Artikel "Utama" Terkini
Pasarnita Pertama Terengganu Lancar 16 November Ini
Terengganu merintis transformasi ekonomi wanita apabila Pasarnita pertama di Terengganu bakal dilancarkan di Pasar Malam Tanjung, Kuala Terengganu pada 16 November ini.Majlis pelancaran akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, kira-kira jam 3.30 petang. Turut hadir Penasihat Ekonomi Wanita, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil.Pengurus Pembangunan Perniagaan, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad berkata, sempena pelancaran itu, pelbagai program menarik akan disajikan kepada orang ramai seperti penampilan artis terkenal dan juga termasuk aktiviti jualan produk daripada usahawan tempatan wanita sepanjang enam hari bermula dari jam 3 petang hingga 12 malam. Walaubagaimanapun, pada hari perasmian, perniagaan akan bermula seawal jam 9 pagi. “Kita mensasarkan kira-kira 3,000 tetamu akan mengunjungi lokasi perasmian sempena pelancaran itu nanti terutama golongan wanita dari pelbagai agensi dan juga badan bukan kerajaan serta orang ramai,” katanya kepada Teganukita, hari ini. Menurut Hairulnizam, Pasar Malam Tanjung yang menyediakan 34 lot premis kekal dari enam Pavillion dan 78 lot untuk diisi oleh pelbagai usahawan, akan menjadi pusat aktiviti keusahawanan negeri dengan menampilkan konsep yang lebih menarik, bersih dan eksklusif. Katanya, pasarnita akan beroperasi tiga hari seminggu, iaitu pada Rabu, Khamis dan Jumaat, bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam, manakala pasar malam akan mengambil tempat dan tempoh masa yang sama sepanjang tiga hari berikutnya.Tambahnya, pusat perniagaan itu juga mampu menjadi tarikan utama bagi menjual dan mempamer pelbagai produk meliputi makanan, kraftangan, selain persembahan serta aktiviti seni.“Konsep yang diketengahkan juga berbeza dengan pasar malam biasa seperti peralatan jualan yang seragam, susun atur lebih kemas, penampilan usahawan dan kekemasan gerai, perkhidmatan kelas pertama, mengikut tema jualan berdasarkan hari tertentu.“Pasarnita akan menjadi tapak perniagaan khusus untuk usahawan kecil wanita tempatan dan menjadi pusat sehenti kepada orang ramai mendapatkan pelbagai jenis barangan keperluan keluarga,”katanya. Menurut beliau lagi, projek yang menjadi inisiatif pertama menerusi Pejabat Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Jabatan Perdana Menteri itu pada awalnya tercetus ketika kunjungan Tan Seri Shahrizat sempena pelancaran program wanita peringkat negeri di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus , dua tahun lalu.
10 Nov 16
430
Promosi Terengganu Di WTM 2016 London
Kerajaan negeri melalui Sekretariat Beautiful Terengganu bersama-sama 50 agensi kerajaan dari negara ini menyertai World Travel Market (WTM) di London sebagai usaha mempromosi Malaysia termasuk Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.Program yang berlangsung selama tiga hari, berakhir 9 November itu turut disertai lebih 180 negara untuk mempromosi keunikan dan tarikan di negara masing-masing.Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata WTM 2016 merupakan program pelancongan terbesar di dunia dan platform terbaik bagi memperkenalkan Terengganu di mata dunia terutama kepada masyarakat Eropah.“Pihak kami mengambil langkah proaktif menjual nama Terengganu sempena WTM 2016 yang membolehkan pelbagai saluran dan ruang dimanfaat, bersemuka dengan pelbagai agensi pelancongan terkemuka dan media luar negara,” katanya dalam kenyataan kepada Teganukita sempena program itu.Pada program itu, gerai pameran pelancongan Terengganu telah dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 7 November lalu.Hadir sama Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Abd Rahman.
09 Nov 16
83
Terengganu International Bike Meet 25 Hingga 27 November Ini
Terengganu International Bike Meet yang bakal menghimpunkan peminat permotoran dalam dan luar negara akan diadakan di Pulau Warisan Kuala Terengganu dari 25 hingga 27 November ini.Program yang julung kali dianjurkan Terengganu Riders Group itu turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman dijangka akan merasmikan himpunan pencinta roda dua itu pada 26 November.Pelbagai acara menarik disediakan termasuk pertandingan airbrush motosikal, pertunjukan pocket bike, skill riding dan pelbagai lagi.Yuran pendaftaran hanya RM50 seorang dan terbuka kepada semua jenis motosikal dimana peserta turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah lumayan antaranya motosikal Yamaha 125ZR dan Yamaha Y15ZR.
09 Nov 16
132
Nasi Dagang, Keropok Lekor Sejuk Beku Masuk Pasaran Kota London
Makanan tradisional Terengganu, nasi dagang dan keropok lekor sejuk beku diperkenalkan kepada masyarakat di kota metropolitan London, menerusi Pameran World Travel Market (WTM) London 2016.Produk lain yang turut dijual di pameran antarabangsa tiga hari berakhir 9 November itu, adalah pakej-pakej pelancongan dibawa kerajaan negeri melalui Sekretariat Beautiful Terengganu.Inisiatif yang digembleng oleh kerajaan negeri bersama penggiat pelancongan itu bagi menarik pelancong asing ke negeri ini, terutama sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, Terengganu bersama Pahang dan Perak menggunakan peluang WTM tahun ini bagi mempromosi produk dan keunikan negeri masing-masing melalui pakej kolaborasi tiga negeri.“Buat permulaan, wakil dari tiga negeri bersetuju mengadakan pelbagai aktiviti pelancongan melalui pakej lawatan sepuluh hari, sembilan malam dan sembilan hari, lapan malam,” katanya.Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz melancarkan nasi nasi dagang dan keropok lekor sejuk beku di Sidang Media Malaysia sempena WTM 2016.Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Tengku Zaihan Che Abd Rahman.Tetamu kehormat lain, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Pahang, Datuk. Mohd Sharkar Shamsuddin.
09 Nov 16
92
Pengembara Basikal Secara Solo Dijangka Tiba Di Terengganu Jumaat Ini
Mohd Suradi ketika mengadakan sidang media di Pejabat Unit Komunikasi Negeri Terengganu. Foto oleh Zulkifli PutraPengembara berbasikal secara solo, Sofian Mohd, 56, dijangka menjejaki bumi Terengganu pada Jumaat ini, dengan persinggahan pertama di Kuala Besut selepas berjaya mengharungi 30 negara membabitkan kira-kira 45,000 kilometer.Keesokan harinya (Sabtu), beliau dijadualkan akan melalui Kampung (Kg) Rahmat, Chalok, Sungai Tong, Gemuroh, Tepoh, Batu Enam, Jambatan Sultan Mahmud, Gong Kapas, Bukit Besar, Jalan Pasir Panjang dan berakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, Kuala Terengganu.Majlis sambutan kepulangan Sofian di sekolah itu akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.Sebelum itu, Sofian yang merupakan anak jati Kampung Telaga Daing, Seberang Takir yang juga Ketua Jabatan Pengajian Am, Politeknik Kuching Sarawak, mengambil masa kira-kira 16 bulan, bermula Julai tahun lalu dengan berbasikal secara solo mengelilingi dunia.Pengarah program sambutan itu, Mohd Suradi Mohd Sabri, berkata antara negara yang dijejaki pensyarah itu, termasuk Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Krygyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Azerbaijan, Georgia, Turki, Greece, Albania, Itali, Switzerland dan Perancis.Katanya, selain itu, Sepanyol, Portugal, Denmark, Jerman, Belanda, United Kingdom, Kanada, Korea Selatan, Korea Utara, Hong Kong, Taiwan dan Brunei.“Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh beliau, termasuk cuaca terlalu panas dan keadaan salji tebal di Xinjiang China, laluan bergunung di China hinggalah ke laluan padang pasir di Asia Tengah.“Selain itu, terpaksa bermalam di dalam khemah di kaki lima stor, tepi jalan, rumah kosong dengan berbekal makanan tertentu seperti spageti, beras, telur dan roti,” katanya ketika mengadakan sidang media di Pejabat Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini..Menurutnya, apa yang dilakukan Sofian semata-mata mahu menyempurnakan misi kayuhan diri sendiri di samping mengharumkan nama negara dengan membawa imej keamanan dan ukhuwah yang sinonim sebagai budaya Malaysia khususnya Terengganu.Tambah beliau, diharapkan ekspedisi itu dapat memeriahkan lagi acara sempena Tahun Melawat Terengganu 2017..
09 Nov 16
349
Terengganu Cadang Unit Khas Pantau 203 Sekolah Berisiko
Terengganu mengenalpasti 203 daripada 503 sekolah menengah dan rendah yang berusia lebih 20 tahun di seluruh Terengganu perlu dipantau dari aspek keselamatan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. latiff Awang, berkata dalam usaha mewujudkan persekitaran yang selamat, pihaknya akan memastikan satu unit khas dibentuk untuk memantau secara forensik bagi mengenal pasti ciri-ciri keselamatan dari segi pendawaian, struktur bangunan serta perkara-perkara yang boleh menyebabkan insiden seperti kebakaran. “Pada masa yang sama, kita juga akan memastikan guru-guru dan murid-murid diberikan kursus dan praktikal untuk menghadapi pelbagai bentuk bencana contohnya kebakaran, gempa bumi dan sebagainya. “Latihan keselamatan secara berkala sebanyak dua kali setahun mesti dilaksanakan supaya mereka bersedia sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini,”katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat kunjungan kepada pelajar Tingkatan Lima yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Tapai, Marang, hari ini. Seramai 75 pelajar melibatkan 51 calon Melayu dan 24 calon Cina mengambil SPM di sekolah itu.Latif berkata, setiap premis sekolah mestilah mempunyai alatan keselamatan yang lengkap dan mengikut piawaian seperti pili bomba dan alat pemadam api supaya dapat digunakan apabila berlaku kecemasan sekali gus mampu mengurangkan risiko kemusnahan harta benda dan kecederaan nyawa.Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan segera RM100 juta bagi membina tiga sekolah menengah baharu di negeri ini, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serada, Kuala Terengganu, SMK Tok Jembal, Kuala Nerus dan SMK Permai, Kemaman .
08 Nov 16
34
Kemaman Siap Siaga Hadapi Kemungkinan Banjir
Kemaman kini dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi musim tengkujuh terutama melibatkan kawasan yang berisiko tinggi dilanda banjir di daerah itu.Pegawai Daerah Kemaman, Rosman Roslan berkata, Pejabat Daerah Kemaman memperkenalkan beberapa langkah baharu berdasarkan pengalaman berdepan banjir besar pada 2013 dan 2014 termasuk menambah baik sistem pengurusan bencana.Katanya, jika sebelum ini segala data dan maklumat penduduk yang terlibat musibah itu hanya direkod secara manual pada 2012, kini ianya ditambahbaik dari setahun ke setahun sehinggalah komuniti pintar diperkenalkan pada tahun lalu.“Sistem Pengurusan Banjir Daerah Kemaman berevolusi. Bermula dengan sistem manual pada 2012 kepada separa berkomputer 2013 seterusnya secara berkomputer sepenuhnya pada 2014 dan ditambah dengan komuniti pintar pada 2015,” ujarnya kepada Teganukita.Katanya, jika sebelum ini segala maklumat peribadi penduduk yang terlibat dengan banjir direkodkan pada hari kejadian tetapi bermula tahun lalu proses tersebut dikemaskini lebih awal.“Berdasarkan pengalaman lepas, apabila berpindah barulah kita mula mendaftar dan sebagainya tetapi pada kali ini proses ini kita buat terlebih dahulu sebelum banjir melanda. Pada 2015, apabila diarahkan berpindah kita tambah dengan sistem pesanan ringkas (SMS) supaya segala maklumat penting cepat tersebar,” ujarnya.Menurutnya, secara tidak langsung kaedah ini dapat meminimumkan penggunaan aset untuk logistik dan juga kerahan tenaga anggota sukarelawan serta pasukan penyelamat.Rosman berkata, sehingga 7 November lepas, sebanyak 11,203 buah rumah berdaftar dengan Sistem Pengurusan Bencana Pejabat Daerah Kemaman yang melibatkan 44,877 penduduk termasuk ketua isi rumah dan ahli keluarga dan 74 pusat pemindahan disediakan di seluruh daerah ini.Katanya, berikutan hujan yang turun di daerah ini hanya 41 peratus setakat ini, pihaknya lebih berwaspada dan sentiasa bersiap siaga.“Kita kena lebih bersedia kerana peratus hujan yang belum turun lebih separuh dan sekiranya ianya terjadi dalam tempoh tiga bulan ini kemungkinan berlaku banjir ditambah dengan faktor air pasang yang dijangka bermula 14 November ini.“Selain itu, kita juga telah adakan simulasi hadapi banjir untuk daerah ini termasuk kaedah menyelamat, penggunaan aset seperti bot dan lain-lain sebagai persediaan awal hadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya.Sementara itu, berikutan berdepan dengan bencana banjir setiap tahun mendorong Kemaman memperkenalkan skim perlindungan bencana, Polisi Insurans Kampung Ku daripada Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, sekali gus menjadikan daerah itu sebagai perintis di negara ini yang menawarkan perlindungan untuk bencana itu.“Sehingga kini, kira-kira 6,000 penduduk di Kemaman telah membeli insurans berkenaan sebagai persediaan menghadapi kerugian semasa banjir di mana akan menerima pampasan segera sebanyak RM1,000,”ujarnya.
07 Nov 16
127
Enam Daripada 20,528 Calon SPM Duduki Peperiksaan Di Hospital
Daripada seramai 20,528 calon yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Terengganu yang bermula hari ini, enam daripada mereka terpaksa menjalani peperiksaan itu di tiga hospital negeri ini.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, Bazlan Abdul Rahman berkata, empat calon peperiksaan berkenaan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan masing-masing seorang calon di Hospital Dungun dan Hospital Hulu Terengganu.Beliau yang diiringi pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu meluangkan masa melawat calon-calon berkenaan di HSNZ, sambil memberikan kata-kata semangat sebelum peperiksaan itu bermula.Seorang calon dari Sekolah Menengah Agama Dato’ Haji Abbas, Nur Syafirah Abdul Rahman, 17, yang sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana sakit belakang, berkata dia sudah bersedia menempuhi peperiksaan itu dan akan menjawab dengan tenang tanpa menjadikan penyakitnya sebagai halangan untuk fokus kepada setiap soalan peperiksaan. "Saya belajar dengan dibantu rakan dan guru yang selalu datang ke sini selain ada juga menghubungi menerusi telefon bagi mengulangkaji pelajaran.“Peluang yang ada saya manfaatkan dengan sepenuhnya untuk membuat latihan dan mengulangkaji termasuk membuat rujukan dengan guru di hospital jika tidak memahami mana-mana subjek SPM ini dengan baik," katanya.Sementara Nur Dayana Izzati Mohd Fauzi, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit, pula berkata kecederaan akibat terjatuh di asrama dua minggu lalu menyebabkan dia terpaksa menempuhi peperiksaan di hospital."Saya kini tidak mampu bergerak dan bangun seperti biasa akibat mengalami keretakan di bahagian tulang belakang. Doktor memasang peralatan khas di badan saya sebagai sokongan, Alhamdulillah kini saya boleh duduk dengan lebih selesa walaupun tidak mampu lagi berjalan seperti biasa,”katanya.Seorang lagi calon peperiksaan itu, Muhammad Fitri Rahman Mohd Fauzi, 17, berharap dapat menjalani peperiksaan yang bakal berakhir 5 Disember ini dengan tenang dan mampu memberi tumpuan sepenuhnya tanpa sebarang halangan.“Saya mula dirawat sejak 8 Oktober lagi, apabila mengalami patah tulang paha selepas terlibat dalam kemalangan motosikal.“Mujurlah kecederaan saya tidak serius dan dapat menduduki peperiksaan ini, walaupun sedikit terjejas akibat kesakitan yang dialami ini,”katanya.
07 Nov 16
445
Projek Keretapi Laju KL- Pantai Timur Rancakkan Ekonomi Terengganu
Projek pembinaan sistem keretapi laju Kuala Lumpur - Pantai Timur yang dijangka bermula tahun hadapan, bakal merancakkan ekonomi dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan di Terengganu.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek yang menelan belanja kira-kira RM55 bilion itu akan menarik lebih ramai pelabur ke Terengganu sekaligus memajukan sektor pelancongan negeri kelak.Katanya, China bersetuju melaksanakan projek berkenaan mengikut dua fasa, menerusi rundingan dan persetujuan yang dicapai antara Kerajaan China dengan Kerajaan Pusat, menerusi lawatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak bersama delegasi Malaysia yang turut disertai beliau, ke China sejak 31 Oktober lalu sehingga kelmarin (Jumaat).“Fasa pertama melibatkan landasan yang menghubungkan Gombak, Selangor ke Dungun, Terengganu yang bermula tahun hadapan dan dijangka siap pada 2020.“Fasa kedua pula, menghubungkan Dungun ke Tumpat, Kelantan dan kesemua projek berkenaan yang melibatkan laluan sejauh 600 kilometer dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030,” ujarnya.Ahmad Razif berkata berkata demikian kepada pemberita di Majlis penutupan Senamrobik TTB dan Pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat DUN Seberang Takir di Taman Rekreasi Pantai Kubang Badak, Kuala Nerus, semalam.Katanya, jajaran rel keretapi laju bagi fasa pertama sudah pun dikenal pasti dan pada masa ini, proses pengambilan tanah sudah selesai bagi laluan menghubungkan Gombak ke Dungun.Menurut beliau, jajaran bagi fasa kedua dari Dungun ke Tumpat pula masih belum diputuskan, bagaimanapun kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada laluan pantai dalam usaha merancakkan lagi sektor perindustrian dan pelancongan di negeri ini.
05 Nov 16
119
7,165 Kanak-kanak YPKT Hafaz Muqaddam Sejak 2007
Program Hafaz Muqaddam (23 surah lazim) di kalangan kanak-kanak di 65 buah Taska Permata Keluarga (TPK) Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) merekodkan peningkatan dari setahun ke setahun, sejak dimulakan pada 2007.Hanya 255 kanak-kanak YPKT dari seluruh negeri berusia tiga hingga empat tahun yang terlibat pada tahun pertama penganjuran, bertambah sehingga 1,009 orang berjaya menghafaz muqaddam pada tahun ini.Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, program itu berjaya melahirkan 7,165 kanak-kanak hafaz muqaddam sepanjang 10 tahun lalu menerusi bimbingan guru TPK masing-masing.“Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, Majlis Penyampaian Sijil Hafazan Muqaddam 2016 (23 surah lazim) dilaksanakan mengikut daerah secara berperingkat.“Untuk hari ini, kita raikan seramai 377 orang kanak-kanak empat tahun bagi Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang dikira berkemampuan dan memenuhi syarat yang ditetapkan,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil Hafazan Muqaddam 2016 (23 surah lazim) Taska Permata Keluarga Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Wisma Darul Iman, hari ini.Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib yang mewakili Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.Mohd Shafaruddin berkata, program hafaz ini bertujuan menanam rasa cinta kepada al-Quran dan kearah pembentukan akhlak mulia dalam diri anak-anak sejak awal usia.“Aktiviti pembelanjaran seperti menghafaz dan mengingat secara berulang-ulang, secara tidak langsung akan meningkatkan kognitif, daya dan proses berfikir di kalangan kanak-kanak,” ujarnya.
02 Nov 16
149