Artikel "Utama" Terkini
Majlis Pecah Tanah Kompleks Pembangunan Usahawan UCB Bernilai RM4 Juta Pada 23 November Ini
Ahmad Suhaily (depan kiri) bersama pegawai UCB yang lain mengadakan perbincangan dengan pegawai Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) yang diketuai Timbalan Pengarah (Pengurusan), Mohd Razif Abd Majid (depan kanan) sempena majlis pecah tanah kompleks yang bakal diadakan nanti, di Pejabat UKOM, baru-baru ini. Foto oleh Zulkipli CW Putra Kolej Universiti Bestari (UCB) merintis usaha membangunkan Kompleks Pembangunan Usahawan UCB bagi melatih para siswazah yang berkemahiran dan mampu menjadi usahawan apabila menamatkan pengajian masing-masing. Kemudahan yang merangkumi satu blok bangunan pejabat tiga tingkat, satu blok bangunan setingkat yang dilengkapi bilik kuliah, bengkel, bilik pemprosesan makanan sejuk beku serta pejabat pentadbiran menelan belanja kira-kira RM4 juta dijangka siap dalam tempoh setahun.Penubuhan kompleks di tanah berkeluasan 2.8 hektar itu antara lain bertujuan untuk membentuk komuniti usahawan siswazah komersial yang lebih dinamik, menyediakan peluang pekerjaan terutama kepada pelajar lepasan UCB dan pendedahan kepada siswazah mengenai pertanian sebagai kerjaya pilihan utama. Timbalan Naib Canselor (Bahagian pembangunan Fasiliti Dan Kediaman Pelajar) UCB, Prof Madya Ahmad Suhaily Mohd Salleh, berkata fasiliti itu juga dibina bagi membantu mahasiswa dalam bidang keusahawanan di samping menyokong dasar negara bagi melahirkan usahawan siswazah moden yang terbilang selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai negara maju serta berpendapatan tinggi menjelang 2020.Sehubungan itu, katanya majlis pecah tanah kompleks berkenaan bakal disempurnakan Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Abdul Rahman Abbas pada 23 November (Rabu), kira-kira jam 10 pagi. “UCB menjemput kira-kira 1,300 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kenamaan dan kakitangan serta mahasiswa kolej ini sendiri bagi menyaksikan majlis bersejarah pecah tanah sebagai merealisasikan hasrat itu pada Rabu ini,”katanya kepada Teganukita.UCB sebelum ini dikenali sebagai Kolej Teknologi Bestari (KTB) ditubuhkan pada 1998 dinaiktaraf sebagai Kolej Universiti pada 1 Ogos 2012 setelah menerima surat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi. Selain itu, UCB menjadi institusi pengajian tinggi yang pertama berusaha memartabatkan anak-anak Melayu yang miskin, golongan program pembangunan rakyat termiskin dan anak yatim seluruh Malaysia yang berkemampuan dalam bidang akademik untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Penubuhan UCB bukanlah bermotifkan keuntungan semata-mata, sebaliknya memfokuskan kebajikan, selain merealisasikan pembangunan keilmuan dalam arus perdana globalisasi negara supaya peluang pendidikan ini turut sama dikecapi oleh masyarakat luar bandar dan anak-anak yatim di seluruh negara.
17 Nov 16
84
Agensi Kerajaan Perlu Proaktif Tangani Isu Banjir
Agensi dan jabatan kerajaan negeri diminta bertindak secara proaktif dalam menangani masalah dan isu berkaitan bencana banjir terutamanya pada musim tengkujuh.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pada musim tengkujuh dan hujan menyebabkan kejadian seperti jalan terputus hubungan ataupun longkang tersumbat dan masalah itu perlu disegerakan agar tidak menyulitkan rakyat.“Saya minta apabila saja berlaku kejadian-kejadian tersebut, jabatan-jabatan haruslah bertindak segera berdasarkan kapasiti masing-masing.“Ini merupakan salah satu konsep transformasi kerajaan yang dilakukan. Apabila saya dapat saja makluman tentang insiden jalan raya terputus hubungan, saya minta supaya ketua-ketua jabatan segera ke tempat kejadian untuk mengambil tindakan susulan,” katanya.Beliau ditemui pemberita semasa melawat kawasan jalan raya terputus hubungan di Wakaf Baru, Kuala Nerus, hari ini.Ahmad Razif berkata, tindakan segera dan proaktif perlu diambil bagi mengelakkan nilai kerugian bertambah dan meningkatkan kos penyelenggaraan.“Jika ianya dibiarkan semakin lama, kerosakan yang akan akan dialami bertambah sekaligus melibatkan kos pembaikan bertambah. Bagi mengelakkan kerugian, tindakan segera perlu diambil,” katanya.Tambahnya, kerajaan negeri telah menyediakan e-Aduan kepada rakyat Terengganu bagi memudahkan rakyat untuk menyampaikan sebarang aduan.“Jika aduan yang dilaporkan melalui e-Aduan tidak dapat diselesaikan dalam masa tiga hari, saya sendiri atau ketua jabatan akan turun ke lokasi tersebut utuk menyelesaikannya,” katanya.
17 Nov 16
44
UPSR 2016: 271 Calon Dapat Semua A
Terengganu mencapai 2.95 Gred Purata Negeri (GPN) bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, mengatasi Gred Purata Nasional yang merekodkan 2.96.Daripada GPN itu, seramai 20,341 calon yang menduduki UPSR , seramai 271 atau 1.33 peratus murid yang mendapat semua A (6A), manakala minima D termasuk semua A seramai 13,906 pelajar.Antara 10 sekolah yang disenaraikan terbaik, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Bidong, Setiu; SK Kuala Ping, Hulu Terengganu; SK Bukit Losong, Kuala Terengganu dan SK Pasir Raja, Dungun.Sekolah lain, SK Batangan, Marang; SK Kampung Nangka, Besut; SK Darat Batu Rakit, Kuala Nerus, SK Kampung Raja, Besut; SK Kampung La, Setiu dan SK Bukit Petiti, Kuala Terengganu.Manakala, bagi pencapaian di peringkat daerah pula, Hulu Terengganu berjaya menduduki tempat pertama dengan Gred Purata 2.84, diikuti Kuala Nerus 2.89, Kuala Terengganu 2.92, Dungun 2.95, Kemaman, 2.96, Setiu dan Besut masing-masing 3.01 dan Marang, 3.03.Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin, berkata JPNT mengakui pencapaian UPSR tahun ini agak merosot berikutan hanya 271 pelajar mendapat semua A daripada 20,341 calon .Katanya, kemerosotan prestasi dikesan kerana pelajar dipercayai gagal menguasai mata pelajaran Bahasa Inggeris Penulisan dan Sains.“Kita akan mengkaji dan menganalisa perkara ini dengan melihat balik dan tuntutan mengenai mata pelajaran itu seperti yang dimahukan Kementerian Pendidikan pada tahun depan .“Pada masa sama, kita juga akan mengenalpasti kepakaran dan pengalaman guru, mempergiatkan program motivasi bermula daripada awal persekolahan dan mengkaji kelemahan pelajar ”katanya.
16 Nov 16
210
Pasarnita Terengganu Jadi Contoh Dilaksana Seluruh Negara
Pasarnita di Pasar Malam Tanjung, Kuala Terengganu akan dilaksanakan di seluruh negara bagi menambah pendapatan golongan wanita, sekali gus berupaya melonjak ekonomi negeri dan negara amnya.Penasihat Pembangunan Keusahawan dan Iktisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shahrizat Abd Jalil berkata,Terengganu muncul negeri perintis yang merealisasikan perniagaan berkonsepkan tapak jualan khas untuk golongan wanita sebagai langkah membantu golongan sasar menjana ekonomi dan pendapatan keluarga."Saya sangat berbangga dengan komitmen kerajaan negeri dan tindakan bijak Menteri Besar (Ahmad Razif Abd Rahman) yang merealisasikan projek ini dalam masa yang sangat singkat, sebaik dicadangkan dua tahun lalu, sewajarnya dipuji.“Saya mahu supaya usahawan wanita memanfaatkan peluang diberikan dengan sebaik mungkin. Ia menjadi satu pengiktirafan kerajaan negeri untuk golongan wanita dan saya mahu konsep pasarnita ini juga dilaksanakan di negeri lain. Wilayah Persekutuan akan menjadi negeri seterusnya melaksanakan konsep yang sama seperti di Terengganu," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pasarnita@Tanjung Kuala Terengganu di sini, hari ini.Majlis perasmian pasarnita itu disempurnakan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.Sementara itu, Ahmad Razif berkata, sebanyak RM13.9 juta diperuntukkan untuk membangunkan pasarnita berkenaan yang menyediakan 34 tapak kekal dari enam pavilion dan 101 tapak sementara yang akan menjadi pusat aktiviti keusahawanan negeri dengan menampilkan konsep yang lebih menarik, bersih dan eksklusif.Menurut beliau, premis perniagaan berkenaan mampu memberi manfaat kepada 135 usahawan wanita bagi mempamer serta memasarkan produk seperti pakaian, makanan, kesihatan, kecantikan dan seni kraftangan.Pasarnita beroperasi tiga hari seminggu iaitu Rabu, Khamis dan Jumaat bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam, manakala pasar malam akan mengambil tempat dan tempoh masa yang sama sepanjang empat hari berikutnya.
16 Nov 16
263
Wira TBSS Hanelang Terima Ganjaran RM10,000
Ahmad Razif menyerahkan sumbangan kepada Sofian yang telah menamatkan kembara solonya sejauh 22,000 kilometer di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Zulkifli Putra.Kerajaan negeri menghadiahkan insentif sebanyak RM10,000 kepada Wira TBSS Hanelang, Sofian Mohd yang berjaya menamatkan jelajah solo berbasikal mengelilingi dunia di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, Kuala Terengganu, pada Sabtu lalu.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ganjaran tersebut diberikan sebagai galakan kepada rakyat Terengganu supaya mampu mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang.Katanya, selain insentif berkenaan, wira negeri itu juga akan menerima ganjaran lain berikutan kejayaannya membawa nama Terengganu di persada antarabangsa.“Dato’ Rozi Mamat dan A. Latiff Awang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri telah diberi tugas untuk memberi Sofian ruang menceritakan pengalamannya terutama kepada pelajar sekolah, atlet-atlet serta belia di negeri ini sebagai motivasi kepada mereka.“Selain itu, kisah pengembaraan Sofian ini turut akan dimasukkan ke dalam galeri yang ditempatkan di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu bersama dengan kejayaan anak-anak Terengganu yang lain,” katanya.Beliau ditemui pemberita pada Program Minum Pagi Menteri Besar Bersama Wira TBS Hanelang di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.Sofian memulakan jelajah solonya pada 1 Ogos 2015 dan berjaya menamatkannya selepas 16 bulan.Sepanjang tempoh itu, beliau berkayuh sejauh 22,000 kilometer melibatkan 22 buah negara.
15 Nov 16
175
Keluarga Arwah Alfian Dihadiahkan Rumah Pangsa Kampung Kolam
Ahmad Razif menyerahkan replika kunci kepada Fauziah ketika melawat ahli keluarga allahyarham Alfian di Rumah Pangsat Kampung Kolam, petang semalam . Foto oleh Zulkifli PutraKerajaan negeri menghadiahkan seunit rumah pangsa di Kampung Kolam, Kuala Terengganu kepada keluarga bekas pemain bola sepak Terengganu, Allahyarham Alfian Aziz, 36, yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 55, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Hentian Titiwangsa di Grik, Perak pada Ahad lalu.Keluarga berkenaan sebelum ini menyewa rumah itu dengan kadar RM105 sejak 1991 dan kerajaan negeri bersetuju menukarkan status rumah itu menjadi hak milik keluarga berkenaan.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman yang mengunjungi keluarga malang itu, semalam turut melahirkan rasa simpati dengan nasib menimpa mereka yang hilang tempat bergantung selepas pemergian arwah yang sebelum ini membantu ibunya, seorang ibu tunggal, Fauziah Ngah, 58, bagi menanggung dan menguruskan enam adik beradiknya yang dikategorikan orang kurang upaya.Katanya, bkerajaan negeri menawarkan Rumah Mampu Milik di Banggol Tuan Muda, Manir tetapi Fauziah memohon untuk terus tinggal di Flat Seri Kolam.“ Mungkin dengan keadaan anak-anaknya selain sudah biasa dengan persekitaran dan jiran yang banyak membantu serta kemudahan asas yang lebih dekat dengan kawasan bandar.“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban kerana selepas ketiadaan Alfian sememangnya memberi kesan besar kepada keluarga arwah," katanya ketika melawat ahli keluarga Allahyarham Alfian di Rumah Pangsa Kampung Kolam.Dalam laporan akhbar, Alfian maut manakala isteri dan dua anaknya berusia setahun dan tiga tahun cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di KM 55, JRTB berhampiran Hentian Titiwangsa di Grik, Perak.Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, mangsa bersama keluarganya menaiki Perodua Alza dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah, menuju Terengganu melalui laluan berkenaan sebelum kenderaan dinaiki hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.Arwah yang juga anak sulung daripada lapan beradik mempunyai enam adik yang disahkan menghidap penyakit genetik menyebabkan empat daripada mereka diserang penyakit sawan manakala dua lagi dikategorikan sebagai hiperaktif.
15 Nov 16
452
RM16 Juta Kepada Kontraktor G1 Seluruh Terengganu
Ahmad Razif menyerahkan inden kepada salah seorang kontraktor gred G1 pada Majlis Penyerahan Inden Kepada Kontraktor G1 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim. Kerajaan negeri memperuntukkan RM16 juta kepada kontraktor gred G1 terutama kepada yang tidak pernah mendapat mana-mana projek sebelum ini di seluruh Terengganu.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bajet yang digunakan untuk pengagihan projek kepada seluruh 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan setiap DUN mendapat RM500,000.Beliau berkata, pengagihan projek yang bernilai bawah RM20,000 kepada kontraktor gred G1 adalah bagi menyelesaikan isu-isu menerusi Majlis Perundingan Rakyat (MPR).“Hasil daripada bengkel yang dilakukan oleh jawatankuasa MPR telah mengenalpasti apakah keperluan rakyat dan kita telah bersetuju untuk menyelesaikan sebahagian besar daripada projek-projek tersebut yang bernilai RM20,000 ke bawah.“Peruntukan untuk menyelesaikan projek-projek tersebut pula menggunakan bajet dari luar kerana kita tidak mahu kontraktor terburu-buru menyiapkan projek yang diserahkan sehingga menjejaskan mutu kerja mereka,”katanya.Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Inden Kepada Kontraktor G1 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.Turut hadir, Yang Dipertua DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil. Ahmad Razif berkata, semua pejabat daerah pula diminta melakukan pemantauan kepada pelaksanaan projek-projek itu supaya berjalan lancar dan mengikut jadual.“Kita nak pastikan projek-projek yang dihasilkan ini dapat menyelesaikan isu MPR disamping membantu kontraktor G1 ini selain memberi peluang pekerjaan kepada mereka terutama dalam musim tengkujuh,” katanya.
14 Nov 16
179
Permohonan Maaf Atau Tindakan Undang-Undang - Naib Presiden PBSNT
Ab Rasid menunjukkan laporan polis yang telah dilakukan pada Khamis lalu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.Tindakan undang-undang bakal diambil kepada pemilik akaun page Facebook (FB) Terengganu, T&T dan Selamatkan Bolasepak Terengganu berikutan fitnah terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PSBNT), yang mencetuskan viral di kalangan peminat bola sepak negeri ini, baru-baru ini.Naib Presidennya, Ab Rasid Jusoh berkata, terdapat beberapa tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada persatuan dan dirinya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Belia serta Pengerusi Jawatankuasa Pengecaman dan Penilaian Pemain, sehingga menjejaskan imej beliau selaku penjawat awam.Beliau berkata, tempoh lima hari diberikan kepada pemilik akaun-akaun tersebut untuk membuat permohonan maaf secara terbuka serta menarik balik tuduhan yang dilakukan ataupun berdepan tindakan undang-undang serta saman.“Jika dalam tempoh itu mereka masih tidak menarik balik fitnah yang dilemparkan dan tiada permohonan maaf yang dilakukan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka.“Saya juga bersedia untuk bersemuka dengan pengendali-pengendali akaun tersebut jika mereka mempunyai masalah untuk diutarakan,” katanya kepada pemberita.Beliau ditemui pemberita dalam majlis ramah mesra bersama media di Pejabat T-Team, Kuala Terengganu, hari ini.Ab Rasid berkata, status yang mula dimuatnaik pada 26 Oktober lalu di laman sosial tersebut menyentuh beberapa isu antaranya mengaitkannya dengan kejatuhan bola sepak Terengganu serta melobi dirinya untuk bertanding sebagai timbalan presiden serta setiausaha PBSNT.Selain itu dirinya juga turut dikaitkan dengan kejatuhan moral pemain Terengganu serta mengeluarkan senarai pemain pasukan negeri untuk musim depan selain beberapa serangan peribadi.Berikutan fitnah tersebut, satu laporan polis dibuat pada Khamis lalu sebagai tindakan susulan dan memudahkan siasatan dilakukan pihak berkuasa.
14 Nov 16
197
Pusat Permindahan Banjir Qaseh OKB Mampu Tampung 350 Mangsa Banjir
Tengku Putera (kiri) kelengkapan asas untuk mangsa banjir pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pusat Pemindahan Banjir Kompleks Qaseh OKB di Kampung Paya Besar, Hulu Terengganu. Foto Tg Syamim Tg Ismail Tiga pusat pemindahan banjir Kompleks Qaseh OKB yang bernilai RM2.5 juta sedia digunakan untuk penempatan sementara mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, pada bila-bila masa.Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, Dato' Tengku Putera Tengku Awang berkata, pusat pemindahan itu mampu menampung kira-kira 350 mangsa banjir yang kebiasaannya membabitkan penduduk Kampung (Kg) Paya Besar, Kg Bukit Tok Bat, Kg Batu 23 dan Kg Bukit Murtaja."Kompleks Pemindahan Qaseh di Kampung Bukit Tok Bat dan Kampung Paya Besar dibina membabitkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM1.3 juta."Sementara yang dibina di Kg Batu 23 pula melalui peruntukan Kerajaan Pusat berjumlah RM1.2 juta,"katanya.Tengku Putera yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pusat Pemindahan Banjir Kompleks Qaseh OKB di Kampung Paya Besar, semalam.Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Terengganu,Norazmy Adenan.Projek pembinaan kompleks Qaseh OKB mula dilaksanakan pada 1 Oktober tahun lalu dan siap sepenuhnya 23 Disember 2015."Setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan semua keperluan termasuk khemah, tilam, tandas, bilik mandi dan sebagainya bagi menjamin keselesaan mangsa banjir."Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) turut menyediakan keperluan kit banjir seperti barangan penjagaan diri kepada setiap mangsa banjir," katanya.Tengku Putera turut memberitahu, dua pusat pemindahan banjir di Sungai Bajar dan Paya Besar akan digunakan sebagai pusat pemangkin pembangunan di kawasan tersebut kerana bangunan tersebut mempunyai dewan dan perkedaian yang boleh di majukan selepas musim banjir.Menurutnya, pusat pemindahan banjir di Kampung Bukit Tok Bat boleh dijadikan inap desa untuk disewakan kepada orang ramai dan pendapatannya akan disalurkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) kawasan tersebut.Katanya, bagi memudahkan pergerakan orang ramai terutama pesakit dan petugas hospital ke Hospital Hulu Terengganu akibat laluan yang menghubungkan bandar kuala berang terputus, penggunaan bas amfibia bomba akan digunakan termasuklah 'pontoon' sejauh 100 meter untuk laluan pejalan kaki.Selain itu, beliau berkata, permohonan kepada Kerajaan Pusat untuk menaiktaraf jalan tersebut dan meninggikan aras jalan sehingga 200 meter membabitkan peruntukan kira-kira RM18 juta pada tahun lalu, masih menunggu kelulusan.
13 Nov 16
399
Ahmad Razif Bersama Delegasi Promosi TMT 2017 Di Kota London
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman dan delegasi telah mengadakan promosi pelancongan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017 di Kota London sempena tiga hari Pameran World Travel Market (WTM) London yang berakhir 9 November lalu.Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, penyertaan kerajaan negeri melalui Sekretariat Beautiful Terengganu di WTM London, pelbagai program diatur bagi memberikan impak semaksimun mungkin di dalam mempromosikan TMT 2017.“Sebanyak 35 temujanji bersama ejen-ejen pelancongan dunia dan media cetak, elektronik dan blogger telahpun diatur sepanjang program berlangsung selain dari menerima kunjungan pelancong-pelancong Eropah ke gerai pameran dan taklimat Tahun Melawat Terengganu 2017 turut diadakan kepada delegasi Malaysia yang menyertai WTM pada tahun ini.“Juga pelancaran nasi dagang dan keropok sejuk beku semasa sidang media Malaysia oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 8 November 2016,” ujarnya.Dalam lawatan itu katanya, Ahmad Razif turut mengunjungi Ibu Pejabat Chicken Cottage di Croydon dan mengadakan mesyuarat strategik dengan diberi laporan terkini oleh pengurusan kanan Chicken Cottage.Pada masa sama, beliau sempat merasmikan cawangan Chicken Cottage yang ke 81 di 412, Harrow Road, London di United Kingdom.Restoran makanan segera berstatus halal itu sebelum ini telah mempunyai lebih 80 cawangan francais, termasuk di Eropah, Asia, Afrika dan Asia Barat dengan kadar harga yang berpatutan.Katanya, Ahmad Razif juga berkesempatan mengadakan perjumpaan dengan 11 pengusaha restoran Malaysia di kota London bertempat di Makan Cafe, Portobello pada 9 November 2016. “Dalam perjumpaan tersebut, Ahmad Razif meminta pengusaha restoran bersama-sama mempromosikan TMT 2017 dan juga memperkenalkan nasi dagang dan keropok sejuk beku. “Antara yang hadir termasuk Tuk Din dari Restaurant Tuk Din, Puan Amy Mustafa dari D’Rasa, Puan Zaleha Rashid dari Malaysia Deli dan Raja Azi dari Puji-puji Restaurant dimana mereka ini menyambut baik usaha kerajaan negeri dan akan membantu sebaik mungkin,” ujarnya.Wan Abdul Hakim berkata, semoga dengan kempen promosi yang baik dan konsisten ini, Terengganu terus kekal menjadi pilihan serta tumpuan pelancong serata dunia terutamanya sempena TMT 2017.
12 Nov 16
172