lightning-solid
Berita :
Anak, Bapa Didakwa Laku Jenayah Syariah
Anak, Bapa Didakwa Laku Jenayah Syariah
Mohd Irsyadi Abu Bakar
09 Dec 24
269

KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, hari ini secara berasingan atas pertuduhan kesalahan khalwat dan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah bersama pasangan masing-masing.

Dalam kes terbabit, Nurul (bukan nama sebenar), 20, didakwa melakukan kesalahan khalwat berulang bersama pasangannya, Asyraf (bukan nama sebenar), 20, di bawah Seksyen 31 (a)(b) Enakmen Jenayah Syariah (Takzir)(Terengganu) pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Manakala, bapanya, Mat (bukan nama sebenar), 53, dan pasangan, Ainun (bukan nama sebenar), 37, pula didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Takzir)(Terengganu) 2001 atas perbuatan sebagai persediaan melakukan persetubuhan luar nikah, dalam kes berasingan.

Nurul dan Asyraf, terlepas hukuman sebat bagi kesalahan khalwat berulang dan masing-masing dikenakan denda sebanyak RM3,000 dan RM4,000.

Hakim Syarie, Hamidi Shafie juga memerintahkan kedua-dua pelajar kolej di Kuala Terengganu itu untuk menjalani hukuman penjara empat bulan dan enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Sebagai rekod, kesalahan khalwat berulang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, sebatan sehingga enam kali dan denda sehingga RM5,000.

Pasangan itu ditangkap kali kedua bagi kesalahan tersebut di sebuah pangsapuri di bandaraya tersebut pada 4.15 pagi, 18 Mac lalu.

Mereka turut diberkas atas kesalahan khalwat di lokasi sama, buat kali pertama pada Februari.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof sementara pasangan yang berkahwin Julai lalu itu tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Mat dan pasangannya didakwa melakukan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah di Kampung Surau Haji Daud pada 5.25 petang, 19 Mei lalu.

Hakim Syarie, Mohd Nazri Sulaiman menjatuhkan hukuman denda RM4,500 kepada Mat Husin dan Aslina.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Nurul Taqwa Hasbi sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

 

 

 

 

 


Tag :

Artikel Berkaitan