lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PAS Ajak UMNO, PH Heret 'Penjenayah Addendum' ke Muka Pengadilan
PAS Ajak UMNO, PH Heret 'Penjenayah Addendum' ke Muka Pengadilan
KUALA TERENGGANU, 7 Januari – Pemuda PAS Terengganu mengajak UMNO, DAP, PKR dan PAN untuk membuat laporan polis sekali gus mengheret pihak yang menyembunyikan titah addendum tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak ke muka pengadilan.  Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin menegaskan, tindakan menyorok titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 itu adalah perbuatan jenayah dan pelakunya perlu dihukum. "Ini bukan soal parti politik atau individu semata-mata, tetapi soal amanah kepada rakyat dan institusi negara.  "Dalang yang sengaja menyembunyikan titah ini, mereka perlu dihadapkan ke muka pengadilan tanpa kompromi. "Institusi Raja adalah simbol kedaulatan, perpaduan dan kehormatan negara, pelanggaran terhadap titah Sultan tidak hanya dianggap sebagai isu undang-undang, tetapi juga melibatkan moral dan etika," tegasnya. Beliau berkata demikian kepada media di IPD Kuala Terengganu selepas membuat laporan bagi menggesa pihak polis menyiasat dalang yang menyorok dan melanggar titah YDPA. Mengulas lanjut, Irsyad Syafiq berkata, pihaknya berasa ralat, kerana sepatutnya pihak Pemuda UMNO lebih ke depan membuat laporan polis kerana melibatkan bekas Presiden UMNO.  "Namun tidak mengapa, atas dasar menjaga institusi negara, PAS membuat laporan ini. "Juga atas asas menjunjung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sewajarnya pihak PKR, DAP dan PN turut membuat laporan sama agar perkara ini disiasat segera, berbanding mengeluarkan kenyataan sebaris per sebaris.  "Pihak pemuda PAS Terengganu mengingatkan pihak penderhaka jangan lari, pihak kami yakin pihak polis akan menyiasat perkara ini hingga ke lubang cacing kerana jelas melanggar undang-undang dan menderhaka kepada YDPA," tambah beliau. Dalam Mahkamah Rayuan semalam, ada sepucuk surat yang merupakan dokumen baharu dalam kes rayuan Najib berkaitan titah itu bertarikh 4 Januari 2024, dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman. Surat berkenaan memaklumkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku YDPA ke-16 telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (house arrest) melalui titah addendum bertarikh 29 Januari 2024. Sehubungan itu, Pengelola Bijaya bagi pihak Sultan Pahang memperakukan titah addendum tersebut adalah wujud dan sahih.
07 Jan 25
439
Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 Bakal Gapai Kejayaan Lebih Unggul
Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 Bakal Gapai Kejayaan Lebih Unggul
KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030 menyasarkan kejayaan lebih unggul berbanding PSPT yang lepas. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata ia bakal dilancarkan pada hujung bulan Februari ini oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. "PSPT 2019-2023 telah menutup tirainya. Impak daripada pelaksanaan ratusan program dan projek dalam PSPT itu telah menghasilkan natijah positif dalam pembangunan sektor pertanian Negeri Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian dalam laman rasmi miliknya hari ini Tambah Dr. Azman, sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2018 sebanyak -2.5 peratus telah berjaya meningkat kepada 7.5 peratus pada 2023. "Masih tidak banyak yang boleh dibanggakan, tetapi kita telah berjaya menukar angka negatif menjadi positif. Meneruskan kejayaan itu biasa, mengubah kegagalan menjadi kejayaan itu yang luar biasa. "Sebagai kesinambungan kepada PSPT lepas, insya-Allah pelan 2024-2030 bakal dilancarkan oleh YAB MB Terengganu pada minggu ketiga Februari tahun ini, "Tentu sekali kejayaan PSPT 2019-2023 sedang diteruskan lagi pada skala yang lebih besar dalam PSPT 2024-2030, dalam masa yang sama kelemahan dan kekurangan akan diperbaiki. Bila kita gagal merancang kita sebenarnya merancang untuk gagal," tambahnya.
07 Jan 25
564
Khairunnisa'  Hulur Bantuan Kepada 100 Mangsa Banjir
Khairunnisa'  Hulur Bantuan Kepada 100 Mangsa Banjir
SETIU, 6 Januari – Khairunnisa’ Terengganu menghulurkan bantuan kepada 100 mangsa dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang terjejas akibat musibah. Pengerusinya, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, program tahunan yang telah memasuki tahun keenam itu bertujuan meringankan beban golongan mangsa yang terlibat dengan musibah alam. Selain itu, katanya, acara sebegini dapat mengeratkan hubungan antara pasukan Khairunnisa', kepimpinan setempat, serta komuniti yang terlibat. "Matlamat utama ialah sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan pihak kami terhadap rakyat di negeri ini. "Di samping mengeratkan ukhuwah dengan mangsa banjir dan kami ingin mereka merasa  bahawa mereka tidak keseorangan menghadapi ujian ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Sumbangan Banjir Khairunnisa' Terengganu ke Kawasan Setiu di Dewan Sivik, Gong Terap, pada hari ini. Tuan Faizah turut menjelaskan bahawa setiap tahun, Khairunnisa’ akan memilih satu kawasan untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir dan pada tahun ini, kawasan Setiu menjadi lokasi pilihan. Tambah beliau, bantuan yang disampaikan berbentuk barangan dapur dan sumbangan wang tunai. “Meskipun sumbangan ini tidak besar, ia diharap mampu membawa sedikit keceriaan kepada mangsa banjir yang diuji dengan musibah ini. “Kehadiran kami adalah tanda cakna dan solidariti bersama mereka yang terkesan,” ujar beliau. Selain di Terengganu, Khairunnisa’ turut menyampaikan bantuan ke negeri-negeri lain seperti Pahang dan Kelantan.  Tambahnya, Pasukan Khairunnisa’ dijadualkan ke DUN Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan pada 13 Januari ini bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di sana. “Mungkin bantuan yang diberikan tak banyak mana tetapi boleh melahirkan rasa gembira ada orang cakna memberi sumbangan kepada mangsa banjir. "Kami berharap dengan sedikit bantuan ini dapat membantu sedikit sebanyak keperluan yang diperlukan oleh mangsa banjir. "Semoga ujian yang diterima menatijahkan sesuatu yang lebih baik, seperti munculnya keindahan pelangi setelah berhentinya hujan,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, RELA, Jabatan Amal, Khidmat Malaysia, dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat yang banyak membantu semasa musim banjir Justeru itu, Tuan Faizah berharap  dengan usaha kecil ini dapat meringankan beban merek dan memberi semangat baharu kepada mangsa banjir untuk terus bangkit. Sementara itu, seorang penduduk DUN Jabi, Kamariah Mustafa, 63, melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Khairunnisa atas sumbangan yang diberikan. Menurut Kamariah, bantuan itu sedikit sebanyak telah meringankan beban yang dihadapinya selepas terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Renek akibat banjir baru-baru ini. “Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Khairunnisa atas keprihatinan mereka terhadap nasib kami yang terjejas.   “Sumbangan ini benar-benar membantu meringankan beban kami, terutama selepas segala penat-lelah berpindah demi keselamatan dalam meneruskan kehidupan selepas bencana,” katanya ketika ditemui.
06 Jan 25
199
Terengganu Bawa Identiti Negeri Ke Pentas Antarabangsa
Terengganu Bawa Identiti Negeri Ke Pentas Antarabangsa
KUALA LUMPUR, 7 Januari – Terengganu terus memperkenal identiti negeri ke peringkat antarabangsa sempena pelaksanaan Kempen Melawat Malaysia (Visit Malaysia 2026). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya akan memfokuskan promosi produk pelancongan yang mencerminkan identiti budaya, alam semula jadi, dan konsep pelancongan Islamik. “Kami akan memanfaatkan sepenuhnya keindahan alam seperti pulau-pulau indah, serta aktiviti tradisional seperti candat sotong yang berpotensi menjadi acara nasional. "Selain itu, elemen pelancongan Islamik akan ditonjolkan, termasuk program-program yang sesuai dengan nilai dan budaya Islam, sejajar dengan identiti Terengganu sebagai sebuah negeri yang kaya dengan tradisi dan kesenian Islam,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Pelancaran Kempen Melawat Malaysia 2026 bertempat di Hangar 6, MAB Engineering Complex, KLIA, semalam. Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Razali berkata, melalui kempen ini, pihaknya berharap dapat meningkatkan kesedaran terhadap keunikan Terengganu dan menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan. “Kempen ‘Visit Malaysia 2026’ ini dijangka memberi impak positif kepada industri pelancongan negara, dengan peningkatan ketara dalam jumlah pelancong yang akan mengunjungi Malaysia, khususnya Terengganu," ujarnya. Terdahulu, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) telah mengumumkan bahawa dua program pelancongan Terengganu, iaitu Fiesta Candat Sotong Terengganu dan Program Pelita Raya Terengganu, akan dimasukkan sebagai atur cara utama dalam kalendar pelancongan negara. Pengumuman tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Tuan Khairul Firdaus Akhbar Khan, sewaktu sesi penggulungan jawapan Titah Tuanku Agong di Dewan Negara.                      
06 Jan 25
1522
Sabasun Lancar Cawangan Keenam di Dungun
Sabasun Lancar Cawangan Keenam di Dungun
DUNGUN 6 Januari – Sabasun Hyperruncit yang terkenal dengan pelbagai barangan keperluan harian berkualiti, telah melancarkan cawangan keenamnya di daerah Dungun. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, kejayaan itu meletakan Sabasun sebagai syarikat usahawan muslim yang sangat berjaya di Terengganu. “Pembukaan Sabasun di Dungun ini bukan sahaja menjadi simbol kejayaan syarikat, tetapi juga melambangkan komitmen Sabasun dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat,” ujarnya. Untuk rekod, majlis pecah tanah tapak pasar raya ini telah diadakan pada 18 Februari 2024 dengan pelaburan berjumlah RM10 juta. Wan Sukairi turut memuji Sabasun kerana terus mengutamakan produk tempatan, sekali gus memberi peluang kepada peniaga kecil dan sederhana (PMKS) untuk memasarkan produk mereka. “Inisiatif ini wajar dipuji kerana ia bukan sahaja membantu merancakkan aktiviti ekonomi, malah memperkukuhkan ekosistem perniagaan tempatan di peringkat akar umbi,” tambah beliau. Dalam majlis yang sama, Sabasun turut menyampaikan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (TSK) kepada 70 pelajar sekolah terpilih di Dungun. Menurut Pengarah Eksekutif Sabasun, Che Suhana Che Ibrahim, semua pekerja di cawangan baharu itu terdiri daripada 100 peratus anak tempatan. "Selain itu, Sabasun juga komited untuk tidak menjual sebarang produk yang berkaitan dengan negara Israel. "Cawangan ini menampilkan reka bentuk moden dengan konsep mesra pelanggan, termasuk ruang beli-belah yang lebih luas dan selesa. "Pelbagai promosi menarik turut diadakan sempena pembukaan pasar raya ini bagi menarik lebih ramai pelanggan," katanya.
06 Jan 25
227
Pulau Perhentian Jadi Lokasi Paling Pesat Terima Kehadiran Pelancong Antarabangsa
Pulau Perhentian Jadi Lokasi Paling Pesat Terima Kehadiran Pelancong Antarabangsa
KUALA NERUS, 4 Februari - Pulau Perhentian kini menjadi destinasi baharu paling pesat menerima kehadiran pelancong antarabangsa sebagaimana yang diumumkan platform percutian digital Agoda. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pulau tersebut kini menjadi pilihan komuniti nomad digital yang menjadikannya sebagai pejabat atau rumah kedua. "Pelancaran program 'Nomad Digital' yang kita buat di Perkampungan Budaya pada tahun 2024 telah membuahkan hasil serta maklum balas yang cukup baik. "Komuniti Nomad Digital ini dia pilih lokasi pulau yang mempunyai infrastruktur cukup lengkap dan 'coverage internet' yang kuar kerana mereka hendak gunakan sepanjang masa. "Sebagai contoh orang Amerika duduk di Pulau Perhentian dia buat kerja sambil melancong sehingga ia menjadi viral dan Pulau Perhentian menjadi tumpuan dan diakui bertaraf antarabangsa,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas hadir ke Program Bersih Pantai Monsun Terengganu 2024 : Platform Pemuliharaan Pantai, di Pantai Batu Burok dan Pantai Seberang Takir, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Razali berkata komuniti digital nomad dari Timur Tengah serta Eropah yang paling ramai memilih Pulau Perhentian untuk dijadikan rumah kedua atau tempat mereka bekerja. "Dengan memiliki keindahnya yang mempersonakan, pantai yang cantik dan pemandangan di bawah laut yang memukau menyebabkan pelancong boleh menginap berbulan-bulan,"katanya. Dalam pada itu, Razali berkata pihak kerajaan negeri bercadang untuk turut memastikan Pulau Redang akan turut menjadi pilihan utama. "Kita berhasrat hendak pasarkan lagi Pulau Redang serta besarkan lagi nomad digital di pulau tersebut serta akan turut memperluaskannya ke Pulau Kapas, Pulau Tenggol dan lain-lain untuk 'full swing' bagi dijadikan nomad digital ini. "Justeru, saya terlah berbincang dengan beberapa pengusaha menara telekomunikasi bagi memastikan setiap pulau di negeri Terengganu sekurang-kuranya mendapat 70 peratus liputan internet," ujarnya.    
05 Jan 25
306
Jangan Anggap Kehadiran Pelancong Menyusahkan Akibat Berlaku Kesesakan
Jangan Anggap Kehadiran Pelancong Menyusahkan Akibat Berlaku Kesesakan
KUALA NERUS, 5 Januari - Jangan pernah melontarkan kata-kata negatif serta membina naratif bahawa kehadiran pelancong ke negeri ini menyusahkan kerana berlaku kesesakan luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kehadiran pelancong ke negeri ini tidak boleh dihalang sebaliknya ia merupakan pintu rezeki kepada rakyat dan menyumbang kepada limpahan ekonomi. "Kalau boleh kita hendak ramaikan lagi kerana ia menyumbang kepada pendapatan terus kepada rakyat yang akan menerima hasil berganda. "Mengenai kenyataan yang minta supaya pelancong jangan datang ke negeri Terengganu itu hanya cakap-cakap luar yang tidak berasas dan sangat tidak wajar kerana Terengganu kini menjadi destinasi pilihan utama untuk pelancong datang berkunjung ke negeri ini. "Kita hendak seramai mungkin datang ke negeri ini, cuma kita akan cari jalan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang berlaku dengan melakukan kajian untuk mewujdukan 'smart traffic'," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri Porgram Bersih Pantai Monsun Terengganu 2024, di sini, semalam. Mengulas mengenai sasaran jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini pada tahun 2025, Razali berkata pihaknya masih belum menetapkan jumlah kerana ingin melakukan beberapa perubahan baharu. "Tahun ini kita hendak berbincang lagi dengan beberapa agensi supaya mendapat dapat menjangkakan jumlah yang lebih efisien untuk memastikan akan berlaku lonjakan yang lebih ketara. "Saya rasa kita boleh mencapai angka lebih 7.8 juta sebagaimana yang dicatatkan pada tahun lalu bagi tahun ini,"katanya.
05 Jan 25
176
Hanafiah Jawab Dakwaan Kerajaan Negeri Abai Loji Air
Hanafiah Jawab Dakwaan Kerajaan Negeri Abai Loji Air
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Tular satu hantaran di laman sosial yang mendakwa Loji Rawatan Air (LRA) Sementara Pasir Tinggi dikatakan milik Syarikat Air Terengganu (SATU) dibiarkan usang dan tidak diselenggara seolah-olah sengaja memberi gambaran buruk kepada kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, hantaran tersebut turut mempertikaikan peranan beliau sebagai Exco. Bagaimanapun beliau menjelaskan, ia satu isu yang cuba dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.   “Untuk makluman, fasiliti ini bukan aset milikan Kerajaan Negeri atau SATU.  “Fasiliti ini milik kontraktor Kuala Terengganu Utara (KTU) yang dipinjamkan kepada SATU semasa projek KTU,” ujar Hanafiah dalam satu hantaran di laman facebook rasmi beliau, hari ini. Mengulas lanjut katanya, sejak Julai 2022 lagi kontraktor berkenaan diminta untuk membuka semula pembinaan tersebut untuk dialihkan. “SATU hanya membayar kos alihan loji sementara ini dari lokasi asal di Pulau Bahagia ke lokasi sekarang di Pasir Tinggi,” ujarnya.  
05 Jan 25
77
Armada JAK FC  Ke Final Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024
Armada JAK FC  Ke Final Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024
Oleh : Muhammad Aqil Bin Mat Ali HULU TERENGGANU, 4 Januari – Armada JAK FC berjaya melayakkan diri ke pentas akhir Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024 selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas DPCH FC dalam perlawanan separuh akhir kedua yang berlangsung sengit malam tadi. Kejayaan itu melakar sejarah bagi Armada JAK FC, yang kini selangkah lagi untuk merebut gelaran juara dalam kejohanan tersebut. Jaringan tunggal yang membezakan kedua-dua pasukan telah dijaringkan oleh Armada JAK FC, sekaligus menyingkirkan DPCH FC dan memastikan langkah mereka ke peringkat akhir.  Aksi kedua-dua pasukan di padang nyata mendebarkan dengan DPCH FC menunjukkan semangat juang yang tinggi sehingga ke wisel penamat, namun gagal menemui gol penyamaan. Mereka akan berdepan cabaran sengit daripada pemenang separuh akhir pertama yang juga sedang bersiap sedia untuk perlawanan akhir yang bakal menjanjikan aksi mendebarkan nanti.
05 Jan 25
546
500 Peserta Konvoi Mega Ride Ukhwah Meriahkan Hulu Terengganu
500 Peserta Konvoi Mega Ride Ukhwah Meriahkan Hulu Terengganu
Oleh: Muhammad Aqil Bin Mat Ali HULU TERENGGANU, 4 Januari – Deruman lebih  500 buah motosikal berjaya membuka tirai tahun baharu melalui Program Konvoi Mega Ride Ukhwah Terengganu 2025 anjuran Persatuan Roda Amal Variasi Malaysia (RAVM) di sini, semalam.   Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato Rosol Wahid berkata program yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti permotoran itu juga  berjaya menarik kehadiran  ahli dari pelbagai kelab motosikal di Malaysia. “Saya rasa bangga atas inisiatif RAVM dalam menyatukan pelbagai lapisan masyarakat melalui aktiviti bermotor yang disertai oleh golongan muda dan dewasa.  “Ini termasuk  pemilihan lokasi program di Taman Strawberi Madrasah Darul Zahra yang turut memperkenalkan keindahan kawasan Hulu Terengganu sebagai destinasi pelancongan unik,”ujarnya. Antara aktiviti yang dianjurkan sepanjang program termasuk sesi tazkirah ringkas, acara santai bersama keluarga, dan lawatan ke kawasan sekitar bagi mempromosikan keindahan serta keunikan Hulu Terengganu. Sementara itu, Presiden RAVM, Mohd Shahrul Azman Johari dalam satu kenyataan berkata  bahawa program itu bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah tetapi juga memupuk kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan jalan raya dalam kalangan komuniti permotoran. “Melalui aktiviti seperti ini, kami berharap dapat menyemarakkan semangat kerjasama dan persaudaraan di samping menyampaikan mesej positif kepada masyarakat mengenai gaya hidup bermotor yang bertanggungjawab,” katanya. Program julung kali itu berjaya mencipta suasana penuh harmoni dan ceria, sekaligus meletakkan Hulu Terengganu sebagai tumpuan aktiviti komuniti permotoran pada awal tahun 2025.  
05 Jan 25
1259