Artikel "Utama" Terkini
Banjir: Peniaga Diharap Tidak Ambil Kesempatan Naikkan Harga
KUALA TERENGGANU, 2 Disember- Kerajaan memberi amaran kepada peniaga agar tidak menaikkan harga barangan keperluan asas terutamanya ketika musim tengkujuh yang masih melanda Terengganu ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu dalam mengawasi dan memantau harga barangan supaya peniaga tidak mengambil kesempatan daripada situasi banjir.
"Tindakan undang-undang akan diambil jika didapati ada peniaga yang berbuat demikian (naikkan harga barangan).
“Buat masa ini kami masih belum menerima apa-apa laporan kenaikan harga,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Peserta usahawan Belia Sejahtera (U-BES) 3.0 Dan 4.0 di Hotel Grand Puteri, semalam.
Mengulas lanjut katanya, pihak KPDN mempunyai kaedah tertentu untuk memastikan sama ada peniaga melanggar skim harga atau sebaliknya.
“Mereka sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sepanjang musim banjir ini.
“Justeru, kita mengharapkan tidak ada peniaga termasuk di kedai-kedai runcit dan yang menjual barangan basah mengambil kesempatan menaikkan harga atau sorok barang,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai boleh membuat aduan terus kepada pihak KPDN sekiranya terdapat peniaga yang menaikan harga barangan keperluan asas di mana-mana kawasan supaya mereka dapat menghantar pasukan melakukan siasatan dan pemeriksaan.
02 Dec 24
119
Tiada Keperluan Isytihar Darurat Banjir
SETIU, 1 Disember – Pengisytiharan darurat bencana banjir tidak diperlukan buat masa ini, meskipun lebih 150,000 mangsa terjejas di 10 negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan situasi banjir masih berada dalam kawalan dengan seluruh agensi keselamatan dan jentera kerajaan berfungsi dengan baik.
“Berdasarkan laporan Pasukan Keselamatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), darurat tidak perlu diisytiharkan.
“Jentera keselamatan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta agensi kerajaan Persekutuan, Negeri, dan Daerah, berjaya menguruskan situasi dengan cekap,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan dan santuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telaga Papan di sini hari ini.
Turut mengiringi beliau Menteri Besar Terengganu; Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir
Anwar turut memuji keberkesanan operasi pasukan keselamatan yang telah bertungkus-lumus memastikan keselamatan mangsa banjir dan kelancaran proses pemindahan.
“Semua pihak telah menunjukkan kerjasama luar biasa.
“Kesungguhan dan komitmen mereka jelas membantu mengawal situasi tanpa memerlukan pengisytiharan darurat,” tambahnya.
01 Dec 24
257
Bot Hanyut, Nelayan Rugi Hampir RM1 Juta
SETIU, 1 Disember – Kampung Telaga Papan dilanda tragedi meruntun hati apabila beberapa bot termasuk bot gentian kaca milik nelayan tempatan dihanyutkan ombak besar hingga mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta.
Seorang pemilik bot yang terkesan dengan kejadian itu, Jamaludin Mohamad, 57, berkata tragedi itu dipercayai berpunca daripada tekanan air banjir dan ombak besar yang menyebabkan tebing pecah pada tengah malam tadi.
“Saya hanya tahu tentang musibah ini pada awal pagi tadi selepas dimaklumkan oleh adik saya, yang juga tekong bot.
“Beliau menyedari kejadian itu sekitar jam 6 pagi ketika rutin harian untuk memeriksa bot,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pesisir pantai Kg Telaga Papan, di sini hari ini.
Tambah Jamaludin, sebaik tiba di jeti yang terletak kira-kira 500 meter dari pantai, dia terkejut dan sedih apabila melihat semua bot milik nelayan kampung telah hilang.
“Tali pengikat bot-bot itu putus, menyebabkan semuanya dihanyutkan ombak.
“Saya terus ke pantai, dan apa yang saya lihat amat memilukan, bot-bot bersepah-sepah seperti sampah yang dibawa arus,” katanya.
Jamaludin, yang memiliki dua bot kelas A, satu bot kelas B, dan beberapa bot gentian kaca, menganggarkan kerugiannya lebih daripada RM200,000.
Meskipun begitu, dia merasa sedikit lega kerana kesemua bot yang hanyut berjaya diselamatkan.
“Semua bot dapat diselamatkan, tetapi kebanyakan daripadanya perlu dibaiki.
“Apabila bot keluar dari muka kuala, ia berlanggar dengan ombak besar yang menyebabkan bahagian bot banyak yang pecah dan rekahan berlaku.
“Mungkin, proses membaikinya akan memakan masa hampir setahun, kos membaikinya sangat tinggi dan memerlukan kerja yang amat memakan masa,” jelas beliau dengan kesedihan terbayang di wajahnya.
Seorang lagi mangsa, Khairul Hassan Mohamad, 54, turut berkongsi kisahnya dengan penuh kesedihan.
“Air malam tadi sangat besar, dengan ombak setinggi 2.7 meter.
“Bot-bot yang berjaya diselamatkan selepas tersadai di pantai pun banyak yang rosak teruk, terutama pada badan dan enjin.
“Sebuah bot saya hancur sepenuhnya, dan kos untuk membaikinya sangat tinggi. Ia akan mengambil masa yang panjang untuk dibaiki,” luahnya.
01 Dec 24
263
Tebing Runtuh Ancam Kediaman Satu Keluarga di Kuala Berang
HULU TERENGGANU, 1 Disember - Sebuah kediaman di Taman Dato Haji Abdul Rahman dekat sini berhadapan risiko bahaya susulan kejadian tanah mendap dan tebing runtuh yang berlaku selepas hujan lebat petang semalam.
Kejadian tanah runtuh dipercayai berlaku sekitar jam 1 hingga 3 pagi itu turut merebahkan tangki air milik penghuni yang terletak di tebing alur sungai berkenaan.
Menurut Muhammad Saufi Hashim, 38, kejadian ini kali pertama berlaku, berkemungkinan berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, ketika kejadian, dia sekeluarga langsung tidak menyedarinya dan hanya tahu pada waktu pagi.
"Tiba waktu pagi, kakak saya bersungut bekalan air terputus dan menaruh syak tangki bocor.
"Saya pun keluar nak periksa dan terkejut tengok keadaan yang mana tangki air dah terjunam dalam alur tersebut beserta peralatan kerjanya," ujarnya ketika ditemui.
Namun bapa kepada empat anak itu bersyukur kejadian tanah runtuh yang berlaku bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau sebarang kecederaan.
Justeru itu, dia membuat keputusan berpindah rumah demi keselamatan mereka sekeluarga kerana masih berlaku pergerakan tanah yang menyebabkan rumahnya berisiko runtuh.
Sementara itu, kejadian tersebut telah mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan agensi-agensi berkaitan yang telah turun ke lokasi berkenaan petang tadi.
01 Dec 24
1771
Banjir : Peruntukan Tambahan RM25 juta untuk Terengganu, Kelantan
SETIU, 1 Disember – Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM25 juta, bagi bencana banjir untuk Terengganu dan Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah itu adalah tambahan kepada RM50 juta yang telah diluluskan sebelum ini melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Kita akan beri kerjasama penuh dan bantuan menyeluruh untuk Kelantan dan Terengganu.
“Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, RM50 juta telah diluluskan. Namun, selepas menilai keperluan terkini dan mendapati jumlah mangsa terjejas lebih besar daripada jangkaan awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan dan santuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telaga Papan di sini hari ini.
Turut mengiringi beliau Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.
Menurut Menteri Kewangan itu, peruntukan berkenaan akan digunakan untuk membaiki infrastruktur asas seperti jalan raya, pembentung dan menaikkan aras jalan di kawasan Hulu Besut yang terjejas teruk akibat banjir.
“Selain itu, kerja-kerja pembersihan, termasuk tandas-tandas sekolah, turut dimasukkan dalam peruntukan tambahan.
“Kerja-kerja pembersihan ini penting supaya sekolah dapat beroperasi semula tanpa gangguan,” tambah beliau.
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa negeri-negeri lain yang terjejas akibat banjir akan menerima bantuan berdasarkan keperluan masing-masing.
“Kita sedang pantau keadaan di negeri-negeri lain.
“Saya jangka keseluruhan bantuan banjir di seluruh negara kali ini hampir mencecah RM1 bilion,” ujarnya.
01 Dec 24
254
Pelajar Tetap Semangat Hadir Kem Motivasi Walau Berhadapan Banjir
Oleh : Syahida Mohd
KUALA NERUS, 30 November - Berhadapan situasi banjir tidak mematahkan semangat calon Sijil pelajaran Malaysia (SPM) untuk menghadiri Kem Motivasi Pecutan Akhir yang diadakan semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, program berkenaan merupakan kemuncak akhir setelah Tuisyen Rakyat diadakan sebelum ini bagi memastikan kesemua pelajar yang akan menduduki peperiksaan bakal memperolehi keputusan cemerlang.
"SPM ini adalah langkah pertama kita nak pergi ke peringkat lebih atas, dan kuncinya ada di situ (SPM).
"Jadi anak-anak perlu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kunci kejayaan ini dalam SPM," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas menghadiri program berkenaan, yang diadakan di Al-Riyadah Residen Gong Badak,di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abas, Amir Husin Ali, Ketua Sektor Akademik dan Ketua Sektor Akademik Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT), Nor Afendi Mahyiddin.
Dalam pada itu Hishamuddin berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap pendidikan anak-anak Terengganu kerana itu diperkenalkan Tuisyen Rakyat.
Sementara itu, sebanyak empat buah sekolah di DUN berkenaan iaitu Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT), SMK Bukit Guntong, SMK Kompleks Gong Badak dan SMK Dato' Haji Abas telah menerima sumbangan kewangan dan Kit Peperiksaan SPM.
Menurut Hishamuddin sumbangan itu diberikan sebagai galakan untuk mengadakan tuisyen.
"Kita bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mereka adakan tusiyen di sekolah masing-masing dan kita salurkan terus sumbangan kepada pihak sekolah," ujarnya.
01 Dec 24
171
Dapur Rakyat PKM Sura Bantu Mangsa Banjir
DUNGUN, 1 Disember - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura mengambil inisiatif mewujudkan Dapur Rakyat sebagai usaha membantu mangsa banjir yang terjejas akibat hujan lebat yang melanda kawasan tersebut.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tg Md Fauzi, usaha itu dilaksanakan berikutan jumlah mangsa banjir di kawasan DUN Sura yang meningkat secara mendadak dengan banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, kini terperangkap dalam banjir.
Menurutnya, Dapur Rakyat berfungsi menyediakan makanan dan keperluan asas kepada mereka yang terjejas dan dijalankan secara bergotong-royong, di mana sukarelawan dan anggota masyarakat bersama-sama menyediakan makanan untuk mangsa banjir.
"Kita menghadapi situasi yang luar biasa ketika ini. Banyak kawasan yang tidak dijangka akan tenggelam, kini telah terjejas teruk.
"Kami berterima kasih kepada semua sukarelawan dan dermawan yang telah menunjukkan semangat kebersamaan ini. Bantuan seperti ini sangat penting bagi memastikan tiada yang tertinggal dalam proses pemulihan pasca banjir.
"Kami juga amat mengalu-alukan bantuan daripada semua pihak. Bagi mereka yang ingin menyumbang, sama ada dalam bentuk barang keperluan memasak atau sumbangan wang ringgit, anda boleh menyertai kami dalam meringankan penderitaan mangsa banjir ini," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Tambahnya, selain menyediakan makanan, PKM Sura juga berusaha memastikan bahawa bantuan terus sampai kepada mangsa yang memerlukan, terutama mereka yang terperangkap di kawasan-kawasan yang sukar diakses.
Dr. Fakhruddin berharap, inisiatif kecil yang diusahakan untuk sama-sama 'merasai' keperitan mangsa banjir, dapat memberi sedikit kelegaan dalam menghadapi ujian besar ini.
01 Dec 24
299
Exco Cadang Tangguh Tutur BM SPM, Emosi Pelajar Terjejas
KUALA TERENGGANU, 1 Disember- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya lebih peka dan prihatin terhadap keperluan emosi yang dihadapi calon-calon Sijili Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menangguhkan ujian lisan Bahasa Melayu yang akan bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berharap, keputusan itu ada dalam pertimbangan Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek sebagai pihak yang bertanggungjawab.
"Kalaulah ada ruang untuk pandangan ini didengari, suka saya cadangkan peperiksaan amali dan tutur SPM dapat ditangguhkan terlebih dahulu.
"Sebahagian anak-anak calon SPM di Kelantan dan Terengganu yang terjejas banjir, mereka amat terjejas emosi.
"Berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan sekolah pula digunakan sebagai PPS akan memberikan kesan yang tidak langsung buat mereka yang terkesan," katanya melalui satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Tambahnya, bukan sahaja pelajar sebaliknya guru-guru juga terkesan dengan bencana yang menimpa sembilan buah negeri ketika ini.
Jadi, amat wajar untuk ada sedikit perasaan simpati dan empati," ujarnya.
Setakat tengahari ini, Terengganu merekodkan 42,040 mangsa terlibat banjir di seluruh daerah. Sebanyak 306 PPS dibuka bagi menempatkan lebih 11,000 ribu keluarga dalam serba kekurangan.
01 Dec 24
599
Banjir: TNB Tutup Bekalan Elektrik Di Sekitar Marang, Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 1 Disember- Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menutup bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Marang dan Kuala Terengganu hari ini.
Langkah itu diambil demi keselamatan pengguna setempat susulan insiden hujan dan banjir.
TNB Careline menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, kawasan yang terputus bekalan elektrik susulan penutupan itu adalah di Kem Panji Alam, Marang serta Wisma TG Ramly dan Tepoh di Kuala Terengganu.
"Orang ramai turut diingatkan untuk elak penggunaan alat elektrik dan pastikan suis utama ditutup bagi mengelakkan renjatan.
“Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai," katanya.
01 Dec 24
2260
Kerajaan Pantau Situasi Banjir, Pastikan Bantuan Disalur Segera - MB
KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi berkaitan akan terus memantau situasi banjir dan memberi perhatian terhadap keperluan mangsa dengan memastikan segala bantuan disalurkan segera.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelbagai usaha telah dan sedang digerakkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa yang terjejas, termasuk penyediaan makanan, pakaian dan perkhidmatan kesihatan di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terkawal.
"Saya mengajak semua rakyat untuk terus berdoa agar setiap daripada kita yang diuji ketika ini diberikan kesabaran dan dipermudahkan segala urusan.
"Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menghadapi ujian ini dengan tabah, insya-Allah," ujar beliau dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mengingatkan seluruh rakyat agar sentiasa mengikuti arahan keselamatan yang diberikan oleh pihak berkuasa dan bekerjasama bagi memastikan keadaan banjir ini dapat ditangani dengan baik.
Terdahulu, Ahmad Samsuri telah turun meninjau beberapa PPS di Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kuala Terengganu sejak Khamis lalu hingga semalam bagi bertemu mangsa banjir dan memastikan operasi di pusat penempatan mangsa banjir berjalan lancar.
01 Dec 24
221