lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Jalinan Budaya Terengganu- Xiangxi Tingkat Industri Pelancongan
Jalinan Budaya Terengganu- Xiangxi Tingkat Industri Pelancongan
BESUT, 24 Februari - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) memuji usahasama dijalinkan anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan Xiangxi Furong Town Cultural & Tourism Development Co. Ltd untuk mengetengahkan keunikan Terengganu di wilayah negara China itu. Pengarah Tourism Terengganu, Ahmad Rdzwan Abd Rahman menyifatkan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara kedua-dua pihak itu sangat tepat berikutan Terengganu yang memiliki keindahan pulau dan pesisir pantai saling melengkapi Xiangxi yang kaya dengan keunikan gunung-ganangnya. "Ini merupakan satu inisiatif daripada anak syarikat kerajaan negeri Terengganu dan membuktikan komitmen GLC serta swasta akan dapat membantu meningkatkan lagi tahap permintaan industri pelancongan di Terengganu ini. "Untuk hari ini, MOU yang ditandatangani daripada pihak Terengganu Inc dan Xiangxi merupakan satu kolaborasi untuk kita mengenal pasti produk-produk pelancongan di antara dua tempat ini, sudah tentu di Xiangxi mempunyai permintaan yang tinggi dari (pelancong) China. "(Perkara) ini akan meluaskan promosi untuk negeri Terengganu di persada antarabangsa. "Setakat ini kita dapati Pulau Redang mendapat tumpuan mereka, jadi dengan adanya MOU yang dibuat di Perhentian Marriot Resort & Spa, kita akan mendapat pasaran dari China untuk Pulau Perhentian pula," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman tersebut pada Sabtu. Tambahnya, Tourism Terengganu akan terus menggiatkan usaha mengangkat budaya dan kesenian tempatan dalam memastikan usahasama itu berlangsung dengan baik. "Sebenarnya, produk sedia ada kita sudah ada banyak dari segi aktiviti budaya dan produk bersifat kesenian. mereka (Xiangxi) juga mempunyai budaya yang tersendiri dan melalui kolaborasi ini, kita akan boleh menjalinkan konsep pertukaran budaya (pengetahuan) "Untuk seterusnya, kita akan sentiasa berhubung dan MOU ini bukan sekadar persefahaman sahaja, kita akan mengambil tindakan seterusnya untuk memastikan apa usaha-usaha yang kita boleh jalinkan secara bersama," katanya.  
23 Feb 25
49
Kadar Zakat Fitrah Terengganu Mininum RM10
Kadar Zakat Fitrah Terengganu Mininum RM10
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menetapkan kadar zakat fitrah bagi umat Islam tidak kurang RM10 dan RM21 seorang pada tahun ini. Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penetapan dua kadar bayaran zakat fitrah itu adalah mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari. "Kategori pertama ialah tidak kurang  RM10 bagi mereka yang menggunakan beras tempatan biasa. "Ini berdasarkan harga jualan beras fitrah bagi gred pertengahan iaitu jenis Beras Super Import @ Beras Siam dijual dengan kadar RM10.00 segantang atau RM2.60 sekilogram mengikut harga purata beras. "Manakala kadar zakat fitrah bagi individu yang menggunakan beras premium seperti Basmathi pula ialah RM21 seorang," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Agihan Bantuan Zakat Asnaf Fakir Miskin Sempena Ramadan Tahun 1446H/2025M di sini hari ini. Beliau turut memaklumkan seramai 998 amil zakat dilantik di seluruh Terengganu sepanjang Ramadan tahun ini bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah. Sementara itu, seramai 28, 829 penerima bantuan zakat sempena Ramadan kali ini melibatkan peruntukan sebanyak RM15,493,100.
23 Feb 25
738
Rakyat Perlu Buat Bantahan Tegas Terhadap URA
Rakyat Perlu Buat Bantahan Tegas Terhadap URA
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Usaha untuk menghalang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) terletak di tangan rakyat dengan cara menunjukkan bantahan yang keras terhadap akta itu. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, dengan cara itu ia akan menghalang hasrat DAP untuk teruskan akta yang bakal menekan golongan kurang berkemampuan yang masih menjadi pemilik hartanah di tengah bandar. "Penentangan terhadap cadangan akan beri kekuatan kepada ahli-ahli parlimen yang berada di dalam kerajaan untuk tidak menyokong akta ini," ujarnya melalui hantaran di facebooknya, semalam. Mengulas lebih lanjut, katanya jika menunggu akta itu dibentangkan dahulu di parlimen kemudian dibuat bantahan dikhuatiri akan terlewat. "Sudah terlambat jika berbuat demikian. 'tyranny of the majority' seperti yang dimasukkan dalam akta melalui penurunan had ambang persetujuan akan mereka lakukan di parlimen. "Menggunakan bilang ahli parlimen yang jadi komponen sekarang," katanya. Tambah beliau, ketika Perikatan Nasional dahulu menjadi kerajaan, akta itu tidak pernah digubal sebaliknya hanya meneliti cadangan daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung had ambang persetujuan pemilik hartanah. "Termasuk menurunkan had ambang persetujuan pemilik strata, tanah, cadangkan itu ditelitikan oleh PlanMalaysia dan dibincangkan. "Tetapi PN tidak pernah gubal akta baru seperti yang dibuat oleh kerajaan sekarang,"jelas beliau. Tambah beliau cadangan pengubalan akta baru itu telah dibawa ke sesi taklimat kepada ahli-ahli parlimen minggu lalu yang memperincikan tentang had ambang persetujuan. "Sebelum ini sejak tahun lalu, KPKT telah secara aktif melaksanakan pelbagai penerangan mengenai cadangan akta ini kepada kerajaan kerajaan negeri. "Pertemuan dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan)  dan juga sekect committee parlimen," ujarnya.  
23 Feb 25
241
Tangkap Ikan ‘Guna Buluh’ Meriah di Meraga Beris
Tangkap Ikan ‘Guna Buluh’ Meriah di Meraga Beris
KEMAMAN, 23 Februari – Pertandingan memancing cara tradisional yang diadakan di Parit Line Gas, Meraga Beris, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berjaya menarik penyertaan ramai penduduk setempat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Meraga Beris, Kamarudin Muda berkata, acara yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari itu berlangsung dengan meriah dengan rata-rata peserta tiba awal di tempat acara. “Pertandingan ini dianjurkan khas untuk warga Meraga Beris dengan matlamat memupuk semangat bersaing secara sihat dalam suasana santai. “Selain menikmati pengalaman memancing, peserta turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan penganjur seperti Televisyen (TV), Kipas dan pelbagai lagi,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Penutup Ngail 2025 di Meraga Beris semalam. Perasmian Penutup tersebut disempurnakan oleh ADUN Kijal, Datuk Razali Idris. Tambah Kamarudin, program tersebut telah lama diadakan dan telah menjadi acara tahunan penduduk Kampung Meraga Beris. “Pertandingan ngail ini sentiasa mendapat sambutan setiap kali diadakan sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat kampung. “Terima kasih kepada semua pihak terlibat terutama ADUN Kijal yang sentiasa menyokong acara sebegini diadakan,” ujarnya. Sementara itu, ketika tinjuan daripada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), rata-rata peserta melahirkan rasa puas hati dengan pertandingan tersebut dan menganggap bahawa acar itu bukan sekadar tentang menang atau kalah, tetapi juga satu platform untuk berkongsi pengalaman dan nostalgia bersama rakan-rakan dan keluarga. Selain itu, kebanyakan peserta hadir bersama ahli keluarga dan mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama melalui aktiviti berkenaan.  
22 Feb 25
222
21,582 Peserta Gegar Terengganu Marathon 2025!
21,582 Peserta Gegar Terengganu Marathon 2025!
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Penganjuran premier acara Terengganu Marathon 2025 (TM2025) dengan sokongan penuh kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyaksikan penyertaan 21,582 peserta di Dataran Pantai Batu Buruk, di sini, hari ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan syabas kepada semua peserta yang bertanding menjayakan program sehingga mendapat pengiktirafan Persatuan Marathon Antarabangsa dan Perlumbaan Jarak Jauh (AIMS). “Saya mengucapkan tahniah kepada semua peserta Marathon Terengganu 2025 yang berjaya menamatkan larian mengikut kategori masing-masing, sama ada berjaya naik podium atau sekadar menamatkan larian, anda semua adalah juara. “Anda semua adalah hebat dan luar biasa kerana memberikan komitmen untuk meneruskan larian sejauh 42 kilometer, 21 kilometer, 10 kilometer hatta 100 meter sekalipun. “Keazaman dan semangat inilah yang kita kena ada dalam diri kita,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu ucapan penutup bagi acara TM2025, pagi tadi. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato' Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham, Pengerusi Lembaga Pengarah Unisza; Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh serta Ahli Parlimen Kuala Terengganu; Datuk Ahmad Amzad Hashim. Dr. Ahmad Samsuri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penuh dalam menjayakan acara tersebut. Antara pihak terlibat dalam penganjuran acara yang telah menarik kunjungan peserta dari pelbagai negeri itu tadi termasuklah KBSM, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Terengganu Running Community, penaja utama Him & Her Coffee, Kaharo Jewels dan lain-lain penaja. TM2025 menawarkan pelbagai kategori perlumbaan, termasuk Maraton Penuh (42KM) untuk peserta lelaki dan wanita berusia 18 tahun ke atas, serta Separuh Maraton (21KM) bagi mereka yang berumur 16 tahun ke atas, dengan kategori veteran untuk peserta berusia lebih 40 tahun. Selain itu, terdapat Larian 10KM, terbuka kepada individu berumur 15 tahun ke atas termasuk kategori veteran, serta Larian Santai 5KM bagi peserta berusia 13 tahun ke atas, dengan kategori khas untuk golongan muda (10-18 tahun) dan veteran. Bagi kanak-kanak, terdapat kategori Kid Flash 1KM dan 2KM, khusus untuk peserta berumur antara 6 hingga 13 tahun. Di samping trofi kemenangan yang diberikan kepada penamat larian mengikut kategori tersendiri, acara larian yang telah disertakan dalam Calender Of Event (COE) Terengganu 2025 itu turut menyediakan hadiah utama kategori cabutan bertuah jongkong emas bernilai RM100,000. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim mengumumkan bahawa acara larian ini turut akan dibawa kedalam perancangan tahun depan. “Saya merakamkan rasa syukur dan Insya-Allah dengan kelancaran program yang telah terbukti pada hari ini, Terengganu Marathon akan berulang kembali pada 2026 nanti. “Dan mengikut jadual penganjuran kami, tahun ini turut akan diadakan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud,” ujar beliau.
22 Feb 25
738
Kolej Islam Darul Iman Institusi Pendidikan Pertama Dibina Secara Wakaf
Kolej Islam Darul Iman Institusi Pendidikan Pertama Dibina Secara Wakaf
DUNGUN, 22 Februari - Kolej Islam Darul Iman menjadi institusi pendidikan pertama di negeri Terengganu yang dibina berdasarkan konsep wakaf di atas tanah hasil sumbangan orang ramai. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya sangat menyokong penubuhan institusi pengajian tinggi itu sekali gus menyuburkan pendidikan Islam di Terengganu. Ujarnya, insititusi itu akan dibina di atas tanah anugerah kerajaan berkeluasan 70 ekar di Santong berhampiran balai bomba yang dijangka memulakan operasi pertamanya dalam masa dua tahun lagi. "Setelah siap bangunan pentadbiran yang kosnya dijangka hampir 10 juta, akan terus dibuka kerana di situ akan ada dewan kuliah dan sebagainya di samping itu keluasan tanah ini akan digunakan untuk menampung pembinaan satu kompleks yang dilengkapi asrama, masjid dan kompleks sukan. "Di bangunan pentadiran ini juga di samping adanya bilik-bilik kuliah juga akan ada dewan besar dan sebagaiya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Pembinaan Kolej Islam Darul Iman, di Jalan Santong, Paka, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata kolej itu dibina berdasarkan konsep wakaf kerana ia menjadi milik orang ramai bukan hak mana-mana individu mahupun kerajaan tetapi institusi milik masyarakat. "Kita turut sama berbangga dan menyokong serta memberikan sumbangan bagi memastikan institusi milik umat kita sendiri ini berjaya dibina,"ujarnya. Tambah beliau, pihak kerajaan negeri juga turut membantu bagi memastikan pengajian yang ditawarkan oleh pihak kolej itu membabitkan peringkat Diploma, Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah (PHD) untuk Pengajian Islam maka ia telah didaftarkan di bawah pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).  
22 Feb 25
506
Kantin Sekolah Tidak Wajar Beroperasi Sepanjang Ramadan
Kantin Sekolah Tidak Wajar Beroperasi Sepanjang Ramadan
DUNGUN, 21 Februari - Tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mahu kantin beroperasi seperti biasa ketika di bulan Ramadan adalah tidak wajar sekiranya ia turut melibatkan sekolah yang majoriti pelajarnya adalah beragama Islam. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, adalah lebih baik kantin di sekolah kebangsaan tidak dibuka sebagai menghormati bulan yang penuh kemuliaan itu. "Sebagai satu galakan atau dorongan supaya pelajar berpuasa, kalau mereka tidak berpuasa dia akan makan secara sembunyi bagi menghormati pelajar lain. "Sebagai contoh pelajar darjah satu maka ibu bapa yang perlu menyediakan 'bekal' di samping memberikan pendidikan tentang puasa dalam bentuk memberi nasihat. "Kita tidak perlu untuk paksa pelajar darjah satu ini berpuasa tetapi perlu diberi pendidikan agar kemuliaan bulan Ramadan itu dapat dihayati, tetapi saya lihat kebanyakan anak-anak masa kini bepuasa walaupun masih berada di bangku sekolah rendah,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Pembinaan Kolej Islam Darul Iman, berhampiran Balai Bomba Jalan Santong,Paka, di sini, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata pihak pengusaha kantin sendiri pun tidak ada keperluan untuk meneruskan operasi mereka di bulan Ramadan. "Sebenarnya tidak menguntungkan sangat pengusaha kantin, sebab pelajar ramai yang berpuasa maka sedikit sangat yang pergi makan di kantin. "Jadi tidak padan untuk dia menyediakan makanan, adalah lebih baik mereka cuti dan boleh melakukan pekerjaan lain seperi menjual di pasar Ramadan yang lebih mendatangkan keuntungan,"jelas beliau.
21 Feb 25
177
'Pulau Petang Tak Pernah Siap, Dah Lama Terbengkalai'
'Pulau Petang Tak Pernah Siap, Dah Lama Terbengkalai'
KUALA TERENGGANU, 21 Februari – Pulau Petang di Tasik Kenyir tidak pernah siap sepenuhnya sejak mula dibangunkan pada tahun 2010, demikian ujar Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu. Datuk Razali Idris berkata, ia bukan baru terbengkalai sejak 2021 seperti yang didakwa sesetengah pihak. "Pulau Petang telah bermula sejak 2010 dan kemudiannya ditutup pada tahun 2022. "Pulau ini sebenarnya pembangunannya tidak pernah siap dan pulau ini dipelopori oleh Ketengah,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini Terdahulu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengumumkan akan membaik pulih Resort Pulau Petang yang telah terbiar. Pengerusi Ketengah, Dato' Seri Ahmad Said berkata, kos baik pulih resort yang berusia kira-kira 25 tahun itu akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM16 juta yang diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Jelas Razali, sebelum ini peruntukan besar telah digunakan untuk membangunkan Pulau Petang, namun ia tidak siap seperti dirancang. “Zaman Ahmad Said sebagai Menteri Besar, beliau telah belanjakan sebanyak RM25 juta untuk membuat penambahan tetapi Pulau Petang tidak menjadi satu pulau yang siap dengan resort dan sebagainya seperti mana yang didakwa oleh beliau dan pada ketika itu Syarikat Nika Niaga sebagai pengurus. “Apabila saya sebagai Pengerusi Ketengah saya tukar Nika Niaga kepada Ketengah Niaga. Jadi itulah sejarah Pulau Petang yang dibina oleh Ketengah pada asalnya selepas itu Kerajaan Negeri, selepas itu diuruskan oleh Ketengah. “Kita bukan nak cari kesilapan siapa, siapa yang buat terbengkalai, siapa yang merosakkan perniagaan itu sebenarnya,” soalnya. Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berpendapat sebarang isu berkaitan pembangunan Pulau Petang perlu diselesaikan melalui perbincangan profesional bukannya menerusi media. "Saya pun tak faham tindakan Pengerusi Ketengah. Sepatutnya kita berbincang secara ilmiah dengan saya sebagai Exco Pelancongan, bukan membuat kenyataan melalui media. "Sekiranya pihak Ketengah enggan bekerjasama, fungsi pemasaran Tasik Kenyir boleh diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri. "Jika mereka tidak berminat untuk bekerjasama, kita boleh minta Ketengah menyerahkan kembali fungsi pemasaran yang telah diberikan kepada mereka kepada Kerajaan Negeri," katanya. Mengulas lanjut, Kerajaan Negeri Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap peruntukan sebanyak RM16 juta daripada Kerajaan Pusat bagi kerja-kerja baik pulih Pulau Petang, yang terletak di Tasik Kenyir. Razali berharap peruntukan itu dapat menjadikan Pulau Petang sebagai lokasi hentian utama bagi pelancong yang ingin mengunjungi ke Santuari Kelah. "Kita harap supaya kerja baik pulih ini dapat disiapkan sepenuhnya dan menjadikan Pulau Petang satu hentian untuk ke Santuari Kelah," ujarnya.
21 Feb 25
5160
Terengganu, E&H Energy Meterai Perjanjian Kukuh Sektor Gas Asli Cecair
Terengganu, E&H Energy Meterai Perjanjian Kukuh Sektor Gas Asli Cecair
KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Kerajaan Terengganu menerusi anak syarikatnya, Mentri Besar Trengganu Incorporated (MBI) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan E&H Energy Sdn Bhd bagi mengukuhkan sektor gas asli cecair (LNG) di negeri berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian & Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab.Rahman berkata, pengalaman syarikat terbabit diperlukan dan dijangka boleh menyumbang kepada ekosistem di Terengganu. "MoU ini  adalah kerjasama strategik antara anak syarikat Terengganu dengan pihak tersebut dengan memiliki pengalaman lebih 15 tahun di dalam industri, E&H Energy Sdn Bhd akan menyumbang kepada ekosistem tenaga di Terengganu dan mengukuhkan rantaian bekalan LNG tempatan. "Kerajaan Negeri Terengganu komited menyokong pelaburan LNG dengan menyediakan kemudahan dan sokongan dasar yang diperlukan. "Kerjasama ini diharapkan akan dapat menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan bagi perniagaan LNG dan menyokong peralihan tenaga hijau," jelasnya di Facebook rasminya kelmarin. Ujar Nurkhuzaini, melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030), pihaknya telah mengenal pasti pelaburan dalam minyak dan gas serta tenaga sebagai kluster utama untuk pembangunan ekonomi. Ujarnya, sektor LNG berperanan sebagai alternatif lebih bersih bagi mengurangkan emisi karbon dan Terengganu bakal menjadi Hub LNG. "E&H Energy Sdn Bhd telah menganjurkan Majlis 'RGT Kemaman Market Engagement- Business Procpect& Talk' yang telah mempertemukan Terengganu dengan pengusaha utaman LNG," jelasnya. Katanya, permintaan global untuk LNG dijangka akan berlaku peningkatan lebih 50 peratus menjelang 2030 kerana peralihan industri arang baru batu kepada gas. "Pasaran LNG Global dianggarkan berninail USD135.21 bilion pada 2023 dan dijangka mencapai USD 284.10 bilion pada 2032, mencerminkan potensi pelaburan besar dalam infrastruktur dan pendagangan LNG. "'Liberalisation' pasaran gas di Malaysia perlukan pengembangan termila LNG untuk meningkatkan kecekapan dan keselamatan bekalan," tambah beliau.    
21 Feb 25
1268
Semua Pihak Harus Hormati Etika Pakaian Sopan Di Terengganu
Semua Pihak Harus Hormati Etika Pakaian Sopan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU,20 Februari- Kerajaan negeri menegaskan tidak pernah mengeluarkan arahan kepada orang bukan Islam untuk menutup aurat sebaliknya meminta mereka memahami dan menghormati etika berpakaian sopan yang diamalkan di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim berkata, etika pemakaian yang digariskan kerajaan negeri itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.  "Dalam acara sukan contohnya, sekiranya jurulatih bukan beragama Islam tetapi pemain Islam. Jadi jurulatih mesti menghormati etika pakaian yang telah digariskan oleh Kerajaan Terengganu. "Kita paksa pemain muslim sahaja yang pemain bukan Islam ikut tatacara pemakaian sukan yang biasa," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Terengganu Hijab Day 2025 di Laman Payang, Pasar Kedai Payang di sini, hari ini. Katanya, pendekatan yang digunapakai sebenarnya lebih kepada mendidik orang Islam dan memberi kefahaman kepada orang bukan Islam supaya mereka bersama-sama memahami tanggungjawab masing-masing dalam aspek pemakaian sopan dan menutup aurat. "Bagaimanapun bila 'non muslim' berpakaian kena jaga juga, jangan terlalu menjolok mata dan yang boleh menggangu ketenteraman awam," ujarnya. Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai program Terengganu Hijab Day 2025 beliau berkata, kerajaan negeri terus memperkasakan usaha pendidikan pemakaian hijab yang sempurna kepada wanita Islam negeri ini. "Antaranya menerusi usaha dakwah jalanan dengan mengedarkan risalah garis panduan pemakaian tutup aurat buat wanita. "Sekiranya seseorang wanita itu Islam walaupun tidak bertudung, kita beri galakan kepada mereka untuk bertudung kerana itulah hasrat daripada kempen ini. "Kita akan turut ke daerah-daerah untuk kempen ini, insyaAllah pada satu tahap kita akan capai 100 peratus wanita muslim di Terengganu yang berhijab," ujarnya
20 Feb 25
585