Artikel "Utama" Terkini
Polis Terengganu Lupus Dadah Bernilai RM2.3 Juta
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Polis Terengganu hari ini melupuskan 24 kilogram dan 1,989.27 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM2.3 juta.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata kesemua dadah yang dilupuskan melibatkan 2,958 kertas siasatan terbahagi kepada tujuh daerah di Terengganu dari tempoh 1991 hingga 2024.
“Pelupusan barang kes ini adalah mendapat perintah mahkamah, melibatkan kes-kes tangkapan yang mana suspek telah dijatuhkan hukuman mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.
“Jumlah dadah dilupuskan dalam program ini adalah pil yaba atau pil kuda seberat 19,388.06 gram, syabu 1,173.16 gram, heroin 1,737.04 gram, ganja 343.49 gram, pil eramin 5 269.94 gram, air ketum 1636.20 liter, daun ketum 1340.34 gram, ubat batuk 353.07 liter, pil estacy 0.29 gram, pil psikotropik 54.42 gram.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu akan membuat pelupusan barang kes dadah mengikut perintah tetap Ketua Polis Negara D207.
“Barang kes tersebut akan diserahkan kepada pihak Syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd. yang berdaftar di bawah Jabatan Kualiti Alam Sekitar.
“Pelupusan perlu dijalankan oleh syarikat berdaftar memandangkan barang kes dadah adalah ‘buangan terjadual atau schedule waste (sw403), di bawah jadual pertama, peraturan-peraturan kualiti alam sekeliling 2005,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik di Dataran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini hanya berhadapan masalah dadah jenis tradisional seperti dadah berasaskan opiate atau candu seperti heroin, morfin dan dadah jenis ganja.
Akan tetapi masa kini jelasnya, PDRM menghadapi masalah dadah jenis baru berasaskan sintetik seperti pil yaba, syabu,dan eramin 5.
“Sepanjang tahun 2024 (1 Januari-30 September), JSJN Terengganu menunjukkan prestasi begitu baik apabila berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM3.66 juta.
“Sebanyak 1,044 kes dibawah kategori (bekalan) telah berjaya dibuka, di mana 94.40 peratus kes di bawah seksyen 39B, 39A(2) dan 39A(1) ADB 1952, telah berjaya dituduh di mahkamah sehingga 30 September 2024.
“Sepanjang tempoh tersebut, JSJN Terengganu telah mengambil tindakan ke atas seramai 844 orang di bawah seksyen 39C ADB 1952, manakala pada tahun 2023 seramai 1,029 orang telah ditangkap dan dituduh.
“Penagih-penagih tegar ini akan berada di dalam penjara dalam tempoh yang lama dan tidak akan lagi mempengaruhi remaja lain daripada terlibat dengan dadah.
“Tindakan ini dilihat lebih praktikal dari menghantar penagih tegar untuk menjalani pemulihan dadah kerana mereka boleh mempengaruhi penagih baru yang sedang menjalani pemulihan,” katanya.
22 Oct 24
195
Belanjawan 2025 : Umum Dulu, Fikir Kemudian?
Pada 18 Oktober lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan Madani 2025 bertemakan 'Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat,' di Dewan Rakyat.
Seperti dijangka Belanjawan kali ini sekali lagi digambarkan sebagai bajet yang memberi fokus kepada usaha meringankan kos sara hidup dan memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Selepas beberapa hari pembentangan berlangsung, pelbagai pandangan dilontar ahli politik, ahli ekonomi dan rakyat marhaen sama ada golongan bawah, pertengahan serta atasan.
Melihat dengan teliti kesemua komentar tersebut, satu kesimpulan yang menjadi kerisauan ramai adalah berkait pelaksanaan pelbagai inisiatif terutamanya membabitkan kantung rakyat.
Tidak dinafikan belanjawan ini ada perkara baik, namun beberapa inisiatif yang diumumkan mengelirukan rakyat terbanyak.
Perdebatan hangat yang berlaku adalah berkait T15 dan subsidi, Anwar ada menyebut mengenai kumpulan pendapatan 15 peratus teratas (T15) dan beberapa subsidi dikurangkan bagi golongan tersebut.
Sudah tentu yang paling menarik perhatian ramai ialah mengenai penarikan subsidi pukal petrol (RON95), ini menyaksikan golongan maha kaya disebut Anwar itu tidak dapat menikmati subsidi itu bermula pertengahan tahun depan.
Kata Anwar pelaksanaan itu boleh menjimatkan sehingga RM8 bilion kerana 40 peratus subsidi RON95 ketika ini dinikmati warga asing dan golongan T15.
Jika disemak data daripada Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), jelas dalam dokumen tersebut menyebut pendapatan T15 adalah pada julat RM13,000 hingga RM13,999 ke atas.
Namun, sehingga kini, majoriti rakyat Malaysia tertanya-tanya, siapa sebenarnya golongan T15 kerana tiada jawapan rasmi daripada kerajaan.
Ini yang menjadi persoalan sebilangan rakyat Malaysia yang bimbang sekiranya mereka tergolong dalam kumpulan tidak layak lagi menerima subsidi.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika ditanya mengenai T15 dua hari selepas pembentangan belanjawan berkata, pengkelasan kategori T15 sedang diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsidi Kerajaan adil kepada semua pihak.
"Tetapi bila PM sebut T15, itu merujuk kepada kaedah-kaedah yang akan diumumkan nanti. 'If you ask me' sekarang, T15, saya ingat Kerajaan perlu melalui proses itu dan kita mahu jadikan benda ini adil berbanding sebelum ini. Saya tidak rasa (kita gunakan) pendapatan isi rumah seperti sekarang," katanya.
Kenyataan itu menimbulkan tanda tanya tentang keseriusan kerajaan Persekutuan dalam isu berkenaan, ini mengundang persepsi negatif daripada banyak pihak.
Ada yang mempersoalkan, bagaimana bajet dibuat sedangkan pengkelasan kategori belum dimuktamadkan, adakah angka-angka yang digunapakai seperti penjimatan RM8 bilion boleh dijadikan asas?, kerana ia penting demi perancangan ekonomi negara.
Bagi rakyat pula terutamanya yang bakal ditarik subsidi, sudah tentu mereka mahu ia dijelaskan seberapa segera, supaya mereka boleh membuat persediaan sepatutnya.
Jika ia berlaku secara tiba-tiba, hidup mereka mungkin berubah sekelip mata dengan bebanan melampau.
Akhirnya, usaha untuk menangani krisis kos sara hidup tidak berjaya, rakyat kekal hidup dalam tekanan dan masalah baru muncul akibat sikap 'kluk-klek' ini.
Semoga permasalahan ini berjaya dirungkai Kerajaan Madani.
Ima Wahida Mohd Zaid,
Editor TRDI News
22 Oct 24
286
Kadar Kebergantungan Kepada Royalti Tertinggi Pada 2012, Terendah 2020
BESUT, 22 Oktober - Tahun 2012 merekodkan kadar kebergantungan Kerajaan Negeri terhadap royalti petroleum paling tinggi berbanding tahun-tahun yang lain.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Kerajaan Negeri ketika itu merekodkan kebergantungan kepada royalti sebanyak 87.41 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan,
Manakala jelas Wan Sukairi, kadar paling rendah direkod pada tahun 2020 iaitu 62.95 peratus dengan perbezaan sehingga 21.46 peratus berbanding 2012.
"Sejak 2018, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sentiasa berusaha untuk mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada dana khas petroleum.
“Pada 2010 sehingga 2014, kadar kebergantungan hasil negeri kepada royalti adalah purata 84.4 peratus iaitu bersamaan RM8.24 billion dalam tempoh empat tahun.
“Tempoh 2018 sehingga 2021, kita berjaya menurunkan purata kepada 68.7 peratus bersamaan RM5.17 billion, maknanya kita sudah ada sumber lain untuk berbelanja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan rakyat pada Program Dialog Exco di Dewan Merdeka Kota Putera Square,Kg Raja, di sini, baru-baru ini.
Turut serta sebagai ahli panel, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri; Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri; Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Tambah Wan Sukairi, walaupun berjaya mengemudi kerajaan ini tanpa dana khas petroleum sepenuhnya tetapi, itu bukan bermakna Terengganu tidak perlu menuntut hak yang dinafikan.
“Mempertahankan hak adalah satu kewajipan, tak boleh dibiarkan pihak lain mengambil sewenangnya, duit kita tetap kepunyaan rakyat.
“Sejak dinafikan hak, pihak kerajaan tak pernah berhenti melakukan usaha sehingga dikembalikan semula hak rakyat.
“Di bawah pimpinan terkini, kerajaan mengambil pendekatan toleransi, diplomasi, murni dan baik, tidak pula dengan pendekatan kasar seperti demonstrasi, rusuhan, atau tindakan perundangan, kerana ia akan merugikan rakyat.
“Kerajaan Terengganu sentiasa memberi kerjasama yang baik dengan Kerajaan Persekutuan, apabila dipanggil bermesyuarat atau perbincangan, kita selalu hadir ke Putrajaya.
“Kita berharap rakyat juga turut mendoakan supaya dibukakan pintu hati mereka, pihak Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha dengan apa cara sekalipun untuk dapatkan kembali hak rakyat yang dinafikan,” ujarnya.
22 Oct 24
263
Pejabat Daerah Kuala Terengganu Juara Pertandingan Bangsal Tradisi
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Pejabat Daerah Kuala Terengganu diisytiharkan sebagai juara Pertandingan Bangsal Tradisi sempena Karnival Pantai Terengganu (KPT) 2024 yang diadakan di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir, di sini.
Pejabat itu berjaya membawa pulang hadiah utama bernilai RM50,000.
Manakala tempat kedua dimenangi Pejabat Daerah Marang, membawa pulang hadiah RM30,000 dan tempat ketiga pula diraih Pejabat Daerah Hulu Terengganu, layak membawa hadiah RM15,000.
Lima daerah lain menerima saguhati masing-masing bernilai RM5,000.
Kesemua hadiah diserahkan dalam bentuk geran pelaksanaan program pelancongan di daerah pelaksana tahun 2025.
KPT 2024 berjaya merekodkan lebih 150,000 pengunjung dan pelancong sepanjang empat hari program berlangsung iaitu bermula 17 hingga 20 Oktober 2024.
Puluhan aktiviti kebudayaan, makanan tradisi yang jarang jumpa, permainan klasik, bangsal tradisi antara faktor KPT 2024 mendapat sambutan diluar jangkaan.
22 Oct 24
704
Karnival Pantai 2024 Rekod Lebih 150,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mengakhiri Karnival Pantai Terengganu (KPT) 2024 dengan kejayaan yang memberangsangkan apabila mencatatkan lebih daripada 150,000 pengunjung.
Malah KPT 2024 yang berlangsung di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir selama empat hari berakhir 20 Oktober lalu juga menarik perhatian lebih daripada 2,000 peserta Temasya Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) yang turut sama menyemarakkan karnival berkenaan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Sulaiman Sulong berkata, ia bukan sahaja berupaya mengangkat budaya dan warisan negeri tetapi juga memberikan sokongan besar kepada industri pelancongan dan ekonomi tempatan.
“Karnival ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk Pertandingan Bangsal Tradisi yang memberi peluang kepada setiap daerah untuk menunjukkan kreativiti dan kebolehan dalam menghias bangsal mereka menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti pelepah kelapa, daun nipah, kayu, dan buluh.
“Pelbagai aktiviti yang bersifat budaya, tradisi, dan warisan diperlihatkan sama ada daripada penganjur mahupun daripada setiap Pejabat Daerah sepanjang karnival berlangsung,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika di Majlis Perasmian Penutup Dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Bangsal Tradisi Sempena Karnival Pantai Terengganu 2024.
Mengulas lanjut katanya, pameran seperti Bangsal Tradisi dan Karnival Makanan yang dianjurkan kali ini menunjukkan usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan identiti Negeri Terengganu terus dikekalkan.
“Melalui penganjuran KPT ini juga, kita dapat lihat kesan positif terhadap ekonomi setempat, di mana lebih 60 vendor dan pelbagai usahawan tempatan turut mengambil bahagian.
“Selain itu, karnival ini turut menyokong usaha kerajaan negeri dalam menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan budaya dan alam semula jadi,” ujarnya.
Katanya, diharapkan KPT akan menjadi acara tahunan yang dinanti oleh semua.
22 Oct 24
1578
2,632 Premis Diberi Advokasi Pendidikan Akta 852
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Sebanyak 2,632 premis perniagaan telah diberi advokasi pendidikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berkaitan akta baharu, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852], setakat 19 Oktober.
Pengarahnya, Dato Dr Kasemani Embong berkata sepanjang tempoh tersebut sebanyak 249 operasi telah dilaksanakan dengan kekuatan anggota penguatkuasa seramai 326 orang.
"Premis-premis berkenaan telah dilawati bagi sesi penerangan pendidikan kepada pemilik premis khususnya kedai-kedai penjualan produk merokok dan premis kawasan larangan merokok.
"Selain itu, pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan telah dibuat seperti edaran risalah kepada orang awam, kempen penggunaan papan tanda larangan merokok / vape yang baharu, perbincangan kumpulan kecil, hebahan kenderaan bergerak, serta ceramah dan taklimat melalui pelbagai saluran media sosial," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mersmikan Majlis Pelancaran OPS CAKNA (Akta 852) di KTCC di sini hari ini.
Tambahnya, Bilik Gerakan Operasi Cakna 852 juga telah dibuka di Ibu Pejabat dan diseluruh daerah bagi menjawab sebarang persoalan atau aduan awam berkaitan Akta ini.
"Ia termasuk mengawal selia operasi penguatkuatkuasaan,"ujar beliau.
22 Oct 24
159
JPS Kenal Pasti 449 Kawasan 'Hotspot' Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, Oktober - Sebanyak 449 kawasan 'hotspot' banjir di Terengganu sudah dikenal pasti sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata
kawasan 'hotspot' itu dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membolehkan persediaan dan perancangan awal dapat dilakukan sebelum bencana banjir berlaku.
Menurutnya, dijangka terdapat lima hingga tujuh luruan monsun membawa episod hujan yang lebat dan berterusan terutama di Pantai Timur Semenanjung
"Daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah kawasan berisiko tertinggi iaitu sebanyak 97 lokasi diikuti daerah Hulu Terengganu (66 kawasan).
"Manakala di Setiu (58 kawasan), Dungun (56) kawasan), Kemaman (55 kawasan), Kuala Nerus (48 kawasan), Marang (35 kawasan) dan Besut (34 kawasan)," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Justeru itu katanya, kerajaan negeri telah mengarahkan setiap aset, logistik dan sistem amaran awal bencana diperiksa agar berfungsi dengan baik sebagai persediaan awal.
Menurut beliau, beberapa pelan tindakan juga telah dibincangkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi MTL, baru-baru ini.
Tambah Hanafiah, kawasan rendah dan berhampiran muara sungai di negeri ini turut dikenalpasti berisiko berlakunya dilimpahi air sekiranya fenomena air pasang besar beserta hujan lebat.
“Ia membabitkan lima lembangan sungai iaitu Sungai Terengganu, Sungai Besut, Sungai Dungun, Sungai Kemaman dan Sungai Setiu.
“Daerah Hulu Terengganu juga dijangkakan berisiko tinggi berlaku banjir selain daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, dan Kemaman," ujarnya.
Beliau seterusnya menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan sementara apabila hujan lebat melebihi tempoh dua jam bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan monsun timur laut akan bermula pada awal bulan depan sehingga Mac 2025.
Dilaporkan juga fenomena La Nina dijangka bermula pada penghujung 2024 dan berterusan sehingga pertengahan 2025.
22 Oct 24
292
SATU Atur Langkah Pastikan Loji Air Tidak Terjejas Ketika Banjir
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober- Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) mengambil langkah proaktif bagi memastikan operasi 15 loji rawatan air (LRA) di negeri ini tidak terjejas ketika banjir.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut berkata, sekiranya berlaku air pasang besar, hujan lebat dan ada pelepasan air daripada empangan ketika Monsun Timur Laut, berkemungkinan besar untuk berlaku banjir.
“Tapi kita kena buat pilihan, ketika air pasang besar kalau tidak ada pelepasan air daripada empangan, loji-loji kita akan terkesan kerana air masin telah sampai ke muka sauk.
“Daripada pengalaman lepas, pensampelan air masin akan diambil termasuk sudah sampai ke tahap mana dan sebagainya.
“Kita tentulah tidak boleh kawal hujan, tetapi boleh dapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia bagi buat pengawasan yang lebih kerap untuk melihat tahap air masin tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Terus bagi Tenaga Boleh Diperbaharui di antara SATU dan GSPARX Sdn Bhd di Primula Beach Hotel, baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, SATU turut bekerjasama dengan TNB berhubung pelepasan air di empangan untuk imbangi faktor tersebut.
“Pelepasan air empangan memang perkara biasa, TNB akan lepaskan air empangan supaya kita masih ada bekalan air, air masin tidak sampai ke muka sauk dan pada masa yang sama dapat minimakan kesan risiko bencana banjir,” ujarnya.
21 Oct 24
130
JKNT, PDRM Jalin Kerjasama Kuatkuasa Akta Rokok 852
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) di Terengganu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, keutamaan operasi adalah aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak serta remaja.
"Operasi bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diadakan bagi membolehkan tindakan dikenakan berdasarkan undang-undang dan peranan agensi penguatkuasa lain.
"Jika operasi secara berkolaborasi terutama melibatkan PDRM maka ia membolehkan pihak berkuasa terbabit melakukan pemeriksaan secara terperinci terhadap cecair dalam rokok elektronik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ops Cakna Akta 852 di Kuala Terengganu City Mall (KTCC) di sini pada Ahad.
Katanya, operasi yang akan dijalankan turut memberi penekanan kepada penjualan vape atau rokok elektronik yang reka bentuk menyerupai pen marker dan gam.
"Tindakan serta-merta akan dikuatkuasakan juga melibatkan pengiklanan dan promosi serta tajaan semua jenis produk merokok malah tempat larangan penjualan produk merokok termasuk rokok elektronik di institusi pendidikan dan pasar jualan.
"Setakat ini etika aktiviti advokasi pendidikan diadakan, kita tidak menemui produk merokok berbentuk permainan di Terengganu," ujarnya.
21 Oct 24
86
Mangsa Banjir Akan Didaftar Melalui Kod QR
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober – Inisiatif pendaftaran mangsa banjir melalui penggunaan Kod QR di Terengganu telah diperkenalkan bagi memudahkan mangsa banjir dan agensi terlibat.
Pengerusi Khidmat Malaysia, Hanafiah Mat berkata, sistem itu berfungsi sebagai medium untuk mengumpul data, sekali gus memudahkan penyelarasan penyaluran bantuan semasa dan pasca bencana serta mempercepatkan proses pendaftaran mangsa.
“Semua keputusan mesyuarat yang telah dibuat di peringkat negeri dan daerah akan dilaksanakan sepenuhnya apabila banjir berlaku tahun ini.
“Saya difahamkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menggunakan pendaftaran melalui kod QR pada tahun ini.
“Ini bagi memastikan semua mangsa banjir mendaftar dengan JKM, walaupun mereka tidak tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kerana kita bimbang ada yang tercicir daripada senarai bantuan,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana) berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.
Hanafiah juga mengingatkan bahawa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Khidmat Malaysia dan Pejabat Daerah perlu bekerjasama untuk memastikan segala tugas dilakukan dengan lancar.
“Saya juga ingin memastikan bahawa semua ahli Khidmat Malaysia di setiap daerah bersiap siaga untuk turun serta-merta apabila banjir berlaku, dengan kekuatan maksimum, bagi membantu agensi keselamatan dan mengikuti arahan komandan banjir di lapangan, iaitu Ketua Polis Daerah.
“Arahan semasa banjir akan datang daripada komanden banjir, namun bagi kerja-kerja pasca banjir, arahan akan dikeluarkan oleh Khidmat Malaysia Terengganu atau saya sendiri, khususnya untuk usaha pembersihan selepas banjir,” ujar beliau.
Justeru itu, Hanafiah berharap semua pihak agar melaksanakan tugas dengan baik dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat Terengganu.
“Khidmat Malaysia harus berada di barisan hadapan dalam memberi kebajikan kepada rakyat, terutama ketika mereka dalam kesusahan.
“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua ibu bapa dan orang ramai agar memastikan anak-anak tidak bermain di kawasan yang berisiko seperti tepi sungai, pantai atau parit besar semasa musim hujan serta pastikan keselamatan mereka dijaga dengan baik agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.
“Persiapkan harta benda kita seperti yang telah disarankan oleh pihak berwajib, sama ada daripada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atau kerajaan, dan ambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya semasa banjir,” tambah beliau lagi.
21 Oct 24
1399