Artikel "Utama" Terkini
Operasi Supik Hitam Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 25 Februari- Kerajaan negeri mengingatkan peniaga di negeri ini agar mematuhi waktu operasi kedai makan atau jualan makanan di bulan Ramadan berdasarkan arahan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kegagalan mematuhi undang-undang boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara selama dua tahun.
Menurut beliau, kebiasaannya kemuliaan Ramadan diganggu oleh pihak-pihak yang sengaja membuat kesalahan sepertimana dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, dibawah Seksyen 19: Tidak Menghormati Ramadan.
“Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah diarahkan mengenal pasti premis yang menjual makanan kepada individu tidak berpuasa pada tahun lalu.
"Sebanyak dua kes melibatkan kesalahan tidak berpuasa direkodkan tahun lepas di bawah seksyen tersebut.
“Kita beri amaran terakhir sebelum masuk bulan Ramadan, sekiranya mereka masih tidak patuh undang-undang, maka tindakan sewajarnya akan diambil,” ujarnya pada sidang media Ops Supik Hitam di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, JHEAT juga akan menjalankan pemantauan ke atas beberapa premis bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh masyarakat berkaitan jualan kepada orang yang tidak berpuasa.
Katanya, pemantauan itu dibuat susulan laporan diterima berhubung pembelian makanan di premis tersebut pada Ramadan tahun lalu.
"Ops Supik Hitam akan diteruskan tahun ini kerana ada individu Islam yang tidak berpuasa dikesan membeli makanan di kedai serbaneka 24 jam dan premis bukan Islam.
"Saya telah berbincang dengan pihak PBT untuk mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah ini,” ujarnya.
Menurut beliau, Ops Supik Hitam peringkat negeri tahun ini secara rasminya akan dilancarkan pada 27 Februari ini di JHEAT sebagai salah satu usaha menjaga kesucian bulan Ramadan.
25 Feb 25
206
Terengganu Semak Semula Garis Panduan Hiburan
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Kerajaan Terengganu akan membuat semakan semula Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan negeri.
Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS), Mohd Eikhwan Ali berkata, pihaknya diberi tanggungjawab untuk menyelia semula garis panduan tersebut bersama dengan jabatan atau agensi.
Juga kerjasama itu menurutnya akan turut membabitkan Bahagian Kerajaan Tempatan, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Mufti, Jabatan Hal Ehwal Terengganu (JHEAT), Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT).
"Juga melibatkan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu (JKSNT), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
"Fokus utama semakan semula ini adalah untuk menambah baik (garis panduan) agar lebih komprehensif serta memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pematuhan.
"Ini termasuklah perundangan dan menangani cabaran pelaksanaan secara holistik," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Eikhwan berkata TSIS percaya bahawa garis panduan itu akan menjadi nilai tambah penting terhadap pembangunan sosial dan ekonomi selaras slogan yang diangkat oleh kerajaan negeri iaitu 'Indahnya Hidup Bersyariat'.
"Komitmen semua pihak amat diperlukan untuk memastikan garis panduan ini mampu diterapkan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Terengganu.
"Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha ini," kata beliau.
Terdahulu, beliau merakamkan perasaan syukur kerana pagi tadi telah diadakan satu mesyuarat khusus bagi menyemak semula Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Mesyuarat itu menurutnya telah dipengerusikan oleh Timbalan Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Mohd Ridzuan Hashim.
25 Feb 25
576
Terengganu Tawar Ar-Riyadah Residence Sebagai Lokasi Penganjuran Kursus Jurulatih Bola Sepak
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Kerajaan negeri sedia menawarkan Ar-Riyadah Residence kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai lokasi penganjuran kursus kejurulatihan dan kepengadilan secara konsisten di peringkat nasional untuk pelbagai tahap.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, tawaran itu dihulurkan setelah Kursus Kejurulatihan Kecergasan Asian Football Confederation (AFC) berjaya dijayakan dengan sempurna di lokasi terbabit.
Ujarnya, beliau telah mewakili pihak FAM merasmikan kursus yang diadakan bermula 23 Februari hingga 1 Mac di Ar-Riyadah Residence itu.
"Kursus ini telah mengumpulkan 13 orang jurulatih kecergasan yang telah terlibat dalam mengendalikan kelab-kelab bola sepak yang beraksi dalam Liga Malaysia.
"Kursus ini dikendlaikan oleh Pendidik Jurulatih AFC, Encik Mark Jones dan Encik Reuben Jude Balraj, Ketua Unit Saind Sukan FAM,"ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Anggota Jawatankuasa Eksekutif FAM itu berkata demikian melalui satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau merakamkan ucapan tahniah kepada pihak FAM atas penganjuran kursus yang diadakan itu.
"Sudah tentu memberi manfaat buat jurulatih kecergasan tempatan dan pastinya menyumbang dalam meningkatkan tahap profesionalisme bola sepak negara,"ujarnya.
24 Feb 25
364
Muara Cetek, Kurang Infrastruktur Sejak Sekian Lama Bantutkan Pendaratan Ikan
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Masalah muara cetek dan kekurangan infrastruktur di pelabuhan serta jeti perikanan merupakan antara punca yang membantutkan perkembangan perikanan Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan sedang berusaha menangani permasalahan itu sekali gus menggalakkan peningkatan hasil laut di bumi Terengganu berbanding negeri jiran.
“Banyak bot nelayan laut dalam C dan C2 yang berdaftar di Terengganu tetapi terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di negeri lain ekoran isu ini.
“Antaranya mereka berpindah pengkalan ke Pelabuhan Tok Bali atau Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan walaupun mereka masih menangkap ikan di perairan Terengganu.
“Daripada jumlah lebih 70 buah bot laut dalam yang berdaftar di Terengganu hanya tinggal beberapa belas buah sahaja yang masih mendarat di Terengganu," beliau berkata demikian melalui satu hantaran Facebook rasminya.
Jelas Dr. Azman, kerajaan negeri telah menjalankan beberapa langkah termasuk dengan mendalamkan muara bagi menangani isu yang menghalang pendaratan hasil tangkapan laut di negeri itu.
Katanya lagi, pembinaan pemecah ombak juga sedang dilaksanakan di tiga lokasi yang terkesan dengan mendapan pasir tersebut.
“Zaman Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya, kita telah berjaya mendapat kelulusan bernilai ratusan juta ringgit bagi tiga projek mendalamkan muara dan membina pemecah ombak, yang sekarang ini sedang giat dijalankan.
“Iaitu di muara Dungun dengan kelulusan pada 26 September 2022, muara Setiu/Mangkuk pada 16 Januari 2022 dan muara Merchang, Marang pada 15 Disember 2021,” katanya.
24 Feb 25
717
Pelabuhan LKIM Chendering Naik Taraf
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Kerajaan negeri kini giat melaksanakan projek penaiktarafan pelabuhan dimiliki oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Chendering yang terkesan akibat mendapan pasir.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dr. Azman Ibrahim berkata projek yang sedang berjalan di pelabuhan itu akan melalui dua fasa di sepanjang proses penaiktarafan dilaksanakan.
“Fasa pertama kerja-kerja di daratan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan fasa kedua kerja-kerja dalam air oleh Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS).
“Kerja di daratan merangkumi skop menaik taraf infrastruktur pelabuhan manakala kerja-kerja dalam air merangkumi skop merobohkan jeti sedia ada, pengorekan untuk mendalamkan pelabuhan serta menaiktaraf dan membina benteng pemecah ombak.
“Projek fasa satu dijadualkan siap pada Oktober 2028 sementara fasa dua dijadualkan siap Ogos 2031," beliau berkata sedemikian melalui satu hantaran Facebook rasminya, semalam.
Menurut beliau, keputusan untuk penaiktarafan itu terhasil daripada usaha kerajaan negeri bersama LKIM melalui Bengkel Transformasi Perikanan Negeri Terengganu pada tahun 2021.
“Selepas melalui pelbagai proses yang agak panjang dan rumit, akhirnya zaman kerajaan Pakatan Nasional (PN) pada 27 Februari 2023, Kementerian Ekonomi telah meluluskan RM192 juta untuk Projek Pembangunan dan Pemerkasaan PLC.
Dalam pada itu, Dr. Azman menerangkan bahawa antara isu utama yang dihadapi PLC ialah mendapan pasir dan kedhaifan infrastruktur yang menyebabkan satu-satunya pelabuhan perikanan di Terengganu itu bukan lagi pilihan utama sebagai tempat berlabuh dan mendaratkan hasil tangkapan.
“PLC yang mula beroperasi pada 1983 dan melalui zaman kegemilangannya pada tahun 90-an kini mulai suram.
“Dengan siapnya kerja-kerja ini, insya-Allah kita akan dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan PLC,” tambahnya.
24 Feb 25
172
PSPT 2024-2030: Terengganu Janjikan Transformasi Besar
KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Terengganu kini memasuki era baharu dalam revolusi pertanian menerusi Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu (PSPT) 2024-2030, yang menjanjikan transformasi besar bagi sektor ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim, menegaskan bahawa kejayaan PSPT 2019-2023 menjadi pemangkin kepada perancangan strategi yang lebih berkesan untuk tahun-tahun mendatang.
"Tanggungjawab besar digalas oleh keluarga besar Pertanian Terengganu untuk memastikan 27 peratus teras strategi dan 56 program utama PSPT 2024-2030, merangkumi Kluster Padi, Kluster Tanaman Makanan, Kluster Penternakan, Kluster Perikanan dan Kluster Industri Asas Tani, dapat dipacu ke tahap lebih tinggi dan mampan.
"Pelan ini bukan sekadar perancangan di atas kertas, tetapi satu ikhtiar besar bagi meningkatkan keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat.
"Kita tidak mahu hanya merancang tanpa tindakan, setiap langkah yang diambil mesti memberikan impak segera kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 yang berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.
Majlis berprestij itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berkenan mencemar duli menyaksikan majlis perasmian tersebut.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu; Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut Azman, antara fokus utama pelan ini termasuk meningkatkan pengeluaran buah-buahan premium seperti Musang King dan Mangga King Terengganu, menaik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), memperkasa industri penternakan ayam pedaging, lembu pedaging dan kambing tenusu, serta memperkayakan sumber perikanan marin dan darat.
"Kita juga akan memperhebat pembangunan Padang Ragut dan Zon Industri Akuakultur (ZIA) bagi menjamin kesinambungan industri pertanian negeri.
"Pelaksanaan PSPT 2024-2030 akan memberi keutamaan kepada Program Imersif Tinggi (HIP) yang dipilih berdasarkan ciri-ciri ‘quick win’ dan ‘low hanging fruit’ agar manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh singkat dengan kos yang minimum," jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa analisis kelemahan dan kekuatan daripada PSPT 2019-2023 menjadi asas penting dalam perancangan baharu ini.
"Kita belajar daripada pengalaman. Apa yang kurang kita perbaiki, dan apa yang sudah baik kita tingkatkan lagi," tegasnya.
Tambah Dr. Azman, PSPT 2024-2030 bukan sekadar satu strategi tetapi satu gerakan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan sektor pertanian lebih kukuh dan berdaya saing.
"Kita mahu semua pihak mendapat manfaat tanpa ada yang tercicir.
"Pelabur besar dialu-alukan, manakala rakyat biasa juga diberi perhatian.
"Pelan ini milik kita semua. Kita rangka bersama, kita laksanakan bersama," ujarnya.
24 Feb 25
891
Vape Lebih Bahaya Daripada Morphin
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Penggunaan vape jenis tertentu didakwa boleh menyebabkan kerosakan otak hanya dalam tempoh 14 hari, jauh lebih pantas daripada kesan morphin yang mengambil masa 40 tahun untuk merosakkan akal manusia.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah mendedahkan kebimbangan ini berdasarkan satu kajian yang menunjukkan bahawa vape jenis 'mushroom' boleh menyebabkan penyakit mental dalam tempoh dua minggu sahaja.
"Morphin memerlukan 40 tahun untuk merosakkan akal, tetapi vape jenis 'mushroom' hanya memerlukan 14 hari. Ini sangat membimbangkan," kata beliau kepada pemberita di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Beliau juga berkongsi bahawa pusat pemulihan dadah Darul Barakah menerima banyak kes ibu bapa yang membawa anak-anak mereka kerana ketagihan vape.
Malangnya kata beliau, tiada pelan pemulihan yang tepat kerana vape memberi kesan terus kepada mental, bukan sekadar ketagihan biasa.
"Kesannya bukan sekadar ketagihan fizikal, tetapi juga menyebabkan gangguan mental yang serius.
"Mereka sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital, bukan di pusat pemulihan dadah," tambahnya lagi.
Menurut Wan Sukairi, Kerajaan negeri dalam perbincangan akhir untuk melaksanakan pengharaman vape secara menyeluruh di negeri ini.
"Jika cadangan ini diluluskan, pengharaman ini bukan hanya tertumpu kepada vape jenis 'mushroom' sahaja, tetapi melibatkan semua perisa vape tanpa pengecualian," tegasnya.
24 Feb 25
259
Street Dakwah-Hijab Talk di Pasar Malam Tarik Minat Rakyat
Oleh: Amira Amijuddin
BESUT, 24 Februari – Program Street Dakwah-Hijab Talk yang diadakan sempena Terengganu Hijab Day berlangsung dengan penuh meriah di Pasar Malam Pasir Akar, menarik perhatian ramai pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Ketua Nisa Besut, Rafidah Razak, berkata acara itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan hijab sebagai simbol maruah dan ketaatan kepada syariat Islam.
"Program ini bukan sahaja memberi kesedaran tentang nilai-nilai Islam tetapi juga menjadi inspirasi kepada wanita Muslimah untuk terus istiqamah dalam menutup aurat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, program ini dianjurkan oleh Beliawanis I-MiTS Hulu Besut, Nisa Besut, DUAT, dan UPDI.
Beliau berharap ia dapat meningkatkan kefahaman masyarakat tentang hijab sebagai lambang kesederhanaan, kesopanan, dan ketaatan kepada perintah Allah SWT.
"Saya berharap program ini dapat memberikan inspirasi dan motivasi kepada wanita-wanita di luar sana untuk terus istiqamah dalam menutup aurat dan memelihara maruah diri.
"Semoga Terengganu Hijab Day ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.
Tambah Rafidah, sambutan luar biasa daripada pengunjung menunjukkan keberkesanan pendekatan dakwah secara santai dan terbuka dalam mendidik serta menarik minat masyarakat mengenai kepentingan berhijab.
"Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk terus menyemarakkan kesedaran dalam kalangan wanita Muslimah mengenai kepentingan berhijab dengan penuh kefahaman dan keyakinan," ujarnya lagi.
Antara pengisian menarik sepanjang program ialah edaran risalah dan stoking percuma kepada pengunjung wanita, kuiz interaktif, serta hadiah cabutan bertuah yang menambah kemeriahan acara.
Selain itu, kemuncak program ialah ceramah bertajuk Hijabku, Maruahku yang disampaikan oleh Ustaz Nik Roslan Mustaffa, Pembantu Penyelia Latihan I-MiTS Hulu Besut.
24 Feb 25
356
Sembang Usahawan Rapatkan Jurang Usahawan Dan Agensi
Oleh : Fatimah Din
Foto : Ammaar Salehuddin
MARANG, 23 Februari - Program Sembang Usahawan berupaya merapatkan jurang antara para usahawan dengan agensi yang terlibat.
Pengerusi Portfolio Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, secara tidak langsung ia juga membantu usahawan membangunkan ekonomi setempat.
"Program ini juga dapat memantau aktiviti pembangunan perniagaan dan menyalurkan maklumat.
"Selepas lapan daerah kita pergi, saya bercadang untuk pergi ke Dewan Undangan Negeri (DUN) pula," ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian ketika berucap merasmikan program itu di Dewan Majlis Daerah Marang di Kampung Paya, di sini, baru - baru ini.
Pada program tersebut, sebanyak 14 agensi telah mengambil bahagian antaranya Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) , Majlis Daerah Marang (MDM), Pejabat Daerah Marang, Amanah Ikhtiar Malaysia, Tekun Nasional, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDM) , MARA, SME CORP, SKM, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Agama Islam, Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit.
Sementara itu, menurut beliau terdapat 78 Industri Kecil Sederhana (IKS) seluruh Terengganu dan ramai diantaranya berkolaborasi dengan pihaknya sehingga dapat mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara.
"Kami juga turut menubuhkan Majlis Usahawan Koperasi, Peniaga Kecil Peringkat Daerah Marang.
"Selain itu Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta untuk disalurkan kepada IKS, " ujarnya.
24 Feb 25
122
Terengganu Bakal Haramkan Vape Secara Total?
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Kerajaan Terengganu sedang dalam perbincangan untuk melaksanakan pengharaman 'total' ke atas vape di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk mengharamkan vape secara menyeluruh di Terengganu.
"Kertas cadangan ini sedang dalam proses akhir dan akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMKN) untuk dibincangkan.
"Pengharaman turut melibatkan penjualan, pengiklanan dan sebarang aktiviti berkaitan vape di seluruh premis di negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Menurut beliau, jika cadangan ini dipersetujui, satu undang-undang ketat akan diperkenalkan bagi memastikan pengharaman itu dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.
"Jika cadangan pengharaman ini diluluskan, semua jenis vape tanpa mengira perisa atau kandungannya akan diharamkan sepenuhnya di Terengganu.
"Pengharaman ini bukan hanya tertumpu kepada vape jenis 'mushroom' sahaja, tetapi melibatkan semua perisa vape tanpa pengecualian," jelasnya.
Sebelum ini, Mantan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.
Baginda bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat terutama dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).
Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape.
24 Feb 25
1993