Artikel "Utama" Terkini
"Serahkan Kepada Pihak Polis Menjalankan Siasatan" - EXCO Terengganu
KEMAMAN, 20 Januari - Serahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan dan mahkamah mengadili dengan sebaik-baiknya, demikian ujar EXCO Kerajaan Terengganu.
Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai mengharapkan kejadian seperti Jumaat lalu melibatkan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental dipukul oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Cukai tidak akan berulang lagi.
"Mereka yang ada ahli keluarga mempunyai masalah mental perlulah memberikan perhatian dan menjaganya dengan baik serta manfaatkan dengan sebaiknya ubat yang dibekalkan oleh pihak doktor.
"Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat kita ini agar mempunyai etika kehidupan yang lebih berhemah dan tidak melepaskan geram terutama di khalayak ramai serta perlu mempunyai sifat-sifat kesabaran dan memaafkan dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Katanya lagi, walaupun dalam keadaan spontan dan rasa sangat marah, janganlah mengambil tindakan yang dilihat seperti ganas yang boleh mendatangkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan masyarakat.
"Jadi saya harap peristiwa yang berlaku ini akan menjadi satu pengajaran ataupun pedoman kepada masyarakat khususnya di Kemaman dan juga seluruh negeri Terengganu, ujarnya.
Dalam pada itu Hanafiah turut mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menjadikan isu ini sebagai isu politik kerana kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada semua golongan samada OKU, persatuan penjaja ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
20 Jan 25
151
Jangan Politikkan Isu Pukul OKU Mental - Hanafiah
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Orang ramai tidak perlu mempolitikkan kes pukul membabitkan seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, pada Jumaat lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, ia adalah kisah kehidupan rakyat yang perlu diselesaikan bersama.
“Kes ini telah diserahkan kepada pihak polis, biar pihak polis menilai keadaan dan mengambil tindakan.
“Saya menyeru orang ramai tanpa mengira bangsa dan kaum supaya mempunyai etika kehidupan yang lebih baik.
“Tidak melepaskan geram kepada sesiapa dan sentiasa mempunyai sifat sabar dan memaafkan,” ujarnya kepada pemberita.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap semua golongan sama ada OKU, Persatuan Penjaja mahupun NGO.
“Kita harap kes sebegini tidak berulang dan dijadikan pedoman kepada semua.
“Ini bukan isu politik, ini adalah isu kehidupan, kepada yang hendak jadikan ia isu politik, kita biarkan saja,” ujarnya.
20 Jan 25
1375
MBKT Perkenal Permit Khas Pemuzik Jalanan
KUALA TERENGGANU, 20 Januari – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil inisiatif memperkenalkan permit sebanyak RM200 setahun untuk pemuzik jalanan (buskers) bagi mengawal selia persembahan mereka di tempat awam.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, ia termasuk mengeluarkan garis panduan kepada semua seniman jalanan membabitkan masa dan lokasi persembahan.
“Terdapat kaedah dalam perkara 20 klausa enakmen hiburan negeri, kami boleh membenarkan mereka bergiat dengan permit hiburan yang dibayar kepada kita sebanyak RM200 setahun dan akan keluarkan kad seniman itu kepada penggiat-penggiat busker dalam industri.
“Dakwaan yang digembar gemburkan pihak MBKT mengenakan bayaran permit hiburan antara RM250 sehari, RM150 sehari tu adalah tidak betul dalam konteks mereka sebagai seniman jalanan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan satu perjumpaan bersama Persatuan Buskers Terengganu di Menara MBKT, di sini semalam.
Tambahnya, mengadakan persembahan tanpa permit menjadi satu kesalahan yang berdepan tindakan denda dan penjara mengikut subseksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 iaitu mengadakan aktiviti tanpa permit atau lesen.
"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.
Dalam pada itu, katanya, pemilik premis yang mengadakan aktiviti hiburan (buskers) di premis tanpa permit atau lesen juga boleh dikenakan tindakan.
“Mana-mana pusat perniagaan yang bercadang menganjurkan hiburan menggunakan seniman jalanan perlu mengemukakan permohonan kepada MBKT untuk permit,”tambah beliau.
20 Jan 25
612
Belia Terengganu Disaran Tubuh Koperasi Kembang Kemahiran
KUALA TERENGGANU, 19 Januari- Belia di negeri ini disaran supaya menubuhkan koperasi yang mampu memberi manfaat besar kepada golongan berkenaan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Yusop Majid berkata, langkah tersebut bukan sahaja dapat mengembangkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang keusahawanan koperasi malah akan membantu anak-anak muda menimba berpengalaman dalam menguruskan perniagaan.
“Inilah saat yang cukup sesuai kita dapat tampilkan banyak lagi koperasi yang dianggotai oleh anak-anak muda.
“Kita juga wajar untuk membimbing golongan ini (menubuhkan koperasi) dan melatih mereka sebagai pelapis usahawan kerana sangat rugi sekiranya tenaga serta ilmu pengetahuan mereka tidak digunakan sebaiknya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sesi Libat Urus Bersama Gerakan Koperasi Terengganu 2025 di Dewan Matahari di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu, Awang Ruslli Mohammad.
Sementara itu Awang Ruslli berkata, Data Perangkaan Koperasi Negeri Terengganu merekodkan sebanyak 839 buah koperasi berdaftar di negeri ini setakat 30 Jun tahun lalu dengan kekuatan anggota seramai 240,748 orang.
“Manakala pencapaian jumlah perolehan adalah sebanyak RM621 juta,” ujarnya.
20 Jan 25
178
Tok Li Sedia Adakan Pertemuan Kali Kedua Dengan 'Buskers'
KEMAMAN, 20 Januari - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris sedia untuk bertemu sekali lagi golongan pemuzik jalanan atau 'buskers' bagi mencari jalan serta penyelesaian terhadap segala perkara berbangkit untuk dimuktamadkan.
Ujarnya, pelbagai pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun agensi-agensi pemegang taruh akan dilibaatkan dalam sesi libat utus itu untuk mengadakan perbincangan.
"Saya sebenarnya secara peribadi telah berjumpa dengan mereka ini dan kita dapati ada lebih 45 pengiat muzik jalanan ini yang mencari makan melalui seni ini.
"Kita telah berikan penerangan yang jelas mengenai garis panduan hiburan agar difahami oleh mereka, dan tiada niat untuk kita membebankan mereka dan tiada Prosedur Standard operasi (SOP) yang diwujudkan.
"Cuma jika ia membabitkan penyanyi wanita itu memang tidak boleh dan kita mengambil pendirian yang tegas dalam usaha untuk memperkasakan syariat di negeri ini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika mengadakan lawatan kali kedua melihat hakisan di Pantai Penunjuk, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata apa jua usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang ingin melakukan kegiatan seni dan hiburan di negeri ini tidak akan dihalang
"Cuma perlu memahami dengan jelas setiap ketetapan yang dilakukan kerajaan negeri,"ujarnya.
19 Jan 25
76
EPIC Berhad Salur RM2.3 Juta CSR Bantu Rakyat
KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pacific International Corporation (EPIC) Berhad, telah memperuntukkan RM2.3 juta bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada tahun ini.
Pengarah EPIC Berhad, Datuk Haji Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata, program CSR akan menjadi simbol permuafakatan serta sokongan kepada usaha kerajaan negeri dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada komuniti setempat.
“Sejak 2018 lagi, saya ingin memaklumkan bahawa pihak EPIC Berhad memang sentiasa menjalankan tanggungjawab sosialnya dalam membantu komuniti rakyat di Terengganu.
“Dan hari ini, kita (EPIC Berhad) memberikan bantuan kepada anak-anak bantuan persiapan kembali ke sekolah”, ujarnya kepada pihak media selepas menyempurnakan program ‘EPIC Back To School 2025’ edisi pertama, di Pusat Sains & Kreativiti (PSKT), hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EPIC Berhad, Dr. Ts. Haji Muhtar Suhaili.
Kata Ahmad Amzad, seramai 100 orang penerima yang terdiri daripada pelajar prasekolah, PASTI, sekolah rendah dan sekolah menengah telah dipilih melalui penilaian daripada Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jelasnya, program ini telah diperuntukkan dana sebanyak RM100,000 .
“Kami memberikan bantuan dalam bentuk baucer bernilai RM200 untuk setiap penerima, bagi meringankan beban ibu-bapa untuk membeli persiapan anak-anak kembali ke sekolah”, katanya.
Dalam pada itu, edisi kedua dan ketiga program itu seterusnya akan berlangsung di DUN Kijal dan Jabi pada bulan ini dengan jumlah penerima seramai 200 orang, menjadikan jumlah penerima bantuan secara keseluruhan seramai 300 orang pada tahun ini.
Tambah beliau, dengan peningkatan pendapatan yang diperolehi pada masa akan datang, anak syarikat negeri Terengganu itu turut memasang hasrat untuk meningkatkan lagi saluran bantuan kepada masyarakat negeri.
“Saya selaku Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad menyokong sebarang cadangan untuk meningkatkan lagi kadar bantuan kepada rakyat dan kadar bilangan penerima supaya lebih ramai dapat merasa daripada kemajuan yang dicapai oleh EPIC Berhad," tambah beliau.
Menurut Ahmad Amzad, selain daripada program 'EPIC Back To School 2025' itu, pihaknya juga telah menjalankan program CSR mencantikkan surau Batu Burok baru-baru ini bagi memberi kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada pengunjung.
19 Jan 25
388
Provokasi Bukan Alasan Pukul OKU - Exco Terengganu
KEMAMAN, 19 Januari – Provokasi tidak boleh dijadikan alasan untuk bertindak kasar terhadap Orang Kurang Upaya (OKU), demikian ujar Exco Kerajaan Terengganu.
Datuk Razali Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, kejadian pada Jumaat lalu melibatkan seorang lelaki OKU mental dipukul oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai boleh dielakkan jika semua bersabar.
“OKU adalah golongan yang memerlukan sokongan dan pemahaman. Mereka tidak seharusnya dilayan dengan kekerasan, walaupun dalam situasi yang menegangkan,” katanya ketika program Tinjauan ADUN Kijal ke Tapak Hakisan Pantai Penunjuk, di sini hari ini.
Razali berkata tindakan kekerasan terhadap OKU hanya akan menyebabkan masalah lebih besar dan merosakkan keharmonian masyarakat.
“Kita yang berupaya perlu memberi contoh yang baik dengan menghormati hak dan martabat OKU.
"Saya mengajak semua pihak untuk lebih memahami cabaran yang dihadapi golongan ini dan memberikan sokongan yang diperlukan," ujarnya.
19 Jan 25
447
Kerajaan Negeri Sedia Pertimbang Kaedah 'Crasmet' Atasi Hakisan Pantai Penunjuk
KEMAMAN, 20 Januari - Kerajaan negeri mempertimbangkan kaedah terbaik dengan cara memasang 'crasmet' bernilai RM30 juta bagi mengatasi masalah hakisan yang berlaku di Pantai Penunjuk, Kijal yang merupakan salah satu produk pelancongan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kaedah pemasangan 'crasmet' itu akan menjadi 'pilot project' sekiranya ia berkesan mengelakkan hakisan yang serius dari berlaku.
Menurutnya, beliau bekerjasama erat dengan Pejabat Daerah Kemaman dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat satu penilaian 'break water' mana yang lebih sesuai bagi mengelakkan hakisan yang lebih teruk berlaku pada tahun-tahun mendatang.
"Jadi kita telah dapat salah satu cadangan dari Pejabat Daerah iaitu memasang 'crasmet'.
"Untuk menilai projek ini kita akan buat lawatan ke Pantai Bari sebagai rujukan kerana di sana kaedah ini telah digunakan sejak 15 tahun yang lalu dan masih kekal sampai ke hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas mengadakan lawatan kali kedua ke Pantai Penunjuk itu, di sini, semalam.
Tambah Razali, sekiranya projek tersebut benar-benar berkesan, beliau akan mencadangkan kepada pihak Agensi Pengurusan Bencana Banjir (NADMA) dengan kos dijangka menelan lebih kurang RM30 juta dengan jarak sepanjang tiga kilometer (KM).
19 Jan 25
232
Sang Penyu Waspada Sengat Ikan Merah
Poster: FB Terengganu FC
KUALA NERUS, 19 Januari - Melupakan kekalahan semalam, Terengganu FC mula memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee musim 2024-2025 dan mempersiapkan pasukan bagi melayan kunjungan pendahulu Kumpulan A, PSM Makassar FC, pada perlawanan keempat kumpulan, Rabu ini.
Pengendali pasukan, Badrul Afzan Razali berkata tumpuannya terarah kepada usaha Sang Penyu untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya dalam saingan kelab-kelab di Asia Tenggara itu.
"Untuk aksi timbal balik ini, kita lebih tumpukan Piala Shopee dahulu dan akan memikirkan aksi menentang JDT selepas itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
"Untuk tahun ini, kita ada skuad yang 'depth' jadi saya harap pemain-pemain akan dapat pengalaman di Piala Shopee dan Piala Malaysia (kerana) apabila perlawanan dekat-dekat ini, memerlukan betul-betul rehat yang cukup," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas aksi separuh akhir Piala Malaysia 2024/2025 yang menyaksikan Terengganu FC tewas dengan jaringan 4-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), semalam.
Dalam pada itu, beliau memuji prestasi penjaga gol pasukan, Rahadiazli Rahalim yang mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan tersebut.
"Saya memuji dia malam ini walaupun kita dibolosi empat gol. Kalau kita tengok Rahadiazli menyelamatkan beberapa peluang terbuka daripada JDT dan saya harap momentum beliau tidak akan menurun untuk perlawanan selepas ini," ujarnya.
Sebagai rekod, pada saingan ACC Piala Shopee, Terengganu kini berada di kedudukan keempat dengan mengumpul lima mata, berbeza dua mata di belakang pendahulu.
Selain PSM Makassar FC, Sang Penyu akan menentang BG Pathum United bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 5 Februari nanti.
19 Jan 25
185
Tok Li Pimpin Inisiatif Bersama NADMA Tangani Hakisan Pantai Kijal
KEMAMAN, 19 Januari – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris mengumumkan cadangan untuk memohon bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi melindungi Pantai Kijal daripada hakisan yang semakin serius.
Razali mencadangkan agar satu pelan jangka pendek dan jangka panjang dirangka untuk memastikan pantai ini kekal terpelihara dan selamat untuk masa depan.
Katanya, perubahan iklim yang berlaku setiap tahun, terutamanya semasa musim tengkujuh, telah menyebabkan ombak besar menghentam Pantai Kijal.
“Tahun 2025 dijangka lebih mencabar dengan fenomena pertembungan air pasang, angin kencang, dan hujan lebat. Walaupun tiada rumah yang rosak, hakisan pantai semakin ketara dan menjadikan pantai ini semakin nipis,” katanya kepada pemberita selepas Program Tinjauan Hakisan di Pantai Teluk Kalong semalam.
Lawatan tersebut melibatkan Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Kemaman, serta Ahli Majlis Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Razali berkata beliau bersama beberapa agensi telah membuat tinjauan untuk melihat masalah itu dengan lebih dekat. Langkah jangka pendek dan panjang akan dikaji dengan segera.
“Usaha ini penting untuk melindungi Pantai Kijal, bukan sahaja untuk mengelak kemusnahan alam sekitar tetapi juga untuk mengekalkan pantai ini sebagai destinasi pelancongan utama di Terengganu.
“Saya menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan penduduk setempat bagi memastikan usaha ini berjaya,” ujarnya.
19 Jan 25
146