Artikel "Utama" Terkini
Dua Keluarga Mangsa Rumah Dibadai Ombak Besar Terima Bantuan
KEMAMAN, 15 Januari - Dua keluarga yang merupakan mangsa rumah yang dibadai ombak besar di Kampung Geliga Baru akan menerima bantuan bayaran rumah sewa secara bulanan.
Dua keluarga ini adalah Mohd Shazmie Izwan Safiyee, 35 tahun dan W.Ahmad Ritmauddeen W.Abu Bakar, 45 tahun yang akan mencari rumah sewa di kawasan yang lebih selamat untuk didiami.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata laporan yang diberikannya kepadanya mendapati kedua-dua keluarga mangsa ini layak menerima bantuan ini.
Menurutnya, bantuan rumah sewa secara bulanan ini akan ditanggung oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
"Saya telah memanggil pihak MAIDAM untuk menyelesaikan perkara ini dan permohonan akan diproses secepat mungkin.
"Satu keluarga lagi yang terlibat telah mempunyai rumah yang lain manakala sebahagian besar yang tinggal di sini merupakan penyewa rumah. Saya menasihati mereka ini agar mencari rumah sewa yang lain," katanya ketika ditemui pemberita, kelmarin.
Dalam pada itu Hanafiah turut mengingatkan kepada pemilik rumah di kawasan tersebut agar tidak lagi memberikan rumah mereka kepada penyewa lain.
"Ianya adalah bagi memastikan keselamatan penduduk setempat diutamakan agar tidak ada perkara yang tidak diingini akan berlaku,"jelas beliau.
15 Jan 25
975
MPK-IGNIS Meterai Perjanjian Konsesi Bagi Pengurusan Sisa Pepejal
KEMAMAN, 15 Januari - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Syarikat Ignis Wawwa (Terengganu) Sdn.Bhd telah memeterai Perjanjian Konsesi Bagi Pengurusan Sisa Pepejal di Tapak Pelupusan Bukit Takal, Mak Chili dan Tapak Pelupusan Bukit Gelugor, Kerteh di Hotel Saujana Subang, Shah Alam, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata MoU antara kedua-dua pihak itu mampu memberi impak yang sangat baik dan berjaya mencapai objektif bagi memastikan sampah lama dan baru dapat diurus dengan sempurna.
"Perkara utama adalah menjaga alam sekitar dan ia mampu memberi impak yang lebih positif dan memenuhi keperluan industri dan negara selaras dengan prinsip alam sekitar, kestabilan, dan tadbir urus," katanya yang juga menyaksikan majlis yang bersejarah itu.
Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) MPK, Fadli Yusof Zakaria berkata kapasiti sampah yang dapat dijana di Daerah Kemaman adalah 200 tan per hari.
"Keadaan kedua-dua tapak memerlukan proses pemulihan yang stabil dan terurus bagi memastikan sampah lama dan baru dapat diurus dengan sempurna.
"Oleh yang demikian, pihak MPK telah bersetuju melantik Syarikat Ignis Wawwa (Terengganu) Sdn.Bhd bagi menjalankan proses pemulihan tersebut.
"Projek yang dijalankan ini adalah bertepatan dengan konsep kerajaan negeri bagi mengguna pakai kaedah "Waste To Energy" yang memberi pulangan tinggi kepada pihak MPK," ujarnya.
Katanya lagi, dengan memproses sisa pepejal di tapak pelupusan sampah, jangka hayat tapak pelupusan lebih panjang.
"Ianya juga mampu memberi penjimatan perbelanjaan pengurusan sisa buangan yang ditanggung oleh MPK.
"Selain itu, ia akan mengurangkan pencemaran air bawah tanah melalui teknologi hijau yang digunakan dan juga akan merancakkan ekonomi melalui penghasilan pelbagai produk dan hasil serta menyediakan peluang pekerjaan terutamanya kepada penduduk setempat,"jelas beliau.
15 Jan 25
458
RM600,000 Bina Pelindung Pantai, Baiki Jalan Runtuh
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengangkat permohonan peruntukan RM600,000 di bawah Marris untuk kerja-kerja baik pulih jalan dan langkah pencegahan hakisan yang lebih serius.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat berkata pihaknya komited untuk menangani isu-isu berkaitan infrastruktur dan alam sekitar demi memastikan kehidupan rakyat terus terpelihara.
"Kita akan membina struktur 'rock revetment' sepanjang 400 meter dengan kelebaran 1.5 meter dari bahu jalan sebagai pelindung pantai daripada hakisan.
"Selain itu, dari jumlah tersebut, kita membuat pembaikan terhadap jalan sedia ada yang telah rosak.
"Kerja-kerja ini dijangka dimulakan dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, tertakluk kepada kelulusan peruntukan Marris dan keadaan semasa ombak akibat Monsun Timur Laut (MTL)," ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, langkah itu penting bagi memastikan hakisan pantai tidak bertambah buruk dan untuk menjaga keselamatan serta kesejahteraan penduduk Kampung Tanjung.
Terdahulu, hakisan pantai yang berlaku di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus akibat fenomena MTL telah mengakibatkan kerosakan jalan yang teruk.
Bencana alam tersebut juga memberi ancaman kepada keselamatan penduduk serta harta benda di kawasan berkenaan.
14 Jan 25
1495
106 Mangsa Terkesan Fenomena Air Pasang, Ombak Besar Berlindung di PPS
KUALA TERENGGANU – Seramai 106 mangsa banjir di daerah Kemaman dan Dungun masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setelah rumah mereka terjejas akibat fenomena air pasang dan ombak besar.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat pukul 4 petang ini, seramai 92 mangsa daripada 24 keluarga berada di PPS Balairaya Kampung Geliga Pantai di Kemaman.
“Manakala seramai 14 mangsa daripada lima keluarga terpaksa berlindung di PPS Balai Raya Bandar Paka, Dungun,” ujarnya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora dengan angin Timur Laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) di kawasan perairan Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor hingga 18 Januari.
Justeru, penduduk di kawasan pantai diminta lebih berwaspada dan tidak menghampiri pantai.
14 Jan 25
153
Penoreh Getah Menang Motosikal
Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman
KUALA NERUS, 12 Januari – Ahmad Zaki Abdullah, 63 tahun, menjadi pengunjung yang paling bertuah pada Majlis Jalinan Kasih Nelayan dan Penoreh Getah Peringkat DUN Tepoh di Dewan Masyarakat Tok Jiring, Kuala Nerus apabila namanya terpilih untuk menerima hadiah utama berupa sebuah motosikal SYM.
Beliau yang menetap di Kampung Banggol Nyior, Gemuruh, Tepoh, hadir sebagai penerima bantuan musim monsun daripada Kerajaan Negeri Terengganu tidak menyangka akan memenangi hadiah utama cabutan bertuah itu.
Dia menyifatkan motosikal itu tersebut sebagai rezeki buat keluarganya selepas tahun lalu, penerima dari Kampung Banggol Binjai, Tepoh, yang juga seorang penoreh getah, turut berjaya menerima sebuah motosikal SYM dalam program yang sama.
“Terima kasih kepada pihak penganjur yang menyediakan cabutan bertuah ini, ini kali pertama saya mendapat cabutan bertuah sebuah motosikal," katanya selepas menerima motosikal itu daripada Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak.
Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dun Tepoh dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus diadakan itu bagi menyantuni warga nelayan dan penoreh getah yang terjejas akibat musim monsun.
Seramai 250 penduduk disantuni dan diberikan bantuan berupa kewangan dan barangan keperluan asas.
Manakala, seramai 15 orang lagi penerima bertuah turut menerima hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektrik dan perkakasan rumah.
14 Jan 25
163
Lebih RM2.4 Bilion Diperlukan Baiki Hakisan Pantai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Lebih RM2.4 bilion diperlukan untuk membina benteng pemecah ombak di 34 pantai sepanjang 244 kilometer (km) bagi mengelakkan hakisan terutama menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL)
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata kos membina benteng pemecah ombak biasanya antara RM5 juta hingga RM10 juta setiap kilometer, bergantung pada spesifikasi.
Menurutnya, ia bergantung pada beberapa faktor antaranya panjang pantai terlibat dan kos ditentukan oleh jumlah panjang pantai yang memerlukan perlindungan.
“Jenis benteng yang digunakan akan mempengaruhi kos yang boleh berbeza bergantung kepada reka bentuk, sama ada benteng konkrit, tetrapod, atau gabion.
“Tahap hakisan juga menentukan perbelanjaan apabila lokasi dengan hakisan yang lebih teruk mungkin memerlukan struktur yang lebih kukuh dan kos yang lebih tinggi.
“Selain itu juga, kos bahan dan buruh tempatan serta harga bahan binaan seperti batu, simen, dan kos tenaga kerja juga memainkan peranan.
"Segala kos ini kita akan berusaha untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan ia membabitkan bidang kuasa dan tanggungjawab mereka,” ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Tambah Hanafiah, jumlah anggaran peruntukan yang diperlukan adalah secara kasar, oleh itu kajian mendalam oleh pakar diperlukan untuk mendapatkan jumlah sebenar berdasarkan keadaan setempat.
“Anggaran ini adalah berdasarkan panjang pantai setiap daerah dan kos purata pembinaan tidak termasuk penyelenggaraan jangka panjang.
“Kajian lebih terperinci diperlukan untuk mengenal pasti tahap hakisan dan keperluan pembinaan di setiap lokasi,” jelasnya.
Justeru itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera meluluskan peruntukan tambahan bagi menangani isu hakisan yang kian mengancam kawasan pantai tersebut.
14 Jan 25
2569
Basong Rangers Mula Beraksi Awasi Serangan Gajah Liar
HULU TERENGGANU, 14 Januari – Pasukan komuniti pertama di Kampung Basong, Hulu Terengganu, yang dikenali sebagai Basong Rangers, kini memulakan operasi mengawal pencerobohan gajah liar di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan telah memperuntukkan RM500,000 setiap tahun untuk kerja penyelenggaraan dan pembersihan SPEG bagi memastikan keberkesanannya dalam mengurangkan serangan gajah liar.
“Basong Rangers ditubuhkan sebagai projek perintis yang melibatkan kerjasama erat antara komuniti dengan Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Jabatan PERHILITAN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta beberapa agensi lain.
“Pasukan ini bertanggungjawab memantau dan mengambil langkah segera dalam mengawal pencerobohan gajah liar di Kampung Basong,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Operasi Bersepadu Basong Rangers Kali 1/2025 bertempat di Pos Kawalan Sementara Kampung Basong semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Mat dan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Zainul Mujahidin Mat Yudin.
Media pada 5 Oktober lalu melaporkan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar ke kebunnya di Kampung Basung, ditemui maut dengan kesan lebam seluruh badan dan hidung berdarah.
Mayat Musa Ahmad, 65, dijumpai kira-kira jam 7 pagi dalam semak yang dikatakan laluan gajah liar di kawasan bawah laluan kabel berhampiran kebunnya.
14 Jan 25
461
Kedai ‘Ditelan’ Ombak, Warga Emas Hilang Punca Pendapatan
KUALA NERUS, 14 Januari - Seorang warga emas hilang punca pendapatan utama selepas kedai makan dan bangsal memproses hasil laut yang diusahakan sejak 20 tahun lalu di Kampung Tanjung, Pantai Batu Rakit di sini, roboh ekoran dibadai ombak besar.
Manan Ali, 70, berkata dia berputih mata melihat kemusnahan perusahaan tersebut yang merupakan perniagaan turun temurun daripada ayahnya.
Menurutnya, bangsal yang dibina pada tahun 1990 pada mulanya terhakis pada tahun lepas tetapi selepas dibuat benteng batu, keadaan kembali stabil.
Namun katanya, Monsun Timur Laut (MTL) pada tahun lepas menyaksikan hakisan yang semakin teruk apabila ombak yang membadai memusnahkan pantai Batu Rakit dan persekitarannya.
"Hakisan tahun ini terburuk dalam tempoh 20 tahun, ombak besar serta angin kencang kali ini berlainan berbanding tahun-tahun sebelumnya dan sangat menakutkan dalam sejarah saya tinggal di sini.
“Pada tahun lepas, pada 29 November, belakang kedai runtuh, diikuti runtuhan kedua pada 28 Disember.
"Kejadian pada jam 9.30 malam semalam menjadi peristiwa hitam bagi kami apabila angin kuat dan ombak besar meranapkan kedai yang menjadi punca rezeki keluarga,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui.
Bapa kepada dua anak itu berkata dia ,redha dengan ujian berkenaan namun berharap ada penyelesaian terbaik untuk membantu penduduk di kawasan itu yang diancam masalah hakisan serius.
14 Jan 25
207
Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit Ditutup Sepenuhnya
KUALA NERUS, 13 Januari - Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, ditutup sepenuhnya apabila laluan dari Batu Rakit menghala ke Mengabang Telipot runtuh akibat dibadai ombak, kira-kira 9 malam tadi.
Laluan sepanjang kira-kira 50 meter (m) itu dikatakan runtuh selepas dibadai ombak besar setinggi 2.4 m serta angin kencang bermula 6 petang dan berlarutan sehingga awal pagi ini.
Tinjauan pagi tadi mendapati, terdapat rekahan baru dan dijangka menjadi lebih teruk apabila ombak pada malam ini dikatakan lebih tinggi mencecah sehingga tiga meter dengan kelajuan angin yang lebih kuat.
Salah seorang penduduk yang ditemui, Mohd Nor Ali, 69, berkata sepanjang hidupnya, itulah pertama kali dia berhadapan hakisan paling teruk di Pantai Batu Rakit.
“Sejak tahun kebelakangan ini, ombak makin dekat dan mengganas pada musim tengkujuh membuatkan kami semua rasa takut dengan situasi itu.
“Kalau dulu kami ada pantai yang indah tetapi kini sebahagian besar hilang ditelan ombak termasuk kediaman, kedai dan tanah perkuburan yang turut musnah,” katanya.
Berkongsi keresahan, Mohd Nor melahirkan kebimbangan jika tidak ada tindakan segera oleh pihak berwajib, tidak mustahil hakisan itu merebak sehingga ke pantai Merang, Setiu.
“Segerakan benteng pemecah ombak supaya hakisan ini dapat disekat dan saya mohon terutama kerajaan pusat tolong percepatkannya kerana saya tahu ini bawah peruntukannya,” tambahnya lagi.
Bagi Zamri Mohamad, 51, dia merasa sedih melihat tempat permainan zaman kecil telah lenyap apabila daratan pasir memutih kini hilang dari pandangan mata.
“Dulu kawasan pantai dengan pasir lebih kurang 500 meter dari jalan raya tapi kini angkara ombak… semua itu telah lenyap dan hanya tinggal kenangan.
“Redha tetapi tolong percepatkan benteng atau apa jua cara supaya kami tidak kehilangan lebih banyak memori di tanah kelahiran yang mana satu hari nanti tidak mustahil ia akan hanya tinggal sejarah,” katanya.
13 Jan 25
1112
Hakisan : Terpaksa Punggah Kedai Elak Bencana Lebih Teruk
KUALA NERUS, 13 Januari - Enggan mengambil risiko kerugian, pemilik francais Kopi Payung Batu Rakit terpaksa memunggah sebahagian kedainya sebelum runtuh dibadai ombak.
Muhd Rushdi Samsudin, 43, berkata dia terpaksa membuat keputusan tersebut apabila melihat situasi semakin memburuk sejak semalam.
"Apa yang boleh kita selamatkan, saya bawa keluar barang-barang sejak semalam ekoran ombak yang sangat tinggi sampai cecah atap.
"Pagi ni kita cabut atap dan tengok esok macam mana keadaannya kerana pokok kelapa depan kedai dah tumbang semuanya ke dalam laut," ujarnya ketika ditemui.
Tambahnya, hakisan tetap berlaku walaupun terdapat timbunan batu menghalang di hadapan kedainya yang dibuat sejak tahun 2023.
"Benteng batu berkenaan nampaknya tidak berupaya melawan ombak ganas pada kali ini.
"Ini kerana batu-batu berkenaan makin mendap menyebabkan ombak berjaya menghakis tebing," ujarnya.
Dia yang kerugian lebih separuh pendapatan sejak kejadian hakisan itu terpaksa mencari jalan untuk meneruskan perniagaannya.
"Kita cuba berniaga dulu di kawasan tanah lapang depan kedai tapi jika masih berisiko maka terpaksalah mencari lokasi baru untuk memulakan perniagaan," jelasnya.
Dalam masa sama, dia berharap kerajaan persekutuan dan negeri dapat mencari solusi bagi masalah hakisan itu demi kebaikan semua pihak.
13 Jan 25
1345