Artikel "Utama" Terkini
MB Puji Langkah Proaktif GPB Tangani Krisis Kelapa
KUALA TERENGGANU, 19 Januari- Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memuji langkah proaktif anak syarikat kerajaan negeri, Golden Pharos Bhd (GPB) dalam usaha menangani krisis kekurangan bekalan kelapa dengan mengimport bahan mentah itu dari Indonesia.
Kira-kira 30,000 biji atau 30 tan bekalan kelapa tua diterima daripada pembekal utama itu, Selasa lalu.
“Tahniah kepada Golden Pharos Berhad, anak syarikat Kerajaan Negeri atas usaha proaktif dalam menangani krisis kekuarangan bekalan kelapa dalam pasaran negeri kita,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Samsuri berkata, masalah ini (kekurangan bekalan kelapa) telah memberi kesan kepada banyak pihak terutama para peniaga yang menjadikan kelapa sebagai bahan asas kepada bisnes mereka.
“Bagi yang berminat untuk membeli secara borong atau runcit, boleh hubungi nombor yang tertera dalam poster tersebut,” ujarnya.
19 Jan 25
354
Benci Bekas Imam Alasan Ponteng Solat Jumaat
MARANG, 18 Januari - Tidak suka atau benci kepada bekas imam menjadi alasan empat individu di daerah untuk ponteng Solat Jumaat.
Menurut Skuad Amar Marang, kesemua lelaki dewasa berumur sekitar 50an terbabit antara lapan individu yang dikesan secara berasingan dalam satu operasi bersama pegawai Pejabat Agama Daerah Marang, semalam.
Katanya, kesemua mereka telah diberikan nasihat oleh pegawai pejabat agama untuk turun Solat Jumaat di masjid berdekatan.
"Alhamdulillah, mereka akur dan terus ke masjid untuk Solat Jumaat tanpa kita mengambil tindakan lanjut.
"Dalam masa yang sama kita turut memberi peringatan kepada mereka supaya tidak meninggalkan Solat Jumaat di masjid di masa-masa akan datang," kata Skuad Amar dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi melibatkan 15 penguatkuasa dan sukarelawan itu bermula pada sekitar 12 tengah hari.
Jelas Skuad Amar lagi, orang ramai dan masyarakat setempat disaran melaporkan sebarang kecurigaan berkaita hal ehwal agama kepada pihak berwajib atau Skuad Amar Marang.
"Ini penting supaya apa-apa kesalahan atau isu yang boleh mencemarkan Islam dapat kita tangani bersama demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat," tambah kenyataan tersebut.
Untuk rekod, individu yang tidak Solat Jumaat boleh didakwa di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 (pindaan 2016).
Bagi kesalahan itu, mana-mana lelaki yang mukalaf tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh hukum syarak boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
18 Jan 25
1736
JDT 'Jinakkan' Terengganu FC
KUALA NERUS, 17 Januari- Terengganu FC tewas 0-4 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2024/2025, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), JDT terlebih dahulu melancarkan serangan menerusi Bergson da Silva seawal minit kedua perlawanan.
Turun selaku pasukan pilihan, JDT dilihat lebih banyak menguasai perlawanan namun tuan rumah masih konsisten meneutralkan ancaman mereka.
Penyerang Terengganu FC, Ismail Akinade berjaya melakukan umpanan di luar kotak penalti lawan pada minit kelapan, bagaimanapun rembatan lemah Nurillo Tukhtasinov mudah ditangkap penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.
Dua minit kemudian, gawang Sang Penyu hampir bolos selepas pertahanan, Shahrul Nizam Ros Hasni melakukan kesilapan ketika mengeluarkan hantaran lintang Romel Morales, mujur rembatan Oscar Aribas tersasar.
Skuad Harimau Selatan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi kuisan mudah Romel, selepas menerima bola muntah tandukan Park Junheong yang terkena palang hasil sepakan penjuru JDT.
Terengganu FC cuba bangkit menerusi percubaan Akinade pada minit ke-26, namun dinafikan Syihan.
Memasuki minit ke-33, Romel yang menerima lorongan Arif Aiman melakukan 'turning' sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Rahadiazli Rahalim untuk gol kedua pelawat.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Fitri Maskon membatalkan gol tersebut kerana sebelum jaringan terhasil, kapten Terengganu FC, Manuel Ott terlebih dahulu dikasari pihak lawan.
Perlawanan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, JDT lebih agresif mencari kelebihan jaringan dengan ancaman ke kubu tuan rumah.
Pada minit ke-55, Arif Aiman jatuh di dalam kotak penalti setelah Alif Zakaria melakukan hadangan dan dihadiahkan sepakan penalti.
Bagaimanapun, hasil semakan semula VAR keputusan tersebut dibatalkan.
Terengganu FC mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-61 apabila pemain gantian, Bonillo melakukan hantaran lintang tepat kepada Ott yang tidak dikawal, tetapi rembatan pemain kelahiran Filipina itu melambung tinggi.
Pada minit ke-79, Arif Aiman menunjukkan magisnya sebagai pemain paling bernilai di hadapan 11,250 peminat bola sepak yang hadir apabila menggelecek memasuki kotak penalti, sebelum mudah menewaskan Rahadiazli untuk jaringan kedua JDT.
Hasrat Terengganu FC untuk mengelakkan jurang jaringan lebih besar menjelang aksi kedua di Johor Bahru, lebur apabila sekali lagi dihukum Arif yang meledak gol ketiga pelawat hasil hantaran Juan Muniz pada minit ke-84.
Memasuki minit ke-92, pemain gantian JDT, Nazmi Faiz Mansor melakukan hantaran lintang yang disudahkan Bergson untuk gol keempat perlawanan.
Terengganu FC menutup aksi pertama separuh akhir tanpa sebarang jaringan dan berdepan tugas getir untuk mengejar kelebihan empat jaringan JDT di gelanggang lawan pada 1 Februari nanti.
17 Jan 25
289
Guna Wang Ehsan Baiki Hakisan – Razali Ajar Razif
KEMAMAN, 16 Januari – Exco Kerajaan Negeri Terengganu menyifatkan cadangan pihak tertentu supaya kerajaan negeri menggunakan wang ehsan atau royalti petroleum untuk membaiki hakisan pantai sebagai suatu saranan yang 'luar biasa'.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris menyatakan pihaknya menghargai cadangan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, namun beliau melihat tindakan tersebut mempunyai muslihat tertentu.
Katanya, Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar Terengganu seakan berpura-pura tidak tahu tentang bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sedangkan isu hakisan pantai jelas melibatkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Cadangan ini agak luar biasa kerana wang royalti kita pun tak boleh seperti biasa. Jadi, kalau nak guna wang ehsan, nak pakai bagaimana,” katanya kepada pemberita selepas program tinjauan di Pantai Teluk Kalong, Kemaman, hari ini.
Jelas Razali lagi, masalah hakisan pantai sepatutnya diselesaikan melalui peruntukan khas bencana daripada kerajaan pusat, bukan dengan membebankan dana ehsan yang diperuntukkan untuk pembangunan rakyat.
“Saya menyokong usaha menangani masalah hakisan ini, tetapi adalah lebih baik kita mendapatkan bantuan daripada pusat. Wang ehsan ini perlu digunakan untuk perkara lain yang memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mengumumkan Kerajaan Negeri sudah meluluskan peruntukan segera sekurang-kurangnya RM80,000 bagi menyelesaikan hakisan di Batu Rakit.
Beliau juga telah berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam menoktahkan isu terbabit.
Ahmad Samsuri turut mengingatkan agar isu hakisan tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
Ahmad Razif sebelum ini mencadangkan Kerajaan Negeri menggunakan wang ehsan bagi menangani segera masalah hakisan pantai di Kuala Nerus.
Namun, pandangan tersebut mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Razali, yang menegaskan pentingnya memanfaatkan peruntukan bencana pusat tanpa menyentuh dana ehsan negeri.
16 Jan 25
5837
Genjatan Senjata : Warga Palestin Akan Mula Kecapi Kebebasan
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Warga Palestin diharap akan mula mengecapi kebebasan dan kemerdekaan serta Masjid Al-Aqsa turut bebas dari kepungan regim zionis Israel.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalid Abdul Hadi berkata, ia susulan pengumuman Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al-Thani dalam sidang medianya sebentar tadi berhubung kejayaan rundingan gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
“Hamas serta kumpulan pejuang Palestin dan regim zionis Israel telah bersetuju dengan syarat dan ketetapan gencatan senjata.
“Ia sekaligus menamatkan perang dan kekejaman regim zionis Israel selama 15 bulan di semenanjung Gaza yang telah mengorbankan lebih 46,707 warga Palestin dengan lebih 110,265 yang lain dilaporkan cedera,” ujarnya dalam satu hantaran di laman rasmi Facebooknya, hari ini.
Menurut Muhammad Khalil, semenanjung Gaza ketika ini hampir 70 peratus musnah, tiada kemudahan asas dan dalam keadaan amat memerlukan khususnya makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas.
“Gencatan senjata tersebut akan bermula Ahad ini yang dikategorikan sebagai fasa pertama selama 43 hari dan diikuti fasa seterusnya sehingga bertukar menjadi 'permanent ceasefire' jika kesemua syarat dan ketetapan dipatuhi.
“Ketika ini ratusan lori yang membawa bantuan kemanusiaan mula memasuki semenanjung Gaza melalui pintu sempadan Rafah,” ujarnya.
Katanya, berita gembira tersebut disambut meriah di seluruh pelusuk semenanjung Gaza termasuk di tebing barat dengan warga Palestin keluar ke jalanan untuk menyambut hari yang bersejarah ini.
“Ia turut disambut gembira di Yaman, Lubnan, Iran, Iraq, Turkiye dan Insya-Allah akan dikuti oleh negara dunia Islam yang lain.
“Sepanjang konflik ini berlangsung, zionis Israel gagal mencapai objektif yang ditetapkan khususnya untuk menghancurkan Hamas.
“Sokongan rakyat Palestin kepada Hamas tidak berbelah bagi. Warga Palestin tidak mengalah dan tidak mampu ditewaskan,” ujarnya.
Muhammad Khalil berkata, Allah SWT tidak menghampakan doa-doa hambanya yang dizalimi dan dianiaya apatah lagi oleh zionis yahudi laknatullah.
16 Jan 25
207
Hakisan Pantai : Fokus Penyelesaian, Jangan Main Politik - Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 15 Januari - Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru orang ramai agar tidak mempolitikkan isu hakisan pantai Batu Rakit, sebaliknya mahu ia ditangani dengan pendekatan profesional.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sedang giat mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan kesan hakisan yang didakwa berpunca daripada beberapa pembinaan terdahulu, termasuk Lapangan Terbang Sultan Mahmud.
"Kita tak boleh nafikan kesan daripada pembinaan sebelum ini, tapi yang penting sekarang ialah bagaimana nak atasi kesan itu.
"Fokus kita adalah cari penyelesaian, bukan polemik atau tunding jari," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pelbagai pihak berautoriti dalam bidang ini, termasuk Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Ts. Osman Abdullah dan Pengarah Institut Oseanografi dan Alam Sekitar (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir untuk menjalankan simulasi menangani kesan hakisan.
"Kami sedar tentang kesan ini dan sudah ambil langkah proaktif dengan menjalankan simulasi bersama pakar-pakar.
"Mereka sedang kaji bagaimana nak kurangkan impak hakisan ini, termasuk di kawasan Batu Rakit,” ujar Ahmad Samsuri.
Jelasnya untuk langkah segera, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM120,000 untuk mengawal hakisan pantai di kawasan tersebut.
"Baru-baru ini, kita keluarkan RM50,000 dan RM30,000 secara berasingan untuk menyelesaikan beberapa perkara semasa di batu rakit.
“Manakala RM40,000 adalah bajet sebelumnya,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru semua pihak, termasuk netizen dan pihak berkepentingan, supaya tidak mempolitikkan isu tersebut.
"Hakisan ini isu serius yang perlukan perhatian semua pihak, jangan jadikan ia alat politik.
"Kita perlu fokus untuk selesaikan masalah dan jaga keindahan negeri,” ujarnya.
15 Jan 25
669
Faizal Saari 'Mengganas', THT Kekal Menang Bergaya
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Penyerang sensasi Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari membantu melengkapkan kemenangan kelima dengan menjaringkan empat gol dalam aksi pada petang ini menyaksikan pasukan itu berjaya mengalahkan Armed Forces HT (AFHT).
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Faizal Saari berjaya menjaringkan gol seawal minit kedua menewaskan penjaga gawang AFHT, Mohamad Akmal Yussaini.
Selang lima minit perlawanan, THT sekali lagi meneruskan aksi cemerlang menerusi Mohamad Akhirmullah Anuar Esook meletakkan THT mendahului pihak lawan 2-0 sehingga tamat babak pertama.
Bersambung aksi babak kedua, THT terus garang meratah pasukan lawan dengan jaringan gol cantik yang dihasilkan oleh Faizal Saari sekali hasil umpanan rakan sepasukan terus menyaksikan THT mendominasi perlawanan dengan kemenangan selesa.
Akhirnya, pihak lawan berjaya menghasilkan satu jaringan menerusi tendangan sudut penalti pada minit 38 menerusi Muhamad Nazrey Din pada minit ke-38 yang menjadikan kedudukan 4-1.
Tidak cukup dengan itu THT terus mendera pelawat dengan menambah dua lagi jaringan menerusi aksi yang cukup cemerlang dipamerkan oleh Faizal pada minit ke-46 dan 48 sekali gus melakarkan kemenangan cukup bergaya buat THT pada aksi Liga Hoki Malaysia (MHL).
Kemenangan kelima itu menyaksikan skuad kendalian Mohd Hafizi Baharom mengumpul 15 mata menerusi lima perlawanan.
THT bakal berdepan Kelab Liaoning Men's HT pada 20 Januari ini juga di SHBB yang akan menjadi perlawan terakhir di tempat sendiri.
15 Jan 25
162
Terengganu Percepat Pembinaan 'Breakwater' di Kawasan Kritikal
KUALA TERENGGANU, 15 Januari – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu akan mempercepatkan pembinaan pemecah ombak 'breakwater' di kawasan-kawasan kritikal akibat hakisan yang kian meruncing pada masa terdekat ini.
Pengarahnya, Osman Abdullah berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, pagi tadi.
"Projek tersebut berjalan seperti dalam jadual, dalam 20 peratus untuk persiapan, dan dijangka siap pada September 2026.
"Kita boleh buat apabila musim monsun ini reda, sebab kita bermain dalam kawasan 'offshore' iaitu di tengah laut," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui hari ini.
Tambah beliau, pihaknya telah memperuntukkan RM3.49 juta untuk kerja-kerja pengawalan hakisan di beberapa lokasi di sepanjang Pantai Batu Rakit pada tahun 2024.
Dalam pada itu, JPS juga mengenal pasti 34 kawasan berdepan dengan masalah hakisan susulan fenomena ombak besar sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Pembinaan benteng pemecah ombak yang kini giat dijalankan melibatkan kawasan hakisan pantai di negeri ini mampu meminimumkan kerosakan terutama sepanjang musim tengkujuh.
15 Jan 25
1779
Kerajaan Terengganu, JPS Kenal Pasti Strategi Segera Atasi Hakisan
KUALA TERENGGANU, 15 Januari – Kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu telah mengenal pasti beberapa kaedah bagi melakukan tindakan segera berhubung isu hakisan pantai yang berlaku di negeri ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan itu dicapai selepas mengadakan perbincangan bersama JPS hari ini dan beliau sendiri meninjau keadaan hakisan di Batu Rakit pada Sabtu lalu.
Menurutnya, terdapat tiga strategi utama meliputi jangka panjang, pendek dan semasa.
“Ada beberapa langkah kita buat termasuk yang kita rancangkan sedang berjalan antaranya meletakkan batu dan sebagainya.
“Kita juga akan memulakan Pelan Komunikasi dengan masyarakat supaya mereka faham tindakan yang sedang diambil dan apa jua perkara yang perlu tindakan atau pandangan mereka dalam menyelesaikan masalah itu.
“Untuk jangka panjangnya, JPS sudah ada 16 pemecah ombak atau breakwater yang difahamkan telah siap dalam 20 peratus tetapi terpaksa berhadapan dengan monsun yang tidak ‘menunggu’ projek itu siap atau tidak dan kita terpaksa hadap jika ia sampai walaupun projek sedang berjalan.
“Selain itu, di seluruh Terengganu (pantai) ini juga ada pelbagai cara digunakan untuk hakisan selain dalam bentuk ‘breakwater’, benteng hakisan atau groin dan sebagainya mengikut kesesuaian tempat dan nasihat pakar-pakar daripada JPS dan konsultan kita,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui hari ini.
Dalam masa sama, Ahmad Samsuri berkata beliau turut berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) bagi menyelesaikan isu hakisan tersebut.
“Selain projek yang sedang berjalan, saya juga berhubung dengan TPM yang juga Menteri PETRA dan difahamkan beliau telah berhubung dengan Pengarah JPS Terengganu tentang masalah ini.
“Saya juga berhubung dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi supaya sama-sama dapat membantu kita dan respon dari mereka sangat baik dan kita cuba senaraikan apa perkara yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat ini sebagai tindakan awal,” ujarnya.
15 Jan 25
612
Langkah Hibrid Kawal Hakisan Pantai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Januari - Langkah hibrid iaitu menggabungkan pembinaan pemecah ombak (breakwater) dengan tukun bagi meminimakan kesan hakisan pantai di negeri ini perlu dilakukan.
Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ts. Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata, cadangan tersebut telah dipanjangkan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Dalam pertemuan dengan Menteri Besar sebentar tadi, kita telah utarakan cadangan ini.
“Maksudnya, ia antara solusi alternatif yang boleh dipertimbangkan kerajaan selain projek pembinaan pemecah ombak yang sedang dilaksanakan ketika ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, berdasarkan kajian dilakukan pasukan penyelidik UMT, langkah hibrid dilihat berpontesi mengawal isu hakisan pantai.
“Tukun sebenarnya boleh mengurangkan impak gelombang dan memberi perlindungan daripada ombak, apabila kita letakkan tukun di antara pemecah ombak, ia boleh mengurangkan hakisan.
“Justeru, kita cadangkan tukun-tukun tiruan turut diletakkan secara tersusun di pesisir pantai yang berisiko di negeri ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan telah menyediakan langkah penyelesaian terbaik dengan membina benteng pemecah ombak namun ia gagal mencegah hakisan kerana ada antaranya masih belum siap dengan sempurna.
“Kalau ikutkan perancangan, pembinaan benteng pemecah ombak siap sepenuhnya pada 2026, jadi bila tidak siap sepenuhnya memang akan ada kesan bila berlaku gelombang besar.
“Justeru,dalam tempoh tersebut kita kena bersedia dengan alternatif tertentu kalau ada ribut atau gelombang besar yang datang,” ujarnya.
15 Jan 25
624