Artikel "Utama" Terkini
Qabil Irfan Dinobat 'Young Rider Of The Year'
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Semalam menjadi malam yang cukup bertuah buat anak Terengganu apabila Persatuan Sukan Bermotor Malaysia telah menobatkan Qabil Irfan sebagai 'Young RIder Of The Year'.
Anugerah itu telah disampaikan kepada pelumba cilik pada malam anugerah MAM Award Night bagi menghargai penggiat sukan bermotor dua dan empat roda dalam negara di M Hotel, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Irfan sangat bertuah menerima anugerah berkenaan di acara yang sangat berprestij itu.
"Lebih 1,000 orang jemputan daripada penggiat sukan permotoran hadir pada malam tersebut dan pelbagai anugerah yang dicalonkan.
"Antaranya 'Malaysia Motorsport Icon', 'Young Rider OF The Year', 'International Rider Of The Year dan banyak lagi bagi tahun 2024," ujarnya dalam satu kenyataan melalui hantaran di facebooknya, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, seorang lagi pelumba cilik dari Terengganu Hakim Danish turut tercalon dalam kategori anugerah 'Malaysia Motorsport Icon dan 'International Rider Of The Year'.
"Manakala Qabil Irfan dan Muhammad Arief Marzuki tercalon di dalam kategori 'Young Rider Of The Year', tuah (memihak) buat Qabil Irfan atas kejayaan dinobatkan di bawah anugerah tersebut.
"Semoga pelumba-pelumba muda dan cilik Terengganu terus bersinar dan terus membawa nama baik Malaysia di persada antarabangsa,"ucap beliau.
26 Feb 25
161
Duyong Marina & Resort Kongsi Rezeki, Agih 2,000 Bubur Lambuk
KUALA TERENGGANU, 26 Februari –Mengambil keberkatan bulan Ramadan yang bakal tiba, Duyong Marina & Resort (DMR) mengagihkan sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk kepada komuniti sekitar, hari ini.
Pengurus Besarnya, Wan Faizul Wan Abas berkata program Agihan Bubur Lambuk itu juga merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menjadi tradisi setiap tahun.
Menurutnya, pengagihan Bubur Lambuk tidak tertumpu pada aktiviti memasak dan menyediakan hidangan semata-mata, tetapi sebagai komitmen untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
"Program ini bukan sekadar satu tradisi tahunan tetapi juga sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan DMR terhadap komuniti setempat.
" Kami berharap inisiatif ini dapat menyebarkan keberkatan Ramadan dan mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat sekitar," ujarnya kepada pemberita.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 500 bekas bubur lambuk diberikan kepada orang ramai di
Jambatan Sultan Mahmud, sementara selebihnya diagihkan kepada penduduk sekitar Pulau
Duyong melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Tambah beliau lagi program bermula seawal 8.00 pagi di Marina Garden dengan sesi gotong-royong memasak, diikuti dengan proses pembungkusan sebelum bubur lambuk diserahkan kepada penerima.
Program itu juga turut mendapat sokongan dan bantuan daripada wakil-wakil JPKK Pulau Duyong, yang bersama-sama berganding bahu dalam penyediaan dan pengagihan bubur lambuk.
Sementara itu, Wan Faizul berkata Duyong Marina & Resort menawarkan Bufet Ramadan menjanjikan pengalaman berbuka puasa yang istimewa dengan menu disediakan khas untuk memuaskan selera pengunjung.
"Para tetamu berpeluang menikmati pelbagai hidangan tradisional
dan moden dengan harga RM85+ bagi dewasa dan RM45+ bagi kanak-kanak," katanya.
26 Feb 25
171
Terengganu Hijab Day Meriah, Dapat Sokongan Premis Perniagaan
Oleh : Amira Amijuddin
BESUT, 26 Februari – Terengganu Hijab Day Peringkat Daerah Besut berlangsung dengan penuh meriah di Giant Superstore Jerteh, sekali gus mencerminkan kolaborasi erat antara sektor perniagaan dan komuniti.
Pengurus Giant Superstore Jerteh, Ariffin Che Muda, berkata, program ini turut mendapat sokongan daripada pihak pengurusan premis perniagaan, yang menyatakan keterbukaan untuk menganjurkan program seumpama ini pada masa akan datang.
“Sangat berbesar hati dan menghargai program yang diadakan serta mengalu-alukan program sebegini diadakan di pasaraya kami.
"Saya berharap akan diadakan lagi di sini oleh Nisa' Besut," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi semalam mengulas mengenai program yang diadakan di lokasi berkenaan pada 22 Februari lalu.
Menurutnya, Giant Superstore Jerteh sentiasa terbuka untuk menyokong inisiatif yang positif dan membina.
"Suasana ceria dan penuh keterujaan sepanjang program membuktikan bahawa inisiatif seperti ini mampu menarik perhatian ramai serta menjadi platform dakwah yang santai dan berkesan.
"Program menarik kehadiran ramai pengunjung yang menyokong usaha memartabatkan pemakaian hijab dalam kalangan wanita," kata beliau.
Program anjuran Nisa' Besut ini bermula jam tiga petang dan diserikan dengan kehadiran isteri ADUN Hulu Besut, Puan Irma Ibrahim, Pembantu Penyelia I-MiTS, Ustazah Fadhilah Syed Hamid menunjukkan sokongan terhadap inisiatif dakwah santai ini.
Beliau menambah, penceramah jemputan, Dai Ilhami turut berkongsi motivasi dan nasihat berkaitan pemakaian hijab serta gaya hidup Muslimah.
Acara ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti agihan goodies dan belon untuk kanak-kanak, cabaran kuiz, permainan roda impian dengan hadiah istimewa, serta booth pameran interaktif yang memberi peluang kepada peserta merakam kenangan.
Selain itu, booth pameran turut disediakan sebagai ruang interaktif bagi peserta merakam kenangan dan menyebarkan mesej positif mengenai pemakaian hijab.
26 Feb 25
526
Maritim Malaysia Terengganu Laksana 338 Tangkapan, Kompaun RM132 Juta Nelayan Asing
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Sejak penubuhannya dua dekad lalu (2005), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu telah menjalankan 43,407 pemeriksaan ke atas vesel dan bot bagi memastikan pematuhan undang-undang maritim.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, dalam proses itu sebnayak 338 tangkapan direkodkan termasuk kes pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti penangkapan ikan secara haram.
"Sebanyak 74 kes dikompaun, 264 kes didakwa di mahkamah dengan nilai denda dan kompaun melebihi RM132 juta.
"Operasi penguatkuasan kita turut membawa kepada rampasan bernilai RM11 juta serta pelupusan 181 vesel lucut hak milik nelayan asing," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbarisan khas sempena ulang tahun agensi itu ke-20 tahun, di ibu pejabat Maritim Malaysia Terengganu, hari ini.
Tambahnya, bagi tahun 2025 Maritim Terengganu akan terus melaksanakan rondaan seperti biasa dan meningkatkan tumpuan kepada kawasan -kawasan hot spot dengan fokus kepada kehadiran bot-bot nelayan asing Vietnam.
Selain tugas penguatkuasaan, menurutnya Maritim Negeri Terengganu turut berperanan sebagai penyelaras utama operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dengan kejayaan operasi terkini ialah penyelamatan mangsa bot karam di perairan Pulau Redang dan menyelamat seorang nelayan yang hilang menerusi beberapa hari operasi intensif.
"Pada 21 Februari lalu, Maritim Negeri Terengganu turut membuktikan kesiapsiagaan yang tinggi apabila berjaya menahan tujuh warga Indonesia yang menceroboh pelantar minyak di perairan Terengganu.
Tindakan pantas ini mencerminkan keupayaan Maritim Malaysia dalam menangani ancaman keselamatan strategik di perairan negara," katanya.
26 Feb 25
187
Jawatankuasa Khas Perkasa Garis Panduan Syariah
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Kerajaan negeri bakal menubuhkan jawatankuasa khas dalam usaha memperkasa garis panduan syariah di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, jawatankuasa khas itu bukan sahaja akan membuat semakan semula terhadap Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan negeri tetapi juga menyelaras pelaksanaan dan isu-isu berbangkit.
“Selepas lima tahun, kita akan semak semula garis panduan ini bagi menambah baik beberapa aspek termasuk penguatkuasaan dan pematuhan terhadap syariat Islam.
"Oleh itu, sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan penganjuran bengkel yang melibatkan pelbagai pihak di mana Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS) diberi tanggungjawab untuk menyelia semakan semula garis panduan berkenaan bersama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan,” ujarnya pada sidang media di Wisma Darul Iman, semalam.
Mengulas lanjut katanya, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Mufti, Jabatan Hal Ehwal Terengganu (JHEAT), Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT) dan beberapa agensi berkaitan akan turut sama dalam proses semakan semula garis panduan berkenaan.
Katanya, semakan berkenaan juga akan mengambil kira semua aspek termasuk kesesuaian dan keadaan masyarakat berbilang kaum serta budaya di Terengganu.
26 Feb 25
115
Ops Pelantar Merah Kembali Diaktifkan
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu akan kembali mengaktifkan Ops Pelantar Merah dalam usaha menangani isu-isu pencerobohan pelantar-pelantar minyak di perairan negeri itu.
Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kekerapan laporan berkaitan isu tersebut diutarakan.
"Baru-baru ini kita banyak menerima laporan pencerobohan di pelantar minyak. Bermula tahun ini sahaja kita telah menerima empat laporan berkenaan pencerobohan pelantar-pelantar minyak yang tidak berpenghuni ini.
"Berdasarkan banyak laporan yang diterima, kita akan melaksanakan operasi khas untuk menjaga pelantar minyak ini iaitu Ops Pelantar Merah.
"Ops ini telah dijalankan sebelum ini dan kita akan aktifkan kembali untuk fokus serta memantau kawasan pelantar-pelantar minyak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia peringkat Negeri Terengganu di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohd Khairulanuar memaklumkan, tujuh lelaki warga Indonesia yang ditahan ketika menceroboh pelantar minyak tidak berpenghuni di Lapangan Tembikai di kedudukan 77 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, pada Khamis didakwa pagi ini.
Kesemua tertuduh berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
26 Feb 25
223
Wad Kelas Ketiga Percuma Manfaatkan 224,000 Pesakit Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Kerajaan Terengganu telah memperuntukkan lebih RM12 juta sejak tahun 2020 bagi melaksanakan program Wad Kelas Ketiga Percuma, yang telah memberi manfaat kepada lebih 224,000 pesakit di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, menyatakan bahawa program ini adalah satu inisiatif penting dalam memastikan akses kesihatan yang lebih baik untuk rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan.
"Dalam tempoh lima tahun pelaksanaan, peruntukan lebih RM12 juta telah membolehkan seramai 224,000 pesakit menerima rawatan tanpa membebankan kewangan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.
Beliau turut menegaskan bahawa program itu bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan tetapi juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat.
"Ia bukan hanya berkaitan angka atau jumlah peruntukan, tetapi bagaimana inisiatif ini telah membantu meringankan beban rakyat dan memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya,” ujarnya.
Menurut Wan Sukairi, kejayaan program ini turut didorong oleh usaha kerajaan dalam mendapatkan sumber pembiayaan tambahan. Selain dana kerajaan negeri, program ini turut menerima sokongan sektor korporat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Kami tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata, tetapi turut mendapat sokongan pelbagai pihak untuk memastikan kesinambungan program ini demi manfaat rakyat," tambahnya.
26 Feb 25
249
Akta Pembaharuan Semula Bandar Berdepan Risiko Manipulasi
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, menolak cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar atas alasan ia membuka ruang manipulasi oleh pemaju dan berpotensi menjejaskan hak pemilik strata.
Beliau menegaskan bahawa undang-undang baharu itu tidak menyediakan perlindungan sewajarnya kepada pemilik hartanah, sebaliknya memberi kelebihan kepada pemaju dalam proses pembaharuan bandar.
Menurut beliau, cadangan menurunkan had persetujuan pemilik strata daripada 100% kepada 51% boleh menyebabkan pemilik hilang kuasa dalam membuat keputusan penting berkaitan hak milik mereka.
“Kita perlukan undang-undang yang benar-benar melindungi pemilik hartanah, bukan yang membuka ruang manipulasi oleh pemaju,” katanya.
Datuk Ahmad Amzad turut mencabar Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) untuk menyatakan pendirian mereka berhubung cadangan penurunan ambang persetujuan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa persetujuan secara prinsip terhadap akta ini tidak bermaksud menyokong cadangan yang berpotensi merugikan pemilik strata selain menolak dakwaan bahawa penentangannya terhadap akta ini bermaksud menolak usaha memperbaiki kualiti hidup penduduk bandar.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa sebarang pembaharuan perlu dilakukan dengan teliti agar tidak mengorbankan hak pemilik hartanah demi kepentingan pihak tertentu.
“Besar perbezaan antara Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar yang sedia ada dengan cadangan akta baharu ini. Usaha memperbaharui bandar tidak seharusnya menggugat hak pemilik hartanah,” tambahnya.
Menurut Datuk Ahmad Amzad, pendekatan semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN) menitikberatkan kepentingan rakyat melalui garis panduan yang mengekalkan prinsip persetujuan 100% pemilik strata dalam sebarang projek pembaharuan. Pendekatan sebegini memastikan pemaju wajib berunding dengan semua pemilik tanah sehingga kata sepakat dicapai, sekali gus melindungi kepentingan sosial dan pemilikan rakyat.
Sebaliknya, cadangan akta baharu berkenaan dilihat memberi ruang kepada pemaju untuk melaksanakan projek meskipun tanpa persetujuan semua pemilik, mewujudkan risiko manipulasi dan potensi penindasan terhadap pemilik strata.
“Undang-undang baharu memerlukan penelitian mendalam kerana setiap seksyen dan ayat mempunyai implikasi besar kepada masyarakat. Rakyat perlukan perlindungan melalui undang-undang yang adil, bukannya undang-undang yang hanya memihak kepada pemaju,” tegas beliau.
26 Feb 25
154
'Allah Beri Kami Peluang Kedua’
KEMAMAN, 25 Februari – ‘Allah beri kami peluang kedua’, itulah ungkapan yang menggambarkan perasaan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bandi selepas bas sekolah yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok, awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6.50 pagi di Jalan Kampung Sungai Mas menuju ke Kampung Padang Kubu, enam pelajar mengalami kecederaan selepas bas yang membawa mereka hilang kawalan sebelum merempuh pokok di tepi jalan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, turut meluangkan masa menziarahi mangsa serta bertemu keluarga mereka untuk bertanya khabar dan memberikan sokongan moral.
Sementara itu, Siti Nur Ariana Abdullah, 16 yang berasal daripada Ladang Tebak, tidak menyangka perjalanan ke sekolah pagi itu berakhir dengan kejadian yang mencemaskan.
“Saya duduk seperti biasa. Tiba-tiba, bas bergerak ke tepi jalan dan melanggar pokok. Kemudian, keadaan dalam bas bergoyang dan kepala saya terhantuk pada pemegang tempat duduk di hadapan.
“Saya sempat melihat beberapa kawan-kawan lain turut tercedera, termasuk seorang rakan yang mengalami pendarahan hidung yang tidak berhenti,” katanya kepada pemberita ketika lawatan ADUN Kijal ke Kampung Ladang Tebak, hari ini.
Sementara itu, Nurul Shahirah Mohd Rosli, 13, yang sedang tidur ketika kejadian berlaku, terkejut apabila dia tersedar dalam keadaan cemas dan berdarah di bibir.
”Saya tidur ketika itu dan bila bangun, saya terkejut dan rasa pening, tengok bibir pun dah berdarah.
“Walaupun mengalami kecederaan, kami bersyukur kerana terselamat dalam kemalangan pagi tadi dan menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil,” jelasnya.
Menurut salah seorang lagi mangsa, Nur Hidayah Ghazali, 16, dia hanya mula menyedari apa yang berlaku selepas bas melanggar pokok.
”Mula-mula tak rasa apa, macam tak dengar. Bila dia brek, baru rasa hentakan tu. Lepas tu dah rasa macam kabur.
"Semoga semua rakan-rakan saya terlibat dalam kemalangan diberi kesembuhan segera dan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” ujarnya.
25 Feb 25
679
Terengganu Terus Laksana Wad Kelas Ketiga Percuma Hingga 2028
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Rakyat Terengganu boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri mengumumkan program Wad Kelas Ketiga Percuma akan disambung sehingga tahun 2028 walaupun berdepan sekatan royalti.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan ini dibuat selepas mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini.
"Alhamdulillah, kerajaan negeri telah meluluskan kertas kerja untuk menyambung kontrak program Wad Kelas Ketiga Percuma bermula tahun 2025 hingga 2028,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini.
Beliau menegaskan, sebelum ini pelaksanaan program ini disambung secara tahunan, namun kali ini ia diberikan jaminan selama tiga tahun sekali gus.
"Langkah ini diambil bagi memastikan kelangsungan program yang telah memberi manfaat besar kepada rakyat sejak diperkenalkan pada tahun 2020.
"Kita melihat program ini benar-benar diperlukan rakyat.
"Ia memberikan impak positif kepada masyarakat, justeru kerajaan negeri berusaha mencari sumber dana bagi membiayai program ini," tambahnya.
Menurut Wan Sukairi, dana bagi menampung kos program ini bukan sahaja datang daripada peruntukan kerajaan negeri, malah turut disokong oleh sumbangan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sebagainya.
"Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM4 juta setahun bagi memastikan kelangsungan program ini.
"Dengan peruntukan tersebut, ribuan pesakit dari golongan kurang berkemampuan bakal terus menerima rawatan tanpa dikenakan sebarang bayaran.
"Kerajaan komited untuk memastikan rakyat terus menerima manfaat kesihatan secara percuma serta berusaha mengukuhkan sumber kewangan agar program ini dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan," ujarnya.
25 Feb 25
925