Artikel "Utama" Terkini
Kerajaan Negeri Peruntuk RM200,000 untuk Produk Pelancongan Kampung
KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi pembangunan produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) untuk tahun ini
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, peruntukan tersebut merangkumi latihan peningkatan kemahiran untuk penggiat pelancongan dan program pembangunan infrastruktur bagi keselesaan pelancong.
Katanya, ketika ini terdapat 30 produk pelancongan CBT yang aktif di seluruh Terengganu dengan penganjuran pelbagai aktiviti sepanjang tahun.
“Daripada 30 CBT tersebut, Marang dan Kuala Nerus masing-masing mempunyai lima produk CBT diikuti Kemaman (empat), Besut (empat), Hulu Terengganu (empat), Setiu (empat), Dungun (dua) dan Kuala Terengganu (dua),” katanya ketika dihubungi pemberita pada hari ini.
Razali berkata antara CBT yang terkenal ialah Dataran Batu Putih di Marang, Kalang Warisan di Kuala Terengganu, Desa Pancaran Delima (Setiu) dan Kampung Pasir Gajah (Kemaman).
Menurutnya, produk CBT melibatkan komuniti setempat terbukti berjaya memikat pelancong kerana dapat mengenali budaya dan cara hidup penduduk kampung dengan lebih dekat.
Beliau berkata, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu mempertimbang cadangan untuk mewujudkan sebanyak 11 lagi lokasi baharu CBT dalam masa terdekat.
“Daripada jumlah itu, enam cadangan CBT ialah di daerah Dungun iaitu Wakaf Baharu, Pantai Teluk Bidara, Pantai Kampung Tanah Lot, Pantai Sura, Lubuk Kain dan Kolam Awam Tembesu di Paka.
“Empat lagi terletak di daerah Hulu Terengganu iaitu Bukit Balik Hidung, Dataran Kampung Dusun, Bukit Jelutong, Belukar Bukit dan satu CBT di daerah Besut iaitu Lubuk Udang Sungai Tok Gong,” ujarnya.
11 Jan 25
405
THT Teruskan Rentak Kemenangan, Benam UITM 3-1
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 selepas menewaskan UiTM HA-KPT (UiTM) dengan skor 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung hari ini.
THT memecahkan kebuntuan pada minit ke-18 melalui jaringan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Arif Syafie.
Gol tersebut memberi tonik awal kepada pemain THT untuk terus menyerang meskipun keadaan padang licin akibat hujan.
Hasilnya, pada minit ke-32, pemain THT, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, berjaya menjaringkan gol kedua hasil gerakan menarik rakan sepasukan.
Jaringan tersebut meningkatkan kedudukan THT kepada 2-0.
Bersambung babak kedua, baru empat minit permainan berlangsung, THT menambah jaringan melalui pukulan penalti yang disempurnakan oleh Mohd Fitri Saari.
Selesa dengan kedudukan 3-0, Terengganu mengendurkan sedikit serangan dan membolehkan UiTM memberi ancaman bahaya.
Akibatnya, pada minit ke-51, UiTM berjaya memecahkan kebuntuan apabila pemain nombor 28, Muhammad Idris Samad, menjaringkan gol pertama pasukan mereka selepas menerima hantaran cantik daripada rakan sepasukan.
Jaringan itu mengubah kedudukan kepada 3-1, tetapi gagal menutup jurang yang besar diperoleh Terengganu.
Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom, mengakui bahawa UiTM memberikan saingan yang sengit pada peringkat awal perlawanan.
"Kami akui UiTM menggunakan corak permainan bertahan dalam babak pertama.
"Jadi, kami cuba mengubah strategi untuk mendapatkan gol pertama, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Alhamdulillah, strategi itu berhasil, dan kami berjaya mencapai matlamat kami," katanya dalam sesi temu bual selepas perlawanan di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.
THT dijadualkan bertemu pasukan TNB Thunderbolts dalam perlawanan seterusnya pada 12 Januari, jam 4 petang, di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.
10 Jan 25
105
Hidup Bersyariat Mampu Hindari Hedonisme
SETIU, 9 Januari - Budaya hedonisme yang mementingkan keseronokan melampau perlu dibendung terutamanya dalam golongan belia yang makin berleluasa ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pendekatan kerajaan negeri melaksanakan karnival Indahnya Hidup Bersyariat merupakan antara langkah bagi membentuk negara dan masyarakat yang lebih bertamadun.
Katanya, kematian yang melibatkan empat individu dalam sebuah konsert di Bandar Sunway, Subang Jaya baru-baru ini perlu menjadi peringatan berguna buat semua rakyat Malaysia.
“Itu perkara malang kepada negara kita apabila tidak ada batas, kerajaan madani kita lihat sangat longgar dalam aspek hiburan ini.
“Sehingga tidak ada satu garis panduan yang boleh menjaga dan memelihara anak muda kita.
“Hiburan melampau seolah-olah menjadi satu matlamat dalam hidup sekumpulan pihak ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia penerangan Darul Iman, selepas perasmian Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM), di Masjid Kg. Putera Jaya, semalam.
Tambah Dr. Muhammad Khalil, berhibur dalam agama Islam berlandaskan konsep wasatiyyah dan ia sepatutnya menjadi garis panduan dalam kalangan masyarakat.
Mengulas lebih lanjut, hiburan tanpa batas menjurus kepada pergaulan bebas, pengambilan bahan terlarang dan haram yang memabukkan.
Jelas beliau lagi, Islam tidak mengharamkan hiburan sepenuhnya kerana ada hiburan-hiburan yang diizinkan.
“Itulah konsep wasatiyyah dan itulah apa yang kita laksanakan di negeri Terengganu, antaranya melalui pendekatan hidup bersyariat dan bukan sebagaimana yang kita lihat berlaku baru-baru ini.
“Hiburan ini adalah fitrah kepada manusia. Namun, apa yang Islam lakukan ialah Islam memandu kita supaya tidak terbabas dalam hiburan," katanya.
10 Jan 25
89
Lebih 300 Nelayan Terima Bantuan
KEMAMAN, 10 Januari - Seramai lebih 300 orang nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai menerima bantuan sempena Program Santuni Nelayan DUN Cukai 2025 yang diadakan, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata bantuan seperti itu diberikan setiap tahun kepada para nelayan, di sini.
"Kami memahami apa yang dirasai oleh para nelayan. Di musim tengkujuh, mereka tidak dapat turun mencari rezeki akibat ombak yang kuat. Keselamatan mereka perlu diutamakan.
"Oleh yang demikian, program sebegini diadakan bagi membantu mereka. Semoga dapat meringankan sedikit bebanan yang mereka sedang hadapi," katanya.
Program tersebut telah berlangsung di pekarangan Surau Haji Muda, Kampung Geliga.
Dalam majlis ini, Hanafiah telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan beras kepada setiap penerima.
Semua nelayan yang hadir turut diraikan dengan jamuan tengah hari.
10 Jan 25
131
Rakyat Gusar Kerajaan Madani Dedah Identiti Sebenar
SETIU, 10 Januari- Rakyat di negara ini gusar dengan sikap Kerajaan Madani yang sengaja tidak memaparkan masjid di dalam video montaj 'Visit Malaysia 2026' sekali gus mendedahkan identiti sebenar mereka selama ini tidak menjaga sensitiviti umat Islam dalam negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada pandangannya parti yang memerintah negara pada hari ini bersikap kononnya mahu meraikan semua agama dan anutan sebaliknya terpesong jauh daripada prinsip Islam.
"Ia adalah satu dasar yang jauh daripada prinsip Islam, sehingga dalam perkara asas, Masjid yang menjadi salah satu syiar Islam tidak ditunjukkan.
"Dia (Kerajaan Madani) tidak menjaga sensitiviti umat Islam," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM), di Masjid Kg. Putera Jaya, di sini, semalam.
Tambah Muhammad Khalil, sewajarnya masjid menjadi sebahagian daripada video montaj itu kerana mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.
"Salah satunya mereka datang untuk melihat seni bina Masjid dan juga konsep pengurusan institusi itu sendiri kerana memiliki keunikanya yang tersendiri berbanding negara-negara lain," ujarnya.
10 Jan 25
339
Terengganu Sedia Kongsi Kepakaran Pelancongan Bersama SG4
KUALA LUMPUR, 9 Januari - Terengganu sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang pelancongan dengan negeri-negeri di bawah Kerajaan Empat Negeri (SG4).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, berkata keseragaman budaya antara negeri SG4 memberikan peluang untuk mengembangkan aktiviti pelancongan semasa negeri.
“Antara program pelancongan unik Terengganu yang boleh dicontohi termasuk Festival Pelita dan aktiviti mencandat sotong,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) bertempat di Hotel Putra, Kuala Lumpur semalam.
Razali berkata pada bulan Ramadan Terengganu ada Festival Pelita pada minggu pertama dan bagi tahun 2025 negeri-negeri lain termasuk Perlis, Kedah dan Kelantan akan turut mengikuti festival itu.
“Aktiviti mencandat sotong juga tiada di tempat. Hanya di perairan Terengganu sahaja, dan tahun 2025 kita panggil negeri SG4. Negeri-negeri lain yang berminat pun boleh datang termasuk Thailand dan Singapura.
“Kita akan sediakan bot kepada mereka bagi menyertai program tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, Terengganu mempunyai karnival pantai yang diadakan secara besar-besaran melibatkan wakil daripada setiap daerah di negeri itu.
Menurutnya, karnival pantai dan pelita rakyat juga boleh dianjurkan di negeri lain di bawah SG4.
09 Jan 25
175
Terengganu, Persekutuan Sepakat Rangka Kerjasama Strategik Pertanian
KUALA LUMPUR, 8 Januari – Kerajaan Terengganu terus meningkatkan jalinan bersama Kerajaan Persekutuan bagi membentuk dan merangka pelan kerjasama yang strategik.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata usaha ini diteruskan demi kelangsungan dan keterjaminan makanan negara yang amat penting.
"Kerajaan Persekutuan ada dana, Terengganu pula mempunyai tanah, air, perancangan strategik dan kumpulan yang siap bekerja. Maka kita perlu bekerjasama demi memperkukuhkan program keterjaminan makanan negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan kunjung hormat Kerajaan Negeri Terengganu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Bilik Mesyuarat Wawasan Galeria Putrajaya.
Tambah Dr. Azman, Terengganu sentiasa bersedia memberikan kerjasama dan hasil perbincangan bakal dimanfaatkan kepada rakyat khususnya petani, penternak dan nelayan.
"Petang ini, delegasi Kerajaan Negeri Terengganu mengadakan pertemuan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak serta pegawai-pegawai kanan kementerian.
"Banyak perkara berkaitan program dan projek-projek keterjaminan makanan yang dibincangkan serta diambil kata sepakat dalam rangka membentuk kerjasama strategik Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Doakan semoga segalanya dipermudahkan Allah," ujarnya.
09 Jan 25
650
Video Promosi VisitMalaysia2026 Perlu Mencerminkan Majoriti Masyarakat Majmuk
KUALA LUMPUR, 8 Januari- Video promosi Visit Malaysia 2026 yang diterbitkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu lebih mencerminkan identiti majoriti kaum di Malaysia serta peranan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris bekata, seni bina masjid sebagai simbol keindahan Islam, harus ditonjolkan dalam promosi tersebut untuk memberi gambaran sebenar tentang keunikan Malaysia.
“Masjid bukan sekadar tempat ibadah, ia adalah simbol perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Elemen ini penting untuk menonjolkan identiti Malaysia sebagai negara Islam yang kaya dengan warisan budaya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat majlis kerajaan negeri bertempat di Hotel, Sunway Putra, hari ini.
Razali turut menyeru MOTAC agar lebih sensitif dalam memberi gambaran tentang kemajmukan agama dan budaya di Malaysia.
Tambahnya lagi, dengan memaparkan elemen-elemen seperti seni bina masjid, adat Melayu, dan pakaian tradisional akan memberi impak yang lebih bermakna kepada promosi antarabangsa.
“Video promosi itu perlu mencerminkan realiti Malaysia, di mana Islam menjadi teras identiti negara, sambil meraikan kepelbagaian kaum dan agama yang lain.
“Ini bukan sahaja dapat menarik pelancong tetapi juga memperkukuh semangat patriotisme rakyat,” ujarnya.
Beliau berharap agar video promosi tersebut dapat dipinda dengan menampilkan lebih banyak elemen budaya Melayu dan seni bina Islam, khususnya masjid-masjid ikonik seperti Masjid Kristal dan Masjid Putra.
08 Jan 25
157
Asma Rangkul Pingat Perak di Kejohanan Pencak Silat Dunia
HULU TERENGGANU, 8 Januari – Gadis kelahiran Ajil, Asma Mohd Nazri, mencipta sejarah apabila berjaya merangkul pingat perak dalam 20th World Pencak Silat Championship 2024 yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada 18 Disember lalu.
Asma, 25, yang mewakili Malaysia dalam kategori seni tunggal wanita, mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan dengan memukau juri dan penonton dari seluruh dunia.
Beliau berjaya menawan perhatian ramai dengan persembahan bertenaga dan penuh seni, yang menunjukkan kehebatan budaya silat warisan Melayu.
Menurutnya, perjalanan untuk mencapai kejayaan ini bukanlah mudah, terutama dengan cabaran latihan intensif dan persaingan sengit daripada peserta dari negara lain seperti Indonesia, Vietnam, dan Thailand.
“Saya tidak menyangka dapat melangkah sejauh ini, apatah lagi membawa pulang pingat perak di pentas dunia. Ini adalah detik yang sangat bermakna buat saya dan keluarga,” kata beliau ketika ditemui di kediamannya.
Terdahulu, Asma telah memenangi emas dalam silat seni kategori Regu Putri yang berpeluang mengisi tempat ke team kebangsaan dan memenangi pingat perak pada Sukan SUKMA 2022 dalam kategori Silat Seni Tunggal Puteri sebelum memenangi emas di 8th Asian Pencak Silat Championship 2024 yang berlangsung di Bukhara, Uzbekistan.
Anak jati Ajil itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan, termasuk keluarganya, jurulatih, serta rakan-rakan pasukan silat negara.
“Pengorbanan ini adalah untuk semua rakyat Malaysia, terutamanya mereka di kampung halaman saya di Ajil. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada anak-anak muda untuk terus mengangkat martabat seni silat di persada dunia,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Maliaman Kassim, turut memuji dedikasi dan semangat juang Asma sepanjang kejohanan.
Beliau menyifatkan Asma sebagai atlet berbakat besar yang mampu pergi lebih jauh dalam kariernya.
“Asma telah menunjukkan disiplin yang tinggi dan semangat yang luar biasa. Pingat perak ini adalah permulaan diperingkat dunia kepada lebih banyak kejayaan di masa hadapan.
"Kejayaan Asma bukan sahaja mengharumkan nama Ajil, tetapi juga Malaysia di pentas dunia. Ia menjadi bukti bahawa warisan budaya Melayu seperti silat masih relevan dan dihormati di arena antarabangsa" katanya.
08 Jan 25
268
BPIM Bertepatan Teras Strategik PITAS2030, Mengukuh Pembangunan Insan
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Bulan Penghayatan Israk dan Mikraj (BPIM) bertepatan dengan teras yang terkandung dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) iaitu mengukuhkan pembangunan insan bagi melahirkan masyarakat beragama, bermasyarakat dan berkebajikan.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun ia dijenamakan semula dari Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) yang dilaksanakan sebelum ini namun masih memiliki matlamat yang sama.
Ujarnya, sambutan rakyat terhadap pelancaran BPIM itu jelas membuktikan rakyat negeri ini menyambut baik setiap usaha dilakukan oleh kerajaan negeri melalui setiap pelaksanaan yang dilakukan mencapai objektif yang dihasratkan.
"Ini menandakan bahawa rakyat Terengganu memang dahaga dan cintakan ilmu. Masing-masing berlumba untuk hadir ke (setiap) majlis-majlis ilmu yang dianjurkan.
"Insya-Allah sepanjang bulan ini, kerajaan negeri akan menganjurkan pelbagai program yang telah dirangka dan disusun.
"Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat mengambil bahagian dalam setiap program yang dilaksanakan pada kali ini," ujarnya menerusi satu hantaran, di facebooknya, semalam.
Tambah beliau, adalah menjadi harapan agar matlamat mengukuhkan pembanguan insan itu akan mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.
"Sekalung penghargaan juga kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan program BPIM yang diadakan sepanjang bulan ini,"ujarnya.
08 Jan 25
108