Artikel "Utama" Terkini
UMNO Terengganu Tiada Masalah Pertahankan Kemenangan PRU14
Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu bersedia berdepan kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa sahaja.Setiausaha UMNO negeri, Dato’ Muhamad Pehimi Yusof berkata, parti Barisan Nasional (BN) melakukan persiapan awal serta tiada masalah untuk meneruskan penguasaan dan mengekalkan kemenangan pada PRU tidak lama lagi.“Terengganu di bawah pemerintahan kerajaan BN merupakan antara negeri terdahulu yang membuat persediaan awal untuk menghadapi PRU-14. “Antaranya, termasuk mengadakan bengkel portfolio dan juga aktiviti seperti pertandingan Pusat Daerah Mengundi dan sebagainya untuk menggerakkan jentera parti,” ujarnya.Beliau mewakili Menteri Besar berkata demikian ketika berucap di Majlis Temu Mesra Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman Bersama Mantan Yang Berhormat, Mantan Calon BN Terengganu dan Mantan Senator Siri Ke-2 di Hotel Permai, semalam.Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Dato’ Muda Mamat, Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Terengganu, Dato’ Ahmad Sidi Ismail serta Pengerusi Veteran UMNO Negeri Terengganu, Dato’ Wan Zakaria Abd Rahman.Menurut Muhamad Pehimi, selain mengeratkan silaturahim, majlis temu mesra diadakan bertujuan mendapatkan maklum balas dan idea serta pengalaman bekas kepimpinan UMNO terdahulu untuk manfaat parti.“Maklum balas hasil pertemuan lalu juga telah banyak yang diambil tindakan termasuk cadangan untuk memantapkan lagi barisan jentera parti,” ujarnya.Katanya, bagi memantapkan lagi gerak kerja jentera parti, UMNO Terengganu akan melaksanakan simulasi pilihan raya pada 29 April ini sebagai persiapan dalam menghadapi PRU-14.Sementara itu, Ahmad Sidi berkata, bagi memastikan PRU14 berpihak kepada parti BN dan UMNO, semua ahli perlulah bersama-sama berganding bahu menjaga parti.Wan Zakaria pula berpendapat, jentera parti perlu komited melaksanakan setiap program yang dirancang serta menyusun barisan dan sentiasa bersama dengan kepimpinan masa kini.
01 Apr 17
343
Sedia 200 Kiosk Percuma Untuk Peniaga
Kerajaan negeri bercadang menambah sekurang-kurangnya 200 kiosk cenderahati di beberapa kawasan peranginan dan taman taman rekreasi di negeri ini bagi memberi peluang penduduk setempat terutama golongan belia berniaga.Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) diminta memainkan peranan merealisasikan inisiatif itu dan mengutamakan golongan belia yang berminat dan masih mencari peluang mendapatkan pekerjaan.“Mereka yang terpilih berpeluang berniaga secara percuma selama setahun, kemudiannya hanya dikenakan kadar sewa dengan harga berpatutan selepas tempoh itu.“Pihak berkaitan akan memikirkan lokasi bersesuaian bagi membina kemudahan itu, antara cadangannya di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir dan Pantai Batu Burok serta Taman Rekreasi Kuala Ibai, Kuala Terengganu,”katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Hari Keluarga Kelab Wisma Darul Iman (KWDI), di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam.Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria dan Yang Dipertua KWDI Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Kira-kira 1,200 ahli KWDI hadir memeriahkan program yang diselitkan pelbagai aktiviti menarik antaranya, pertandingan boling kelapa, lari dalam guni, isi air dalam botol, meniup belon dan lari sambil mengikat kaki.Program yang diadakan selama dua hari, bermula 31 Mac itu menyediakan 500 hadiah cabutan bertuah dengan hadiah utama, Motosikal Yamaha LC 135 CC dimenangi Nor Liana Mohamad Nor dan tempat kedua pula Tengku Mohd Noor Haizam Tengku Musa turut membawa pulang motosikal jenama Lagenda Yamaha 115.
01 Apr 17
66
Felda Wujud Dana Pusingan RM100 Juta, Pastikan Peneroka Pungut Hasil Secara Mingguan
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan mewujudkan dana pusingan RM100 juta bagi memastikan lebih 112,000 peneroka mendapat bayaran hasil kelapa sawit dalam tempoh seminggu berbanding sebulan pada masa ini.Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, dana tersebut bertujuan menjamin kelangsungan pendapatan peneroka yang sebelum ini menerima pembayaran hasil selepas kelapa sawit mereka dikutip secara bulanan oleh Felda Global Venture Holding Berhad (FGV).Katanya, dana ini merupakan antara fokus utama dan objektif asal iaitu memberi tumpuan kepada peneroka serta hasil sawit mereka."Kita hendak pastikan kebajikan peneroka tercapai dan sebab itu kita bayar dahulu seminggu sekali tanpa perlu menunggu pembayaran penuh oleh pihak kilang sawit (FGV)."Hasil itu bergantung kepada bagaimana kebun itu dijaga. Kita nakkan yang terbaik untuk peneroka,dan sebab itulah pihak pengurusan Felda akan memulakan semula bayaran mingguan itu secepat mungkin dan sehingga kini proses mengemas kini akaun peneroka hampir selesai."Kita kemas kini akaun peneroka,lihat berapa banyak hutangnya, jumlah pendapatan dan tunggakan bagi melancarkan semula proses pembayaran hasil secara mingguan ini," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis ulang tahun ke-50 Jubli Emas Felda Bukit Bading,Ajil, malam tadi.Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Jailani Johari dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ghazali Taib.Menurut Shahrir, bagi membantu pengurusan Felda,aset-aset hartanah di London yang bernilai RM2 billion boleh dijual dan dicairkan untuk mendapatkan hasilnya."Ini merupakan harta-harta dan pelaburan Felda dalam menambah hasil tahunan.Bukan satu kesalahan kalau kita jual dan cairkan pelaburan kerana ia tidak akan menjejaskan peneroka malah membantu dari segi pengurusan kewangan Felda itu sendiri,"katanya lagi
01 Apr 17
36
Sidang DUN : Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir Jangka Dibuka Julai Ini
Zon bebas cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir dijangka akan mula beroperasi Julai ini.Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, terdapat kelewatan dalam menyiapkan pembangunan di Tasik Kenyir mengikut jadual akibat faktor yang tidak dapat dielakkan."Memang kita akui ada kelewatan sebanyak 15 peratus disebabkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini didapati bahawa aras air naik melampau sebanyak dua kali sepanjang tempoh itu menyebabkan kerja pembangunan tergendala."Pada bulan Julai ini Insya-Allah kita akan memulakan operasi pulau bebas cukai di Tasik Kenyir kerana dari segi kuarters, pejabat kastam serta dari segi urusan pentadbiran sudah selesai," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pergulungan Persidangan Penggal kelima Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Wisma Darul Iman, hari ini.Ahmad Razif (BN-Seberang Takir) berkata kerajaan negeri turut bercadang untuk menempatkan pusat kajian dan galeri di santuari kelah di Tasik Kenyir memandangkan kawasan tersebut adalah tempat tumpuan orang ramai.Katanya, buat masa sekarang, kerajaan sedang melakukan perbincangan dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk mewujudkan pusat kajian dan galeri itu."Mungkin lepas ini pelancong yang tidak mahu ke santuari kelah boleh brada di galeri untuk melihat aktiviti yang berkait santuari kelah."Yang ini kita akan laksanakan kerana kita nampak potensi yang agak tinggi di Tasik Kenyir," katanya.
30 Mar 17
74
Sidang DUN : Sedia Teliti Cadangan Sedia Ruang Khas Untuk Keluarga Di Panggung Wayang
Kerajaan negeri bersedia meneliti cadangan supaya menambah baik kemudahan termasuk menyediakan ruang khas untuk keluarga di panggung wayang Paya Bunga (PB) Sentral, Kuala Terengganu.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafie berkata, kerajaan negeri bersedia meneliti cadangan Ariffin Deraman (Pas-Alor Limbat) supaya diadakan ruang khas berkenaan untuk penonton yang datang bersama keluarga selain pengasingan antara lelaki dengan perempuan.Beliau berkata, walaupun cadangan itu agak 'membebankan' pengusaha panggung wayang tersebut, pihaknya akan melihat kesesuaian dan keperluan itu sebelum memutuskannya. "Sejak dilancarkan pada 18 Mac lalu, sambutan orang ramai sangat memberangsangkan. Setakat ini melalui pemerhatian semua panggung penuh dan ini menunjukkan sesuatu yang bagus."Kita kena ingat, tak semestinya yang datang tu belia sahaja, anak-anak dan ibu bapa, adik beradik pun datang tengok juga. Kita tengok nanti bagaimana boleh buat tambah baik," katanya.Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Wisma Darul Iman, hari ini.Terdahulu, Ariffin Deraman (Pas-Alor Limbat) dalam sesi perbahasan semalam meminta pihak kerajaan mengkaji balik serta menutup panggung wayang kerana dikhuatiri akan menyebabkan gejala sosial yang serius berlaku dalam kalangan masyarakat terutamanya belia.Panggung wayang di PB Sentral itu dikendalikan oleh Lotus Fivestar Cinemas (M) Sdn Bhd bermula 18 Mac lalu menyediakan 11 dewan yang akan dibuka secara berperingkat.Mohd Jidin (BN-Permaisuri) dalam sesi pergulungan juga berkata, kamera litar tertutup (CCTV) memang sudah dipasang di beberapa kawasan sesuai di sekitar panggung tersebut untuk tujuan keselamatan pengunjung."Alor Limbat kata pastikan panggung wayang ni dalam cerah. Nak tengok wayang memang lah kena gelap sebab cahaya skrin pun dah cerah."Kerajaan negeri ambil maklum juga bahawa panggung wayang ini tidak akan beroperasi pada hari-hari kebesaran dalam Islam. Ia hanyalah sekadar tempat hiburan untuk seisi keluarga. Biarlah ada sedikit hiburan di Terengganu yang sesuai dalam penerimaan rakyat negeri ini," katanya.Tambahnya, operasi panggung wayang itu tertakluk kepada peraturan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 serta Kaedah-kaedah Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2003.Mohd Jidin berkata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu hanya mengeluarkan lesen hiburan sebanyak RM9,910 setahun manakala cukai hiburan dikenakan 25 peratus daripada setiap jualan tiket dan menjadi hasil kerajaan negeri (SUK).
30 Mar 17
49
Sidang DUN : Bayaran Pembangunan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus Secara Berjadual Dengan Had
Kaedah pembayaran projek Pembangunan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus adalah secara Bayaran Berjadual Dengan Had.Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bayaran bukan dilakukan secara 'deferred payment' seperti yang dikatakan oleh Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepoh).Katanya, cara pembayaran yang dinyatakan wakil pembangkang itu mempunyai perbezaan sangat besar."Kos pembangunan pusat pentadbiran ini adalah sebanyak RM600 juta, tanpa sebarang faedah."Saya juga sudah jelaskan yang bayaran akan dibuat dengan had, sebanyak RM70 juta setahun sehingga selesai pada tahun 2024 iaitu selama lapan tahun dan enam bulan," katanya.Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri Ke13 di Wisma Darul Iman, hari ini.Tambahnya, cadangan penubuhan daerah baharu Kuala Nerus merupakan cadangan yang sudah lama dirancang."Ianya sudah wujud sebelum zaman Pas memerintah Terengganu lagi."Tetapi keperluannya semakin mendesak berikutan pertambahan penduduk yang mendadak dan perkembangan ekonomi yang pesat di daerah tersebut," katanya.
30 Mar 17
199
Sidang DUN : Terengganu Bakal Terima RM183 Juta Pampasan Penyerahan UniSZA
Kerajaan negeri sudah menerima bayaran sebanyak RM10 juta hasil tuntutan pampasan dari Kerajaan Persekutuan susulan penyerahan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur & Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman berkata, nilai itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan RM183 juta yang dituntut kerajaan negeri sebaik KUSZA diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).“Lebihan bayaran akan diterima secara berjadual di mana RM61 juta bakal diperoleh pada tahun ini manakala selebihnya iaitu lebih RM112 juta lagi dibayar pada 2018,” katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ridzuan Hashim (Pas-Teluk Pasu) di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada hari ketiga, hari ini.Katanya, tiada cadangan untuk membina institut pengajian tinggi lain bagi menggantikan UniSZA yang kini di bawah pengurusan KPT.“Sebaliknya penyerahan institut itu, Terengganu bakal memiliki Hospital Pengajar Unisza,” katanya..
30 Mar 17
53
Sidang DUN: Status Projek Pasar, Terminal Bas Chukai Masih Peringkat Permohonan
Status projek pasar dan terminal bas Chukai, di Bandar Chukai, Kemaman menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak 2004, masih di peringkat permohonan untuk diluluskan sebelum dilaksanakan secepat mungkin.Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman berkata, kelulusan pembinaan projek di Pengkalan Pandan yang turut meliputi bangunan komersial sudah beberapa kali tertangguh disebabkan pelbagai masalah teknikal.“Pihak itu terpaksa meneliti dan mengkaji beberapa perkara, termasuk pemilikan tanah awam, kos yang agak tinggi iaitu melibatkan RM50 juta selain penglibatan pelbagai pihak untuk sesuatu projek,” katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hanafiah Mat (Pas-Chukai) di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada hari ketiga, hari ini.Rosli memberitahu bagaimanapun, kerajaan negeri tetap menghantar permohonan baru pada pertengahan tahun lalu dengan memohon peruntukan kira-kira RM10 juta bagi memulakan projek Terminal Bas Chukai berkenaan.“Projek lain termasuk pasar, bangunan komersial, laluan bertar, landskap dan beberapa kemudahan lain di kawasan 5.4 hektar itu akan dibina secara berperingkat-peringkat,” katanya .
29 Mar 17
197
Sidang DUN : Semua Masyarakat Perlu Bersikap Dan Berfikiran Pelancongan
Tengku Zaihan ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman pada hari ketiga, hari ini. Foto oleh Tg Syamim Tg IsmailSetiap lapisan masyarakat di negeri ini diminta supaya lebih berfikiran dan bersikap pelancongan dalam usaha mencapai matlamat serta menjayakan Visit Beautiful Terengganu 2017 .Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, berfikiran dan bersikap pelancongan mampu meningkatkan mutu dan memberi kesan positif terhadap sektor pelancongan Terengganu secara khasnya.“Berfikiran pelancongan ini bermaksud masyarakat termasuk dari pihak jabatan kerajaan, swasta, penggiat-penggiat pelancongan termasuk pekedai, pemandu kereta sewa dan bot yang merupakan barisan hadapan menyerapkan pemikiran ke arah memajukan sektor pelancongan. “Dari segi kelakuan pula, mereka hendaklah menjadi seperti penggiat pelancongan. Contohnya seperti pekedai, mereka hendaklah memberi layanan yang istimewa serta penuh kemesraan agar pengunjung akan terus mengunjungi kedai tersebut pada masa akan datang,” katanya.Beliau berkata demikian selepas selesai membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman pada hari ketiga, hari ini.Dalam pada itu, Tengku Zaihan juga mensasarkan lebih banyak lagi taman negeri akan diwartakan, selepas Taman Bencah Setiu diwartakan sebagai taman negeri.Tambahnya, kerajaan negeri juga telah mewujudkan Terengganu Riverine and Coastal Authority (Trevicosta) bagi memantau taman-taman negeri yang ada di Terengganu.“Apabila bercakap pasal pelancongan di Terengganu, kita tidak dapat lari daripada eko-pelancongan yang mana melibatkan keindahan dan juga khazanah alam yang ada di negeri ini iaitu keindahan flora dan fauna yang ada di seluruh pelosok negeri Terengganu.“Trevicosta ini merupakan satu agensi yang mana akan menjaga kelestarian sungai-sungai, tasik-tasik, persisiran pantai dan juga hutan-hutan yang ada di Terengganu,” katanya.
29 Mar 17
52
Sidang DUN : Perluaskan Trenglish Ke Lebih Banyak Sekolah
Kerajaan negeri diharap supaya memperluaskan program Trenglish ke lebih banyak sekolah berikutan banyak kesan positif dan kejayaan yang direkodkan peserta-peserta program tersebut.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, pada tahun lepas terdapat peningkatan kelulusan dalam Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 3.25 peratus bagi peserta yang menyertai program tersebut.Katanya, sehingga kini, hanya beberapa sekolah di Terengganu sahaja yang terlibat dalam program tersebut dan bilangan itu merangkumi beberapa peratus sahaja dari keseluruhan sekolah di Terengganu.“Program tersebut hanya melibatkan sebahagian kecil, iaitu 37 buah sekolah sebagai perintis dan 50 buah sekolah pada tahun ini. Bermakna hanya 10 peratus sahaja daripada jumlah 501 sekolah di negeri Terengganu yang terlibat dalam program tersebut."Kita berharap kerajaan negeri dapat memberi perhatian dan menambah peruntukan untuk program ini bagi meningkatkan mutu pencapaian kepada anak-anak Terengganu. Mungkin diperluaskan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada bilangan sekolah yang ada di negeri ini sebagai komited meningkatkan pencapaian dan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar," katanya.Beliau berkata demikian selepas selesai membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman pada hari ketiga, hari ini.Dalam masa yang sama, Bazlan turur memberi cadangan agar memberi perhatian semula kepada sekolah-sekolah elit dan premier di Terengganu dengan mengaktifkan beberapa bidang yang boleh menonjolkan kreativiti pelajar seperti robotik, aeronatik, memanah, astronomi dan sukan berkuda."Satu ketika dahulu, sekolah-sekolah ini sering menjadi pilihan pelajar cemerlang, namun akhir-akhir ini ia agak suram.“Mungkin sekolah-sekolah ini kembali menjadi rebutan sekiranya ada keistimewaan dan keunikan tersendiri di sekolah tersebut," katanya.
29 Mar 17
30