Artikel "Utama" Terkini
43,273 Mangsa Banjir Terengganu Berlindung Di 307 PPS
KUALA TERENGGANU, 1 Disember- Situasi banjir di negeri ini tidak menunjukkan perubahan positif apabila jumlah penduduk yang terjejas kini mencecah 43,273 mangsa daripada 11,707 keluarga.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, semua mangsa banjir kini berlindung di 307 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah di negeri ini.
Sehingga jam 10 pagi ini, katanya, daerah Besut masih mencatatkan mangsa tertinggi iaitu seramai 16,091 daripada 4,303 keluarga dan berlindung di 121 PPS.
"Jumlah mangsa banjir di daerah Hulu Terengganu adalah seramai 7,073 mangsa daripada 2,204 keluarga dan berada di 59 PPS.
"Seramai 6,248 mangsa daripada 1,645 keluarga berlindung di 49 PPS di daerah Setiu, manakala di daerah Dungun mencatatkan jumlah mangsa seramai 6,472 daripada 1,628 keluarga di 39 PPS," ujarnya.
Menurutnya, jumlah mangsa banjir yang berlindung di 10 PPS di daerah Kemaman adalah seramai 1,230 mangsa daripada 340 keluarga.
"Seramai 2,399 mangsa daripada 648 keluarga daripada daerah Kuala Nerus menghuni 12 PPS manakala mangsa di daerah Kuala Terengganu adalah seramai 2,987 daripada 739 keluarga dan berlindung di sembilan PPS.
"Hanya 773 mangsa daripada 200 keluarga berlindung di lapan PPS di daerah Marang," katanya.
01 Dec 24
174
'Saya Cuba Tolong Adik-Adik Tapi Gagal' - Abang Mangsa
HULU TERENGGANU, 30 November - "Saya berusaha alihkan sisa runtuhan namun gagal setelah berlakunya pergerakan tanah dan tiba-tiba saya tidak sedarkan diri," ujar Uzair Azman,17.
Dia merupakan mangsa yang terselamat daripada tragedi tanah runtuh yang turut mengorbankan dua adik perempuannya di Kampung Bukit Apit, Ajil petang semalam.
Uzair yang dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, pukul 11 malam berkata, dia sempat mendengar jeritan serta melihat salah seorang adik perempuannya di bawah runtuhan sebelum tidak sedarkan diri.
Berkongsi cerita, sebelum kejadian dia berada di rumah jiran berdekatan dan tiba-tiba dikejutkan bunyi kuat runtuhan tanah sebelum diikuti jeritan meminta tolong oleh abangnya, Abdul Raziq,18.
"Saya segera pulang serta meluru masuk untuk cuba selamatkan adik-adik namun tidak berjaya... terdengar suara adik minta tolong.
"Saya juga nampak kelibat salah seorang daripada mereka beberapa ketika sebelum dia tertimbus setelah terjadinya satu lagi runtuhan di bahagian ruang tamu.
"Manakala abang dalam bilik belakang. Dia sempat keluar selamatkan diri memandangkan bilik itu tidak terkena runtuhan tanah," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggung, Ajil, dekat sini hari ini.
Tambahnya yang merupakan anak keempat dari tujuh beradik, ketika kejadian ibunya, Ruziah Fuad, 46, tiada di rumah kerana mempunyai urusan di luar.
Sementara itu, anak sulung Ruziah iaitu Aminuddin Azman, 25, berkata walaupun sedih dengan kejadian menimpa namun dia reda dengan ketentuanNya.
"Semoga ibu kembali kuat kerana ibulah yang menjadi ketua keluarga selepas kematian ayah pada 2019 dan menjaga kami tujuh beradik dengan hasil jualan sebagai penjual kuih," ujarnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan dua beradik maut dan seorang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil kira-kira 4.30 petang pada Jumaat.
30 Nov 24
304
PPS DUN Manir Dibuka, 200 Keluarga Terlibat Banjir Dipindahkan
HULU TERENGGANU, 30 November - Kira-kira 200 keluarga terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)apabila hujan lebat berterusan sejak beberapa hari menyebabkan beberapa kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) mula Manir dilanda banjir.
PPS pertama dibuka di SK Pulau Bahagia sekitar jam 10 pagi selepas paras air mula naik sekitar jam 4 pagi semalam dan sehingga jam 5 petang ini seramai 150 keluarga didaftarkan.
Sementara itu PPS SK Teluk Menara kira-kira 50 keluarga terlibat.
Anggaran seramai 1000 mangsa telah dipindahkan ke PPS itu dengan bantuan anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sukarelawan Anggota Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia DUN Manir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, semua pihak perlu terus bekerjasama demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga yang terjejas banjir.
"Kami memahami kesukaran yang dialami penduduk akibat bencana ini.
"Kerajaan dan pihak DUN bersama agensi-agensi berkaitan sentiasa komited untuk memastikan mangsa banjir mendapat bantuan segera, termasuk makanan, pakaian, dan rawatan kesihatan, katanya ketika melawat mangsa banjir di Pulau Manis.
Beliau yang turun padang meninjau keadaan di beberapa kampung terlibat, menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa yang terjejas.
Hilmi juga memuji tindakan pantas pihak berkuasa dan sukarelawan dalam menguruskan situasi kecemasan ini.
Dalam pada itu, Penghulu Mukim Belara, Khairul Shahril Othman turut berkata, paras air di beberapa kawasan masih meningkat, dan lebih banyak PPS bersedia untuk dibuka sekiranya jumlah mangsa terus bertambah.
"Penduduk di kawasan berisiko tinggi dinasihatkan untuk terus mematuhi arahan evakuasi dan tidak mengambil risiko tinggal di rumah," ujarnya.
Antara kampung terlibat Teluk Menara, Kedai Manir, Sekati, Banggol, Tualang, Taman Hamparan Permai, Batu Hampar dan Pulau Manis.
30 Nov 24
287
Ahmad Zahid Arah Pihak Berkuasa Pantau Lokasi Tanah Runtuh
HULU TERENGGANU, 30 November - Kerajaan Persekutuan mengarahkan pihak berkuasa meninjau lokasi di kawasan cerun atau lereng bukit serta gunung yang berisiko berlaku tanah runtuh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi memastikan insiden tanah runtuh yang berlaku di Kampung Bukit Apit tidak berulang lagi.
"Oleh kerana soal tanah runtuh ini di bawah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), kita akan menghantar pasukan daripada jabatan itu untuk ke lokasi.
"Ini adalah kerana kita melihat laluan air bawah tanah yang dikhuatiri akan menyebabkan runtuhan selanjutnya berlaku," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Bukit Apit di sini hari ini.
Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa, Ruziah Fuad, 46, yang kini menetap di rumah sewa baharu yang disediakan oleh kerajaan negeri di kawasan berhampiran.
Terdahulu beliau meluangkan masa meninjau lokasi berlakunya runtuhan bersama beberapa agensi dan jabatan kerajaan.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Maliaman Kassim.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat juga berharap orang ramai yang mempunyai kediaman atau tinggal di kawasan cerun atau di kawasan lereng bukit atau gunung supaya lebih berhati-hati terutamanya dalam musim Monsun Timur Laut ini.
"Dan saya merasakan bahawa semua pihak harus bersiap-siaga kerana keadaan MTL ini pada 2024 lebih buruk daripada 2014.
"Ia bukan hanya berlaku di negeri-negeri Pantai Timur, tapi juga berlaku di sembilan negeri, ertinya ia disebabkan pemanasan global dan juga 'climate change'... maka semua kemungkinan boleh berlaku," katanya.
30 Nov 24
123
Hanafiah Iring Zahid Santuni Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 30 November - Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyantuni mangsa banjir di Terengganu hari ini.
Dalam kunjungan itu, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan kini sedang membina 14 Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di setiap negeri.
"Di Hulu Terengganu kita telah menerima permohonan daripada pemimpin tempatan dan kita akan pertimbangkan untuk fasa kedua.
"Saya telah minta pegawai daerah untuk kenal pasti kawasan yang sesuai bagi pembinaan PPKB ini.
"Peruntukan telah pun ada dan Perdana Menteri sendiri berikan peruntukan keseluruhan kepada NADMA bagi belanjawan tahun depan sebanyak RM600 juta iaitu melebihi RM100 juta daripada peruntukan tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Matang di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Mohd Zawawi Ismail.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan mengagihkan bantuan RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir di seluruh negara termasuk negeri ini bermula hari ini.
Kata beliau, pihaknya akan memastikan bantuan yang diagihkan kepada setiap KIR yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan mengikut syarat ditentukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan diterima oleh semua yang terjejas banjir secara berfasa.
"Kita juga meminta kerajaan negeri untuk mengusahakan bantuan dan juga mengadakan dana kecemasan sudah tentu kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri yang sangat baik ini akan ditingkatkan.
"Mesti mencari jalan bagi meringankan beban keluarga yang dipindahkan serta rumah-rumah yang mengalami kerosakan serta segala peralatan di rumah yang mengalami kerosakan dapat dibaiki dan diganti.
"Adalah mustahil untuk mana-mana kerajaan sama ada pusat atau negeri untuk memberikan pampasan secara keseluruhan kerana ini adalah 'hand of god', takdir yang melanda dan kita harus istiqamah untuk menentukan bahawa kerjasam semua pihak amat diperlukan bagi mendepani permasalahan ini," ujarnya.
Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa kerajaan mempunyai peruntukan secukupnya untuk diagihkan kepada seluruh KIR yang terkesan banjir.
30 Nov 24
180
Jenazah Dua Beradik Disemadikan Dalam Satu Liang Lahad
HULU TERENGGANU, 30 November - Jenazah dua beradik yang merupakan mangsa insiden tanah runtuh di Kampung Bukit Apit selamat dikebumikan pada 1.00 tengah hari tadi.
Jenazah Puteri Sajidah Azman, 16,dan adiknya Siti Fatimah, 13, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggong.
Jenazah dua beradik itu tiba di perkarangan tanah perkuburan pada jam 11.30 pagi diiringi lebih 100 ahli keluarga dan kenalan selepas dibawa pulang dari Hospital Sultanah Nur Zahirah dan disembahyangkan di Masjid Kampung Bukit Apit .
Solat jenazah diimankan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Maliaman Kassim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil serta lebih 200 orang kampung sekitar.
Dalam kejadian semalam, satu kejadian tanah runtuh telah berlaku ketika hujan lebat dan menyebabkan tiga terperangkap dalam runtuhan tersebut.
Dua maut dan seorang lagi mangsa yang terselamat iaitu Uzair Azman, 17, dibawa ke HSNZ untuk rawatan.
30 Nov 24
384
44 PPS Dibuka Di Daerah Dungun
DUNGUN, 30 November - 44 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Daerah Dungun setakat jam 10.00 pagi tadi, berikutan banjir di beberapa kawasan dalam daerah ini.
Menurut kenyataan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD) Dungun semua PPS di Dungun kini menempatkan seramai 3,653 mangsa daripada 1,030 keluarga yang membabitkan empat Dun terjejas iaitu Dun Bukit Besi, Rantau Abang, Sura dan Paka.
Hujan lebat dan agak kerap berlaku juga menyebabkan tiga sungai utama di Daerah Dungun ini naik mendadak semalam.
Setakat laporan pagi ini, air Sungai Pasir Raja menurun, kini mencatat 36.97 meter tahap normal.
Manakala Sungai Kuala Jengal dan Jambatan Jerangau paras air tahap bahaya kerana air sungai dari Pasir Raja menurun ke dua kawasan ini.
Semalam telah diadakan satu taklimat khas bersama Incident Commander Khidmat Malaysia Dungun (KHIDMAT), Wan Hassan Mohd Ramli, Khidmat Malaysia Kawasan Dungun, Jabatan Amal Kawasan Dungun, Pacuan 4x4 Dungun (PADAT) dan Sukarelawan Banjir Dun Bukit Besi yang diadakan di Bilik Gerakan Operasi Banjir Dun Bukit Besi.
Dalam taklimat tersebut, Wan Hassan yang juga merupakan Ahli Parlimen Dungun berkata orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.
"Insya-Allah jentera kami akan senantiasa memantau dan memberi khidmat tenaga bantu untuk mangsa banjir di Dungun. Doakan semoga kami dipermudahkan segala urusan," Ujarnya
30 Nov 24
403
Mangsa Banjir Terengganu Cecah 31,275, Semua Daerah Terjejas
KUALA TERENGGANU, 30 November - Situasi banjir di Terengganu semakin kritikal apabila semua lapan daerah kini terjejas akibat hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Laporan terkini daripada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menunjukkan sejumlah 31,275 mangsa daripada 8,612 keluarga telah dipindahkan ke 313 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri.
Besut mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 13,268 orang yang ditempatkan di 115 PPS, diikuti Hulu Terengganu dengan 5,798 mangsa di 62 PPS.
Exco Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah meninjau mangsa banjir di PPS daerah Kuala Terengganu.
Daerah Kemaman pula merekodkan 2,104 mangsa, manakala Dungun, Setiu, Marang, Kuala Nerus, dan Kuala Terengganu masing-masing mencatatkan ratusan hingga ribuan mangsa yang dipindahkan.
Kawasan Kuala Terengganu yang sebelum ini tidak terkesan kini melaporkan 258 mangsa daripada dua PPS.
Ini menjadikan keseluruhan daerah di Terengganu kini berada dalam zon banjir, menandakan bencana ini telah meliputi seluruh negeri.
29 Nov 24
636
Kerajaan Negeri Sediakan Rumah Sewa Untuk Mangsa Tanah Runtuh
HULU TERENGGANU, 29 November - Kerajaan negeri mengambil tindakan segera menyediakan rumah sewa untuk didiami waris mangsa tanah runtuh bermula malam ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Maliaman Kassim berkata pihaknya juga akan membantu menguruskan pengebumian dua beradik tersebut.
“Kami juga akan salurkan bantuan bersesuaian kepada mangsa yang dirawat di hospital,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata demikian ketika ditemui di lokasi insiden tanah runtuh di Jalan Bukit Apit, Ajil di sini hari ini.
Dalam kejadian tersebut, dua beradik disahkan maut dan seorang lagi cedera akibat runtuhan tanah yang menimbusi rumah mereka.
Ketika kejadian, ibu kepada tiga beradik itu tidak berada di rumah kerana sedang berniaga di Bukit Diman manakala salah seorang lagi anaknya sedang bekerja.
29 Nov 24
412
Penduduk Rantau Abang Diminta Berwaspada
Oleh: Wan Al Affan Bassam Wan Manam
DUNGUN, 29 November- Penduduk di sebelah pedalaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang dinasihatkan berwaspada ekoran paras air yang semakin meningkat di beberapa kawasan dalam DUN berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, sehubungan itu orang ramai perlu mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.
"Jika perlu berpindah, segera berpindah tidak perlu bertangguh lagi.
"Ibu bapa perlu mengawasi anak masing- masing dan tidak membiarkan mereka keluar bermain air banjir bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," ujarnya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Serdang di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti - aktiviti di luar rumah kecuali yang perlu sahaja.
"Pihak kami dan agensi-agensi yang terlibat dalam keadaan berjaga-jaga, sentiasa 'alert' dengan sebarang kemungkinan," tambahnya.
29 Nov 24
724