada dalam keadaan tertekan. “Kita tidak menafikan ada kebaikan dengan belanjawan besar dikemukakan dan tetapi sebenarnya apabila belanja besar hutang kerajaan yang ada juga akan semakin meningkat,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada baru-baru ini. Ariffin juga menegaskan bahawa kerajaan perlu lebih serius dalam menangani isu kemiskinan, terutama di kawasan bandar dan luar bandar, yang masih dihantui oleh kemiskinan tegar. "Terdapat golongan miskin tegar di Malaysia, khususnya di Terengganu meskipun menerima bantuan seperti RM100 seorang dan bantuan-bantuan lain yang biasa diberikan.  “Kita juga telah melihat bantuan disalurkan sebelum ini, namun persoalannya, adakah ia mampu menyelesaikan isu kemiskinan, terutamanya kemiskinan di bandar dan luar bandar?,” soalnya. Beliau menambah, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan segala bentuk bantuan, geran, dan pinjaman yang diumumkan sampai kepada rakyat di peringkat bawah tanpa diskriminasi dan halangan. Dalam pada itu, Ariffin turut menyentuh isu subsidi, menurutnya mungkin akan ditarik balik secara berperingkat dan termasuk subsidi minyak yang telah diumumkan sebelum ini. "Dijangka ia akan memberi kesan langsung kepada kenaikan harga barang keperluan lain seperti gula. “Kerajaan kononnya memberikan pelbagai inisiatif kepada rakyat dan akan ada subsidi yang ditarik balik sebagaimana minyak diesel sebelum ini kita dengar petrol akan ditarik subsidi menyebabkan harga minyak naik serta kesan kenaikan harga barang. “Ini akan memberi kesan langsung yang dipanggil kesan berantai, terutamanya kepada rakyat," katanya. Justeru itu, beliau berharap agar kerajaan perseketuan perlu lebih serius dalam menangani isu berkait kos sara hidup.
24 Oct 24
163
TDM Meterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah Bersama Affin, Maybank
TDM Meterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah Bersama Affin, Maybank
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Anak Syarikat Kerajaan Negeri, TDM Berhad memeterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah bersama Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad.  Majlis menandatangani perjanjian berkenaan diadakan di Doubletree by Hilton Kuala Lumpur dengan disaksikan Pengerusi TDM Berhad merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja. Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, program Sukuk Wakalah adalah langkah signifikan dalam perjalanan TDM untuk mencapai pertumbuhan yang berterusan.  "Dana yang diperoleh akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan operasi, menyokong pelaburan masa hadapan dan memenuhi komitmen kewangan TDM dengan mematuhi prinsip Shariah.  "Kerjasama dengan Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad selaku penasihat utama bersama dan pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi Program Sukuk Wakalah tersebut mencerminkan keyakinan rakan kewangan kami terhadap visi dan strategi jangka panjang TDM," ujarnya dalam satu kenyataan. Mengulas lanjut katanya, pogram tersebut memberi fleksibiliti kepada TDM untuk menerbitkan nota jangka sederhana mengikut prinsip shariah Wakalah Bi Al-Istithmar, dengan pilihan untuk menerbitkan Sukuk Wakalah tersebut sebagai ‘Rated’ atau ‘Unrated’. "Inisiatif ini membolehkan TDM mengoptimumkan struktur kewangan, menyokong pertumbuhan masa depan dan memperkuat kedudukan modal operasi.  "Tempoh keseluruhan program ini adalah selama 30 tahun bagi menyediakan keperluan kewangan untuk menyokong projek-projek akan datang dalam sektor Perladangan dan Penjagaan Kesihatan. "Sebahagian besar daripada hasil penerbitan Sukuk akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal, pelaburan, keperluan modal kerja, dan tujuan korporat am Kumpulan," jelasnya. Dalam pada itu katanya, program berkenaan juga bertujuan mengoptimumkan struktur kewangan termasuk membayar semula pembiayaan sedia ada.  "Selain itu, dana ini juga bertujuan untuk memenuhi keperluan modal operasi bagi memastikan kelancaran operasi harian dan mengekalkan kecekapan operasi dalam perniagaan Kumpulan secara menyeluruh," ujarnya. Menurut beliau, TDM kini menguruskan 13 ladang kelapa sawit yang berkeluasan 28,531 hektar dan masing-masing dua kilang kelapa sawit, kilang Bio-Organik dan loji Biogas yang terletak di Terengganu.  Di samping itu katanya, Kumpulan TDM juga mengendalikan lima hospital pakar di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) berlokasi di Kuala Terengganu, Kuantan, Taman Desa, Kelana Jaya, dan Tawau. "Program Sukuk Wakalah ini akan memastikan TDM mempunyai kemampuan kewangan untuk memacu sektor perladangan dan memperluaskan penjagaan kesihatan. “Program ini dijayakan dengan kerjasama Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad sebagai Penasihat Utama Bersama, Penyusun Utama Bersama dan Pengurus Utama Bersama.  "Affin Hwang Investment Bank Berhad juga berperanan sebagai agensi fasiliti, manakala Maybank Islamic Berhad bertindak sebagai penasihat Shariah untuk program ini," ujarnya.
24 Oct 24
169
Mangsa Ribut, Hujan Batu Kemaman Ditempatkan di PPS
Mangsa Ribut, Hujan Batu Kemaman Ditempatkan di PPS
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober - Seramai 18 mangsa ribut dan hujan batu yang berlaku di daerah Kemaman semalam ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sivik Kampung Gong Pauh. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim memaklumkan bahawa mangsa terlibat adalah daripada tujuh keluarga, membabitkan lapan lelaki, enam wanita dan empat kanak-kanak lelaki. "Mangsa yang dipindahkan ke PPS turut menerima bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). "Kita bantu segera dan mangsa yang terlibat kampung yang berlainan," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media pada program Terbang Ke Kuala Lumpur Bersama Anak Yatim Piatu Negeri Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini. Menurutnya, jumlah keseluruhan rumah yang terjejas melebihi 200 buah rumah dan tujuh keluarga dipindah ke PPS kerana rumah rosak teruk. "Selepas keadaan pulih, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Setakat ini mereka akan tinggal di PPS sehingga ada penempatan yang disediakan," jelasnya. Beliau menambah, SMA Al-Falah adalah premis paling teruk terjejas kerana hampir 80 peratus bumbung di sekolah itu diterbangkan angin. Ujar Maliaman, sebanyak tujuh sekolah mengalami kerosakan teruk akibat ribut dan hujan batu di Kemaman pada petang Rabu. Kejadian tersebut turut mengakibatkan seorang lelaki patah kaki kanan kerana dihempap bumbung sebuah wakaf yang runtuh berdekatan Pantai Teluk Mak Nik.      
24 Oct 24
408
Kerajaan Negeri Segerakan Baik Pulih Rumah Dilanda Ribut di Kemaman
Kerajaan Negeri Segerakan Baik Pulih Rumah Dilanda Ribut di Kemaman
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Kerajaan Terengganu menerusi Tabung Bencana Negeri akan melakukan kerja baik pulih sepenuhnya melibatkan lebih 160 buah rumah yang terjejas ribut taufan di Kemaman bermula pagi esok. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan membantu penduduk terjejas dengan segera bermula dengan pembaikan rumah yang rata-rata mengalami kerosakan pada bumbung. Menurutnya, jumlah kerugian sebenar belum diperolehi dan dijangka lebih banyak kediaman  yang mengalami kerosakan termasuk sekolah. "Sekolah Menengah Agama Al-Falah antara yang teruk terkena bencana kali ini.  "Di sini, kita akan menghantar lebih kurang 100 sukarelawan untuk membersihkan kawasan. "Insya-Allah, semua kerja-kerja baik pulih akan bermula pagi esok," ujarnya ketika dihubungi. Tambah Hanafiah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), antara tempat yang terjejas ialah Dun Chukai, Gong Pauh, Pengkalan Pandan, Gong Limau, Kampung Tengah, Teluk Mok Nik dan Kampung Besut. "Di Gong Pauh kita buka pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini untuk mangsa berlindung sementara kerana sebahagian besar rumah atap rosak teruk," katanya lagi. Jelasnya, rumah-rumah terjejas akibat ribut tersebut mengalami kerosakan yang berbeza-beza justeru ia memerlukan kos dan bantuan berlainan. "Kesemuanya telah kita uruskan dan mangsa diharap bersabar, insyaAllah, kami akan menyelesaikan semuanya dengan segera," ujarnya.
23 Oct 24
2316
Tour Gateh : Jersi Batik Tampil Identiti Terengganu
Tour Gateh : Jersi Batik Tampil Identiti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Kejohanan Tour Gateh D' Tranung edisi ketiga memperkenalkan tema batik pada jersi pemenang setiap peringkat perlumbaan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, kejohanan kali ini juga menawarkan kelainan dengan lima jersi kemenangan. "Jersi kuning bagi juara keseluruhan, hijau bagi raja pecut, jersi merah polkadot untuk raja bukit, jersi putih bagi pelumba bawah 23 tahun dan jersi oren buat pelumba tempatan terbaik. "Jersi ini khas merupakan inisiatif oleh penganjur kepada pelumba-pelumba amatur tempatan sebagai penghargaan dan ditaja oleh Kementerian Belia dan Sukan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Memperkenalkan Pelumba dan Penaja Tour Gateh D' Tranung 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini. Kejohanan ini disertai seramai 156 pelumba melibatkan 24 pasukan dengan 69 pelumba bawah 23 tahun serta pelumba bawah 17 tahun.
23 Oct 24
760
Muslim Food Tekad Jadi Penanda Aras Industri F&B Bumiputera Di Malaysia
Muslim Food Tekad Jadi Penanda Aras Industri F&B Bumiputera Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober- Niat asal pengasas Muslim Food Industries (MFI) iaitu allahyarham Jamaludin Yusof terlibat dalam industri makanan dan minuman (F&B) sekitar tahun 1980-an adalah untuk mengambil tanggungjawab fardhu kifayah bagi memenuhi keperluan makanan umat Islam dan jihad ekonomi. Pada tahun 1986, beliau yang merupakan seorang guru sains membuat keputusan mengakhiri kerjaya sebagai guru dan menubuhkan Muslim Food Industry, satu-satunya pengeluar mi kuning bumiputera ketika itu. Bermula dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, perniagaan allahyarham terus berkembang maju. Seiring perkembangan semasa pada tahun 1997, Muslim Food Industry telah ditukar nama kepada MFI bagi melestarikan kepelbagaian produk muslim di pasaran semasa. Pengarah Urusan MFI, Ahmad Sayyaf Jamaludin berkata, selepas bapanya meninggal dunia pada tahun 2014, ‘survival’ syarikat MFI diteruskan oleh beliau bersama adik beradik. Katanya, beliau optimis dengan perniagaan F&B yang dijalankan keluarganya dan bercita-cita membawa jenama syarikat ke peringkat antarabangsa dan menjadi penanda aras kepada industri makanan bumiputera di negara ini. “Harapan saya MFI akan lebih maju, berdaya saing dan berdaya tahan. “Kita ingin menjadi nombor satu dalam Malaysia dan berusaha jadikan MFI sebagai salah satu ‘betchmark’ untuk orang Melayu dalam bidang F&B kerana masih kurang orang Melayu yang berjaya dalam bidang ini,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di kilang MFI di Kampung banggol Tok Jiring, baru-baru ini. Ahmad Sayyaf berkata, faktor pasaran baru dan produk baru menyumbang kepada peningkatan jualan syarikat MFI yang ditubuhkan sejak tahun 1986. “Kita meletakkan sasaran jualan akan meningkat 50 peratus setiap tahun. “Produk terlaris keluaran MFI temasuk mi kuning, kuey teow, laksa beras, bebola ikan, bihun, cili kisar, garam halus dan garam kasar yang mana produk berkenaan dipasarkan di semua rangkaian Mydin dan Giant seluruh semenanjung serta berpuluh lagi pasar raya kecil yang lain,” ujarnya. Beliau berkata, MFI sentiasa melakukan penyelidikan dan pembangunan produk dalam usaha memenuhi citarasa ramai. “Tahun ini kita fokus kepada pembangunan beberapa produk termasuk bebola ikan, InsyaAllah tahun depan kita akan keluarkan produk baru iaitu bebola ikan (sayuran),” ujarnya. Ahmad Sayyaf berkata, pihaknya bersyukur kerana mendapat sokongan kerajaan antaranya yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) yang sentiasa bersama syarikat terbabit termasuk dalam memberikan bimbingan dan khidmat nasihat.
23 Oct 24
253
5,000 Anggota Keselamatan Sedia Hadapi Banjir di Terengganu
5,000 Anggota Keselamatan Sedia Hadapi Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Agensi penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kini bersiap siaga dengan kekuatan anggota seramai 5,000 orang  bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku Oktober ini. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata PDRM sentiasa memberi komitmen yang secukupnya demi keselamatan rakyat terutama di kawasan yang berisiko dinaiki air. Menurutnya, bagi pihak PDRM, seramai dua ribu anggota diseluruh daerah bersedia dikerahkan pada bila-bila masa termasuk arahan ‘cuti dibekukan’ bagi pegawai terlibat. “Mengikut jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Terengganu bakal menghadapi MTL bermula bulan November hingga Mac 2025. “Mesyuarat penyelarasan sudah diadakan beberapa hari lepas, dan kita sebagai agensi penyelamat harus bersedia dari sudut logistik dan sumber manusia. “Sejauh mana keseriusan banjir bakal terjadi, pihak keselamatan sentiasa bersedia dengan maklumat dan kenyataan dari MET tersebut,” katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik di Dataran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, semalam. Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan, supaya rakyat di negeri ini sentiasa peka dengan kenyataan yang bakal dikeluarkan dari MET, juga sentiasa bersedia dengan apa kemungkinan bakal berlaku, terutama di tempat berisiko banjir. Katanya, mereka perlu peka dengan arahan semasa, dan pindah jika diperlukan bagi mengelakkan dari kejadian buruk berlaku terutama melibatkan nyawa dan sebagainya. “Pastikan juga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerana disitu disediakan segala kemudahan seperti tilam, selimut, makanan dan sebagainya. “Pengurusan penyimpanan dokumen penting juga perlu dibuat, disarankan supaya disimpan dalam beg khas keselamatan, agar tidak rosak dan bebas dari air," katanya lagi. Mohd Khairi juga berkata ibu bapa perlu cakna kepada anak-anak mereka supaya tidak bermain di tepi parit, sungai atau tempat berisiko, bagi mengurangkan kadar kehilangan nyawa walaupun ia berlaku setiap tahun. “Tidak terkecuali juga kepada pengunjung ke tempat berisiko seperti tempat perkelahan, sungai, dan air terjun, kerana ia berisiko terjadinya fenomena ‘kepala air’, elakkan berkunjung ke tempat tersebut ketika di musim MTL," ujarnya.  
23 Oct 24
182