Artikel "Utama" Terkini
Kampung Cina Street Sport Challenge Dijadikan Acara Tahunan
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Kampung Cina Street Sport Challenge akan dijadikan acara tahunan yang berpusat di Pulau Warisan bermula tahun ini.
Berita gembira itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim dalam ucapannya, semalam.
Beliau yang mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan kejohanan itu berbangga dengan penglibatan semua kaum yang menyertai pelbagai acara dianjurkan.
"Kehadiran yang terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India yang bersama-sama pada petang ini membuktikan keharmonian serta kebersamaan kita di negeri Terengganu ini amat kukuh lagi terpelihara dengan amat baik selama ini.
"Kampung Cina yang kita ketahui lebih terkenal melalui pelancongan budaya dan warisan.
"Melalui cetusan idea sebegini, saya berharap semoga penganjuran seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan skala lebih besar dan mendapat sokongan pelbagai pihak," katanya.
Hadir sama ke program tersebut hari ini ialah ahli dewan undangan negeri(ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri Terengganu, Asmadi Mohamad.
Tambahnya, penganjuran program itu secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan peniaga-peniaga di sekeliling kawasan tersebut.
"Kita akan terus berganding bahu memajukan negeri Terengganu dan memperkasakan negeri diperingkat nasional," ujarnya.
05 Jan 25
497
Penyu Agar 60Kg Ditemui Terdampar
KUALA NERUS, 5 Januari - Seekor penyu agar dianggarkan seberat 60 kilogram (kg) ditemui telah terdampar di Pantai Seberang Takir, di sini, semalam.
Bangkai penyu yang hampir reput itu telah dijumpai oleh seorang peserta yang terlibat dalam program pembersihan pantai di Pantai Seberang Takir.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata tragedi itu membawa peringatan tentang pentingnya menjaga kebersihan pantai dan berusaha melindungi hidupan laut itu yang menjadi ikonik pelancongan negeri.
Jelasnya, pencemaran plastik di laut adalah faktor kepada kematian reptilia berkenaan selain disebabkan oleh pukat tunda serta perbuatan khianat membunuh ibu penyu untuk mendapatkan telur.
"Kita akan bendung dan mencari langkah bagi memastikan 'ikonik' negeri Terengganu ini terus terpelihara tambahan pula penyu yang ada skearang ini adalah dari jenis penyu agar setelah penyu belimbing telah tiada akibat telah pupus.
"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan untuk buat 'enforcement' kepada pukat-pukat nelayan yang mematikan penyu.
"Ini memberi mesej serta gambaran yang jelas bahawa kerajaan negeri sangat prihatin serta serius bagi memastikan penyu di negeri ini akan terus terpelihara," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pihak media, semasa menghadiri Program Bersih Pantai Monsun Terengganu, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Razali menasihatkan orang ramai agar bertanggungjawab memelihara kebersihan laut dan pantai.
"Saya menyeru semua pihak supaya tidak membuang sampah ke laut, menghormati habitat semula jadi kehidupan marin dan menyokong usaha konservasi.
"Bersama-sama kita mampu memastikan keindahan alam sekitar ini kekal untuk generasi akan datang," tegasnya.
05 Jan 25
861
THT Julang Piala Sumbangsih 2025
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Terengganu Hockey Team (THT) berjaya merampas kembali Piala Sumbangsih setelah menewaskan pasukan Tenaga Nasional Berhad(TNB) 2-1 pada perlawanan pembukaan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025, semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional 2 itu, TNB terlebih dahulu di depan dengan satu jaringan menerusi pukulan penalti yang disempurnakan Jang Jung Hyun pada minit ke-27.
Namun, jaguh pantai timur itu tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan dengan penyerang THT, Faizal Saari menyudahkan pukulan sudut penalti, tiga minit kemudian.
Pada minit ke-42, penyerang THT, Tengku Ahmad Tajuddin yang kembali menabur bakti di Terengganu memastikan kemenangan dengan jaringan kedua pasukan, sekaligus memacu kemenangan THT meraih Piala Sumbangsih.
Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom yang nyata berpuas hati dengan kemenangan itu menguatkan azam untuk mengembalikan ketiga-tiga piala musim ini ke Terengganu.
"Kita agak kecewa kerana radar untuk memenangi trebel sudah ada, tetapi kita terlepas peluang keemasan.
"Insya-Allah 2025 ini pemain sudah sedia bangkit daripada kekecewaan dan mengembalikan gelaran juara yang pernah dimenangi pada tahun 2023," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Meskipun saingan dijangka lebih sengit pada musim ini, THT mempertaruhkan 39 pemain termasuk dua import iaitu Samkelo Mvimbi (penyerang) dari Afrika Selatan dan pemain Korea Selatan, Lee Nam Young yang mampu bermain di pelbagai posisi.
MHL musim ini menampilkan dua pasukan luar negara iaitu Australia, Territory Stringers dan Laoning Hockey Team (China).
Selain itu, Matador Hockey Team yang mempertaruhkan lapan pemain import Pakistan turut menambah rencah liga musim ini.
Pasukan-pasukan lain yang bertanding ialah Maybank, TNB Thunderbolt, Nurinsafi Sporting, UiTM HA KPT dan Armed Forces HT.
05 Jan 25
217
15 Tan Sampah Berjaya Dikumpulkan
KUALA NERUS, 4 Januari - Sebanyak 15 tan sampah berjaya dikumpulkan dalam Program Bersih Pantai Monsun Terengganu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri membabitkan Pantai Batu Buruk dan Pantai Seberang Takir.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha melalui program yang dijalankan itu bermatlamat bagi mengembalikan keindahan pesisir pantai terbabit.
"Ini bagi memastikan ia menjadi petunjuk kepada masyarakat bahawa menjaga kebersihan pantai ini sangat penting kerana ia merupakan produk pelancongan negeri Terengganu.
"Kita akan perluaskan lagi program ini di seluruh daerah, dan usaha pembersiahan pantai ini akan diteruskan lagi melalui program 'Terengganu Bersih' yang akan dilaksanakan pada April," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa hadir ke program berkenaan, yang diadakan di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai program yang diadakan itu, katanya ia melibatkan 1,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk anak syarikat kerajaan negeri, agensi swasta serta komuniti setempat.
Juga mendapat kerjasama antaranya dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Selain itu turut terlibat Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. , Petronas Pantai Timur dan NGO Geng Plastik Ija.
Sementara itu Razali berkata pihaknya kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan program Bersih Sampah Monsun itu sebagai aktiviti tahunan.
"Usaha ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri terhadap pemeliharaan alam sekitar serta menyokong pembangunan yang lestari.
"Ia bukan sahaja menjadi platform kebersihan tetapi juga simbol kerjasama komuniti dalam menjaga warisan semula jadi negeri,"katanya.
04 Jan 25
180
BPIM Didik Rakyat Capai Kesempurnaan Solat
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) yang merupakan penjenamaan semula program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) bermatlamat untuk terus mendidik dan memotivasikan rakyat ke arah mencapai kesempurnaan mengerjakan rukun Islam kedua itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, BPIM juga bagi menyemarakkan kesedaran, kepekaan dan solidariti umat Islam terhadap tanah suci Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.
"Bertepatan dengan itu, saya ingin mengajak semua rakyat di negeri ini agar menghayati dan mengambil peluang limpahan keberkatan bulan Rejab ini dalam mengetuk pintu hati kita semua dalam menuju 'sayyidus syuhur' (penghulu segala bulan) iaitu Ramadan al-Mubarak.
"Dalam meniti bulan Rejab yang penuh keberkatan, kerajaan negeri melancarkan BPIM yang didalamnya penuh dengan takwim pengisian dan aktiviti melibatkan semua peringkat dan segenap lapisan masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Program BPIM Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Al-Ikhlas, Kampung Banggol Tuan Muda, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata sejajar dengan 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diangkat pada penggal ini adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan pembudayaan dan penghayatan terhadap pensyariatan kewajipan solat.
"Program yang dilaksanakan seperti hari ini turut akan berulang dilaksanakan di setiap daerah termasuk di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam mengambarkan bagaimana kerajaan negeri begitu komited untuk mencapai matlamat Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera.
"Sudah semestinya faktor utama pencapaiannya kepada kesempurnaan solat rakyat," jelasnya.
03 Jan 25
165
ADUN, Komuniti Kijal Bantu Warga Emas Diuji Strok
KEMAMAN, 2 Januari – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris bersama komuniti setempat berganding bahu membantu seorang warga emas, Yaacob Chik, 82, yang diuji dengan penyakit strok sejak tiga bulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Payoh, Yahya Ismail berkata bantuan diberikan termasuk katil hospital boleh laras bagi memudahkan penjagaan harian beliau.
Katanya, usaha tersebut turut melibatkan kerjasama erat antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan JPKK Kampung Payoh.
“Kami memahami kesukaran yang dialami oleh saudara Yaacob dan keluarga dan diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mereka," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini.
Yahya berkata, Yaacob merupakan seorang bekas penoreh getah yang gigih menyara keluarganya suatu ketika dahulu.
Namun ujarnya, setelah diserang strok, beliau tidak lagi mampu bekerja dan kini bergantung kepada penjagaan ahli keluarga.
"Sebelum ini, beliau tinggal bersama anak bongsunya di Batu 14, namun setelah diserang penyakit, beliau berpindah ke Kampung Payoh untuk mendapatkan penjagaan lebih rapi daripada ahli keluarga yang lain," jelasnya.
Tambah beliau, pihak JPKK turut menyeru agar lebih banyak pihak tampil membantu golongan yang memerlukan, terutamanya warga emas seperti Yaacob yang sedang berdepan ujian kehidupan.
“Kesungguhan ADUN Kijal, JKM, dan komuniti menunjukkan betapa pentingnya sokongan padu dalam memastikan kebajikan penduduk terpelihara.
"Semoga Yaacob diberikan kesembuhan dan kekuatan dalam menempuh ujian ini,” ujarnya.
02 Jan 25
189
EPIC Berhad Menang Kontrak Utama Baharu daripada PETRONAS
KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Syarikat Berkaitan Negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), melalui anak syarikatnya EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB), berjaya meraih kontrak selama lima tahun daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali).
Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, kontrak tersebut melibatkan penyediaan perkhidmatan Penyelenggaraan, Pentauliahan, dan Pengubahsuaian (Maintenance, Commissioning, and Modification-MCM) dan Penyambungan dan Pentauliahan (Hook-Up and Commissioning-HUC) Pan Malaysia bagi Pakej A2– (Aset Semenanjung Malaysia (Peninsular Malaysia Asset-PMA)–Gas).
Katanya, kontrak berkenaan memperkukuh kedudukan EOGSB sebagai penyedia perkhidmatan diyakini yang berperanan menyokong kemapanan aset dan kecekapan operasi PETRONAS Carigali di Semenanjung Malaysia untuk memenuhi keperluan tenaga semasa dan masa hadapan.
“Ia akan berkuat kuasa sehingga September 2029, dengan pilihan lanjutan selama tiga tahun, diikuti dua tahun tambahan, sekali gus meletakkan EOGSB dalam kedudukan strategik untuk pertumbuhan mampan dan kerjasama jangka panjang dalam sektor minyak dan gas negara.
“Pihak syarikat berbangga dapat meraih kontrak daripada PETRONAS Carigali yang jelas menunjukkan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan berkelas tinggi dalam sektor minyak dan gas.
“Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai salah satu peneraju dalam industri tenaga di Malaysia, tetapi juga sejajar dengan matlamat untuk menjana pertumbuhan lestari dan menjalin kerjasama jangka panjang bagi menyokong keperluan tenaga negara,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut katanya, EOGSB memiliki rekod prestasi cemerlang dalam mengendalikan projek penyelenggaraan minyak dan gas berskala besar dan kompleks.
“Syarikat sebelum ini telah dianugerahkan kontrak Penyelenggaraan, Pembinaan, dan Pengubahsuaian Pan Malaysia (PM-MCM) bagi Pakej B2 oleh ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (EMEPMI). Bernilai RM500 juta, kontrak enam tahun termasuk satu tahun lanjutan tersebut telah bermula pada 17 Julai 2018 dan tamat pada 31 Disember 2024.
“Selain kontrak besar dan utama tersebut, EOGSB baru-baru ini juga telah dilantik sebagai kontraktor panel untuk Unit Operasi Hiliran PETRONAS bagi kerja-kerja Pembinaan dan Pengubahsuaian (Construction and Modifications Works - CMW),” ujarnya.
Katanya, kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan selama satu tahun diikuti satu tahun lagi ini meliputi Pantai Timur, Pantai Barat, dan Selatan Malaysia.
“Pakej pembinaan dan pengubahsuaian (CMW) ini jelas membuktikan keupayaan syarikat dalam menguruskan projek bernilai tinggi secara cekap untuk operasi di pelbagai wilayah.
“Dengan kejayaan meraih pelbagai kontrak besar dan utama, EPIC Berhad berada dalam haluan strategik untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap tenaga Malaysia dan memperkasakan keterjaminan tenaga negara,” katanya.
02 Jan 25
2726
JPJ Keluar Lebih 6,000 Saman Dalam Ops Khas Motosikal
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Sebanyak 6,267 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan ke atas 27,239 motosikal dalam tempoh dua bulan pelaksanaan Op Khas Motosikal yang bermula 1 November lalu
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zamri Samion berkata dalam tempoh itu 858 lain-lain notis turut dikeluarkan dan 231 motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai kenderaan yang ekstrem.
“Kesalahan paling banyak dilakukan nombor pendaftaran ekstrem, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, dan tiada cermin sisi.
"Selain itu bagi Op Khas Gempur Teknikal Kenderaan Perdagangan pula, 338 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh tujuh hari pelaksanaan bermula 25 Disember lalu, hasil pemeriksaan ke atas 1,015 kenderaan perdagangan," katanya ketika Op Khas Motosikal di Jambatan Sultan Mahmud malam tadi.
Tambahnya, operasi itu juga bertujuan memburu pemilik motosikal yang melakukan ubah suai ekstrem kenderaan.
”Kita dapati perkara ini semakin menular sejak September lalu dan perlu dicegah segera sebelum terjebak ke aktiviti lumba haram," katanya.
Dalam pada itu Zamri berkata sebanyak 31 kes kemalangan maut melibatkan motosikal direkodkan dalam tempoh 1 November hingga 31 Disember lalu, dengan jumlah kematian seramai 19 orang.
Selain itu sebanyak 338 saman telah dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 1,015 kenderaan dalam Ops Gempur Teknikal Kenderaan Perdagangan dalam tempoh tujuh hari pelaksanaan bermula 25 Disember lalu.
"Menerusi tindakan penguatkuasaan tersebut, pemilik syarikat atau kenderaan perdagangan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 56 Akta 715 atas kesalahan melanggar lesen pengendali iaitu gagal memberi keutamaan yang tinggi terhadap pengguna jalan raya lain," katanya.
01 Jan 25
201
Petah Berpidato, Si Cilik Enam Tahun 'Pukau' Lebih 15 Ribu Penonton
KUALA NERUS, 1 Januari - Si cilik, Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al-Hakim dari Kuala Terengganu berjaya mencuri tumpuan ramai kerana kepetahan berpidato dengan intonasi serta gaya yang cukup menyakinkan di Malam Munajat Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan negeri .
Anak kecil yang baru berusia enam tahun menceritakan perjalanan serta semangat perjuangan Rasulullah SAW tanpa rasa gentar di pentas utama dengan lebih 15 ribu penonton di hadapannya.
Pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Furqan itu sangat teruja dan gembira kerana menyampaikan pidato di khalayak umum seumpama itu merupakan pengalaman pertama dan sangat berharga tanpa rasa takut.
"Saya rasa bangga dan sangat bersyukur kepada Allah kerana berjaya menyampaikan pidato di pentas seumpama ini di hadapan orang dewasa.
"Saya tidak gementar kerana telah menerima bimbingan yang cukup baik oleh guru PASTI serta ibu dan bapa saya sendiri yang bersungguh-sungguh melatih saya untuk memastikan perjalanan saya hari ini berjalan lancar.
"Sebelum ini saya muncul Johan Pidato pada program Alam Ria PASTI peringkat Malaysia,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, semalam.
Tambah Hamidah, dia berazam untuk melangkah jauh ke hadapan bagi terus mengharumkan nama Terengganu dan akan membawa nama baik PASTI.
Sementara itu, ayahnya, Muhammad Luqman Al-Hakim Mohd Radzi, 32, berkata, bakat yang ada pada diri Hamidah telah dikesan oleh Guru PASTI sejak berusia lima tahun.
"Di PASTI penguasaannya terhadap ilmu menulis, membaca, menghafal al-Quran begitu cepat, Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana berikan kepadanya ingatan yang kuat.
"Ketika berusia lima tahun, dia pernah menyertai pertandingan Hafazan Terbuka Anjuran Alam Ria PASTi peringkat negeri namun tidak muncul sebagai juara pada ketika itu kerana lelah, dan kemudiannya sekali lagi menyertai Hafazan Terbukan Anjuran Sri Showme dan telah muncul sebagai juara," ujarnya.
Setelah mengetahui bakatnya dalam pidato, dia dan isteri, Hasmah Darwis, 31, bekerjasama dengan gurunya membimbing Hamidah dengan memastikan Hamidah sentiasa berlatih dan menghafal teks dari sudut gaya serta intonasi.
"Pada bulan Januari ini, dia akan menyertai pertandingan antarabangsa untuk kategori sajak yang dianjurkan oleh 'Global Arts, Sports And Culture Association',"katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Lukman menasihatkan mana-mana ibu bapa yang melihat kebolehan serta bakat yang ada pada anak mereka agar memberikan dorongan serta galakan.
"Dengan mengesan bakat yang ada pada diri mereka, kita cuba bantu dan dorong anak-anak agar mereka dapat pergi jauh dengan bakat yang mereka miliki,"katanya.
01 Jan 25
2157
Terengganu Rekod 7.8 Juta Pelancong Pada 2024
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Statistik pelancongan di Terengganu bagi tahun 2024 menunjukkan prestasi yang amat membanggakan, apabila jumlah kedatangan pelancong melebihi sasaran awal dengan angka yang mencecah 7.8 juta orang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris, menyatakan bahawa sambutan terhadap pelancong yang datang ke negeri ini tahun ini adalah amat memberangsangkan.
“Alhamdulillah, pada tahun ini kita berjaya melepasi sasaran awal, yang pada mulanya dijangka sebanyak 3.5 juta, kini mencatatkan lebih 7.8 juta pelancong.
"Namun, untuk sasaran tahun depan, kami masih belum menetapkan angka pasti kerana kami sedang menguji satu formula baru yang dijangka memberikan impak yang lebih besar,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KTBM) 2024/2025 di Mayang Mall, semalam.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
Dalam pada itu, Razali turut mengumumkan bahawa pihaknya akan merangka formula baharu untuk mengukur pulangan pelaburan (ROI) daripada kehadiran pelancong.
Katanya, ia termasuk menilai perbelanjaan mereka, serta mengenal pasti latar belakang demografik pengunjung, sama ada daripada golongan berpendapatan tinggi atau rendah.
“Kami sedang mencari kaedah baru untuk menilai ROI berdasarkan kehadiran pelancong sebanyak 7.8 juta.
"Kami ingin melihat berapa banyak yang dibelanjakan, dan mengetahui jenis pelancong yang datang ke sini,” katanya.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa semua program pelancongan akan dikendalikan oleh pegawai daerah tanpa perlu melibatkan pihak ketiga.
Menurutnya lagi, setiap program di daerah-daerah yang berkenaan akan dipantau oleh pegawai daerahnya sebagai 'person in charge'.
"Setiap program utama dan acara kecil yang dianjurkan di daerah akan diuruskan oleh pegawai daerah masing-masing," katanya.
Tambah beliau, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke Terengganu adalah penganjuran acara-acara bermusim di setiap daerah.
"Sebagai contoh, Festival Cabaran Monsun Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024 baru-baru ini berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.
"Walaupun beberapa program baharu belum dimasukkan dalam senarai acara pelancongan 2025, acara-acara bermusim yang mendapat sambutan hangat pada tahun 2024 dijangka akan diteruskan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan tahun depan, sebagai usaha untuk terus meningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini," katanya.
01 Jan 25
453