Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Kembali ‘Bah’, 739 Mangsa di lapan PPS di Kemaman
KUALA TERENGGANU, 10 Disember - Terengganu kembali dilanda banjir gelombang kedua susulan hujan berterusan sejak semalam yang menyaksikan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kemaman.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 739 mangsa daripada 189 keluarga berada di lapan PPS di daerah berkenaan.
“Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik mencatatkan mangsa paling tinggi setakat pagi ini yang menempatkan 264 mangsa dari 76 keluarga yang diikuti dengan Dewan Sivik Pengkalan Cicar Bukit Kuang dengan 149 mangsa dari 34 keluarga.
"Di PPS Balai Raya Meraga Beris pula menempatkan 98 mangsa daripada 24 keluarga dan 79 mangsa daripada 20 keluarga kini berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol,"ujarnya.
Sementara itu, di Balai Raya Beris Nenas pula mempunyai 67 mangsa daripada 15 keluarga manakala 55 mangsa daripada 15 keluarga berada di PPS SK Pengkalan Ranggon.
“Seramai 19 mangsa daripada empat keluarga sudah mula berpindah ke PPS SK Kampung Baru Kerteh manakala lapan sekeluarga pula berada di PPS Balai Raya Kampung Gelugor," tambahnya.
Jumlah mangsa banjir kembali menunjukkan peningkatan setakat 8 pagi Selasa susulan amaran hujan lebat berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hingga Rabu ini.
Setakat ini, hujan melanda di kebanyakan kawasan di Terengganu.
Terdahulu, banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak 23 November lepas pulih selepas semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi sebelum ini, ditutup pada 6 Disember baru-baru ini.
10 Dec 24
263
Penyelenggaraan Longkang Selesaikan Masalah Banjir Di Tok Jembal
KUALA NERUS, 9 Disember - Projek pembersihan dan penyelenggaraan longkang di Kampung Tok Jembal dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir berjaya mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan kali ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat, berkata, beliau berterima kasih kepada Datuk Bandar Kuala Terengganu.
"Secara peribadi saya mewakili masyarakat DUN Seberang Takir mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato' Bandar Kuala Terengganu dan MBKT yang telah menyelenggara dua longkang di kawasan Tok Jembal yang kita maklum menjadi punca kegagalan air mengalir ke laut.
"MBKT telah berjaya mendapat peruntukan dari Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) seterusnya adalah diharapkan dengan kerja-kerja selenggara longkang ini juga dapat mengelakkan berlakunya impak banjir di Taman Uda Murni dan sekitarnya, " ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tok Jembal, Zainal Lasim, 65, ketika dihubungi berkata, beliau menzahirkan rasa syukur kerana tidak berlaku banjir pada tahun ini.
"Alhamdulillah, setakat ini tidak berlaku banjir di kawasan Taman Murni Permai disebabkan pihak kerajaan telah berusaha mengorek dan membersihkan longkang sepanjang 1.3 kilometer bagi kelancaran air mengalir ke laut telah pun selesai dijalankan sebelum tiba musim tengkujuh baru-baru ini.
"Sebelum ini, bila tiba Monsun Timur Laut, apabila satu atau dua jam hujan turun, selalunya memang air laju masuk ke sini terutamanya di Taman Murni Permai.
"Penduduk di sini bimbang setiap kali tiba musim tengkujuh, terpaksa berjaga malam risau akan keadaan air, namun kali ini air tidak masuk ke rumah, mereka bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas usaha mengelakkannya daripada berulang," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Abdul Jalil, 60, amat bersyukur kerana tidak lagi perlu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Maklumlah, bila air masuk dalam rumah memang penat, letih. Wang pun banyak habis nak beli barang-barang rumah yang rosak.
"Terima kasih buat barisan JPKK di sini yang bertungkus lumus siang malam demi memastikan hasrat penduduk Taman Murni Permai tidak mengalami banjir kini menjadi kenyataan," katanya.
09 Dec 24
229
Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
MARANG, 9 Disember- Isu banjir di kawasan Perkampungan Darul Barakah bakal diatasi susulan beberapa langkah yang akan diambil oleh kerajaan negeri dan pihak berkaitan bagi menangani permasalahan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, berikutan pusat pemulihan dadah secara holistik itu terletak di kawasan rendah ia menyumbang kepada berlakunya limpahan air sungai setiap tahun dan musibah banjir.
Justeru katanya, penambahbaikan dilihat amat diperlukan bagi meminimakan impak banjir selain membaiki infrastruktur di kawasan tersebut.
“Jadi kita ambil perhatian, antara masalah yang dihadapi pelatih di sini adalah asrama mereka berada di kawasan dinaiki air ketika banjir.
“Satu alternatif perlu dilakukan untuk menangani masalah ini, samada dengan bina satu dewan lain di tempat yang lebih tinggi dalam kawasan ini bagi dijadikan pusat pemindahan mereka ketika banjir ataupun dengan cara atau kaedah lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan banjir oleh Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Terengganu kepada pelatih di Perkampungan Darul Barakah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, buat masa ini pihaknya sedang mengumpul segala maklumat berkaitan isu atau masalah yang dihadapi institusi terbabit.
“Kita telah kenal pasti, jadi kita akan letakkan sebagai keutamaan demi memastikan kebajikan pelatih di sini sentiasa terjaga,” ujarnya.
09 Dec 24
190
Kerajaan Negeri Peruntuk RM20 Ribu, Selamatkan Kediaman Dari Hakisan Pantai
KUALA NERUS, 9 Disember - Kerajaan negeri mengambil langkah segera dengan peruntukan RM20,000 bagi menyelamatkan sebuah rumah yang didiami sebuah keluarga serta sebuah surau berikutan hakisan berlaku di Pantai Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, usaha tersebut diambil kerana hakisan semakin dekat dan dikhuatiri mengundang risiko kejadian tidak diingini.
"Ini merupakan projek sementara bagi memastikan rumah serta sebuah surau ini dapat diselamatkan dengan kaedah meletakkan batu-batu besar supaya tanah itu tidak runtuh pada malam ini ataupun boleh bertahan selama beberapa hari sebelum diambil langkah seterusnya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas mengadakan lawatan di Pantai Maras Batu Rakit berkaitan hakisan pantai dan tambun batu, di sini, hari ini.
Terdahulu, pemilik rumah, Mazlan Abdullah, 56, berkata jarak hakisan dengan rumahnya kini hanya kira-kira dua meter menyebabkan dia bimbang kediaman yang dibina sejak 30 tahun lalu runtuh.
Dia yang juga merupakan pengusaha kedai makan berhampiran rumahnya berkata, dengan tindakan segera yang diambil oleh kerajaan memberikannya sedikit kelegaan.
"Timbunan batu ini sekurang-kurangnya mampu mengurangkan kelajuan ombak," ujarnya.
09 Dec 24
333
60 Pelatih Perkampungan Darul Barakah Terima Sumbangan Banjir
MARANG, 9 Disember- Seramai 60 pelatih Perkampungan Darul Barakah yang terjejas banjir menerima sumbangan barangan keperluan asas, hari ini.
Bantuan berkenaan disumbangkan Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban pelatih di pusat pemulihan dadah secara holistik itu.
“Dilaporkan pelatih –pelatih di sini terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan kerana asrama mereka telah dinaiki air ketika banjir baru-baru ini.
"Sumbangan melibatkan keperluan asas seperti beras, minyak, tepung dan lain-lain untuk kegunaan harian.
"Semoga sedikit sebanyak sumbangan ini dapatlah digunakan sebaiknya oleh pelatih ketika pasca banjir ini," ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan berkenaan.
Sementara itu, mengulas mengenai bantuan kepada pelatih terlibat banjir, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan membincangkan perkara berkenaan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Buat masa ini kita akan tengok berkaitan kebajikan mereka kerana ada melibatkan portfolio, agensi dan jabatan yang lain.
“Kita akan bincang peringkat dalaman dahulu dan akan kenal pasti apa yang boleh diselesaikan,” ujarnya.
09 Dec 24
171
Keberkesanan Pulau Buatan Akan Dinilai Semula Setelah Siap 2026
KUALA NERUS, 9 Disember - Pulau Buatan yang akan berperanan sebagai 'breakwater' (pemecah ombak) akan dinilai semula selepas projek itu selesai pada September 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, dalam tempoh projek itu berjalan maka pelbagai spekulasi serta pandangan akan dilontarkan oleh orang ramai.
Katanya, projek yang menelan kos sebanyak RM90 juta tersebut kini sedang giat berjalan dan dijangka siap pada September 2026.
"Bila semua siap 'breakwater' ini maka pada masa itulah kita akan lihat kesan dia tetapi setakat kajian yang dibuat, konsultan memberikan pandangan kepada kita untuk buat projek ini dahulu.
"Tetapi dalam proses pembuatan ini macam-macam pandangan akan diutarakan jadi tunggu dia siap pada 2026 kita akan lihat, sekarang ini bertahan dahulu dan macam hari ini kita tambah timbunan batu untuk menyelamatkan sebuah rumah dan sebuah surau di Pengkalan Maras," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas mengadakan lawatan di pantai Maras Batu Rakit berkaitan berlakunya hakisan pantai, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.
Dalam pada itu Shafizi berkata, pihaknya mengambil cakna dengan kebimbangan orang ramai yang melihat hakisan itu saban tahun semakin ketara dan kian meruncing.
"Ia telah berlaku sekian lama dan sekarang ini sangat berat sehingga menghampiri jalan, kerana itu Pusat Khidmat Masyarakat kerap buat pemantauan dan telah mengarahkan agar peniaga yang berniaga di sebelah sini berpindah ke seberang jalan," katanya.
Tegasnya, beliau kerap kali menyuarakan keresahan orang ramai di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana pihaknya tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah melalui peruntukan yang terhad.
"RM90 juta untuk membuat pulau ini sebenarnya tidak cukup dan memerlukan penambahan sebab hakisan ini keterlaluan dan bertambah dari hari ke hari.
"Selain itu dalam sidang DUN baru ini saya juga meminta pandangan daripada pihak kerajaan negeri sama ada projek yang dibuat ini boleh menyelamatkan keadaan ataupun tidak," ujarnya.
09 Dec 24
285
Anak, Bapa Didakwa Laku Jenayah Syariah
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, hari ini secara berasingan atas pertuduhan kesalahan khalwat dan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah bersama pasangan masing-masing.
Dalam kes terbabit, Nurul (bukan nama sebenar), 20, didakwa melakukan kesalahan khalwat berulang bersama pasangannya, Asyraf (bukan nama sebenar), 20, di bawah Seksyen 31 (a)(b) Enakmen Jenayah Syariah (Takzir)(Terengganu) pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Manakala, bapanya, Mat (bukan nama sebenar), 53, dan pasangan, Ainun (bukan nama sebenar), 37, pula didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Takzir)(Terengganu) 2001 atas perbuatan sebagai persediaan melakukan persetubuhan luar nikah, dalam kes berasingan.
Nurul dan Asyraf, terlepas hukuman sebat bagi kesalahan khalwat berulang dan masing-masing dikenakan denda sebanyak RM3,000 dan RM4,000.
Hakim Syarie, Hamidi Shafie juga memerintahkan kedua-dua pelajar kolej di Kuala Terengganu itu untuk menjalani hukuman penjara empat bulan dan enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Sebagai rekod, kesalahan khalwat berulang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, sebatan sehingga enam kali dan denda sehingga RM5,000.
Pasangan itu ditangkap kali kedua bagi kesalahan tersebut di sebuah pangsapuri di bandaraya tersebut pada 4.15 pagi, 18 Mac lalu.
Mereka turut diberkas atas kesalahan khalwat di lokasi sama, buat kali pertama pada Februari.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof sementara pasangan yang berkahwin Julai lalu itu tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Mat dan pasangannya didakwa melakukan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah di Kampung Surau Haji Daud pada 5.25 petang, 19 Mei lalu.
Hakim Syarie, Mohd Nazri Sulaiman menjatuhkan hukuman denda RM4,500 kepada Mat Husin dan Aslina.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Nurul Taqwa Hasbi sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
09 Dec 24
274
Luruan Monsun, Hujan Lebat Berterusan Di Beberapa Daerah di Terengganu, Pahang Sehingga Rabu
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Beberapa daerah di Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat berterusan peringkat jingga sehingga Rabu ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dua daerah di Terengganu iaitu di Dungun dan Kemaman dijangka mengalami hujan berterusan.
"Selain itu, lima daerah di Pahang iaitu Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin turut dijangka mengalami cuaca sama.
"Hujan berterusan peringkat kuning juga dijangka berlaku di Perlis, Kelantan dan Hulu Perak, Perak," katanya.
Sementara itu, hujan berterusan peringkat kuning juga dijangka berlaku di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.
Selain itu, cuaca sama dijangka berlaku, manakala di Pahang, ia membabitkan daerah Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Bera serta Tanah Tinggi Cameron.
Menurutnya, di Kedah membabitkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.
“Manakala di Johor iaitu daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi turut diramal cuaca sama," katanya.
Terdahulu, MetMalaysia melaporkan luruan angin sejuk atau luruan monsun yang berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir dijangka melanda negara mulai hari ini hingga 14 Disember ini.
09 Dec 24
292
TDM Hulur Sumbangan Musim Tengkujuh Kepada Nelayan
KUALA TERENGGANU, 9 Disember- TDM Berhad meneruskan komitmennya dalam menyokong masyarakat setempat dengan melancarkan Program Bantuan Khas kepada nelayan musim tengkujuh di Dewan Sivik Seberang Takir, semalam.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, melalui program tersebut, TDM menyumbang sebanyak RM20,000 untuk belian barangan asas seperti beras, minyak masak, makanan kering, gula, dan keperluan harian lain.
Selain itu katanya, melalui program ini juga Ahli Parlimen Kuala Nerus merangkap Pengerusi Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. Dato’ Dr. Alias Razak turut sama bekerjasama dengan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir menyumbangkan barang keperluan
bagi meringankan beban dan sebagai langkah untuk memastikan kelangsungan kehidupan harian golongan terjejas khasnya komuniti Seberang Takir.
Menurut Najman, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TDM yang berteraskan nilai murni membantu komuniti di mana syarikat beroperasi.
“Kami memahami cabaran besar yang dihadapi oleh para nelayan ketika musim tengkujuh, di mana aktiviti menangkap ikan menjadi terhad.
"Musim ini bukan sahaja mengurangkan sumber pendapatan mereka, tetapi turut memberi tekanan kepada kehidupan harian
keluarga mereka.
"Sebagai syarikat yang bertanggungjawab, TDM berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mereka serta menunjukkan sokongan kami kepada masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, seramai 372 nelayan berdaftar di bawah Persatuan Nelayan Kawasan telah dikenalpasti sebagai penerima bantuan berkenaan.
"TDM percaya usaha ini adalah langkah penting untuk mengukuhkan hubungan erat antara syarikat dan masyarakat, sambil menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial negeri Terengganu, " ujarnya.
09 Dec 24
113
10 Lori Angkut Sampah Pukal Selepas Banjir
Oleh : Syahida Mohd
KUALA NERUS, 8 Disember - Bencana banjir yang melanda keseluruhan daerah Terengganu bukan sahaja memerlukan pembersihan di kawasan rumah, malah turut melibatkan pengurusan sampah pukal daripada barangan rumah yang rosak akibat banjir.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, sebanyak 10 buah lori digunakan setiap hari dalam operasi pembersihan yang disokong oleh pelbagai pihak, termasuk penduduk setempat dan Pejabat Daerah Kuala Nerus.
“Sokongan padu daripada Pejabat Daerah Kuala Nerus amat bermakna buat penduduk yang terkesan. Hampir 10 buah lori beroperasi setiap hari, dan dijangka operasi ini akan selesai sepenuhnya pada hari ini. Longgokan sampah di lokasi lain juga diselesaikan secara bersepadu,” katanya.
Beliau turut memuji sumbangan daripada beberapa syarikat swasta seperti Rimbun Tekad dan Kuari Bukit Jong yang terlibat dalam usaha pembersihan ini.
“Pembersihan sampah pukal seperti perabot, tilam, dan pelbagai barangan lain yang rosak akibat banjir menjadi keutamaan kami dalam membantu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyelesaikan isu ini secara pantas dan sistematik,” tambah beliau.
Sebelum ini, operasi pembersihan rumah mangsa banjir telah dijalankan oleh sukarelawan sejak minggu lalu selepas air banjir mula surut di kawasan DUN Tepoh, termasuk di Taman Desa Tanjung Damai dan Taman Desa Darul Iman.
Operasi pembersihan ini diharapkan dapat mengembalikan keadaan kepada normal secepat mungkin dan membantu meringankan beban penduduk yang terjejas.
08 Dec 24
231