Artikel "Utama" Terkini
Mengapa Ahli Parlimen dan Negeri Pembangkang Diberi Layanan Berbeza?
KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, dalam Dewan Rakyat semalam melontarkan kritikan keras terhadap Kerajaan Persekutuan berhubung isu penyaluran peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang dan juga pembayaran royalti petroleum yang tertangguh kepada negeri Terengganu.
Beliau menegaskan bahawa dasar yang diamalkan ketika ini bukan sahaja membebankan wakil rakyat, malah tidak adil kepada negeri yang berhak menerima manfaat secara langsung.
“Kenapa kerajaan masih berdolak-dalik dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang?.
“Mekanisme sedia ada yang mengagihkan dana melalui projek-projek tertentu bukan sahaja kurang telus, malah menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat,” ujarnya ketika berucap dalam perbahasan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat, semalam
Selain itu, isu royalti petroleum untuk negeri Terengganu juga turut dibangkitkan oleh Shaharizukirnain.
“Terengganu hanya menerima RM425.17 juta daripada jumlah keseluruhan royalti RM792.3 juta, manakala bakinya sebanyak RM367.15 juta masih belum disalurkan.
“Lebih mengejutkan, anggaran hasil royalti petroleum bagi tahun 2024 adalah RM1.52 billion, namun beliau mempersoalkan sama ada kerajaan pusat akan melunaskan pembayaran secara penuh kepada kerajaan negeri.
“Mengapa royalti Terengganu tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri seperti negeri lain?," tegas Shaharizukirnain yang menganggap penggunaan projek sebagai kaedah penyaluran adalah alasan semata-mata.
Beliau turut menyoal apakah tindakan ini akan diteruskan sebagai bentuk diskriminasi politik, memandangkan negeri-negeri lain menerima royalti mereka tanpa melalui projek pembangunan yang melengahkan bayaran.
Shaharizukirnain menuntut agar kerajaan pusat segera menilai kembali dasar ini supaya hak rakyat Terengganu dan kawasan-kawasan pembangkang terjamin.
“Rakyat berhak tahu ke mana perginya dana yang dijanjikan untuk pembangunan mereka,” katanya menggesa ketelusan serta keadilan dalam pengurusan peruntukan dan royalti di seluruh negara.
30 Oct 24
165
Karnival Tarik Minat Pelajar Tahfiz Dalam Bidang Sains
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Penganjuran program Hari Kokurikulum dan Rehlah Sains buat julung kali di adakan di Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT), Tok Jiring bertujuan menarik dan memperkukuhkan minat pelajar tahfiz dalam bidang sains dan teknologi.
Menurut Ketua Sektor Akademik MTT, Nor Effendi Mahyiddin berkata, acara yang diadakan pada hari ini adalah kerjasama Pusat Sains Negara Terengganu (PSNT) dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT).
"Alhamdulillah ini merupakan kali pertama kita diberi peluang berkolaborasi dengan pihak PSNT untuk menarik minat orang ramai terutama pelajar tahfiz dalam bidang sains.
"Apabila ada program macam ini ia membuka satu ruang kepada pelajar untuk mereka mengenali bidang sains dengan lebih menarik," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di perkarangan MTT, pada hari ini.
Menurutnya, program itu menyediakan pelbagai aktiviti interaktif bagi memberi peluang kepada pelajar tahfiz untuk mendalami ilmu sains melalui pameran alat-alat sains oleh PSN, termasuk gerai pameran atom negara dan bas pameran sains.
Selain itu katanya, aktiviti lain seperti kereta lumba tenaga suria dan permainan menggunakan tenaga belon turut menarik minat pelajar untuk memahami konsep sains dengan lebih dekat serta pencerapan matahari yang dikelolakan oleh Jabatan Mufti Negeri Terengganu
"Di samping itu, kita ada juga gerai kerjaya pendidikan iaitu melibatkan TATI, pusat Darul Quran Terengganu dan kolej-kolej yang memberi maklumat lanjut berkenaan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," ujar beliau.
Sementara itu ujarnya, terdapat pelajar OKU buta yang mengikuti pendidikan tahfiz di MTT, dengan tujuh pelajar yang kini berdaftar di sana.
"Kita ada juga OKU buta dan di sekolah ini, ada hafazan tahfiz untuk orang buta dan kalau yang berminat boleh daftar.
"Biasa digemburkan apabila dengar berkenaan sekolah tahfiz hanya dengan belajar dan menghafaz Al Quran.
"Di sini kita nak terapkan pelajar kita supaya meminati sains dan alhamdulillah sekolah kita ada sains tulen," kata Effendi.
Di samping itu, Klinik Al-Fatihah turut disediakan secara percuma kepada orang ramai yang ingin memperbetulkan Al Fatihah.
Justeru itu, beliau berharap, program sebegini diadakan setiap tahun supaya memberi peluang yang lebih meluas kepada para pelajar dan kepada sekolah berdekatan menaruh minat dalam dunia sains.
29 Oct 24
101
Kerjasama Dengan Terengganu Hasil Makanan Ternakan Biojisim
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kerajaan disaran mengadakan kerjasama dengan Negeri Terengganu yang sedang dalam usaha menghasilkan makanan ternakan daripada biojisim.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, penghasilan makanan ternakan daripada sumber tersebut dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan import.
"Inisiatif Kerajaan menerusi Pelan Tindakan Biojisim Negara 2030 (NBAP 2030) perlu juga mengambil kira usaha mencipta peluang pekerjaan baru kepada golongan belia di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan, dan khususnya Terengganu," jelasnya.
Wan Hassan berkata demikian ketika sesi soal jawab di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau meminta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyatakan inisiatif memanfaatkan biojisim daripada sektor agrikomoditi bagi mencipta peluang pekerjaan baharu kepada anak muda dan menggalakkan amalan ekonomi kitaran (circular economy) untuk mengelakkan bahan buangan berkenaan dibazirkan menjadi gas rumah hijau (GHG).
Menerusi jawapan lisannya, Johari memberitahu, Kementeriannya dan agensi menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti bahan sisa sawit untuk diintegrasikan semula ke dalam nilai rantaian sejajar dengan konsep ekonomi kitaran.
"Gas metana daripada efluens kilang minyak atau palm oil mill effluent (POME) diperangkap untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui oleh kilang-kilang sawit.
" Menjelang tahun 2030, industri biojisim ini dijangkakan akan menjana ekonomi bernilai RM17 bilion dan pelaburan sebanyak RM7 bilion.
" Industri ini juga dijangkakan akan dapat mewujudkan sebanyak 33,000 peluang pekerjaan baru," ujarnya.
29 Oct 24
858
‘Bebaskan’ Negeri Untuk Urus Hasil Sendiri
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kerajaan Persekutuan disaran supaya mengkaji semula peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkait kuasa negeri dalam menguruskan hasil bumi.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, Malaysia sudah mengecapi kemerdekaan selama 67 tahun dan setiap negeri mempunyai hasil negeri serta potensi tersendiri untuk dibangunkan.
Katanya, atas dasar itu, negeri-negeri sepatutnya dibenarkan untuk lebih berdikari dalam menguruskan hasil negeri.
“Kita sendiri menyaksikan perbelanjaan negeri-negeri melebihi pendapatan yang diperoleh yang akhirnya menyebabkan defisit.
“Justeru, kita perlu mula desentralisasi (pengurangan dan pengagihan kuasa pentadbiran, perundangan dan kewangan kerajaan pusat kepada kerajaan negeri) untuk mengusahakan hasil bumi dan menginovasikan ekonomi untuk memacu pertumbuhan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Amzad menegaskan, Kerajaan Persekutuan juga digesa menyemak kuasa dan peruntukan yang disalurkan kepada setiap negeri.
“Sudah tiba masanya Kerajaan mengkaji semula jumlah geran perkapita selaras peruntukan Bahagian 1 Jadual ke-10 Perlembagaan Persekutuan.
“Memandangkan kali terakhir ia dipinda adalah hampir 20 tahun lalu agar nilai yang diterima setimpal dengan perbelanjaan setiap negeri (hasil yang dikutip),” tambah beliau.
29 Oct 24
555
Kerajaan Dirayu Tambah Baik Pasar Payang, Tangani Keluhan Peniaga
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dirayu agar melakukan penambahbaikan terhadap Kompleks Pasar Payang bagi menangani masalah peniaga.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ada beberapa perkara baru yang telah menjadi isu kebelakangan ini yang wajar diperhalusi antara negeri dan Persekutuan.
“Misalnya, ada beberapa bahagian di dalam pasar yang tidak dilalui oleh pengunjung yang datang, atas faktor ia terlalu tersorok dan terselindung daripada laluan utama.
“Sebenarnya ia seolah-olah tiada akses dari laluan utama dan tersorok di bahagian belakang, sebelum ini mengikut pelan asal, di bahagian itu sepatutnya ada eskalator, namun kerana mahu menjimatkan kos ia tidak dibina.
“Tetapi sekarang ia mendatangkan masalah dan aduan peniaga yang mengatakan pengunjung tak ramai datang ke kedai mereka disebabkan masalah tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ruang diperuntukkan untuk peniaga batik, iaitu di tingkat dua yang menghadap ke arah laut amat susah untuk menerima pelanggan.
“Ini menyebabkan keresahan dalam kalangan peniaga-peniaga batik atas kekurangan pelanggan yang membeli batik di kedai mereka,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Amzad turut mempersoalkan Kerajaan Persekutuan berhubung Pasar Borong Gong Pauh.
"Pasar ini merupakan sebuah pusat pengedaran barangan keperluan makanan yang utama di Terengganu.
"Kini, ia berada dalam keadaan yang daif. Soalan saya, adakah pihak KPKT berhasrat membantu meningkatkan kemudahan infrastruktur di pasar berkenaan?," soal beliau.
29 Oct 24
240
Tour Gateh D'Tranung Labuh Tirai
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Tour Gateh D'Tranung 2024 (TGDT2024) yang melibatkan lima daerah iaitu Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu melabuhkan tirainya semalam.
Kejohanan di peringkat akhir semalam bagi acara 'Night Criterium' membabitkan jarak sejauh 57 kilometer di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Dalam acara kemuncak, pelumba dari Terengganu Cycling Team (TSG), Irwandy Lakkasek telah memenangi perlumbaan dengan saingan sengit daripada rakan sepasukan.
Bagi kategori bawah 23 tahun menyaksikan ASC Monster dari Indonesia telah muncul juara diikuti Nusantara Cycling Team berada di tempat kedua dan TSG (Terengganu Cycling Team) berada di tempat ketiga.
Manakala untuk kategori Local Club Team menyaksikan MIFH Cycling Group menjadi johan, tempat kedua dimenangi MBPJ dan tempat ketiga PDRM Cycling Team.
Untuk kategori Best Elit Team pula, Armed Cycling Group telah muncul sebagai johan, di tempat kedua TSG dan ketiga Malaysia pro Cycling.
Kejohanan TGDT2024 semalam telah dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Timbalan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri (NGO), Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.
29 Oct 24
423
Sertai Brics Luaskan Peluang Ekonomi Buat Malaysia - Dr Sam
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Langkah Malaysia menyertai BRICS yang kini diketuai oleh Rusia dijangka dapat memperluaskan peluang ekonomi dan memainkan peranan lebih aktif di arena antarabangsa.
Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, menyatakan sokongan penuh terhadap kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik dalam blok ekonomi BRICS.
“Usaha pembangunan negara tidak boleh hanya bergantung pada inisiatif domestik semata-mata, jika kita terus bersikap pasif di peringkat antarabangsa, kemajuan negara mungkin terencat.
“Justeru, dengan keterlibatan Malaysia dalam BRICS, kita bukan sahaja mempunyai akses kepada pelbagai peluang ekonomi, malah dapat berperanan dalam membentuk naratif geopolitik global,” ujarnya.
Menteri Besar Terengganu itu turut menekankan bahawa kerjasama dalam BRICS membuka pintu yang luas bagi Malaysia, terutama dalam aspek perdagangan, pelaburan dan perkongsian sumber.
“Sebagai sebuah negara kecil, peluang untuk bekerjasama dalam rangkaian yang luas ini memberi kita ruang untuk menentukan hala tuju sendiri dalam landskap ekonomi global yang kini sangat dinamik.
“Ini adalah langkah untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi kita sambil membina hubungan lebih erat dengan negara-negara rakan di BRICS,” jelas beliau.
BRICS, sebuah blok ekonomi yang dianggotai oleh Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan, mempunyai pengaruh besar dalam pelbagai sektor ekonomi global, dengan kemasukan Malaysia sebagai rakan strategik, peluang ekonomi yang lebih luas dijangka bakal dinikmati, khususnya melalui perdagangan dan pelaburan.
BRICS juga menawarkan akses kepada sumber yang lebih murah dan perjanjian perdagangan yang lebih fleksibel, sesuatu yang amat bernilai bagi negara sedang membangun seperti Malaysia.
Dalam ucapan beliau, Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa menjadi tanggungjawab Malaysia untuk mengoptimalkan peluang ini demi kepentingan rakyat.
“Yang penting adalah, kita mesti memenuhi keinginan dan aspirasi kita sebagai sebuah negara berdaulat, sambil memanfaatkan peluang ini dengan bijak,” tambah beliau.
29 Oct 24
160
SHMMP Deepavali: 178 Anggota KPDN Pantau Harga di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Seramai 178 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu dan Pegawai Pemantau Harga (PPH) ditugaskan memantau pematuhan peniaga yang menjual barangan harga terkawal di negeri ini berkuat kuasa Isnin sehingga 3 November.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata sebanyak lapan jenis barangan telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024.
"Senarai barangan adalah daging kambing, biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar import dan kacang dal.
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di Pasaraya Econsave, Tanjung di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Menurutnya, antara diberi tumpuan dalam pemeriksaan pematuhan adalah penggunaan tanda harga berwarna merah jambu, pematuhan penentusahan alat timbang sukat, pematuhan harga maksimum runcit dan borong serta keberadaan bekalan.
"Pelaksanaan skim ini dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan sekiranya berlaku ketidakpatuhan di bawah skim ini peniaga boleh dikenakan penalti," katanya.
29 Oct 24
172
Kempen Derma Darah di DMR Berjaya Kumpul 37 Beg Darah
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Kempen Derma Darah anjuran Duyong Marina & Resort (DMR) Terengganu berjaya mengumpulkan sebanyak 37 beg darah.
Program yang berlangsung meriah di Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort itu merupakan inisiatif penting dalam membantu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) memenuhi keperluan bekalan darah bagi pesakit di hospital.
Pengurus Besar DMR, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, beliau gembira atas kejayaan program tersebut kerana bukan sahaja mencapai sasaran yang ditetapkan tetapi turut berjaya menarik penyertaan pelbagai agensi serta masyarakat setempat.
Beliau menyatakan bahawa pencapaian itu menunjukkan sokongan padu masyarakat dalam membantu meningkatkan bekalan darah bagi kegunaan pesakit di HSNZ.
“Kami sangat berpuas hati dan bersyukur dengan perjalanan program ini. Melalui kempen ini, objektif utama kami bukan sahaja tercapai, tetapi juga berjaya mengukuhkan kesedaran awam mengenai kepentingan menderma darah dalam menyelamatkan nyawa.
“Ini adalah satu langkah penting untuk memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi demi memenuhi keperluan mereka yang memerlukan,” jelasnya
Kata beliau, program berkenaan bukan sahaja menarik kehadiran individu tetapi turut mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi.
"Antara agensi yang menyokong penuh kempen ini termasuklah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Duyong, Jabatan Pelancongan Terengganu dan syarikat swasta seperti Aims Global.
"Kehadiran mereka membantu memeriahkan suasana kempen dan menunjukkan sokongan mereka terhadap usaha murni ini.
"Selain aktiviti utama menderma darah, kempen ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan tambahan bagi memberi manfaat kepada para pengunjung," katanya.
Tambah Wan Faizul, syarikat kesihatan, GPharmax, turut serta dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk memeriksa tahap kesihatan mereka.
"Di samping itu, reruai Cakna Management Sdn. Bhd. turut memeriahkan kempen dengan mempamerkan kepakaran mereka dalam bidang pengurusan dan penganjuran acara.
"Kehadiran syarikat-syarikat ini menjadikan kempen ini bukan sahaja bermakna, tetapi juga satu platform untuk meningkatkan kesedaran kesihatan," jelasnya.
Wan Mohd Faizul menambah bahawa kempen ini telah berjaya mencetuskan impak positif dalam kalangan masyarakat setempat dan menggalakkan lebih ramai untuk tampil menderma darah pada masa akan datang.
Menurut beliau, sambutan hangat yang diterima adalah bukti kepedulian masyarakat terhadap isu-isu kesihatan dan kesedaran betapa pentingnya untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan.
“Respon yang diterima sangat positif. Kehadiran ramai ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus menganjurkan program-program seperti ini di masa akan datang, demi manfaat masyarakat keseluruhannya. Sambutan luar biasa daripada pelbagai organisasi dan masyarakat setempat memberi semangat baharu kepada kami,” ujar beliau lagi.
29 Oct 24
136
Tambah Baik Kemudahan Kesihatan Dan Keselamatan Di Kemaman
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengusulkan beberapa permintaan penting bagi memastikan kesejahteraan penduduk Kemaman.
Beliau menekankan keperluan mendesak untuk menambah baik kemudahan kesihatan dan keselamatan di kawasan tersebut yang semakin pesat membangun.
“Dalam sektor kesihatan, saya mencadangkan peningkatan taraf bagi beberapa klinik utama, termasuk Klinik Batu 2 1/2, Klinik Cukai, Klinik Kuala Kemaman, dan Klinik Kemasik.
“Berdasarkan dengan pertambahan pesakit di kawasan itu, peningkatan infrastruktur dan kemudahan kesihatan amat diperlukan. Dengan usaha ini akan membantu menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan selesa, demi kesejahteraan penduduk setempat,” ujarnya ketika berucap di hadapan wakil-wakil kerajaan dalam perbahasan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat, semalam.
Selain itu, Menteri Besar Terengganu turut menekankan aspek keselamatan, di mana beliau menyatakan bahawa dengan pertambahan populasi dan penempatan baharu, kawasan tersebut memerlukan tambahan kekuatan anggota keselamatan terutamanya dengan perkembangan kawasan industri.
“Saya memohon perhatian dan tindakan kerajaan untuk menaik taraf pondok – pondok polis di Kemaman, menaik taraf perjawatan Ketua Polis Balai dan Ketua Polis Daerah kepada jawatan hakiki yang lebih tinggi.
“Ia penting bagi memastikan keselamatan penduduk di Kemaman sentiasa terjamin dan mampu menghadapi cabaran baru akibat pertumbuhan pesat kawasan tersebut.
“Kemaman kini berkembang maju dan setiap penduduk berhak hidup dalam keadaan selamat dan selesa. Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini demi kebaikan kita bersama,” kata beliau.
29 Oct 24
195