lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Petikan Kata Dr. Sam Cetus Tanda Tanya
Petikan Kata Dr. Sam Cetus Tanda Tanya
KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Kata-kata pendek yang disiarkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di akaun Facebook (FB) rasminya mencetuskan seribu tanda tanya. Menerusi FB beliau, bekas Bendahari Perikatan Nasional (PN) itu membayangkan dirinya sedang dan akan melaksanakan satu keputusan besar. "Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai. “Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah,” katanya memetik kata-kata pemain bola keranjang terbaik dunia, Kareem Abdul-Jabbar. Kenyataan di FB rasminya itu muncul sehari selepas beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Bendahari PN. Ketika ditanya mengenai peletakan jawatan terbabit selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Paip Agihan Air Dari Kemaman Terengganu ke Gebeng, Pahang di Gebeng hari ini, Naib Presiden PAS itu enggan mengulas lanjut. “Saya tahu topik apa yang anda semua nak tanya. Buat masa ini saya tidak mahu keluarkan apa-apa kenyataan, tunggu masa yang sesuai nanti,” katanya ringkas. Difahamkan, Ahmad Samsuri bergegas beredar selepas majlis itu untuk ke Kuala Lumpur bagi menghadiri sidang Parlimen.
12 Dec 24
6851
Terengganu Salur Bekalan Air Bersih ke Pahang
Terengganu Salur Bekalan Air Bersih ke Pahang
KUANTAN, 12 Disember – Terengganu kini memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekonomi Pantai Timur apabila menyalurkan bekalan air bersih ke Pahang menerusi Projek Paip Pengagihan Air Kemaman-Gebeng.  Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek sepanjang 29.8 kilometer yang dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu akan memastikan penyaluran bekalan air terawat yang stabil ke kawasan perindustrian Gebeng, sekali gus menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi di Wilayah Pantai Timur. "Projek ini bukan sekadar infrastruktur, tetapi simbolik kepada hubungan erat antara Terengganu dan Pahang.  “Dengan saluran air ini, kita memenuhi keperluan industri sambil memperkukuhkan kerjasama dua negeri," ujar beliau. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang yang berlangsung di Gebeng, di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Pahang; Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia Dato' Zulkifli Ali, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat. Menurut Ahmad Samsuri, projek itu juga menjadi bukti kepada kerjasama strategik antara ECERDC, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).  “Peranan Terengganu sebagai penyedia bekalan air menunjukkan komitmen negeri ini untuk berkongsi sumber demi kemajuan bersama. "Terengganu bangga dapat menyumbang kepada pembangunan industri di Pahang.  “Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama antara Kerajaan Persekutuan, negeri, dan semua pihak berkepentingan," jelasnya. Kata beliau, dengan bekalan air yang mencukupi, kawasan perindustrian Gebeng, termasuk Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), kini lebih bersedia untuk menyokong pelaburan dan operasi industri bernilai tinggi. Tambahnya, selain memberi manfaat kepada Pahang, projek tersebut turut menjana pertumbuhan ekonomi di Daerah Kemaman.  “Aktiviti industri yang berkembang dijangka mencipta peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat, sekaligus merancakkan ekonomi Terengganu. "Inisiatif ini adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dua negeri, memperkukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan strategik," ujarnya. Dalam pada itu, projek itu turut menyumbang kepada pengukuhan daya saing kawasan perindustrian Gebeng menerusi sambungan infrastruktur utama seperti Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur, dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) “Ia adalah contoh terbaik bagaimana perkongsian sumber dan kerjasama strategik dapat memacu pembangunan serantau secara mampan,” katanya. Sebagai rekod, projek tersbut mencatat pencapaian signifikan dengan membekalkan tambahan 90 juta liter air terawat setiap hari dari Tangki Bukit Kolam, Kemaman ke Tangki Central B, Gebeng, Pahang. Bekalan ini menjadi tonggak utama dalam memenuhi permintaan air bersih yang dijangka melonjak kepada 466 juta liter sehari menjelang 2025, jauh mengatasi kapasiti semasa sebanyak 290 juta liter sehari. Sebagai nilai tambah, SATU memastikan bekalan ini diberikan kepada PAIP pada kadar kompetitif RM1.40 setiap meter padu, menjadikannya penyelesaian mampan yang mesra kos untuk pembangunan industri di kawasan ini.  
12 Dec 24
536
Hafl Al-Takrim Kokurikulum Usaha JPINT Lahir Pelajar Berminda Kelas Pertama
Hafl Al-Takrim Kokurikulum Usaha JPINT Lahir Pelajar Berminda Kelas Pertama
KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Majlis Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Kali Ke-2  yang diadakan pada tahun ini merupakan usaha Jabatan pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) bagi melahirkan pelajar agama yang memiliki minda kelas pertama. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk terus memberikan sokongan bagi memastikan pelajar bergiat aktif dalam bidang kokurikulum. "Sudah tentu ia akan turut membantu pelajar mencipta kecemerlangan dalam bidang kurikulum. "Momentum seperti inilah yang kita perlukan agar anak-anak sentiasa cerdas dan cergas sama ada di sekolah mahupun di rumah, maka akan lahirlah pelajar minda kelas pertama yang sentiasa kita harapkan. "Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat di atas semangat juang tinggi yang telah anak-anak (pelajar) tonjolkan, kalah atau menang bukan ukuran tetapi semangat kesukanan yang kental itu perlu ada dalam setiap jiwa," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu itu, di Dewan Utama Ar-Riyadah Residence Majlis Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam. Dalam pada itu, Ahmad Shah turut mengucapkan tahniah atas kejayaan kontinjen Terengganu yang telah muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) dan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA). "Saya percaya kejayaan para pelajar kita ini bukan sahaja terletak pada usaha-usaha mereka sendiri untuk berjaya. "Bahkan usaha-usaha yang luar biasa daripada jurulatih yang cukup komited memberi tunjuk ajar serta semangat kepada pelajar kita sehingga membuahkan hasil kejayaan yang cemerlang. "Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada JPINT kerana berjaya mengadakan majlis gemilang seperti ini saban tahun bagi menghargai pelajar-pelajar dan jurulatih yang berjaya dalam kejohanan yang telah dianjurkan," ujarnya.  
12 Dec 24
154
Kerajaan Terengganu Salur RM2.8 Juta Perkasa Institusi Pendidikan Islam
Kerajaan Terengganu Salur RM2.8 Juta Perkasa Institusi Pendidikan Islam
KUALA TERENGGANU, 12 Disember – Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif memperkukuh pendidikan Islam dengan menyalurkan bantuan pengurusan berjumlah RM2.8 juta kepada 136 institusi pendidikan Islam dari lapan daerah, bermula dari Besut hingga Kemaman. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat, menegaskan bahawa pendidikan adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya terletak di bahu kerajaan.  “Kita mahu negeri ini maju bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga mental dan spiritual.  “Keberkatan yang dicari mesti mengikut syariat, dan kita ingin kesejahteraan dunia dan akhirat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Pengurusan Mengikut Per Kapita Kepada Sekolah Agama Islam Dan Pusat Pendidikan Negeri Terengganu, di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini semalam.   Turut hadir, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT); Mohd Zaini Mohd Nor. Beliau turut mengimbau sejarah kehebatan tamadun Islam abad ke-6 yang menjadikan pendidikan sebagai asas kekuatan masyarakat.  “Kejayaan Islam pada zaman dahulu kerana pemimpin mereka mesra pendidikan dan menghargai ilmuwan. “Sebaliknya, kejatuhan empayar Islam dikaitkan dengan pemimpin yang lebih tertarik kepada hiburan berbanding ilmu. “Atas sebab itu, kita mahu menyuburkan negeri ini dengan persekitaran yang mendukung budaya ilmu,” ujar beliau.  Dalam pada itu, kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada individu, NGO, dan tokoh masyarakat yang selama ini membangunkan institusi pendidikan secara sukarela tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan.  “Mereka sanggup membeli tanah, membina bangunan, dan menyumbangkan tenaga tanpa mengharapkan balasan.  “Tujuannya hanya satu, memastikan anak bangsa mendapat pendidikan terbaik,” katanya. Tambah Satiful, bantuan pengurusan per kapita ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berakhlak mulia.  “Kita mahu anak-anak ini menjadi lebih pandai daripada guru mereka.  “Sasaran kita adalah melahirkan graduan dengan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD). “Matlamat kita adalah memastikan anak-anak Terengganu memiliki kehidupan yang lebih baik pada masa depan,” jelasnya.  
12 Dec 24
228
Terengganu Peruntuk RM6 Juta Bantu Pelajar Sambung Master, PhD
Terengganu Peruntuk RM6 Juta Bantu Pelajar Sambung Master, PhD
KUALA TERENGGANU, 11 Disember – Kerajaan Negeri terus komited menyokong pendidikan tinggi dengan memperuntukkan dana besar untuk membantu pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD).  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat, berkata kerajaan negeri menyediakan RM500,000 setahun khusus untuk pelajar peringkat Sarjana dan PhD.  “Peruntukan ini tidak termasuk peruntukan untuk ijazah pertama,” jelas beliau. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Pengurusan Mengikut Per Kapita Kepada Sekolah Agama Islam Dan Pusat Pendidikan Negeri Terengganu, di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Beliau turut menambah bahawa janji manifesto pilihan raya terdahulu yang menetapkan RM5 juta setahun telah dilaksanakan, dan kerajaan menambah RM1 juta lagi melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.  “Bermula tahun ini, jumlah keseluruhan dana pendidikan dinaikkan kepada RM6 juta setahun. “Dengan tambahan ini, kita dapat menyediakan bantuan pendidikan yang lebih meluas dan komprehensif,” katanya. Selain itu, Yayasan Terengganu masih menyalurkan RM10 juta setahun untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan.  “Bantuan ini terbuka kepada semua pelajar yang layak, kecuali anak-anak EXCO dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu.  “Kita mahu semua yang layak mendapat akses kepada peluang ini, tanpa mengira latar belakang mereka. “Kerajaan negeri akan terus memastikan pendidikan tinggi kekal menjadi keutamaan, kita percaya, dengan pendidikan, anak-anak Terengganu mampu mencipta kehidupan yang lebih baik,” ujar beliau.
11 Dec 24
507
YPU Sedia Bantu Usahawan TUGAS Terjejas Banjir
YPU Sedia Bantu Usahawan TUGAS Terjejas Banjir
KUALA TERENGGANU, 11 Disember - Usahawan di bawah Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) yang terkesan dengan banjir disaran menghubungi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) untuk mendapatkan khidmat nasihat berhubung dengan bayaran pembiayaan balik skim tersebut. Pengerusi Jawatankuasa  Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya bersedia untuk memberikan sokongan kepada semua pelanggannya yang terjejas akibat banjir “Antaranya mereka boleh memohon untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman bagi membantu usahawan terbabit memulihkan kembali perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir,"katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Peminjam kali  ke 4/2024 di Cafecitto, Coffee & Food Tok Molor di sini hari ini. Dalam majlis tersebut, seramai 18 usahawan yang telah berjaya dalam permohonan pembiayaan TUGAS  akan menerima anatara RM7,000 hingga RM30,000  setiap seorang melibatkan peruntukan sebanyak RM310,000.
11 Dec 24
158
'Proses Beli Saham Belum Selesai' - KMI Nafi Kendalikan Hospital Bersalin Razif
'Proses Beli Saham Belum Selesai' - KMI Nafi Kendalikan Hospital Bersalin Razif
KUALA TERENGGANU, 11 Disember - Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) bahagian penjagaan kesihatan di bawah TDM Berhad menjelaskan pihaknya masih tidak memiliki atau mengendalikan Hospital Bersalin Razif.  KMI Healthcare dalam satu kenyataan memaklumkan, walaupun Perjanjian Jual Beli Saham telah ditandatangani pada 23 Oktober tahun lepas, perjanjian tersebut masih belum dimuktamadkan kerana terdapat beberapa pemenuhan duluan syarat yang belum dipenuhi.  “Sehingga syarat-syarat ini dilaksanakan dan transaksi selesai, KMI Healthcare tidak mempunyai hak milik atau tanggungjawab terhadap Hospital Bersalin Razif.  “Oleh itu, KMI Healthcare tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang isu operasi atau lain-lain yang berkaitan dengan Hospital Bersalin Razif pada masa ini,” ujar kenyataan itu, hari ini.  Jelas kenyataan tersebut, syarikat kekal komited terhadap ketelusan dan pematuhan dalam semua urusannya dan akan memberikan makluman lanjut apabila diperlukan. Terdahulu, tular di media sosial mengenai isu jasad bayi yang didakwa ditahan di hospital berkenaan selama 16 hari di peti beku, dan ibunya juga tidak dibenarkan keluar wad sehingga bil hospital dibayar.  
11 Dec 24
1099
Pelajar ILP Sumbang Kepakaran Baiki Barang Mangsa Banjir
Pelajar ILP Sumbang Kepakaran Baiki Barang Mangsa Banjir
KUALA NERUS, 10 Oktober – Pelajar-pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu telah menyumbangkan kepakaran teknikal dalam membaik pulih peralatan elektrik bagi meringankan beban mangsa banjir yang terkesan baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, menyatakan penghargaan terhadap usaha yang dilakukan oleh pihak ILP Kuala Terengganu. Menurut beliau, inisiatif itu sangat membantu mangsa banjir yang mengalami kerosakan peralatan elektrik akibat terendam dalam air. “Pihak Kerajaan Negeri Terengganu amat berbesar hati dan berterima kasih kepada pengurusan ILP di bawah kelolaan KESUMA serta kepada para pelajar yang sudi meluangkan masa dan tenaga untuk meringankan beban mangsa banjir,” ujar beliau. Hishamuddin turut memaklumkan bahawa situasi banjir di negeri ini masih belum berakhir. Beliau menyatakan bahawa kawasan Kemaman dan Dungun kini sedang menghadapi gelombang banjir ketiga, dengan sebahagian penduduk telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Beliau juga menambah bahawa beberapa negeri lain turut berhadapan situasi yang sama. Dalam ucapannya, Hishamuddin mengingatkan bahawa banjir adalah ujian yang datang daripada kuasa Allah SWT, dan manusia hanya mampu meminimakan kesannya, bukan menghalangnya sepenuhnya. “Curahan hujan ini adalah ketetapan Allah SWT, dan tiada siapa mampu menghalangnya. Keupayaan manusia melalui sains dan teknologi hanyalah untuk mengurangkan impaknya, tetapi kuasa sebenar tetap di tangan Allah,” katanya. Beliau turut menekankan pentingnya sifat kebersamaan dalam menghadapi musibah seperti ini, dengan menyeru masyarakat untuk terus membantu antara satu sama lain demi mewujudkan kesan positif dalam komuniti. “Semangat kebersamaan ini harus dipupuk sejak dari zaman belajar hingga ke alam pekerjaan. Jika budaya ini diterapkan, masyarakat Malaysia akan terus bersatu dan mampu mengharungi apa jua ujian yang melanda,” katanya. Inisiatif seperti yang dilakukan oleh ILP Kuala Terengganu membuktikan bahawa semangat saling membantu dan memberi khidmat kepada masyarakat dapat memainkan peranan penting dalam usaha memulihkan kehidupan selepas bencana.
10 Dec 24
153
35 Usahawan Kecil Terengganu Terima Pinjaman Tanpa Riba
35 Usahawan Kecil Terengganu Terima Pinjaman Tanpa Riba
SETIU, 10 Disember - Seramai 35 usahawan kecil menerima suntikan modal pinjaman tanpa faedah berjumlah RM418,000 menerusi Program Jaya Diri (PJD), sebuah inisiatif dari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata program itu bertujuan membantu usahawan kecil-kecilan memulakan atau mengembangkan perniagaan seperti kedai makan, jahitan pakaian, kedai runcit dan sebagainya. “PJD bukan sekadar pinjaman kewangan, tetapi peluang untuk rakyat membina kehidupan lebih baik.  “Hari ini adalah hari bertuah untuk semua penerima, pinjaman ini boleh menjadi permulaan untuk mengubah kehidupan keluarga dengan rezeki perniagaan di masa akan datang,” kata beliau. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Modal PJD Peringkat Negeri di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Setiu, di sini semalam. Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri; Mohd Yusop Majid, Penyelaras DUN Permaisuri; Zul Bhari A Rahman. Beliau turut menjelaskan keunikan pinjaman ini yang bebas faedah, sejajar dengan prinsip Islam.  “Pinjaman tanpa riba atau bunga ini istimewa, bila kita gunakannya dengan betul, ia akan membawa keberkatan dalam perniagaan dan bakal dilimpahi rezeki yang mencurah. “Sebanyak RM418,000 telah diagihkan kepada 35 peserta, termasuk 11 dari Besut, 22 dari Setiu, dan dua dari Marang.  “Setiap peserta menerima pinjaman antara RM5,000 hingga RM20,000 berdasarkan jenis perniagaan yang dijalankan,” jelasnya. Menurut Maliaman, kebanyakan penerima bantuan adalah ibu tunggal yang memikul tanggungjawab besar mengurus keluarga sambil mencari rezeki.  “Saya sangat kagum dengan kekuatan para ibu ini yang gigih berusaha untuk anak-anak mereka. “Komitmen membayar balik pinjaman adalah cabaran yang perlu ditempuhi.  “Jika kita jujur dan bersungguh-sungguh, rezeki pasti akan datang, cuma cepat atau lambat,” tegasnya. Maliaman turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan terus meneliti permintaan untuk meningkatkan jumlah modal pinjaman berdasarkan keperluan dan potensi perniagaan.  “Kerajaan sentiasa terbuka untuk menambah baik program ini demi kesejahteraan rakyat. “Kami sentiasa meneliti hasrat dan keperluan untuk menambah jumlah modal pinjaman pada masa hadapan, bergantung kepada situasi kewangan dan potensi peserta,” katanya. Tambah Maliaman, PJD selaras dengan konsep ‘negeri berkebajikan’, di mana kerajaan membantu rakyat dan rakyat turut menyokong satu sama lain.  “Program ini diharap dapat menjadi jalan keluar dari belenggu kemiskinan dan memberi peluang untuk semua bangkit memajukan diri. “Inisiatif ini diharapkan memberi semangat baru kepada usahawan kecil untuk terus mengorak langkah maju ke hadapan,” ujarnya.  
10 Dec 24
500
RUU Komunikasi Dan Multimedia Buka Ruang Salah Guna Kuasa
RUU Komunikasi Dan Multimedia Buka Ruang Salah Guna Kuasa
KUALA TERENGGANU, 10 Disember - Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional semalam telah menentang Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan 2024) kerana dikhuatiri akan disalah guna dan dimanipulasi. Ahli Parlimen Kuala Terengganu , Dato' Ahmad Amzad Hashim berkata, perkara itu sangat jelas memberikan kuasa terlalu luas kepada menteri untuk menentukan pelbagai perkara berkaitan media. "Kerajaan sekarang dilihat mundur ke belakang dalam menegakkan prinsip penting demokrasi iaitulah hak kebebasan bersuara. "Perkara ini dibangkitkan masyarakat awam termasuklah mereka yang sebelum ini dilihat sangat pekat dalam sokongannya kepada Pakatan Harapan misalnya BERSIH, kartunis Fahmi Reza, Ahli Parlimen Pasir Gudang dan ramai lagi," ujarnya. Beliau berkata demikian melalui suatu kenyataan di facebooknya, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, sekalipun RUU itu tetap diluluskan kerana ahli-ahli Parlimen Kerajaan dari Pakatan Harapan dan lain-lain parti yang bersama kerajaan memilih telah mengundi menyokong pindaan akta terbabit. "Semua Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional yang hadir telah mengundi membantah RUU ini," tegasnya.
10 Dec 24
116