lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Majlis Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil Ditubuh di Setiap Daerah
Majlis Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil Ditubuh di Setiap Daerah
MARANG, 20 Februari - Kerajaan negeri mewujudkan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja Dan Peniaga Kecil peringkat daerah di Terengganu bermula tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata ia bagi merancang, melaksana serta memantau pelbagai aktiviti pembangunan yang dapat membantu meningkatkan kesejahteraan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil di Terengganu. Menurutnya, ia termasuk membantu penyaluran maklumat antara usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil berkenaan fungsi, peranan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (Kuskop), termasuk agensi-agensi kerajaan di peringkat daerah, negeri dan persekutuan yang berkaitan. “Tujuan kita nak membantu usahawan membangunkan ekonomi setempat serta menimbang dan mencadangkan penambahbaikan serta penyelesaian isu berkaitan usahawan. “Dalam masa sama nak merapatkan jurang dan meningkatkan kerjasama di antara usahawan dan jabatan dan agensi,”katanya kepada pemberita selepas Program Jejak Usahawan Daerah Marang, semalam. Tambahnya, majlis tersebut akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah masing-masing dan dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan seperti Koperasi, Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU), Tekun dan pihak-pihak berkenaan termasuk persatuan penjaja serta usahawan. Dalam masa sama, pihaknya juga mengadakan jejak usahawan setiap daerah untuk melihat sendiri permasalahan dan keperluan mereka dengan bantuan agensi terbabit yang akan turun bersama-sama. 
20 Feb 25
136
Pok Alang Pikat Riders Seluruh Negara Singgah Setiu
Pok Alang Pikat Riders Seluruh Negara Singgah Setiu
SETIU, 20 Februari - Pemilik kedai makan Setiu Route T1 yang bertemakan permotoran, Pok Alang Azhar, berjaya menarik minat riders dari seluruh Malaysia untuk singgah di Setiu.   Menurutnya, konsep unik kedainya serta hidangan istimewa seperti 'sup power rindu-merindu’ menjadikannya tempat persinggahan wajib bagi geng-geng motor yang melalui daerah berkenaan. "Sejak mula beroperasi pada tahun 2009, saya menggunakan konsep permotoran untuk memperkenalkan Setiu kepada komuniti bikers.  "Kedai ini bukan sekadar tempat makan, tetapi juga lokasi lepak bagi 'riders' yang ingin menikmati suasana santai sambil berkongsi minat terhadap motosikal," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian 'Setiu All Bikers' bertempat di Kedai Setiu Route T1 di Jalan Penarik, Kampung Bari Kecil baru-baru ini. Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris. Azhar berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menarik minat riders tempatan, kedainya juga pernah dikunjungi selebriti terkenal seperti Fauziah Latif dan Shamsul Ghau-Ghau, yang menambah daya tarikan kepada tempat itu.  Menurutnya, lebih menarik, pengunjung yang datang turut menampal sticker kelab permotoran dan gambar di dinding sebagai kenang-kenangan, menjadikan kedai tersebut penuh dengan memori para 'bikers' "Gabungan elemen permotoran dan makanan tradisional menjadikan kedai ini satu lokasi unik di Setiu.   "Saya berhasrat untuk terus mengembangkan perniagaan dan mempromosikan Setiu sebagai destinasi pilihan bagi para riders," ujarnya.  
20 Feb 25
439
Pengubahan Akta Pembaharuan Semula Bandar Timbulkan Banyak Masalah
Pengubahan Akta Pembaharuan Semula Bandar Timbulkan Banyak Masalah
KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Cadangan Penggubahan Akta Pembaharuan Semula Bandar didakwa akan menimbulkan banyak masalah. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, cadangan yang asalnya datang dari kerajaan DAP Pulau Pinang itu secara umumnya pernah ada di negeri lain dan menimbulkan pelbagai kesan negatif. Ujarnya, ia akan memberi kesan terhadap penduduk, pemik tanah dan pembangunan bandar secara keseluruhan. "Beberapa masalah utama akan muncul antaranya pengusiran dan pemindahan paksa dimana penduduk yang telah lama menetap di sesuatu kawasan sering terpaksa berpindah akibat pembangunan baru. "Pampasan yang diberikan mungkin tidak mencukupi untuk mereka mendapatkan tempat tinggal setanding. Akan timbulnya gentrifikasi apabila kawasan diperbaharui dengan projek mewah, kos sara hidup dan harga rumah meningkat. "Penduduk asal, terutamanya dari golongan berpendapatan rendah tidak mampu untuk tinggal di kawasan itu lagi," ujarnya melalui satu hantaran di facebooknya, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut kesan yang akan timbul dari Akta Pembaharuan Semula Bandar itu, Amzad berkata ia juga akan mengakibatkan berlaku ketidakseimbangan sosial dan ekonomi. "Pembaharuan bandar sering memberi manfaat kepada pemaju dan pelabur tetapi mengabaikan kepentingan penduduk asal (dan) wujud jurang antara golongan kaya dan miskin yang semakin melebar. "Kehilangan identiti budaya (kerana) banyak bangunan atay tapak warisan sejarah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembangunan moden (serta)komuniti yang mempunyai nilai budaya tinggi mungkin lenyap akibat perubahan drastik,"katanya. Malah jelas beliau, ia akan turut memberi kesan terhadap alam sekitar melalui projek pembangunan berskala besar yang akan mengakibatkan berlakunya pencemaran udara, bunyi dan air malah lebih menyedihkan kawasan hijau dan ekosistem semula jadi sering dikorbankan untuk pembinaan infrastruktur baru. "(Selain itu akan) kurangnya penyertaan awam apabila keputusan pembaharuan bandar sering dibuat oleh kerajaan dan pemaju tanpa rundingan menyeluruh dengan masyarakat sertempat ini boleh menimbulkan ketidakpuasan hati dan protes daripada penduduk yang terkesan," katanya. Justeru tegasnya, masalah-masalah yang dikemukakan itu menunjukkan bahawa pembaharuan bandar harus dirancang dengan lebih teliti. "Mengambil kira kepentingan sosial, ekonomi dan alam sekitar bagi memastikan pembangunan yang lebih adil dan lestari,"ujarnya.
20 Feb 25
180
Makin Ramai Anak Muda Terengganu Pilih Pertanian Sebagai Kerjaya
Makin Ramai Anak Muda Terengganu Pilih Pertanian Sebagai Kerjaya
KUALA TERENGGANU, 20 Februari – Sangkaan bahawa anak muda tidak berminat dalam bidang pertanian ternyata meleset selepas semakin ramai golongan muda di Terengganu memilih pertanian sebagai kerjaya utama mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim mendedahkan bahawa sebahagian besar penerima bantuan pertanian di Terengganu adalah anak muda.  "Penternak lembu sado? 80 peratus anak muda! Peserta fertigasi? Terengganu nombor satu di Malaysia dengan 700 peserta. "Ini membuktikan bahawa pertanian bukan lagi profesion lapuk, tetapi industri masa depan yang menjanjikan pulangan lumayan," katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI) di sini semalam. Turut berkenan mencemar duli berangkat menyaksikan Majlis Perasmian PPST 2024-2030, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.  Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham. Menurut beliau, kejayaan PSPT 2019-2023 telah membuka mata ramai belia terhadap potensi dalam sektor ini.  "Melalui sesi libat urus dan dialog di seluruh negeri, kami dapati majoriti peserta adalah anak muda yang berkelulusan tinggi dan berhasrat menjadikan pertanian sebagai kerjaya mereka," jelasnya. Menyedari trend ini, Azman turut menambah bahawa PSPT 2024-2030 akan memberi lebih banyak peluang kepada golongan muda.  "Kami mahu mereka bukan sekadar bekerja dalam industri ini, tetapi menjadi usahawan pertanian yang berjaya.  "Oleh itu, lebih banyak bantuan, latihan, dan akses kepada teknologi moden akan disediakan," ujarnya.  
20 Feb 25
516
Sektor Pertanian Sasar Sumbang KDNK 12 Peratus
Sektor Pertanian Sasar Sumbang KDNK 12 Peratus
KUALA TERENGGANU, 20 Februari – Kerajaan Terengganu menyasarkan sektor pertanian menyumbang 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim menegaskan target itu bukan sekadar angka, tetapi realistik berdasarkan kejayaan pelaksanaan PSPT 2019-2023. "Pada 2018, sektor pertanian negeri berada di tahap negatif dengan KDNK -2.5 peratus, Sektor pertanian bukan setakat tidak mampu menyumbang malah menjadi beban kepada negeri serta tiada perancangan hala tuju yang jelas. "Tahun 2019 iaitu tahun pertama perlaksanan PSPT 2019-2023, KDNK Pertanian meningkat kepada 6 peratus dan menyumbang 8.4 peratus kepada KDNK negeri.  "Ia bukan suatu kejayaan yang besar, tetapi kita telah menukar kegagalan menjadi sedikit kejayaan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI) di sini semalam. Menurut beliau, meskipun Terengganu tidak mempunyai ‘exit and entry point’ untuk eksport produk pertanian, tetapi hasil buah-buahan tempatan serta hasil laut telah menembusi pasaran antarabangsa.  "Sebenarnya hasil pertanian negeri kita seperti Melon Manis Terengganu, tembikai, nenas, hasil laut dan hasil akuakultur seperti kerapu hibrid dan siakap memasuki pasaran eksport.  "Cuma ia dieksport melalui pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa yang berada di negeri lain, maka angka KDNK dapatlah kepada negeri-negeri tersebut," jelasnya. Menurut Azman, sebanyak 56 daripada 58 program dalam PSPT 2019-2023 telah berjaya dilaksanakan dengan kadar kejayaan 96.5 peratus.  "Sejak pelaksanaannya, KDNK pertanian meningkat kepada 6 peratus pada 2019 dan mencapai 7.4 peratus pada 2023, walaupun berdepan cabaran seperti pandemik COVID-19 dan banjir besar. "Dengan pencapaian ini, kerajaan negeri yakin sasaran 12 peratus dalam PSPT 2024-2030 mampu direalisasikan, sekali gus memperkukuh sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi Terengganu," ujarnya.
20 Feb 25
175
Pertanian Terengganu Fokus Lima Teras Utama
Pertanian Terengganu Fokus Lima Teras Utama
KUALA TERENGGANU, 19 Februari – Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030 menjadi mercu tanda baharu dalam landskap sektor pertanian negeri ini.  Dengan lima teras utama yang digariskan, kerajaan negeri optimis mampu melonjakkan pertanian ke tahap lebih moden, cekap dan berdaya saing. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa PSPT kali ini lebih berfokus dan sistematik.  “Kita bukan hanya merancang, tetapi memastikan setiap strategi dilaksanakan dengan penuh komitmen.  "Fokus utama termasuk pemodenan dan pendigitalan pertanian, pembangunan rantaian nilai dan pemasaran, serta kelestarian dan pemuliharaan sumber asli,” katanya. Beliau berkata demikian ketika  merasmikan Pelancaran PSPT 2024-2030 di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI) hari ini. Turut berkenan mencemar duli berangkat menyaksikan Majlis Perasmian PPST 2024-2030, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, hadir sama Pegawai Kewangan negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim Tambah beliau, kesejahteraan petani dan agropreneur turut diberi penekanan, selain memastikan pentadbiran dan tadbir urus sektor pertanian dilaksanakan dengan penuh integriti.  "Sebenarnya, Kejayaan PSPT 2024-2030 ini tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan penglibatan dan kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta masyarakat petani secara keseluruhannya," jelasnya. Menurut Ahmad Samsuri, dalam usaha mempercepatkan impak, teknologi moden seperti analitik data dan sistem pengairan pintar akan diperkenalkan secara menyeluruh.  "Fokus yang dibangunkan dalam pelan strategik ini secara asasnya mengambil kira perkembangan teknologi dalam sektor pertanian. Inovasi teknologi ini akan meningkatkan lagi kecekapan pengeluaran hasil pertanian.   "Perancangan secara menyeluruh juga perlu ditingkatkan untuk memastikan para petani dapat mengamalkan pertanian lestari dengan penggunaan baja organik, kawalan biologi dan kaedah mesra alam.  "Dengan pendekatan pelan tersebut, Terengganu yakin dapat meningkatkan hasil pertanian tanpa menjejaskan kelestarian alam dan perolehi hasil secara maksima," ujarnya.
19 Feb 25
391
RM30.8 Bilion Disalur Bangun Tiga Negeri Maju, Terengganu Hanya RM4.2 bilion
RM30.8 Bilion Disalur Bangun Tiga Negeri Maju, Terengganu Hanya RM4.2 bilion
KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih RM30.8 bilion perbelanjaan pembangunan untuk negeri Johor, Selangor dan Pahang dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) berbanding hanya sekitar RM4.2 bilion sahaja untuk Terengganu. Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS), Mohd Eikhwan Ali berkata, jumlah itu merangkumi 49.3 peratus daripada jumlah keseluruhan RM62.5 bilion bagi perbelanjaan untuk negeri-negeri di Semenanjung Malaysia setakat ini. Selain itu katanya, Johor, Selangor, Perak dan Pahang juga merupakan antara negeri yang merekodkan jumlah terimaan tertinggi pelbagai pemberian oleh Kerajaan Persekutuan. "Justeru, tidak hairanlah negeri-negeri ini mempunyai infrastruktur pengangkutan, utiliti dan komunikasi yang jauh lebih baik berbanding negeri-negeri lain. "Negeri-negeri ini juga mendapat kelebihan perdagangan daripada pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pulau Pinang serta KLIA, KLIA2, Senai International Airport dan Penang International Airport ditambah pula dengan jaringan lebuh raya yang menghubungkan dengan banyak destinasi. "Kemudahan-kemudahan ini sangat penting untuk kemampanan ekonomi sesebuah negeri terutamanya dalam merapatkan jurang jarak, masa dan kos untuk perbekalan bahan mentah dan manarik pelaburan asing untuk mempercepat pembangunan dan menambah peluang pekerjaan," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Mohd Eikhwan. Jelas Mohd Eikhwan, landskap negeri-negeri berkenaan juga sangat berbeza dengan Terengganu yang tiada lapangan terbang dan pelabuhan bertaraf antarabangsa manakala Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 juga hanya menghubungkannya dengan Pahang dan Selangor serta KL. "Setelah 68 tahun sejak Rancangan Malaya Pertama diperkenalkan, saiz ekonomi Terengganu sekarang hanya 2.5 peratus daripada saiz ekonomi negara. "Terbukti, betapa terpinggirnya negeri ini sejak dahulu. Tidak mudah untuk membawa keluar negeri ini daripada keterpinggiran ini lebih-lebih lagi oleh Kerajaan Negeri yang baru memasuki penggal kedua," jelasnya. Walau bagaimanapun ujar beliau, berdasarkan data, Terengganu mencatatkan peningkatan lebih baik dalam kadar pertumbuhan ekonomi berbanding negeri maju lain terutamanya selepas pemulihan ekonomi pasca-pandemik Covid-19 pada 2021, meskipun masih belum mampu menyaingi negeri-negeri maju yang memiliki belanja pembangunan yang tinggi. "Di Semenanjung Malaysia, negeri-negeri yang boleh disifatkan sebagai maju seperti Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang mempunyai KDNK yang besar. "Ini antaranya adalah disokong oleh populasi yang besar atau oleh perbelanjaan pembangunan besar diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan," ujarnya.
19 Feb 25
1102
Putra Aerospace Nyata Hasrat Bina Pesawat di Terengganu
Putra Aerospace Nyata Hasrat Bina Pesawat di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Syarikat Putra Aerospace Industri (PAI) menyatakan hasrat untuk membina pesawat di negeri Terengganu dalam kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar semalam. Ahmad Samsuri berkata, beliau sangat berbesar hati menerima kunjungan daripada PAI setelah mengetahui hasrat pihak terbabit yang diketuai oleh Tuan Hassanuddin Tuan Kob. "Kita sedang meneliti cadangan ini dan mengenalpasti lokasi yang strategik untuk projek fasa pertama ini iaitu di dalam kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud seluas lebih 50 ekar. "Manakala cadangan untuk fasa kedua dan seterusnya juga telah dikenalpasti di kawasan yang sama," ujarnya melalui satu hantaran di Facebooknya. Mengulas mengenai kemampuan PAI, Ahmad Samsuri menjelaskan beliau akan melihat dengan teliti permohonan itu kerana difahamkan syarikat itu bukan hanya mampu membawa alat ganti pesawat bahkan mereka memiliki lesen untuk membina pesawat baru. "Semoga kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak PAI ini dapat meningkatkan ekonomi (serta) membuka ruang untuk melahirkan lebih ramai kepakaran dalam bidang aeroangkasa dan bermanfaat buat rakyat secara menyeluruh," tambah beliau.  
19 Feb 25
1676
Terengganu Sedia Hadapi Kekurangan Bekalan Kelapa Menjelang Puasa
Terengganu Sedia Hadapi Kekurangan Bekalan Kelapa Menjelang Puasa
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Kerajaan negeri bersedia mengatasi masalah bekalan kelapa yang dijangka berkurang menjelang Ramadan tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata jangkaan kekurangan bekalan bahan mentah itu turut akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga. “Kelapa mungkin ada sedikit kekurangan bekalan sebab pokok kelapa ia akan melalui satu tempoh di mana ia tidak akan mengeluarkan mayang (tidak berbunga atau berbuah). “Jadi boleh dikatakan, secara umumnya pada bulan puasa ini kita menjangkakan bekalan kelapa muda ataupun kelapa santan akan mengalami sedikit penurunan. “Dan dengan sendirinya situasi ini bakal menyebabkan berlakunya peningkatan harga untuk kelapa,” katanya. Dr. Azman berkata demikian kepada pihak media selepas merasmikan program siri ketiga ‘EPIC Back to School 2025’ di Pasar Raya Zon Ria, Jerteh, baru-baru ini. Namun, beliau menjelaskan bahawa anak syarikat kerajaan negeri, Golden Pharos Berhad (GBP) telah melaksanakan usaha awal bagi mengatasi kekurangan bekalan bahan mentah itu yang telah bermula sejak awal tahun lagi. “Anak syarikat negeri, Golden Pharos Berhad telah menjalankan usaha bagi isu ini dengan mengimport kelapa dari Indonesia untuk mengimbangi sumber bekalan. “Tapi harga santan di pasaran mungkin masih ada sedikit ‘trend’ kenaikan harga disebabkan oleh permintaan yang agak tinggi buat masa ini. Untuk rekod, GPB menerusi anak syarikatnya GP Plywood Sendirian Berhad telah menerima kira-kira 30 tan bekalan kelapa daripada pembekal utama pada bulan Januari yang lalu bagi mengatasi krisis tersebut. Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi juga menyatakan bahawa tiada gangguan bekalan dan kenaikan harga bagi sumber keperluan asas lain. “Setakat ini Alhamdulillah, bekalan sumber keperluan asas kita terkawal dan pada tahun ini kita tidak ada satu bencana besar yang memberikan satu impak kepada sektor pengeluaran makanan kita. “Dari apa yang saya nampak, ia berjalan seperti biasa dan keperluan ini kita tidak hadkan kepada negeri sahaja kerana ada barang-barang keperluan negeri Terengganu yang dihantar ke negeri lain dan keperluan dari negeri lain masuk ke Terengganu mengikut permintaan semasa. “Maka, setakat ini kita tengok dari segi harga, biasa sahaja, tiada sebarang lonjakan,” tambahnya.  
19 Feb 25
311
Abdul Hadi Gesa Martabat Bahasa Melayu
Abdul Hadi Gesa Martabat Bahasa Melayu
KUALA LUMPUR, 18 Februari - Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam urusan rasmi negara, terutamanya dalam acara besar yang melibatkan kepentingan rakyat Malaysia, kata Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beliau menegaskan bahawa penggunaan Bahasa Inggeris dalam majlis rasmi, meskipun majoriti hadirin adalah rakyat Malaysia, menimbulkan kecelaruan dan tidak mencerminkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang telah diterima secara rasmi. “Dalam majlis, orang putih ada tiga orang sahaja, yang rakyat kita ini ramai, semua boleh bertutur dalam Bahasa Melayu, tetapi masih juga menggunakan Bahasa Inggeris. "Surat rasmi, bicara di mahkamah, masih lagi menggunakan bahasa Inggeris,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini. Menurutnya, pemimpin negara lain tetap berpegang kepada bahasa mereka sendiri dalam acara rasmi di peringkat antarabangsa seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kecuali negara yang dijajah secara pemikiran. "Negara yang mempunyai identiti dan jiwa bangsa akan menggunakan bahasa mereka sendiri. Oleh itu, memperkasakan bahasa kebangsaan sangat penting dan perlu disedari oleh semua pihak," ujarnya. Dalam ucapannya, Abdul Hadi turut menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan pelbagai bahasa pada papan tanda di bandar-bandar utama, yang dilihat mencetuskan kekeliruan serta menghakis identiti kebangsaan. "Kita tidak dilarang untuk belajar bahasa lain, malah menuntut ilmu dalam pelbagai bahasa itu adalah baik. Namun, apa yang berlaku hari ini sangat bercelaru. Kedai-kedai di bandar menggunakan pelbagai bahasa, tetapi Bahasa Melayu hanya ditulis kecil sedangkan Bahasa Inggeris lebih besar," katanya. Beliau menyeru agar pihak berkaitan mengambil langkah untuk memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan sektor awam, selari dengan peranannya sebagai bahasa kebangsaan negara.
18 Feb 25
152