lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Peniaga Pasar Payang Baru Raih Keuntungan Berganda
Peniaga Pasar Payang Baru Raih Keuntungan Berganda
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Nur Edayu Arudin, seorang peniaga berpengalaman selama 14 tahun, menyatakan bahawa perpindahannya ke Pasar Payang Baru pada 1 Ogos lalu telah membawa kepada peningkatan ketara dalam perniagaannya. Dia mengakui bahawa sambutan luar biasa semasa acara-acara besar seperti RXZ telah memberikan impak positif, dengan jualan harian kini meningkat dua kali ganda berbanding ketika beliau berniaga di pasar lama. "Jualan harian meningkat ketika banyak program berlangsung ditambah lagi kawasan baru luas, kalau pasar lama sempit sikit, kalau kat sini selesa untuk pengunjung duduk. "Semua kedai dapat manfaat dan ada pelanggan. Walaupun harga sewa meningkat sikit tapi mampu bayar berbanding kedai lama," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Pasar Payang, pada hari ini. Nur Edayu memuji usaha kerajaan negeri kerap menganjurkan acara-acara besar yang mana menarik ramai pelancong, sekali gus meningkatkan jualan produk tempatan seperti keropok, cenderamata dan batik. Menurut beliau, jualan hariannya mencecah antara RM3,000 hingga RM4,000 pada hari biasa, manakala cuti atau ketika acara berlangsung, jualannya boleh mencapai RM10,000, dengan keuntungan bersih sekitar RM3,000.  "Produk yang paling laris ialah 'keychain' berbentuk helmet yang viral, mampu dijual antara 500 hingga 700 unit sehari dengan harga RM15 setiap satu semasa acara," katanya. Dia berharap kerajaan akan terus menganjurkan acara-acara seperti motor dan kereta yang mampu menarik ramai pengunjung dari luar, sekali gus menyokong perniagaan tempatan. "Kedai biasanya beroperasi dari jam lapan pagi hingga lapan malam, namun semasa acara besar, ia dibuka sehingga jam 10 malam. "Selain itu, agensi-agensi kerajaan negeri juga kerap menempah produk sebagai cenderahati rasmi, memberi sokongan tambahan kepada perniagaannya," tambah beliau lagi.
29 Oct 24
701
74 Pemborong, 159 Peruncit Terpilih Diberi Kelulusan Simpan Barang Kawalan
74 Pemborong, 159 Peruncit Terpilih Diberi Kelulusan Simpan Barang Kawalan
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Sebanyak 74 pemborong terpilih daerah (DDW) dan 159 peruncit terpilih daerah (DDR) di seluruh Terengganu diberi kelulusan untuk menyimpan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan lesen sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, pelantikan itu  bagi memastikan tiada gangguan bekalan  keperluan asas timbul sepanjang musim bencana terutama  di kawasan-kawasan berisiko banjir. “Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN)telah melantik rantaian pengedaran di peringkat pemborong dan peruncit bagi menambah stok barang kawalan berjadual yang terkandung dalam lesen barang-barang kawalan berjadual (CSA). “DDW dan DDR yang dipilih dibenarkan menyimpan stok sehingga 30 peratus daripada had simpanan lesen CSA sehingga berakhir tempoh MTL,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di Pasaraya Econsave, Tanjung di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Tambahnya, sebarang pembelian barang kawalan berjadual di Kawasan bencana oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) atau individu bagi tujuan edaran bantuan bencana adalah dilarang. “Ini termasuk pembelian minyak masak paket bersubsidi bagi tujuan agihan bantuan tidak dibenarkan dan disaran penggunaan minyak masak kemasan botol,”ujarnya. Menurut Ariffin, program Jualan Rahmah Madani juga akan diadakan di lokasi-lokasi berhampiran dengan bencana banjir. 
28 Oct 24
144
'Dapatkan Maklumat Tepat Tentang Kerajaan Terengganu'
'Dapatkan Maklumat Tepat Tentang Kerajaan Terengganu'
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) memainkan peranan besar membantu kerajaan negeri menyampaikan maklumat sahih kepada masyakat. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, UPDI bertanggungjawab menghubungkan rakyat dengan maklumat yang tepat, cepat dan terkini selaras dengan agenda Maju, Berkat, Sejahtera. Katanya, UPDI mempunyai beberapa medium di media sosial antaranya portal TRDI News serta TV Darul Iman (TVDI).  “Penghasilan berita mengenai program-program kerajaan negeri membuktikan keberhasilan liputan yang dibuat contohnya seperti Kejohanan Kuda Lasak Sultan Mizan Cup 2024 yang berlangsung baru-baru ini. “Justeru, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat termasuk mengenai dasar kerajaan negeri boleh melayari portal TRDI News dan laman rasmi TVDI di Youtube atau Facebook masing-masing,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Kepada 20 Penerima Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2024 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Di kesempatan tersebut, Tengku Seri Bijaya Raja yang akan bersara wajib pada 5 November ini turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua warga Wisma Darul Iman atas kerjasama sepanjang beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Terengganu.  “Saya doakan warga Wisma Darul Iman terus cemerlang dengan pelbagai pencapaian baru dan sentiasa bersedia untuk memberi khidmat kepada rakyat. "Wisma Darul Iman adalah nadi pentadbiran negeri, justeru saya berharap semua pegawai dan kakitangan terus menunjukkan imej yang baik dan menjadi contoh kepada agensi di peringkat negeri dan daerah,” ujarnya. Pada majlis tersebut juga, turut diraikan pencapaian Pejabat SUK Terengganu melalui Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) dan Unit Perumahan di atas kejayaan mendapatkan pensijilan Information Security Management System (ISMS) mengikut standard ISO/IEC 27001:2022 daripada Cyber Security Malaysia pada 7 Jun lalu.
28 Oct 24
1429
Kerajaan Terengganu Sentiasa Buka Permohonan Tanah Baharu
Kerajaan Terengganu Sentiasa Buka Permohonan Tanah Baharu
BESUT, 28 Oktober - Kerajaan negeri Terengganu menegaskan bahawa permohonan tanah baharu sentiasa dibuka untuk rakyat yang layak. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian, dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, menjelaskan bahawa rakyat yang memerlukan tanah boleh mengemukakan permohonan pada bila-bila masa. “Kerajaan komited untuk memberikan peluang kepada semua rakyat tanpa had masa tertentu. “Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, terutamanya bagi mereka yang tidak memiliki tanah sendiri,” katanya. Beliau berkata demikian semasa Program Dialog Exco di Dewan Merdeka Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini, baru-baru ini. Menurut Mohd Nurkhuzaini, terdapat kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai dua jenis tanah iaitu permohonan tanah baharu yang sah dan tanah haram.  “Permohonan tanah baharu adalah sah dan terbuka kepada semua yang layak, manakala tanah haram adalah masalah pencerobohan yang memerlukan tindakan tegas. “Kita akan terus memastikan bahawa semua permohonan tanah dibuat mengikut peraturan yang sah, dan tindakan undang-undang akan diambil bagi menangani isu tanah haram,” ujar beliau.  Tambah Mohd Nurkhuzaini, Kerajaan Terengganu mengambil langkah tegas dalam memastikan tanah-tanah yang dianugerahkan kepada rakyat tidak dijual atau dipindah milik secara tidak sah, terutama melalui ‘pintu belakang’.  “Setiap tanah yang diberikan, sama ada melalui permohonan tanah baharu atau tanah yang tertakluk di bawah pemilikan terkilang, tertakluk kepada larangan gadaian, pajakan, dan penjualan. “Peraturan ini jelas dinyatakan dalam surat anugerah tanah bagi memastikan harta milik rakyat tidak disalahgunakan atau diperdagangkan oleh pihak yang ingin mengambil keuntungan. “Isu penjualan tanah secara tidak sah ini sering kali berlaku melalui cara yang tidak formal atau 'pintu belakang', yang jelas melanggar syarat anugerah tanah tersebut," katanya. Beliau mengingatkan bahawa tanah-tanah itu diberikan bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi rakyat dan memastikan orang ramai memiliki harta sendiri, bukan untuk dijadikan sumber keuntungan cepat oleh pihak tertentu.  “Tanah-tanah ini adalah untuk kegunaan pemohon, bukan untuk dijual atau digadai dengan mudah. Kita tegaskan bahawa tanah anugerah ini tidak boleh dipindah milik dalam tempoh 10 tahun. “Kerajaan negeri menyatakan kesediaan untuk mengambil langkah penguatkuasaan yang ketat terhadap mana-mana individu yang melanggar perjanjian anugerah tersebut.  “Langkah ini diambil bukan sahaja untuk mengekang pencerobohan atau penyalahgunaan tanah, tetapi juga untuk melindungi kepentingan rakyat serta memastikan tanah tersebut memberi manfaat jangka panjang kepada pemilik asal,” jelasnya.  
28 Oct 24
6251
Kerajaan Digesa Perkenal Sistem Elak Pemberian Bermotif Politik
Kerajaan Digesa Perkenal Sistem Elak Pemberian Bermotif Politik
KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Kerajaan Persekutuan digesa memperkenalkan mekanisme baharu bagi mengelakkan sebarang pemberian kepada negeri dipengaruhi sentimen politik kepartian. Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sistem lebih telus dan berobjektif itu perlu agar rakyat tidak menjadi mangsa permainan politik. “Sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan mekanisme baharu, seperti ‘Independent Grants Council’ yang diamalkan di Australia dan Pakistan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat sebentar tadi. Menurut Ahmad Samsuri, langkah tersebut perlu dilakukan selepas melihat terdapat syarat yang diletakkan bagi peruntukan di negeri-negeri tertentu. “Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, kerana terdapat beberapa projek diumumkan secara langsung untuk Negeri Terengganu. “Namun begitu, apa yang menarik perhatian saya adalah, terdapat syarat yang diletakkan bagi peruntukan di sesetengah negeri seperti (penggunaan frasa) ‘berdasarkan prestasi’, namun tiada syarat ini pada sesetengah negeri yang lain. “Saya mencadangkan agar suatu kaedah atau formula yang lebih jelas diperkenalkan, agar negeri yang dikategorikan ini tidak dipinggirkan namun pada masa yang sama negeri maju terus menerima geran serta peruntukan yang lebih tinggi,” jelasnya. Tambah Ahmad Samsuri, bagi memastikan elemen ketelusan dalam setiap pemberian kepada negeri-negeri, amat wajarlah Kerajaan Persekutuan melaksanakan fungsi pelaporan terhadap semua peruntukan yang disalurkan. “Termasuklah peruntukan istimewa (special allocation) dan paling penting juga, memastikan setiap laporan tersebut boleh diakses oleh masyarakat awam di negara ini. “Selain itu juga, dalam mencapai keseimbangan dan keadilan di dalam perkara yang melibatkan federalisme fiskal. "Adalah lebih baik dilaksanakan reformasi dalam fungsi dan operasi Majlis Kewangan Negara, supaya ia menjadi forum dan ruang untuk negeri-negeri untuk terus berkembang maju,” ujar beliau.
28 Oct 24
118
‘Henti Guna Royalti Petroleum Untuk Dera Seteru Politik’
‘Henti Guna Royalti Petroleum Untuk Dera Seteru Politik’
KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Kerajaan Persekutuan sekali lagi digesa agar tidak menggunakan wang royalti petroleum untuk mendera seteru politik. Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan hasil minyak mesti disalurkan secara terus kepada akaun Kerajaan Negeri sebagaimana amalan terdahulu dan janji terhadap rakyat Terengganu. “Saya mengucapkan terima kasih kepada Larut selaku Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) yang membangkitkan isu berkaitan Royalti Petroleum untuk Terengganu. “Tuntutan kami di Terengganu, walaupun sesetengah pihak menjadikannya sebagai keputusan dan penderaan politik, Kemaman bersama dengan rakan-rakan yang lain akan terus menyampaikan pendirian dan hasrat rakyat, supaya royalti petroleum kepada negeri dipulangkan terus kembali ke akaun Negeri, seperti mana yang diamalkan sejak sekian lama,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat sebentar tadi. Mengulas lanjut, Menteri Besar Terengganu itu berkata, ketidakadilan itu berlaku disebabkan tujuan politik diletakkan pada tahap tertinggi mengatasi kepentingan lain. “Inilah antara contoh yang berlaku apabila tujuan politik mengatasi segalanya, maka ditimbul dan digunakanlah berbagai alasan, seumpama mengalih tiang gol, dan berbagai syarat baharu untuk menidakkan tindakan penyaluran wang royalti petroleum secara terus kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya. Untuk rekod, setakat Oktober tahun lalu, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memulangkan wang royalti kira-kira RM1.5 bilion yang menjadi hak rakyat Terengganu. Bagaimanapun, kerajaan negeri dilaporkan hanya menerima RM510 juta dan ia adalah bayaran paling rendah berbanding tahun sebelumnya, iaitu sejak 2018 hingga 2022. Manakala berdasarkan rekod sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, bagi tahun ini pula, Kerajaan Persekutuan dilapor masih belum melunaskan bayaran sebagaimana perjanjian.
28 Oct 24
665
Pengumuman Tentang T15 Buat Rakyat Terpinga-Pinga
Pengumuman Tentang T15 Buat Rakyat Terpinga-Pinga
KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Pengelasan Kerajaan Persekutuan terhadap kelompok T15 sebagai golongan maha kaya yang wajar ditarik subsidi membuatkan rakyat terpinga-pinga. Berdasarkan data pendapatan isi rumah daripada Jabatan Perangkaan Malaysia setakat 2022, kelompok T15 di Malaysia bermula dengan jumlah RM13,295 dan ke atas. Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kebanyakan rakyat terkeliru apabila pengumuman tentang golongan terbabit tidak diperincikan dengan jelas. “Perkara ‘threshold’ seperti ini wajar ditentukan lebih awal dengan cermat dalam merangka sesuatu Bajet dan bukannya disesuaikan definisinya apabila sedar kelompok ini bukanlah ‘maha kaya’. “Apa pun, alhamdulillah, kerana kerajaan bersifat responsif dalam hal ini untuk menentukan ‘threshold’ baharu kelompok ini (golongan maha kaya), sebagaimana yang dilaporkan oleh media pada hari semalam sebagai T10. “Walaupun begitu, kerajaan juga masih mesti bersifat adil kepada mereka, kerana nanti golongan ini bertanya, ‘motivasi dan perkhidmatan apa yang kami dapat dengan membayar cukai paling banyak ini?,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat sebentar tadi. Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab terhadap semua peringkat dan golongan rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.  “Walau apa agama, kaum, tua atau muda, miskin atau kaya sekalipun, mereka ada hak yang wajar ditunaikan oleh negara kepada mereka dan sebaliknya. “Oleh yang demikian, dalam usaha menambah sumber kewangan negara demi pembangunan ekonomi dan sosial, kerajaan mestilah cermat dan berhati-hati, agar dalam masa yang sama, ia turut mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat dan turut berlaku adil kepada semua,” kata beliau.
28 Oct 24
1041
Kerajaan Perkenal Inisiatif Psikologi Awam Tangani Gangguan Mental
Kerajaan Perkenal Inisiatif Psikologi Awam Tangani Gangguan Mental
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Kerajaan negeri memperkenalkan Pelan Strategik Perkhidmatan Psikologi Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu 2023-2027 bagi memantapkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan psikologi di negeri ini. Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja menekankan kepentingan kesejahteraan psikologi penjawat awam dalam menangani cabaran kesihatan mental. "Pelan Strategik ini diharap akan dapat membantu organisasi perkhidmatan awam untuk memperkasa peranan psikologi  dalam pembangunan sumber manusia sejajar dengan matlamat dan aspirasi perkhidmatan awam dan negara sepertimana yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. "Peluasan perkhidmatan psikologi diteruskan lagi dengan pewujudan sistem sokongan serta pencegahan kepada permasalahan bagi membantu penjawat awam melalui Program  Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam yang lebih dikenali sebagai AKRAB," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Hari Terbuka Psikologi Peringkat Negeri Terengganu 2024 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam. Mengulas tentang program tersebut, beliau berkata, tema 'Aku Yang Terpaling' bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu Narcissistic Personality Disorder (NPD) atau Gangguan Keperibadian Narsistik.  "Dalam bebanan tugas semakin bertambah dan kompleks setiap hari, isu kesihatan mental perlu dititik beratkan oleh semua pihak dan persekitaran yang holistik di tempat kerja memainkan peranan penting dalam memacu perkhidmatan berkualiti dan efisen. "NPD atau gangguan keperibadian narsistik adalah salah satu jenis gangguan mental di mana pengidapnya menganggap dirinya lebih baik dan lebih penting daripada orang lain, sehingga orang lain harus mengagumi, mencintai, dan membanggakannya.  "Nampak seperti perkara remeh dan tuan punya badan tidak hirau dengan keadaan dirinya, sebaliknya individu berada di sekelilingnya akan rasa rungsing serta tertekan dan mungkin menyebabkan hubungan menjadi renggang seterusnya mewujudkan persekitaran yang tidak harmoni di tempat kerja," katanya. Menurutnya, pihak JPA telah jalankan pelaksanaan Sistem pemprofilan Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MYPsyD) bagi mengenal pasti tahap risiko kesihatan psikologi pegawai awam. "Di Terengganu, seramai 7,825 kakitangan awam atau 89 peratus daripada keseluruhan penjawat awam negeri telah terlibat dalam kajian ini.  "Mengikut perincian domain pula adalah seperti kemurungan 54 orang (0.6 peratus), stress 2,602 orang (33 peratus), penyalahgunaan dadah 124 orang (1.4 peratus), keresahan 20 orang (0.2 peratus), idea bunuh diri 13 orang (0.1peratus) dan cubaan bunuh diri, 104 orang (1.9 peratus)," ujarnya. Beliau menambah, hasilnya mendapati masalah psikologi seperti stres dan kemurungan terus menjadi isu utama yang memerlukan perhatian segera. Justeru itu, beliau berharap program tersebut dapat menjadi platform yang menghapuskan stigma masyarakat terhadap kesihatan mental serta menggalakkan penjawat awam untuk memanfaatkan perkhidmatan psikologi disediakan.
28 Oct 24
90
Tour Gateh: Kuala Nerus Ujian Peringkat Keempat
Tour Gateh: Kuala Nerus Ujian Peringkat Keempat
KUALA NERUS, 27 Oktober- Peringkat keempat Kejohanan Tour Gateh D'Tranung 2024 (TGDT2024) menyajikan jarak perlumbaan paling panjang diharungi pelumba-pelumba bertanding dalam sepanjang kejohanan iaitu sejauh 181 kilometer. Perlumbaan yang bermula dari hadapan Pejabat Daerah Kuala Nerus melalui tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Setiu sebelum berakhir di lokasi sama. Pada perlumbaan yang berakhir petang ini, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakhruddin Mazuki muncul pemenang jersi merah Pro Apparel setelah mencatatkan masa terbaik 3:37:53 saat. Dalam pada itu, pelumba RCF Cycling Team, Jeroen Meijers terus mengekalkan jersi kuning Helaz setelah empat peringkat perlumbaan. Manakala, seorang lagi pelumba TSG, Mohamad Nur Aiman Mohd Zarif mengukuhkan penguasaan jersi hijau EPIC buat dua hari berturut-turut. Kejohanan TGDT2024 akan berlangsung pada peringkat akhir esok dalam acara kriterium sejauh 57 kilometer melibatkan lokasi perlumbaan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.  
27 Oct 24
324
Mangsa Kebakaran Terharu MB Serah Rumah Baharu
Mangsa Kebakaran Terharu MB Serah Rumah Baharu
MARANG, 27 Oktober – Mangsa kebakaran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang sebak dan teruja selepas menerima rumah baharu daripada Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri baru-baru ini. Rohazlina Omar, 55, berkata dia tidak menyangka janji Ahmad Samsuri untuk membina kediaman baharu buat mereka sekeluarga selepas rumah lama musnah dijilat api pada 2023 ditunaikan dalam masa yang singkat. Katanya, dia diberitahu rumah itu bernilai kira-kira dalam RM70,000 dan ia dibina hasil kerjasama agensi negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. “Alhamdulillah, saya tidak percaya rumah ini siap dengan proses yang sangat cepat daripada yang saya sangka. "Saya juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu, Tabung Darul Iman, Jabatan Kebajikan Masyarakat Marang, Majlis Daerah Marang, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta semua yang terlibat," katanya. Dia berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima kunci rumah bagi Program Perumahan Terengganu Sejahtera daripada Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang di sini baru-baru ini. Turut hadir bersama Pegawai Daerah Marang, Zulkifly Bin Isa, YDP Majlis Daerah Marang, Tuan Haji Lukema Meri, Pegawai Tabung Darul Iman, Hanapiah Ismail dan Penghulu Mukim serta Pengerusi JPKK Seberang Marang. Menceritakan perasaanya, Rohazlina berkata, dia terkejut selepas diberitahu akan menerima kunci rumah baharu daripada Ahmad Samsuri “Saya berasa terkejut selepas mendapat panggilan daripada anak saya dan terus meluru ke rumahnya. "Perasaan sama ketika rumah terbakar dulu, walaupun sedang berdukacita namun ia bertukar kerana keesokan paginya Menteri Besar Terengganu merangkap ADUN Rhu Rendang datang ziarah melihat keadaan rumah saya yang hangus dijilat kebakaran. “Saya berasa gembira dan ini membuktikan YAB sangat prihatin pada rakyatnya,” ujarnya lagi.  
27 Oct 24
324